? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Ahad, 31 Mei 2009

Maafkanlah....

' Antara azan dan iqamat'.

Begitulah kehidupan. Terlalu singkat dan pendek jangkanya di dunia ini.
Bagi yang beriman mensyukuri yang singkat ini kerana ia terisi dengan amalan dan keberkatan.
Bagi yang kurang iman atau tidak beriman ia tidak mencukupi kerana keseronokkan masih belum puas dikecapi.

*****
Rombongan 3 hari 2 malam yang kuikuti adalah penamat kumendengar teguran seorang pakcik yang sering menegurku ketika aku berjalan menuju ke kedai. Dia yang menghidapi beberapa penyakit rupanya telah terlantar sakit tanpa pengetahuanku ketika kali terakhir lalu di hadapan rumahnya pada minggu lepas.

Sebelum itu....

Interaksi tutorial kali yang kedua juga menamatkan pandanganku pada susuk tua yang beristeri tiga yang menghuni rumah berhadapan rumahku. Usia 80an itu adalah subsidi untuk arwah kerana beberapa kali dia dibacakan Yassin kerana jangkaan doktor tidak selalunya tepat.

Sebelum itu....

Dua tahun kubergelumang mencari ilmu di bumi Mesir telah memisahkan jasad dan nyawa antara aku dan nenek sebelah mak. Walaupun sekadar nenek tiri dia pernah bertanya tentangku kepada mak sebelum meninggal.

*****
Kita sering merasa terluka dengan kata-kata dan perbuatan seseorang sehingga membiarkan rajuk berhari-hari.
Kita sering melukai seseorang dengan kata-kata jua perbuatan kerana marah, geram atau dendam.

Namun..

Kita sering terlupa bahawa nyawa kita dan mereka tidakkan lama.

Malah...

Tidak tahu sampai bila.

Maafkanlah sesiapa sahaja yang melukakan kita dengan sengaja atau tanpa sedar.
Mohon maaflah dari sesiapa yang pernah kita lukai samada secara sengaja atau tidak.
Berbaik sangkalah sesama kita kerana jangka hidup tidak lama tanpa diketahui tarikh dan masanya.

Agar tidak menyesal kemudian hari.
Agar tidak tertanggung dosa hingga hari perhitungan.

Sabtu, 30 Mei 2009

Yang dibenci itu madu

Kepergian pada awalnya tanpa rela menoktahkan pengakhiran yang amat bermakna.
Bermakna kerana pengisiannya terisi dengan akrab perhubungan antara generasi berbeza tahap usia dan status ( guru dan murid ).

Justeru mengusir lelah dan keringat menjaga adab dan susila gerombolan anak didik SKBS di tempat orang.
Harapan semoga mereka mendapat pengetahuan dan kegembiraan maksima.

Babak-babak celoteh, gelak tawa, gembira sehingga ke sakit muntah dan demam yang menjadi asam garam sepanjang perjalanan adalah penawar keserabutan fikiran yang masih mempunyai tugas menanti untuk diselesaikan sebagai guru di sekolah pelatih di IPDA.

'Mr Den' ( gelaran buat ketua pengawas SKBS ) sukar dilupakan dan mungkin perasaannya juga sama kerana tengahari tadi sudah sms bertanya khabarku.
Lentokkan kepala murid perempuan tahun empat di ribaan menjadikan kami kian akrab.
Ringan tulang murid perempuan Siam membawa beg kain sembahyang amat dihargai walau dia sekadar menanti di luar surau.

Akrabnya kami menjadikanku seusia mereka dan mereka seusia denganku.
Benar kata wanita yang yang ku panggil kakak selaku guru pembimbing juga bahawa detik-detik itu akan dirindui hingga menjadikan kita sunyi buat beberapa ketika.
Aku tidak menafikannya kerana aku pernah dan sering merasainya.
Namun kesunyian kali ini mungkin tidak lama kerana esok adalah hari permulaan interaksi di institut dan bakal bertemu pula dengan rakan-rakan sekuliah.

*****
Kita sering merindui seseorang..
kita sering merindui sesuatu keadaan, kejadian, tragedi dan kenangan..
namun..
kita jarang merindui DIA
yang memberi tanpa pinta balasan.
Hinanya kita selaku hambaNya yang sering meminta namun jarang bersyukur.

******
Syukran ila Allah kerana hikmahmu meletakkanku sebagai guru pengiring rombongan.
Terima kasih buat cikgu Ibrahim kerana memaksa dan meletakkan namaku dalam baris guru pengiring.
Terima kasih buat anak didikku yang turut sama mencipta memori indah bersama sebagai tambahan dalam album kenangan.

Kalian memang best...

kita akan jumpa lagi seusai cuti ini atau mungkin lebih dari itu akibat menyelesaikan perkara-perkara akhir sebelum layak bergelar guru.

Isnin, 25 Mei 2009

Cuti-cuti Malaysia

Kali pertama aku naik roller coaster adalah ketika di Iskandariah, Mesir. Banyak perkara yang malu untuk dilakukan di Malaysia tertunai di bumi Mesir. Jika di Malaysia agak pelik rasanya melakukan semua perkara itu dengan pakaian muslimah. Namun di Mesir pakaian muslimah ini adalah cara pemakaian majoriti wanita di sana. Jadi tidak menjadi satu keganjilan melakukan segala aktiviti dengan berjubah malah berpurdah. Maka waktu itulah aku serta rakan-rakan mengambil kesempatan untuk turut sama menyertai mereka beriadah serta berjaulah di sana.

Berenang pada waktu pagi di pantai Mediterranean dengan berjubah dan berpurdah antara aktiviti pada musim panas.

Mendaki jabal Tursina dengan pakaian begitu juga tidak menjadi masalah malah dengan izin Allah dapat juga sampai di puncaknya untuk menjejaki kesan peninggalan sejarah Nabi Musa. Begitu juga dengan beberapa bukit yang lebih rendah dari Bukit Tursina itu dapat ditawani untuk melihat makam para Nabi serta para sahabat.

Seronok sebenarnya beriadah dan berjaulah jika dilakukan dengan niat untuk melihat ciptaan Allah dengan keinsafan dan kesyukuran. Bukan hanya sekadar bergembira tanpa had batasan.

Mungkin itu yang perlu kupesan pada murid-murid tahun 5 dan 6 SKBS yang akan mula bertolak ke beberapa tempat dan negeri selatan tanahair pada malam esok. Malah juga pesanan untuk diri ini agar tidak terlupa bahawa jaulah pada kali ini adalah sebagai guru pengiring untuk menjaga anak-anak didik. Tidak seperti selalu bersama rakan-rakan yang sering berjaulah tanpa perancangan yang teratur.

Rombongan pada kali ini adalah untuk membuka mata separuh daripada anak-anak SKBS yang kurang matang akan kehidupan dan alam di luar dari Bukit Selarong kerana majoriti mereka adalah golongan berpendapatan rendah. Hasrat guru-guru adalah untuk membakar semangat dan mencentus motivasi agar kanak-kanak ini tidak sekadar memandang dunia dari kancah mata yang separa. Justeru pandangan kehidupan yang mencangkupi segenap penjuru alam ini dapat dinilai dan berusaha pergi lebih dari sekadar estet kelapa sawit ini.

*****
Semoga perjalanan ini selamat. Dilimpahi keredhoan dan keberkatan Ilahi sepanjang jaulah. Harapan juga agar hasrat murni guru-guru terlaksana dengan izin-Nya mewujudkan anjakan paradigma pada jiwa-jiwa kecil ini untuk menaik tarafkan personaliti sekaligus kehidupan.


Ahad, 24 Mei 2009

Masa tidak mengenal siapa...

Ketika lambakan bebanan tugas yang merusuh rindu pula pada masa senggang di waktu dahulu.

Waktu ketika bergelar pelajar yang hanya menggunakan masa untuk mencari dan mengejar ilmu.

Namun ketika itu kebosanan pula menjengah kerana masa terlalu banyak ruangnya.

Lemah betul iman seorang insan yang tidak pernah reda dan bersyukur pada keadaan.

******

"Abah tak bagi abang kerja tapi abang nak kerja juga sebab boring sangat cuti ni asyik makan tidur saja nanti gemuk," beritahu anak arwah Mak Tehku kepada mak yang kini selaku penganti emaknya untuk meluahkan rasa dan perasaan.

Nampaknya rasa dan keadaan bosan itu kembali berulang pada insan lain.

Jelaslah rutin kehidupan itu akan berulang umpama putaran bumi sehingga mendatangkan siang dan melenyapkan malam.

Terlalu indah jika dipandang pada kejadian yang boleh dikutip ilmu buat pedoman kehidupan.

'Buang yang keruh ambil yang jernih.'
Ditinggalkan yang keruh di belakang,
Dibawa yang jernih ke hadapan untuk kehidupan lebih mulia bersulamkan cinta Ilahi yang utama.

********

Harapanku agar dua hari ini dapat kulangsaikan segala tugasan sebelum cuti bermula agar ia tidak menjadi tunggakan di masa hadapan yang menambah bebanan.

Semoga waktu-waktu menghadapi peperiksaan nanti tidak terganggu dengan tugas-tugas yang terhutang itu.

Indahnya jika setiap dari jiwa yang hidup dapat melaksanakan kewajipan sebagai hamba dan insan sebelum maut menjemput. Bezanya adalah hidup yang tidak diketahui tarikh akhirnya untuk persiapan untuk perancangan menghadapinya berbanding perkara dan benda dalam kehidupan yang diketahui tarikh akhir dan lupus.


Sabtu, 23 Mei 2009

Setiap hari kuhargaimu

Mak pernah kata aku adalah anak kesayangan abah.

Adik pertamaku selalu kata sebab campur tanganku dalam sesuatu hal maka abah tidak jadi meninggikan suara.

Abah juga pernah kata bahawa aku ini anak yang tidak menyusahkannya.

Namun bagiku biasa sahaja malah tidak terkesan dengan semua itu.

Jauh sekali untuk mengambil kesempatan kerana lima adikku juga datang dari abah yang sama yang tidak perlu di lebih kurangkan kasih sayang.

Abah sering mengusap kepalaku ketika kecil.

Abah selalu berpesan agar aku menunaikan impiannya untuk menjadi guru apabila dewasa.

Abah seringkali menelefonku menitipkan semangat agar belajar rajin-rajin ketika aku tinggal bersama tok di kampung.

Abah cepat melenting apabila ada manusia yang menyindir anaknya ini.

Namun...

yang paling menyedihkanku adalah pengorbanan abah mengeluarkan wang KWSP untuk lanjutan belajar di bumi Musa.

yang paling mendukakanku ialah kesanggupan abah mengantung plastik maruku yang dibuat oleh mak di handle motorsikal ketika kerja untuk menampung kekurangan wang tiket kapal terbang untuk pulang ke tanahair.

Besar pengorbananmu abah...
tidak ternilai dengan balasan yang akan kubayar
jauh tara dengan keringatmu membanting tulang membesar, menyekolah dan memeliharaku

kau terlindung dek bayangan seorang ibu
buatku leka pada jasamu
walhal kau juga tonggakku
berdiri seperti hari ini

maafkan aku duhai abah
akan kealpaanku ini
tidakku ulangi lagi

Terima kasih abah

Semoga cita-citaku untuk menghantarmu ke Tanah Haram dimakbulkan Allah.

Jumaat, 22 Mei 2009

Antara dua jalan...

Melintasi simpang tiga menuju ke lorong rumah petang tadi mengimbau tragedi berdarah yang berlaku beberapa tahun lalu.

Tragedi yang mengorbankan nyawa dua remaja lelaki berusia 18 belas tahun.

Kedua-duanya rakan kepada adik lelakiku yang pertama.
Kejadian perlanggaran motorsikal secara berdepan yang dengan hentaman yang kuat akibat pecutan yang laju.

Akibatnya adalah seorang mangsa meninggal di tempat kejadian.

Manakala seorang lagi sempat bangun mencari kad pengenalannya dan meninggal dalam perjalanan ke hospital.

Pilunya kerana dua rakan tersebut bertemu dan berborak di padang sebelum kejadian seperti kebiasaan setiap petang.

Sedihnya kerana kejadian itu berlaku pada 15 Ramadan.

Dukanya kerana di dalam raga motorsikal salah seorang mangsa terdapat sebungkus nasi dan air.

Sebaknya kerana kematian itu berlaku dengan tragis dan dua anak muda itu pergi secara tiba-tiba.

Namun itu sudah suratan buat mereka sebagai iktibar kepada yang masih bernyawa agar berhati-hati di jalanraya.

Lukanya lagi kerana perginya mereka dikatakan dalam keadaan amalan yang masih lopong.

Sebagai manusia sukar mengukur tahap amalan seseorang.

Apatahlagi mengandaikan tahap penerimaannya di sisi Allah taala.

Semuanya dalam pengetahuan Allah yang Esa.

Berbaik sangkalah pada yang telah pergi dan berdoa agar amalan mereka diterima di sisi Allah. Moga roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.

Sebagai manusia juga setiap kejadian itu adalah pengajaran dan ilmu agar jangan mengulangi untuk memilih lorong hidup yang salah.

Disamping membimbing orang sekeliling yang tersalah memilih jalan agar kembali ke jalan yang benar.

Semoga mereka-mereka yang dibimbing menjadi tetangga kita di syurga kelak.

Rabu, 20 Mei 2009

Rasa rendah diri

"Ustazah tau dak kenapa mak saya tak bagi pi rombongan nanti?" soal Nazhan murid tahun empat seusai menjawab kertas soalan PSK.

"Sebab kena bagi banyak duit belanja kat Nazhan kan makan banyak," jawabku sambil mengusiknya merujuk kepada perut buncitnya.

"Sebab saya rendah...jadi tak boleh naik permainan di Genting nanti," beritahu murid yang pernah tersenarai dalam kumpulan pemulihan itu secara jujur.

Itu rupanya alasan dia. Rasa rendah diri yang sememangnya rendah itu. Jelas perasaan rasa rendah memang wujud sejak kanak-kanak lagi yang bertumbuh selari dengan pertumbuhan diri.

******

"Cikgu **** bole dak jadi fasi agaknya," soal guru besar kepadaku ketika berada di dalam biliknya untuk membincangkan tentang KBS 2 (Kem Bestari Solat) yang akan diadakan pada Sabtu ini.

"Boleh agaknya cikgu sebab setiap muslim yang solat mesti boleh mengajar budak-budak teori dan amali solat," ujarku kepada wanita cina yang hanya menunggu beberapa bulan sahaja lagi untuk pencen.

"Saya seorang sahaja la yang tak tau," katanya seolah merendah diri dengan wajah sedikit hampa. Kata-kata itu diucap sebanyak dua kali pada waktu yang berbeza kepadaku.

Aku hanya tersenyum. Rasa bersalah pun ada dengan jawapanku tadi tapi rasanya benar sahaja apa yang kukata. Jika boleh hendak sahaja kukatakan padanya.

"Cikgu pun boleh sertai sama Kem Bestari Solat ini untuk memahami dan mempelajari tentang solat." Aku yakin benaknya berteka-teki tentang solat yang menjadi kewajipan umat islam ini. Keinginannya untuk mengetahuinya tentunya tinggi ketika ini.

Beberapa waktu ketika aku menjalankan pengajaran dan pembelajaran khatam al-Quran tahun 2 di dalam surau, dia menjenguk. Barangkali kerana lantang dan kuatnya suara murid-murid 2 al-Farabi membaca ayat al-Quran menarik perhatiannya.

Mungkinkah hatinya tersentuh dengan ayat-ayat suci itu? Hatiku pula berteka-teki. Aku tidak inginkan jawapan penyelasaian teka-teki itu. Cuma aku berhasrat untuk menggunakan surau setiap kali aktiviti p&p bagi tilawah al-Quran dan khatam al-Quran agar alunan kalam Allah dapat menarik hati pendengar menuju jalan-Nya. Jika di dalam kelas bacaan tidak jelas kerana lantunan suara dari kelas lain yang menganggu.

Kadang-kadang rasa diri ini gagal. Gagal merealisasikan perancangan yang diatur menjadi sebaik-baiknya. Walaupun kegagalan itu hanya sedikit impaknya. Kegagalan itu telah mengundang rendah diri. Rendah diri kerana rasa kurang ilmu dan pengalaman berbanding insan sekeliling.

Rasa rendah lebih baik dari rasa tinggi diri. Ia jadi lebih baik jika rasa rendah diri itu diperbaiki dengan belajar dan cuba memperbaiki kelemahan dan kekurangan itu. Selebihnya berserah pada Yang Esa. Kita hanya mampu berusaha. Hidayah ada di tangan-Nya. Juga perlu menerima bahawa sebagai makhluk baharu akan ada ketidaksempurnaan.

*****

Entri khas buat Ust Amet dan yang sewaktu dengannya (he...he...)

Borang pentaksiran yang kita dapat itu perlu diserahkan bersama ketiga-tiga assignment (dibinding berasingan) yang sudah siap itu kepada PK KOKO untuk dinilai dan markah perlu dicatit pada borang pentaksiran berkenaan tanpa pengetahuan kita. Seterusnya perlukan pengesahan GB pada borang pentaksiran tersebut. Sesudah itu, borang pentaksiran itu diberi kepada kerani untuk dimasukkan ke dalam sampul surat yang dilakri (ditutup tanpa boleh dibuka dan dicop nama sekolah). Seusai itu dimasukkan ketiga-tiga assignment dan sampul surat itu ke dalam satu sampul surat atau diikat sekali agar tidak terburai kerana ketika menghantarnya hanya dimasukkan ke dalam kotak yang disediakan di luar pintu Jabatan GERKO.

Selamat selesaikan tugasan.

Selasa, 19 Mei 2009

Apa faedah berblog?

Ketika menikmati jamuan di kantin sekolah sempena hari guru Ahad lalu guru bahasa Inggeris bertanya tentang cara dan faedah blog kepada guru pra yang duduk sebelahku. Pertanyaan itu ekoran perbualanku dengan guru pra selaku guru blogku juga. Kiranya dalam sekolahku kini hanya 3 orang guru yang memiliki blog. Namun guru pra lebih dikenali sebagai blogger kerana keaktifannya berblog sehingga mempunyai rakan blogger yang begitu ramai.

"Ada faedahnya kak kalau kita pandai menggunakannya, jika tidak pandai menggunakannya maka akan jadi sebaliknya," aku tolong menjawab bagi pihak guru pra itu.

"Apa-apa benda pun ikut cara kita menggunakannya dengan niat yang betul agar beroleh manfaat bukan sahaja untuk diri namun orang sekeliling," tambahku lancar melebarkan jawapan yang datang setelah perut kenyang diisi setelah rehat agak lewat berbanding selalu.

Jawapan itu pernah kuberikan kepada guru bahasa inggeris yang lain ketika dia bercerita tentang anak tirinya yang sibuk dengan facebooknya.

Semasa di kolej dahulu pernyataan itu pernah tercetus di minda ketika warga kampus sibuk dengan novel. Ketika itu pula di pasaran hanya banyak terdapat novel-novel percintaan sesama manusia tanpa batas. Tidak seperti sekarang mudah didapati novel berunsur islam. Ada yang menyatakan ia tidak ada faedah. Namun bagiku dalam novel tulisan penulis picisan sekalipun masih ada manfaat dan ilmu yang boleh disaring.

Kuakui ada banyak faedah sejak berblog. Faedah yang kekadang sukar didapati dalam dunia realiti. Sesuai bagiku seorang guru dalam komuniti pergaulan tidak luas kerana berada di kawasan terpencil. Persinggahan ke sesetengah blog ada ilmu yang dapat kukutip sebagai panduan. Di sebalik cerita hidup ada pengajaran dan teladan untuk diikuti dan dijauhi.

Juga tidak dinafikan dapat mengenali perilaku manusia kerana melalui setiap blog dapat dikenali peribadinya tanpa bersua muka. Berbeza dengan alam chatting yang sukar dikenal pasti benar palsunya kerana masing-masing menukar identiti untuk sesuatu yang mungkin sekadar menduga atau mencari kawan dan pasangan. Jika bersua muka sekalipun mungkin sukar disingkap sikap sebenar seseorang itu kerana yang dapat dilihat hanya mata kasar melainkan memakan masa yang agak panjang. Melalui blog, facebook atau lain-lainnya yang aku sendiri masih tidak tahu itu dapat dikenali penulis dengan mata hati jika entri ditulis dari sudut hati.

Ahad, 17 Mei 2009

Sambutan hari guru SKBS

'Guru pembina negara bangsa' tertulis dalam beberapa kad berserta hadiah yang diberikan oleh murid-murid kepadaku. Kubaca sambil tersenyum. Tersenyum kerana bijaknya kanak-kanak zaman sekarang yang mengambil tahu hal-hal yang sekeliling. Ketika aku sebagai murid sebarang tema tidak pernah diambil peduli. Seingatnya aku mula mengambil tahu tentang tema hari guru bermula semenjak temuduga pengambilan guru j-QAF 2008 pada tahun 2007. Sebelumnya bukan tidak ambil peduli langsung namun agak terabai atau lupa.

Sambutan hari guru di SKBS berlangsung dalam suasana sederhana meriah dan ceria. Segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan tanpa sebarang halangan. Maka dengan itu aku dapat bermain bola jaring sebagai salah seorang wakil pasukan guru menentang pasukan murid-murid dengan hanya berbaju kurung. Tentunya dalam posisi paling mudah dan kurang bergerak iaitu GS. Alasan hanya malas untuk menyalin pakaian selepas membalut hadiah untuk acara padang selaku AJK hadiah dan cenderamata.

*****

"Uzatazah ...nah," hulur murid-murid menyampaikan hadiah sempena sambutan hari guru.

"Terima kasih," aku menerima dengan senyuman menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada mereka walaupun sebenarnya sebagai guru tidak mengharapkan balasan material di atas pengorbanan.

Banyak juga duit rakyat Malaysia ini di kala ekonomi dunia yang merosot kerana merudumnya tidak dirasai sangat oleh kita. Ia nilaian dari jumlah hadiah yanng melebihi tahun lepas. Masing-masing mengendong beg plastik dan beg galas membawa hadiah untuk dibahagikan kepada 15 guru SKBS. Umpama penjual yang menjual barang dari rumah ke rumah lagaknya. Aku sempat mengusik.

"Ya makcik nak jual apa?" usikku kepada Faten murid tahun dua iaitu anak kepada guru pembimbingku.

Hadiah dari guru-guru kepada murid-murid pula adalah jamuan makan tengahari yang bermenukan ayam masak merah dan sayur buncis. Seekor ayam yang dipotong dua belas itu rasanya cukup mengenyangkan mereka. Apatahlagi nasi dan lauk yang boleh ditambah.

Aku amat suka sikap pemurah guru-guru di sini yang selalu mengutamakan murid-murid kerana sebilangan murid-murid di sini datang dari keluarga berpendapatan rendah. Syabas buat guru-guru SKBS kerana tidak pernah membebankan murid-murid dengan bebanan kewangan malah menyamaratakan semua murid dari segi hak hidup seorang insan.

Terima kasih rakan guru-guru kerana mengajar erti sebuah kasih sayang dan ambil berat.
Terima kasih duhai anak didikku yang mengajar erti pengorbanan dan usaha berterusan.



Sabtu, 16 Mei 2009

Siapa nampak???

'Kerana nila setitik rosak susu sebelanga'

Persinggahanku ke MPH pada hari ini untuk memantau buku-buku terbaru menimbulkan tidak senang hati apabila dipandang curiga oleh pekerja di situ. Curiga kerana aku membawa plastik Tesco. Juga kerana duduk meneliti tajuk buku demi buku di rak paling bawah.

Itu bukan salah dia sebagai pekerja. Malah itu adalah tanggungjawab dia sebagai pekerja. Amanah menjaga kedai tempat dia mencari rezeki agar buku-buku yang berharga rendah sehingga ke ratusan harganya itu tidak dicuri oleh pengunjung yang tidak punya rasa berdosa.

Sikap berhati-hati itu mungkin ekoran tindakan seorang pelakon drama siri popular tempatan yang mengambil dua buah buku di cawangan MPH yang lain tanpa membayar. Sukar dihuraikan kebenaran tomahan itu samada ia benar dilakukan atau hanya tuduhan tanpa bukti. Hanya Allah yang tahu.

Akibat mahu meruntuhkan kecurigaan pekerja itu terhadapku maka kehadiran yang hanya sekadar memantau telah membuatku membeli sebuah buku motivasi nipis karangan Habiburrahman El Shirazy. Hikmahnya buku nipis itu telah langsai kuhabiskan pada hari ini. Kandungannya yang berupa cerita teladan dari zaman Rasulullah dan zaman kini amat menarik dan dapat diceritakan kepada anak didikku untuk menaikkan semangat motivasi mereka untuk belajar dan menghadapi arus kehidupan.

"Ok...buat latihan yang ustazah bagi tadi tapi jangan tiru..kalau ustazah tak nampak...sapa yang nampak?" soalku.

"Allah....," laung murid-murid tahun dua al-Farabi kepadaku.

Itulah yang kuterapkan kepada murid-murid agar senantiasa rasa diri diawasi oleh pencipta tidak kira tempat dan masa. Bila rasa diri diawasi maka takutlah membuat dosa.

" Dan ada pun orang-orang yang takut kepada keagungan Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya."
(an-Nazi'aat 40-41)

Mudah sahaja sebenarnya menghalang nafsu mazmumah mengikut bisikan syaitan dari melakukan kemungkaran walaupun terlepas dari mata insan. Ianya adalah merasakan diri senantiasa diperhatikan oleh Allah pencipta. Maka akan wujud ketakutan dari melakukannya kerana pandangan Allah tiada batasan ruang walau seinci berbanding pandangan manusia yang punya had.

Jumaat, 15 Mei 2009

Syukran ya Mu'allim

Perbualan empat rakan di padang sekolah seusai latihan hoki tamat. Topik perbualan sempena hari guru pada 16 Mei. Sekadar berbual sambil merehatkan badan yang kelelahan. Juga buat mengeringkan keringat yang menyimbah diri.

"Dalam ramai-ramai guru, yang mana satu korang sayang ek?" tanya Amir berambut sedikit kerinting.

"Kalau korang nak tahu, aku paling sayang cikgu Ros," jawab Razi berwajah tirus menggambarkan cikgu Ros Amira selaku guru kelasnya.

"Kenapa kau sayang dia?" Amir kembali menyoal.

"Sebab dia seorang guru yang berdedikasi, penyayang, caring, tak pernah anggap kita sebagai musuh malah sebagai sahabat," terperinci jawapan Razi kepada rakan sebayanya itu.

"Aku pulak sayang sangat pada pengalaman," celah Fauzi yang sedikit pendiam karektornya.

"Aik...kenapa pulak," soal Amir, Razi dan Ekhwan sambil melopong mulut sebesar bola pingpong.

"Pengalaman banyak mengajar aku tentang kehidupan," selamba Fauzi menjawab ringkas.

"Aku sayangkan semua manusia sekelilingku," ujar Ekhwan yang digelar ulat buku.

"Kenapa perlu semua?" tanya Amir mencorakkan kerutan pada dahinya.

"Sebab ada patah bicara dan tulisan mereka yang memberi manfaat kepadaku seterusnya menjadi amalan maka bagiku mereka adalah guruku secara tidak langsung," kata Ekhwan yang bercita-cita untuk menjadi peguam.

"Aku cintakan Rasulullah dan baginda adalah the best Mu'allim yang merupakan ketua kepada semua guru, sunnahnya menjadi amalan mereka yang beriman" Amir akhirnya memberitahu guru yang terbaik baginya.


******

Buat insan yang pernah bergelar guruku di
Sek Keb All Saint, Taiping.
Sek Keb Sungai Petani, Kedah.
Sek Keb Sungai Raya, Ipoh.
SMA Gurun.
SMA Raudhatul Ulum Langgar, Alor Setar.
SMA Wawasan, Sungai Petani.
Para pensyarah di KUSZA.
Universiti Al-Azhar, Iskandariah.
Sir SLG English Languange.
IPDA.

Terima kasih atas ilmu dan didikan kalian.
Doaku agar setiap huruf dan nombor yang diberi mendapat keberkatan dan pahala dari Allah.

Doa buat guru-guru yang telah pergi menghadap Ilahi.
Semoga ditempatkan dalam golongan hambaNya yang beriman dan soleh.

Dahulu aku menghormati guru selaku seorang murid.
Kini kumakin menghargai guru kerana sejak menjadi guru baru kutahu pengorbanan dan jerih perihnya seorang guru.
Terima kasih juga buat insan yang menjadi guruku secara tidak langsung dengan bicara dan tulisan.
Semoga bicara dan tulisan bermanfaat itu ada ganjarannya yang sudah tertulis dalam kitab amalan kalian.
Teruskan mencari pahala dengan bait2 perkataan dan nukilan yang baik.
Akan ada yang mengambilnya sebagai panduan dan amalan menghadapi hidup tanpa pengetahuan kalian.
Syukran....

Khamis, 14 Mei 2009

Rebung menjadi buluh

'Melentur buluh biarlah dari rebungnya'

Pepatah melayu yang amat sesuai diterapkan dalam kehidupan.
Sebagai acuan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak.
Sebagai panduan buat para guru mengajar murid-murid.

******

Guru-guru di sekolah agak riuh dengan seorang ibu yang datang memberi amaran agar badan anaknya jangan dirotan dan dicubit.

Ia ekoran seorang guru lelaki yang memukul sedikit tangan anaknya sebagai denda tidak membawa buku.

Memang anak perempuannya itu baik namun sikap sering tidak membawa buku dan tidak menyiapkan kerja yang diberikan itu membuatkan dia didenda untuk memberi peringatan mendisplinkan agar tidak mengulangi sikap negatif itu lagi.

Namun niat didikan guru itu disalahertikan tanpa usul periksa oleh ibu yang merasakan telah mendidik baik anaknya dengan sikap memanjakan.

Sedangkan dia terlupa cara didikan ayah Sazali itu bakal mengundang punah di kemudian hari dan mungkin anaknya akan mengulang kata-kata ini ke cuping telinga ibunya,

"Anakku Sazali...anakku Sazali....."

Memberi apabila diminta.
Percaya apa yang dikata tanpa usul periksa.
Menuduh membuta mata mentuli telinga.
Hanya anaknya yang tidak berdosa.
Orang lain semuanya pendera.

Aku tidak berdoa menjadi sebegitu namun kebarangkaliannya bakal terjadi jika kesedaran masih belum berputik di jiwa.

Doaku agar mereka yang sebegini diberikan kesedaran bahawa mendidik anak bukan dengan cara mengikut 100% kata anak-anak.


Al-Quran tidak pernah mengajar agar mengikut kata anak-anak sehingga menjauhkan dari takhta soleh.

Justeru peganglah Al-Quran sebagai panduan dalam mentarbiah jiwa mentah yang teraba cahaya buat penyuluh tumbesaran hidup.

Gunalah cara tarbiah penghulu umat, Nabi Muhammad s.a.w yang telah terbukti hasil tarbiah baginda itu melalui kekentalan iman ahlul bait serta umat yang mengikut cara baginda.

******

Kesyukuran dipanjat pada Allah taala.
Tahniah buat anak muridku tahun dua.
Kegigihan mereka membaca buku iqra' 1 hingga buku 6.
Sehingga melayakkan mereka membaca kitabullah.
Mereka punya semangat.
Juga kerajinanan.
Ditambah persaingan.
Akhirnya ramai yang sudah menjadi pencinta Al-Quran.
Hasilya kini sudah nampak.
Dari yang merangkak sudah mula bertatih membaca Al-Quran.
Yang mahir rajin menjadi pembantuku mengajar yang lemah.
Itulah tarbiah agar bantu-membantu tersemat dalam diri.

Itulah hadiah paling berharga buat ustazah sempena hari guru ini.
Bukannya hadiah yang terbungkus cantik di depan mata.

Rabu, 13 Mei 2009

Kisah tak sama tapi serupa

"Nak sedut oksigen pagilah," ujarku kepada diri sambil jari menekan punat membuka cermin kereta sederhana luas.

Segarnya menyedut oksigen pagi walaupun tidak setulen oksigen di kawasan pergunungan, pendalaman dan hutan.

Keghairahan menyedut udara pagi tiba-tiba terbantut apabila kepulan asap hitam dari sebuah lori di hadapan hingga mensamarkan objek lori itu sendiri. Mujur ia di lorong sebelah kiri.

"Alah...asap la plak," kukata sendiri sambil menaikkan kembali cermin kereta dengan tergesa-gesa supaya asap pekat itu tidak dapat menerobos ke dalam kereta.

Supaya jantung kuselamat dari menyedut karbon monoksida dari kenderaan yang sepatutnya disaman kerana kecuaian mengurus kenderaan.

Punahlah harapan merasai oksigen pagi. Terpaksa menghidu haruman lavender hasil dari tindak balas penghawa dingin kereta. Mujurlah penghawa dingin berfungsi. Jika tidak, tiada pilihan dari menghidu asap yang menyesakkan nafas itu.
Ketika diperkenalkan dengan vitamin C dan makanan kesihatan untuk membuang toksin dan asid dalam badan semasa kursus kesihatan dan kecantikan diri Sabtu lalu, hatiku mengomel.

"Orang dulu tak makan semua benda ni sihat pun."

Kuutarakan pada Kak Ngah dan terjadinya perbincangan bisik membisik ekoran itu.

"Dulu kurang pencemaran manakala sekarang pencemaran berleluasa dengan bahan kimia,asap kenderaan," aku menghurai sendiri persoalan yang dikemukakan.

"Tu la...makanan pun ada pengawet...tak menyihatkan," Kak Ngah menambah hujah.

"Cara hidup pula tak balance," kataku pula.

"Thats why la kena makan supplemen agaknya," adik pertamaku itu masih meneruskan kata-kata.

******

"La ni ramai orang kena kanser...sampai budak berumur 9 tahun pun ada kanser," beritahu mak kepadaku melalui berita yang disampaikan oleh tok dari Aru, India penjual ikan yang mempunyai isteri penghidap kanser.

"Yaka mak...zaman lani tak mustahil semua tu...banyak sangat pencemaran." jawabku kepada mak.

*******

"Kita kena ambil insuran juga sekarang ni sebab manusia zaman lani ramai mati mengejut...untung-untung apa-apa terjadi ada la duit untuk cover," kata PK HEM kepada cikgu sains pada minggu lepas yang kucuri dengar sambil jari menaip tugasan institut perguruan.

Perbualan itu merujuk kepada rakan-rakan mereka yang juga guru yang ramai sakit dan meninggal mengejut di usia muda.

Guru sains itu hanya mampu tersenyum kerana melalui perbualannya beberapa hari sebelum itu, dia ingin menarik kembali insuran yang dibeli kerana tidak berpuas hati dengan wakil insuran yang hanya sekadar bermulut manis ketika menjual insurannya.

*******

Dunia sudah tua
bongkok dan lemah
menanggung angka usia yang lama
Dunia letih memberi sumbangan kepada manusia
kerana manusia sering alpa dan leka

Dunia sudah hampir hujungnya
kerana itu ramai penghuninya yang dijemput tiba-tiba

Apa sahaja keadaannya kembalilah pada Yang Esa kerana setiap kejadian terkandung hikmahnya.
Namun jangan dilanggar walau sekelumit batasan ciptaanNya
juga larangan hukumNya
buat mengelak hukuman dunia yang ditimpa secara tunai
juga hukuman akhirat yang lebih menyiksa...

Selasa, 12 Mei 2009

Tali

"Ustazah....tengok Hanif ni...dia amik rubber saya," adu Akma ketika pnp Bahasa Arab sedang berlangsung.

"Hanif...bagi balik rubber tu kat Akma...tak baik amik barang orang...berdosa...Allah marah," Hanif kupujuk agar memulangkan pemadam kepada rakan yang duduk bersebelahannya agar pertelingkahan tidak berlarutan.

Tidak sampai seminit Hanif yang terkenal dengan kenakalannya itu memulangkan kembali pemadam itu. Setakat itu sahaja pertelingkahan kanak-kanak kerana sifat kanak-kanak yang sememangnya suka mencipta variasi dalam hidup untuk menarik perhatian orang dewasa. Maka pergaduhan antara kanak-kanak berlaku dalam masa yang singkat sahaja. Walaupun begitu, aku tidak mahu sikap bermain-main mereka akan menjadi duri dalam daging yang menumbuhkan sikap mazmumah bila dewasa kelak. Sikap merampas, mengambil, mencuri dan merompak hak orang lain.

Biar hanya sekadar teguran kecil yang memakan masa sekejap tetapi menjadi garis panduan di masa hadapan. Moga semua itu beroleh barakah di sisi Allah pada kedua-dua pihak.

*********

Entah kenapa malam ini tiba-tiba lagu 'main tarik tali' nyanyian Elyana terngiang-ngiang di telinga. Bukan kerana minat. Entahlah. Mungkin kerana sifatku yang suka mencari bait-bait lagu dengan sesuatu kejadian dan pertuturan sejak dari dahulu. Perkhemahan BIG Julai lalu menemukan rakan yang sama minat dan hobi dan kami sama-sama menyambung lagu dan lirik rentetan dari perkataan yang dibicarakan. Just for fun. Lucu juga rasanya.

********

حبل من الله و حبل من الناس

Itulah pesanan sahabat baik sebelum ke Mesir agar menjaga hubungan dengan Allah dan manusia ketika di bumi Musa itu. Namun bagiku di bumi Mesir kalam Allah itu sebagai latihan permulaan untuk direalitikan di tanah mana sekalipun selagi nyawa masih di badan.

Berpegang pada tali Allah dapat mengikat manusia pada ukhuwah mahabbah...
Berpegang pada tali iblis menyimpul manusia pada sengketa dan pecah-belah...

Wallah hu Taala a'lam bis sowab.

Isnin, 11 Mei 2009

Relevenkah rotan

Guru Besar sering menasihati agar jangan merotan malah menjentik murid-murid. Ini kerana katanya budak-budak tidak bersalah malah jika terjadi sesuatu guru patut menyalahkan diri sendiri. Selain itu katanya agar tidak menimbulkan perkara-perkara yang tidak diingini seperti diserang waris hingga membabitkan media dan pihak berkuasa. Juga kerana larangan merotan yag dikuatkuasaan oleh kementerian. Kami selaku guru mempertikaikan kenyataan wanita cina yang akan pencen pada tahun ini. Maka berbagai komen yang keluar di belakang wanita cina yang kuat semangat itu.

Melalui mata pelajaran Pedigogi ketika kursus perguruan yang telah kuhadiri setiap kali cuti juga kami disuruh menggunakan motivasi untuk menangani murid-murid nakal dan bermasalah. Juga dilarang menggunakan kekerasan dalam mendidik.

Namun sebagai manusia yang punya perasaan adakala terbabas juga dari mengawal sifat agar tidak menghukum dengan kesakitan walaupun hanya sekadar memulas telinga.

Kini penggunaan rotan ingin dikembalikan. Maka setiap perkara yang diusulkan akan mendapat pro dan kontranya dari masyarakat terutamanya ibu bapa. Ada yang bersetuju. Ada juga yang tidak bersetuju.

Jika diukur penggunaan rotan oleh guru-guru pada zaman dahulu amat berkesan mendidik murid-murid ketika itu sehingga melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan yang ada seperti pada hari ini. Malah penggunaannya tidak mendatangkan kesan negatif pada jasad murid serta sentimen ibu bapa serta masyarakat.

Zaman sekarang jika rotan digunakan maka akan mengundang kontroversi satu negara. Ini kerana ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak mereka. Disamping mempercayai kata anak-anak tanpa usul periksa.
********

Aku sengaja meminta pandangan guru Bahasa Inggeris di sekolah ekoran perbincangan tentang topik ini di sebuah stesen radio tempatan pada pagi tadi.

Aku berkata padanya jika merotan untuk mendidik itu tidak mengapa. Kesannya juga tidak akan mengundang cedera. Ibu bapa juga tidak akan menyerang membabi buta.

Guru penghujung usia 40 an itu pula berkata jika kelonggaran rotan itu diberi kasihan pada murid-murid baik yang dirotan akibat kesalahan yang sedikit sahaja.

Kesimpulanku adalah penggunaan rotan wajar digunakan namun perlu digunakan dengan niat yang baik oleh guru. Selain itu ibu bapa juga perlu memberi kepercayaan kepada guru yang bukan sekadar mengajar namun mendidik atau mentarbiah anak-anak mereka untuk menjadi insan yang mulia.

Guru dahulu layak merotan kerana mereka mendidik dengan ikhlas
Guru sekarang diragui untuk diberi hak merotan kerana punya banyak cabang tugasan
Ibu bapa dahulu sanggup anak dirotan kerana mahu anak menjadi manusia berguna
Ibu bapa sekarang tidak benarkan anak dirotan kerana terlalu sayangkan hingga memusnahkan masa depan.

Apa pandangan anda???

Ahad, 10 Mei 2009

Kasih ke syurga

Ralit aku memerhatikan Kitty menjilat anaknya (Popong) yang baru berusia 2 bulan. Bukan setakat Popong malah anak kelahiran pertamanya (Etot) yang sudah 9 bulan juga selalu dijilatnya. Sayang betul kucingku itu pada anak-anaknya.

Jika ditendang dan digigit oleh anak-anaknya tidak dipedulikan atau mungkin terasa sakit akan beredar ke tempat lain. Ia tidak membalas kerana ia adalah seekor ibu.

Jika anak-anaknya berbunyi ia akan berlari tidak ketahuan untuk mencari dan menyelamatkan anaknya. Ia kerisauan kerana ia adalah seekor ibu.

Jika anak-anaknya dimarah kerana kesalahan merosakkan barang di dalam ia akan datang menjilat. Mungkin sekadar memujuk. Ia memujuk kerana ia adalah seekor ibu.

Aku mentafsirkan pujukan Kitty dengan kata-kata yang kunyatakan kepada Kak Ngah yang menjadi bahan ketawanya,

"Anak-anak, jangan rosakkan barang-barang dalam rumah ini, sudahlah kita ini sekadar menumpang. "

'Emak, nanti kalau ..... mati,.....nak jumpa mak kat syurga.'

Tulisan sepupuku yang berumur sembilan tahun yang baru kematian ibunya pada 1999 yang kujumpai ditulis atas sekeping kertas buku nota. Tulisan yang menyebakkan aku sekeluaga sebak kerana kami yang menjaganya sejak dari dahulu hingga tidak dapat kuterima kenyataan bahawa dia hanya sepupu bukan adikku.

Pernah mendapat ibu tiri yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Kini bahagia bersama ibu tiri baru yang memahami kehendak remajanya.

Semoga kebahagiaan itu sentiasa memayungi dia serta abangnya agar dapat menumpang secebis kasih seorang ibu dari rahim yang tidak melahirkan mereka.

*******

Sewaktu membuat keputusan untuk menukar dari Sekolah swasta Wawasan untuk mengambil STPM ke Madrasah Hidayah untuk mengambil 4 thanawi ketika remaja dahulu emak pernah menyatakan perutnya sejuk mengandungkanku dengan keputusanku itu.

Sebelum ke Mesir mak pernah menghalalkan susunya kepadaku yang membuatkanku tenang jika maut menjemput di sana kerana redho seorang ibu.

Kini masa terluang aku tidak mahu menghapuskan redho wanita yang perit mengendongku.

Malah kuingin menabur bakti pada diri yang pernah berkorban nyawa melahirkanku.

Untukmu emak....

Setiap hari adalah hari kusambut dan raikan jasamu itu.

Sabtu, 9 Mei 2009

Adam dan Hawa

"Hebat betul orang lelaki kan, pakar memasak...lelaki, pakar fesyen...lelaki, pakar mekap pun lelaki," bisikku kepada Kak Ngah yang duduk di kerusi bersebelahan denganku.

"Pakar sakit puan pun lelaki," Kak Ngah turut menyambung pujian terhadap kaum Adam itu.

"Aa...aahhh, betul juga tu, patutlah Allah meletakkan lelaki sebagai ketua kepada perempuan." tambah bicaraku pada topik bisikan kami itu risau didengari peserta-peserta yang khusyuk mendengar petua-petua yang diberikan penceramah di depan tentang penjagaan kulit. Kuasa apa entah yang mengheretku untuk menyertai kursus kecantikan dan cara hidup sihat ini aku pun tidak tahu. Mungkin kasihankan Kak Ngah mengajak menemaninya atau sekadar memantau kursus sebegini dari segi relevennya.

"Tapi yang banyak kena sumbat dalam pusat??? pun lelaki juga," Kak Ngah mengulas topik pujian itu kepada negatif.

"Betul jugakan," kataku sambil kami sama-sama ketawa tipis dan senyuman berleretan.

********

Kakiku menapak rumput yang dipotong beberapa hari lalu dengan becak di sesetengah tempat.

"Bagusnya kalau kereta dapat keluar parkir pada hari ini," keluhku sendirian.

"Salahku juga, kenapalah tidakku letak sahaja di luar pagar dari semalam," hati mula menyalahkan diri yang tidak bijak mengatur rancangan.

Pada hari ini jiran sebelah rumah telah mengadakan walimatul urus adiknya maka lima khemah didirikan di hadapan deretan rumah murah kami memustahilkan keretaku untuk membolos keluar. Penyelesaiannya adalah membonceng motosikal abah secara bergilir. Daripada menunggu lebih baik aku berjalan. Nampak abah di pertengahan jalan terus naik sahaja. Tidak payah abah terus ke taman tema Karnival sekali lagi. Kasihan pula pada abah. Cadangan mengharapkan kereta Ateh, pagi-pagi dia sudah ke Seberang Jaya mencari barang untuk kedainya. Malang sungguh nasib diri.

Melayan kebosanan berjalan seorang diri sambil mendengar lalulintas bersimpang siur memintas dan memecut aku melayan perasaan.

Tiba-tiba perasaan risau timbul tentang keganasan Mat rempit akhir-akhir ini.

Handbag kukepit kemas. Langkah kulajukan sedaya mungkin.

"Jika Mat rempit datang aku bagi saja la beg ni," kutujukan kepada beg cenderahati yang diberikan pihak penganjur kepada setiap peserta. Di dalamnya juga ada hadiah nombor bertuah. Muka 'Ong' masin mulut Kak Ngah aku dapat juga hadiah.

"Macam mana pula kalau Mat rempit nak cincin? alah bagi saja la cincin zhu lian yang diberi Tok bulan lepas." jiwa mula tidak senang.

"Tapi aku jalan melawan arus lalulintas, susah Mat rempit nak ragut," aku menenangkan jiwa yang kerisauan.

Kaki ini cepat mengelak hingga ke tepi rumput yang agak panjang jika terdapat motorsikal yang rapat ke gigi jalan. Risau diragut. Mungkin nyawa juga melayang. Aduh cepat betul aku buruk sangka. Tapi demi sebuah keselamatan rasanya tidak salah untuk berhati-hati.

*******

Kejauhan aku nampak motorsikal Honda abah. Alhamdulillah.

Sudah tidak selamat rasanya berada di negara sendiri. Jika dahulu berada di rantauan diselaputi kebimbangan tidaklah menjadi satu kehairanan. Kini di negara sendiri juga sama keadaannya.

Bila manusia sudah lari dari landasan.
Bila hukum Ilahi diperkotak katikkan.
Bila agama dipisahkan dari kehidupan.
Bila Al-Quran sunnah diketepikan.
Bila Allah tiada dalam ingatan.
Begitulah jadi keadaannya.

Usah risau pada sebuah kejahatan makhluk baharu.
Usah risau pada kematian yang memburu.
Usah berharap selain pada Dia yang satu.
Di mana sahaja berada kita tidak lepas dari perhatian-Nya.
Jangan dijauhkan diri dari mereka yang sudah alpa.
Mungkin mereka berdosa.
Namun jangan terus dihunus kesalahan sentiasa.
Mereka juga manusia yang punya hak rasa bersalah
dan
bertaubat kembali kepada jalan cahaya
kerana
syurga untuk semua hamba yang bertaubat dari sebuah kesalahan.
hakikatnya berlawanan dari dunia
kerana
lebih ramai lelaki menjadi penghuni syurga
berbanding wanita yang ramai di dalam neraka.

FIKIRKANLAH WAHAI WANITA
kita mudah mendapat pahala
namun
apa yang menyekat kita dari menghuni syurga???

Jumaat, 8 Mei 2009

Sudah terjawab

Tag from Syahidah di USM.
Sebelum terlupa tertinggal menjadi hutang lebih baik jawav sementara masa masih ada ruang.

1. Nama awak boleh dikatakan sempena nama siapa?

Melalui mimpi abah...tak kena mengena dengan yang sudah hidup dan mati.

2. Kali terakhir awak menangis?

Tak ingat coz tak suka nangis....( menangis takutkan Allah itulah kemenangan...menangis kerana keadaan itulah kekalahan )

3. Awak suka tulisan awak?

Tak suka pun dah itu tulisan kita...cara kita...terimalah kekurangan kita seadanya.

4. Makan tengahari yang digemari?

Apa-apa sahaja asal ada karbohidrat, protein, vitamin, mineral...

5. Awak akan berkawan dengan diri sendiri jika awak adalah orang lain?

Tak tau nak jawab deh coz saya adalah saya bukan orang lain...hehe..

6. Sarcasm?
Bohong kalau kata tak de...risau gak ada hati yg terguris...namun kebenaran itu kadang-kadang pahit.

7. Setuju dengan kempen memboikot barang Yahudi?

Of course tapi ada sesetengahnya yang tidak mampu diboikot melainkan ada orang islam yang buat atau sebagai pengeluarnya.

8. Bijiran kegemaran?

Oat....mengurangkan kolesterol dalam darah...breakfast wajib yang dicampur susu soya sebab mengenyangkan sehingga time rehat 10.10 pagi.

9. Ais krim?

Suka tapi kurang coz tinggi lemak....sekarang HPA dah ada aiskrim kurang lemak..sedap lak tu...nyumm nyummm.

10. Perkara pertama bila melihat orang lain?

Entah tak pernah perhati pun...kalau perangai baik, cantik dan hensemlah orang itu...

11. Merah atau merah jambu?

Warna alam.

12. Paling awak rindu?

Memori semalam.

13. Mahu orang lain selesaikan soalan ni?

Ada ke nak nolong...kau mei yer ( telo kantonis bukan mandarin )

14. Warna kasut?

Hitam...kotor pun tak nampak...senang cerita

15. Sedang mendengar?

Radio alarabiya...buka blog rakan j-QAF ada radio ni dengar aje la...bes gak

16. Warna pilihan jika awak ialah crayon?

Yang dapat mencantikkan sebuah lukisan.

17. Orang terakhir waktu berbual dengan telefon?

Membe BA3 Ipda tanya pasal assemen Gerko.

18. Suka tak orang yang beri soalan ni?

Suka...tak baik benci orang...musuh jangan dicari...rezeki perlu dikongsi ( sudah tukar ka? )

19. Sukan?

Yang lasak tapi tak pernah cuba...sekadar nengok jer...( bila leh try payung terjun/lumba kereta/jetski etc )

20. Rambut?

Pakai tudung...tak nampak.

28. Mata?

Tak pakai contact lens...orang melayu warna apa laie....

29. Kaca mata?

Sudah ditinggalkan sejak 9 tahun lalu.

30.Makanan?

Halal dan seimbang...air tangan mak ( penuh kasih sayang )

31. Cerita hantu atau happy endings?

Sampai ke syurga...bukan tajuk filem tapi biarlah membawa kita sampai ke syurga dengan jalan ceritanya.

32. Movie terakhir?

Tak ingat dah sejak DVD rosak + sibuk = iklan pun tak sempat tengok.

34. Musim panas atau sejuk?

Semua musim asalkan hati tenang yang panas menjadi sejuk..yang sejuk menjadi panas...lalu dalam kebun getah rasa macam di New Zealand ( tinggi betul imaginasi )

36. Pencuci mulut?

Guna air dan tuala pengelap.

37. Paling tak suka cakap???
????

38.Buku?

Yang bermanfaat...sekarang ni buku motivasi kot...tetiba minat motivasi.

39. Apa ada di atas alas tetikus (mouse pad)?

Tah...dah lama tak guna.

40. Apa yang awak lihat di tv semalam?

Tv yang tgk saya coz tak letih sangat..selepas balik dari sekolah ke Jitra hantar assemen...singgah Jitra Mall tunggu abah dan adik pilih baju.

41. Lagu?

Semua rentak, irama dan genre asalkan tidak terkeluar akidah.

42. Jarak paling jauh dari rumah yang pernah awak pergi?

Egypt...flight 9 jam perjalanan...sempat habis tengok semua movie korea + rosakkan game...

43. Lahir di mana?

Rumah tok sebelah mak di Kg Raja, Sungai Petani, Kedah.

44. Tag orang lain?

Siapa yang baca...rasa nak jawab silakan...jika tak abaikan...


Ahad, 3 Mei 2009

Ohhh... IBU...

Nek Nah terus bercerita perihal anaknya yang menggunakan wang pencen suaminya untuk membina rumah di atas tanah yang baru dibeli tahun lepas.

Jika cerita itu adalah cerita baru tidak dihiraukan sangat tetapi itu rentetan dari cerita lalu sejak anaknya itu muda belia.

Kesalahan anak Nek Nah hanyalah sekadar meminjam duit ibu bapanya tanpa membayarnya kembali. Namun ada goresan luka di hati Nek Nab akan perilaku anaknya itu. Jiwa seorang ibu yang berkudrat tua begitulah keadaannya barangkali. Aku cuba meneka.

"Sabarlah Nek Nah, insyAllah nanti dia bayarlah hutang tu, tak baik kita buruk sangka pada perkara yang belum berlaku," aku dan mak cuba memujuk Nek Nah.

"Harap pun begitulah," jiwa Nek Nah kembali tenteram.

Seorang ibu....
memberi jika anak memerlukan
menolong jika anak meminta pertolongan
sanggup menghadapi kesukaran menghulur bantuan pada anak kesayangan

Kenapa ya Nek Nah masih memberi pinjam kepada anaknya sedangkan hutang lama masih belum langsai???

Malah Nek Nah masih melayan selera anaknya yang sudah mempunyai tiga cucu itu. Memilih ikan dan memasak lauk kegemaran anaknya walau dirinya sendiri sudah jemu dengan masakan itu.

Bak kata sejak anaknya itu tinggal bersamanya untuk memantau pembinaan rumah baru yang diidamkan sejak dahulu segala keperluan anaknya diuruskan ibu tua itu.

Tingginya nilai pergorbanan Nek Nah.


"Seorang ibu ini walau marah macam mana pun pada anaknya tidak tergamak membiarkan anak kesusahan," itu antara ayat yang pernah dituturkan mak.

Itulah sebenarnya jawapan kepada teka tekiku di atas keganjilan pergorbanan Nek Nah terhadap anak yang beberapa kali menguris hatinya bukan sahaja dengan sikap malah kata-kata.

Menghargai seorang ibu yang mengandung dan melahirkan kita tidak cukup hanya sekadar sehari.
Malah setiap saat juga jasa dan pergorbanan itu tidakkan terbalas.
Bonusnya jagalah perasaan dan hatinya agar tidak terluka dengan perbuatan dan kata-kata.
Kerana jika itu terlaksana perut ibu yang sejuk mengandungkan anak itu bakal memberikan kebahagiaan buat si anak di dunia dan akhirat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...