? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Jumaat, 4 November 2011

1 kiblat..

Terima sms dari seorang sahabat yang sedang mengerjakan rukun Islam ke 5.

'Nafas 6 juta umat Islam di sini. Allah hu akbar !'

Dalam kepincangan akhlak dan moral umat Islam di tahap yg genting. Dalam kancah perpecahan umat Islam yang meruncing. Dalam bencana alam yang meragut korban yang angka berjuta billion. Di rumah Allah sana, umat Islam tetap dikumpulkan di bawah satu akidah dan kalimah syahadah. Juga di bawah satu cinta terhadap-Nya.

Subhanallah. Allah hu Akbar.


Saya turut berbahagia dengan sahabat ini. Beliau yang terlalu berharap dapat ke sana. Malah hampir dijemput pada tahun lepas setelah dicucuk sebagai salah satu prosedur yang wajib. Namun kehendak DIA mengatasi segalanya apabila perlu menanti hanya setahun lagi.

"Allah lebih tahu apa yang kita hamba-Nya yang lemah ini tidak tahu. Kita sudah rasa mampu. Namun DIA lebih tahu bahawa banyak lagi yang perlu kita pelajari, insafi dan muhasabah diri," saya cuba tenteramkan sedikit rasa terkilan sahabat ini pada tahun lepas.

"Barangkali banyak lagi yang Allah mahu diri ini pelajari," sambungnya pula.


Kata seorang ustaz dalam sebuah buku," Berubah untuk menjadi baik bukanlah bermula di Mekah tetapi perlu dimulai dari negara sendiri."

Bertaubatlah dari awal agar di sana tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini sepertimana yang sering kita dengari dan bacai tentang perjalanan ibadat yang terganggu dek perilaku silam yang masih tertangguh taubat.


"Kenapa **** tak mahu lagi tunaikan ibadat haji?"

"Hmm..dia kata takut dosa-dosa di sini dibalas cash di sana."

Ayat yang seringkali kita dengar dari seseorang yang teragak-agak untuk melunaskan rukun Islam kelima itu.

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sepatutnya rasa takut dan gusar ada di mana-mana sahaja kerana Allah Taala lihat dan dengar walau di bumi mana kita berbuat dosa. Lintasan di hati kecil juga diketahui.

Jika setiap hembusan nafas juga keluar dengan mengingati Allah. Maka tiada ruang untuk berbuat maksiat dan dosa kerana takutkan DIA.

*** Pengorbanan yang sebenar bukanlah untuk sekadar memberi kebahagiaan pada diri sendiri sahaja. Namun membahagiakan orang sekeliling tetapi itulah yang amat sukar untuk dilaksanakan dengan IKHLAS ***

Rabu, 5 Oktober 2011

Wo ai mak..luv cokolatah..



Sudah beberapa hari post saya ini tertangguh. Sedangkan saya teruja untuk menulis di sini. Namun beberapa kali saya gagal memuat turunkan gambar. Sepertimana status yang saya tulis di facebook. Blog saya barangkali merajuk kerana sudah lama ia dibiarkan bersawang.


Keterujaan saya untuk mempamerkan coklat yang dibuat oleh mak kepada anak-anaknya atas rasa cinta dan kasih-sayang. Coklat berbentuk hati yang melambangkan cinta mak kepada kami. Coklat yang apabila dimasukkan ke dalam mulut terasa nyamannya. Lalu mendatangkan kebahagiaan apabila mengunyahnya. Itu adalah kebiasaan ketika kita memakan coklat. Namun pada kali ini rasanya berganda-ganda kerana ia adalah air tangan mak.


Banyak kali perkara ini terjadi. Kerap kali ketika memandu pulang dari sekolah ke rumah. Hari itu sekali lagi.


Tiba-tiba saya lapar coklat. Lalu teringat akan D'Corte, coklat hitam yang dibeli oleh Mak Teh sebelum Hari Raya yang lalu. Sampai ke rumah coklat itu akan dikunyah untuk menghilangkan rasa gian. Coklat itu hanya tinggal sedikit. Ia akan habis. Hendak membeli semula, perlu memesan kepada saudara-mara atau rakan-rakan yang akan ke Langkawi kerana tidak dijual di tempat lain. Aduh. Lama pula akan dapat merasai nikmat coklat hitam yang disaluti badam atau hazel yang banyak.


Di dalam bilik mak masuk menghulurkan dua biji coklat yang berlainan saiz dan bentuknya. Cair di dalam mulut rasanya juga lain. Namun kedua-duanya sedap. Satu coklat yang bersalut bertih seumpama crispy yang terdapat di pasaran. Manakala sebiji lagi adalah coklat mentega kacang yang belum pernah dirasai sebelum ini. Rasanya manis dan sedikit masin. Itulah coklat yang berbentuk cinta.


Itulah keajaiban yang sudah beberapa kali terjadi. Saya menginginkan sesuatu lalu mak merealisasikan tanpa mak tahu saya mahukannya. Ajaib. Barangkali hubungan akrab antara ibu dan anak bukan sekadar di dalam rahim. Namun di dunia yang serba luas ini yang adakala menjarakkan beribu batu juga hubungan itu masih berlangsung.


Saya harapkan rasa itu akan dapat saya laksanakan untuk mak apabila mak menginginkan sesuatu tanpa saya tahu dari lisan mak. Merealitikannya walau dengan keringat dan sehabis tenaga saya seperti mak melaksanakannya untuk saya.


Terlalu banyak untuk dinukilkan.


Namun yang membuatkan saya amat tersentuh adalah dalam dua situasi. Ketika saya di Kusza, mak pernah membuat pelbagai kuih diletakkan di gerai air tebu Tok Wan berniaga di bulan Ramadan. Gerai di hadapan masjid yang tidak ramai pelanggan seperti bazar Ramadan membuatkan kuih mak yang pernah popular suatu ketika dahulu banyak yang tidak laku. Lalu mak sedekahkan kepada para jemaah pada malam itu. Kata mak, itu rezeki para jemaah. Saya seperti mahu meletakkan gagang telefon di ketika itu juga. Mahu menangis semahu-mahunya. Namun saya kuatkan hati memberi kata semangat kepada mak.


Situasi kedua berlaku ketika saya tidak cukup wang untuk membeli tiket pulang ke tanahair sewaktu di Mesir. Saya teragak-agak hendak memberitahu walaupun duit tiket pergi dan pulang sememangnya sudah arwah abah sediakan dari duit keluaran simpanan KWSP. Namun naik turun matawang tidak menentu. Ditambah harga tambang kapal terbang yang naik melambung membuatkan wang yang diperuntukkan tidak mencukupi. Tidak dapat tidak saya memaklumkan kepada mak. Hanya beberapa minggu sahaja mak maklumkan kembali wang diperlukan sudah mencukupi. Saya hairan. Bagaimana mak dan arwah abah mendapatkan wang sesegera itu. Apabila disoal, mak tidak memberitahu dan hanya mahu saya pulang segera dengan selamat. Aneh.


Berada di Malaysia mak memberitahu bahawa dengan bakat dan kudratnya, mak membuat maruku setiap hari. Memulas adunan marku menggunakan acuan kayu bukannya mudah. Perlukan kudrat yang kuat. Berpanas di tepi kuali yang ditakungi minyak masak yang banyak. Peluh menitik dari muka sehingga ke buku lali. Adakala untuk menyelesaikan bancuhan tepung itu mak menangguhkan waktu makannya.


Arwah abah akan menyangkut maruku yang dibungkus plastik itu ke handle motorsikalnya ketika berkerja. Berjaja sambil menghantar surat dan bungkusan sehingga ke daerah pendalaman Baling, Sik dan Grik.


Namun kata mak, berkat niat mak dan abah untuk anak mereka ini barangkali maruku yang dijaja laku setiap hari. Pelbagai bangsa membelinya. Hampir setiap penghuni rumah yang arwah abah hantar barang dan surat akan membeli apabila nampak abah berjaja. Alhamdulillah. Rezeki tanpa disangka-sangka kata mak. Saya sebak. Namun sekali lagi saya tahan untuk tidak menitiskan airmata di hadapan mak.


Terlalu besar pengorbanan mak. Terlalu kerdilnya saya untuk membalas segala-galanya. Namun saya akan cuba memberi apa yang diinginkannya.


***Terima kasih mak. Syukran ya ummi. Xie xie wo de mama. Walau saya sebut dalam 1000 bahasa pengorbanan tetap melebihi segala-galanya.***

Selasa, 13 September 2011

Ikut acuan sendiri


"Jika mahu hidup bahagia. Jangan hidup dengan acuan orang lain. Hiduplah dalam acuan diri sendiri. Jika mahu juga ikut acuan orang lain janganlah sampai terlalu mendesak".


Ramai orang yang terlalu mengejar kejayaan, kekayaan dan kecemerlangan dengan mengikut landas dan prinsip hidup orang yang menjadi idola. Namun hakikat yang sering tercicir adalah kebahagiaan. Akibat dari itu sesuatu yang dikejar itu sebenarnya tidak benar-benar memberi kegembiraan.



Perhati pada ragam hidup pelbagai golongan. Bermula dari golongan bawahan yang hanya sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ada lompongnya adakala. Golongan pertengahan yang hanya cukup-cukup sahaja. Namun mereka mampu tersenyum dalam keadaan perut bersenandung minta diisi.



Golongan atasan yang dapat duit berlipat-lipat setiap bulan. Namun masih mencuka dan mengeluh tidak cukup di segenap segi.



Di manakah silapnya???



Dua golongan permulaan itu sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada. Tidak terkocoh-kocoh mengejar sesuatu yang dimiliki oleh orang lain sehingga perlu jadi orang lain itu. Jika mengejar pun hanya sebagai motivasi untuk memajukan sedikit taraf kehidupan diri dan keluarga.



Manakala golongan terakhir sering berasa ketidakcukupan akibat melihat kepada kehidupan orang lain. Menjadi orang lain itu sehingga lupa untuk kembali menjadi diri sendiri.



Orang yang bahagia adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada. Menjadi diri sendiri.



Orang yang kurang bahagia adalah orang yang tidak bersyukur pada apa yang diperolehi. Mengubah diri menjadi orang lain.



Manakah yang ingin kita pilih dalam kehidupan ini??? Bahagiakah yang dikejar atau kehendak diri yang tidak pernah cukup dihambat???



***** Memaafkan dan mendoakan semua orang termasuk dalam perbuatan yang akan membahagiakan ****** Tak caya cuba buat :-)



Isnin, 6 Jun 2011

Miskin vs Kaya

'Jauh perjalanan luas pengalaman'.

Benar sekali ungkapan di atas. Percutian saya pada cuti pertengahan sekolah pada tahun ini telah saya ubah menjadi sebuah perjalanan menjejak realiti kehidupan. Memandang realiti kehidupan manusia dari pelbagai perspektif. Mudah katanya adalah melihat kehidupan dari kaca mata seorang manusia bawahan sehingga atasan. Pastinya taraf itu yang dicipta oleh manusia bukannya pencipta.

Jika diberi pilihan saya lebih suka melihat dari sudut kaca mata orang bawahan. Juga lebih suka memandang orang miskin berbanding orang kaya.

Bagi saya, memandang orang miskin itu lebih banyak nilainya. Nilai untuk diri saya hasil cedokkan dari nilai yang dimiliki mereka-mereka yang miskin. Kesusahan yang membuatkan mereka berjuang untuk sebuah kehidupan. Membanting tulang empat kerat untuk sesuap makanan. Mengerah keringat untuk seteguk minuman. Pastinya yang dicari bukan untuk hanya mengisi kantung perut sendiri. Namun semua kantung perut orang-orang yang disayangi.

Mereka adalah wira. Wira untuk meneruskan kehidupan. Juga wira memberi peluang kehidupan kepada insan-insan di sekeliling.

Selepas ini, percutian saya akan terus dipandang sebegini.

Bukannya sekadar percutian dibaluti selimut akibat kesejukan alat penghawa dingin di hotel.
Bukan juga percutian selesa menaiki teksi tanpa berebut-rebut dalam debu dan sesaknya manusia menunggu dan menaiki bas.
Bukan juga sekadar percutian menyantap makanan yang mewah-mewah.
Bukan juga percutian membeli-belah menghabiskan wang berkepuk-kepuk.
Bukannya percutian yang berasakan diri kaya tetapi percutian yang mendatangkan seribu keinsafan bahawa kita ini manusia sebenarnya adalah terlalu miskin. Hanya DIA yang Maha kaya.

Sabah. Negeri paling miskin di Malaysia mengatasi Kelantan. Awalnya saya tidak mahu mengiyakan kenyataan tersebut kerana masih belum menjejak kaki di sana. Namun saya mengiyakan setelah lebih seminggu berada di sana. Hampir setiap mata bening saya renungi bagi mendalami dalamnya kesukaran hidup yang mereka hadapi. Hampir setiap orang saya perhati agar dapat melihat kesukaran mereka bergelut mendepani arus hidup.

Saya insaf. Insaf kerana adakala saya hampir lupa kepada kesusahan yang pernah mewarnai kanvas hidup suatu tika dahulu walaupun kini bukanlah terlalu senang. Saya terimbas. Terimbas kepada slot-slot kehidupan sukar dahulu kerana keluarga saya bukanlah keluarga yang mudah untuk memiliki segala-galanya.

Namun saya bersyukur walaupun saya tidak senang, saya diberikan peluang memiliki nilai-nilai kehidupan hasil dari kesukaran yang dikurniai. Itulah kurniaan yang pencipta mahu berikan. Nilai yang membolehkan memandang semua aspek taraf hidup. Nilai yang tidak mampu dibeli dan dimiliki oleh hartawan dan jutawan.

Namun saya juga perlu memandang orang kaya. Bagi melengkapkan ilmu saya tentang semua taraf kehidupan. Membandingkannya. Bukannya untuk mencari kesalahan tetapi bagi melihat sejauhmana hebatnya orang miskin kerana SYURGA kelak dipenuhi orang miskin.

Sebaik mana pun pandangan manusia. Pandangan Allah lebih baik. Maka kerana itulah DIA lebih mengetahui siapa yang layak menghuni jannah-Nya.

Jika kita berbangga menjadi orang kaya.
Kita jangan lupa bahawa Rasulullah tidak memilih jalan senang dalam hidup.
Cukuplah kita menjadi orang kaya yang mahu membuktikan bahawa Islam ini kuat dengan membahagi-bahagikan harta melalui zakat dan derma sehingga tiada lagi umatnya yang melarat. Negara makmur. Islam dapat disebarkan.

Rabu, 1 Jun 2011

Saya merindui blog ini sepertimana saya merindui mak dan adik-adik saya ketika ini.

Benarlah kata-kata mak,"Sebagaimana buruk pun sesebuah rumah anak-anak pasti akan teringatkannya apabila berjauhan."

Juga seperti kata-kata mak,"Sebagaimana tidak sukanya anak-anak kepada ibu-bapa, akhirnya ibu-bapa juga yang dicari apabila anak-anak mempunyai masalah."

Kata-kata seorang ibu itu seringkali benar. Ini kerana ibu lebih mengenali anak-anak yang berkongsi jasad dengannya sebelum lahir. Perkongsian yang membuatkan akrab. Keakraban yang membuatkan ibu seringkali dapat menghidu tipu muslihat anak-anaknya. Dapat mencium gerak kerja negatif anak-anaknya. Gerak hati yang memandu ke arah jalan benar akan perbuatan anak-anak walau sejauh mana pun jarak antara keduanya.

Itulah kehebatan seorang ibu yang dianugerahi Ilahi kepada seorang wanita yang asalnya lemah jasad dan jiwa.

"Jika anak-anak rasa lemah dan tidak berdaya, mak lagilah rasa akan ketidakdayaan itu kerana sekarang mak adalah ibu dan ayah kepada anak-anak," luah mak kepada kami 6 beradik.

Mak yang kukenali dari dahulu sememangnya seorang wanita yang cukup kuat dan kental. Ketika arwah abah mendepani cabaran kerja dan mehnah dunia. Mak lah sebagai tulang belakang arwah abah. Menjadi motivator utk abah. Memberi kauseling agar arwah abah sanggup melalui semua cabaran dengan tabah dan cekal. Kedua-dua mereka telah berjaya melalui segala onak dan badai rumahtangga. Juga gelombang kerjaya. Malah mendewasakan kami 6 beradik. Dalam serba kesederhanaan. Namun dengan penuh rasa kesyukuran dan keseronokan kerana kesederhanaan dan kesukaran itulah nilai hidup yang tiada tolok bandingnya dengan segala isi harta dunia.

Sejak abah arwah, saya makin akrab dengan mak. Segala masalah dan rahsia dikongsi. Pelbagai cerita dihambur. Saya menjadi pendengar walaupun adakala hanya sekadar tersenyum akibat tangan sibuk menyiapkan kerja selepas Isyak.

Abah saya hanya seorang. Arwah telah pergi dalam keadaan saya belum sempat menyenangkannya.

Mak saya hanya seorang. Saya bertekad mahu membahagia dan menyenangkannya sedaya saya selagi beliau masih ada.

Konsep mencari pahala kepada seorang anak terlalu mudah. Buatlah baik kepada ibu bapa selagi mereka masih ada.

Konsep mengumpul pahala kepada ibu bapa juga sama mudahnya iaitu dengan menjaga dan mendidik anak-anak dengan didikan Rasulullah berasaskan Al-Quran dan sunnah.

*** Dahulu saya hanya mencoret di sini. Sekarang saya punya hobi baru. Meng'upload'kan gambar-gambar di sini melalui kamera saya sendiri***

Khamis, 17 Mac 2011

Matahari dan Jepun

Saya sudah menemukan jawapan atas persoalan tiba-tiba saya jatuh cinta kepada matahari. Bermula sejak perjalanan awal pagi ke sekolah.

Walhal ketika belajar dahulu saya adalah pencinta fanatik bulan. Di tengah malam berjaga keseorangan, saya meluaskan tingkap menatap wajah bulan. Terlupa seketika yang saya telah mendedahkan diri dan kawan-kawan dengan penceroboh kerana sampai pagi tingkap itu masih ternganga. Waktu itu bulan sebagai semangat untuk saya tekun belajar. Melihat bulan saya nampak wajah mak, abah dan adik-adik. Wajah-wajah insan tersayang itu tersenyum mengharapkan kejayaan saya.

Perjalanan awal pagi ke sekolah ketika bulan masih lagi di singgahsana sehingga mentari sedikit malu mengunjukkan diri. Itulah panorama yang saya tatapi setiap hari. Mulanya tidak saya peduli. Namun lama-kelamaan saya telah mula jatuh hati pada bebola panas yang ditawaf oleh planet-planet termasuk bumi di galaksi.

Subhanalllah. Subhanallah. Subhanallah.

Kalimat itu yang keluar dari bibir. Disamping hati yang turut sama mengakui. Cantiknya fenomena aturan Allah itu. Beberapa kali saya ingin memberhentikan kereta di tepi jalan untuk merakamkan kecantikan tersebut melalui lensa kamera. Warna alam yang bertukar dari hitam ke jingga bercampur merah dan kuning sehingga menampakkan langit kebiruan bertompok awan putih juga cukup indah.

Allah hu akbar. Allah hu akbar. Allah hu akbar.

Perhatilah. Bukan sekadar melihat tanpa ada apa-apa rasa. Hanya fenomena biasa alam. Perhati dengan mata hati akan setiap kejadian yang diciptakan sekeliling diri.

" Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah untuk orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring mengiring. Mereka pula memikirkan perihal kejadian langit dan bumi sambil berkata," Wahai Tuhan kami ! Tidak engkau menjadikan semua benda ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, pelihara kami daripada azab neraka."

Surah Ali Imran ayat 190-191

Ketika itu saya merasakan cinta ini hanya kerana kecantikan pada matahari itu sahaja. Sedap mata memandang.

Hari ini setelah Jepun dilanda bencana gempa bumi 8.9 skala ritcher bersama terjahan tsunami yang menggulung seluruh isi alam. Setelah saya mengikuti kronologi bencana yang memakan 10,000 mangsa. Rentetan reaktor loji nuklear yang meletup satu-persatu akibat paras radiasi yang melonjak yang entah bila berakhirnya. Setelah saya melihat video seorang tua Jepun yang diselamatkan dari bencana berkata," Mari kita bina sama-sama."

Justeru saya tersedar akan semangat bangsa Jepun yang tidak mudah patah. Perang dunia kedua telah membuktikan Jepun bangkit sebagai negara dunia ketiga yang maju.

Jepun amat sinonim dengan matahari. Bendera negara Jepun sendiri ber'objekkan matahari di tengah-tengah latar belakang putih. Matahari yang muncul dari arah Timur membuatkan Jepun tidak pernah lekang dengan matahari.

Semangat yang lahir dari matahari. Bangun dan muncul tepat setiap pagi menerangi alam. Memberi manfaat buat seluruhnya. Hilang semula tepat setiap hari untuk seluru isinya beristirahat.

Rutin bangsa Jepun seperti matahari walaupun majoriti mereka bukan Islam. Cara mereka belajar dan bekerja seperti matahari. Tidak bosan yang sentiasa cepat dan tepat.

Saya dapat pengajaran dari matahari dan Jepun.

Allah telah mengaturkan jadual yang terbaik untuk manusia sepertimana jadual yang diatur-Nya untuk bima sakti . Sebermula awal pagi Solat Subuh. Mungkin awal lagi daripada itu kira-kira jam 3 atau 4 pagi bertahajjud. Sebelum bertebaran ke seluruh pelusuk dunia melaksanakan tugas masing-masing.

Sepatutnya umat Islam mampu lebih maju dari bukan Islam jika benar-benar menuruti jadual yang diatur oleh pencipta. Berakhir dengan solat Isyak sebelum melelapkan mata. Membuatkan umat Islam benar-benar selari dengan sistem biologi yang tercipta untuk kesihatan jasmani dan rohani yang mantap. Apabila punya kemantapan maka mampu mengeluarkan produk yang bukan sahaja berkuantiti. Malah berkualiti.

Barangkali jika disoal akan sebab umat Islam tidak maju. Jawapannya adalah umat Islam kini majoritinya sudah songsang arus jadual yang diatur Ilahi.

Solat yang ada lompong. Barangkali sudah lama tidak dilaksana. Mungkin juga tidak tahu bagaimana mahu melaksanakannya.

Sunnah yang dikesampingkan. Digunapakai oleh umat bukan Islam. Jepun sendiri mengikut sunnah Rasulullah dengan cara berjalan cepat seolah-olah menurun yang memberi impak seperti senaman. Juga lebih banyak berjalan berbanding berkenderaan melaksanakan kerja sehari-hari.

Lihat bencana ini dari sudut yang positif. Buang lumpur. Tolong bina kembali penempatan. Bukan sekadar lawak Ultraman lari dikejar ombak Tsunami. Atau membuat kenyataan di manakah Ultraman, Doraemon dan superhero yang lain untuk membantu. Jelas minda sebahagian masyarakat kita masih terkebelakang. Sepertimana terbelakangnya kita dari segi kemajuan teknologi.

Kesalnya lagi apabila hanya angka gejala sosial yang mendahului dari segala carta kemajuan. Nampaknya jadual songsang yang diamalkan bukan sahaja mampu memundurkan. Malah membuatkan selruh umat Islam dan Islam dipandang serong oleh dunia. Walhal yang melakukannya hanya sebahagian.

**** Natijahnya, saya mencintai matahari kerana manfaatnya. Saya sukakan Jepun yang tidak lekang dengan matahari kerana semangat yang ada. Saya ingin meminjam semangat itu untuk terus menggali dan memberi ilmu untuk dimanfaati semua.

Jadilah manusia yang bukan sahaja mengambil manfaat. Malah dapat memberi manfaat sehingga akhir hayat.

Sabtu, 5 Mac 2011

Dalam hati ada taman cinta Allah Taala.

Sewaktu kecil. Saya lebih suka memerhati daripada berbicara. Adakala saya memerhati seseorang atau sesuatu kejadian dengan leka sehingga tidak sedar akan perkara lain di sekeliling. Kerapkali ditegur dan dimarahi oleh mak. Acapkali berlaku ketika berada di luar rumah. Bagi saya, dalam rumah terdapat orang dan rutin yang sama. Maka tiada kepelikkan di situ. Berlainan di luar rumah. Ramai orang dan banyak perkara baru yang dapat saya tontoni dan pelajari.

Dewasa kini. Saya masih lagi suka memerhati tetapi dengan cara yang lebih beradab. Pemerhatian bukan sahaja di luar rumah iaitu di dunia nyata. Namun boleh juga berlaku di dalam rumah iaitu di dunia maya yang hampir diuliti sehari-hari.

Cinta. Ramai yang berbicara tentangnya. Bermula dari cinta Allah Taala sehinggalah kepada cinta kepada alam sekitar.

Majoriti agamawan berbicara tentang cinta tuhan.
Majoriti ilmuwan berbicara tentang cinta buku.
Majoriti rupawan berbicara tentang cinta alat solek dan baju.
Majoriti remaja dan dewasa berbicara tentang cinta manusia.
Majoriti wanita berbicara tentang cinta kekasih dan suami tercinta.
Majoriti rakyat berbicara tentang cintakan negara yang makmur punya pemimpin adil saksama.
Majoriti sukarelawan berbicara tentang cinta alam sejagat.

Namun majoritinya dari di atas berbicara tentang cinta manusia. Manis apabila dimiliki. Pedih apabila tidak dipeduli. Pelbagai perasaan yang diluahkan. Ada manis. Ada masam. Ada suka. Ada duka. Ada yang meleret-leret. Ada yang ringkas. Ada yang ditulis tersurat. Ada yang dirangkai tersirat. Ada yang meletakkan lagu yang mendayu-dayu. Melayan jiwa yang barangkali ada taman atau barangkali dilanda garuda.

Jika bisa berbicara. Ingin saya nyatakan.

Usah terlalu mengejar cinta dunia kerana dunia akan musnah.
Usah terlalu dikejar cinta manusia kerana manusia akan mati.
Usah dikejar bahagia sementara kerana kita bisa perolehi bahagia abadi.
Janjinya hanya satu iaitu mencintai Ilahi lebih dari segala yang ada di alam ini.

Jika sudah Allah menulis orang yang kamu cintai itu bakal menjadi pendamping halalmu. Pastikan bersamamu tidak kira apa sahaja halangan yang menjelma.
Jika sudah Allah tuliskan bahawa dia bukan untukmu. Segala kemudahan yang terhampar tidak akan membawa engkau untuk bersamanya.
Jika itu yang kalian fahami, yakini dan boleh imani. Maka kalian akan beroleh kelapangan.
Justeru mencipta kebahagiaan yang berpanjangan. Bukan sahaja di dunia yang diharapkan. Malah di akhirat kekal abadi.

Burulah cinta-Nya. Nescaya kalian akan diberi bonus akan cinta manusia yang juga punya cinta utuh terhadap-Nya. Berbanding jika kalian hanya memburu cinta manusia. Diperolehi hanya cinta manusia yang kalian cintai yang kesamaran cinta sebenarnya pada pencipta.

Ramai yang hairan apabila orang agama berbicara tentang cinta. Namun kerana cinta jualah kami berbicara untuk melihat semua dari kita mencintai Tuhan Yang Maha Esa sepenuh jiwa raga.
*************
Tidak pernah saya terfikir. Apabila perlu menanggani cinta seorang murid sekolah rendah yang bernama Mat Romeo. Macam-macam hal dalam dunia ini.

Sabtu, 15 Januari 2011

Interlok : antara nilai dan salah faham.


Saya menggeledah perpustakaan sekolah yang terletak bersebelahan bilik guru. Seperti biasa, untuk mencari bahan bacaan yang boleh dihadam ketika masa lapang di rumah. Tiba-tiba retina tertancap kepada 2 buah novel garapan 2 sasterawan negara. Saya mula memilih antara dua untuk dipinjam.

Terimbau ketika di Kusza. Hampir setiap pelosok perpustakaan saya geledah. Namun antara sudut yang saya suka adalah bahagian novel yang ditulis oleh para sasterawan negara. Ada sebahagiannya ditulis zaman sebelum merdeka yang saya sendiri tidak mengenali penulisnya. Bahagian kulitnya sebahagian juga sudah samar-samar. Bahasanya pula adalah bahasa melayu lama yang pada sesetengah ayat perlu diulang-ulang bacaan untuk difahami. Namun di situ punya nilai antiknya, sasteranya, ilmunya dan pengajarannya. Ia bukanlah sebuah novel picisan yang hanya digarap tanpa ilmu dan nilai. Itu adalah salah satu sebab kenapa saya lebih tertarik kepada novel yang ditulis oleh sasterawan.

Saya memilih 'Interlok' yang ditulis oleh Datuk Abdullah Hussin. Novel yang masih nampak baru luar dan dalamnya. Barangkali jarang dipinjam oleh murid-murid. Sememangnya nyata apabila kad pinjaman di bahagian dalam buku hanya tertulis 2 nama peminjam. Barangkali murid-murid beranggapan bahawa buku sebegini berat dan tidak menarik untuk dibacai. Ketika itu hati saya bertekad untuk menjadi orang pertama menjadi pembaca sastera di sekolah ini. Bersesuaian sebagai guru semestinya penggorak langkah perkara yang baik kepada murid-murid.

Interlok itu saya simpan dahulu. Ada sedikit sifat murid dalam diri bahawa novel itu berat yang tidak akan dapat dihadami dengan cepat. Namun setelah diuliti dari awal, perasaan bergejolak untuk mengakhirinya. Lantas dengan cepat saya usaikan. Puas.

Ketika bercakap di perhimpunan, saya menceritakan serba-sedikit tentang novel yang menarik ini. Saya cuba mengangkat sedikit bahan bacaan berunsur sastera di mata anak-anak di sekolah kecil itu. Niat utama saya mahu mereka mengenali, mencintai dan membaca bahan bacaan berunsur sastera yang punyai banyak manfaat berbanding bahan bacaan picisan, komik dan sebagainya.

Rupa-rupanya kata-kata saya itu diambil endah oleh beberapa orang murid perempuan yang suka membaca. Mereka datang bertanya tentang sinopsis novel itu. Masing-masing berebut untuk menjadi peminjam untuk menguliti sendiri. Sejak itu tanpa saya semak semula kemungkinan nama peminjam sudah bertambah.

Itu peristiwa yang berlaku pada 2009. Seorang guru baru yang cuba mengangkat Interlok, sebuah novel terpinggir di mata anak-anak di sekolah luar bandar. Hari ini Interlok kembali diangkat kerana kontroversi yang berlaku antara mahu diangkat dan mahu dijatuhkan dari menjadi teks di negara ini.

Saya tidak berapa mengikuti perjalanan kontroversi ini. Namun saya rasa amat rugi apabila khazanah ini dibakar sewenang-wenangnya. Dahulu saya rasa amat puas membacanya walau hanya dipinjam. Kini saya ingin mencari, membeli dan menjadikan ia koleksi peribadi. Kembali membacanya. Lebih menghadaminya.

*****************

"Kak Long, ada novel apa lagi? Cinta tamau ok," tanya Iman adik keempat saya setelah langsai membaca 'Pengembaraan Hang Jebat'.

"Ada, nak novel sejarah, fiksyen atau kehidupan. Novel cinta sememangnya tidak ada?" ujar saya.

"Apa-apa sahaja." katanya yang menghabiskan masa sehari-hari dalam bilik untuk melangsaikan novel keluaran PTS Fortuna itu.

*******************
"Mak, Hafiz baca buku apa tu? soalku.

"Buku yang hang bagi Bang Chik pinjam tu."

"Ermm..sejak bila Hafiz minat baca novel?" soalku sedikit tercuit suka.

"Bab sejarah memang dia minat." kata mak.

"Owh..yang tajuk Landasan Maut tu ya."

Dahulu di rumah ini hanya perempuan sahaja yang berminat membaca novel dan buku. Kini minat sudah menjalar kepada adik-adik saya yang lelaki yang dahulunya hanya suka membaca akhbar. Satu perubahan yang membanggakan. Maka saya juga lebih membuak-buak untuk membeli buku dan novel untuk dijadikan koleksi. Sekaligus membentuk perpustakaan kecil di rumah sebagai bahan bacaan kami sekeluarga. Selain dapat memenuhi masa. Masa di luar juga dapat diminumumkan yang mempunyai 1001 masalah yang mungkin dapat menjerat diri bagi yang tidak dapat mengawal diri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...