? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Khamis, 31 Disember 2009

2009 yang akan pergi..


Kali ini berubah.

Jika tahun-tahun sebelum ini sedih hendak meninggalkan tahun yang bakal berganti namun pada kali ini tidak sama sekali.
Malah agak terlupa beberapa hari lalu bahawa 2009 ini bakal pergi.

Kemungkinan tahun ini terisi dengan kerja-kerja yang melingkari masa.
Juga kemungkinan pada tahun ini telah selesai sebahagian carta perancangan. Tamat kursus, diploma pendidikan, perlantikan dan sebagainya.

Juga pada tahun ini mendapat lebih banyak ilmu hasil dari tarbiyah Ilahi melalui suka dan duka yang diberi-Nya.
Selepas disaring dapatlah hikmah-Nya maka tahulah betapa manis akan perancangan-Nya.

Boleh jadi juga kerana pada kali ini berazam untuk mengutamakan tahun Hijrah yang sering di nombor duakan.

Sehinggalah pada hari ini kusedari apabila hari terakhir menulis nama dan menandatangani buku kehadiran. Itu pun setelah disebut oleh rakan sekerja.

Tersentak pula apabila orang besar di sekolah bersalaman, peluk dan memberi amanat terakhirnya. Umpama seorang ibu meninggalkan pesan sebelum pergi ke suatu tempat.

"Keep your good work," masih terngiang-ngiang sehingga sekarang.

"Sebagai orang muda, saya mohon maaf andai pernah tersilap bahasa dengan cikgu sehingga membuatkan cikgu terasa hati," pintaku.

Dia tersenyum dengan mata terpenjam sambil mengelengkan kepala.

Baru kusedar hari ini adalah kali terakhir bekerja di bawahnya. Cukup 2 tahun kami bersama. Hitungku ketika kami berbicara pagi tadi. Serta-merta sukma tersentuh.
Zai jian Tuan Gaik Wah.

Indahnya rasa ketika benar-benar mengharapkan Allah mengampunkan dari sebesar-besar sehingga sekecil-kecil dosa. Rasa berdosa yang menebalkan malu untuk mengulanginya.

Indahnya ukhuwah jika diikat dengan tali rahmat dan redho Allah. Memberi dan mendapat tempias aura kebaikan di dunia. Menjadi jiran tetangga pula di syurga.

Sabtu, 26 Disember 2009

Idola kanak-kanak


"Alah, tak logiklah cerita-cerita tu semua," juihku pada buku-buku fairytale yang tersusun di perpustakaan.

"Kenapa pula tak logik?" seorang rakan yang juga pengawas perpustakaan kehairanan.

"Semuanya happy ending sedangkan dalam dunia ini bukan semua yang dikehendaki akan dapat malah ada yang menderita sampai ke akhir hayat," seorang kanak-kanak 11 tahun berhujah.

Snow white, Cinderella, Rapunzel dan sebagainya adalah cerita dongeng yang bermula dari penderitaan. Klimaksnya adalah kebahagiaan bertemu putera raja. Automatik mendapat gelaran puteri di atas takhta dengan melambai ke arah rakyat jelata. Umpama tujuan cerita yang sama cuma diulang dengan berbeza nama, watak, jalan cerita dan latar.

Barbie watak yang sempurna dengan segala kemewahan. Hendak memikinya juga perlu ada lebih wang. Melihat set permainannya sahaja sudah rasa ia seperti makhluk bernyawa.

Watak-watak itu semuanya cantik, jelita, sopan-santun malah 100 % sempurna. Malah membuatkan kanak-kanak perempuan taksub untuk menjadi seperti watak-watak dongeng ternama itu. Parahnya apabila ibu bapa diruntun agar membeli barang jenama watak-watak itu termasuk patungnya sebagai mainan dan koleksi peribadi.

Walaupun pelajaran agama islam ada sedikit tentang sejarah islam yang memperkenalkan Siti Aminah, Siti Khadijah, Ummu Aiman dan beberapa nama lagi namun tidak meniti di bibir mereka. Entah di mana silapnya?

Sewaktu kecil aku tidak mengenali Nusaibah yang membantu Rasulullah dalam perang Uhud. Apatahlagi mengenali Rabi'atul Adawiyyah yang mempunyai keutuhan cinta kepada Allah. Cuma sedikit cerita tentang Asiyah isteri Firaun berserta Mariam ibu Nabi Isa. Kehebatan Sumayyah kukenali melalui buku kad hari raya yang dikirim oleh arwah Mak Teh yang memahami jiwa anak saudaranya ini yang suka membaca sirah.

Wanita-wanita terpilih ini diuji hebat di dunia kerana memilih islam sebagai cara hidup. Ada di antara mereka yang berakhir hidup dengan seksaan yang amat dahsyat. Walau dari segi zahir jasad tercobek dan darah melimpah namun hati mereka bahagia. Kalimah 'ahad' tidak lekang di bibir. Bibir menguntum senyum dengan mata terpejam rapat menanti lambaian syurga yang menanti di sana.

Srikandi-srikandi itu tidak memiliki takhta, istana dan pangkat di dunia. Malah sememangnya bukan itu yang dipinta.

"Cuba tengok di dunia ini ada orang miskin terus miskin sehingga akhir usia, tak kaya pun. Ada orang sakit terus sakit sampai mati, tak sembuh pun. Maksudnya tak semua akan bahagia," itu kata kanak-kanak 11 tahun yang tidak memikirkan keuntungan sebuah penulisan dan penerbitan.

Hakikatnya di sebalik itu mungkin ada agenda tersembunyi yang cuba diterapkan dalam jiwa kanak-kanak Islam. Cinta luar syar'ie dengan perilaku negatif budaya barat ditonjolkan. Terlalu mudah ia menerobos masuk pasaran dan negara Islam. Kenapa terlalu mudah sebegitu sehingga meminggirkan srikandi-srikandi Allah. Jika muslim tidak menerima dan menonjolkan, rasanya benda-benda itu tidak akan mudah menjadi popular sebegitu. Kanak-kanak pula mudah terpengaruh dengan sesuatu watak popular yang nampak hebat di pandangan mata mereka.

Jika dewasa ralit dengan AF, Mentor, Gang Starz dan Malaysian Idol. Remaja pula dengan My Starz LG. Kanak-kanak pula dengan Idola kecil. Tergila-gilakan artis segera itu sehingga menghabiskan kredit untuk sms. Di mana-mana sahaja bercerita tentang artis kegemaran yang akan menang dan kalah. Dalam fb juga anak-anak muridku kini rancak bercerita tentang artis kegemaran mereka di dalam Idola Kecil.

Ini satu lagi tanggungjawab ibu bapa, guru dan sesiapa sahaja. Memperkenalkan tokoh-tokoh Islam buat anak-anak dan murid-murid agar dapat dijadikan contoh melayari kehidupan.

"Siapa yang hendak jadi kanak-kanak yang berani seperti Saidina Ali yang mengantikan Rasulullah di tempat tidur baginda?"

"Siapa yang hendak jadi cerdik seperti Siti Aisyah yang menghafal hadis?"

Ini yang perlu kerap ditanya kelak dengan menceritakan dan bertanya dengan menukar tokoh setiap masa agar tokoh-tokoh pencinta Allah itu tidak hilang ditelan zaman yang semakin merudum nilai islam dari diri seorang muslim.

Kan baik jika Akademi al-Quran dan nasyid berterusan. Diadakan pula akademi kanak-kanak muslim menonjolkan bakat yang masih mengikut batas syariat.
******
"Mak adik nak tukar nama," kami kehairanan dengan permintaan adik bongsuku sesudah pulang dari PASTI 5 tahun lalu.
"Mak tukar nama adik Siti Aminah. Adik tak mau nama Nur Najah," kami melopong.
"Awat nak tukar nama?" mak bertanya.
"Tadi ustazah cerita nama mak Nabi Siti Aminah. Adik nak nama sama macam mak Nabi la," kami tersenyum menahan tawa agar adik tidak merajuk.
Dalam hati," alhamdulillah terkesan juga cerita ustazah itu. Semoga bukan sekadar nama tetapi peribadi juga dimiripkan kepada tokoh itu malah kepada srikandi yang lain juga."

Isnin, 21 Disember 2009

DOA..jangan berputus asa


Cuti bagi seorang guru bakal berakhir pada minggu ini. Malah pada minggu ini juga ada sebahagian guru yang sudah ke sekolah sebagai persiapan menghadapi sesi persekolahan 2010. Rutin seorang guru akan bermula semula.

"Bila sekolah buka nanti, tiada masa nak berehat dah la kita," lewat petang seorang sahabat lama berbicara.

"Masa terluang seperti ini agak sukar untuk dijumpai," sampukku.

Pastinya bagi sahabat itu yang akan menghadapi praktikum lebih sukar menemui masa senggang. Apa pun doaku mengiringi sahabat dan rakan-rakan yang menghadapi praktikum pada tahun hadapan agar cemerlang dan berjaya.

Tahun 2 al-Farabi bakal dikemudi oleh diri ini pada sesi 2010. Banyak yang perlu dipelajari untuk pertama kali menjadi guru kelas. Anak-anak keduaku yang ramai dengan pelbagai karektor itu agak sukar dikawal berbanding anak-anak sulong. Berbanding tahun 2 al-Farabi tahun lepas terlalu mudah mesra segala strategi dan pendekatan yang diterapkan. Bukan bermaksud hendak membanding-bandingkan. Namun sekadar mengenali untuk memudahkan proses pendekatan yang sesuai dan terbaik. Semoga Allah memudahkan segala urusan mengajar dan mendidik ini.

"Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang aku, ( jawablah ) yang aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, hendaklah mereka memenuhi segala perintahku, supaya mereka selalu berada dalam kebenaran." ~ surah al-Baqarah : 186 ~

Jika dua tahun lepas aku berasa keseorangan di sekolah. Aku sedikit terlupa yang Allah meletakkan maka DIA tidak akan membiarkanku terkapai sendirian. Hatta jika aku punya masalah aku tidak akan benar-benar bermohon tanpa benar-benar terhimpit. Rasa benar-benar itu kualitinya ada ketika di bumi anbiyak dahulu. Berdoa tanpa rasa putus asa. Berdoa dengan keyakinan dimakbulkan. Berdoa untuk segenap urusan dan perkara. Di mana-mana aku perlukan kualiti berdoa dan berharap itu. Semoga permulaan di Awal Muharam ini dapat Allah berikan kualiti ini pada jiwa-jiwa kita agar permohonan tidak dibuat sambil lewa. Umpama sekadar melepaskan batuk di tangga.

Indahnya dihimpit resah jika benar-benar rasa Allah yang akan membuka jalan tenangnya.
Indahnya dihimpit masalah jika benar-benar yakin Allah akan membantu
menyelesaikannya.

'Di dunia ada syurga..tuhanku bersamamu tidak ada jalan buntu'

Buku nipis yang murah ini amat menarik diuliti. Kisah kehidupan amat mudah difahami. Namun kualiti berdoa dan berharap itu yang menarik dikongsi. Masalah bukan lagi masalah pada beliau kerana pengharapan pada Allah itu dihamparkan seluas-luasnya.

Masih ada dua buah buku untuk dilangsaikan sebelum minggu hadapan. Semoga makin banyak ilmu dan pengalaman yang diperolehi. Justeru dapat direalitikan di pentas kehidupan.

Bibir tersenyum mekar apabila semua book store yang disinggah pengunjungnya seramai manusia di market dan pasaraya. Membaca bukan lagi menjadi budaya Jepun di negara ini. Semua peringkat usia meneroka buku-buku yang digemari dengan khusyuk. Ini salah satu tanda negaraku bakal berubah wajah.

Khamis, 17 Disember 2009

Salam Maal Hijrah 1431..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Hari ini ceria. Seceria 1431 Hijrah yang bakal membuka pintunya. Diharapkan rahmat
dan keberkatan Ilahi mengiringi pembukaan tahun baru Hijrah ini. Rahmat itu ditumpahkan kepada seluruh muslimin dan muslimat agar berpegang teguh pada agama-Nya. Juga buat hamba-Nya yang masih dilitupi dari nur Iman agar disuluhi hidayah. Sama-sama merasai manisnya iman dan bahagia di dunia dalam limpahan rahmat. Justeru turut sama-sama mengecapi indahnya syurga juga dengan rahmat-Nya.

Jika dapat membahagiakan orang lain maka diri sendiri turut sama merasai tempias bahagia.

Terima kasih buat mak yang mentarbiah anak ini melalui sikapnya yang suka membantu orang yang memerlukan bantuan. Jika dahulu kami adik-beradik merasa hairan emak sanggup bertungkus-lumus membanting tenaga membantu sehingga tidak mempedulikan penat dan lelah. Hari ini baru kami memahami nikmat menolong tidak kira samada dengan tenaga, idea, nasihat dan wang ringgit. Emak adalah guru yang terbaik. Bukan sekadar buat anak kandungnya namun anak orang yang kasih padanya hasil timbal balik kasih yang dicurahkan setulus hati.

Anda lebih bahagia memberi sepotong roti berbanding orang yang menutup pintu kepada para pengemis. ~DR AIDH ABDULLAH al-QARNI~

Selasa, 15 Disember 2009

1431H terlindung di sebalik Happy New Year.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


'Lagi 15 hari 2009 tamat' nukil seseorang pada pagi ini di sebuah laman sosial.

'Selamat Menyambut Awal Muharram' sambil menghadap hidangan tengahari di rumah Tok dari kejauhan mata terlihat skrin televisyen. RTM 2 yang mengira tahun Hijrah yang akan berganti 3 hari lagi.

"Bagusnya RTM 2 ini mengingatkan, nampaklah sedikit Malaysia ini adalah sebuah negara Islam," hatiku berkata.

Hakikatnya aku juga sering terlupa tarikh Hijrah apabila hendak dituliskan di papan tulis di awal sesi pengajaran dan pembelajaran. Tarikh Masihi juga yang mudah tercatat dalam minda ini. Walaupun seringkali tarikh Masihi juga diperbetulkan oleh murid-murid ketika hendak dicatatkan.

Hari hijrah bermula waktu Maghrib. Aku sedikit berdebat dengan seorang rakan lama tentang waktu afdhol untuk membaca surah al-Waqiah.

Amalan membaca surah untuk memurahkan rezeki itu diperingatkan oleh seorang guru tuisyen ketika di Mesir dahulu. Berkali-kali dia menekankan. Pastinya ketika itu sebagai pelajar agar dimurahkan rezeki memudahkan dimasukkan ilmu dan berjaya dalam peperiksaan. Afdhol membaca di awal hari iaitu Subuh kerana waktu itu adalah pembuka segala amalan dan aktiviti kehidupan selaku hamba dan manusia. Itu katanya walaupun di waktu lain tidak ada salahnya.

Rutin di asrama sekolah menengah dahulu sebagai bacaan seusai solat Subuh dan Mathurat. Komik Lanun juga ada menceritakan kelebihannya berserta beberapa surah lain sebagai amalan harian. Justeru jangan memandang serong pada komik kerana ia juga punya kebaikan.

Sekarang di mana-mana orang berbicara tentang Sukan Sea yang sedang berlangsung di Viantine, Laos. Pergi ke Pasaraya pula sudah terhias pokok Krismas dan lagu-lagu perayaan itu sejak awal November lagi. Berita pula terhias dengan isu politik yang tidak pernah aman sepanjang tahun. Kematian dan tragedi yang dihijabkan Ilahi datang berturutan. Semua perkara itu sering melitupi perkara penting lain sehingga sudah tidak nampak kepentingannya.

"Kenapa meriah sangat Krismas tahun ni?" Kak Ngah hairan dan begitu juga aku.

Apabila terlalu diwar-warkan maka itulah yang mudah lekat di minda dan hati. Apabila sesuatu dikesampingkan maka itulah mudah dilupai. Itu adalah resam manusia. Jika dewasa mudah lupa pada hari kebesaran dan perayaan Islam. Apatahlagi kanak-kanak. Mereka hanya mengingati yang nampak dan didengari secara jelas dan nyata sahaja.

Di mana-mana Islam dikesampingkan. Di negara bukan Islam sudah pasti ditentang secara nyata. Di negara Islam sendiri ditutupi secara senyap. Antara nampak dan tidak cara hidup Islam makin terhakis dek adat dan kebiasaan yang berakar umbi menjadi rutin yang susah hendak dicungkil dari mencengkam diri. Ditambah lagi adat dan budaya barat yang menjadi dinding utuh yang sukar dirobohkan tanpa kerjasama semua orang muslim. Jika ada yang menyatakan itu salah maka akan ada yang melenting.

Aku perlu memulakan dengan diriku. Mengingati tarikh, hari, bulan, tahun dan perayaan Islam. Walaupun diasak dengan kesibukan kerja dan hidup. Rasanya semua itu perlu diingati dan meraikannya. Sebagaimana mengingati waktu masuk solat dan segera menunaikannya walaupun masa sentiasa mencemburui untuk memberi lebih ruangnya. Itu bukan kewajipan sepertimana solat namun tetap perlu diingati.

Jumaat, 11 Disember 2009

Syariatullah + sunnatullah = Bahagia & gembira


Dua tahun lalu aku benar-benar ingin mengenali dunia kanak-kanak. Mengenali, memahami dunia realiti mereka. Malah sehingga cuba menerobos dunia imaginasi yang amat sinonim dengan kehidupan mereka. Walaupun 21 tahun lalu aku adalah seorang kanak-kanak namun sukar juga sebenarnya hendak mengimbau kembali dan meletakkan kembali diri ini dalam dunia itu setelah kematangan berjalan seiring usia. Fokus untuk memasuki alam mereka adalah kerana profesionku yang utama. Bukan sekadar mengajar mengikut sukatan yang diberi. Namun merasai perasaan seorang kanak-kanak dengan meletakkan diri di tempat mereka yang memudahkan proses mengenali psikologi dan sosiologi mereka. Justeru sasaran mudah didekati. Kaedah dikenali untuk diadaptasi. Maka mudahlah jarum-jarum ilmu disuntik setelah disuntik dengan ubat pelali kasih-sayang.

"Berkawan dengan budak-budak," seorang rakan sekerja pernah berkata kepadaku.

Dunia kanak-kanak menenangkan dan meriangkan. Hanya berkisar kepada minat, hobi dan mengimpikan untuk memperolehi sesuatu yang dipandang indah. Menceroboh ke alam itu sekali-sekala dapat menghilangkan sebentar kemelut alam dewasa yang tidak pernah putus dengan pancaroba.

Hampir sebulan alam itu ditinggalkan sejak cuti ini. Merayau-rayau di dunia maya. Mencari kenalan untuk bertukar-tukar pandangan. Disamping berdebat ringan demi memperolehi ilmu. Dunia maya juga seperti dunia realiti kerana ia masih dikuasai oleh manusia yang punya akal, emosi dan nafsu. Maka pelbagai masalah muncul dan diketahui hasil dari cetusan akal, emosi dan nafsu itu sendiri.

Lelaki yang lebih dengan pandangan logiknya kerana dikurniakan 9 akal. Wanita pula lebih dengan emosinya kerana mempunyai 9 nafsu. Adakala kedua-dua jantina ini bertelagah kerana kelebihan dan kekurangan yang masing-masing miliki ini. Lelaki rimas dengan wanita yang hanya beremosi. Manakala wanita pula sedih kerana lelaki yang seolah-olah tidak menghiraukan.

Terlalu banyak keluhan akibat perbezaan fitrah ini. Perbalahan yang akan berterusan sehingga kiamat jika masing-masing tidak saling memahami. Jika berbalah antara pasangan kekasih itu boleh di anak tirikan kerana impaknya hanya membabitkan dua hati, perasaan dan emosi. Namun jika bergaduh antara suami dan isteri itu yang bakal membawa kesan kepada ummah, agama, masyarakat dan negara.

Syariatullah sudah dipelihara namun masih bertelagah. Pastinya sunnatullah yang tidak dipupuk maka cinta yang ditanam awalnya layu dan mati akibat tidak disirami, dibajai dan dipelihara saban masa.

Cinta itu adalah anugerah. Ia juga amanah yang perlu dilaksanakan. Tidak menunaikan amanah maka ada tanggungjawab yang masih belum langsai. Allah akan persoalkan di hari perhitungan kelak. Jika hendak bercakap tentang amanah dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya dalam hidup tidak cukup ruang ini hendak menukilkannya. Semoga kita semua termasuk dalam golongan hamba-Nya yang tidak berhutang amanah. Ameen ya Rabb.

Pagi Jumaat yang ceria dan indah. Tanpa sebab terasa gembira. Hati gembira anugerah Ilahi di pagi Jumaat yang mulia. Bersyukurlah di atas nikmat bahagia dan gembira ini. Esok diharap bahagia dan gembira ini kembali mencorak latar hidup semua. Insyallah.



Khamis, 10 Disember 2009

La Taqaf wa la Tahzan


'Aduh..tak sukanya lagu jiwang-jiwang karat ni," keluh seorang sahabat.

"Sama la kita, membunuh motivasi dan meruntuhkan semangat sahaja," balasku.

Secara tidak sengaja lagu itu masuk ke corong telinga ketika melintas pasaraya di pekan Jitra.

Lagu sedih, drama sedih, filem sedih, novel sedih malah raya pun menjadi hari yang sedih. Realiti di tanahairku sejak dahulu. Kesedihan yang datang dari pelbagai sumber. Justeru mencetuskan kesedihan di jiwa yang sedang dilanda dugaan yang mendatang.

'La taqaf wa la tahzan..innallah ha ma'ana.'
Jangan takut jangan sedih sesungguhnya Allah bersama-sama kita.

Bersedih kerana Allah tidak mengapa. Bersedih kerana manusia dan dunia itu yang sering menghuni hati manusia zaman kini. Aturan hidup mula pincang kerana kesedihan yang ditokok tambah menjadi gunung menambah derita.

Ketika sedih Allah ada.
Ketika menangis Allah ada.
Ketika menderita Allah ada.
Ketika diduga Allah ada.
Ketika tiada sesiapa di sisi kita Allah tetap ada.

Maka ketika menghadapi semua itu ingatlah pada DIA yang senantiasa ada di sisi kita. Hamburlah airmata kepada-Nya. Diiringi ucapan kekecewaan. Ditambah doa mengharapkan bantuan-Nya. DIA sentiasa melihat. DIA sentiasa mendengar. DIA akan memakbulkan samada segera atau lambat. Jika tidak dimakbulkan itu bermakna DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Sabar, redha dan pasrah itu pula seterusnya yang melayakkan kita menjadi kekasih sejati-Nya. Tersenarai pula di dalam syurga-Nya kelak. Insyallah.

'Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang.' ( Surah al-Ra'd : 28 )

'Apakah ada orang lain yang mengabulkan permohonan orang yang ditimpa kesusahan ketika berdoa, menghilangkan keburukan dan menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Adakah tuhan lain selain Allah? Sedikit sekali yang beringat." ( Surah al-Naml : 62 )

Di bawah bumbung langit yang sama. Ada lagi manusia di luar sana yang lebih menderita, terseksa dan diuji hebat dari kita. Namun mereka mampu menghabiskan sisa usia dengan bahagia. Hanya kerana satu jalan pilihan mereka. Jalan Allah yang terdapat dalam Al-Quran dan sunnah tinggalan Rasul junjungan mulia. Dibaca, ditadabbur, difaham makna dan diamalkan tanpa banyak soalnya.

Jauhkanlah kesedihan itu dengan kalimah LAILA HA ILLALLAH kerana banyak lagi amanah yang menanti untuk ditunaikan selagimana darah masih mengalir dalam salurannya.

Isnin, 7 Disember 2009

Srikandi pilihan syurga..


Asiah diuji menderita dalam gahnya istana Firaun yang punya segala kemewahan. Kesenangan ditepis kerana mengharapkan rumah di dalam syurga.

Siti Khadijah rupawan dan hartawan yang melangkah untuk turut sama berjuang bersama Rasulullah suami yang tercinta. Tulang belakang kekuatan baginda.

Mariam wanita suci tabah ditohmah melahirkan Isa tanpa bapa. Tanpa keluh dan kesah semua itu diterima dengan redha.

Khansa seorang ibu yang tabah menyerahkan empat anaknya di medan perang. Kesemuanya gugur syahid. Dia berkata," segala puji bagi Allah yang telah memuliakan aku menerusi kesyahidan anak-anakku di jalan-Nya."

Srikandi-srikandi di atas adalah sebahagian contoh wanita teladan ummah. Mereka diuji kerana mereka sememangnya tahan dengan ujian. Mereka tahan dengan ujian kerana harapan mereka hanya bersandar pada Allah. Lidah yang senantiasa basah menyebut nama Allah. Seiring hati yang tidak pernah padam mengiyakan dan merindukan tuhan yang Esa.

Wanita kuat bukan yang mampu mengangkat senjata tetapi adalah wanita yang utuh menahan 9 emosi yang tertanam dalam diri dari segala dugaan yang melanda. Juga dari segala material dunia saban detik yang menggoda.

Bercita-cita untuk menjadi wanita penghuni syurga memerlukan perjuangan melawan emosi yang tidak sedikit cabarannya. Juga dugaan dunia yang tidak lekang datangnya.

'Boleh ke lumpur, boleh ke dapur, boleh bertempur sebelum ke kubur.'

Suka dengan kata-kata A.Samad Said ini. Ini antara kata-kata azimat memacu diri agar hidup terus maju meraih kejayaan. Bukan sekadar di dunia. Di akhirat juga pasti.

Sabtu, 5 Disember 2009

Kembali kepada Allah


Udara pagi cukup segar. Cuaca yang indah kerana matahari masih tidak garang. Angin sepoi-sepoi bahasa dengan pantas mengeringkan keringat yang keluar setelah semua otot digerakkan. Cuti yang memerlukan juga aktiviti seperti jogging agar badan tidak malas apabila kerja bermula kelak.

"Adik cuba tengok, di mana-mana taman rekreasi mesti bangsa Cina sahaja yang ramai exercise," adik bongsu dan adik sepupu tersenyum.

"Tengok Cina tua tu, dah bongkok sabut pun masih rajin melakukan tai-chi," aku merujuk kepada seorang uncle yang datang berseorangan.

"Orang tua melayu lepas Subuh tidur semula," pandai pula adikku mengata.

"Jangan buruk sangka, orang tua melayu awal-awal pagi sudah ke masjid dan surau untuk menunaikan solat Subuh berjemaah kemudian mendengar tazkirah sampai waktu Dhuha," dua kanak-kanak itu berhenti berlari kerana keletihan.

"Cuba kita tengok hikmah Allah suruh bangun di waktu Subuh untuk memulakan ibadat dan kerja selepas itu."

"Apa dia Kak Long?' perbualan sambil berjalan itu makin rancak.

"Waktu Subuh dan pagi yang menyegarkan maka suasana sebegini akal dan emosi manusia juga masih segar..memulakan sesuatu tanpa akal yang berselirat masalah dan emosi yang tidak stabil lebih menjadikan ibadat itu lebih khusyuk dan kerja juga lebih konsisten," panjang lebar kucuba terangkan.

Memandang pokok-pokok yang melambai disapa angin. Juga rumput yang rapat ke bumi menjadikan mata cerah. Namun pemandangan itu dicacatkan apabila terdapat air-air minuman yang tidak habis diminum dibiarkan bergayutan di beberapa batang pokok. Terdapat juga longgokan sampah yang ditinggalkan.

"Ohh..rakyat Malaysia bilalah agaknya sikap dan mentaliti kita semua akan berubah?" hatiku sering menuturkan kata-kata ini apabila melihat sampah yang tidak diuruskan dengan baik.

******

"Aih..tiap-tiap hari sembur bukan setakat nyamuk mati..orang pun boleh pengsan," kata Kak Ngah merujuk kepada Kementerian Kesihatan yang datang menyembur asap di kawasan perumahan kerana terdapat 11 kes denggi sejak sebulan yang lalu.

Longkang tersumbat, kawasan belakang rumah yang terdapat longgokan barangan terpakai yang tidak dibuang adalah penyebab walaupun tempat pembiakan nyamuk Aedes itu sendiri masih belum ditemui. Dua hari sekali pegawai dari Kementerian Kesihatan akan datang melakukan siasatan mencari tempat pembiakan.

"Kuasa Allah mendatangkan bala hanya melalui seekor nyamuk yang lebih kecil dari manusia yang berakal dan mampu membina tamadun teknologi yang gah seantero dunia," dalam kelam asap yang berbau minyak aku terfikir.

Apa keadaan sekalipun kembali kepada Allah. Sehebat mana pun kita sebagai manusia yang bijak, berilmu, berpangkat dan berjawatan tinggi. Semua yang ada datang dari-Nya. Maka akan kembali jua kepada-Nya. Biarlah datang dan kembali semua itu dengan sabar, redho dan pasrahnya kita sebagai hamba.

Jumaat, 27 November 2009

Berkorbanlah kerana Allah taala


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Terlalu banyak korban dalam hidup ini.
Pengorbanan orang lain terhadap kita.
Juga pengorbanan kita terhadap yang lain.

Nabi junjungan mulia berkorban kesenangan, harta dan nyawa demi ummah merasai manisnya ISLAM dan IMAN sehingga akhir zaman.
Namun umat sering melupai baginda. Apatahlagi mengamalkan sunnahnya.

Seorang ibu berkorban nyawa dan keselesaan demi anak-anak tercinta yang dikendong, dilahir dan dibesarkan.
Walaupun belum ramai anak itu mampu menyenangkan dan menjaga si ibu terutama di usia merangkak penghujung senja.

Seorang bapa berkorban masa membanting keringat dan idea demi membesar anak-anak dalam tanggungan agar menjadi anak berguna.
Namun anak-anak sering mengenepikan si bapa dalam kamus hidup kerana sikap kurang peka dan prihatin si bapa tidak seperti ibu.

Seorang guru berkorban tenaga mendidik anak bangsa dengan pelbagai wadah agar ilmu dapat sampai kepada semua.
Namun ada murid yang tidak endah dan ke sekolah hanya sekadar rutin sebagai manusia tanpa ada maknanya.

Seorang suami berkorban amarah untuk isteri yang dinikahinya agar rumahtangga terus bahagia hingga akhir usia.
Namun ada isteri yang tidak menghargai lantas sikap negatif si suami sahaja yang nampak di pandangan mata.

Seorang isteri berkorban 24 jam mengurus rumahtangga agar suami terus berada di sisinya menyemai setia dan bahagia.
Namun ada suami yang jemu setelah rupa dan badan si isteri tidak remaja seperti dahulu kala.

Pergorbanan dibalas pengorbanan. Bukanlah bermaksud berkorban demi mengharapkan sebuah balasan. Proses timbal balik itu berlaku untuk melengkapkan aturan kehidupan yang bahagia. Bahagia di dunia yang diharap supaya hidup sementara ini punya ruang yang banyak beramal sebagai bekalan akhirat sana. Bekalan pahala yang dibawa demi mencapai makam yang mulia di sisi Allah taala.

Berkorbanlah niat kerana Allah taala.
Agar keikhlasan terbit dari hati yang redho, sabar dan tabah.
Agar jangka masa pengorbanan itu tidak hanya sia-sia dengan keluhan, rungutan dan ketidakpuasan.

Khamis, 26 November 2009

Manisnya mencari HIKMAH..


Menariknya apabila dapat bertemu sebuah jawapan yang selama ini menjadikan diri ini penasaran. Juga tidak keruan. Kali ke berapa tidak pasti tarbiah Ilahi pada sunnah kehidupan. Mengkaji dan mencari menuntut kesabaran yang tidak sedikit. Seperti selalu ia terasa manisnya apabila jawapan sudah diketemukan.

Hikmah itu boleh dicari dan akan bertemu jua. Tidak di dunia di akhirat pasti. Itu kataku memujuk seorang rakan yang kesepian tanpa teman kehidupan. Rasa seorang wanita yang mempunyai 9 emosi dan 1 logik. Teoriku selama ini nampaknya hampir menyamai teori penulis yang sedang kulangsaikan bukunya kini.

Apabila bertemu jawapan hati lebih riang. Tidak akan mudah melatah mendepani keadaan. Tarbiah yang menarik diuliti maknanya. Pengaturan Ilahi yang amat sempurnanya. Sebagai hamba kita perlu berusaha, berdoa dan tawakal. DIA memberi seiring dengan kehendak kita. Juga seberapa peratus usaha, doa dan mengharapkan-Nya di akhir itu semua.

"Bagaimana nak tahu bahawa sesuatu itu adalah milik kita?" ragu-ragu sahabat itu bertanya.

"Jika kita dekat dengan DIA pasti akan beroleh jawapannya," sahabat itu tersenyum mengakhiri perbualan.

Orang yang kurang baik adalah yang senantiasa merasakan dirinya baik. Sering menasihati orang lain kerana merasakan orang itu kurang baik berbanding dirinya.
Sedangkan orang baik adalah yang sering nampak kekurangan dan kelemahan dirinya. Di samping memperbetulkan dan memperbaiki dirinya dan orang lain sepanjang detik untuk sama-sama melangkah menuju cinta dan redha Allah.
Buatlah sesuatu kerana Allah.
Mendapatnya disyukuri.
Kehilangannya diredhoi.

Ahad, 22 November 2009

Di tuduh dan menuduh..


"Ustazah, saya tau sapa yang ambil duit tu," murid itu berbisik.

"Siapa?" tanyaku ringkas.

"Alah .......," katanya yakin.

"Mana kamu tau?" kuuji tahap pengetahuannya terhadap perkara itu.

"Taulah ustazah dia masuk dalam kelas ni tadi," nampak dia sungguh yakin pada jawapan itu.

"Kamu dah siasat..berdosa tau menuduh tanpa usul periksa," murid itu tersengih sipu.

Sepanjang hidup kita sering dituduh dan menuduh. Ia samada dengan bukti atau tanpa bukti. Menjadi yang tertuduh atas kesalahan yang tidak dilakukan terlalu perit rasanya. Terpaksa ditelan walaupun pahit. Terpana seumpama terputus nyawa buat seketika. Pada yang utuh iman perlukan ruang bersama Ilahi buat membina kembali semangat diri. Pada yang masih goyah iman akan mencari destinasi bahagia sementara bagi melepaskan tekanan tuduhan.

Itulah ujian yang didatangkan Ilahi dalam bentuk pertuduhan sesama hamba. Hikmah-Nya pasti ada. Perlu direnung, diamati dan dikaji. Bertafakur seketika jika ia hasil dari kesilapan walau hanya sekelumit.

Sebagai manusia kita juga pernah tersasar menuduh secara penasaran. Bila tahu keadaan sebenar rasa bersalah menguasai diri. Memohon maaf perlu bagi merapat kembali ukhuwah. Usah dipertahankan ego kerana rasa malu atas tuduhan melulu yang dilakukan.

Sepertimana kita pernah menuduh. Kita juga akan dituduh. Seumpama roda ke atas dan ke bawah bergerak pada putarannya. Maka di situ wujudnya keadilan agar sama-sama merasa keperitan sebagai tertuduh. Lebih baik dibalas di dunia dengan kesedaran bahawa itu adalah balasan. Taubat agar ia tidak lagi dilakukan.

Namun sebagai makhluk yang tidak sempurna adakala tuduhan itu memakan masa bagi menyembuhkan luka sedihnya. Mencari damai yang hilang secara bersendiri dari wajah-wajah penuduh walaupun mereka dimaafkan. Mudahkanlah hati memaafkan sesiapa sahaja kerana di situlah sebahagiannya terletak rasa bahagia.

Manusia sering melihat, menilai dan mengata. Namun, tidak cuba mengamati, menganalisis dan menegur secara hikmah.

Itulah kita manusia yang jauh dari kesempurnaan.

Jumaat, 20 November 2009

Diari persekolahan 2009 ditutup

Sedat tak sedar sudah 2 tahun mengajar di SKBS. Rasa seperti minggu lepas melaporkan diri. Berkenalan dengan guru-guru, staf dan murid-murid di sini. Jika dahulu masih saling mengenali. Kini sudah mesra. Tidak cukup di dunia nyata. Bertemu pula di ruang maya. Terlalu hebat dan indahnya ukhuwah itu jika berpaut kerana Allah.

Kanvas hidup tidak akan cantik tanpa coretan warna. Warna-warni itulah yang membentuk satu lukisan yang cantik dipandang dan indah dipegang. Warna suram yang mewakili cabaran dan masalah. Warna ceria yang mewakili gembira dan bahagia. Itulah adat kehidupan tidak akan sempurna tanpa dugaan dan mehnah. Jika ia ditelan dengan rasa manis maka manislah ia. Jika ia ditelan dengan rasa pahit maka pahitlah ia. Semuanya terletak pada hati dan akal yang dibimbing oleh IMAN. Hidup yang diuji itulah tarbiah. Terkandung hikmah untuk mengkayakan kehidupan dengan pengalaman. Pedoman diri di masa hadapan. Tunjuk ajar buat mereka yang masih mentah.


Segala kerja tahun ini langsai. Tahun depan perlu mengemaskinikan segalanya agar lebih sempurna. Tutup buku lama. Dibuka buku baru untuk seterusnya.

Dalam kegembiraan menyambut cuti terdetik sedikit sedih meninggalkan sesi persekolahan 2009. Entah sedih kerana memorinya atau perpisahan dengan murid tahun 6 yang sekali lagi mencatatkan rekod 6 orang mendapat 5A dan 5 orang 4A dalam UPSR tahun ini.

Hidup perlu diteruskan. Memori itu hanya sekali-sekala sahaja direnung kembali bagi menyingkap kenangan diri. Masa hadapan harus dijejaki dengan iltizam dan semangat bagi meningkatkan kualiti IMAN, diri dan hidup.

Selamat bercuti buat semua guru dan murid 1 Malaysia.

Selasa, 17 November 2009

Syurga dan neraka


"Jangan cerita dah ustazah, takut la," Erfan meminta setelah mendengar cerita tentang neraka.

Rasa bersalah tiba-tiba menerpa. Sekaligus teringat pada saranan rakan kursus tentang ada baiknya menceritakan tentang indahnya syurga berbanding seksa neraka kepada anak-anak kecil. Memang saranan itu kupersetujui. Kugenggam sebagai panduan. Namun, penceritaan tentang hari perhitungan itu termasuk sedikit tentang neraka. Sedikit sahaja bagiku mungkin tidak mengapa. Rupa-rupanya ada daripada anak-anak itu yang sudah gentar hatinya apabila mendengar.

Subhanallah. Dari satu segi kupanjatkan syukur kerana anak-anak ini sudah takut pada seksaan Allah kepada hamba-hambaNya yang mungkar. Satu segi pula risau jika menimbulkan kesan psikologi atau sebagainya seperti yang pernah diwar-warkan suatu ketika dahulu.

Aku pernah kecil seperti anak-anak ini. Waktu kecil sebagai seorang budak perempuan pendiam. Sukar berkata-kata namun banyak berfikir termasuk bab ketuhanan dan ciptaan Allah Taala hingga melangkaui luar semesta. Juga sanggup mengumpul wang belanja persekolahan untuk membeli buku agama. Buku pertama yang dibeli bertajuk 'Jalan menuju syorga.' Pening juga membaca buku bahasa Indonesia itu namun kerana hendak tahu tentang nikmatnya syurga, berhempas-pulas juga secara langkau.

Pernah sewaktu hendak tidur kubayangkan umpama berada di liang lahad. Benar-benar merasainya. Gelap, takut dan cemas bercampur gaul. Akhirnya terlena begitu sahaja. Kesannya tidak ada trauma dan sebagainya. Malah getar di hati terhadap Allah semakin hebat. Getar itulah yang memandu agar mengatur langkah perjalanan hidup seperti dikehendaki-Nya. Jika terpesong segera mengingati-Nya.

Dia memberi kerana hamba-Nya mencari dan semakin hendak mengetahui. Bukan kerana hamba yang mencari namun kerana rahmat-Nya yang tidak berpenghujung.

Kuubah cerita kepada nikmat syurga. Mata anak-anak itu kembali bersinar. Wajah kembali ceria. Masing-masing teruja. Semua mengangkat tangan untuk menjadi bakal penghuni syurga.

Seperti aku kecil dahulu yang tidak sabar untuk meneguk air dari sungai susu,madu dan setiap sungai yang mengalir di dalam syurga. Bersuka ria dengan tetangga tanpa masalah dan tekanan hidup. Namun minda segera berfikir jika hendak memiliki keindahan syurga, di dunia pasti kena kuat menempuh halangan berduri di dunia. Liku-likunya tidak mudah. Tersadung, terjatuh, terluka dan bernanah itu pasti dirasa.

"Hendak memiliki syurga dan mengelak neraka perlu ingat kepada Allah kerana tiada tuhan selain DIA dan melawan syaitan kerana ia musuh manusia yang menganggu sejak keluar dari perut ibu sehingga ke hujung nyawa," konklusi yang membawa anak-anak itu khusyuk tanpa mencelah.

Seperti biasa masing-masing bersemangat hendak melawan musuh Allah itu. Sekaligus tidak mahu tersenarai sebagai ahli kelab Iblis syaitan sampai bila-bila.

Sepertimana mudah bercerita pada anak-anak kecil begitu juga mudahnya hidup anak-anak itu. Hanya berkisar pada jahat dan baik. Allah dan syaitan.

Sepertimana sukar bercerita pada dewasa begitu juga sukarnya hidup dewasa yang kuat dihasut dan dikawal. Bukan sekadar syaitan namun nafsu mazmumah juga meruntun hebat. Cabang dan likunya terlalu bersimpang-siur. Dimudahkan hanya kembali pada Yang SATU. Mulakan amalan dengan Bismillah. Akhirinya dengan Alhamdulillah.

Isnin, 16 November 2009

Corakkanlah kain putih itu dengan lakaran IMAN..


"Ustazah, macam mana cakap Bahasa Arab nak minta pi tandas," Najiha datang duduk berdekatan ketika majlis persaraan Guru Besar berlangsung.

Gembira pula apabila anak muridku ini bertanyakan ayat dalam bahasa arab. Walaupun sekadar mahu mengambil hati. Itu adalah satu permulaan untuk dia menyukai bahasa al-Quran itu.

Sekarang dia sering mencari peluang menghampiriku sejak aku bertanya tentang kisah lalunya beberapa bulan lalu. Mungkin rasa ada yang mengambil berat. Mungkin juga dia rasa ada yang yang sanggup menjadi sahabat bagi dia menceritakan masalah dan kisah.

"Budak tu boleh saja kalau dibentuk lagi tu," guru sains menyatakan pandangan tentang Najiha yang baru di sekolah ini namun sering menimbulkan kontroversi.

"Saya pon rasa macam tu lah kak, budak tu perlukan perhatian," berdasarkan status anak itu yang kematian ibu sejak dari kecil.

Sejak itu dia dipelihara ibu saudara yang tinggal di Johor. Juga ada kisah-kisah yang tidak dapat dipastikan benarnya menurut cerita dari dia ketika tinggal bersama ibu saudaranya itu. Kesan itulah yang membuatkan dia menimbulkan kontroversi bersama murid lelaki khususnya. Juga bersama murid perempuan yang menyebabkan hampir keseluruhan murid-murid lain memandang negatif padanya. Itu hanya kesimpulan rambang kami selaku guru.

Kini sekolah kian sunyi dari kontroversi ciptaannya. Sekali-sekala ada murid lelaki seorang dua yang menganggu. Sikapnya sendiri menyebabkan dia sering diganggu. Jika aku ada berdekatan pasti kedua-dua pihak akan ditegur. Jika tidak ada angin masakan pokok akan bergoyang. Pening juga dibuatnya dengan seorang murid ini pada permulaannya.

Setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali kusta dan mati.
Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya yang perlu dicari titik hujung pangkalnya yang sama agar kembali bertemu.

Aku masih cuba untuk merapatinya. Membimbing sedaya mungkin agar sikapnya berubah. Sekaligus masa depannya tidak dikaburi dengan titik hitam berpunca dari sikapnya sendiri. Buat anak-anak SKBS yang lain perlu ditegur agar tidak mudah memandang serong pada seseorang atau sekadar ikutan untuk membenci seseorang. Semua itu perlu dibendung dari awal agar virus negatif itu tidak terus membesar seiring tumbesaran mereka.

**********
"Suami saya tak mau ajar anak saya masa kecil ni..dia kata tak boleh ajar budak kecil," masa rehat kursus mencuri peluang bersembang bersama rakan yang hanya sekali-sekala bertemu.

"Ermm..memang la sebab masa kecil ni lah susahnya nak mendidik dan membentuk untuk menjadi seorang manusia," aku suka pada jawapan yang keluar dari mulut dari sahabat lain yang turut mendengar.

"Betui noh, sapa la yang nak mengambil risiko pada yang susah," sesungguhnya menjadi guru sekolah rendah memang mencabar sebermula dari mengenal A,B,C, dan 1,,2,3. Itu yang menerpa di minda ketika berbicara waktu itu.

Tidak ada perkara mudah di titian hidup kerana penciptaan manusia adalah untuk melalui gelombang-gelombang itu sebagai kayu pengukur keimanan demi untuk syurga atau neraka sebagai destinasi terakhir kelak.



Ahad, 15 November 2009

Semangat diri


Sedar tak sedar blog permatasahara ini sudah menjangkau setahun lebih usianya. Sudah banyak yang tercoret di sini dalam kekalutan kursus yang kini sudah selesai. Juga rutin kerja yang tidak pernah usai.

"Uih kalut-kalut assignment sempat lagi update blog noh," seorang rakan sekursus berkata.

Rasa ada sesuatu yang kurang jika blog dibiarkan lama usang. Malah jika dapat menulis sesuatu itu adalah satu kepuasan. Justeru jika dihimpit tekanan. Diasak masalah juga akan tenteram jika dapat menulis di sini.

Biarlah tidak ada sesiapa yang membacanya kerana diri ini juga gemar menyelak kembali entri-entri lama untuk dibaca semula. Membanding bezakan corak penulisan dan gaya bahasa dulu dan kini. Itu adalah cara untuk memperbaikinya. Juga mengimbau sejarah lama yang ada tercoret di sini sebagai bahan untuk tersenyum dan ketawa. Ketuhanan, kemanusiaan, jiwa dan semangat adakala ditulis hasil dari pengalaman-pengalaman yang dikutip dari diri kerdil ini.

Jika ada yang memandang blog adalah medium sipi. Bagiku di sini punya roh tersendiri. Kekuatan, jiwa dan semangat juga dapat bangkit dari sini. Terus terang dikatakan aku dapat membentuk jiwa, hati dan diri. Di sini juga ada pembakar motivasi dalaman untuk terus bangkit dari kegagalan, kesedihan dan kekecewaan. Terima kasih ya Tuhan kerana beri aku ruang menjadi penukil di sini. Semuanya dengan izin Dia.

Menariknya lagi apabila aku menjadi lebih menghargai manusia. Jika dia misteri makin ingin kukenalinya. Jika dia dikenali ramai dengan sikap negatifnya kugiat cari positifnya. Terlalu indah rasanya berbaik sangka dan memaafkan mereka.

Jika digambarkan keindahan maka akan merasai kebahagiaan.
Ia sudah menyerap masuk sedikit demi sedikit.
Dalam masa yang sama menerima sesuatu lain dari kehendak diri dengan redho dan tabah.
Allah berkuasa atas segalanya maka CINTA-NYA adalah yang teratas mengawal segala cinta yang di bawah.

Jumaat, 13 November 2009

Usah dihalalkan yang haram.


Cuaca mendung, malap dan hujan adalah alasan betah untuk tinggal di dalam rumah sahaja.
Maka dapat menghabiskan 12 bahagian filem Ketika Cinta Bertasbih di youtube. Sambil membandingkannya dengan filem Ayat-ayat Cinta bersama rakan-rakan di facebook.
Hampir memenuhi kepuasan apabila filem itu tidak banyak bezanya dengan novel.
Patutlah rata-rata penonton memujinya.

Dikagumi bukanlah sekadar nama gahnya yang mendapat kutipan tinggi. Namun nilai yang dipersembahkan walau sekecil-kecilnya. Bukan sekadar ditontoni. Namun memperhalusinya dengan mata hati agar dapat diterapkan dalam hidup sendiri.

"Mengutamakan orang lain dalam mendekatkan diri kepada Allah dan hal ibadah hukumnya makruh, kalau mengutamakan orang lain untuk selain ibadah itu sangat dianjurkan." dialog Mas Azam yang lekat di hati ini. Menasihati ahli baitnya Fadhil kerana melepaskan cinta terhadap Tiara kepada rakan sendiri.

Juga terdapat beberapa lagi dialog dan babak yang amat berkesan dijadikan pedoman. Juga ilmu yang diperolehi walau hanya sekadar menjadi penonton.

Kredit buat Kang Abik kerana mampu berdakwah di bidang penulisan dan perfileman. Tarikan cinta tetap menjadi modal buat remaja terutamanya. Namun ia bukanlah cinta realiti kini yang banyak unsur haram dari halalnya. Walaupun realiti kini namun ia tidak sepatutnya ditulis dan dibukukan. Lalu dibaca oleh anak gadis yang baru berputik cinta di hati. Maka penulisan itu telah menyumbang sedikit modal atas kepincangan akhlak masyarakat hari ini.

Semoga di kolej aku pernah membaca novel karangan seorang penulis novel cinta yang agak terkenal pada ketika itu. Ia adalah sekadar rasa ingin tahu apabila melihat seorang sahabat yang tekun dengannya sehingga mengorbankan waktu tidur. Hasilnya, bagiku adalah negatif kerana cara pasangan itu dinukilkan persis cara dan kelaziman orang barat sepertimana dalam filem dan drama mereka.

Cinta sebenar adalah cinta yang berdiri atas realiti akal yang waras. Juga IMAN yang tuntas. Pastinya perlukan garis panduan dari pencipta.
Bukannya cinta yang hanya sekadar terbina dari paksi mimpi, angan-angan dan khayalan yang dipenuhi nafsu tidak bertepi.

"Haa..baca novel cinta," kusergah beberapa orang murid perempuan tahun 6 yang khusyuk dengan novel di tangan.

"Hehe ustazah..saya memang minat novel cinta pun," cepat sungguh minatnya pada bab-bab begini.

"Amboi..ni siap cerita hal rumahtangga lagi ni," buku ditangannya kuambil dan kubelek.

Beberapa murid perempuan lain tertawa.

"Baca boleh tapi kena pandai ambil yang jernih dan buang yang keruh..yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram," kunasihati murid-murid itu sebelum menuju ke tahun 1 al-Razi.

Khamis, 12 November 2009

Renung-renungkan..


Terlanjur makan tengaharai di Kulim Golf Resort sempena persaraan Puan Guru Besar, aku
mengikut dua orang rakan sekerja ke rumah mereka yang masih belum diduduki. Justeru dapatlah aku mematangkan diri dengan selok-belok jalan daerah itu. Ia tidaklah sesukar mana. Malah masuk simpang dan lorong mana pun akan bertemu juga di tempat yang sama. Mudahnya sepertimana ayat orang Kedah ' pi mai pi mai tang tu.'

"Alah kak, Kulim ni senang, masuk tang mana pon kot tu juga," teringat kata-kata seorang rakan sekelas ketika kursus di IPDA.

Hari ini sekali lagi memasuki simpang-simpang itu ketika mengikut guru tahun 6 untuk mengambil satay sempena jamuan perpisahan tahun 6. 'Tak kenal maka tak cinta.' Sudah kenal bertambah sayang. Mungkin itu yang dapat kukatakan pada perasaan ini. Nampaknya aku akan hilang sedikit rasa gentar apabila kena hadiri kursus atau taklimat sekitar daerah itu kelak. Jangka masa panjang yang mengukuhkan manusia untuk mengenali sesuatu.

Sekali lagi tarbiah Allah yang diberi melalui kesukaran dan kepahitan yang dirasai manisnya seusai segala macam rasa itu ditempuh. Syukur ke hadrat Ilahi dipanjatkan.

Tidak layak menilai seseorang tanpa benar-benar mengenalinya. Jangka masa pendek perkenalan adalah ruang memahami sikap dan sifatnya. Justeru setelah kenal perlu berkomunikasi mengikut kesesuaian dengan dirinya. Ia bagi mengekalkan perhubungan tanpa tercuit terasa hati dan sebagainya.

Manusia dilahirkan berbeza dari segi fizikal dan sikapnya. Ia adalah keseimbangan bagi sebuah perhubungan yang membentuk komuniti di alam ini. Namun tidak semua yang bersyukur dan rasa manisnya akan perbezaan ini. Kini perbezaan inilah yang mewujudkan pertelingkahan dan pergaduhan sehingga mendatangkan keretakan ukhuwah berpanjangan.

Segala yang dicipta itu ada kebaikan dan hikmah-Nya.
Renung-renungkanlah dan carilah hikmah itu.
Maka akan terasa indahnya segala yang dicipta itu.

Rabu, 11 November 2009

Heart


"Bukan senangkan kak kita nak mendidik hati," seorang rakan sering mengungkapkan kata-kata itu.

Ikut hati mati
Ikut rasa binasa.

'Dialah ( Allah ) yang mengetahui ( pandangan ) mata khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.'
( Surah al-Ghafir: 19 )

'Sesungguhnya dalam tubuh itu ada segumpal darah, jika ia baik maka seluruh tubuh akan baik pula, jika ia rosak, rosak pula seluruh tubuh, ketahuilah segumpal darah itu adalah hati.'
( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

Betapa pentingnya hati pada seorang manusia sehingga di sebut di dalam al-Quran, hadis dan peribahasa.

Namun hati jugalah yang sukar dijaga dan kerana ia jugalah yang bakal merubah corak kehidupan di dunia dan akhirat.

Hati sebagai raja yang memerintah anggota lain sebagai rakyatnya untuk bekerja jadi jika baik raja itu maka akan baiklah seluruh rakyatnya.

Jika jahat raja itu maka akan jahat jugalah rakyatnya.

Selain dididik menjadi mahmudah, didiklah juga agar ia menjadi sabar, redho dan tabah.
Sucikanlah ia dengan taubah.
Hiasilah ia dengan zikrullah.
Isikanlah ia dengan CINTA ALLAH yang teratas dari segala cinta hamba-Nya.

Selasa, 10 November 2009

Solat : belajar hanya sekadar teori


"Ish, nak kena suruh ustaz buat Kem Bestari Solat kat tahun enam la," nada bersemangat guru sains bersuara di penghujung waktu sebelum pulang.

"Kenapa kak?" sambil menyudahkan menaip jadual bacaan solat murid tahun 2 sebagai rujukan di dalam kelas dan diriku sendiri.

KBS terakhir yang ditaklifkan kepada murid tahun 6 banyak terlepas pandang dari segi serba-serbinya yang perlu diuji semula seorang demi seorang untuk memudahkan pengajaran pada tahun hadapan. Demi memantapkan yang telah cekap. Membolehkan pada yang masih tergagap-gagap.

"Kak tanya depa tadi ramai rupanya yang tak solat," masing-masing mendengar sambil menyudahkan tugasan.

"Memang pun kak, dari segi pengamatan saya ramai lagi yang hanya sekadar belajar secara teori bab solat ni, praktikalnya tunggang langgang," tugasan di skrin disimpan ke dalam folder baru.

"Kot yang lelaki, yang pompuan pun tak solat," terasa lemahnya aku sebagai guru agama yang terlepas pada bab wajib ini walaupun aku tidak mengajar agama di kelas mereka.

"Sebenarnya banyak yang perlu diperbetulkan kak, saya pernah menegur murid perempuan tahun 6 solat tanpa menutup aurat kaki dan sebab itulah kak saya nak betul-betul beri penekanan pada murid-murid bawah program j-QAF ini agar masa depan kelak mereka lebih mudah dilentur."

Itu antara azamku. Memahirkan anak-anak itu dengan solat dan al-Quran yang utamanya. Disamping bahasa arab, pendidikan islam dan jawi. Mengingati pesanan pegawai j-QAF di PPD bahawa beri penekanan sehingga mereka mahir ketika di tahap satu lagi.

Aku suka mendengar gemaan suara murid-murid tahun dua mengalunkan hafazan ayat-ayat lazim dan bacaan solat. Melodi mengasyikkan yang menenangkan jiwa. Justeru kerjasama mereka iaitu pada murid mahir yang bersuara kuat untuk diikuti oleh murid yang masih lemah. Wujud kesepakatan bantu-membantu di situ. Itulah nilai yang diharapkan bagi membentuk generasi soleh dan mahabbah pada masa hadapan.

"Ustazah, kami yang perempuan ni tak kena hafaz ka bacaan solat tu?" merujuk kepada uji hafaz yang kujalankan sejak minggu ini yang dimulai dengan nama murid lelaki dalam senarai kelas.

"Semua akan kena jangan risau, lani murid lelaki dulu sebab nama depa di atas," kucuba menerangkan kepada mereka hakikatnya demi meredakan ketidakpuasan hati mereka itu.

Bersemangat rupanya anak-anak SKBS ini. Moga semangat menuntut ilmu itu senantiasa berkobar-kobar dan menyala sehingga ke akhir usia.

Isnin, 9 November 2009

Mimpi vs Realiti


Kami berempat menyamar menjadi tetamu lengkap berpakaian baju kebangsaan. Tauke berbangsa cina bersama isterinya itu menyambut tanpa rasa curiga. Ketika kami menjamu selera dengan hidangan sempena sambutan ......., aku bersama seorang rakan menyusup masuk ke bilik dan mencari ........ Kerja yang penuh risiko namun itulah tugas sebagai penyiasat.

Itu adalah tugas pertama yang hanya sekadar meneliti selok-belok rumah yang terletak di tingkat.......di sebuah bangunan yang tersorok.

Misi kedua tetap sama iaitu pergi pada hari berikutnya lengkap berbaju kebangsaan yang menutupi sut penyiasat lengkap berwarna hitam di dalamnya. Kali ini lebih berbahaya. Masuk lagak tetamu yang ketinggalan barang pada hari sebelumnya. Misi berjaya mencari barang tersebut. Lalu turun dengan sut melalui paip bangunan. Setelah berjaya perlu cepat melarikan diri kerana musuh sudah dapat mengesan dan mengejar di belakang.

Jam telefon bimbit sudah berbunyi menandakan hari sudah pagi. Mimpi cemas itu hanya terhenti setakat itu. Pelik kerana sudah lama tidak membaca buku bercorak penyiasatan. Juga tidak berfikir tentang itu pada siang harinya. Hanya sekadar mimpi sebagai tontonan di alam tidak sedar barangkali. Menarik juga jika dijadikan novel kanak-kanak.

Kanak-kanak seperti aku dahulu yang suka dengan buku Alfred Hitchock, Hardy Boys, Guiel Blyton dan siri tiga penyiasat. Sekaligus menepis kisah dongeng dengan jalan cerita puteri yang bertemu putera idaman dan berakhir dengan kebahagiaan. Penuh khayalan dan tidak bertapak di bumi nyata bagiku. Bertambah mencabarnya dan seronok apabila membaca novel penyiasatan dengan ejaan melayu lama yang dipinjam oleh Abah dari perpustakaan kem.

Kebetulan pada hari ini satu saluran radio tempatan membicarakan tentang mimpi yang terbawa hingga ke alam nyata. Seperti sudah diatur pula.

Kelmarin aku baru meminta agar dua rakan sekerja yang sering bermimpi menceritkan mimpi mereka sebagai idea penulisan. Nampaknya malam aku pula terus mendapat mimpi yang mencabar sebegitu. Juga seperti ada aturan di situ. Hanya Allah yang lebih tahu.

Setiap rantaian peristiwa adalah pencetus kepada satu qadha ketetapan-Nya. Mulanya sebagai hamba kita tidak pasti dan tahu. Sudah berlaku baru menyedari bahawa itu adalah rencana yang amat menarik sekali aturan-Nya. Syukur yang hanya layak untuk-Nya.

Hiduplah dalam realiti walaupun mimpi itu lebih enak untuk diuliti.
Walau realiti itu terlalu pahit untuk didepani.

Ahad, 8 November 2009

Jadilah semut..


'Asam garam kehidupan sebelum menemui kematian.'

Itu adalah konklusi perbualan aku bersama rakan sekerja sementara menanti kelas tasmik tahun 1 al-Razi pada hari ini. Kisah pengalamannya bersama manusia yang berhubung rapat dengan beliau yang boleh dijadikan panduan menjalani kehidupan masa hadapan.

Suka duka menjalani kehidupan bersama manusia hanya secebis cerita bagi mengutip bekalan untuk dibawa ke negeri yang kekal abadi. Sementara menanti ajal yang dirahsiakan tibanya biarlah sisa hidup ini dipenuhi amalan walau sekecil-kecinya pada pandangan manusia. Hindarilah dosa walau sekerdil-kerdilnya. Allah sentiasa nampak dan tahu. Tidak akan ada yang akan terlepas dari perhitungan-Nya kelak.

Sabar itu adalah penawar ragam. Redho itu adalah penenang jiwa.

Jangan terlalu mengharap pada manusia kerana manusia itu juga punya keterbatasan.
Berharaplah pada Yang Esa kerana rahmat dan nikmat-Nya tidak terjangkau luasnya.

********

Dua minggu di SKBS sebelum persekolahan 2009 melabuhkan tirainya. Buku teks juga telah dikutip pada hari ini. Saki baki masa yang tinggal perlu diisi sebaik mungkin dengan penekanan pada kepentingan-kepentingan yang agak terlepas pandang kerana sesaknya masa dengan rutin selain mengajar.

Bacaan solat, nombor arab, beberapa ayat komunikasi, tasmik perlu diberi penekanan agar tahun mendatang tidak akan ada lagi yang jauh ketinggalan. Semoga tahun hadapan pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan lancar. Pengalaman bersama murid-murid tahap 2 yang diambil alih dari guru sebelumnya sebagai pedoman. Ini kerana sukarnya membentuk mereka dengan kalimah-kalimah arab yang terlalu asing. Ini ditambah lagi jika tidak boleh membaca al-Quran.

Usaha semaksima mungkin bagi memperolehi kejayaan setimpal.
Allah yang berhak memberi berdasarkan usaha yang tidak mengenal lelah.
Pastikan niat kerana-Nya.

Jumaat, 6 November 2009

Tarbiah itu rahmat.


Sejak kecil kita ditarbiah oleh ibu dan bapa.
Masuk sekolah tarbiah diambil peranan juga oleh guru.
Ke universiti para pensyarah memainkan peranan pula.
Masuk kerja mendapat tarbiah dari majikan.
Di samping sahabat, rakan dan kenalan sepanjang perjalanan hidup memainkan peranan secara sedar atau tidak.
Tarbiah itu dipegang peranannya oleh mereka mengikut tahap dan takat seiring usia yang tidak kekal di dunia.
Masa juga memainkan peranan apabila insan-insan itu datang dan pergi silih berganti dalam hidup ini.

Namun..

Tarbiah tetap berlaku selagi nyawa masih melekat di jasad.
Walau ketika ramai manusia sekeliling atau tanpa seorang pun.
Tarbiah Allah Taala melalui setiap renteten keadaan dan kejadian.
Kejadian yang memalukan, menyakitkan, menyedihkan dan menggembirakan.
Didatangkan untuk menyedari sebuah kesalahan.
Lalai dipengaruhi material dan cinta dunia.
Walhal dulunya berada di zon sedar dan mengamalkannya.
Betapa hati terlalu mudah mengikut telunjuk tidak syar'ie.
Lemah menentang kata-kata nista mempertahankan prinsip acuan al-Quran dan sunnah.

Juga tarbiah menjadikan lebih baik dari sebelumnya jika sudah baik.
Meningkatkan martabat IMAN dan AMAL.
Seiring pinta syurga sebagai tempat kekal di sana.

Tiada jalan mudah, indah dan pintas untuk memperolehi syurga.
Laluannya sukar dihadang dengan nikmat, cinta dan indahnya dunia yang sering menjerumuskan ke dalam marak menjulang api neraka walau sekadar tergeleceh sebelah tumit sahaja.

Rabu, 4 November 2009

Istimewa


"Siapa ada ibu?" set induksi bagi mata pelajaran Adab di waktu terakhir untuk menaikkan semangat murid-murid tahun 1 Al-Razi yang telah layu.

"Siapa ada ayah?" murid-murid itu mengangkat tangan setinggi-tingginya.

Automatik mataku tertumpu kepada seorang murid lelaki di belakang sekali. Dia turut mengangkat tangan. Sudah ada perbezaan. Jika dahulu dia mengaku tidak mempunyai ayah. Kini pengakuannya berubah iaitu mempunyai ayah sepertimana rakan-rakan yang lain.

Melalui perbualan dengan murid itu beberapa hari yang lepas aku telah tahu bahawa ibunya kini sudah berkahwin. Menurutnya juga ayah barunya yang bekerja di kebun datuknya itu adalah seorang lelaki yang baik. Memang itulah yang diharapkan. Agar diri dan jiwa anak kecil ini tidak diabaikan oleh ibu, ayah tiri, keluarga dan sesiapa sahaja. Mendapat dan merasakan kehidupan sebuah keluarga yang berhak dimiliki.

Rasanya tajuk ' Adab bercakap dengan ibu bapa ini' perlu kepada penceritaan. Biarpun suara sudah tidak mampu mengeluarkan bunyinya kerana selepas rehat masih belum punya ruang senggang.

Murid lelaki di barisan tengah belakang sudah merah matanya. Sambil meletakkan kepala di atas lengan baju mengesat air jernih yang tumpah dari takungan mata. Bagusnya dia. Terkesan dengan cerita pengorbanan ibu yang mengandung, melahir dan membesarkan. Juga pengorbanan ayah yang mencari rezeki demi anak tercinta. Seorang lelaki yang berjiwa lembut. Mudah terkesan dengan peristiwa yang berlaku di sekeliling. Sifat ini selalunya ada pada naluri seorang perempuan. Jarang dimiliki oleh seorang lelaki. Jika ada tidak diekspresikankan seperti perempuan.

Menariknya apabila dapat mengenali seseorang. Bukan sekadar pada nama dan dirinya. Namun pada hati, jiwa, perasaan, sifat dan sikapnya. Makin lama makin nampak keistimewaannya. Makin lama makin nampak nilainya. Terserlah nilainya maka tinggal sedikit ruang untuk nampak kekurangan dan kelemahannya. Jika ada diabaikan dan dimaafkan kerana kita juga manusia yang punya kekurangan dan kelemahan.

Tebarkan kasih sayang seluruh alam untuk mendapat sambutan ukhuwah tidak bersempadan.
Berikan kemaafan samada dipinta atau tidak untuk semua yang pernah menyakiti dan melukai.
Jiwa tenang terungkai dari rasa gelodak maaf yang sengaja ditangguhkan.

Sabtu, 31 Oktober 2009

Jodoh setakat itu..


Aku sering bermimpi Comey bermain di taman. Aku benar-benar merindui Comey. Tidak lepas bertanya tentang kucing kesayanganku itu apabila menelefon keluarga di Malaysia. Sehinggalah pada suatu hari naluriku kuat mengatakan sesuatu telah menimpa Comey. Lalu aku menelefon Mak untuk menidakkan rasa itu. Mak seperti mengelak dan menyembunyikan sesuatu apabila aku bertanya tentang Comey. Akibat diasak pertanyaan bertubi-tubi Mak memberitahu bahawa Comey telah beberapa hari tidak pulang ke rumah. Darahku tersirap. Benarlah runtunan kata-kata naluriku ini.

Aku kuatkan hati untuk menerima kenyataan bahawa 13 September iaitu tarikh aku bertolak ke Mesir adalah perpisahan selamanya antara aku dan Comey. Renungan sayu matanya seolah-olah berat untuk melepaskanku pergi memberitahu bahawa jodoh kami tidak lama. Ia enggan menjamah makanan yang menyatakan bahawa ia berat untuk berpisah denganku. Tanda-tanda itu membuat pandanganku keluar tingkap Malaysia Airlines membelah awan biru nampak kosong dan hambar.

Aku terharu kerana Mak dan Abah memegang amanah menjaga Comey sehingga sanggup tidur di ruang tamu menanti Comey pulang dan mengetuk pintu. Mungkin kerana Mak tidak mahu aku sedih kerana pulang nanti tanpa melihat mata sayu kucing itu lagi. Tidak kutahu punca Comey tidak pulang sehinggalah aku kembali ke tanahair. Mak tidak bercerita. Aku juga tidak bertanya mengelak sebak di jiwa. Kak Ngah memberitahu kemungkinan besar Comey mati digilis tayar belakang jiranku yang mengundur keretanya keluar dari pagar. Segalanya sudah tertulis. Tiada siapa yang bersalah. Aku menerima setelah kubelajar menerima ketiadaannya ketika kaki melangkah keluar rumah untuk ke lapangan terbang. Juga terus belajar tanpanya ketika di ardil kinanah.

Sudah 5 tahun Comey pergi. Kini airmata degilku kembali bertakung di pinggir mata ketika menaip entry ini. Seperti kata-kata adik ketika aku baru pulang dahulu bahawa Comey kini berada di dalam syurga dan nanti kita akan berjumpa Comey kembali di sana. Aku tersenyum dengan kata-kata adik yang ketika itu berusia 6 tahun.

Ketot masuk ke bilik mengesel kaki pada pagi ini. Kini kami mempunyai keluarga Kitty yang agak besar dengan 3 ekor anaknya dari 13 ekor anak yang dilahirkan. Mereka lebih sihat. Juga lebih banyak meluangkan masa di rumah tanpa merayau. Sudah 2 tahun setengah Kitty menjadi ahli keluarga kami. Tidak ada halangan yang menjadi beban menguruskan mereka kerana mereka adalah sebahagian dari kami. Cubit paha kanan maka paha kiri juga terasa. Begitulah ibaratnya.

Ukhuwah itu bukan setakat bermakna hubungan antara individu dan makhluk.
Namun ia membawa maksud susah senang yang diharungi bersama kerana Allah Taala.

Pautan ukhuwah bukan hanya sekadar dinanti ada yang menghulurkan pangkal talinya.
Sebagai yang mengharap kita juga perlu memberi.
Lemparkanlah pangkal talinya kepada sesiapa yang kita inginkan.
Agar pangkal dan hujungnya dapat disimpul dengan jalinan kasih sayang membentuk jalinan hubungan berlandas Al-Quran dan sunnah.
Jangan dibiarkan ruangnya diceroboh makhluk laknatullah walau sesaat.
Agar memperoleh keberkatan dan rahmat Allah Taala.

Khamis, 29 Oktober 2009

Tak kenal maka tak cinta..


'Tak kenal maka tak cinta'

Kata-kata itu bermain-main ketika kereta menyeret rodanya melalui jalan di Kulim. Ke PPD tidak kulepaskan peluang mengenali setiap simpang dan destinasi arah tujunya. Pedoman masa depan agar tidak lagi sesat di daerah itu. Daerah yang asing bagiku suatu ketika dahulu dan masih lagi asing pada tahun lepas. Akibat asing maka aku tidak suka ke sana. Ditambah lagi simpang-simpangnya yang sering mencelarukanku. Terlalu mudahku menyalahkan. Walhal aku sendiri yang tidak cuba belajar mengenalinya terlebih dahulu.

Pandangan pertama tidak perlukan lagi pada sebuah ulasan kerana masih terlalu banyak yang tersembunyi.

Pandangan kedua,ketiga dan seterusnya juga tidak perlukan ulasan apatahlagi cercaan kerana yang diperlukan adalah memahami dan mengenali. Menggunakan pendekatan dan hikmah kerana setiap sesuatu sememangnya dicipta berbeza untuk melengkapi kejadian yang menunjukkan keunikan setiap ciptaan.

Memandu santai sambil membiarkan angin percuma Allah Taala menampar pipi dapat mengenalkanku dengan setiap jalan, lorong dan simpang di situ. Pedulikan sebentar pada amanah yang akan diselesaikan apabila sampai kelak. InshALLAH akan dihantar pada hari ini juga. Membuat sesuatu tanpa gopoh-gapah rasa lebih teratur perjalanan dan hasilnya.

Angin tetap terasa sejuk walau matahari memancarkan terik panasnya. Damainya memandu pulang walau hati tetap tidak puas kerana amanah tidak langsai akibat halangan yang Allah jadikan pada sesuatu yang dianggap mudah pada ukuran kebanyakan hamba-Nya.

Menjadi guru di sebuah sekolah kecil sering dianggap mudah oleh kebanyakan guru di sebuah sekolah besar. Hakikatnya ukuran tidak boleh dijadikan panduan kerana Allah yang sebenarnya yang memudahkan dan menyukarkan sesuatu tidak kira apa ukuran sebenarnya.

Dengan rahmat dan nikmatNya Ia memudahkan. Dengan izinNya juga Ia menghalang. Pasti ada hikmahNya. Pastinya DIA mahu hamba-hambaNya ini menyakini pada sekecil-kecil kelalaian iaitu semua itu adalah dengan izinNya.

Segala pujian dan syukur layak hanya untukNya yang memberi kesedaran pada setitik kealpaan yang tidak nampak dengan hanya sekilas renungan.

Isnin, 26 Oktober 2009

Cemerlang dunia akhirat

Mata melilau mencari Abah dari atas pentas ketika menerima hadiah dan sijil. Abah berdiri di
pintu dewan menandakan seperti baru sampai. Namun kelibat mak dan adik-adik tidak kelihatan. Wajahku kembali sugul. Turun dari pentas aku melilau mencari Abah di serata ruang sekolah. Abah tiada. Benarkah yang kulihat tadi Abah. Hati kian sebak. Airmata yang hendak keluar dipekung sebaik mungkin. Akhirnya beberapa minit kutemui Abah yang tersenyum sambil mengucapkan tahniah. Sesampai di rumah, Mak dan adik-adik berada di atas buaian bawah rumah Tok Cik iaitu tuan rumah sewa kami di Kampung Pinang Taiping. Mereka berpakaian cantik tanda hendak ke sekolah menyaksikan hari penyampaian hadiah dan sijil tadikaku di Sek.Keb All Saint. Namun bas yang dinanti tidak juga tiba.

Drama oleh murid tahun 6

Aku mencari wajah-wajah keluargaku namun hanya terdapat wajah ibu bapa rakan-rakan yang juga jiran tetanggaku. Tahun pertama di Sek.Keb Sungai Raya membawa rezeki kepadaku kerana berjaya menyeret kaki ke pentas mendapat hadiah antara yang cemerlang dalam kelas tahun 3 Biru. Aku sudah biasa dengan kerja Abah sebagai tentera yang bertugas tidak tentu masa. Jika Abah datang maka itu adalah suatu bonus bagi Abah yang dapat menyaksikan kejayaan anak sulongnya ini. Jika sebaliknya hadiah ini akan kubawa pulang dan membukanya di hadapan keluarga. Aku tidak sebak lagi kerana sudah besar. Buat apa aku hendak menangis kerana Abah tidak hadir kerana tuntunan hidup yang perlu menyara kami. Emak dan adik-adik juga tidak hadir kerana kami tidak punya kereta pada ketika itu.

Tokoh murid SKBS tahun 2009

Antara dua pilihan yang perlu kupilih samada untuk terus berada di Mesir sehingga habis visa pada 31 Oktober 2005 dan mungkin juga terus menyambung visa pelancong sehingga tahun hadapan untuk belajar bahasa Arab atau pulang ke Malaysia pada 7 September. Jika tidak kerana kasihankan Kak Ngah yang konvo pada 13 September pastiku tidak perlu kupilih antara dua. Keadaan kewangan keluarga yang sesak pada waktu itu membuatkan Abah dan Mak tidak dapat menghadiri konvo adik pertamaku itu. Justeru kehendak diri yang masih tidak puas meneroka khazanah ilmu dan budaya di sana kulepaskan demi mengembirakan Kak Ngah. Kami tidak mempunyai harta justeru ikatan kekeluargaan inilah yang bakal membawa kebahagiaan dengan limpahan rahmah jika ia dibajai dan dijaga kerana Ilahi.

*******
Hari Graduasi Tahun 6 & anugerah cemerlang SKBS yang dirangkum 3 dalam 1 untuk menjimatkan kos berlangsung dengan jayanya.

Pertama kali menjadi jurukamera kerana berada bawah jawatankuasa dokumentasi sedikit memenatkan. Namun pengalaman mengambil gambar dengan 3 buah kamera digital secara berselang-seli menyeronokkan. Masa yang sama terlibat dengan jawatankuasa hadiah yang agak kelam-kabut sedikit dipuncaknya tanpa senarai nama untuk hadiah guru-guru.

Berada di sekolah pendalaman sebegini penjimatan kos sering diutamakan. Justeru anjuran Islam supaya berjimat-cermat telah diamalkan. Tidak perlu ada tema untuk sesuatu majlis dengan perlu mencari pakaian yang bersesuaian. Semua itu hanya kehendak. Walhal dengan duit untuk dibelanjakan itu dapat disalurkan pada murid-murid yang berada di paras bawah kemiskinan. Mungkin juga dapat membeli alat mengajar untuk murid-murid pemulihan yang langsung tidak mengenal huruf.

Biar dipandang hina oleh manusia kerana manusia memang tidak pernah berpuas hati dengan manusia lain.
Asal dipandang mulia oleh Allah Taala yang tidak pernah mengugat jiwa yang senantiasa rindukanNya walau seribu dugaan menerpa.

Khamis, 22 Oktober 2009

Nil menemukan kami..



"Kita tolong orang, Allah tolong kita," kata-kata Jia, ahli bait Khaulah Azwar di Iskandariah dulu terngiang-ngiang di telinga.

Kelmarin aku mendapat kad jemputan walimatul urus dari Jia yang pulang ke Malaysia awal dariku. Sebelum membukanya aku sudah dapat meneka bahawa itu adalah kad dari Jia. Ia kerana beberapa minggu lalu, Jia yang senyap dari khabar berita itu tiba-tiba sms meminta alamat rumah.

Kad berwarna hitam dan bertulisan emas amat menarik perhatian kerana sebelum ini belum pernah kad sebegitu diterima. Menariknya lagi perkahwinan serentak tiga beradik yang akan berlangsung pada hari yang sama. Namun perhatianku lebih tertumpu pada nama waris yang mewakili ibu dan bapa sahabatku itu yang kubaca berulang kali untuk menyakinkan. Nama kedua-dua ibu dan bapanya ada perkataan allahyarham dan allahyarhamah.

"Bila ibu bapa Jia meninggal?"
"Meninggal sebab apa?"
"Kenapa aku tidak mengetahuinya?"

Persoalan-persoalan itu tertanya-tanya tanpa jawapan. Patutlah sekian lama Jia menyepi. Sms juga tidak dibalasnya.

Jia seperti adik bangsu kami di bait Khaulah Azwar. Personalitinya yang manja dan keanak-anakan sering membuatkan tercuit dengan suara dan tingkah lakunya. Namun aku kagum pada sifat berdikarinya walaupun dia berpesonaliti begitu.

Aku tahu keperitan beberapa ujian yang dilaluinya di sana. Airmatanya pernah tumpah mendepani ujian bersama anak cucu Adam dan Hawa. Coaster yang disewa bersama beberapa rakan ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia juga pernah terlewat dari masa yang ditetapkan. Ketika itulah kami rakan-rakan akhawat mengangkat beg dari beberapa tingkat yang tinggi naik ke atas coaster dan menurunkannya kembali ke lapangan terbang Kaherah. Walaupun penat itulah pertolongan terakhir kami di bumi Musa yang mana pulang ke Malaysia belum pasti akan bertemu semula.

Bila difikirkan sedihnya kami berpisah dengan sahabat di lapangan terbang Kaherah seumpama kami berlainan negara. Entah apa yang menyedihkan sedangkan Malaysia negara kecil dengan zaman teknologi yang memudahkan perhubungan. Dua kali fikir mungkin kerana ukhuwah. Mungkin juga kerana masa yang akan merubah segalanya. Itulah barangkali yang mendorong kesayuan.

Sahabat itu diuji untuk terus berdikari sesuai dengan kemampuannya. Aku juga diuji namun dalam bentuk berbeza. Justeru ujian yang didatangkan kepada orang lain yang tidak mengenai kita harus diambil sebagai pedoman. Bukannya mengukur tahap ujian mana yang lebih dahsyat dengan mengatakan kita sahaja yang teruk diuji. Isinya adalah bagaimana kita menangani setiap ujian itu. Klimaksnya pula adalah kita berjaya mendepaninya sehingga menaik tarafkan keimanan kita di sisi Allah Taala.

Allah dekat jika kita dekat padaNya dengan limpahan rahmatNya..
Allah juga dekat jika manusia jauh darinya dengan peringatan dariNya..beruntunglah selagi Allah menyedarkan kita dari sekelumit kesalahan dan kelaghaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...