? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Selasa, 31 Mac 2009

Nilai satu nyawa

Isu ini sudah lapuk. Malah jika dibicarakan pasti menaikkan darah sebilangan dari kita yang sebati dengannya. Bahkan boleh dikatakan sesuatu yang sensitif seperti membicarakan isu politik. Ia hampir tenggelam dibayangi isu yang lebih bahaya darinya tetapi membawa kesan yang hampir sama iaitu membahayakan kesihatan. Isu itu kini bangkit semula setelah akhbar tempatan menyiarkan kesan dan bahaya jangka panjangnya terhadap kesihatan manusia disertai dengan gambar paru-paru hitam akibatnya.

Pagi tadi radio Hot FM juga membicarakan tentang fungsi gambar-gambar ngeri yang terdapat pada kotak rokok ke atas para perokok. Antara gambar ngeri tersebut adalah janin akibat merokok. Entahlah aku sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana gambar itu kerana kotak rokok pun sudah lama tidak kulihat.

Jika tidak kerana tajuk itu yang dibicarakan di stesen radio hangat itu maka aku tidak tahu yang sekarang kotak rokok sudah berubah wajah. Jika dulu sekadar pesanan 'merokok membahayakan kesihatan' oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang tertera pada kotak rokok.
Pelbagai komen dari pemanggil melalui panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas. Ada yang perokok yang sudah mahu meninggalkan rokok. Ada juga yang sedih melihat gambar-gambar itu namun tetap merokok. Ada yang tidak mempedulikan kerana dia adalah perokok tegar. Namun satu komen yang menarik perhatianku adalah menutup kilang-kilang rokok untuk mengelakkan orang merokok.

Sambil memandu aku tersenyum lalu hati berkata, " Mana mungkin kerajaan menyekat rokok dengan menutup kilang-kilangnya dan menyekat kemasukannya dari negara luar kerana rokok telah memberi cukai yang tinggi kepada negara."

Hati aku terus berkata, " Kenapa perlu merisaukan sedikit kekurangan material jika kesannya adalah mudarat berterusan, Allah juga tidak merestui apabila hamba-Nya tidak menjaga anugerah-Nya di samping membazir termasuk dalam saudara syaitan. Ditambah penyumbang dana kepada yahudi membeli peluru untuk membunuh saudara seakidah sendiri.

Kereta kubelok hampir sampai ke sekolah. Hatiku terus berbicara menoktahkan, " Apa hendak dirisaukan pada kerugian kerana Jika meninggalkan sesuatu yang Allah larang pasti ada ganjaran dari-Nya yang kita tidak ketahui."

Aku adalah seorang yang anti rokok kerana kelahiranku menyebabkan abah meninggalkan rokok. Sehingga sekolah rendah kulihat abah masih tetap melawan ketagihnya itu dengan mengulum gula-gula Hacks hitam dan asam. Syabas buat abah kerana berjaya melaksanakan niat baiknya itu. Perkara baik yang diimpikan disamping mendapat pertolongan akan beroleh keberkatan di sisi Allah Taala walaupun perkara itu dianggap kecil bagi sesetengah orang.

Awas rokok bukan sekadar membahayakan kesihatan penghisapnya
namun penghidu asapnya juga akan lebih menderita
sayangilah keluarga dan orang sekeliling anda
kerana nyawa manusia begitu berharga....

Isnin, 30 Mac 2009

Syukran PMRAM...

Pertama kali menjejak kaki di bumi Mesir kami disambut oleh anak-anak Terengganu yang disertai beberapa senior Kusza yang merupakan ahli PMRAM di airport Cairo.

Kami dibawa menempuhi bangunan-bangunan berwarna coklat di kiri kanan jalan yang jika diturunkan ketika itu pasti akan sesat kerana pemandangan baru yang hampir sama bentuk dan warnanya.

Kami dibawa rehat di rumah Terengganu setelah sembilan jam berada dalam perut pesawat mengharungi perjalanan dari tanahair ke Mesir. Dijamu nasi campur seperti yang dijual di Terengganu.

Setelah itu kami dihantar ke rumah anak negeri masing-masing sekitar Cairo. Sehinggalah diuruskan dengan baik ke cawangan Universiti al-Azhar yang terdapat di sekitar Mesir.

Begitulah kebajikan kami anak-anak Malaysia dijaga dan diurus dengan baik oleh Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebermula tiba hingga ke pulang ke tanahair.

Sebelum ke sana hatiku gusar untuk mengurusi semua urusan dan keperluan terutama berkaitan kuliah sepertimana yang berlaku di Kusza. Apatahlagi perlu berurusan dengan orang arab yang sememangnya kurang budi bahasa berbanding kita orang melayu.

Namun bila di sana semua kerisauan itu lenyap kerana hampir semua urusan kuliah dari segi penempatan, penukaran, kitab, yuran sehingga keperluan utama di sana seperti selimut tebal dan beberapa benda lagi diuruskan PMRAM. Maklumlah pelajar baru seperti kami masih tidak betah dengan cuaca, budaya, bahasa dan makanan orang sana untuk melakukan sendiri urusan-urusan itu.

Kasihan juga bila melihat ahli tertinggi PMRAM, para exco yang bekerja demi kebajikan pelajar Malaysia di sana. Satu perjuangan yang kulihat bukan kerana wang. Malahan perjuangan yang menuntut wang saku dikeluarkan. Jika diberi amanah sebagai tampuk pimpinan PMRAM aku juga tidak sanggup berkorban seperti mereka. Mampu tersenyum dalam kelelahan. Tinggi sungguh nilai kesabaran mereka.

Semasa menjadi ahli PMRAM kami tidak pernah disuruh untuk menyokong mana-mana parti politik tanahair. Cuma yang kutahu melalui al-quran dan tafsirnya, hadis serta kitab-kitab yang kami belajar sememangnya mengandungi perkara-perkara yang diperjuangkan oleh satu parti politik tanahair. Jika itu sebabnyai PMRAM dituduh maka semasa belajar belajar di sekolah menengah lagi banyak ayat-ayat yang sama telah kami belajar bagaimana pula keadaannya?

PMRAM terus ditohmah, dikeji, dicaci, dituduh kerana ketulusan mereka menjaga kebajikan pelajar Malaysia di sana yang sudah dianggap seperti bapa dan ibu setelah berjauhan dari orang tua. Kini ingin cuba dihapuskan dari muka bumi.
Sesunggunhnya dari zaman nabi Adam lagi manusia yang melakukan kebaikan memang sering dicemburui sehinggakan kini kebaikan sudah menjadi satu kesalahan.

Aku bukan menegakkan mana-mana parti politik. Aku cuma mahu tegakkan apa sahaja yang berlandaskan al-Quran dan hadis.

Perlu diingat

yang dipenjara itu bukan sekadar penjenayah

juga ulama yang mahu menegakkan

dustur islamiyah

yang digelar banduan itu bukan hanya yang melakukan kesalahan

namun yang mengamalkan al-Quran sunnah

dalam kehidupan

semuanya di mata Allah taala

palsu di mata manusia


Teruskan thabat kalian, sahabat-sahabatku di bumi anbiyak.


******

Ahad, 29 Mac 2009

Ombak


Hidup ini ibarat ombak

adakala terjah daratan

adakala bergulung di lautan

pasang surutnya

berbagaikan keadaan

tidak tetap pada satu kejadian

putarannya berpusing tiap detik dan minit

kekadang muntah airnya hingga ke tengah daratan

menaikkan angka kematian

tidak pasti pada kedatangan

perlu depani penuh kesabaran

jangan melatah pada kunjungan keadaan

yang lari dari normal kehidupan

kerna masalah akan hadir sebagai tetamu

pelengkap episod hari seorang insan

*******

Berbagai perasaan mendepani praktikum yang bakal berakhir. Adakah bergelar cemerlang atau sebaliknya. Segalanya boleh berlaku. Usaha, doa dan tawakal kepada Allah motif utama yang Allah inginkan dari hamba yang inginkan kejayaan.

Keadaan politik tanahair yang bergolak tanpa reda yang panjang susah diramal keputusannya. Sungai Petani sekarang sudah dipenuhi khemah-khemah polis yang menjaga keadaan. Sebagai rakyat aku perlu menjalankan tanggungjawab. Itu pesanan pada diri. Pastinya memilih pemimpin yang berlandaskan syarak. Menjalankan amanah dipikul tanpa mengharapkan habuan berlebihan untuk kepentingan peribadi.

Hari ini telah pergi
esok bakal menganti
episod lama yang belum berakhir akan bersambung lagi
yang usai akan bermula episod baru
yang tidak tahu bagaimana coraknya


Jumaat, 27 Mac 2009

Malam yang gelap

Bila malam saja takut. Bila takut saja malam. Teruk betul dengan perasaan ini. Kenapa takutkan malam? Mungkin kerana ia gelap. Maka pelbagai perkara buruk yang tidak nampak bakal berlaku. Mungkin juga mitos yang mengatakan hantu keluar pada waktu malam. Entahlah sukar dikesan punca ketakutan ini.

Namun malam ini bermula dari bumi mula diciptakan. Ini bermakna sejak zaman Nabi Adam lagi sudah mengalami keadaan gelap ini. Nenek pernah cerita bahawa pada zamannya tiada lampu. Bila senja emak nenek akan memasang lampu gasolin untuk menerangi rumah kayu mereka. Melalui filem-filem hitam putih dahulu juga menunjukkan penggunaan jamung untuk menerangi jalan di kala malam.

Susah betul rasanya hidup tanpa cahaya. Pasti sukar orang dahulukala menjalani kehidupan tanpa lampu seperti sekarang.

Namun melalui pelajaran agama islam yang diajar ustaz pada Khamis lepas membuktikan gelap hati lagi teruk daripada gelapnya malam. Gelap hati telah menutup seluruh hati dari memandang walaupun sezarah kebenaran. Gelap hati berpunca dari dosa yang menimbulkan bintik-bintik hitam di hati yang akan menghitamkan hati apabila banyak dosa dibuat. Akhirnya yang akan membawa ke neraka akibat gelapnya seketul daging dalam jasad yang dipanggil hati. Nampaknya kegelapan hati lagi menakutkan daripada kegelapan malam.

Jadi apa yang ditakutkan dengan malam yang memang yang diciptakan sejak azali. Apabila mati kelak juga akan tidur dalam kubur yang gelap. Itu kata emak. Patut dijaga adalah mengelak kegelapan hati yang dibuat manusia setelah mendapat nikmat nyawa, udara, makanan dan berbagai.

Maka tidak salahlah jika turut menyertai EARTH HOUR dengan memadam lampu pada 28 Mac 2009 sejam bermula 8.30 malam. Tidak akan terjejas pun hanya kerana sejam berada di dalam gelap. Berbanding melihat cahaya sebermula mengenal dunia. Di samping mengurangkan pemanasan global.

Noktah Nurul, murid tahun lima mengakhiri nukilan tinta hatinya.

Khamis, 26 Mac 2009

Penantian

Penantian adalah satu penyeksaan. Maka aku telah mengalami penderitaan yang berulang kali. Bukan sahaja aku. Namun ramai di luar sana yang senasib.

Penantianku untuk memiliki segulung ijazah. Penantian untuk memiliki sebuah kereta. Malah sebuah komputer riba. Sekarang pun aku masih tetap menanti untuk memiliki beberapa perkara dan benda yang masih dalam proses mencapai. Juga belum tergapai. Begitulah akibatnya memiliki terlalu banyak impian. Bahananya perlu menanti dalam jarak masa yang adakalanya terlalu lama.

Aku lebih senang mengandaikan penantian ini adalah proses mencipta kesabaran. Malah jika sabar dipraktikkan natijahnya akan lebih berganda di mana nilainya keberkatan Allah Taala. Setelah hasil dituai barulah kita sedar bahawa penantian itu adalah tarbiah untuk memiliki sesuatu yang berharga lebih mahal dari sesuatu yang dimiliki dengan mudah.

Teruskanlah bersabar. Allah akan bersama hamba-hamba-Nya yang sabar.

Setelah lama menanti akhirnya pensyarah datang pada pagi tadi untuk sesi penyeliaan buat kali pertama. Mungkin sebab terlalu lama menanti segala resah dan debar di dada di bawa angin masa. Aku dapat mengajar dalam keadaan yang agak tenang. Malah suasana kelas yang terkawal. Terima kasih buat murid-murid tahun 2 al-Farabi yang sporting membantu ustazah mereka ini. Tabik spring. Sesi pengajaran dapat dilaksanakan mengikut perancangan yang telah tertulis.

Namun manusia tidak memiliki kesempurnaan. Masa 30 minit yang diperuntukkan agak sedikit lari kerana kesilapan murid-murid memahami arahan dalam bahasa arab. Lucu juga bila mengenangkannya. Dari satu sudut, aku bersyukur kerana mereka telah memahami konsep berkumpulan yang diterapkan ketika membaca al-Quran dalam pelajaran pendidikan islam (khatam al-Quran). Namun untuk hari ini bagi pelajaran bahasa arab telah menjadi bala kerana kumpulan yang sama kubentuk untuk sesi gerak kerja berkumpulan disalahtafsirkan oleh mereka. Ada ka patut disuruh duduk dalam kumpulan, ketua kumpulan keluar untuk mengambil wuduk.

Hikmahnya itulah masalah yang tidak dijangka yang perlu seorang guru tanganinya dengan bijaksana agar sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Mujurlah pensyarah memahami keadaan. Fuhh....lega.
Sekarang aku rasa seperti burung yang memiliki sayap boleh terbang merata-rata. Bebas dan bebas merasai angin sejuk di udara. Dimulai dengan terbang rendah seterusnya makin tinggi hingga melanggar awan. Hilang separuh bebanan tugas yang tergalas dipundak amanah.

Berbaloi rasanya penantian ini kerana dapat banyak ilmu darinya. Hasilnya menunjukkan peningkatan yang banyak berbanding dahulu. Semuanya dari Allah. Bukan untuk diriakkan cuma sebagai motivasi menampung kekurangan yang masih berbaki sebagai memenuhi impian yang masih belum terlaksana.
Aku akan terus menanti. Menanti dengan setia. Menanti dengan usaha. Menanti dalam doa dan tawakal.

Selasa, 24 Mac 2009

Pandangan seorang manusia

Manusia dikenal dari segi rupanya
lebih dikenali dari sudut jasanya
manusia baik menyorok amalannya
dari pandangan dan pujian
sekadar pengetahuan tuhan
manusia kurang baik ingin kehebatannya
dibuku dan direkodkan dunia
jika boleh sekadar pujian dan penghargaan
orang-orang sekelilingnya
manusia dirapati berpandukan peribadinya
mengkaji sosiologinya dan menghadamnya
menggunakan psikologi bersahabat dengannya
agar emosinya dapat dijaga
ada manusia yang sukar dikenalpasti sikapnya
menyukar diri mengenalinya
untuk menghubungkan tali persahabatan
jika boleh cuma sekadar
di pertengahan jalan
manusia memang pelbagai rupa, gaya, sifat dan sikap
membuatkan diri lebih tertarik
mengenali manusia yang pelbagai
kerana kepelbagaian itu
mencorakkan alam yang mulanya sekadar kaku di atas hamparan rata
walau realitinya ada manusia yang melukakan
ia hanya putaran seperti pusingan bumi pada paksinya
kerna diri juga pernah melukakan
di masa berbeza

Isnin, 23 Mac 2009

Antik

Alhamdulillah langsai sudah MTQ peringkat PKG Padang Serai yang diadakan di SK Guar Lobak petang tadi. Walaupun anak-anak SKBS tidak berjaya meraih sebarang hadiah namun aku berpuas hati kerana dapat mendekati mereka yang selama ini agak terbatas dari segi masa. Baru kutahu bahawa murid perempuan tahun 6 pada tahun ini yang dikatakan agak senyap dan pemalu rupanya mempunyai semangat juang dan mahukan kemenangan. Syabas buat mereka yang mempunyai satu anjakan paradigma semangat aktif dari kepompong pasif.

Cuma kurasa agak sedih kerana wajah mereka nampak hampa tanpa sebarang kejayaan. Kata salah seorang dari mereka,

" Ustazah, saya rasa nak menangis sebab sekolah kita tak menang satu pun."

Bagusnya semangatmu duhai anak didikku. Teruskan semangat itu dengan membuktikan dalam UPSR pada tahun ini. Semoga peratus pada tahun lepas yang meningkat akan terus meningkat pada tahun ini.

Dalam kelenguhan menapak dari satu anak tangga bangunan ke anak tangga bangunan lain melihat anak-anak SKBS yang berada di acara berbeza sempat menyingkap memori antik bersama rakan-rakan lama yang sudah lama tidak bersua.


Wajah yang hampir tidak kukenali datang menegur, " Kak ni dulu Kusza kan, ingat saya dak."

Ingatanku cuba mengimbas wajah di depan mata dalam keriuhan ramai menanti keputusan diumumkan. Sudah kuingati namun seperti biasa aku ni sukar mengingati nama orang yang tidak rapat denganku.

Kami berkenalan kali kedua kerana masing-masing lupa pada nama. Dia junior setahun aku di Kusza. Wajahnya jauh berbeza. Wajah dewasa sememangnya berbeza dengan wajah belasan tahun yang kulihat dahulu.

Maka perkenalan kali kedua ini menyingkap pelbagai memori antik akan rakan-rakan yang sudah bekerja, berumahtangga dan beranak pinak. Sekejap sungguh waktu beredar. Seumpama baru semalam aku berada di depan sebagai ketua exco Helwa ( hal ehwal wanita ) bertaaruf dengan mereka tika sesi perjumpaan pertama kali lajnah tersebut. Indahnya waktu-waktu yang berlalu itu.

Bukan setakat itu. Satu wajah yang pernah kulihat ditangkap retina dalam keramaian manusia mendaftar murid sekolah masing-masing. Melalui tag nama yang dipakainya tekaan aku benar. Ukhti yang pernah tinggal sebelah rumah Kak Njang ( ketua rumah Nida'ul Wafa ) di Kaherah. Berkahwin ketika belajar bersama suaminya yang juga pelajar Al-Azhar. Kecil sungguh dunia ini. Kini kami bertemu di bumi sendiri dalam suasana dan waktu berbeza.

Kenangan lalu yang diingat seperti barang lama yang disimpan dengan baik ditelan usia sehingga menjadi antik. Terlalu mahal harganya malah berganda dari harga yang dibeli. Sukar dinilai dengan wang ringgit. Namun manusia yang berdaya maju tidak mampu hidup hanya kerana kenangan. Ciptalah kehidupan yang lebih baik dengan sifat-sifat mulia yang akan menjadi nilai kenangan antik yang lebih berharga di masa depan buat tatapan dan teladan generasi depan.



Ahad, 22 Mac 2009

sEsAk MaSa


Hari-hari kian sesak seperti yang kujangka. Malahan sesaknya melebihi jangkauan jangkaan. Normallah hari seorang dewasa yang dipenuhi dengan rutin lambakan kerja. Namun, kekadang rindu pada kekangan dan kesibukan waktu sebagai pelajar yang agak longgar dari segi tekanan dan kebosanan. Jika itu yang berlaku ada sahabat-sahabat yang menyokong. Malah lawak-lawak bodoh yang dicipta bakal menghilangkan tekanan lambakan assignment, kuiz dan exam.

Minggu ini sahaja bermula dari esok tayar kereta akan menjejak garaj rumah pada waktu petang atau mungkin masuk senja. Seperti kata sepupuku baru-baru ini kerjaya guru sekarang menuntut kerja tanpa cuti. Memang benar kata-kata itu melalui bisikan guru sains di sekolah ketika perhimpunan berlangsung bahawa cuti seminggu baru-baru ini tidak seperti cuti. Mereka yang menjalankan kelas SBT ( skim bantuan tuisyen ) perlu hadir ke sekolah hampir setiap hari. Letih juga jadi guru pelajaran teras ditambah PPSMI ini, ucapan itu yang pernah menggerutu dalam hati.

Entah bagaimana nasib anak muridku pada MTQ ( majlis tilawah al-Quran ) peringkat yang diadakan di SK GUAR LOBAK esok. Aku yang dipertanggungjawabkan melatih murid-murid bercerita tidak dapat melaksanakan dengan penuh dedikasi akibat kesuntukan masa. Waktu rehat tadi mendengar murid perempuan berlatih agak mencuitkan hatiku. Bukan kerana cara murid tersebut. Namun, kerna teks yang kusediakan yang menyamai teks syarahan atau pidato. Maklumlah pengalaman berbahas dan berpidato ada sedikit ketika belajar dahulu. Jika bercerita tidak sekali. Jadilah teks bercerita bercampur pidato. Mungkin boleh disingkatkan menjadi 'CEHAS' atau 'CETO'. Haha.

Bulan dakwah juga diadakan majlis pada Khamis ini yang disekalikan dengan perasmian surau SKBS. Program last minute yang dirancang ini pastinya menuntut kerja yang perlu diselesaikan dalam masa yang singkat agar program tetap berjalan dengan teratur.

Petang tadi rakan sms memberitahu tentang perjumpaan guru-guru j-QAF kohot 2008 yang sedang praktikum pada tahun ini dengan pensyarah IPDA pada Selasa minggu ini juga. Ianya berkaitan dengan refleksi praktikum. Kesnya yang kuagak adalah para pensyarah yang tidak berpuas hati dengan penulisan refleksi oleh pelatih. Aku pun termasuk dalam pelatih yang agak samar-samar akan penulisan refleksi yang betul. Selama ini aku mengikut penulisan praktikum sekolah. Namun kata pensyarah ia lebih kepada apa yang guru rasa. Musykil-musykil.
Mujurlah cuti lepas aku sudah menyiapkan rancangan pengajaran praktikum untuk minggu ini. Cuma perlu diperkemaskan yang mana tompang dan menyediakan bahan bantu mengajar. Biarlah pensyarah nak datang bila pun. Muhimnya aku melangsaikan semuanya tepat pada masa agar hari-hari depan tidak kelam kabut.

Walau kesesakan masa kini, aku gembira kerana anak didikku makin matang mendepani pelajaran terutama bahasa arab. Sebab itulah jika letih pun aku tetap bersemangat untuk masuk kelas untuk memberi ilmu kepada mereka dan melayani karenah yang berbeza itu.

Doaku agar gastrik yang kian rancak menyerang tahun ini tidak lagi datang agar apa yang direncanakan berjalan seperti yang dirancang. Semuanya dengan kehendak Allah taala. Sesungguhnya perancangan Dia lebih baik dari perancangan kita yang tidak tahu hikmah di sebalik perencanaan.

Sabtu, 21 Mac 2009

Awal dan akhir

Setiap bayi yang menangis ketika dilahirkan akan bunyi apabila nyawa ditarik ketika akhir usia.

Setiap insan yang bertemu pasti akan berpisah kerana masa senantiasa mencemburui.

Bibit cinta yang berputik berakhir dengan ikatan pernikahan menghalalkan perhubungan.
Subuh mendahului ruang bumi akan ditutupi senja kerana matahari patuh pada orbitnya.

Putaran angka jam 12 malam berpusing kembali ke 11 malam mencukupkan 24 jam sehari.

Langkah terakhir bermula dari langkah pertama.

Setiap yang bermula pasti berakhir.

Cutiku yang bermula sejak Ahad hari ini telah berakhir.

Cepat sungguh masa berlalu mengakhiri sebuah rehat yang menenangkan.

Matahari esok pastikan muncul kembali menjalani tugasnya kerana berhentinya beerti akan berakhirnya sebuah alam kehidupan.

Begitulah aku yang perlu kembali menyambung rutin kerja untuk menyambung nyawa demi sebuah kehidupan yang tidak tahu penghujungnya.

Chaiyok.....chaiyok....bangun....

anak-anak SKBS menanti untuk mengenal al-Quran dan bahasanya

agar dapat mereka fahami dan adaptasi kandungannya dalam kehidupan.

Misi perlu diteruskan walau sebarang halangan galanginya.

Jumaat, 20 Mac 2009

Episod luka

Gelisahnya hari-hari memanjat dinding waktu
pada sebuah episod duka yang berlalu
seperti noktah tiada penyambung

Hadirnya saban kali mengundang sebak di dada
ikatan nyawa menjadi taruhan
hubungan yang masih bersambung
tanpa tembok pemisah
ingatan berbekas
meninggalkan parut berbalam
kembali berdarah ditoreh belati

Jangan disalah nasib diri
manusia bisa merubah dengan keinginan
jangan disalah kehidupan
manusia punya tenaga untuk berusaha
jangan disalah orang tua
kerna mereka berkorban nyawa

Bukan masa mencari salah sesiapa
masing-masing diberi hikmah merenung kesalahan
memperbaiki kelemahan peribadi
agar hari muka lebih sirna
dengan nilai maruah yang terpelihara

Tragedi itu bukan noktah
ia hanya koma sementara
yang bersambung dengan episod
lebih gembira dan ceria
bahagia latarnya
bukan hanya dunia
akhirat begitu jua

Allah penentu segala
mendamping-Nya mendekati-Nya
beroleh cinta-Nya
dalam keberkatan
sedikit hasil jadi berganda

Doa itu kusuarakan
dalam hati tak kira masa
agar menjadi nyata
suatu masa
yang tidak tahu datangnya

Khamis, 19 Mac 2009

Panaskan kembali isu Palestin

" Sebolehnya kami ingin juga usaha untuk bawa balik anak-anak Palestin ke sini setelah Ismail Haniyeh sendiri mengizinkan dengan berkata bahawa anak-anak ini tiada masa depan di Palestin," kata Dr Jamnul Azhar berulang kali dalam ayat yang berbeza namun membawa makna yang sama dalam ceramah yang kuhadiri bersama mak, tok dan adik semalam.

Isu Palestin kini kian sepi. Ceramah semalam yang diadakan di Masjid Kg Raja, Sungai Petani agak suram, yang majoritinya terdiri daripada warga emas. Namun tetap berjalan seperti yang dirancangkan pihak masjid. Semoga sumbangan derma ikhlas para hadirin dapat menjadi saham membantu anak-anak Palestin mendapat kebebasan menjalani tumbesaran.

Selama ini tragedi dan rentetan di Palestin hanya dilihat, didengar melalui media massa dan internet. Namun semalam tragedi di sana diketahui dari Dr Jamnul yang berpeluang ke sana bersama Dr Sheikh Muszaffar Shukor atas misi kemanusiaan membantu mangsa. Plot-plot pengalaman dicerita dengan terperinci oleh beliau tentang kematian, kecederaan dan penderitaan rakyat Palestin disertai tayangan gambar di atas skrin.

Fakta memilukan mengikut cerita Dr Jamnul adalah dalam masa 4 hari beliau di sana seramai 80 orang lebih yang kehilangan kaki akibat dibom.

Fakta menarik adalah jenazah lelaki yang telah syahid 20 tahun masih mengalirkan darah sedangkan mengikut dunia perubatan sendiri darah akan membeku selepas 4 jam meninggal.

Jenazah dalam peti dalam bilik mayat yang berbau harum selepas dibuka.

Keberanian wanita-wanita Palestin yang membeli sayur ketika jet pejuang berlegar atas kepala. Kata mereka, " Kami tidak takut kerana kami hendak mati syahid."

Fakta menyedihkan apabila anak-anak yatim Palestin yang mengharapkan perlindungan dan kasih sayang. Seorang anak yatim perempuan berusia 6 tahun yang menangis teresak-esak apabila meminta Dr Jamnul membawanya pulang ke Malaysia. Itu adalah satu tangisan yang mewakili beribu tangisan anak-anak Palestin yang inginkan kebebasan menjalani hidup secara normal.

Kata Dr Jamnul memang mustahil dia untuk berperang seperti Hamas kerana beliau tidak tahu langsung menggunakan senjata dan teknik peperangan. Dia cuma tahu tentang ilmu perubatan yang digunakan untuk menyelamatkan mangsa tembakan, bom dan sebagainya.

Aku pernah terfikir untuk menjadi tenaga sukarelawan membantu mangsa-mangsa peperangan sejak berusia awal 20-an tidak kira samada di Afghanistan, Iraq, Palestin dan negara-negara lain kerana aku tiada ilmu perubatan dan peperangan. Aku hanya ada sedikit ilmu agama. Mungkin tenagaku boleh digunakan sebagai pembantu perubatan, tenaga penagajar dan sebagainya. Ia hanya terkubur begitu sahaja kerana komitmen terhadap pelajaran dan aku tidak tahu saluran yang harus dituju untuk merealisasikannya.

Pesan terakhir Dr Jamnul cara untuk membantu Palestin adalah dengan:

1. Berhenti merokok kerana tahun 2008 sahaja rakyat Malaysia sahaja telah menyumbangkan sebanyak beberapa 16 billion ( jika tidak silap pendengaran ). Jika ketagih sangat tukarlah kepada rokok daun. Itu pun jika tetap tidak sayangkan badan.

2. Boikot barangan yang menyumbangkan dana kepada Israel dan Amerika seperti Kfc, milo, coca cola dan sebagainya dan mengubah kepada barangan tempatan seperti Rfc, cola radix, coco radix dan sebagainya. Tiada alasan lagi untuk memboikot barangan itu.

Sewaktu heboh isu Palestin 2 dan 3 bulan lalu kuamati Kfc dan Mcd suram tanpa pengunjung. Baru-baru ini kukunjung kembali ke shopping kompleks tersebut kedua-dua restoran makanan segera itu kembali sesak dengan pengunjung terutama yang beragama islam.

Jelaslah di sini rakyat Malaysia akan panas apabila sesuatu isu itu meletus hebat yang dipaparka media. Jika ia sunyi di media walau hakikatnya tetap bergolak maka rakyat Malaysia pun turut sama reda dan lupa. Ia berlaku kerana kita tetap aman dan bebas menjalani kehidupan.

Marilah kita sama-sama pejamkan mata seketika andaikan diri berada di Gaza mendengar jet-jet pejuang berlegar di udara. Mendengar tembakan peluru. Mendengar letupan bom. Bingitkan telinga mendengar jeritan dan raungan tangisan anak-anak kecil dan wanita lari ketakutan dari serangan Yahudi tidak berhati. Melihat mayat-mayat dan darah bergelimpangan merata-rata tanah dan jalanraya. Merenung bangunan yang ranap menyembah bumi runtuh dibedil.

InsyAllah itu semua cuma sekadar seketika menjadikan kita seperti mereka agar dapat membantu mereka tersenyum semula di atas muka bumi seperti senyuman kita. Walau hakikatnya senyuman syuhadak lebih bermakna sebagai jaminan syurga melalui lambaian bidadari yang dibuka hijab oleh Allah Taala sebelum meninggalkan dunia.


Rabu, 18 Mac 2009

Labah-labah dan cicak

Kak Yah kata cara hidup keluarga sepupu sebelah suaminya berbeza dengan cara hidup keluarganya.

Berbeza kerana mereka tidak menutup aurat dengan sempurna. Juga kerana tidak menjaga batas pergaulan dan perhubungan. Dikonkrit lagi dengan tiang agama yang tidak dilaksanakan.

Itu semua diketahui Kak Yah setelah menumpang semalaman di rumah sepupu suaminya itu semasa bercuti ke negeri Tebu bulan lepas.

Maka, Kak Yah mengambil keputusan untuk tidak lagi menumpang walaupun di rumah adik sepupu suaminya itu ketika bercuti ke negeri penyu beberapa hari yang lalu.

Anak saudara suami Kak Yah hanya melopong mendengar luahan rasa isteri bapa saudaranya itu tanpa mencelah walau satu perkataan. Dia cuma tahu yang hubungannya bersama mangsa ghibbah (umpatan ) emak saudaranya itu baik selama ini. Namun, tidak diketahui setakat mana betulnya cerita itu. Patutlah selama ini bapa saudara dan mak saudaranya menjarakkan hubungan dengan sepupu mereka sendiri.


Jika betul cerita itu memang mereka bersalah kerana meninggalkan kewajipan yang Allah perintahkan. Namun itu bukan alasan melonggarkan hubungan darah yang mengalir di dalam tubuh.

Rasulullah juga mempunyai bapa saudara yang amat jahat iaitu Abu Jahal yang bencikan agama islam yang suci ini. Juga Abu Talib yang tidak mengucapkan syahadah namun pelindung baginda menyampaikan risalah. Baginda tidak membenci dan menjauhi mereka malah senantiasa mendekati mengajak ke jalan yang benar. Teladan ditunjukkan dengan peribadi dan sikap yang mulia yang menjadi kaguman kaum kafir Quraisy.

Hari kelahiran Rasulullah diingati namun sifat baginda susah diikuti
Peribadi baginda sukar diteladani
sebab itulah kini manusia makin lari dari kebenaran
kerana manusia yang berjalan atas kebenaran
berseorangan tidak membimbing manusia yang kesesatan

dunia terbahagi dua
antara baik dan jahat
saling menuduh
saling mengutuk
saling bermasam muka
saling berentakan
kerana yang baik merasakan dirinya mulia
yang sesat pula kelam dari sebuah kebenaran...



Wallah hu ta'ala a'lam minna.

Isnin, 16 Mac 2009

Api...api...api....

" Akak cepat akak, api makin marak," jerit bekas ahli bait 'Nuha Amani' selaku exco kebajikan anak-anak melayu di Iskandariah.

Aku risau dan gelabah tapi bukan memikirkan keselamatan diri. Aku fikirkan 2 buah kotak kitab dan barang yang telah dilaza'ah ( selotapkan ) untuk dikargo menggunakan kapal laut. Bagaimanalah jika kotak-kitab itu hangus dijilat api yang tidak mengenal barang dan sampah.

" Kejap....kejap i'm coming," sahutku dalam hujan asap yang menyesakkan kerongkong. Kucapai beg galas dan diisi dengan duit tiket flight yang masih belum berbayar. Handset yang terletak atas katil jua kucapai malah sempat mengambil handset ahli bait yang terletak atas sofa di ruang tamu. Kira-kiranya nak jadi heroin lah menyelamatkan barang orang. Selaku musyrifah ( ketua rumah dan akak di rumah itu, aku bertanggungjawab akan keselamatan anak buah dan barang mereka.
" Akak cepatlah, diorang semua dah turun," seru Tini anak Selangor yang menjadikan markas sebagai rumahnya kerana komitmen terhadap jawatan yang disandang.

Sekilas kupandang Tini hanya menutupi kepalanya dengan tuala kerana darurat untuk menyelamatkan diri. Aku mencari kasut dalam timbunan kasut di rak tepi pintu.
" Pakai sajalah kasut siapa pun akak," pinta Tini dalam nada cemas.

Jumpa akhirnya kasut berzip dan bertumit yang kubeli di Mesir itu yang kurasakan seperti polis wanita apabila berjalan dengan memakainya.

Terkocoh-kocoh aku dan Tini keluar dari rumah dan menuruni tangga menuju ke bawah. Sampai ke tingkat 2 remaja lelaki arab iaitu tuan punya rumah yang terbakar menyuruh kami segera turun dalam bahasa amminya ( bahasa pasar ) dengan muka bersalahnya,

" Bi sur'ah ya mailizi, inzil hena ( cepat orang Malaysia, turun di sini )

Sambil kaki memijak tangga imarah ( bangunan ) aku sempat

mendengar remaja itu dimarahi mama-mama ( makcik-makcik ) di situ di samping jerik pekik orang-orang arab bangunan yang aku dan sahabat duduki dan bangunan-bangunan bersebelahan.

Kami menuju ke arah sahabat yang sudah ada di bawah. Kudengar tangis dan sedu sedan mereka. Baru kusedar rupanya Tini juga menangis. Kami berpelukan sambil menenangkan perasaan masing-masing. Entah kenapa mata aku ini degil hendak menitiskan air lagak seperti kebiasaannya. Kejauhan tiga sosok yang kukenali menghampiri. Pakcik Harun, Imran dan Jiman sudah datang. Barangkali ada di antara kami yang menelefon agakku. Patutlah aku call Jiman handset dia busy.

Dalam kebingitan begitu tiba-tiba sahabatku menegur,

" Akak sempat pakai niqob ( purdah ), siap ada jarum lagi."

" Ahh...sempat aje," jawabku ringkas tersenyum memandang kaki yang juga sempat berstoking sambil mencari handset Syida dalam beg dan memberikan kepadanya.

" Lah, akak ni Syida tak sempat nak pikirkan benda-benda ni," Syida yang kukenali sejak di Kusza mengerutkan dahi kehairanan.

" Entah, akak nampak akak ambil aje la," kataku selamba sesuai dengan trademark sejak di Kusza iaitu 'slamber_ieman'.

Ketika itu aku sempat bersyukur kerana jubah yang akan dipakai untuk pulang ke Malaysia nanti sudah dihantar ke rumah teman untuk diubahsuai sesuai dengan saiz orang Malaysia. Jika tidak mungkin baju itu akan turut hangus.

Setelah beberapa penduduk menelefon, bomba pun datang memadamkan api yang tidak sempat menjilat seluruh rumah remaja lelaki arab yang diceritakan mama (tuan rumah sewa) bahawa puntung rokok terjatuh atas permaidani dalam bilik remaja itu ketika dia tertidur semasa menghisap rokok ( tu la antara keburukan merokok..hehe)

Malam kebakaran tersebut adalah malam kami serumah ingin meraikan majlis perpisahan dengan mengadakan sedikit jamuan. Kira-kiranya kebakaran itu berlaku selepas ahli bait selesai membakar sate. Mulanya aku ingat kebakaran tersebut berpunca dari api sate kami. Masalah pula hendak menjawab kepada tuan rumah jika berpunca dari rumah kami.

Mujurlah jamuan perpisahan itu tetap berlangsung seperti yang dirancang. Sahabat-sahabat yang diundang juga hadir menjamu selera walaupun kuah kacang dan kuah lontong hanya dibuat selepas kekecohan kebakaran. Menu-menu yang dirancang tersedia seperti yang dirancang. Malah semua berpuas hati dengan masakan ahli bait Nuha Amani ( aku pegi beli barang aje )

Malam itu aku bertekad untuk berjaga demi memantau api yang dipadam tadi marak kembali atas nasihat ketua pakdam ( pelajar Malaysia yang sudah berkahwin ). Namun, aku terlelap jua. Buka mata sahaja Subuh sudah membuka tirainya. Syukurlah kami semua masih hidup menghirup bau sungai Nil dan dapat pulang ke Malaysia menghirup lumpur jelapang.

* Kenangan yang terindah adalah kenangan yang sedikit mengeletek hati dengan adegannya
yang mengandungi hikmah yang tidak dapat dibaca serta merta. Sesungguhnya ia
pengajaran yang tidak terhitung nilainya sebagai album dan pedoman di masa hadapan.

Mabruk alaikum

Baru sahaja aku menulis entri tentang adat majlis perkahwinan yang membebankan pada hari sebelumnya. Rupa-rupanya kehadiranku di rumah sahabat baik pada hari selepasnya membuatkanku tersenyum kerana majlis yang berjalan dalam keadaan simple yang mengutamakan syariat. Tahniah buat beliau berserta keluarga yang tetap memaintainkan kesederhanaan dalam majlis sekali seumur hidup itu sepertimana kesederhanaan yang dilaksanakan dalam hidup seharian. Ralatnya aku tidak dapat menunggu sehingga kompang dipalu menyambut kedatangan pengantin lelaki kerana mengejar masa untuk singgah ke rumah cikgu sains yang mengajar sama sekolah denganku menghadiri majlis perkahwinan adik perempuannya.

Mabruk alaikum ila asdiqa'ie:



Nur ashiya & Ust Malik ( lau salah eja maap ek )

Yuhana & Nidzam

Sheera & Zulham

Ikatan diikat penjalin cinta
cincin disarung tanda berpunya
akad diangkat mesti dikota
janji setia selamanya....lillah hi taala

Sabtu, 14 Mac 2009

pECaH ADAt

Cinta bersemi di hati bersatu hadapan wali. Kasih yang terungkap kini makin kuat terpatri. Sayang akan bercambah dengan ikatan halal di sisi Ilahi.


Ikatan diikat disaksikan semua sebagai tanda sahnya suami isteri. Meriah majlis diatur dek kerana sekali seumur hidup. Bermula dari kad sehingga lauk-pauk dihidang. Semuanya dijaga agar tiada cacat cela. Menjadi bahan cerca hadirin dibelakang jendela.


Rupa ditata rias secantik bulan purnama menghilangkan rupa asal. Kad dikirim beringgit sekeping dibuang belakang tuan rumah. Pakaian tradisi dimodenkan hilang nilai keislaman dan kemelayuan. Hantaran dibalas berbelas bekas digubah mewah bersama barang berjenama. Khemah hadirin dan pengantin tidak kurang hebat berwarna sedondong dengan pakaian. Tidak masuk lagi pelamin, dewan jamuan dan bilik pengantin yang ada tema tersendiri. Semuanya berharga puluhan ribu ringgit.

Diri berfikir, " Banyaknya duit mereka buat majlis habis berpuluh dan beratus ribu ringgit."

Terus mengomel, " Membazirnya buat majlis sehari habis berpuluh dan beratus ribu ringgit."

Sambung bicara, " Aku merungut kerana tidak mampu seperti mereka, jika setaraf mereka mungkin seperti atau lebih dari mereka."

Masih berkata, " Jika begitu keadaanya, lebih baik begini menumpukan pada SISWA yang difardukan tanpa belanja yang berganda-ganda kerana ia syariat yang tidak menyusahkan. Selainnya di anak tirikan dibuat sekadar mampu berlandaskan syariat kerana ia hanya sekadar adat."

Adat menukilkan perkahwinan sekali seumur hidup perlu meriah secara besar-besaran. Berbelanja wang simpanan pada yang berharta. Meminjam pada yang sederhana dan susah. Mencari sponsor pada yang glamour.

Adat menukilkan biar sempurna di mata orang. Dipuji berhari-hari. Jangan dikutuk kemudian hari sesuai dengan pepatah 'biar mati anak jangan mati adat'.

Apa kata jika adat itu dipecahkan???

Akan ada yang mencerca namun ramai menyedari yang sederhana itu lebih baik dan berkualiti jika disertai keredhoan dan keberkatan yang Esa.

Jumaat, 13 Mac 2009

Syoknya cuti

Hari ini memberikanku masa untuk berehat dari kerja-kerja yang tidak pernah usai kerana sekolah negeri utara semenanjung sudah memulakan cuti penggal pertama pada hari ini.

Maka masa yang terluang ini dapat kulangsaikan kerja harian yang ditangguh akibat kesuntukan.

Petang tadi dapat juga memandikan kereta yang sudah beberapa minggu atau sebulan barangkali mengikut perhitungan yang agak tersasar tidak mandi. Kekotorannya hanya sekadar disimbahi hujan pagi atau petang ketika pergi atau pulang sekolah. Kata seseorang yang kukenali bahawa dia tidak sanggup menjadi hamba kereta. Fikirku tidak sampai menjadi hamba namun sekadar menjaga agar wang tidak dibazirkan untuk membeli baru akibat yang lama telah rosak. Membazir itukan saudara syaitan.

Jumaat yang agak santai. Sesudah Subuh dapat menghadam beberapa helai ayat-ayat motivasi buku karangan Dr Aidh Abdullah al-Qarni yang bertajuk 'Assalamualaikum'. Entah kenapa sekarang ini aku begitu berminat dengan karangan beliau. Mungkin kerana sejak kerja yang sibuk dengan tugasan agak mengkacau bilaukan fikiran dan emosi. Selain solat dan al-Quran, buku-buku karangan Dr Aidh sebagai pembakar motivasi mendepani hari.

Cuti tidak bermakna goyang kaki cuma agak longgar akan rutin kerja yang padat. Tengahari dapat juga menulis 'Rph praktikum' untuk minggu seterusnya yang ku congak akan bertambah kerja. Jadi apa salahnya sedikit masa santai ini dicuri agar hari-hari sibuk nanti ada ruang sedikit longgar.

Kenapa hari ini dirasakan santai? kerana hari-hari akan datang sibuk mengatur kenduri para sahabat, tetangga dan kenalan. Namun tidak semua yang mampu kutunaikan. Maafkan daku duhai kalian. Bukan tidak mahu tetapi tidak mampu. Dua tempat di utara dan selatan pada tarikh dan hari yang sama tidak mampu kuhajati kedua-duanya. Cuma doaku mengiringi kalian bahagia dalam keredhoan-Nya hingga akhir hayat.

Amin ya Rabb.

Khamis, 12 Mac 2009

Nostalgia yang mendidik

Waktu kecil dahulu aku pernah terfikir bahawa aku ini hanya anak angkat mak dan abah. Alasannya cuma mak lebih melayan adik-adik berbanding aku.

Umur 7 tahun aku sudah dibiarkan sendiri mengurus diri. Keluar sewaktu cuaca masih gelita dari kawasan rumah sewa yang jarak beberapa meter dan perlu melintas jalan untuk menunggu trak tentera. Memanjat trak seawal 6.30 pagi ( tak nak abang-abang tentera angkat )

Pertengahan tahun darjah 1 aku dihantar tinggal bersama tok dan tokwan di Kedah agar persekolahanku tidak terganggu di sebabkan abah posting ke Ipoh. Setiap malam menangis teringatkan mak dan keluarga. Akibat menaggung rindu aku selalu memejam mata dan membayangkan berada di rumah yang abah sewa di Ipoh. Kami hanya bertemu ketika cuti persekolahan. Namun pertemuan singkat juga masih dimarahi mak. Bila pulang ke Ipoh aku sedih melihat mak menyikat dan memakaikan Kak Ngah kasut. Sedangkan aku perlu mengurus sendiri keperluan diri. Jika menyebal tidak dapat membuat sesuatu juga akan dimarah ( kena marah sebab susah nak basuh kasut sekolah guna berus cuci kain..heh..heh )

Umur 9 tahun aku tinggal bersama keluarga di Ipoh. Aku pernah memberitahu rakan kelas bahawa aku merasakan diri ini hanya anak angkat. Rupanya rakan aku berfikiran sama. Seronok mengenali rakan yang mempunyai fikiran dan nasib yang sama. Kelirunya cuma aku berbintikan abah dan surat beranak juga ada nama mak dan abah ( confius sebenarnya nak menidakkan sejarah )

Aku pergi kedai membeli barang. Aku membonceng adik-adik ke sekolah dengan basikal. Aku pernah ditinggalkan seorang diri dalam cuaca hujan,guruh dan kilat sehingga aku membuat keputusan duduk diluar akibat takut ( time tu tengok hantu Jepun cerita setinggan ). Aku menjaga adik yang kecil. Bak kata semualah aku hingga membataskan sifat kanak-kanakku untuk bermain ( hakikatnya dapat juga bermain di masa-masa tertentu...galah panjang, bola jaring dan hoki )

Itu yang aku rasa ketika usia kanak-kanak menghiasi kamar hidup.

Bila dewasa baru kusedar malah bersyukur kerana dididik dengan motivasi dan psikologi yang baik. Kesan didikan mak maka aku mampu merantau meninggalkan keluarga demi mencari ilmu hingga ke negeri orang. Hasilnya juga aku tidak goyah diuji kesusahan dengan izin-Nya. Hasil daripada rungutan sewaktu dulu kini membina motivasi dan kaunseling menghadapi mehnah. Didikan yang membawa kesan dalam jangka waktu yang panjang.

Kini aku kembali dididik. Bukan mak namun guru-guru matan di sekolah. Mendidik menjadi seorang guru sejati. Mendidik menjadi bukan sekadar mengajar tetapi mampu melakukan kerja berkaitan hal ehwal kehidupan. Aku pernah rasa terbeban. Aku pernah rasa kesuntukan. Di ketika emosi berada di pertengahan sebagai manusia yang punya tahap naik turun gelodak perasaan. Namun itulah didikan yang akan memberi hasil di kemudian hari. Hari ini aku merungut. Masa depan akan bersyukur kerana diberi kesempatan mendapat didikan awal sebelum menghadapi keadaan.

Syukurlah akan setiap yang ada dan yang berlaku.

Life must be go on.

Rabu, 11 Mac 2009

Be cool

Seronoknya time ni jika dapat memanjat iceberg di New Zealand.
Seronok juga jika dapat tidur dalam iglu di kutub utara.
Mustahil semua itu akan berlaku masa sekarang.
Jawapannya hanya setakat menyuakan kepala dalam frozen di rumah atau kunyah ice cube yang sememangnya membeku dalam peti ais setelah beberapa lama dibekukan sebagai tambahan dalam air untuk dihidangkan kepada tetamu.
Kenapalah tiba-tiba saja diri ini mahukan sesuatu yang sejuk dan dapat menyejukkan.
Agaknya kerana merasai bahang cuaca panas dalam tempoh yang agak lama.
Mungkin juga kerana emosi yang menggelegak umpama larva gunung berapi yang menunggu masa dimuntahkan.
Mustahil akan dimuntahkan kerana ia masih dibentengi sabar dan tidak sesekali dimuntahkan. Malah larva itu akan cuba dihilangkan buih-buih menggelegaknya.
Be cool dalam masa ranjau merantai hari.
Semua itu akan pergi
takkan bertakhta abadi
ujian datang dan pergi
seperti tali yang digulung
hujung dan pangkal
tanpa simpul mati
Just relax
Allah takkan membiar hamba-Nya
terkapai tercungap menderita
di bumi ciptaan-Nya
hamba-Nya yang perlu reho
didatangkan ujian sebagai wadah penambah iman
jika SABAR pendampingnya

Selasa, 10 Mac 2009

Beruk ke kucing?

Adakah patut dia panggil Teh dengan panggilan beruk. Memang tak patut. Nama sahaja berakal tetapi tidak pandai menggunakannya. Mujurlah dia tidak menerajang Teh hingga bergolek menuruni anak tangga. Jika tidak mungkin ada tulang Teh yang akan patah. Tidak pun mungkin Teh akan hencot sepanjang hayat. Kasihan Teh.

****
Petang dua hari lepas Teh mengajak Tam berjalan-jalan di jalanan. Alasan cuma satu sahaja iaitu tanda protes terhadap kurungan yang telah dilakukan sejak setahun lepas. Kata Teh sepatutnya dia perlu ingat akan kami yang juga inginkan kebebasan menjalani kehidupan. Kenapa perlu kami dikurung sedangkan sebelum ini kami bebas untuk bergerak. Melompat. Berlari. Mengejar dan bermain. Hari yang indah untuk dinikmati sepanjang hari seperti hendak menyekat masa berputar arah jarumnya. Indahnya hari yang berlalu itu. Adakah ia akan berulang kembali? Soalan yang membelenggu Tam tanpa jawapan yang nyata. Teh selalu berkata tidak guna hanya biarkan masalah membelit diri. Ia perlu direalisasikan ke alam realiti. Begitu barulah bijak namanya. Barulah akan ada perubahan terhadap permasalahan yang menyekat kebebasan untuk memiliki kebahagiaan. Atas falsafah Tehlah mereka melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan. Mungkin untuk sementara atau mungkin juga buat selamanya.

Kedua-dua mereka berjalan beriringan menuju ke jalan. Menghirup udara segar bawah lembayung mentari hampir tenggelam. Mendengar cicipan burung-burung pulang. Merasa nyaman tempias angin menghempas lembut ke tubuh. Walaupun ada kenderaan membingit membunyikan hon beri peringatan untuk mengelak, kami tetap gembira dan bahagia.
Tiba-tiba kebahagiaan itu diragut dengkinya makhluk sempurna sifat. Kami disembur dengan air dari pili membasuh kereta. Sudahlah basah. Pedih lagi akibat tekanan air tinggi itu mengenai jasad yang mulus. Apa salah mereka? Mereka hanya sekadar menunjukkan tanda protes. Mereka hanya sekadar berjalan secara aman tanpa menganggu sesiapa pun.

Ketika membersihkan tubuh kebasahan kami ditangkap dan diserahkan kepada dia kembali. Kepala Teh diketuk berulang kali. Tam juga tidak terkecuali dari hukuman itu. Namun Teh teruk dibelasah kerana Teh melawan. Teh meronta. Teh mengigit. Malah Teh mencakar. Teh mahu melepaskan diri dari cengkaman dia. Tam hanya mampu memerhati. Mata Tam bening menyaksikan Teh diperlakukan sebegitu. Kesalahan cuma keluar dari sangkar demi menghirup sedikit kebebasan yang diragut tanpa perikemanusiaan. Bagi dia sebagai tuan layak membuat keputusan walau membawa penderitaan kepada haiwan peliharaannya sepanjang hayat.
Tam dan Teh dicampak kembali ke dalam sangkar beroda. Merenung semula akan kebebasan yang telah disekat. Tam merawat dirinya dengan jilatan sambil berazam akan terus berjuang menuntut kebebasan yang diubah menjadi kurungan tanpa klimaks yang pasti.

Kucing dengan beruk pun tidak kenalkah? Tak sekola ker???

Tawa Tam meregangkan misai yang menghiasi.

Isnin, 9 Mac 2009

Ingat atau tidak???


Hari ini hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Maka pelbagai program juga perarakan diadakaan di seluruh negara. Ketika ini jugalah artis-artis nasyid tanahair dapat jemputan bagi meraikan konsert dan program televisyen. Baguslah kerana sekurangnya sebagai muslim, rakyat Malaysia masih mengingati dan meraikan kelahiran agung itu.

Namun bila dimuhasabah kembali dalam setahun berapa bulan, minggu, hari, jam, minit dan saatkah kita hanya mengingati baginda? Sedangkan baginda mengingati umatnya sehingga nafas terakhir. Kasih sungguh baginda kepada umatnya namun umatnya sukar mengingatinya apatahlagi merinduinya. Berapa orangkah yang mengaku sebagai umatnya tetapi meninggalkan sunnahnya dan berselawat kepadanya. Merealitikan sesuatu amat sukar berbanding lafaz kata-kata. Mungkin juga lafaz ini mampu menjadi loncatan sebagai peringatan agar merealitikannya.


Salam Maulidur Rasul.

Ahad, 8 Mac 2009

The jungle of Jumanji

Ura terus berfikir akan keadaan hutan Jumanji tempat kelahirannya yang kian hari kian kecoh. Beberapa hari lepas beribu-ribu haiwan di hutannya berkumpul bagi membantah Sawa sang pemerintah yang memaksa penghuni hutan mengaum seperti singa di hutan Narnia yang pernah menjajah hutan Jumanji berpuluh tahun dahulu. Jika ada yang tidak mengikut arahan maka akan dihukum membuang daerah ke Pulau Lord yang di kelilingi gunung berapi yang bulat seperti cincin. Bahananya semua yang terlibat dalam perhimpunan itu disembur segerombolan gajah dengan belalai panjangnya.

Ura juga tidak setuju dengan dengan ketua hutan itu. Entah kenapa tiba-tiba dikeluarkan arahan seperti itu sedangkan sebelum ini tiap-tiap haiwan bebas menggunakan bunyi masing-masing. Ura makin tidak faham dan masih tidak faham hingga ke saat ini.

Ura masih ingat tentang bapa Sawa yang pernah mewasiatkan sebelum mati agar penghuni Jumanji jangan sekali-kali meniru cara Singa yang pernah menjajah. Malahan Sawa sendiri memerintah hampir setengah abad tidak pernah melanggar wasiat itu. Ternyata keamanan dikecapi. Kemakmuran dimiliki setiap penghuninya.

Sawa menggunakan kuasa vetonya sejak empat tahun lepas memaksa seluruh penghuni hutan Jumanji belajar mengaum dari kancil-kancil yang dihantar ke hutan Narnia untuk menjalani latihan mengaum dengan Singa. Hasilnya setelah di nilai biawak sepupu Sawa maka hanya 30% yang dapat mengaum dengan ngauman seperti Singa. Peratus itu dimonopoli oleh Rabbit yang sememangnya cerdik dan tinggal di kawasan tengah hutan yang ditumbuhi pokok-pokok renek dan bungaan yang harum berbagai warna. Baki lagi 70% yang tidak dapat mengaum terdiri daripada haiwan yang menghuni kawasan berlumpur dan air termasuk Ura yang pernah tercatat dalam sejarah haiwan sebagai haiwan yang lambat pergerakannya walau klimaksnya menang akibat kesombongan Rabbit.

Ura sendiri mengakui bahawa masih tidak dapat mengaum walaupun sudah belajar sejak mula arahan dikeluarkan oleh Sawa yang memang berlidah cabang. Sudah dipraktik berkali-kali namun tetap gagal. Oleh yang demikian dua tiga menjak ini Ura kerap menyorok diri dari perhatian boya yang memantau perkembangan mengaum di kalangan haiwan. Ura merasa terhimpit dan tersepit dengan keadaan ini. Keadaan yang meragut ketenangan suatu waktu dahulu.

Semalam Ura mendapat tahu punca Sawa bertindak demikian daripada Merpati yang sering mengintai sarang Sawa. Ia kerana kemajuan yang dikecapi hutan Narnia berbanding hutan lain. Kemajuan hasil pencerobohan, pembakaran dan penjajahan ke atas hutan-hutan yang lebih kecil saiznya. Jika itu puncanya maka amatlah tidak releven fikir Ura.

Kebanyakan penghuni Narnia agak hairan kerana hutan Carribean yang sememangnya maju dari segi susunan atur landskap hutannya tidak pernah mengaum seperti singa. Malah beberapa hutan lain juga sama. Tetap maju dan berada di tangga teratas carta hutan paling cantik dan maju.

Sebagai makhluk bernyawa ciptaan tuhan Ura tetap berfikir mencari jalan penyelesaian bagi masalah kencang melanda kerana masa yang tetap berlari pada jarumnya. Ura bukan setakat berfikir malah akan bertindak dengan kudrat lambatnya demi sebuah maruah yang perlu dipelihara. Semburan dan tekanan lalu bukanlah noktah bagi Ura dan penghuni pencinta bunyi habitat bagi terus berjuang menuntut KEADILAN alam Jumanji.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...