? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Jumaat, 31 Julai 2009

SORRY...

'Kemaafan adalah titik permulaan untuk meneruskan kehidupan'.
Dialog Adam kepada isteri keduanya, Katrina dalam siri drama popular sekarang 'Nurkasih'.
Mula mengikutinya sejak episod keempat ekoran bosan berada di Taman Siswa ketika mengikuti kursus induksi.
Sejak itu baru dapat merasai kekuatan drama arahan Khabir Bhatia yang menjadi kegemaran mak dan Kak Ngah sejak episod pertama lagi.

Seperti drama-drama dan filem Mohd Noor Kadir, arahan Khabir Bhatia juga amatku minat dari segi dialog dan ayat yang dituturkan sehingga bila menontonnya akan kuberi tumpuan pada dialognya berbanding yang lain.

********

Manusia tidak sempurna maka akan melakukan kesilapan samada pada Allah, diri sendiri dan orang lain.
Kesilapan pada Allah akan diampun jika benar-benar insaf dan bertaubat kerana Allah itu Maha pengampun.
Kesilapan pada diri sendiri mampu ditangani dengan memperbaikinya kembali.
Kesalahan pada orang lain yang menjadi masalah kerana bukan semua manusia mudah memberikan maaf.
Namun sebagai insan yang inginkan kemaafan lebih baik memberikan dahulu kemaafan kepada sesiapa yang pernah melakukan kesalahan pada kita.
Kenapa perlu lama menyimpan kemaafan itu untuk diberikan kerana cuma perlu direnung bahawa kita pernah menyakiti maka kita juga akan disakiti.
Jadi maafkanlah semua orang yang pernah melakukan kesalahan pada kita secepat mungkin tanpa lengahkan waktunya.
Masa tidak pernah menanti dan berhenti walaupun sesaat detiknya.

Usah dipandang pada luka semalam yang membuatkan hati tidak bahagia.
Pandanglah esok yang akan muncul dengan sejuta kegembiraan dan kebahagiaan.
Kita berhak bahagia kerana kita yang mencorakkan perjalanan kehidupan walau mehnah menjadi latarnya.
Semuanya terserah kepada individu untuk mengatur kebahagiaan sendiri dengan izin Allah taala.

Selasa, 28 Julai 2009

Senantiasalah bersedia...


Hidup, mati, sakit, sihat, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah.
Dihijabkan dari pandangan manusia.
Agar manusia yang leka dengan satu-satu keadaan dapat menerima perubahan keadaan yang bakal berlaku.
Di sinilah menuntut redho dan sabar pada manusia yang mengaku sebagai hamba kepada tuhan Yang Maha Esa dan umat kepada Rasul junjungan mulia.
Sekarang ini antara berita yang heboh yang diperkatakan di mana-mana samada di rumah, sekolah dan kampung adalah tentang sakit. Maklumlah kebiasaan setiap tahun bila musim buah maka ramai yang sakit akibat makan buah-buahan tempatan yang dikatakan panas oleh orang tua-tua. Walhal itu semua adalah penyebabnya sahaja. Sakit itu datangnya dari Allah. Sebagai kafarah dosa, ujian dan peringatan. Namun kadang-kadang Allah memberi mengikut apa yang manusia lakukan dan lazimkan dalam hidup mereka. Jika sudah overdose makan dan tidak pernah senaman untuk menjaga stamina maka lama kelamaan badan juga akan sakit. Ramai dari kita yang terlupa atau mungkin buat-buat lupa kerana kesibukan kerja bahawa pemberian Allah ini perlu dijaga dan dipelihara sentiasa. Sebelum itu betulkan niat menjaga ini adalah untuk kesihatan agar dapat terus beramal ibadat.
Ada juga sakit kerana buatan orang. Zaman sudah kembali ke belakang mengikut kata mak. Zaman ICT juga manusia masih menggunakan ilmu hitam untuk menjatuhkan orang lain. Agaknya cara kuno itu dapat menjadikan orang yang dibenci cepat menderita sehingga ke tahap membunuh apabila segala macam santau dan ilmu hitam mengena. Namun semuanya dengan keizinan Allah Taala yang berhak mengambil nyawa hamba-Nya. Mungkin cara lama itu kembali difikirkan sesuai apabila filem dan drama tempatan rancak menayangkan semula cerita-cerita tentang ilmu hitam yang meluas sebagai senjata menjatuhkan orang yang dianggap musuh akibat rasa tidak puas hati pada zaman dahulu. Kebanjiran drama dan filem seram ini sejak kebelakangan ini yang sudah tersasar jauh ke lembah tahyul. Sepatutnya ia perlu dibendung kerana tidak banyak input kebaikan yang dapat diperoleh darinya. Malah menjadikan kanak-kanak zaman ICT kini kembali mempercayai kewujudan hantu. Nampaknya orang dewasa terutama ustaz dan ustazah perlu memainkan peranan menerangkan bahawa yang wujud adalah iblis, syaitan dan jin yang menyerupai wajah seseorang untuk memesongkan manusia.

*******

"Dah 4 orang meninggal sebab H1N1," kata Cikgu Afidah kepadaku dan Cikgu Rahimah ketika dalam bilik guru.

"Ya ka kak, cepat betul merebak virus tu," balasku yang telah menghitung seorang dalam sehari telah meninggal dunia akibat virus tersebut sejak kebelakangan ini (mungkin angkanya lebih...wallah hu a'lam).

Nampaknya kerajaan, pihak swasta dan individu perlu lebih memainkan peranan untuk membendung virus ini. Mati itu pasti namun sebagai manusia perlu ada usaha untuk merawatnya sedaya mungkin. Perlu ada buruk sangka pada kesihatan sekarang ini walaupun hanya sekadar batuk dan demam sedikit. Mungkin yang sedikit itu merupakan tanda awal yang sebenarnya boleh membawa maut kerana ia merebak terlalu cepat.

******

Kali terakhir melihat Pak Cik Rashid ketika dia bersama kucingnya di depan rumah beliau di waktu pagi ketika aku hendak ke sekolah. Tidak sampai seminggu arwah yang sesak nafas melakukan pemeriksaan di klinik. Lanjutan daripada itu dia disuruh ke hospital. Hasilnya disahkan menghidap paru-paru berair tahap kronik. Hanya 3 hari di hospital maka selepas Suboh kelmarin arwah telah menyahut seruan Ilahi kembali ke sisi-Nya.

Semalam kawan bertanya melalui sms samada aku membaca Metro. SMS yang sama juga dia mengatakan kasihan pada Encik Abu Jalil, pensyarah IPDA yang pernah menjadi penceramah ketika kursus induksi lepas. Segera kubuka metro online kerana kelmarin tidak sempat baca Berita Harian di sekolah untuk memberi ruang kepada murid tahun 6 membaca surat khabar tersebut. Rupanya perkenalan kami dengan En.Abdul Jalil adalah yang pertama dan terakhir ketika KISSM tempoh hari kerana dia telah kembali ke rahmatullah kerana terlibat dalam kemalangan di Machang.

Nek saudara sebelah abah telah 13 hari terlantar seperti koma. Usianya 90 lebih telah menjadikan dia sedikit nyanyuk sebelum terlantar di pembaringan. Namun dia masih bernafas sehingga kini. Anak-anaknya ada yang sentiasa menemani, menjaga dan merawat beliau agar sedar seperti sediakala.
Usia bukanlah pengukur jangka hayat hidup.
Cuma bersedia setiap masa agar kembali kepada-Nya dalam husnul khatimah.
Menjadi seorang yang bermanfaat kepada orang dan makhluk lain amat besar nilainya.
Kerana hidup dan mati akan didoakan seluruh makhluk langit dan bumi.

Isnin, 27 Julai 2009

Tipu-tipu atau betul-betul?


Pemergian Yasmin Ahmad pengarah yang sering kontroversi dengan filem-filem yang diarahnya telah membangkitkan ingatan pada zaman kanak-kanak melalui latar belakang filem-filem tersebut.

Walaupun secara jujur tidak ada satu pun filemnya samada Sepet dan Muhsin yang kutonton sehingga akhir cerita. Manakala filem yang lain seperti Gubra dan yang terbaru Talentime tidak pernah kotonton.

Namun begitu latar belakang zaman kanak-kanak pada tahun 70 an dan 80an yang meninggalkan sedikit kesan di hati apabila teringat kisah berada pada usia kanak-kanak dahulu.

Radio stesyen panas tempatan pagi tadi juga membincangkan antara filem arwah Yasmin Ahmad yang paling mendapat tempat di hati penonton. Filem-filemnya yang dikatakan berjiwa satu Malaysia sesuai dengan slogan itu yang diwar-warkan sekarang.

Kebetulan pada hari ini tiba-tiba aku dan rakan-rakan setugas membincangkan permainan ketika zaman kanak-kanak.

Galah panjang (toi ), masak-masak, guli, gasing, susun kasut merupakan antara permainan kami sewaktu kecil dahulu. Tambahan ketika Ramadan bermain pada malam hari membangkitkan rasa gembira lebih pada hari dan bulan lain. Ramadan yang semestinya memberikan keistimewaan dalam segala perkara sehingga kanak-kanak pun merasainya.

Bermain bercampur lelaki dan perempuan. Tanpa rasa malu. Tanpa peduli jika tersentuh kulit namun semua itu tidak dipedulikan. Malah kerana kami semua hanya kawan tanpa diselinap perasaan lain maka kami semua selamat dari perkara-perkara maksiat. Ibu bapa dahulu juga tidak kisah anak-anak mereka bermain dengan siapa dan sebarang permainan. Mereka meletakkan 100% kepercayaan kerana zaman dahulu tidak terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Kanak-kanak zaman kini boleh bercakap sahaja sudah pandai menyatakan suka kepada seseorang. Tahun satu juga telah memilih calon untuk dijadikan kekasih. Kanak-kanak zaman kini lebih bijak bab hati dan perasaan kerana hidup yang terdedah dengan LOVE melalui kaca televisyen, realiti suasana luar yang terlalu bebas. Ditambah lagi zaman ICT di mana kanak-kanak adakala lebih bijak membuka dan menggeledah ruangnya berbanding dewasa. Memang patut pun ibu bapa kini lebih menjaga anak-anak mereka, menyekat pergaulan dan pergerakan agar tidak terjebak ke lembah tidak diingini.

*******

Permainan kegemaranku adalah galah panjang yang sering kumain bersama kawan-kawan di hadapan rumah teres kami di Taman Pulai Jaya, Simpang Pulai. Satu keseronokkan apabila dapat mengelak diri menggunakan taktik tertentu akhirnya dapat melepaskan diri yang akan memenangi permainan tersebut.
Jika bersama adik-adik pula kami suka bermain cikgu-cikgu. Oleh kerana aku adalah along maka akulah yang menjadi cikgu. Disebabkan itu agaknya sekarang aku menjadi ckgu di alam nyata. Bukan lagi tipu-tipu.

Seronok betul zaman itu. Hendak dikata tiada masalah tetap ada masalah. Dimarah, dirotan oleh abah dan emak adalah antaranya. Namun masalah itu diendahkan demi mencari kegembiraan melalui bermain...bermain dan terus bermain.

Bak kata cikgu matematik sekolah, "Nampak sangat la kita suka main-main."
Kami semua tersenyum sumbing mendengar ayat tersebut.

Ahad, 26 Julai 2009

I'm not alone...


"Berapa orang cikgu j-QAF sekolah akak," tanya rakan sekerja dahulu yang bertandang ke rumah petang tadi.

"Akak je la," jawabku ringkas.

"So akak yang ngaja BA dan PI sekaligus," soalnya dengan nada hairan.

"Yup..dah tak de major minor...aja semua...tapi tak apa sekolah kecil dan murid pon tak ramai," aku cuba menghilangkan rasa hairannya itu sekilat mungkin.

"Ooooo...tapi tak best la kan akak...sekurangnya nak la juga kawan membantu, berkongsi untuk buat program dan kerja," dia tetap menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap situasiku.

"Alah bisa tegal biasa...lagi pun GB dan cikgu-cikgu baik...tak da masalah so ok la kan," kuberitahu situasi sebenar agar masalah itu tidak menjadi satu masalah lagi.

Masalah yang dinyatakan oleh sahabat itu telah kurasa sejak mula bertugas di sini. Hati dirundung resah sejak tahu diri ini adalah guru j-QAF tunggal perintis di sekolah ini. Pelbagai persoalan bermain di minda. Pelbagai kemungkinan tergambar dalam kotak fikiran yang sering diganggu rasa tidak puas hati. Ditambah lagi rasa bosan tanpa sahabat yang sama bidang. Semua rasa yang bermain-main itu menjadikan semangat diri jatuh ke lubuk yang agak dalam.

'Tak kenal maka tak cinta'

Aku suka dengan ungkapan ini.

Setahun lebih di sini menjadikan diri akrab bersama rakan setugas walau berlainan opsyen dan bidang.
Mereka bukan setakat rakan malah kakak, abang, bapa saudara, ibu saudara dan saudara mara yang sering membantu dari segi tugas, masalah dan hal-hal kehidupan.
Jelas inilah hikmah Allah Taala yang menetapkan hati pada sekolah yang tertera pada surat penempatan.
Ini berikutan doaku yang mahukan big boss dan rakan sekerja yang baik.

Masalah tetap melanda kerana kita manusia maka masalah itu umpama garam yang wajib ada pada setiap masakan.
Namun yang perlu adalah mendepani masalah dengan iman dan akal bukan nafsu mazmumah dan emosi marah walau kadang-kadang sebagai manusia lemah tetap terlanggar etika ini .

Jika sedar diri, lebih baik kerana dapat diperbaiki kelemahan itu daripada tidak sedar diri yang tidak akan mengubah apa-apa kerana tetap rasa diri baik.

Kadang-kadang berseorangan itu lebih baik kerana ketika itu kita mengadu dan meminta tolong menerusi doa dan ibadat, dengan ikhlas dan tawaduk tanpa ada orang pertengahan.

Sabtu, 25 Julai 2009

Bertanggungjawabkah kita pada semua makhluk?


Kasihanilah sesiapa sahaja yang ada di bumi ini, nescaya kalian akan dikasihani oleh yang ada di langit.” Hadith Riwayat Tirmidzi, Ath-Thabrani dan Al Hakim.

Namun tidak ramai yang memandang seterusnya mengasihi makhluk yang tidak berdaya.

Kucing adalah haiwan jinak yang disayangi oleh Rasulullah dan sahabat baginda Abu Hurairah. Namun demikian tidak semua umat Muhammad dapat mengikut jejak baginda mengasihi dan menyayangi haiwan yang mudah didapati di mana-mana itu. Ini kerana ada sebahagian dari kita yang gelikan kucing. Ada pula yang alah pada haiwan tersebut. Itu termasuk kes-kes mengelakkan diri dari haiwan manja yang dapat diterima oleh perikemanusiaan seorang manusia.

Bagaimana pula jika ada yang tidak sukakan haiwan itu dengan menendangnya, memukul dengan batang penyapu, menjirus dengan air panas dan sebagainya.

Penderaan hanya sering dikaitkan untuk kanak-kanak dan manusia yang kurang upaya sahaja. Tidak ramai yang memandang dan menjadikan penderaan terhadap haiwan sebagai satu isu yang serius. Jika di barat kemungkinan 'YA' namun di sini masih ketinggalan.

Tidak dinafikan punca penderaan yang dilakukan itu adalah kerana sifat haiwan itu sendiri yang datang mengusapkan kepalanya ke kaki kita ketika kita makan di kedai makan. Ada juga yang datang mencuri makanan di dalam rumah buat mengisi perut yang kelaparan. Ada yang membuat bising kerana bergaduh dan tiba musim mengawan sehingga kencing di merata-rata. Itu semua bukanlah alasan ia didera oleh manusia yang berakal.

Walaupun ia haiwan yang tidak berakal namun tetap mempunyai perasaan. Sakit, lapar, inginkan perhatian, seks dan sebagainya. Jadi sebagai makhluk yang layak sebagai khalifah di muka bumi ini kita yang patut menjaga semua makhluk lain yang kurang berdaya atau dalam erti kata lain yang tidak dapat berfikir seperti kita.

*******

Tahniah buat warga kerja alaf 21 yang telah mengumpul dana merawat seekor kucing jalanan yang menghidapi penyakit kurap peringkat serius sehingga hampir buta matanya.

Bukan semua orang yang mempunyai sifat menolong begitu apatahlagi terhadap kucing jalanan yang berpenyakit.

Semoga niat dan usaha mereka yang nampak kecil di mata sesetengah orang itu mendapat pahala yang besar di sisi Allah Taala.

********

Sedih aku dengar suara kucing beranak satu di lobi asrama IPGM kampus Darulaman ketika hadir untuk sesi kuliah tutorial yang terakhir Mei lalu.

Ia bunyi sebagai tanda lapar meminta makanan.

Makin kuat ia bunyi makin rasa belas kasihan diri ini. Justeru membangkitkan ingatan pada kucing-kucing di rumah yang ada di bawah jagaan Kak Ngah.

"Apa khabar mereka sekarang agaknya?" hati mula tertanya-tanya tidak pasti.

*******

Ketika di restoran membeli nasi untuk makan petang, aku terpandang sebuah pet shop yang terlatak dicelah-celah restoran dan kedai photostat di pekan Jitra.

"Ini sudah baik," kataku sendirian tanpa didengari rakan sebelah.

Justeru kaki ini melangkah ke kedai kecil itu bersendirian.

Kagum kerana ia satu-satunya pet shop yang dimiliki orang islam setakat yang kutahu. Syabas buat akak yang berani menceburi bidang yang majoriti diusahakan oleh bangsa cina. Pengalaman bekerja bersama doktor haiwan telah membuatkan dia berani merawat dan melakukan beberapa suntikan dan vaksin terhadap kucing.

Membeli pil perancang untuk kucing di rumah dengan harga sekali ganda lebih rumah berbanding pet shop di Lagenda Heights. Di samping sepeket Frieskies timbang yang lebih murah dari Frieskies kotak untuk kucing di lobi asrama.

Mengikut cerita kakak itu, rakannya menyediakan Frieskies di dalam kereta dan memberikan makanan tersebut kepada kucing jalanan di mana-mana sahaja yang dijumpainya. Mulianya hati rakan kakak itu. Kenapalah aku baru terfikir hendak buat begitu.

Tiga minggu di asrama dan memberikan makan kepada beberapa ekor kucing di asrama membuatkan aku famous di kalangan kucing. Pantang sahaja nampak muka aku pasti ada yang datang meminta makanan. Nampaknya berbudi kepada haiwan lebih dihargai.

Jika seorang dalam sepuluh dapat berbuat begitu rasanya tidak akan ada lagi kucing yang bunyi kelaparan. Keluarkan sedikit gaji dalam sebulan untuk membeli sepeket makanan kucing atau mungkin boleh berbuat lebih daripada itu. Pentingnya bukan untuk diriakkan tetapi sebagai tanggungjawab terhadap makhluk lain yang berhak ditolong.

******
Kata mak," Omputih tue terbalik...sayang kat binatang buat macam orang tapi bunuh, dera manusia buat macam binatang."

Bila difikir-fikir betul juga walau bukan semua begitu.

Kanak-kanak juga perlu diterapkan dengan sifat menyayangi dan menolong binatang sejak dari kecil samada di rumah, sekolah dan mana-mana sahaja. Ini kerana aku pernah melihat beberapa kejadian kucing didera oleh kanak-kanak yang menjadikan alat permainan mereka.

Aku pernah melihat kucing yang dibelit satu badan dengan tali di sebuah kedai oleh kanak-kanak perempuan. Lalu kucing itu kuminta untuk dilepaskan segera.

Anak-anak jiranku pernah mencucuk seekor anak kucing sehingga mati dibelakang rumah ketika aku di sekolah menengah. Airmata kumenitik melihat mayat kucing tidak bernyawa itu.

Hari pertama melapor diri di sekolah aku terjumpa seekor kucing yang diikat ekornya dengan bendera kebangsaan. Kucing pun ada semangat patriotik kah?

Itu baru tengok mayat haiwan. Bagaimana jika tengok mayat manusia bergelimpangan di Palestin, selatan Thai, Iraq dan beberapa negara islam lagi.

Apa-apa pun alah bisa tegal biasa...

Jumaat, 24 Julai 2009

Mulakan dengan indahnya Islam.

"Orang yang dilahirkan sebagai Islam ni ramai yang tak menghargai syahadah sebab memang dilahirkan dengan nama yang berbin dan berbintikan islam," kata guru sains di sekolah ketika waktu rehat.

"Berbeza dengan saudara baru yang merasai perbezaan kehidupan selepas mencari dan mendapat hidayah...kemanisan iman lebih dirasai kerana mereka senantiasa mengkaji dan mencari kebenaran yang akhirnya diberi Allah kerana kesungguhan mereka itu," sambungku sebagai penguat hujah.

"Tengok Ustaz Farid Ravi tu...tengok muka saja pon jernih dah...lani sampai tahap boleh mengajar orang lagi...malu juga kita ni Islam asal pon tak sampai tahap tu," sampuk Cikgu bahasa pula menjadikan perbincangan kian rancak.

"Lani pon yang ramai berdakwah menceritakan tentang kebenaran dan kemanisan Islam kepada orang bukan Islam itu adalah saudara-saudara baru inilah," kataku lagi kepada guru-guru senior itu.

"Orang kita ramai yang sibuk bertelagah bab cabang, mazhab, ideologi sampai pecah belah," bersemangat cikgu sains berhujah lagak pihak pembangkang bahas melawan pihak pencadang.

"Entah apa nak jadi kepada orang Islam lani...bila jadi camtu yang untung adalah Yahudi dan Amerika...time umat Islam berpecah depa jajah dan kaut kekayaan bumi ambik kat depa...tinggal kering kontang depa keluar...cerdik sungguh," kata cikgu bahasa sambil mengupas kulit buah dokong.

********

'Mereka semestinya tidak masuk pada perbezaan (khilafiyah) untuk menjaga persatuan umat islam. Mereka lebih baik fokus pada ajaran-ajaran yang baik dari islam serta keindahannya. Ajaran mulia yang dibawa islam dan pengaruhnya terhadap kehidupan individu dan sosial. Ketika ini kita memang memerlukan pendakwah moden yang mampu memahami realiti di sekeliling mereka dan mampu mencari solusi dari permasalahan hidup yang dihadapi umat islam dengan metode yang cemerlang dan menarik.'

Itu merupakan petikan kata-kata DR Lena Larsen, pensyarah Pengajian Islam di Universiti Oslo, Norway merupakan satu-satunya wanita yang pernah menjawat sebagai ketua Majlis Islami di Norway dan organisasi seumpama itu dalam sejarah dunia.

Dia juga merupakan saudara yang melafazkan syahadah 25 tahun lalu selepas mengkaji tentang islam dan mencari hidayah.

*******
"Saya tak setuju kalau mengajar murid-murid dengan menceritakan tentang siksaan neraka, lebih baik kita dedahkan keindahan syurga pada mereka," kata seorang rakan kepadaku.

"Menarik juga bunyinya tu," balasku.

"Selama ini kita asyik dedahkan yang tak baik saja, yang buruk saja, apa kata kita ubah kepada yang indah, yang baik, yang cantik dulu, islam itu sendirikan agama yang cantik...penuh kebaikan kemudian baru kita ceritakan tentang neraka dan azabnya," sambung rakan yang mempunyai sikap cerianya itu.

"Ermm...bagus juga idea tu," sampukku pula.

"Bila dah budak-budak tahu tentang keindahan islam itu maka mereka akan berusaha untuk menjadi seorang yang baik," rakanku memperkuatkan hujahnya.

Berdakwah kepada bukan islam juga umpama mengajar islam kepada kanak-kanak.
Perlu tonjolkan keindahan sebelum menyatakan azab dan siksaan.
Perlu diberitahu tentang aman menganutnya sebelum ketakutan apabila meninggalkannya.
Itu dinyatakan apabila akidah dan iman sudah mantap.
Sesudah mengakui kebenaran Allah sebagai tuhan yang Esa.
Muhammad pesuruh Allah.
Bukan sekadar melafazkannya malah membenarkan dan menyakininya.
Beramal dengan ajarannya.
Bila hati sudah cinta dan rasai ketenangan sebagai penganutnya.
Mustahil akan menjauhinya.

Sebagai muslim tunjukkan kebaikan melalui peribadi kita

Yang akan dipandang dan dinilai oleh bukan islam.

Kerana kita sentiasa dipandang oleh mereka sebagai bukti baik dan benarnya islam.

Khamis, 23 Julai 2009

Remaja vs Dewasa


Masalah remaja kian meruncing.
Itulah yang dapat dikatakan pada masa sekarang.
Berada di zon bersama kanak-kanak berumur 7 sehingga 12 tahun melupakan seketika pada runcingnya masalah sosial di kalangan remaja yang berada di sekolah menengah.
Setelah media melaporkan kes sosial yang mereka lakukan barulah diri kembali tersentak pada golongan yang bergelut krisis peningkatan usia ini.

Merasakan diri sudah dewasa dan layak membuat keputusan sendiri.
Maka nasihat dan teguran ibu bapa, guru, saudara mara tidak diendahkan.
Usia itu menjadikan mereka mula meneroka alam dewasa, mencuba dan melakukan semua perkara yang orang dewasa lakukan.
Apa yang pernah dilihat, didengar cuba dipraktikkan.
Apatahlagi zaman sekarang semua perkara didedahkan tanpa ada sekatan.

Tidak adil meletakkan kesalahan itu pada remaja semata.
Perlu dikorek sehingga akar umbi untuk mencari puncanya.
Lalu mencari kaedah dan jalan penyelesaian.

Jika membicarakan tentang masalah remaja majoriti dewasa akan menyalahkan remaja yang bersikap liar, jahat, degil dan sebagainya.
Sehingga wujud jurang ketara antara remaja dan dewasa.
Masing-masing umpama musuh bersengketa.
Ada juga mempertikaikan akan perbezaan remaja zaman dulu dan sekarang.
Kenapa berlaku keadaan sedemikian.

Ramai yang ingin menjatuhkan hukuman kepada remaja yang bersalah agar tidak kembali mengulangi.
Juga sebagai pengajaran kepada yang lain.
Namun tidak ramai dewasa yang mengambil sikap duduk bersama remaja, cuba meminati apa yang mereka suka namun dalam konteks suaikan minat itu dengan ajaran agama.
Perlahan-lahan cuba menarik mereka kembali ke jalan yang digariskan al-Quran dan sunnah.
Berkata memang mudah.
Merealisasikannya yang susah.
Namun jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Susah sebenarnya hendak memeluk bahu seorang remaja yang sedang melenting.
Kerana dewasa juga punya ego dan emosi marah yang sama.
Namun ada yang mampu melakukannya.
Api syaitan dapat ditundukkan dengan zikrullah.

*******
Syawal, murid tahun enam menjegilkan mata pada Cikgu Farah.

Dia hampir melayangkan buku limanya pada guru Bahasa Inggeris itu kerana memberi amaran untuk memotong rambutnya yang panjang.

Usia 12 tahun adalah permulaan remaja yang menunjukkan bibit-bibit berani menentang arahan.

Berbeza denga usia sebelumnya yang akan menggiyakan walau kadang-kadang tanpa rela.

*******

Alhamdulillah sekolahku berada di kawasan luar bandar yang kecil peratus masalah displin murid-muridnya.

Berbanding sekolah kawasan bandar yang berbeza dari segi akhlak dan displin.

Berada dalam zon yang selesa tidak bermakna kita perlu terus leka dengannya. Perlu juga menjengah atau beralih ke zon yang kurang selesa juga untuk memberi harapan baru kepada manusia yang diselubungi kegelapan. Namun perlu keberanian dan pengorbanan yang tidak sedikit harganya.

*****Teringat cekerama mat rempit (lupa tajuk) arahan Ahmad Idham. Bapanya seorang imam yang menyamar sebagai mat rempit yang dapat menarik rakan-rakan rempit anaknya untuk kembali solat dan meninggalkan perkara maksiat. Drama ringan yang santai. Namun mempunyai pengajaran tersirat sebagai renungan penonton*****

*****Jasa Imam masjid di kampungku tidak ternilai. Apabila dia dapat menarik remaja ke masjid beberapa kali dalam setahun walau dengan hanya menganjurkan program mengimarahkan masjid. Beberapa pertandingan seperti azan, membaca al-Quran, nasyid, sepak raga yang dihentikan semua aktiviti apabila masuk waktu solat. Maka tidak dapat tidak semua yang hadir akan turut sama berjemaah di masjid. Mungkin itu permulaan untuk terus istiqamah melaksanakannya*****

Rabu, 22 Julai 2009

Betulkan solatmu


Sehari menanti di sekolah di sebabkan ko-kurikulum bukanlah lagi alasan bosan kerana diri masih lagi mengembara ke Hogwarts. Melihat Harry diburu oleh Black pengikut Voldemort, ahli sihir jahat yang bercita-cita membunuh si Harry demi mengembalikan kuasanya.

Berada di surau Arifin Puteh yang baru dibina pada tahun ini selepas solat Zohor memberikan kedamaian. Hairannya kerana ia sunyi. Sepatutnya waktu sebegini mesti ramai yang datang untuk solat.

"Ohhh....lupa pulak....budak-budak sedang tuisyen SBT sekarang....cikgu-cikgu mesti dah pulang kerana rumah mereka dekat," hati mengomel sendirian yang hanya ditemani bunyi kipas yang berputar dalam dingin dan kelamnya mentari kerana tempias gerhana matahari pada pagi tadi.

Mata sempat dilelapkan dan seorang demi seorang datang solat sempat terjaga dijengah siapa gerangan diri. Susah sebenarnya menggerakkan diri untuk solat di awal waktu. Malah istiqamahnya lagi payah.

Ketika melihat Harry diawasi oleh Dementor, pegawai penjara Azkaban sehingga menyebabkan dia sawan kerana ketakutan yang luar biasa tiba-tiba mataku terpandang pada kaki seorang murid perempuan tahun enam yang sedang solat. Kakinya renggang ketika berdiri. Begitu juga dengan perlakuan solat yang lain yang banyak silapnya. Itu tidak termasuk bacaan lagi. Cikgu sains sering merungut tentang bacaan Yaasin murid-murid tahun 6 yang salah dari sudut makhraj huruf, baris dan tajwid. Nampaknya banyak lagi yang perlu diperbetulkan sebelum mereka ke luar dari SKBS ini.

Beruntung sebenarnya murid-murid yang terlibat dengan program j-QAF kerana mereka diajar, dididik, diasuh dengan solat melalui KEM BESTARI SOLAT. Diperdengarkan dan diperbetulkan bacaan al-Quran melalui tilawah dan khatam al-Quran. Juga diperkukuhkan dengan tasmik di luar jadual waktu.

Setakat ini murid-murid itu berminat. Menunjukkan kemajuan yang progresif dalam masa dua tahun. Sudah ada yang menawarkan diri membantu guru mengajar rakan-rakan yang lemah. Malah ada yang berani tampil untuk menjadi imam. Walaupun dalam serba kekurangan infrastruktur, bahan dan sebagainya bukanlah alasan untuk melaksanakan program ini ke atas anak-anak SKBS ini yang ada di antaranya tidak pernah tahu apa itu solat dan wajibnya kepada orang Islam.

Jika memandang kepada wang ringgit, usahlah menjadi guru.

Kerjaya sebagai guru tidak memberikan itu semua.

Guru adalah ibu-bapa kedua kerana dia mengajar, mendidik, membimbing dengan penuh kasih sayang tanpa mengharap balasan anak didiknya.

Selain melihat anak didiknya berjaya.

Itulah kebahagiaan yang mampu membuatkan dia tersenyum gembira.

Itulah imbuhan penat lelahnya sebagai GURU.

Selasa, 21 Julai 2009

Siapa ayahku???


"Ayah kamu nama apa?" tanya cikgu N kepada seorang murid tahun satu kerana namanya tiada berbinkan sesiapa.

"Saya tak da ayah," jawab kanak-kanak itu perlahan.

"Takkan kamu tak da ayah," cikgu N bertanya untuk mencari kepastian.

"Tak da," suara kanak-kanak itu makin kuat dengan sedikit getaran.

"Tak kan tak da ayah," cikgu itu kembali bertanya soalan yang sama dengan nada sedikit beralun.

"Tak da," suara kanak-kanak itu berbunyi sebak yang tidak ketara.

"Kamu tinggal dengan mak ya," cikgu itu mengubah soalan demi menjaga emosi kanak-kanak itu namun masih berniat untuk mencungkil kisah sebenar yang hanya diketahui dari rakan-rakan sekerjanya.

"Dengan mak, datuk, Pak Lang, Mak Cik," suara kanak-kanak berambut gaya Mawi itu sedikit ceria.

"Ooooo....ramai la kiranya," cikgu itu cuba mengambil hati kanak-kanak yang bernasib malang itu.

"Mak kerja apa," soalan mula jauh berkisar ke segenap kehidupan kanak-kanak itu.

"Mak dengan atuk menoreh getah...mak nak kawen dah nanti....dengan kawan Pak Lang," kanak-kanak itu makin mesra dan menceritakan tanpa disoal.

"Ermm...kamu seronok tak nak dapat ayah?" cikgu itu mula memerangkap dengan soalan sedemikian untuk mengetahui emosi kanak-kanak yang bersuara manja itu.

Kanak-kanak itu sekadar senyum tipis tanpa jawapan yang pasti.

Namun sebagai guru, cikgu N dapat menggagak perasaan muridnya yang sudah mengetahui dirinya tiada bapa sejak dari kecil dan akan mendapat bapa baru dalam masa beberapa bulan lagi.


Terdetik di hati cikgu itu liku-liku yang akan dilalui oleh kanak-kanak yang lahir tidak dipinta sebegitu.
Bagaimana dia akan melalui detik-detik di saat membesar ke sekolah menengah, universiti, bekerja apabila rakan-rakan mempersoalkan tentang namanya tanpa BIN.
Malah ketika dia berurusan dengan orang ramai yang membabitkan borang dan dokumen.
Ketika dia menceritakan perihal dirinya kepada seseorang yang ingin dijadikan suri hidup.
Dia tidak dapat menjadi imam.
Dia tidak dapat menjadi wali.
Dia perlu melalui semua dengan ketabahan, kesabaran dan kekuatan yang luar biasa.
Jika tidak sebegitu dia akan mengalami tekanan dan kemurungan sepanjang hidup.
Cikgu itu memohon agar dugaan yang bakal dihadapi tidak menjadikan kanak-kanak itu mengulang tragedi yang sama.
Malah menjadi manusia yang lebih mulia dari manusia yang dilahirkan dengan beribu bapa.

Dia kanak-kanak yang rajin dan berada di tangga top 10.
Jadi silaplah kata-kata bahawa manusia yang lahir sepertinya mempunyai kelemahan IQ.
Semuanya dengan izin Yang Esa.
Dia dapat diasuh, digilap menjadi permata dalam kaca.

Cikgu itu sering memandang mata sayu kanak-kanak itu dengan perasaan belas kasihan.
Tekadnya tidak akan membiarkan kanak-kanak itu disisihkan selagi berada di depan matanya.
Akan diasuh, diajar agar kanak-kanak itu menjadi manusia yang mempunyai benteng menghadapi segala keadaan.

Hendak disalahkan ibunya juga tidak adil.
Mungkin ibunya juga adalah mangsa.
Mujurlah ibunya masih punya perikemanusiaan membiarkan janin itu membentuk, membesar dan lahir ke dunia.

****Ramai lagi insan yang senasib kanak-kanak itu yang tidak ingin dilahirkan dengan title itu. Mereka tidak bersalah dan layak menikmati kebahagiaan seperti insan lain. Berilah mereka peluang agar tragedi itu tidak berulang.
Juga berilah peluang kesedaran kepada ramai lagi manusia diluar sana yang menjadikan nafsu sebagai raja pada hari ini tanpa memikirkan kesannya di masa hadapan.
Semua perlu memainkan peranan. Bukan hanya sekadar melepas tangan dengan menuding jari ke pihak-pihak tertentu dan menyalahkan satu sama lain.
Bangun dan bergerak dengan sedaya kekuatan yang dimiliki. Mungkin dengan sedikit usaha membuahkan kesan yang besar pada masa hadapan individu tersebut. Dia akan mendoakan insan yang membimbingnya ke arah cahaya kerana manusia yang dibantu benar-benar rasa berterima kasih kepada yang membantunya****

Isnin, 20 Julai 2009

Syahidah Marwa al-Sharbini


Baru semalam aku membicarakan tentang media yang dimonopoli oleh barat dengan seorang kawan.

Hari ini melalui bacaan beberapa blog baru kutahu tentang syahidah Marwa al-Sharbini pada saat hebohnya pemergian raja pop dunia, Michael Jackson.

Rasa kerdilnya diri ini kerana lambat mengetahui tentang perginya seorang saudara seakidah demi mempertahankan maruah agama.

Ini kerana tiada media asing yang menceritakan tentang kisah kematiannnya ditikam sebanyak 18 kali ketika mengandung tiga bulan di ruang sidang kota Dresden, Jerman.

Lazimnya jika media asing tidak melaporkannya maka media negara juga turut sama sepi walau merupakan negara Islam.

Jelas Islam dan Muslim sememangnya hebat ditindas di mana-mana terutama di negara minoriti Muslim.


Tahniah buat Marwa yang mendapat gelaran pahlawan jilbab kerana mempertahankan jilbabnya dari dilucutkan oleh seorang lelaki Jerman bernama Alez W yang anti kepada Islam dan Muslim ketika di Mesir.

Oleh kerana mempertahankan diri digelar terrorist kerana berjilbab dia membawa kes tersebut ke muka pengadilan.

Seperti biasa jika peristiwa ditindas membabitkan Muslim diabaikan namun jika ia membabitkan non muslim dituntut keadilan sehingga ke akar umbi.

Demi menyelamatkan isteri tercinta suaminya meluru menndapatkan Marwa namun ditembak oleh pihak penguasa kemanan pengadilan yang berdalih tidak sengaja tertembak kerana disangkakan pembunuh.

Kini beliau kritikal di Hospital Dresden.


Pemergiannya kita tidak tahu maka kita tidak peduli.
Tiada belas kasihan.
Tiada tangisan.
Tiada ratapan.
Kerana perginya dalam keadaan mempertahankan maruah agama yang sering ditindas, dicemuh, diugut dan diperlekehkan.
Namun janji Allah itu pasti buat pembela agama-Nya.
Semoga engkau berbahagia di sana wahai saudariku...

******
Jika syahidah Marwa mempertahankan jilbabnya di negara minoriti Muslim dari dilondehkan oleh orang bukan Muslim.

Di negara Islam pula pakat-pakat melodehkan jilbab malah tidak pernah menyarungkannya walau sekali dengan rela hati tanpa paksaan sesiapa.

Hanya dengan alasan 'tidak mendapat seruan lagi'.

Berhati-hatilah kerana ada di antara anda yang menjadi role model yang meniru gaya anda yang akan menjadi dana menuju ke sana jika tidak bertaubat.


Untuk cerita lebih lanjut sila ke :



Ahad, 19 Julai 2009

Isra' Mikraj

Ia berlaku sekali
sejarahnya berulang cerita saban tahun
tanpa bosan dan jemu
kerna ada pengajaran balik tabirnya
buat umat sepanjang zaman
yang sedar sentiasa merenung maksudnya
menghadami perjalanan sirahnya
tidak ditinggal walau seinci
yang leka dibiar ia datang dan berlalu pergi
tanpa peduli
kerna sejarahnya tidak nampak depan mata

******

"Esok hari apa," soalku kepada murid-murid tahun 1 Al-razi seusai kelas tasmik pada hari ini.

"Cuti......." dijawab serentak menggemakan kelas yang terletak bersebelahan PRA.

"Cuti apa?" sahaja kuduga pengetahuan anak-anak yang baru 6 bulan lebih berada di SKBS ini.

"Isra' Mikraj" jawab semua namun yang jelas kudengar adalah suara Erfan Qatimy.

"Bagus anak murid ustazah...semua pandai...cuti ni jangan lupa balik baca iqra' ya," pujian kuberi atas keprihatinan terhadap cuti yang akan dinikmati esok.

Kita mudah mengingati sesuatu peristiwa berdasarkan cuti. Jika tanpa cuti maka hari dan bulan Islam pun sukar diingati. Lemah sungguh iman manusia yang leka dimomokkan dalam dunia Masihi.

Teringat bersama sahabat-sahabat ketika di SMA, Kolej dan Universiti. Sama-sama mengingati tarikh dan hari sunat berpuasa. Lalu sama-sama melakukannya. Itulah yang merapatkan ukhuwah antara kami. Bila sudah berpisah kena melakukan sendiri dan ketika inilah kekuatan diri diperlukan untuk istiqamah melaksanakannya. Malah turut mengajak orang lain turut serta menambah pahala.

Sabtu, 18 Julai 2009

Menjadi watak novel


Cuti yang agak membosankan.
Talian Celcom Broadband yang masih lambat di tahap siput H1N1.
Hari ini menggunakannya hanya dengan status GPRS.
Itu pun setelah membuat aduan kepada Celcom careline melalui talian telefon.
Punya lambat hendak mengisi borang SPP online.

Mujurlah dapat mengembara ke Hogwarts.
Bersama Harry Potter, Ron dan Hermione.
Hari ini hendak menyiasat tulisan pada tembok sebelum bertemu dengan Puan Norris (kucing kepada Filch-penjaga kota istana itu) yang tergantung kaku.
Jika melihat filem hanya sekadar memandang agak kurang berperasaan.
Membacanya kini lebih seronok rasanya.
Seolah-olah berada bersama watak-watak yang digarap J.K. Rowling itu.
Mengembara, menyiasat, berlawan dengan raksasa dan kuasa jahat.
Tidak ketinggalan sebagai pemain Quidditch walaupun permainan itu tidak wujud di alam nyata.
Itulah kuasa penulis hebat yang mampu membawa pembaca mengembara ke alam tulisannnya dan turut menjadi seorang watak di dalamnya.

Begitulah juga yang berlaku kepada novel Ayat-ayat Cinta karya Habibur Rahman El-Shirazy.
Watak Fahri boleh membuatkan semua wanita jatuh cinta padanya.
Ini kerana peribadinya yang memiliki ilmu dan akhlak yang baik.
Namun semuanya berubah apabila ia difilemkan.
Tidak mendapat sambutan seperti novelnya yang mendapat best seller.
Diulang cetak beberapa kali.

Antara kedua-dua buku ini Harry Potter telah mendapat sambutan baik dari segi buku dan filemnya.
Filemnya terbarunya yang diadaptasi dari buku yang bertajuk Harry Potter and The Half Blood Prince telah mencapai kutipan 104 juta dollar dalam masa sehari di pawagam di seluruh dunia.
Ini kerana ia telah dikenali di seluruh dunia.
Pasarannya telah luas.
Berbanding Ayat-ayat Cinta hanya terbatas di beberapa negara Asia Tenggara sahaja.

Apa-apa pun tahniah kepada penulis yang mampu menjadikan hasil tulisannya berhantu dengan dengan garapan jalan cerita, plog, babak dan watak yang menarik.
Semua manusia mampu menulis dan menjadi penulis.
Namun tidak semua mampu mempengaruhi pembaca dengan ceritanya.
Apatahlagi membawa pembaca untuk berfikir justeru mengubah kepada peribadi yang lebih positif.

Bila agaknya akan lahir penulis Islam yang mampu membuatkan semua golongan usia, jantina, bangsa, agama dan negara tertarik kepada hasil garapan novel dan filemnya berlandaskan agama syumul ini yang mampu menyaingi Harry Potter.

Atau sudah wujud penulis sebegini cuma disekat oleh kuasa-kuasa tertentu kerana Islam sering ditindas dan tertindas oleh puak-puak ini.

***Penulis-penulis Malaysia juga hebat kerana novel Salina karya A. Samad Said dapat membawa diriku berada di suasana sebelum kemerdekaan. Begitu juga dengan beberapa penulis Malaya yang menulis cerita berlatar belakangkan Tanah Melayu dapat memberi suasana alam melayu ketika itu***

***J.K Rowling sebenarnya membawa pembaca ke alam realiti melalui dunia sihirnya. Membaca sambil mencari maksud tersiratnya amatlah menarik apabila dapat diseiringkan***

Jumaat, 17 Julai 2009

Nilai nyawa lebih dari 17 digit


Rokok 'termahal' di dunia berharga 17 digit

Di New Hamsphire, Manchester Josh Muszynski menyedari nilai rokok yang dibelinya ketika memeriksa akaun dalam taliannya beberapa jam selepas membuat pembelian tersebut dan terkejut apabila melihat akaunnya mencatatkan 17 angka, AS$23,148,855,308,184,500 (RM82,700,834,377,553,520).

Ia bukanlah nilai sebenar rokok tersebut namun hanya kesilapan pihak samada Bank Of America atau pihak visa kerana masing-masing menuding jari ke arah satu sama lain.

Jika benar rokok berharga 17 digit pun bagus juga maka dengan itu hanya yang bergelar jutawan sahaja yang mampu membelinya.

Oleh itu kuranglah pencemaran udara dengan 70 bahan kimia yang terdapat di dalamnya.

Maka selamatlah paru-paru bukan sahaja perokok aktif malah perokok pasif yang tidak bersalah dari menyedut bahan-bahan kimia itu yang boleh mendatangkan mudarat pada jasad yang dipinjamkan Allah ini.

Semasa kecil dahulu masih lagi aku teringat isu Singapura mengharamkan chewing gum di negaranya. Alasan kerana mengotorkan negaranya. Maka Malaysia pun terkena tempiasnya yang mana chewing gum juga dikatakan tidak memberi manfaat kepada si pengunyahnya.

Justeru terdetik juga di hati ini seburuk-buruk chewing gum bermanfaat juga sebagai senaman mulut dan muka berbanding rokok yang dihisap sekadar membiarkan paru-paru menjadi highway asap masuk dan keluar.

Seorang pensyarah pernah menidakkan haramnya rokok kerana menurutnya tok guru muktabar di negeri ini juga kuat merokok. Ada akal guna. Ada ilmu amal. Ada kudrat usaha.

Namun malanglah bagi guru apalagi ustaz yang sering bercakap tentang kebaikan kepada murid-murid namun menjadi pertikaian kepada anak murid ditambah kekeliruan apabila ustaz mereka adalah perokok. Mereka mempertikaikan kerana mereka tahu bahawa rokok tiada manfaat kepada penghisapnya. Maka jika seseorang melakukan sesuatu yang tidak bermanfaat membawa kepada sia-sia.

Zaman sekarang anak-anak kecil juga sudah tahu bahawa merokok hukumnya haram. Bagaimana persepsi mereka terhadap ustaz yang mana bagi pandangan mereka merupakan seorang yang baik lagi mulia dan tidak melakukan perkara yang haram. Sebagai dewasa kita tahu bahawa manusia tidak sempurna. Namun kanak-kanak memandang guru, ustaz, ustazah mereka sebagai subjek yang sempurna tanpa kesalahan.

Nilai nyawa sebenarnya lebih dari 17 digit. Oleh itu sayangilah nyawa anda dan insan sekeliling anda.

*** Catatan ini adalah hasil pengalaman peribadi penulis dan pengamatan penulis bersama murid-murid.

*********

Masa lapang sebelum sempit.

Kini masaku kembali lapang. Punya ruang untuk membaca blog rakan-rakan. Juga menghabiskan beberapa buah buku dan majalah yang dibeli sejak awal tahun.

Masih banyak yang tidak dapat disentuh lagi namun cuba untuk dihabiskan sebelum masa kembali sempit dan sebelum membeli buku baru untuk ditelaah.

Jika dahulu oat bukanlah makanan kegemaran kerana rasanya yang hambar namun kini menjadi ruji sarapan dicampur susu. Alasan belajar makannya kerana dapat mengurangkan kolesterol dalam darah. Rupa-rupanya ia dapat memberi kekenyangan dalam jangka waktu yang lama.

Boleh belajar menyukai sesuatu yang tidak disukai asalnya hanya kerana kebaikan dan manfaat yang ada padanya.

Justeru sekarang ini sedang dan cuba belajar untuk menyukai dan membaca semua jenis buku tidak kira ekonomi, politik, sosial dsbnya kerana ilmu itu tidak terbatas pada satu bab sahaja.

Kini sejarah menjadi kegemaran walhal suatu ketika dahulu ia adalah subjek yang kurang digemari kerana agak merumitkan dengan fakta-faktanya yang terlalu banyak perlu diingat.

Aku pernah melakukan kaji selidik pada murid-murid tahun 5 dan 6 tentang minat mereka terhadap subjek Bahasa Arab. Majoritinya menyukai Bahasa Arab kerana guru yang mengajar. Mungkin itu alasan mereka untuk menyukai bahasa yang baru dipelajari yang amat sukar bagi mereka. Walaupun diri ini pernah menyatakan tentang akibat jika menyukai sesuatu kerana seseorang di mana minat itu akan hilang jika orang itu sudah tiada. Namun ini boleh dijadikan dorongan untuk belajar menyukai bahasa Al-Quran ini.

Harap-harapnya begitulah. Kertas kaji selidik masih disimpan kerana itu adalah tulisan yang lahir dari hati mereka. Itu akan dijadikan bukti apabila semangat sudah lentur untuk mempelajari bahasa yang sebenarnya lebih penting dari mana-mana bahasa di dunia ini.

Selasa, 14 Julai 2009

Entah peduli atau tidak?







Sewaktu Palestin diserang hebat oleh Israel aku pernah ditanya oleh seorang pengunjung samada blog ini adalah blog perang. Ia ekoran entri dan gambar-gambar yang terdapat di dalamnya tentang pembantaian Israel terhadap Palestin.

'Kuman di seberang laut boleh nampak sedangkan gajah di depan mata tidak nampak' boleh kutujukan buat diri ini yang tidak tahu dan ambil tahu tentang nasib saudara seakidah yang merupakan jiran sempadan.

Nasib saudara seakidah di selatan Thai teruatama Pattani, Yala dan Narathiwat yang ditindas sekian lama dipandang enteng sesetengah daripada kita termasuk diri ini. Maka pada satu malam yang diganggu gugat dengan talian broadband yang tidak berapa baik aku tertarik untuk membaca sejarah Islam Pattani yang ingin dikuburkan oleh pihak pemerintah Thai di sebuah blog anak muda yang sudah lama dilink di dalam blogku.

Tragedi serangan ke atas Masjid Krisek dan tragedi Tak Bai yang berlaku pada 2004 dan yang terbaru tragedi Masjid Al-Furqan yang terjadi pada 9 Jun tahun ini menunjukkan penindasan terhadap umat Islam tanpa sebab. Mereka ditembak ketika menyembah Allah hampir sama apa yang pernah berlaku di Palestin.

Terima kasih buat anak muda berjiwa besar itu kerana melalui blognya mampu kuperolehi ilmu dan manfaat yang banyak.


Kini berita rusuhan antara etnik Uighur dengan China Han di Urumqi ibu negeri wilayah Xinjiang China yang berpunca daripada diskriminasi ke atas penduduk Islam minoriti.

Sekali lagi berita yang tidak diperbesarkan itu menjadi tidak penting dan tidak semua yang mengetahui tentangnya. Ini kurujuk kepada realiti yang dapat dikenal pasti siang tadi melalui perbualan bersama rakan-rakan.

Umat Islam ditindas di setiap pelosok muka bumi. Sebagai seorang ustazah aku bebas pergi dan balik dari sekolah dengan selamat. Namun di Pattani seorang ustaz ditembak sebaik sahaja sampai di rumah. Walaupun begitu mereka tetap mempertahankan maruah agama dan tanahair kerana tidak mahu budaya Siamisasi yang dilaksanakan sejak 1958 berjaya dilaksanakan.

***Gambar sebagai satu hebahan kepada semua pengunjung bahawa kedamaian yang kita miliki tidak bermakna kita perlu terlepas dari mempedulikan nasib saudara seakidah di tempat lain terutama jiran sempadan yang dekat dengan kita***

Sumbangan doa, kewangan yang disalur pada pertubuhan yang jelas dasarnya dapat dilaksanakan jika tidak mampu mendesak Malaysia sebagai pengerusi OIC dan lain-lain agar selamat di hadapan Allah nanti dari pertanggungjawaban di akhirat kelak.

*******

Entah mengapa ketika entri ini ditulis sinusku terbau darah secara tiba-tiba.

Doakan agar darah-darah saudara kita itu adalah darah-darah para syuhada'.

Isnin, 13 Julai 2009

Berubah demi kebaikan


Susah betul hendak menukar gaya penulisan di dalam PERMATASAHARA.blogspot ni walaupun gaya penulisannya sudah mengalami beberapa tahap perubahan mengikut kematangan penulisan tuannya sejak ia dibina pada Oktober tahun lepas.

Maka jalan penyelesaiannya adalah dengan mewujudkan satu lagi blog untuk gaya penulisan yang lebih ringan dan santai.

Seorang rakan pernah meneka aku adalah peminat novel melalui gaya penulisanku di dalam blog ini. Jawapanku memang aku kadang-kadang membaca novel namun novel cinta bukanlah kegemaranku. Kini novel bukanlah pilihan utama kerana lebih tertumpu kepada buku-buku bercorak sejarah, agama dan motivasi. Sekarang pula dalam proses hendak memulakan pembacaan 6 buah buku Harry Potter kepunyaan Kak Ngah kerana aura filem Harry Potter and the half blood prince yang akan ditayangkan. Ini bermakna aku bukanlah dipengaruhi oleh ayat-ayat di dalam novel cinta terutamanya.

Jika diimbas aku memang suka menulis di atas kertas sebagai cara meluahkan masalah dan tekanan ketika bergelar pelajar dahulu. Itu adalah satu cara untuk mengurangkan masalah yang dihadapi. Gaya penulisannya adalah seperti gaya penulisan di dalam blog ini. Mungkin agaknya kerana ketika bergelar pelajar aku aktif menulis sajak walaupun tidak pernah dihantar ke mana-mana penerbitan.

Aku hadapi masalah juga sebenarnya dengan gaya penulisan sebegini ketika hendak menulis jurnal praktikum di awal tahun. Ia membuatkanku terkial-kial membuat ayat yang bersesuaian untuk penulisan jurnal. Maka aku telah menghabiskan masa beberapa jam untuk menyiapkan satu jurnal setelah dicampur dengan pencarian tentang masalah, kaedah, strategi dan model pengajaran. Mujurlah hasilnya memuaskan hati pensyarah pembimbing. Justeru kebimbangan untuk menulis tesis MA kelak sedikit terubat dengan perubahan ini.

Manusia mampu berubah jika mahu berubah kerana Allah memberi mengikut apa yang kita inginkan dan fikrkan.

*******
Isu PPSMI masih meniti di bibir-bibir orang ramai walaupun keputusan mansuhnya telah dibuat oleh Menteri Pelajaran yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2012 nanti.

Di sekolahku yang kecil juga telah kudengar dua pihak penyokong dan pembangkang PPSMI berbicara tentangnya dalam waktu yang berlainan.

Masing-masing punya hujah tersendiri mempertahankan pendapat.

Namun seperti biasa aku lebih suka menjadi pendengar tanpa mencelah walaupun sebutir.

Mereka punya hak untuk berbicara. Juga punya hak untuk menyuarakan. Juga punya hak memberi pendapat. Ini kerana kita makhluk yang dijadikan berakal dan berperasaan. Mampu berfikir dan berinteraksi dengan satu-satu keadaan yang berlaku. Inilah kelebihan kita berbanding makhluk lain. Namun jangan pula digunakan untuk mempertikaikan hukum-hukum Allah dan peraturan-Nya.

Walaupun pertikaian demi pertikaian masih berlaku namun satu keputusan telah ditetapkan untuk kebaikan semua pihak. Golongan majoriti perlu diutamakan untuk memberi kemajuan kepada semua rakyat tidak kira taraf.Oleh itu golongan minoriti perlulah berlapang dada menerima keputusan itu untuk sama-sama memperolehi ilmu dan kejayaan.

Maka bersesuaianlah dengan slogan 'Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.'

Ahad, 12 Julai 2009

Ujian lagi....

Manusia sering diuji.
Tidak kira samada dengan ujian yang besar dan ujian yang kecil.
Masing-masing untuk menduga tahap penerimaan manusia menanganinya dengan kematangan akal dan emosi.

Ujian sebenarnya untuk mematangkan.
Sebagai umat Islam pula ia untuk memantapkan iman.
Manusia yang sering diuji adalah manusia yang hebat kerana ujian itu adalah pengukur tahap kekurangan dan kelebihan dirinya.
Justeru segala kelemahan dapat diperbaiki.
Segala kelebihan dapat dipertingkatkan.

******
Diri ini sudah selesai melepasi tahap ujian sebagai penuntut Diploma Pendidikan.
Sekaligus sebagai guru dalam latihan setelah setahun setengah melaluinya.
Memang agak perit apabila terpaksa membahagikan masa antara kerja dan pelajaran.
Banyak perkara, benda dan peluang yang perlu dilepaskan.
Berbagai rasa yang datang kadangkala merimaskan.

Namun...

Ini semua bukanlah penutup bergelar pelajar.
Malah ini merupakan permulaan untuk bergelar pelajar menempuhi berbagai tahap pembelajaran yang lebih tinggi dengan status yang juga kian bertambah tanggungjawab.

Itu antara kata-kataku bersama sahabat yang mempunyai azam yang sama.

Maka kerana kata-kata itulah pemangkin semangat untuk terus melangsaikan baki-baki pelajaran terdahulu sehingga langsai tanpa ada perasaan berkecamuk menghadapinya.

Menghadapi sesuatu dengan iman dan akal lebih baik daripada mendepaninya dengan nafsu.
Semoga cita-cita kami terlaksana dengan izin Allah Taala.

Sebagai manusia pula ujian sering datang tidak kira masa walaupun dalam bentuk yang kecil sahaja.
Kadangkala bertimpa-timpa tanpa sempat menyelesaikan satu-persatu terlebih dahulu.
Kadang-kadang rasa sedikit ia meregut kebahagiaan dan ketenangan.
Kadang-kadang rasa juga ia adalah wadah membentuk ketabahan, kesabaran dan jati diri sebagai manusia yang akan terus hidup selagi bernafas.

Walaupun sudah jatuh ditimpa tangga.
Jangan dibiarkan tangga itu terus menghempap diri.
Gagah diri bangkit untuk terus memanjat tangga tersebut menuju puncak hidup mencapai kecemerlangan.

Jangan dirungut kenapa ujian datang lagi tetapi katakan pada diri bahawa dapat menghadapinya dengan kekuatan iman dan emosi dengan izin Allah Taala.

Jumaat, 10 Julai 2009

Persepsi

"Rimasnya membaca di sini kerana kanak-kanak itu asyik berlari dan bermain ke sana sini," rungutnya di dalam hati.

"Lihatlah ayahnya pula diam sahaja tanpa memarahi anaknya yang nakal sebegitu rupa," rungutan beralih objek namun fokus tetap pada subjek yang sama.

Letak duduk beralih ke sisi lelaki murung berusia 40an itu. Setelah dirisik dan ditanya punca kemurungannya barulah diketahui bahawa dia baru kematian isteri. Itulah sebabnya tidak dipedulikan semua perkara sekeliling walaupun pada anaknya sendiri.

Dirinya menyesal atas persepsi awal terhadap lelaki itu. Rupanya di sebalik semua itu terdapat peristiwa yang mengganggu emosi sehingga menjadikan dia sebegitu.

*******
Itu hanya sedutan cerita dari Stephen R Covey tentang persepsi.

Persepsi pertama terhadap seseorang yang kebarangkaliannya seringkali salah kerana kita manusia ditutup dari mengetahui semua perkara. Kita punya keterbatasan pengetahuan.

Persepsi pertama seringkali berbeza dari keadaan sebenar yang membuatkan kita buruk sangka pada seseorang. Buruk sangka yang akan mengeruhkan perhubungan sesama manusia. Meruntuhkan satu rangkaian perhubungan. Membuatkan satu hubungan tidak dapat dijalinkan sama sekali.

Ada baiknya dikaji dahulu latar belakang dan punca seseorang sebelum membuat persepsi terhadapnya. Itu lebih adil buat dirinya. Agar diri sendiri juga tidak menyesal setelah mengetahui keadaan sebenar.

Manusia yang baik tidak sibuk membicarakan tentang kesalahan orang namun sibuk membicarakan tentang kesalahan diri sendiri dan sentiasa malu pada kesalahan yang telah dilakukan. Akibat rasa itu timbul kesedaran tidak akan mengulangi kembali kesalahan itu buat kali seterusnya.

Khamis, 9 Julai 2009

Bicara tentang ADIL

Semua pandai berbicara tentang adil.
Semua orang mahu diri diperlakukan dengan seadil-adilnya
Namun tidak semua yang mampu berlaku adil terhadap orang lain kerana tidak mampu adil kepada perkara-perkara kecil yang dianggap remeh-temeh.
Walhal perkara kecil itu merupakan sesuatu yang penting pada orang itu.
Maka dengan itu dirasakan dirinya sudah diperlakukan dengan tidak adil.

Allah itu Maha Adil maka tiada satu pun kebaikan dan kejahatan hamba-Nya yang akan terlepas daripada perhitungan-Nya kelak.
Keadilan terlaksana di mahkamah Masyhar.
Hamba yang baik dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat-Nya.
Hamba yang banyak dosa dilemparkan ke jurang bahang api neraka yang meluap.
Justeru jangan dianggap kesalahan sebesar zarah dapat disorokkan.
Kebaikan sebesar zarah juga jangan dirasakan tidak menjadi dana menikmati nikmat di akhirat.

*******
Yen berhak diberi keadilan dari segi perhatian dan kasih sayang walaupun dia sebenarnya murid lemah yang tergolong dalam kelas KIA.

Yen ( Nazreen ) sebenarnya seronok dengan perhatian itu. Kedegilannya sedikit sebanyak dapat dilenturkan. Dia sudah semakin rapat. Sudah mahu berbicara seperti murid-murid lain. Hanya sekali pujukan lembut menjadikan dia manja. Ini permulaan untuk terus memujuk Yen agar tidak nakal di dalam kelas dan menumpukan perhatian terhadap mata pelajaran Bahasa Arab yang mungkin bagi Yen hanyalah susunan huruf hijaiyah yang tidak difahami. Sekurangnya dapat menarik minatnya untuk belajar dan membentuk peribadi Yen menjadi manusia yang baik dan soleh.

Bukan senang mengubah perilaku dan sikap seseorang.
Perilaku yang dimiliki sukar diubah kecuali dengan izin Allah taala.
Kuasa kita sebagai manusia hanya sekadar boleh berusaha menjadi yang terbaik sebagai teladan dan ikutan pada yang memandang, mendengar dan membaca.
Bukan hanya sekadar berkata-kata tanpa diri sendiri melaksanakannya.
Manusia mampu menilai berdasarkan kata-kata itu dengan sifat yang pembicara.

Rasulullah sebaik-baik teladan.
Peribadinya mulianya dapat dinilai walaupun dari kaca mata seorang Yahudi yang paling membencinya sehingga menerima Islam sebagai anutan.

Islam itu tidak tertegak hanya sekadar kata-kata
Namun tertegaknya Islam itu kerana perbuatan dan amalan yang ditonjolkan.

Rabu, 8 Julai 2009

Rindu pada yang SATU


Cinta manusia
manusia akan pergi...
cinta Allah
Allah sentiasa ada di sisi...
cintalah sesuatu kerana Allah
akan beroleh cinta yang bernilai dan diredhoi...

*******
"Ustazah pi mana....lama tak mai....rindu la?" soalan yang sama berulang kali ditanya oleh individu berbeza di hari pertama aku menjadi warga lama yang dibarukan semula.

"Ustazah ada kursus sebab tu lama tak mai," kulayani soalan-soalan tersebut agar kerinduan yang dikatakan mereka itu sedikit terubat.

Mungkin kerana rindu juga hari ini tahun 3 mendengar kata dan mengikut nasihat. Nampaknya ajaib sungguh penangan rindu ini.

Patutlah peribahasa mengatakan 'sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.' Jika boleh ditafsir akan membawa makna agar kerinduan yang terbetik akan menambahkan lagi sayang.

Namun tidak mustahil juga pada sesetengah keadaan dan individu makin melupakan pada seseorang yang sudah lama hilang dari kehidupannya dan masa.

Itu normal dan adat sebagai manusia.

"Saya seorang yang sensitif...maksudnya seseorang yang peka pada masa lampau dan apa yang berlaku dalam kehidupan...mungkin kerana saya anak sulong maka dilahirkan dengan sifat demikian," ujar Miss Arida (sekarang Madam) padaku pada suatu hari yang ditimpa hujan di sebuah corner di Kusza.

Kami ada persamaan maka sifatnya serba sedikit juga dimiliki olehku iaitu sensitif pada keadaan dan sesiapa sahaja yang hadir dalam hidup. Memori sukar dibuang. Raut yang hadir tidak akan mudah terpadam.
*******
Sejauh mana rindu pada sesiapa tidak ternilai dengan kemanisan rindu pada Allah.
Rindu-Nya dinanti...
Cinta-Nya didamba sepanjang masa....
semoga hati-hati kita mekar dengan cinta-Nya
agar beroleh bahagia di dunia ini dan akhirat sana.

Selasa, 7 Julai 2009

KELIRU

"Yang nak makan ape?" tanya si lelaki sambil tangan melingkari pinggang si wanita yang masih belum berstatus isteri.

"Ermm...nak makan black paper steak lah," jawab si wanita manja.

"Ok...tapi halal tak daging dari segi penyembelihan sehingga proses memasaknya?" tanya si lelaki kepada pelayan yang menanti di sisi meja.

"Halal Encik, malah bos kami memiliki ladang lembu dan kilang memproses daging tersebut untuk menjamin status halalnya apatahlagi pemilihan bahan masakan dan cara masakan yang semuanya bersih dan halal mengikut syariat," jawab pelayan sambil menjeling ke arah tangan si lelaki yang mengenggam erat tangan si wanita.

"Ermm..baiklah kalau begitu saya berpuas hati dengan status halalnya maka bagi dua set black paper steak ye...saya bukan apa jika tak halal nak kena samak dan nanti jadi darah daging tak berkat hidup," ujar si lelaki kepada pelayan lelaki di awal 20 an itu.

Pelayan itu tersenyum sumbing memikirkan antara yang halal dan haram.

*******
Sejuk mata memandang melihat Fida (juara PANTENE mencari bintang) di dalam slot drama E.Toyol.Com setiap petang Isnin sehingga Khamis di TV3.

Sejuk juga melihat Heliza (AF) dalam filem Syurga Cinta.

Sebelum ini filem dan drama dari seberang seperti Kiamat Sudah Dekat, Solehah dan sekarang Aqso Madina menjadi perhatian dengan watak wanita bertudung.

Walau ada spekulasi darinya namun adalah lebih baik melihat sesuatu yang bertutup dengan kelembutan dan keayuan watak muslimah daripada didedahkan terlalu banyak dengan watak liar, penggoda dan seksi wanita muslim.

Ia bermula dari pemakaian dan diharap akan ada penambahbaikan dari segi penyusunan babak, skrip dan susur jalan cerita.

Jika itu yang berlaku maka drama dan filem bukanlah halangan untuk ditonton oleh sesiapa sahaja malah menjadi dakwah yang paling berkesan kepada ummah.

*******
Esok hari baru bermula di sekolah lama dengan status berbeza.
Rasa tetap sama namun cuba bersedia untuk memikul amanah baru yang mungkin akan ditambah dan diserahkan.
Banyak perkara lama yang akan diperbetulkan.
Banyak perkara dan idea baru yang akan diketengahkan.
Moga azam ini terlaksana.
Seperti kata seorang sahabat lama menjadikan Bahasa Arab bahasa utama.

Isnin, 6 Julai 2009

The END

Matahari yang timbul pastikan tenggelam jua...
Bulan yang mengambang pastikan hilang dimamah mentari pagi...

Itu yang layak kukatakan pada permulaan yang pasti ada akhirnya.

Alhamdulillah kursus KPLI j-QAF ambilan JAN 2008 IPGM Kampus Darulaman ini sudah berakhir.
Surat posting dan lantikan juga sudah diterima.
Cuma menantikan guru-guru ini melaporkan diri di sekolah yang kini sedang berkhidmat sejak tahun lepas.
Pelbagai amanat diperturunkan oleh penyelaras j-QAF baik dari JPN Kedah dan IPGM Kampus Darulaman sendiri.
Selain ilmu-ilmu yang telah dipelajari ketika cuti penggal semenjak tahun lepas.
Jika adunan-adunan itu digunakan maka dapatlah bakal-bakal guru ini meraih kecemerlangan sebagai guru dan sebagai penjawat awam.

********
Berakhir segala-galanya bermakna berakhir sudah sebuah pertemuan.
Sahabat-sahabat ambilan JAN 08 terutama kelas BA3 tetap dalam ingatan.
Masing-masing bertugas di dalam negeri jelapang ini namun di daerah yang sama menyukarkan untuk kembali bertemu.
Namun doa tetap dipanjatkan agar mereka semua beroleh kejayaan, kebahagiaan dan keberkatan di dunia dan akhirat.

*********
Pertama kali melihat surat tergolong dalam kelas BA3 hati tertanya, "Kenapa BA3?"
Sudahlah opsyen asal yang dipohon juga berubah dari PI kepada BA. Diri kembali tertanya," Apa hikmahnya ek?"

Kata sahabat sekelas BA3 ini sebenarnya kelas yang famous kerana disukai para pensyarah walaupun merupakan kelas yang BA yang terakhir di situ. Ini kerana majoriti pelajar-pelajarnya terdiri daripada orang-orang yang ceria dan peramah.

Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Apatahlagi sahabat.
Namun itu semualah yang makin merapatkan ukhuwah antara kami.

Itulah yang mematangkan kami tentang perilaku manusia dalam kehidupan untuk diaptasikan dalam p&p bagi menangani perilaku setiap murid.

Terima kasih sahabat-sahabat BA3 yang menjadi sebahagian daripada memori hidup ini.

Kalian memang MANTOPPP......

Jika bertemu sapa-sapalah...
jika teringat bertanya khabarlah...

agar ukhuwah ini senantiasa manis sepertimana hari pertama bertemu....

Ahad, 5 Julai 2009

Secebis doa buatku

Jika beberapa bulan yang lalu orang bertanya apa tujuan aku membina dan menulis blog. Maka aku jawab bahawa menulis adalah hobiku. Aku suka menulis tentang apa yang kupandang, kudengar dan kualami tentang semua perkara yang berlaku di sekelilingku. Sudah tentu setiap ciptaan itu ada kelebihan dan kekurangan yang menjadikan setiap ciptaan itu menarik.Ciptaan-ciptaan itu juga di kelilingi oleh peristiwa-peristiwa yang terkandung hikmah tidak kira ia terdiri daripada peristiwa baik atau buruk. Justeru semua adunan itu menjadikan hidup ini menarik.

Yang baik adalah ilmu yang dikutip sebagai teladan.
Yang buruk dapat dihindari dari menjadi ikutan.

Jika sekarang orang bertanya lagi tentang soalan yang sama ingin kutambah satu lagi sebagai sebabnya.Biarlah blog bersama isinya ini menjadi sebahagian dari khazanah diri ini sebagai penghuni alam ini.

Maka dengannya aku akan terus berada di hadapan teman-teman yang berjauhan. Dengannya juga aku akan tetap hidup walaupun jasad sudah dikebumikan. Agar yang mengenali diri ini tetap mendoakan. Juga yang tidak mengenali diri ini akan turut sama menyedekahkan al-fatihah untuk kesejahteraan di alam sana.

******
"Hangpa doa la no untuk tuan hangpa ni murah rezeki di dunia dan akhirat," kata Tok Besahku pada kucing-kucingku ketika usiaku di hujung belasan tahun.

Ketika itu nenek sebelah abah masih berupaya datang ke rumah bersama datukku yang di panggil Tok Ayah. Kini Tok Ayah lumpuh separuh badan akibat diserang strok. Tok Ayah sudah hilang pendengaran kerana tua. Tok Besah pula yang sudah lama bertongkat tiga kini juga kian kabur penglihatan dan pendengarannya. Namun yang membanggakanku mereka tetap menunaikan tanggungjawab sebagai hamba kepada pencipta. Juga tetap menyayangi sesama mereka dan senantiasa menjaga antara satu sama lain.

Seperti kata emak bahawa cinta mereka utuh hingga ke tua.

********
Entri ini ditulis berdasarkan perkenalan dengan seorang tuan blog yang sudah tiada di muka bumi ini. Pemergian beliau di usia muda diiringi dengan doa dan al-fatihah dari pembaca-pembaca yang sebenarnya tidak pernah bersua dan mengenalinya ketika hidup.

Semoga rohnynya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.


*******
Ketika mahu pulang ke Malaysia aku terfikir bahawa siapalah yang akan menghantar aku pulang di lapangan terbang Kaherah kerana ramai sahabat-sahabatku sudah pulang terlebih dahulu.

Namun masih ada sahabat-sahabat yang sudi menemaniku membeli buah tangan.

Masih ada yang sudi mengemas dan mengikat beg.

Masih ada yang memberi cenderahati.

Ramai yang menghantar, menolak troli dan melambai sehingga masuk ke balai berlepas.

Mereka bukanlah sahabat-sahabat yang kukenal bertahun-tahun lamanya. Perkenalan dalam waktu yang singkat itu sebenarnya telah membuahkan rimbunan ukhuwah kerana Allah antara hati-hati kami semua.

Transit selama 8 jam di lapangan terbang Changi telah dapat kurumuskan bahawa:
Masa yang lama tidak memungkinkan sesuatu itu menjadi bernilai tanpa disulam dengan penjagaan yang baik untuk menjadikan ia senantiasa baik.

Masa yang singkat sebenarnya dapat menjadikan sesuatu lebih bernilai jika ia dihasilkan dengan niat yang tulus dan bahan yang berkualiti.

Begitulah juga dengan ukhuwah yang akrab akan musnah jika masing-masing tidak menjaganya agar senantiasa utuh

Sedangkan ukhuwah yang hanya terjalin sebentar akan tumbuh mekar jika terus disiram dan dibajai maka ia bertahan sehingga ke hujung nyawa.

Bersahabat dan berbaiklah dengan semua orang dan jangan memilih kerana mungkin yang kita anggap musuh itu sebenarnya yang senantiasa mendoakan kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...