? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Khamis, 30 April 2009

Makin berusia makin berdosa

"Kenapa ya manusia semakin berusia semakin ingkar dan makin membuat dosa?" soalan cepu emas yang kulontar kepada murid tahun 6 al-Khwarizmi.

Soalan yang muncul dibenak secara tiba-tiba setelah mereka tidak menyiapkan kerja rumah yang kuberi pada hari Isnin lalu malah kerja sebelumnya juga tidak pernah dipedulikan.

"Sebab matang," jawab Amirul, murid cerdik yang berbudi bahasa.

"Ya....kerana dewasa tapi sebabnya kamu rasa diri sudah dewasa dan besar malah lebih besar dan tinggi dari ustazah, betulkan?" tanyaku sambil mata menyoroti wajah murid lelaki yang paling tinggi dan besar dalam kelas itu.

Dia menggelengkan kepala.

"Ustazah yakin semasa darjah satu dahulu kamu mesti murid yang baik dan mendengar kata, menyiapkan kerja yang cikgu bagi, dengar nasihat cikgu, suka menolong cikgu malah semuanya yang baik," sambungku.

"Sepatutnya semakin tua kita semakin baik kerana usia tua mendekatkan kita kepada mati maka amal perlu digandakan," kuterus berkata.

"Tengok adik-adik kamu darjah satu nakal ya amat pun jika ditakdirkan mati confirm masuk syurga malah nanti akan menunggu ibu bapa mereka di pintu syurga." celotehku memberi ceramah percuma sambil jari telunjuk menunjuk kepada kelas tahun satu al-Razi.

"Kita cuba hitung usia berdasarkan usia Rasulullah, usia berapa Nabi Muhammad wafat?" soalku kepada mereka setelah lama membisu.

"63 tahun," jawab Najah penolong ketua pengawas yang selalu bertanya tentang kebuntuannya memahami nahu bahasa arab.

"Sekarang umur kamu berapa?" kukembali menyoal mereka.

"12 tahun," jawab mereka serentak.

"Sekarang tolak umur kamu dengan umur Nabi," arahku.

Masing-masing ada yang menconggak dan yang mengira secara manual di dalam buku.

"51 ustazah," beberapa suara yang cekap mengira menjawab serentak.

"Kamu mesti rasa lama lagikan tapi bagaimana jika ajal kamu lebih cepat dari itu?" kucuba membuka kesedaran mereka. Alang-alang nasihat jangkau terus ke masa hadapan.

Begitulah manusia yang dilahirkan umpama kain putih bertukar menjadi warna yang pelbagai di akhir usia.

Semakin dewasa semakin ingkar dan berdosa.

Hakikatnya kerana dewasa yang menemukan manusia dengan lebih pengalaman, pengetahuan, cabaran, kehendak, keinginan dan cinta.

Skop yang pelbagai dan luas itu yang memberi ruang kepada hasutan iblis syaitan secara luaran dan desakan dalaman iaitu nafsu.

Dewasa yang ditaklifkan oleh Allah menunaikan kewajipan yang disuruh-Nya.

Dewasa yang menanggung dosa diperbuatnya sendirian.

********

Dewasa sepatutnya mempertingkat amal agar iman menjadi benteng segala bisikan, desakan dan hasutan.

Dewasa sepatutnya mekarkan lagi cinta terhadap-Nya agar segala cinta dunia tunduk pada cinta agung-Nya.

Baiknya menjadi tua seperti kelapa
lagi tua lagi banyak santannya

Rabu, 29 April 2009

Tanggapan pertama

"Selesai sudah satu assignment," hatiku berbicara sendirian sambil telapak tangan meraup wajah tanda kecapikkan bercampur kesyukuran.

Permulaan yang kurasa bahawa kerja kursus itu tidak akan langsai kerana kebuntuan mencari maklumat dan idea bagi menyiapkannya.

Begitulah aku sejak dari dahulu apabila berhadapan dengan kerja kursus sebegini.
Tanggapan pertama adalah bagaimana hendak menyiapkannya?
Apa yang soalan ini hendak sebenarnya?

Susah....malas apabila idea tidak kunjung tiba dan sebagainya yang menyinggahi benak ini.

Namun bila sudah selesai masih tetap bermain kata-kata.
Siap juga akhirnya....
Tak sangka boleh buat rupanya....

********

Seorang pelajar baru memasuki kolej kami.
Orangnya mahal senyuman dan gurauan.
Agak serius dan pendiam.

Maka ada tanggapan melalui bicara-bicara belakang tentang dirinya yang baru beberapa hari di kolej itu.

"Sombonglah budak baru itu, susah betul hendak senyum."kata seorang pelajar paling tinggi dalam kelas.

"Memang pun, muka serius saja takut nak buat kawan," balas rakannya yang berkulit kuning langsat.

Kasihan betul kerana pelajar baru itu dinilai hanya untuk beberapa hari menjadi pelajar di situ.
Hari makin hari. Bulan bertambah bulan.
Pelajar itu kini dikelilingi ramai rakan kerana sikap yang baik hati dan suka menolong.

"Ehhh...tak sangka aku baik rupanya dia tu, muka sahaja nampak serius tapi murah hati," ujar si tinggi kepada rakannya si kuning langsat di cafeteria.

"Yelah....kasihan dia kan, kita buruk sangka masa dia mula-mula datang dulu," celah si kuning langsat menyesali salah tanggapan mereka.

*******

Begitulah kita manusia selalu membuat tanggapan pertama yang jauh menyimpang dari realiti sebenar.

Tanggapan pertama itulah kadangkala membunuh perkembangan untuk membina minat, sayang dan suka pada sesuatu. Justeru menghalangi kejayaan untuk mendapatkan ia.

Yang mudah disangka susah. Yang baik disangka jahat.

Ia akan bertunas pada realiti sediakala namun memakan masa yang sukar dihitung lamanya.

Maka di situ akan membazirkan masa yang jika ditanggapi dengan mudah buat pertama kalinya dapat dijimatkan masa yang ada. Kerja dapat langsai dengan mudah dan cepat. Sahabat yang baik dapat diakrabkan dalam masa yang cepat.

Baik sangka tidak merugikan sesiapa malah membina keyakinan diri untuk menyiapkan kerja di samping menimbulkan aura baik yang seimbang sesama insan.

Selasa, 28 April 2009

Tolong kami bantu kami....

Di bumi ardil kinanah, seorang sahabat pernah berkata antara perkara baik yang mendekatkan kepada kejayaan adalah dengan bersedekah.

Maka di pagi hari dalam perjalanan menuju ke kampus cawangan al-Azhar di Iskandariah itu seorang sahabat yang lain mencari peminta-peminta sedekah yang sememangnya ramai terdapat di sepanjang rel keretapi untuk menghulurkan sedekahnya. Malangnya, seorang pun tidak kelihatan.
"Sesungguhnya amal itu adalah dengan niat"

Bersesuaian dengan hadis 40 yang pertama itu mungkin niat perlu ditajdid semula.

Pahala sedekah terbahagi kepada 4 jenis :

1. Sedekah pertama yang mendapat 10 pahala ialah pemberian makan pada fakir miskin

2. Sedekah kedua yang mendapatkan pahala sampai 70 adalah sedekah yang diberikan kepada keluarga terdekat

3. Sedekah yang ketiga yang mendapat pahala 700 ialah sedekah yang diberikan kepada kawan-kawan dan sahabat

4. Sedekah yang keempat sampai mendapat pahala 70,000 ialah sedekah yang diberikan kepada orang yang mencari ilmu.

Beruntunglah kepada hamba Allah yang telah membantuku dengan pemberian $100 ketika kesempitan wang di sana.

Berbahagialah juga kepada hamba Allah yang menghulurkan $20 ketika kuberniat hendak membeli kitab ketika berlangsung ma'rad kutub ( book fair ) di Kaherah.

Jika ramai yang lebih suka bersedekah pada rumah anak-anak yatim dan orang-orang tua di sini. Maka apa kata jika kita memberi pula kepada hamba-hamba Allah yang ingin dan sedang menuntut ilmu tambah-tambahan ilmu agama. Ini kerana bidang-bidang lain seperti perubatan, kejuruteraan dan selain dari itu selalunya ada penaja samada dari kerajaan dan badan-badan swasta. Namun, yang belajar ilmu islam ini ada sesetengahnya hanya bermodalkan usaha, doa dan tawakal sahaja.

Rasulullah s.a.w bersabda :

"Barangsiapa yang mempunyai harta
maka bersedekahlah dengan kekayaannya,
dan barangsiapa yang mempunyai ilmu
maka bersedekahlah dengan ilmunya,
barangsiapa yang mempunyai tenaga
maka bersedekahlah dengan tenaganya."

Paling bermakna apabila kita memberi kepada seseorang yang benar-benar memerlukan. Kesyukuran dan doa secara senyap dipanjat untuk kita tidak terkira hitungnya.
Berbanding memberi pada yang tidak berapa memerlukan.
Ada sahaja yang tidak kena pada pemberian itu.

Beruntung kepada yang bersedekah ketika poket dipenuhi wang

namun

lagi beruntung jika orang yang bersedekah itu bersedekah ketika dia sendiri kesempitan wang

Rasulullah s.a.w bersabda :

"Sedekah itu dapat menutup 70 pintu kejahatan."

Sebaik-baik sedekah adalah pemberian tangan kanan yang tidak diketahui oleh tangan kiri kerana itu antara golongan yang dapat masuk syurga.

Isnin, 27 April 2009

Acummm....bersin daa..

"Ustazah, kenapa guna perkataan selsema khinzir bukan selsema babi," tanya Afiq, murid tahun 6 kepadaku ketika dia membelek utusan malaysia.

"Bunyi lembut sikit daripada babi tapi bagus la sekurangnya mahu juga menggunakan kalimah arab dalam perbualan," jawabku sambil merenung pengawas itu.

Afiq menganggukkan kepalanya sambil terus menyelak surat khabar di hadapannya.
********

Semalam ketika pulang dari rumah tok di Seberang Jaya abah menyuarakan tentang wabak baru ini.

"Hari tu selsema burung, la ni selsema babi pula," antara kata-kata abah kepada kami.

"Ermm....bala Allah la tu...manusia dah jauh terpesong maka Allah nak sedarkan kita dengan bala yang diturunkan....mujur juga Allah turunkan bala untuk kita sedar dan bertaubat...kalau tak dok lalai dengan maksiat akhirat nanti terus kena sumbat dalam neraka," mak menyambut bicara abah dengan lontaran pendapatnya yang kadang-kadang mengejutkanku dengan kebernasannya.

Aku hanya menjadi pendengar. Namun hati bersuara tentang isu babi yang belum selesai di negara kita kini dikejutkan pula oleh selsema babi. Ada hikmah tersurat yang Allah aturkan sebenarnya di situ bagi yang pandai menganalisa setiap keadaan yang berlaku.
**********

Bercakap tentang babi ini kadang-kadang kebimbangan muncul tentang tahap halal makanan yang terdapat di pasaran.

Jika sudah tercatat logo 'tidak halal' senang dihindari. Namun jika tertera cop halal tambahan kepunyaan JAKIM susah juga hendak dikenali antara yang benar dan tipu.

Kak Ngah pernah berkata," apa susah kita yakin sahaja la yang ada cop JAKIM tu, kalau depa tipu tanggung la dosa, kita hanya mangsa tertipu.

Sepupu pernah bersuara," cop JAKIM pun depa boleh ciplak....boleh dibeli...zaman lani apa susah ada duit semua boleh jadi.

Risaunya jika darah yang mengalir dalam jasad yang bertugas membawa oksigen keseluruh jasad pernah dicemari makanan yang mempunyai lemak, minyak dan benda-benda berkaitan dengan babi.

Pencemaran itu bukan kerana ingkar pada tegahan Allah namun kerana sebuah penipuan yang sukar dikenal kebenarannya dek kelalaian pihak-pihak tertentu yang hanya ingin mengutip keuntungan tanpa mementingkan kepentingan individu lain.

Berdoa kepada Allah agar dilepaskan dari segala yang haram, maksiat, dosa dan syubhat....

Ahad, 26 April 2009

Debu dalam suci

Tidak pernah terfikir dan terlintas hendak mengajar kanak-kanak sebelum ini.

Kenapa agaknya?

Sebab malas hendak melayan karenah mereka.

Walhal diri ini kakak kepada 5 orang adik.

Namun kini....

Seronok pula setelah mula mengenali dan memahami mereka.

Dalam kenakalan dan kedegilan mereka sebenarnya terlekat dalam minda mereka akan setiap butir nasihat kita.

Ingatkan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Alhamdulillah kerana secebis nasihat itu anak murid sulung di SKBS hari ini menumpukan perhatian ketika kelas bahasa arab. Malahan ada yang tidak ambil peduli sebelum ini pun hari ini bersemangat untuk mencuba. Itulah bantuan Ilahi.

Praktikum juga banyak membantu sebenarnya. Memahami pengunaan buku-buku yang disediakan sehinggakan tanda-tanda kecil yang terdapat di dalamnya. Mudah sahaja yang perlu ditekankan. Selama ini diri ini sahaja yang meyusahkannya. Strategi pengajaran berpusatkan murid yang sememangnya ditebarkan luaskan kini banyak membantu guru. Ia juga bersesuaian kerana kanak-kanak kini aktif dan berani untuk mencuba.

Namun langit tidak selalu cerah.
Laut tenang jangan disangka tidak datang tsunami.

Masalah sentiasa melanda. Diri perlu kuat menempuhinya. Kanak-kanak selaku manusia juga mempunyai emosi yang berentak. Cara orang dewasa menanganinya dengan psikologi membantu mereka meredakan keadaan agar kembali tenang.

*******
Seorang hakim berkata :

Siapa yang mengaku tiga perkara di bawah, maka dia ditertawakan syaitan :
  1. Siapa yang mengaku dapat merasa manisnya taat, padahal dia cinta pada dunia

2. Siapa yang mengaku redha pada Allah s.w.t, padahal dia tidak membenci hawa nafsunya

3. Siapa yang mengaku ikhlas padahal dia ingin dipuji orang

Sabtu, 25 April 2009

Kecil tapi berkat

Keluar dari stokis jualan HPA mataku terpandang pada poster gambar as-syahid Syeikh Ahmad Yassin bersama mangsa peperangan di Palestin di cermin stokis tersebut.

Hati kembali mengingati saudara-saudara di sana yang kini masih belum benar-benar aman. Terpukul juga diri ini kerana keamanan yang dikecapi di tanahair sendiri kadang-kadang melaghakan dari sebuah ingatan kepada penderitaan.

Aku mengikut Kak Ngah melihat poster jenama boikot yang terletak atas daripada poster tadi.

'Google' termasuk dalam boikot.

"Haaa....google juga boikot....alah tak pa bukan guna pun...email guna yahoo,"kataku kepada Kak Ngah. Walhal yahoo pun kepunyaan yahudi.

"Aloh tapi blog guna google...macam mana ni," ujarku kembali kepada adik pertamaku itu.

"Tak payah buka dah," selamba dia menjawab.

"Tapi ....blog," jawabku pendek.

"Tak payah buka dah," ulangnya kepadaku sambil senyum nipis.

"La tapi blog guna google," suaraku rendah sedikit dari tadi sambil kaki menapak ke kereta.

Cerdik betul yahudi kerana berjaya membelenggu umat islam sehingga sampai ke tahap tersepit sebegini. Dicari jalan keluar ke depan dan belakang masing-masing punya halangan.

Jika sekadar makanan ada pilihan dengan membuatnya sendiri atau memilih barangan orang islam atau bumiputera yang halal.

Bangga juga sekarang kerana makanan bumiputera sudah banyak terdapat di pasaraya besar seluruh negara dan memperbanyakkan pilihan untuk membelinya.

Kalau tiada barangan yang dihasilkan umat islam hendak sahaja mengorak langkah memulakannya jika ada modal. Besarnya pahala memberi insiatif kepada umat islam memakan sesuatu yang halal dan menggunakan sesuatu barangan yang dihasilkan secara halal. Dapat keluar dari perkongsian membantu kuffar laknatullah menganiayai saudara seakidah.

Doa mohon petunjuk tentang hak dan yang batil :

"Ya Allah, perlihatkanlah kepadaku kebenaran itu sebagai kebenaran dan berilah kekuatan kepadaku untuk mengikutinya ;

dan perlihatkanlah pula kepadaku yang batil itu sebagai kebatilan dan berilah kemampuan bagiku untuk menghindarinya."

*******
Alhamdulillah idea untuk menyiapkan assigmrent sudah datang sedikit pada hari ini. Doaku agar ia dapat disiapkan mengikut kehendak pensyarah. Ku juga berharap doa semua untuk ini. Walaupun ia satu yang kecil namun biarlah sekecil mana pun usaha dan hasil kita tetap dalam limpahan keberkatan Allah s.w.t Taala.

Jumaat, 24 April 2009

Rehat seorang hamba


"Kak Dibah ngantuk tak? saya ngantuk la kak,napa tah asyik ngantuk ja dua tiga hari ni," katahku pada Cikgu Adibah ketika kami berdua sahaja di dalam bilik guru.
"Mengantuk juga tambahan tengah periksa buku ni lagi la mengantuk, semalam tidoq pukui berapa?" cikgu penghujung 40an itu menyoalku.
"Pukui 12 lebih kak, menyiapkan kerja," jawabku sambil tangan rancak menulis buku rancangan pengajaran harian agar kantukku ini hilang walhal kerana menulis itulah menyebabkan kantuk makin menjadi.

"Patutlah pun mengantuk," balas Kak Dibah kepadaku.
Parah betul mengantuk tidak kira masa ini. Aku sebenarnya tidak suka pada perasaan yang satu ini. Ialah bila sudah sampai waktunya menjadi nikmat. Bila belum sampai masanya pula membunuh semangat.

Seorang hakim berkata : " Seorang tidak boleh tidur sehingga menyelesaikan empat perkara."

JANGAN tidur selama dia percaya atas bumi ada musuh, sehingga minta halalnya, sebab kemungkinan dia mati sehingga dituntut oleh Allah s.w.t.

JANGAN tidur jika masih rasa berdosa dan belum taubat daripadanya, sebab kemungkinan dia mati dan dianggap terus berdosa.

JANGAN tidur sehingga menulis wasiat yang tepat, sebab mungkin dia mati tanpa meninggalkan wasiat.

JANGAN tidur jika masih belum menyelesaikan kewajipan kepada Allah s.w.t.

Kucuba hitung penyebab rasa mengantuk dan letih ini. Adakah disebabkan pemakanan? Tidak mungkin sebab corak dan makanan tidak kurang atau lebih. Atau tidur yang tidak mencukupi? Boleh jadi juga maka aku berazam mahu tidur lebih awal agar masaku di sekolah tidak terganggu dengannya. Namun sampai ke hari ini azam itu masih belum terlaksana.

Tidak sukanya pada perasaan mengantuk ini.

Teringat bersama sahabat-sahabat di perantauan. Rutin pelajar sememangnya memanfaatkan cuti semaksimum mungkin setelah hari kuliah sibuk menghadiri kelas, persatuan dan sebagainya sehingga adakala sampai matahari menyembunyikan dirinya. Tambah-tambahan di musim safi (sejuk ) seronoknya menggulungkan diri dalam lihaf. Namun manusia pelik seperti aku bosan kerana banyak tidur. Sudahlah musim sejuk itu malamnya terlalu panjang. Rasanya seperti sudah tidur seharian bila terjaga sahaja jam baru menunjukkan pukul dua pagi.

Cuti di musim sita (panas) juga digunakan siangnya untuk tidur kerana malamnya yang pendek tidak cukup untuk merehatkan badan dan minda. Bosannya kerana sahabat-sahabat masih di beraduan sedangkan mata ini seperti sudah disetkan untuk berjaga pada waktunya. Hendak berjalan di bahri (pantai) seorang diri tidak seronok pula tanpa teman berbicara. Hendak membaca jawabnya akan menyusul sahabat di alam mimpi. Maka penyelesaiannya adalah mencuci bilik air, dapur serta memasak. Bukan kerana rajin tapi untuk mengisi kebosanan.
Bila terasa asyik hendak tidur malu pula kepada imam Hanafi yang hanya tidur dua jam sahaja sehari kerana tekunnya untuk belajar. Itu pun tanpa baring hanya bersandar sahaja. Tidak mampu menjadi sehebatnya hanya mampu sekadar ambil sedikit kebaikan dari kebaikannya untuk digunakan dalam hidup singkat ini.

Dalam satu hadis Rasulullah pernah memberi nasihat kepada seorang lelaki yang bermaksud :

"Buatlah lima perkara sebelum datang lima perkara :"

1. Peluang masa engkau muda sebelum tua
2. Masa engkau sihat sebelum sakit
3. Masa engkau kaya sebelum papa
4. Masa engkau lapang sebelum sibuk
5. Masa engkau masih hidup sebelum mati

Namun sikap yang mementingkan agama hingga melupakan kewajipan dan tanggungjawab juga tidak baik. Di sini perlu wujud keseimbangan antara kedua-duanya dengan niat kerana Allah semestinya diutamakan.

Seorang ulama terkemuka berkata :

"Kehidupan manusia sehari-hari hendaklah dibahagikan kepada tiga, iaitu 8 jam untuk beribadat dan taat kepada Allah, 8 jam mencari nafkah dan 8 jam untuk istirehat dan tidur.

******
Sudah sampai masanya untuk tidur. Ruginya cuti hari ini kerana tidak dapat menyiapkan juga assigment Pendidikan Islam. Bukan tidak mahu buat namun yang dicari tidak juga ketemu hingga ke senja. Mujurlah assigment Gerko hanya tinggal beberapa kerat yang masih belum langsai. Doakan diri ini dapat menyiapkannya dengan mudah. Amin....

Hari esok pula muncul dengan perancangan yang sudah direncanakan kami sekeluarga namun perancangan Allah bakal merubah segalanya.

"Dan adalah Ibn Umar radiyallahu anh berkata :
Jika engkau berada di waktu petang,
maka janganlah engkau menunggu pagi,
dan apabila engkau berada di waktu pagi,
maka janganlah engkau menunggu petang.
Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan
Dari hidup engkau bagi masa mati engkau."

Diriwayatkan oleh al-Bukhari.

Khamis, 23 April 2009

Bermulalah dengan diri sendiri

"Akak takut la nak balik Malaysia," ujar senior satu kuliah denganku ketika menziarahi bait Nidhaul Wafa di Kaherah.

"Aik, akak ni orang nak balik Malaysia la seronok, ini akak terbalik pulak," kataku sambil mengecutkan muka kehairanan.

"Bukan apa, akak ni, ilmu kurang jadi risau balik nanti nak mengajar orang macam mana,"keluh wanita beza setahun dariku itu.

"Alah akak ja kata begitu, akak kan dapat jayyid mesti dah mantop gitu,"aku berseloroh menenangkan kerisauannya.

"Jayyid sebab menghafal, dari segi hukum banyak lagi tak tahu...macam mana jika orang soal tentang hukum yang bombastik...telefon mak tadi dia kata makcik-makcik kat kampung memang dah suruh mengajar mereka di masjid...soalan orang-orang tua ni faham-faham ajalah bagaimana," nampak ketara kemusykilan wanita lampai itu.

"Ohh...itu yang akak risaukan, alah...akak jangan risaulah semua itu urusan Allah mesti Allah permudahkan," aku terus menyusun ayat pujukan untuknya walhal diri sendiri susah hati memikirkan diri yang juga kurang ilmu untuk menjadi usatazah bila pulang nanti.

"Sebelum pulang ni akak nak hafal pelbagai doa, moga-moga bila orang suruh nanti tak la kekok....memalukan student Azhar aja," senior itu terus menutup bicara tentang kerisauannya dan menukar ke topik lain.

Ketika tayar membelok ke jalan Sidam tadi aku teringat semula tentang permulaan mendapat tawaran mengajar. Pelbagai persoalan timbul di benak.

Adakah patut aku menerimanya???
Adakah aku mampu melaksanakan tanggungjawab dan amanah tersebut???
Mampukah aku membawa title 'ustazah' yang sememangnya dipandang mulia oleh masyarakat sedangkan diri aku tidak setara mana???

أَتَأمُرُونَ النَّاسَ بِالبِرِّ وَتَنسَونَ أنفُسَكُم

Ertinya : " Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri."

Aku berminat untuk menjadi ustazah kerana sifatku suka memberi nasihat keagamaan sejak dari kecil walaupun waktu itu gelaran kepadaku adalah 'penasihat'.

Namun, amanah yang dipundak rasa tidak mampu digalas.

Jika setakat title 'ustazah' tidak mengapa kerana sebagai pelajar sekolah agama memang sudah dipanggil begitu sejak dari dahulu.

Namun sebagai manusia yang punya kelemahan yang dianggap baik dengan panggilan ini kadang-kadang sukar dilaksana.

Bagi yang memahami tidak mengapa.

Bagi yang sukar memahami menimbulkan kemusykilan pada diri.

Difikirkan semula title ini sebenarnya adalah penghadang dari melakukan maksiat dan dosa.

Jelaslah pemberian Allah ini merupakan kurniaan Ilahi menjaga hati selaku raja yang berkuasa memerintahkan anggota sebagai rakyat membuat noda.

*********

Ya Allah.. berikanku kekuatan, kerajinan dan idea bagi menyiapkan dua assigment untuk dihantar sebelum 30 April ini.

Hari ini aku serabut dengan lambakan assigment ini kerana kesempitan masa. Satu hari nanti bila kupunya kelapangan kukembali rindu akan situasi sibuk menyiapkannya. Itulah aku yang agak pelik sebenarnya, Jika sepupuku kata dia sudah jemu belajar. Aku pula berkata hendak sambung belajar. Mungkin sebab dia bijak orangnya sedangkan aku manusia yang masih miskin ilmu di dada.

SELAMAT MENUNTUT ILMU KEPADA SEMUA....

Ilmu bukan sekadar berteleku di dalam kuliah
Ilmu bukan sekadar menadah kitab
Ilmu ada di sekeliling kita yang senantiasa bijak mengambil iktibar dari setiap keadaan, kejadian dan pengalaman...

Rabu, 22 April 2009

Cepat...cepat...cepat...

Zaman sekarang semua hendak segera.

Melahirkan anak segera dengan memasukkan air agar tidak lewat keluarnya kerana doktor sibuk untuk membidani ramai ibu-ibu yang sarat. Silap-silap hari bulan caesarien.

Bayi baru mengenal dunia juga disuap susu segera. Cedok, tuang dan goncang.
Pelbagai jenama dan harga yang datang dari satu sumber iaitu lembu. Namun para ibu bapa perlu pastikan kandungannya agar kesihatan bayi terjaga.
Kanak-kanak juga kena tempias segera apabila ibu tiada masa memasak di rumah. Restoran makanan segera difrancaiskan bagai cendawan selepas hujan. Jika kurang duit ke sana, restoran dan warung juga tersedia. Memang sesetengahnya memenuhi citarasa dan sesuai dengan selera. Kena pastikan juga cara penyediaannya. Risau anak-anak terencat minda dek ajinomoto berganda. Sudahlah pelajaran sukar dek bahasa.

Zaman remaja semua perlu segera kerana sibuk mengejar sijil dunia. Terkejar ke sekolah menghadiri kelas dan kokurikulum, tuisyen dan cinta kera. Berfikir formula matematik dan sains yang pelbagai tanda. Akibat sibuk makan mee segera. Banyak di pasaran cuma perlu pastikan halalnya sahaja.

Di universiti menyambung usaha segera. Assignment tak terkira hanya ada pembuatnya. Cuma bayaran dikeluarkan. Ada juga hendak lebih segera. Membeli sahaja sijil, diploma, ijazah, MA dan PHDnya. Akhirnya DR gelaran diberi kepadanya.

Masa dewasa makin perlu segera. Kerja kena disiapkan tepat masa. Silap-silap bos ketuk meja.
Surat berhenti dilempar ke muka. Bebanan hidup makin terasa. Tiada kerja dapat dibeza luangnya. Guru kini juga tiada masa. Bukan sekadar mengajar sahaja. Fail dan data perlu dilengkapkan. Sukatan dikejar agar langsainya seperti tertera. Ikhlasnya samada pelajar dapat ilmu usah dikira. Pastinya gaji masuk dibuat belanja. Bukan tidak peduli nilainya. Waktu yang ada perlu tambah jamnya. Berbeza dengan dahulu kerjaya ini mudahnya. Berkat dalam susah ramai yang berjaya.

Akibat segera kadang-kadang usia tidak sampai tua. Mati kemalangan pecut kereta dijalanraya. Kesnya hendak sampai ke tempat kerja. Semua segera membarahkan penyakit di jasad. Segera menipiskan ozon di atmosfera kerana CFC memenuhi ruang dunia.

Di mana nilai keberkatan, keikhlasan, kejujuran dan kesihatan kerana segera???

Kasih sayang juga terpinggir nun di sana.

Sedihnya itu semua berlaku kerana hendak segera.

********
Pensyarah juga sudah minta assignment Pendidikan Islam dengan segera. Baru nak merasa udara. Kini kembali tersekat dikerongkong. Peduli apa. Buat sahaja la. Selesai nanti boleh berehat sementara kerana hakikat hidup kini ada sahaja kerja menanti di ruang yang terluang.

Apa-apa sahaja ibadah tetap kena jaga kerana itu soalan pertama Allah Taala. Jangan dilupa selesaikan membaca beberapa buah buku yang masih bertanda. Tamak sungguh aku kerana yang dibeli belum habis terusik dipinjam pula dari perpustakaan sekolah. Bukan apa. Rindu tulisan sasterawan negara. Lagi lama lagi tinggi nilai bahasa dan sejarahnya. Ia lebih mahal dari sebuah angka RM.

Tabik spring buat penulis-penulis kita yang menghasilkan karya berharga yang tidak jemu memperjuangkan bahasa ibunda.

Jangan dibuang bahasa arab ini sudah kerana ia bukan bahasa asing pada kita. Biarpun tidak berbicara menggunakannya. Tidak memahami maknanya. Tanpa sedari ia yang diguna bermula lafaz solat disuarakan. Anak-anak juga sudah meminatinya. Dilagukan di rumah dan di mana-mana.

Selasa, 21 April 2009

Kulihat Hijau...versi aku

Antara warna-warna kegemaranku adalah hitam,merah dan hijau.

Hitam kerana dapat menutup kelebihan dan kecacatan yang ada pada diri (nampak kusam tapi yang kusam itulah tidak memalingkan wajah orang pada kita)

Merah kerana dari kecil warna itu sahaja yang mak sering pakaikan (kalau pakai sekarang agak bahaya dipandang)

Namun hijau adalah yang paling kusuka.

Kenapa hijau???

Sebab hijau itu alam (akukan suka alam).

Sebab hijau itu semulajadi (pilih kain saja mesti nak hijau sampai mak komen "hang ni tak dak colour len ka?")

Sebab hijau itu warna kanvas bumi (ikut minat kereta pun nak colour hijau tapi susah nak cari plak)

Sebab hijau itu ISLAM (itu yang muhim,putih pula warna kegemaran Nabi namun sukar hendak memakai putih,jika hendak perlu mencari kain yang agak tebal)
Selepas ini boleh tukar template warna hijau rasanya (heh biru menumpang juga...biru pun cantik sebab warna langit dan laut adalah biru...ralitnya perhati langit membiru)
Renung-renungkanlah setiap warna di sekeliling kita....
Mesir negara kedua paling kotor selepas India.

Pernyataan yang lupa dari mana sumbernya samada dari mulut sahabat ketika di sana atau bacaan dari buku.

Hendak diukur carta ke berapa sukar juga kerana suku bumi masih belum kujejaki;

Tapi jika dikatakan kotor aku tidak menafikannya.

Dalam pada itu bukanlah menuding jari pada pentadbiran dan rakyat Mesir sebagai pengotor.

Jika dikatakan antara sebabnya adalah rakyat yang ramai menyebabkan ia kotor tidak logik juga kerana Iskandariah kawasan pelancongan mampu gah seperti kawasan elit di Eropah berbanding ibu negaranya Kaherah yang kotor.

Mungkinkah kerana ia kawasan tumpuan pelancong dijaga lebih dari Kaherah yang dimampati rakyat dari serendah-rendah golongan yang hanya membungkus badan dari kesejukan dengan lihaf (selimut tebal) di kaki lima.

Akibat kekangan kewangan puncanya juga tidak masuk akal kerana negara itu mampu pula membantu zionis sekutu Amerika melawan negara seakidah.

Aku suka bertanya kenapa negara bukan islam lebih bersih dan cantik dari negara islam sedangkan islam yang mengesyorkan kebersihan.(teringin sangat nak ke Australia...kenapalah cantik sangat)

النظافة من الايمان

"Kebersihan itu separuh daripada iman"

Allah sendiri suka kepada keindahan, dan perkara yang baik dan tidak menerima melainkan yang baik.

Kata Dr Aidh Abdullah al-Qarni:


"Sungguh menyedihkan jika negeri wahyu dan tempat turun cahaya merupakan sebahagian bandar dan kampung kita mempunyai pemandangan yang menjijikkan diri."

Manusia sendiri mahukan yang cantik dan baik.

Berhabis wang dan masa mempersiap diri agar cantik dan kacak.

Mahukan isteri yang cantik berhidung mancung berkulit putih (ini mengikut citarasa majoriti lelaki)

Mahukan suami kacak berbadan tegap dan tinggi (ini adalah mengikut citarasa ramai wanita di dunia...tinggi iman paling penting)

Jadi apa salahnya jika melapangkan ruang lingkup kecantikan itu kepada alam agar ia tampil bersih dan sedap mata memandang.

Anugerah Allah perlu dipelihara.
Jangan diabai walau seinci
walau ia hanya pinjaman sementara
kerana itulah dugaan Allah melihat
sejauhmana amanah kita pada pemberian-Nya

Kecantikan sebenar adalah pada hati yang bersih dapat merasai lazatnya sujud dalam khusyukkan pelukan cinta-Nya

Hari ini baru guru pembimbing sedar jadul waktu peribadiku pada hari Selasa penuh tanpa rehat bermula jam 7.40 pagi sehingga 10.10 pagi. Manakala pada hari Rabu pula penuh selepas rehat dari jam 10.40 pagi sehingga habis persekolahan iaitu 1.10 petang. Maka atas jasa baiknya dapat kurehat 2 waktu pada hari Selasa depan dengan mengambil tilawah al-Quran pada hari Rabu dan dia mengambil jawi pada hari Selasa tanpa pengajaran bersama.

Kerja ini sebenarnya banyak mentarbiahku erti sabar kerana aku sendiri hairan dari mana sikap sabar ini datang sedangkan aku bukanlah seorang yang cukup-cukup sabar.

Syukran ya Allah...

Hikmah-Mu ini makin tersingkap sedikit demi sedikit.

Isnin, 20 April 2009

Allah a'rif

Aku bersama sahabat mencelah di bawah ketiak pak-pak arab. Juga tertolak ke hadapan oleh badan mak-mak arab. Jika dapat dikecilkan jasad sudah kami lakukan agar badan tidak tersentuh bukan ajnabi walaupun berlapik. Mujurlah aku bersarung tangan. Sejak di Mesir aku memang bersarung tangan bukan sekadar di musim sejuk. Musim panas pun tetap istiqamah untuk menjaga keadaan begini yang merupakan rutin di sana.

Setelah lama menanti qitor (keretapi) di Mahattoh Mandara (stesen Mandara) akhirnya kami dapat menaiki keretapi juga untuk meneruskan perjalanan ke Mahattoh seterusnya iaitu Sidi Gaber.

Sebenarnya secara jujur sebagai wanita Malaysia keadaan berebut menaiki keretapi inilah paling tidak kami gemari. Bau hapak badan,debu,bising dengan maki dan sumpah seranah.Apatahlagi keretapi ayam ini (jolokan pelajar Malaysia) kepada keretapi tambang murah ini dibenarkan bukan sekadar manusia malah segala haiwan peliharaan dibenar menjadi penumpang.

Setelah penat berebut kami dapat juga naik walaupun berdiri kerana tempat duduk sudah penuh. Beg galas belakang yang kugalas di depan kukepit kemas di dalam tudung labuhku agar selamat dari pencopek arab yang sememangnya pintar bab-bab ini.

Sahabatku menggenggam erat lenganku agar tidak terbabas dalam henjutan keretapi ayam ini.

Tiba-tiba rungutan dan lelahku mendepani keadaan tadi hilang setelah mendengar suara-suara halus antara dengar dan tidak oleh cuping telingaku bacaan ayat-ayat kalamullah. Setelah mendengar mataku melilau mencari empunya suara. Rupa-rupanya seorang remaja lelaki di dalam gerabak itu sedang membaca al-Quran kecil yang dipegang paras dada.

"Subhanallah...,"hati kecilku bersuara.

"A'zimnya kalam-Mu ya tuhan, seperti air yang menyiram jasadku tika panas membahang,"jiwa yang kacau serta merta tenang dan damai dengan hanya bisikan ayat-ayat Allah itu.

"Bacalah al-Quran..sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai Syafaat hanya bagi mereka yang membacanya."

Jika pendengar juga sudah tertarik apatahlagi pembaca.
Hidayah Allah luas ruangnya
Tidak hanya pada yang sudah bernama muslim di kertas
Ia buat pencari kebenaran dalam kabus keraguan dan kepalsuan
Allah tahu keikhlasan kerana ia tidak terpampang pada zahir yang nampak
ia terletak dalam sanubari yang dalam.


"Ustazah, kenapa tak mai kemarin," tanya Nurul murid tahun al-Razi yang banyak termenung di dalam kelas mendatangiku ketika kelas tasmik.

Bukan sahaja Nurul malah beberapa orang murid lagi turut menujukan soalan yang sama kepadaku.

Jika soalan dari murid yang sememangnya becok bercakap, tidak kukisah sangat kerana itu adalah kebiasaan mereka.

Namun, jika dari murid seperti Nurul yang selama ini senyap dalam kelas maka bagiku agak luar biasa.

Keluarbiasaan itu membuatkan aku terharu.

Membuatkan diriku rasa dihargai.

Menjadikan kurasa masih ada yang mengambil berat setelah hampir dua tahun terkotang-kating berdikari di estet ini.

Guru pembimbing juga serta guru-guru lain juga bertanya khabar.

Penting juga rupanya guru bahasa arab di SK Bukit Selarong ini.

Sekurangnya pedih perut kesan gastrik kelmarin beransur hilang dengan situasi tersebut.


Ahad, 19 April 2009

Jangan Tegur

"Anak-anak zaman sekarang jangan ditegur, jika ditegur maka makan hatilah mak bapa mendengar herdikan mereka," luah Mak Piah kepada Mak Jah di petang yang muram menanti simbahan hujan ke bumi.

"Betullah, macam anak saya tu jika saya tegur akan melentinglah sampai ada sekali tu merajuknya berhari-hari,risau saya dibuatnya,"Mak Jah berterus-terang perihal anaknya kepada jiran sebelah rumah yang menjadi tempat berkongsi masalah.

********

"Budak-budak ni jangan dimarah, ustazah cuba perbetulkan jika mereka menyebut atau membaca dengan salah,"kata pensyarah pembimbing pada sesi bimbingan kali kedua untuk subjek minor pada Mac lepas.

*******
"Kanak-kanak ini bukan sekadar ditegur dan dilarang akan perbuatan salah yang mereka lakukan malah ia perlu diperbetulkan menggunakan cara yang terbaik oleh orang dewasa,"tutur sepupuku beberapa tahun lalu setelah melihat keletah adik-adik sepupu.

********
Kanak-kanak adalah manusia yang sering melakukan kesilapan kerana mereka merupakan golongan baru mengenal kehidupan. Normallah orang baru yang masih belum betah dengan sesuatu keadaan membuat silap. Nama pun manusia. Makhluk baharu yang yang tidak ada kesempurnaan. Mereka masih dalam proses belajar mengenal kehidupan sebelum teguh mendepani hidup seiring usia yang kian mencabar.

Tidak dinafikan kanak-kanak zaman kini sukar ditegur sepertimana dialog Mak Piah dan Mak Jah di atas namun itu tidak bermakna mereka tidak boleh ditegur. Ini kerana membiarkan akan menyebabkan perbuatan salah itu terus melarat. Malah mungkin mengakibatkan mereka tidak tahu bahawa perbuatan mereka itu salah.

Apa yang penting adalah tunjuk cara yang dibuat oleh yang menegur tanpa mendatangkan sikap negatif akibat teguran itu. Orang dewasa selalunya menegur tanpa menjaga sensiviti kanak-kanak. Tidak ramai yang cuba menyelami jiwa golongan ini walhal mereka sendiri juga pernah melaluinya. Mungkin juga kerana mereka sendiri ditarbiah sedemikian pada zaman kecil dahulu. Maka ia sudah menjadi seperti satu rentetan dari sebuah pengalaman yang akan terus berlanjutan dari generasi ke generasi.

Kanak-kanak yang manja memerlukan pujukan,pujian serta sentuhan kasih sayang tidak kira untuk menyatakan penghargaan atau meredakan amukan mereka. Belaian adalah sentuhan teguran tanpa lisan yang amat berkesan untuk kanak-kanak. Hanya dengan sentuhan mereka cukup gembira dan rasa disayangi, dihargai dan dilindungi.

Siapa tahu mungkin teguran dengan sentuhan,pujian dan pujukan itu golongan ini mampu menjadi manusia berguna suatu hari nanti berbanding teguran dengan kemarahan, cacian dan perli yang mengundang benci dan dendam.

Pentingnya jika kita menegur mereka jangan melakukan sesuatu maka jangan pula kita yang melakukannya. Itu padah yang membinasakan. Menghilangkan hormat mereka serta merta.

********
Pertama kali emak memaikan tudung kepadaku ketika usia 9 tahun mengharukan aku dengan sentuhan seorang ibu yang menginginkan anak perempuannya menutup aurat.

Pertama kali aku dipeluk Miss Arida (sekarang madam),pensyarah Bahasa Inggeris di Kusza ketika kami berkongsi payung ketika hujan merapatkan hubungan kami berdua.
Kerap dipuji oleh arwah ustazku menaikkan semangatku untuk belajar tatabahasa arab di tengah malam yang sunyi ketika di Madrasah al-Hidayah dahulu.

Namun...

Aku malu malah tidak mahu dipegang tangan oleh guru lelaki yang mengajar cara memegang kayu hoki walaupun waktu itu baru berusia 9 tahun.

Sekarang juga aku berhati-hati dengan murid lelaki walaupun mereka baru berusia 7 tahun kerana sudah ada yang tidak mahu disentuh oleh guru perempuan (satu sikap baik yang telah difahami dan tertanam dalam diri).

Tahun lepas murid tahun enam komen kepadaku tentang seorang guru yang mengajar sivik menyuruh mereka jangan merokok namun pertikaian berlaku apabila guru itu adalah perokok.

Susah juga sebenarnya ketam hendak mengajar anak berjalan apabila ia sendiri berjalan bengkok.

Sabtu, 18 April 2009

Sepasang chopstik

"Anda boleh menarik orang cina memasuki islam hanya dengan sepasang chopstik,"kata saudara baru yang dahulu pengikut Buddha sambil memegang chopstik pada forum dakwah yang diadakan di dewan kuliah Kusza.

Forum yang diadakan ketika aku bergelar mahasiswa kursus Pengajian Islam Dakwah di kolej yang terletak di Gong Badak, Kuala Terengganu itu.

Amat menarik kerana para hadirin dihadiahkan seorang sepasang chopstik malah diajar cara memegang dan menggunakannya.

Bertambah menarik lagi kerana selama ini budaya makan kaum cina yang telah dibudayakan oleh abah dalam keluarga ketika aku kecil lagi sebenarnya boleh menjadi satu dakwah untuk menarik kaum cina menganuti islam.

Aku bermain-main dengan sepasang kayu tirus itu sambil mengangkat pen yang berada atas meja panjang dewan itu.

"Penganut Buddha senang untuk didakwahkan hanya sekadar tahu serba sedikit tentang budaya dan bahasa mereka," sambung lelaki berusia 40an itu lagi.

Hadirin yang memenuhi dewan mendengar tanpa ada mata yang kantuk.

Xie xie, zai jian, tou bu chi dan beberapa perkataan lagi sudah lekat dalam fikiran kerana mempelajari mandarin sebagai salah satu major course pada semester lima kukira dapat digunakan untuk mempengaruhi kaum cina menerima agama hak ini.

Namun sekadar itu masih belum cukup kerana aku masih belum dapat bertutur mandarin dengan fasih dengan mereka. Niat untuk mengambil kursus bahasa mandarin seusai belajar masih belum terlaksana.

Indahnya jika cita-citaku untuk mengislamkan seorang hamba Allah yang berada di jalan gelap dimakbulkan Ilahi.

Aku pernah dikotak katikkan oleh rakan-rakan muslim kerana cita-cita ini.

Ia tidak semudah yang diimpikan.

Memerlukan perjalanan masa yang panjang.

Menuntut pengorbanan yang tidak kurang banyaknya.

Keikhlasan kerana Allah pokoknya.

Ilmu yang tinggi disulam cara dan uslub yang kena pada tempatnya.

*****
Semasa bayi makcik-makcik kejiranan flat bertanya emak mengambil anak cina dari mana (aku la tu).

Di Sekolah Kebangsaan Sungai Petani di tahun satu dan dua aku suka berkawan dengan anak cina dan pernah berkongsi straw dan aiskrim bersama.

Tahap dua di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya, Ipoh, Perak seorang senior perempuan berbangsa cina menyuarakan hasrat untuk menganuti islam namun takut dimarahi ibu bapanya.

Di sekolah yang sama seorang guru lelaki cina yang hampir menyamai muslim dengan ucapan Allah, istighfar, zikir dan tahmid pernah memberi syiling negara luar kepadaku dan kutolak dengan baik.

Ketika menengah aku pernah mengarang cerpen bertajuk 'Hidayah' mengisahkan tentang wanita cina yang mendapat pujian guru bahasa melayu.

'Laluan sutera' dokumentari RTM yang ditayangkan di TV1 antara rancangan kegemaranku sehingga negara tembok besar itu menjadi salah satu negara yang ingin kujejaki.

Sup dan mee antara makanan cina yang menjadi kegemaranku.

Aku juga pernah inginkan lelaki cina menjadi teman hidupku.

Guru besar kusekarang adalah satu-satunya cina dalam majoriti melayu di sekolahku.

Kenapa cina???

Mungkin kerana ia banyak tercatat dalam lipatan sejarah hidup ini berbanding bangsa lain di dunia.

Wo bu che tou....
Wallah hu taala a'lam bis sowab......

Jumaat, 17 April 2009

Peringatan yang pasti

Aku kembali teringatkan ia.....

Teringatkan apa???

Teringatkan kekasih....

Tidak...kerana aku tidak pernah punya kekasih
Kekasihku hanya Allah yang Esa
yang kuingati kerana solat itu sendiri mendekatkan diri pada-Nya

Teringatkan keluarga
Mustahil.... kerana keluargaku berada di depan mata
Hari-hari kami bersua, berbicara, bergurau senda
bersatu menangani masalah dan kesempitan.

Teringatkan sahabat

Sudah tentu kerana mereka sebahagian dari kenangan
Menjalani ranjau kehidupan dengan mencorakkan alam menjadi indah
namun ingatan itu tidak datang sepanjang masa

Teringatkan memori

Ya....namun memori adalah album lama yang tidakku ingat setiap saat
ia digamit hanya tika kesepian menjengah

Teringat apa???

Teringatkan KEMATIAN
Itulah sebenarnya yang kuingat
mengetuk jiwaku agar keinsafan mekar
dibajai TAUBAT
disirami air ISTIQAMAH
agar dosa itu tidak datang kembali
meracuni ruang-ruang masa

Ya ia kembali menggoncang laghaku
pada dunia dan materialnya

Ia datang mengingatkanku pada sebuah pengakhiran yang pasti
agar bersederhana dalam hidup ini

Ia datang memberi pesanan
agar ikhlas dalam setiap langkah perbuatan
tidak mengharap ganjaran
selain dari kekasih yang abadi

Datangnya ia dengan peringatan itu
menggerunkanku...
menggetarkanku....
kerana kurasakan dosa melimpah

Kekadang datangnya ia membawa peringatan
membuat bibir tersenyum
hati berbunga gembira
kerana jalan bertemu Rabbul Jalil sudah dekat

"Wahai tuhan ku tak layak ke syurga-Mu....
namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu....."

Aku sering melagukan bait-bait itu kerana kuinginkan syurga-Nya yang indah itu
namun kerana kedhoifan dan kehinaan diri ini adakah aku layak menjadi penghuninya.

Kematian sering memburuku
ia akan memanah bila tiba masa
yang ditetapkan Allah
aku perlu bersedia menghadapinya
bukan menghalanginya
namun menghadapinya
dalam keimanan yang tinggi
pahala yang terkumpul melebihi dosa
cinta kepada-Nya melangkaui segala cinta

Terima kasih ya tuhan
kerana sering memberiku peringatan
kerana peringatan itu
mengheretku mengingatimu
menjarakkanku dari kepuraan dunia

Aku perlukan peringatan itu
kerna ku manusia yang sering lupa....


"Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang ." Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih.


An-Nisa' : 17 & 18

Khamis, 16 April 2009

Antara tutup dan buka

"Ara, lepas makan jangan lupa tutup semula lauk atas meja tu ya nanti lalat," laung Mak Nah dari ruang tamu kepada anak perempuan bongsunya.

"Baik mak," sahut remaja berusia 12 tahun itu sambil menceduk gulai ke dalam pinggan yang berisi nasi.

Ulasan :

Ramai ibu bapa berpesan begitu kepada anak-anak perempuan kerana bagi mereka makanan itu amat bernilai maka ia perlu dijaga kualiti agar perut menerima sesuatu yang baik untuk menjamin kesihatan berpanjangan.

"Murid-murid semua, cikgu hendak kamu balut buku teks yang kamu dapat itu dan jaga ia dengan baik ya. Jika kamu tidak jaga dengan baik cikgu akan ambil balik dan tahun depan juga juga kamu tidak akan dapat bantuan buku teks lagi," pesan cikgu Aminah kepada anak muridnya.

"Baik cikgu," sambut murid-murid tahun lima efektif serentak.

Ulasan :

Setiap guru berpesan begitu kepada murid-murid mereka supaya buku pinjaman itu terjaga dari kulit depan sehingga ke kulit belakang. Dapat digunakan lagi pada masa depan. Ilmu yang terkandung di dalamnya dibaca dan diamalkan.

Dua pesanan yang sering kita dengar.

Namun....kita jarang dengar

"Ara sudah besar jadi Ara kena pakai tudung kerana bertudung itu kewajipan bagi kita orang islam setelah mencapai usia baligh." pesan Mak Nah kepada anak perempuan yang dilahirkan dengan mempertaruhkan nyawa di hujung mata pedang.

*******

"Murid-murid semua di usia kamu sekarang kamu perlu menutup aurat kerana dengan menutup aurat kamu akan terpelihara dari fitnah dunia."pesan guru kepada murid-murid seramai 30 orang itu.

Tutuplah aurat anda kerana nilai wanita pada mata lelaki adalah kecantikan yang boleh mengundang fitnah dalam hati para lelaki.

Sesuatu yang ditetapkan Allah ada hikmahnya dan jangan disangkal walau sepatah. Juga jangan diingkar walau sesaat. Allah pencipta dan Dia mencipta garis panduan dan undang-undang yang terbaik untuk hamba-Nya untuk diikuti dalam hidup. Jika dilaksanakan dengan niat kerana-Nya maka insyAllah akan selamat di dunia dan akhirat.

Tidak susah menjadi baik namun keindahan dan kecantikan dunia sering menjadi halangan.

Tidak sukar menjadi penghuni syurga namun jalan meniti ke arahnya dibentangi keseronokkan sementara.

Hanya kekuatan iman yang mampu membimbing nafsu dari terperangkap kancah keindahan yang palsu.

Wanita, harta, pangkat, kedudukan adalah antara keindahan yang sering mengujakan sesiapa.

Tidak salah ia dimiliki

dalam acuan halal yang diredhoi pencipta mutlak.


Retina mata tertangkap pada raut wajah manis seorang murid perempuan dalam keasyikkan membaca buku iqra'4 yang diikuti murid tahun satu al-Razi ketika mata pelajaran asuhan tilawah al-Quran. Wajah lembut itu tetap sama namun membezakannya adalah tuntutan agama yang sudah dilaksanakan seusia 7 tahun. Hasilnya menampakkan dia lebih ayu dan cantik dari sediakala. Itulah natijah KBS (kem bestari solat) yang dilaksanakan pada Sabtu minggu lepas yang mewajibkan semua murid perempuan bertudung untuk aktiviti praktikal solat.

"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka."Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang."

(Surah al-Ankabut: 59)

Selasa, 14 April 2009

Ceritaku dan ceritanya

'Air dicincang tidak akan putus'.

Memang betul simpulan bahasa itu kerana persaudaraan sebagaimana berbalah dan bermusuh akhirnya tetap bersama kembali.
Kukuhnya ikatan darah yang sama mengalir dalam jasad walaupun pada makhluk bernama haiwan.

Ceritaku......

Etot merupakan anak sulung kucingku yang diberi nama Kitty.

Sejak umminya (gelaran yang kuberi kepada Kitty sejak menjadi ibu) bersalin kali kedua Etot agak menjauhkan diri dari ummi dan adik-adiknya.

Malah jika menghampiri dan bau adik-adiknya pun Etot akan bunyi seperti hendak menyerang musuh.

Selepas itu Etot menjaga adik-adiknya yang lima itu melebihi umminya sendiri.

Ia akan kepung baby-baby yang nakal itu apabila dilepaskan dari sangkar.

Kini adik-adiknya menderita kecacingan yang menyebabkan kemurungan hingga tidak dapat mengurus diri sendiri Etot selaku Kak Chaq (gelaranku kepada Etot sejak menjadi akak) yang menjilat adik-adiknya sehingga bersih.

Sayang betul Etot pada adik-adiknya itu.

Terharu dan gembira kami melihatnya walau ia hanya seekor kucing.

Ceritanya....


Remaja lelaki yang mendapat keputusan baik dalam STAM dan bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Mesir.

Namun itu semua perlu dilupai kerana rasa tanggungjawabnya pada keluarga yang mengharap hasil keringatnya.

Abang yang sering meminta wang.

Malah ayah selaku ketua keluarga mengharapkan wang anak yang sepatutnya masih dalam tanggungannya.

Remaja berusia 18 tahun itu membuat pelbagai kerja bermula dari menjual serban di sekolah sehingga mencari dan menangkap cacing untuk dijual.

Sedihnya aku dengar cerita dari sepupuku itu.


Susah betul meramal hati manusia kerana rambut sama hitam (zaman loni macam-macam warna rambut terdapat di pasaran) tapi hati lain-lain.

Bukan hendak menghina dan mengata namun itu adalah pengajaran untuk diambil iktibar agar masa depan adik-adik dan anak-anak kita tidak dicorak sedemikian rupa.

*****
Se0rang cikgu berkata bahawa anak-anak zaman sekarang sudah senang ekoran murid-murid miskin yang mendapat RMT pun sudah dapat membeli air teh ais walhal air milo sudah diberi percuma. Itu tidak termasuk membuang sahaja makanan yang diberi secara percuma itu ke dalam tong sampah.

Walhal tanpa mereka ketahui guru-guru mereka ini dahulu perih untuk menyandang jawatan sebagai tenaga pengajar mereka. Hasil keperitan dan kesusahan itulah sebagai ilmu mengenal hidup yang akhirnya memilih kerjaya ini untuk menagajar dan mendidik agar anak bangsa menjadi manusia berguna.


CERIA-ceriakanlah hidup anda agar mentari esok yang menerangi hidup dengan pancarannya dapat dimanfaatkan dengan menjadi manusia yang disenangi oleh semua.

Ahad, 12 April 2009

BaCk 2 ME

Semasa 'KAU' ada aku tidak menghargaimu.
Aku mensia-siakan'MU'.
Aku membiarkan'MU' menangis dek perbuatanku.

'KAU' dibiarkan muntah berseorangan
Aku membuang'MU' sewenangnya
Seolah 'KAU' tiada harga padaku
Walhal jasamu tidak terhitung
kepadaku

Kini baru kurasa naifnya diriku
terhadap'MU'

Mungkin 'KAU' merajuk padaku
atas sikapku melayan diri'MU'
menganggap diri kecil'MU' hanya cebisan
dalam hidupku

Mungkin 'KAU' membenci diriku
yang adakala melayan'MU' dengan buruk sekali

Kembalilah padaku
dengan suara'MU' bernyanyi lagu alam
dengan belaian'MU' menyegarkan diri dan mindaku

Kembalilah padaku
ingin kukatakan bahawa istmewa dan pentingnya diri'MU' padaku
Jika 'KAU' kembali aku tidak akan mensiakan'MU' lagi
aku akan menghargai'MU'
'ENGKAU' satu antara beribu yang banyak membantuku
agar kehidupan ini menjadi bermakna
dengan bantuan'MU'
aku dapat menunaikan kewajipan pada yang Esa
dengan lebih tenang dan damai

Aku rindu pada'MU'
rindu teramat sangat
jangan terlalu lama menjauhi diriku

duhai

?????

duhai
alma'u ( bahasa arab fusahah )
moyah ( bahasa arab ammi )
water ( bahasa pengantar mate dan sains @ lebih dikenali sebagai PPSMI )
air ( dibaca dalam bahasa inggeris yang bermakna udara : bahasa daerah Baling, Kedah )
( dibaca dalam bahasa melayu buku : takkan tak faham lagi )

*****

Kuala Muda dijangka keputusan bekalan air selama seminggu akibat tangki besar pecah.
Baru setakat seminggu berbagai perancangan sudah tersemat di minda.

Difikirkan kembali , malu pun ada bila mudah melatah pada dugaan kecil sebegini.

Seperti kata mak tadi " orang lain relax saja, kita yang pulun angkut air dari luar."

Jawabku " memang pun tapi tak salahkan bersedia menghadapi keadaan yang luar biasa agar keganjilan itu dapat dihadapi dengan mudah."


MORAL : Hargailah setiap manusia, haiwan, alam, benda, kehidupan di sekeliling kita. Sekali pergi tidak akan kembali. Hanya mampu menjadi memori dalam lipatan sejarah. Jika dinukilkan lebih lama bertahannya. Jika hanya dalam simpanan diri akan pergi bila diri dijemput malaikat Izrail pergi menghadap Ilahi.

Sabtu, 11 April 2009

Pandangan mata

Dua hari berturut-turut aku ke PC FAIR yang pertama kali diadakan di Village Mall sejak mall itu beroperasi pada 2007.

Buat aku guru pelatih yang perlu berjimat elaun yang diberi setiap bulan, fair beginilah yang dinantikan untuk mendapatkan barang-barang untuk komputer riba yang sekarang umpama nadi kerja.

Hari pertama aku ke sana iaitu pada hari Jumaat kelmarin dengan pakaian biasa. Masih menutup aurat tanpa imej bergaya seorang guru. Itulah gaya simple aku pada hari cuti. Pakaian lama yang masih elok sayang dibuang. Risau juga disoal membazir di akhirat kelak. Pakai untuk keluar ke tempat yang berdekatan rumah.

Aku seperti tidak dilayan oleh penjual-penjual di situ. Mungkin rupa nampak muda ini ditafsirkan mereka sebagai budak sekolah menengah agama yang tidak berduit. Ditambah lagi sifat aku yang suka bertanya harga sebelum membeli. Membeli jika mampu. Ditolak dahulu jika tidak mampu. Aku nampak sendiri cina lelaki itu mencebikkan mulut kepada rakannya. Tidak secuit pun aku terasa hati dengan keadaan itu namun itulah realiti mentaliti manusia zaman kini. Tambahan yang hidup di kawasan yang agak maju.

Hari kedua iaitu pada hari ini, aku kembali ke sana juga selepas menunaikan fardu Asar berpakaian kerja kerana hari ini setiap sekolah beroperasi bagi menggantikan cuti pada hari raya puasa bulan September nanti. Berbeza dengan hari kelmarin. Setiap penjual melayan dengan baik. Malah sanggup bercerita tentang barangan mereka beberapa minit mungkin juga berjam jika dilayan.
Rumusannya beli belah pada hari ini lebih cepat dari kelmarin. Tidak perlu menanti lama di meja gerai hanya untuk mendapatkan RAM. Berkuasa sungguh kuasa wang. Hanya dari segi pakaian yang sedikit mahal dan baru boleh mengubah persepsi manusia terhadap seseorang.

Aku tidak bermaksud mengecillkan pandangan mereka-mereka ini. Namun itulah keadaan sebenar penilaian kita sebagai manusia terhadap manusia lain. Berbeza dengan pandangan Ilahi terhadap hamba-Nya yang diukur dari keimanan bukannya luaran.

Aku bermuhasabah sendirian beradasarkan keadaan ini. Diri yang lemah sentiasa memandang menggunakan mata kasar dengan menghukumnya berdasarkan apa yang nampak itu sahaja. Sedangkan yang tersurat yang hanya dapat dilihat oleh mata hati itu lebih bermakna. Aku perlu lebih memandang manusia, alam dan kehidupan dengan mata hati kini. Sebelum itu hati ini perlu lebih bersih dan perlu kerap disucikan dari sifat-sifat mazmumah. Allah akan senantiasa membantu hamba yang ingin mengubah diri ke arah kebaikan.

*******
KBS ( kem bestari solat 1 ) baru dapat dilaksanakan pada hari ini setelah kekalutan praktikum hampir selesai. Cuma cebisannya menyiapkan beberapa borang untuk dihantar ke unit praktikum IPDA. Sambil itu membuka kembali asignment GERKO yang diwajibkan untuk membuat satu program untuk dilaporkan. Nampaknya masa perlu lagi dicuri untuk menelaah, membuat nota dan menghafal modul sebagai persiapan peperiksaan pada JUN akan datang. Semoga kami semua cemerlang fid dunya wal akhirah.


Amin ya Rabb.

Jumaat, 10 April 2009

ASIF

Damainya hati bila dapat memaafkan orang. Seolah-olah menghirup oksigen di puncak gunung yang tinggi.
Bebas, lepas dan tenang.
Begitu indahnya perasaan memaafkan yang dianjurkan Allah.
Sifat peribadi rasul junjungan.
Allah s.w.t berfirman:
" وَ الكَظِمِينَ الغَيظَ وَ العَافِينَ عَنِ الَّناسِ وَ الَّله يُحِبُّ المُحسِنِينَ "

Ertinya :
" Dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ( ingatlah ), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."
( Ali Imran : 134 )
Selain itu rahmat dari Allah mencurah ke atas seorang yang suka memaafkan.
Wajah yang tua nampak muda.
Yang biasa nampak cantik dan kacak.
Mudah didekati dan ingin dihampiri.
*******
Maafkan aku jika pernah mengguriskan hati kalian kerana hati ini ingin ketenangan dalam hidup sementara ini.

Rabu, 8 April 2009

Bulan dan matahari

" Kakak, antara bulan dan matahari mana lebih glamour?" tanya Fika kepada kakak nombor duanya yang sedang leka menonton televisyen program realiti.

"Tentulah matahari," jawab ringkas si kakak bagi menutup mulut adik dari terus menyoal.

"Sebab lagu 'matahariku' yang dinyanyikan oleh Agnes Monica famous sejak sinetron 'jelita' ditayangkan di TV3...kan kakak?" soal Fira kembali kepada kakaknya.

Fika mengiyakannya hanya dengan anggukan kepala beberapa kali.

"Matahari famous sebab slot akasia sekarang juga berjudul 'matahari' kak," tambah Fira menganggu konsentrasi kakaknya yang sedang menunggu keputusan peserta yang akan tersingkir pada minggu ini.

"Tapi akak rasa bulan lagi famous daripada matahari," Fika tiba-tiba bersuara setelah ruang tamu rumah teres dua tingkat itu sepi beberapa minit.

"Apa alasan akak kata bulan lagi famous daripada matahari?" tanya Fira menuntut jawapan dari kakak kembarnya yang hanya beberapa saat lebih tua darinya.

"Sebabnya adalah dari dahulu lagi manusia memuji orang cantik seumpama bulan...pepatah juga ada menukilkan 'bagaikan pungguk dan bulan'.....'bagai bulan dipagar bintang....selain itu bulan juga ditafsirkan dengan masa...12 bulan dalam setahun....usia yang dihitung dalam bulan," panjang lebar Fika memberikan jawapan kepada adiknya.

"Betulkan akak, nama bulan sering meniti di bibir manusia berbanding matahari," Fira mengiyakan jawapan Fika dengan anggukan kepala dan akal yang ligat berputar mengesahkan data yang baru diterima.

"Apa-apa pun kedua-duanya adalah ciptaan Allah yang mana kedua-duanya berputar tepat pada orbit walau selangkah kerana patuhnya pada arahan Allah," Fika terus membetulkan fakta tentang matahari dan bulan yang mempunyai banyak jasa kepada alam.

"Betulkan akak, kita yang bernama manusia yang dianugerahi akal dan nafsu ini yang sering melanggar batasan syarak dan sering tergelincir pada jalan-Nya," kata Fira mengimbal balik jawapan kakak kesayangannya itu menutup tirai perbincangan mereka.
*******
Malam ini ingin kukatakan pada bulan bahawa aku boleh tidur lena kerana observe oleh pensyarah telah berakhir pada hari ini.

Ingin juga kukatakan pada bulan tentang faedahnya aku memilki sebuah blog dengan menulis entri tentang hidup, alam, ,manusia dan perasaan di dalamnya. Ini kerana ia melatih aku mengamati dan menulis berdasarkan huraian tentang sesuatu kejadian. Hasilnya memudahkan aku menulis jurnal dan pernyataan profesional yang amat memuaskan hati pensyarah.

Ini bukan dariku. Ia dari Allah. Mungkin keranaku seorang yang tidak banyak bicara maka dikurniakan-Nya dengan petahnya jemariku menaip.

Aku akan terus melihat, merenung, memerhati, mengamati dan menulis. Cuma sekarang aku perlu menyediakan lebih banyak buku nota sebagai catitan ringkas mengingatkan diri akan peristiwa dan tafsirannya untuk terus menulis.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...