? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Ahad, 30 Ogos 2009

Erti Merdeka yang berbeza.


Dapatkan ecard NasyidFM Disini


"Siapa pandai tolong bagitahu makna merdeka," kuuji murid tahun dua pada hari ini.

"Bendera...ustazah," Marlisa menjawab yakin mendahului murid lain.

"Negara...," kedengaran suara Arif, ketua kelas yang tidak lekang bersongkok.

"Bebas dari penjajahan...aa...aa," jawab Fatin dengan ragu-ragu.

"Bebas dari penjajah...ustazah," murid-murid lain yang kelu sebentar tadi mula menyokong jawapan Fatin.

"Iya...bebas dari penjajah tapi penjajah apa?" kucuba ukur pengetahuan murid-murid tahap satu itu sedalam mungkin.

"Ermm...bebas dari penjajah Inggeris," Fatin tetap mencuba tanpa putus asa.

Kutersenyum sambil merenung setiap wajah tulus yang menanti jawapan.

"Bukan sahaja penjajah Inggeris tetapi Belanda, Portugis dan Jepun," kumenjawab ringkas.

"Penjajah tu maksud apa ustazah," Marlisa mewakili suara murid lain bertanya.

"Ohhh...penjajah tu ialah orang asing yang masuk negara kita, perintah kita dan ambil hasil bumi kita," kucuba fikir mencari jawapan semudah mungkin untuk difahami murid tahun dua.

"Jahatnya depa tue," Haikal yang diam sejak mula kelas berwajah berang.

"Namun kerana datuk nenek kita dulu mahukan kemerdekaan maka depa berlawan dengan penjajah demi membebaskan negara ini dari dijajah dan dapatlah kemerdekaan hasil dari itu," kelas sepi tanpa seorang pun mencelah suaraku.

"Bukan senang tau nak dapat kemerdekaan...perlukan kekuatan badan dan semangat, usaha dan bersatu," topik dipanjangkan.

"Begitu juga dengan diri kita yang sentiasa cuba dijajah syaitan perlukan kekuatan semangat dan usaha melawannya," huraian dilebarkan.

"Bulan posa ni nafsu rasa lapar dan syaitan cuba menghasut maka kita perlu buat apa," kucuba tarik semula keheningan kelas melalui soalan.

"Kita lawan syaitan...jangan ikut dia...," semangat berkobar-kobar nampaknya murid-murid ini.

"Bagus...ingat tau puasa bukan sahaja tahan dari lapar dan dahaga tapi dari segala dosa dan maksiat," topik merdeka makin beralih.

"Tau ustazah...kita tak boleh bohong, bergaduh, lawan cakap orang tua, mencuri," beberapa murid menjawab dengan tahu.

"Bukan setakat bulan puasa sahaja tau nanti bulan-bulan lain jangan buat semua perkara tak baik baru boleh jadi budak baik yang Allah dan orang lain sayang," kuakhiri dengan senyum dengan semangat murid-murid di hari pertama bersekolah pada Ramadan tahun ini.

Beberapa minit kemudian.

"Haa..Nasrul awat tak tulis lagi tue...ish...satgi ustazah...,"

"Ustazah...bulan posa tak boleh marah," kena juga akhirnya dengan Mohamad Haikal yang duduk sebelah Nasrullah.

Itu makna dan jawapan merdeka buat kanak-kanak. Bagi remaja dan dewasa mungkin pula akan berbeza makna dan huraian jawapan yang berjela. Apa sahaja makna dan jawapannya sebagai diri yang mengaku muslim perlu membebaskan hati, jiwa dan diri dari belenggu kesesatan, ketidakpastian dan kelaghaan yang boleh menjerumus kepada hinaan Allah Taala. Berpegang teguh kepada Al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup hingga hujung nyawa.

Kata Kak Ngah," ermm...tengok pada keadaan negara hari ini dah rasa macam tak merdeka pula."

Aku mengaku," hehe...dah dasar penjajah masih dipakai memang la merdeka takda maknanya."

****Seronok jika dapat interview manusia-manusia yang berada di dataran, lorong, semak, disko, pub tentang erti merdeka. Disamping dapat memberi makna merdeka yang sebenar pada mereka.

Jumaat, 28 Ogos 2009

Sekadar bertanya khabar


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Kawan mudah dicari namun tidak semua mampu menegur kesalahan dan memperingatkan kita
pada kebenaran.
Justeru sebagai kawan biarlah kita pula yang membawa mereka ke jalan yang diredhai Ilahi.

Ada yang berkata cukuplah sekadar mengingati kawan di dalam doa tanpa bertanya khabar berita.
Sebahagian pula berkata mengingati kawan perlu bertanya khabar walau sekadar sms mencuri sebarang seminit dua dalam kesibukan urusan kehidupan.
Tidak kira bagaimana keadaannya samada berkawan atau bersahabat niatlah kerana Allah.
Maka kekurangannya tidak dihina.
Kelebihannya tidak dipuji hingga melaghakan.
Bertemu dan berpisah jua kerana Allah.

****Perlu juga sekali-sekala bertanya khabar berita sekurangnya mengetahui yang dia masih ada di dunia. Jika sudah menghadap Ilahi dapat di doa kesejahteraannya di sana. Sehari sms atau telefon seorang dua sudah cukup mereka rasa bahawa diri mereka begitu berharga di sisi kita.

Khamis, 27 Ogos 2009

Cinta Allah yang sempurna.



'Ujian perempuan yang banyak buat lelaki kalah'
Dialog Ustaz Nazir dalam drama Cinta Sempurna yang sedang ditayangkan di Astro Oasis sekarang.
Antara dialog yang dapat kuhafal dan meninggalkan kesan di hati.
Perkara yang sedia dimaklumi sejak dahulu yang adakala dialpakan.
Lelaki adakala alpa kerana asyik memandang kecantikan ciptaan Allah pada seorang wanita.
Wanita pula rasa bahagia dengan pujian sementara yang membuatkan dia leka dan lupa bahawa kecantikan dan pujian adalah ujian dunia.

Membaca komen-komen negatif dan positif tentang drama Cinta Sempurna di blog Ustaz Hasrizal pagi tadi membuatkan aku bertekad menonton drama itu di You Tube pada hari ini.
Walhal minat pada drama melayu kini kian pudar kerana jalan cerita yang sama.
Keasyikan menonton yang diselang-selikan membaca komentar penonton menambah minatku untuk mengetahui tentang kekuatan drama tersebut.
Sebagaimana manusia itu sendiri yang tidak sempurna maka ciptaan manusia juga sering tidak sempurna.
Kelemahan tetap ada seperti yang dikomentarkan.
Namun sepertimana Kang Abik kecewa dengan filem Ayat-ayat cinta yang tidak selaras dengan kehendak islam seperti dalam novelnya.
Maka dia sendiri turun padang bagi filem Ketika Cinta Bertasbih agar tidak lari dari landasan islam sepertimana yang dinovelkan.
Justeru dipilih wanita bagi memegang beberapa watak dari kalangan wanita yang benar-benar berjilbab semasa uji bakat yang turut dihadiri pelakon-pelakon yang sudah ada nama di Indonesia. Sentuhan kulit antara bukan mahram juga diharamkan dalam filem itu.

Namun jika diteliti pada skrip dan dialog drama itu ada mesej yang jarang diketengahkan oleh mana-mana pembikin drama yang mengajak penonton berfikir pada sesuatu yang selama ini tidak terfikir.
Jika ada yang pernah berfikiran sebegitu hanya sekadar diam tanpa disuarakan.
Sesuatu yang baru yang bakal menjadikan islam indah di mata semua orang.
Perkara baru yang dapat menjadikan dakwah itu dapat disampaikan oleh semua orang kepada semua orang.
Perkara baru yang mengajak ahli agama yang menyempitkan dakwah pada satu wadah sehingga wujud segolongan manusia yang memperlekehkan Islam dan mereka dengan mudah agar mempelbagaikan uslub dakwah bagi meramaikan umat Islam atas muka bumi.
Meluaskan pandangan golongan yang selesa dengan akidah dan iman yang mantap tahu bahawa di dunia ini wujud sebahagian kelompok manusia yang mempertikaikan hukum dengan akal semata. Justeru keselesaan ini patut dikongsi bersama mereka agar nikmat iman dan islam itu turut sama dirasai.

Mendengar setiap baris skrip dan rangkap dialog filem dan drama dengan teliti.
Begitu juga setiap patah lirik dan alunan muzik diamati.
Bait-bait susunan ayat dan rangkap buku yang tertulis diperhati.
Barulah dinilai bukan sekadar pandangan mata kasar malah dengan suluhan mata hati.
Perlu ada iman dan ilmu sebelum mengeji.

Bermohonlah pada Allah jika apa yang difikir dan dilakukan salah berilah kesedaran bagi memperbetulkan keadaan kerana kita manusia yang tidak pernah sempurna.

Rabu, 26 Ogos 2009

Mai dengaq cherita cek sat



Cerita ini hanya rekaan semata dan tidak ada kena mengena dengan orang yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Jika ada hanya kebetulan sahaja.

"Makkkkkkk...pukui la cek...cek tau cek bersalah makan di bulan posa depan kawan-kawan cek di sekolah tadi...uwaaa...," raungan makin kuat menggamatkan kawasan perumahan atas tapak sebuah bukit yang ditarah dan diratakan beberapa tahun lalu.

"Ishh...buang tebiat budak ni ada ka suruh pukui dia...tak pernah dibuat oleh abang-abang dan kakak dia sebelum ni kalau buat salah," hati seorang ibu mula terbetik soalan.

"Mak pukui cek biaq jadi pengajaran kat adik-adik supaya depa tak membatalkan posa dengan sengaja ikut hati sesedap rasa ja," airmata dibiarkan membasahi pipi.

"Ishh...bulan posa ni mana boleh pukui...kalau nak sangat kena pukui tunggu lepas raya ni...mak rembat hang dengan rotan ayah hang beli kat pasar senayan ni," tegas dalam ragu-ragu jawapan yang diberikan.

"Laa...mak ni pukui lani baru ada keinsafan kat cek dan adik-adik yang tengok...nanti dah tak dak perasaan apa-apa la pasai dah lama," tangisan kian menjadi sendu berirama padang pasir.

"Ishh...budak ni...cakap banyak pulak...pak hang tak dak pi luaq negara lepas raya baru balik...pak hang yang dok pukui hangpa...tunggu la dia...sabaq sat," jawapan yang berubah membuatkan si anak membuatkan muka confius dua puluh sen.

Kadang-kadang memukul perlu mendidik anak-anak kerana Islam juga mengizinkan memukul anak-anak yang tidak solat bila berusia 10 tahun. Namun merotan atas dasar mendidik bukan atas dasar marah yang turut sama disertai syaitan.

Kamus loghat Kedah:

Cek : panggilan manja buat anak atau orang yang lebih muda.
Pukui : pukul
Rembat : sebat
Senayan : Isnin
Sabaq : sabar
Luaq : luar

Elakkan kontroversi.
Jaga privasi.
Wujudkan motivasi.
Tingkat prestasi.
Harta dan ilmu dikongsi.
Bukan untuk disensasi.
Demi mencari redha Ilahi.

Isnin, 24 Ogos 2009

Hadirnya pelangi selepas kilat dan petir





Kita sering lupa
mentari dibayangi hujan
ada rahmatnya
kilat sabung menyabung
petir berdentum
bukanlah sia-sia
fenomena alam terjadi
usah dikeluh-kesah
gundah gulana ditepis
redha menjadi payung
sabar sebagai peneduh
agar dapat terus mengorak lantai bumi
teruskan sebuah perjalanan hakiki
episod permulaan pasti bernoktah
pelangi terlukis di kanvas alam
bibir menutur syukur
perginya kilat dan petir
berganti tujuh warna pelangi memayungi alam maya
membahagiakan sekeping hati manusiawi

Hari ketiga Ramadan menerbitkan sedikit cahaya mentari ketika ini. Masa terus mengorak langkahnya tanpa berpaling walau seinci dalam apa keadaan sekalipun. Ramadan turut berjalan seiring masa. Manusia berlumba mengisi ruangnya dengan ibadat di siang dan malamnya. Beramal kepada manusia dan makhluk lain agar sama-sama turut memperoleh manfaatnya. Ramadan kali ini yang dirasakan lebih bermakna.

Manusia yang baik bukan sekadar mengambil manfaat dari orang lain.
Namun...
dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Ahad, 23 Ogos 2009

Jom sahur



"Anoi (gelaran sejak berlakon drama mandarin di dewan kuliah Kusza)...bangun...jom turun sahur," dari jauh dengar suara Dilla. Mek kelantan yang terkenal dengan mulut becoknya tapi berhati baik. Tanpa disuruh menjadi tukang kejut sahur bagi geng Dakwah blok Habibah.

"Ala...Dilla...tak mau turun la...ngantuk," mata dipejam kembali untuk merasai kesejukan pagi di Gong Badak.

"Ala bangun la...jom...semua dah siap tunggu u je ni," tidak sekadar memanggil pintu bilik Habibah 01 diketuk kuat seperti hendak dirobohkan.

"Haloh...haloh...siap ni," diri gagah bangun dengan mata yang sukar dibuka umpama ada gam UHU yang melekatkannya.

Susah betul hendak bangun sahur ketika itu. Jika rajin akan bangun meneguk air seteguk dua seperti orang sakit di katil hospital. Jika tidak lebih rela menutup jam agar tidak bising menganggu tidur.

Di Iskandariah segala berubah 360 darjah apabila menjadi ketua rumah kepada junior. Sebagai ketua umpama emak kepada adik-adik itu. Maka secara tidak rasmi telah menjadi surirumah bermula dari bangun menyiapkan sahur dan mengejutkan mereka. Tarbiah di bumi orang tanpa ibu bapa dan keluarga sebenarnya lebih berkesan. Menyiapkan makanan ala kadar sebagai anak perantau cukup membuatkan bersyukur pada kesederhanaan itu.

Ramai yang mengambil ringan pada sahur. Namun sahur itu pentingnya seperti mengambil sarapan. Sarapan yang penting memulakan hari. Ia adalah cara bagi sesiapa yang ingin menjaga kesihatan dan kecantikan. Melakukan perkara baik akan memperolehi ganjaran pahala.

Sebenarnya perit hendak menelan makanan di waktu pagi. Semua di depan mata tidak mengundang selera. Semalam baru terfikir setelah membaca blog Ustaz Hasrizal yang selama ini tidak terfikir langsung. Mungkin jika pernah dijamah namun tidak menjadi rutin. Pagi tadi makan 3 biji kurma bersama air suam. Cukup mengenyangkan dan memberi zat sepanjang hari kerana kurma terkandung vitamin,tiamin,riboflavin,niasin dan kalium. Sudah tidak ada alasan meninggalkan sahur selepas ini barangkali.

Sabtu, 22 Ogos 2009

Perang nafsu


Bait Khaulah Azwar, Assofira, Iskandariah, Mesir 2003.

Jarum jam menunjuk ke angka 10 pagi. Jalan masih lengang dari jerik pekik penjaja. Tapak kaki masih tidak kedengaran menapak jalan tar penghubung antara jalan ke bahri (laut) menuju ke jalan rel keretapi. Kedai masih tutup. Cuma kedengaran beberapa buah kereta lalu lalang. Itu pun kerana rumah sewa ini hanya beberapa meter dari jalan utama.

Orang Mesir umpama kelawar. Malam berjaga sehingga sepertiganya juga sudah hilang sunyinya untuk bersama pencipta sahaja. Mendengar suara-suara mereka pulang dan pergi ke Bahri untuk menikmati musim panas semaksima mungkin. Siangnya pula tidur sehinggakan jika keluar selepas Subuh dirasakan seperti diri tersesat di daerah tiada penghuni. Hanya alam berbicara sepi.

Sungai Petani, Kedah, Malaysia 2009.

Jarum jam di angka 10 pagi. Jalan masih lenggang dari suara jiran-jiran yang selalu berbual. Hari pertama bulan tarbiah masing-masing mencari redha-Nya. Bingit enjin kereta dihidupkan juga masih tidak kedengaran. Suasana damai melebihi bulan lain. Hari pertama Ramadan yang jatuh pada hari cuti. Benar-benar bermakna buat kanak-kanak yang belajar menahan diri buat pertama kali. Juga sesuai buat hamba yang mahu memulakan kewajipan ini dalam hidup. Satu rahmt dari tuhan Yang agung. Tidak pernah menyusahkan hamba-Nya sama sekali.

Kesunyian ketika matahari hampir meninggi ini mengingatkan pada suasana di bumi arab dulu. Kesunyian mereka kerana itu cara mereka. Jangan pula kesunyian kita ketika Ramadan ini kerana menyalah tafsirkan bulan ini adalah bulan rehat besar-besaran. Bulan ini bulan bagi merehatkan perut yang bertugas selama 11 bulan. Tugas memproses dan mengasingkan segala makanan yang masuk. Adakala tanpa had kuantiti dan masanya. Biarlah ia sahaja berehat sedangkan anggota lain perlu bertugas seperti biasa. Mungkin perlu lebih aktif. Ini bulan tarbiah bagi memulakan segala yang baik dan meninggalkan yang tidak baik. Maka gandaan amalan bagi itu perlu bagi mendapat janjiNya.

**********
Beberapa tahun lalu aku terkejut bila mana seorang pensyarah tidak bersetuju pelajar qiammulail kerana mengikut katanya akan menyebabkan kurang tumpuan di dalam kuliah kerana lesu akibat kurang tidur.
Namun aku tidak terkejut apabila pensyarah itu mendapat PHDnya di sebuah universiti di United Kingdom walaupun tidak semua yang mendapat ilmu dari sana akan berkata sepertinya.
Lantas minda berputar pada fakta sejarah perang Badar. Para sahabat ketika itu menggunakan tenaga lebih daripada seorang pelajar. Malah berhadapan antara hidup dan maut. Namun malam hari bersujud pada Ilahi. Ahli Badar sendiri terdiri dari hamba yang tidak meninggalkan qiammulail.

Perang itu juga berlangsung ketika Ramadan yang sedikit pun tidak mengurangkan semangat dan tenaga para sahabat berjihad sehingga mencapai kemenangan walau 313 tentera muslim berlawan dengan 950 tentera musyrikin.
Hasil dari puasa siang hari bergabung dengan qiammulail malam hari memberikan kemenangan pada ahli Badar. Ahli Badar yang dijamin ahli syurga.

Amalan wajib dan sunat itu rohnya hanya pada Yang Satu iaitu Allah taala. Jika dilihat secara fizikal maka akan terasa letihnya tanpa diisi makanan dan minuman pemberi tenaga penggerak anggota. Juga tidak bermaya apabila kurang tidur kerana melakukan solat sunat di malam hari.
Sebaliknya makan dan tidur hanyalah penyebab kepada rasa kenyang dan rasa segar itu. Hakikatnya Allah yang memberi rasa-rasa itu.
Sepertimana Dia yang memberi maka tanpa makan dan tidur juga akan terasa nikmat jika apa yang dilakukan itu kerana kewajpan. Disamping demi mendekat diri pada pencipta kerana meletakkan harapan dan pergantungan mutlak hanya pada-Nya.

Perang nafsu adalah peperangan yang senantiasa berlangsung dalam diri hamba yang mencari redha dan cinta-Nya.

Jumaat, 21 Ogos 2009

Ahlan ya Ramadan dulu dan kini


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


"Yeyy...esok puasa," aku bersama adik-adik melompat kegirangan dengan pengumuman
di kaca televisyen.

Kegembiraan kanak-kanak berusia 10 tahun dengan kedatangan Ramadan. Ramadan yang membuatkan mata terbuntang suka memandang hidangan penuh atas meja. Juga yang akan membuatkan kami bebas di malam hari ke rumah Diana, anak jiran sebelah rumah yang berusia muda setahun dariku untuk bermain beberapa jenis kad, saydina, sahibba dan melihat Barbie dalam berbagai pakaian kepunyaannya. Langkah juga boleh dipanjangkan dengan izin mak untuk bermain di luar pagar dengan syarat tidak jauh dari rumah teres sewa kami. Bermain galah panjang, tuju kasut, cikgu-cikgu. Namun bermain aci sorok di malam hari kami elakkkan berpegang pada kata orang tua-tua bahawa nanti kena sorok dengan hantu (waktu tu percaya). Kami bermain sehingga angka jam merangkak ke nombor 10 sehingga ke 10.30. Syarat mak itu kami patuh agar malam-malam sebulan Ramadan dapat kami isi dengan keseronokan bermain bersama kawan-kawan.

Masuk sahaja ke dalam rumah dengan keringat dan penat. Dicampur gaul dengan kegembiraan sambil mengulas bersama Kak Ngah dan Alang tentang apa yang kami alami beberapa jam tadi bersama anak-anak jiran rumah teres itu yang kebanyakkannya adalah anak tentera seperti kami. Telinga mendengar bacaan ayat suci al-Quran dari pertandingan tilawah peringkat antarabangsa di televisyen. Tenang dan damai. Suasana malam Ramadan memang seronok bagiku. (Sebenarnya kami tidak pernah mendengar azan di masjid ketika tinggal di perumahan keliling bukit dan lombong itu kerana tidak ada masjid dan surau. Apatahlagi kami sekeluarga hendak solat Terawih di surau yang terdapat di kampung tersusun dengan hanya membonceng sebuah motorsikal abah. Abah sering tiada di rumah kerana bertugas yang membuatkan kami jarang keluar selain ke sekolah dan sekitar tiga baris rumah teres di Taman Pulai Jaya itu sahaja).

Siangnya selaku kanak-kanak yang tidak menjamah sebutir nasi dan seteguk air sehari letihnya mengalahkan anak Somalia yang hanya makan beberapa kali sahaja dalam sebulan. Teringin melihat kawan-kawan yang tidak berpuasa membawa bekal dan makan di kantin. Dalam masa yang sama mereka ini diejek kerana tidak berpuasa. Lantas bersama kawan-kawan yang berpuasa bangga kerana kuat menahan lapar dan dahaga. Dugaan yang lebih kuat ketika menyuap makan adik yang keempat pada waktu petang. Menjadi pembantu mak menyediakan hidangan berbuka juga hampir membuatkan puasa batal. Beratnya dugaan. Syaitan pula berbisik agar membatalkannya dan sekaligus menipu mak. Mujurlah teringat syaitan bertanduk di dalam komik Anak Soleh (jika tak salah) yang sering berbisik pada kanak-kanak agar membuat kemungkaran.

***********

"Esok dah Ramadan, sejak Rejab dah rasa anginnya," kami sekeluarga berbicara tentang bulan mulia itu.

Tahun ini abah berjaya menyahut cabaran mak. Tahniah buat abah yang berpuasa sunat sejak Rejab lagi. Abah dah makin kurus nampaknya. Doaku usia 57 abah tidak dihinggapi penyakit selain darah tingginya yang sudah di paras normal kini.

"Selamat pose," kuucapkan pada Anis, Diana dan Ilah sewaktu melangkah ke kereta mengakhiri penggal pertengahan ke dua persekolahan.

"Bye...bye Ustazah selamat pose jugak," bibir 3 murid perempuan itu tersenyum mengucapkan selamat tinggal seperti hendak berpisah bertahun lagaknya. Aku tersenyum lucu di dalam kereta mengenangkan gelagat anak-anak muridku itu.

Ramadan kini hidangan yang dirancang mak ala kadar sahaja. Cukup kabohidrat, protein, vitamin, mineral dan lemak agar puasa esok kuat bertahan untuk beribadat. Tidak mahu membazir kata mak. Mak akan senyum gembira melihat hidangan yang disediakan habis dan tidak ada yang masuk ke mulut tong sampah. Bazar Ramadan hanya sekadar dipantau dari segi jenis makanan yang dijual dan harga. Jika ada makanan yang memenuhi selera dibeli sedikit buat keluarga agar turut sama merasainya. Namun air soya sebagai minuman wajib keluarga tidak dilupakan abah dan aku jika ke bazar.

Malam Ramadan kaki melangkah ke Masjid di belakang rumah. Alhamdulillah abah terniat membeli rumah berdekatan masjid. Mudah untuk berjemaah katanya. Kini setiap waktu kami mendengar azan. Pernah juga tidak kedengaran beberapa ketika kerana speaker tidak di hala ke arah luar masjid dan di hala ke arah lain kata mak. Geramnya. Walhal tiada masalah kerosakan. Itu tidak termasuk lagi bab pemilihan imam yang memakan masa panjang kerana berlaku campurtangan yang tidak sepatutnya. Mujur jemaah masih ada setiap waktu walaupun khutbah sudah tidak kedengaran dari pintu dapur rumah. Ceramah juga sudah lama sepi. Kuliah sudah tidak sehebat dulu. Semoga seri masjid ini bertambah bukan hanya sekadar untuk solat.

Ramadan memudahkan hamba bangun sepertiga malam sujud pada pencipta sebelum sahur.
Ramadan membuatkan kitabullah dibaca dengan penuh taadabur malah berniat menghabiskan 30 juzuk.
Ramadan menjadikan nafsu ditahan bukan sahaja dari makan dan minum malah niat, perkataan dan perbuatan keji lainnya.
Ramadan menjadikan pencari rezeki tidak halal kurang agresif.
Ramadan merapatkan dan menghubungkan ukhwah sehingga memohon dan memberi maaf termasuk dalam diari hidup.
Ramadan yang sentiasa membuatkan hati dan dan bibir basah dengan zikrullah, istighfar dan pujian kepada Allah.

Ramadan bulan tarbiah agar bulan seterusnya amalan itu diteruskan.
Bukan sekadar terhenti untuk diulang pada Ramadan yang akan datang kerana ketika itu mungkin nyawa sudah bercerai dari badan.

Rabu, 19 Ogos 2009

Dibius membaca



"Ustazah ni Harry Potter pun layan," kata-kata Mimi tahun 4 tidak diendahkan
kerana sibuk melayan murid-murid di kedai buku pada waktu rehat.

Novel Harry Potter siri keempat itu terbengkalai sebentar kerana memberi laluan sebuah buku yang dipinjam dari rakan sekerja disamping sebuah buku dan sebuah novel yang telah lama dibeli oleh Kak Ngah. Perubahan angin itu bukan sekadar hendak melarikan diri sebentar dari Hogwarts yang penuh dengan tipu helah yang berselirat. Malah hasil pembacaan 2 buah buku dan sebuah novel itu juga mampu menaikkan semangat dan motivasi diri yang sedikit menurun. Semoga penulisnya mendapat ganjaran daripada ilmu dan pengajaran yang dapat disaring baik oleh pembaca.

"Ustazah ni tak habis-habis dengan Harry Potter," bibir hanya mengukir senyum mendengar kata-kata Ilah murid tahun 4 sambil terus menyambung bacaan mencuri masa rehat yang hanya setengah jam.

Agaknya dia sudah bosan kerana telah lama melihat novel Harry Potter sahaja yang tersadai di meja sejak siri pertama sehingga siri keempat ini. Bukan mudah sebenarnya hendak menghabiskan novel panjang yang bersiri-siri dengan watak yang datang dan pergi pada setiap siri. Pembacaan yang khusyuk seolah-olah melihat tayangan sehingga tidak berminat lagi kepada filemnya yang ditonton oleh Kak Ngah. Hanya pada waktu rehat di sekolah. Selepas itu ia hanya membatu di dalam kereta untuk rehat seterusnya.

"Ustazah...berapa ringgit buku ni," tanya seorang murid tahun 6 sambil membelek buku itu bersama dua rakannya yang menunjukkan minat.

"Entah la sebab adik ustazah yang beli," jawabku acuh tak acuh sambil melayan berduyun-duyun pelanggan yang tiba di kedai buku.

Hari ini novel yang dicemuh oleh beberapa murid itu mendapat perhatian beberapa murid lelaki dan perempuan yang lain. Nampaknya memancing minat membaca di kalangan murid-murid mengena berumpankan novel J.K Rowling itu. Jika guru rajin membaca maka murid juga akan mengikut jejak. Setakat ini semua buku yang dibaca samada buku agama, motivasi dan novel yang berada di atas meja akan dibelek tajuk dan isinya oleh murid-murid. Agaknya selepas ini perlu membaca buku teks pula untuk menarik minat mereka pada pelajaran.

Bersyukur juga diri berkongsi minat yang sama dengan guru-guru wanita yang tidak menghabiskan masa begitu sahaja tanpa menjadikan buku sebagai teman.

Ini juga secara tidak langsung termasuk dalam agenda membudayakan membaca di kalangan murid-murid yang majoriti malas membaca di sekolah ini. Itu melalui perbincangan bersama guru bahasa melayu yang runsing akan murid-murid yang sukar mengembangkan idea dalam penulisan.

"Budak baru nak besar mudah lagha dan terikut dengan novel cinta yang mengambarkan hubungan tidak halal antara bukan mahram walaupun itu realiti masyarakat kini ia tetap tidak baik tanpa klimaks kembali kepada Yang Maha Esa," itu antara gabungan dialog aku bersama rakan merujuk kepada sikap segelintir murid tahun enam yang disyaki terkena virus cinta sehingga keputusan pecubaan UPSR pada kali ini menjunam teruk.

Tidak salah membaca sebarang buku yang dijual tanpa mengira tajuk, penulis, jalan cerita dan bahasa. Positifnya diambil sebagai panduan. Negatifnya dibuang serta merta.
Begitu jugalah tidak salah berkawan dengan siapa-siapa sahaja tanpa mengira bangsa, agama dan negara. Kebaikannya diikuti. Keburukannya jangan dibiarkan diri terikut namun biar dia yang mengikut kita ke jalan yang benar dengan bimbingan dan bantuan Allah Yang Esa.

"Cikgu berapa lama mengajar di sini," PK HEM sekolah tamil sebelah bertanya ketikaku bertandang ke sekolahnya untuk RIMUP pada tahun ini.

"Dari tahun lepas lagi," benih-benih bual kian berputik antara kami.

"Ya...nampak muda macam budak sekolah," aku tersenyum geli hati dengan rupa yang sering menipu ini.

Sejak itu dia sering mencuri peluang untuk berbual sehingga program mewarna jalur gemilang selesai. Noktahnya dia mahu berbual panjang lagi nanti tentang Egypt negara yang dia minati kerana khazanah sejarah. Program Jejak Rasul diminati kerana sering membawa penonton ke negara Musa itu.

"Nanti cikgu pergi la ke sana bersama family," kumanis bicara pada kawan baru yang bersuami cina itu.

"Macam orang melayu kata Inshalla," katanya sambil senyum.

Seronok menyenarai seorang lagi kawan dalam senarai kenalan.
Apa khabar agaknya kawan-kawan bangsa cina yang jauh di mata?

Selasa, 18 Ogos 2009

Menyingkap sempadan IMAN


Bukan senang hendak mendedahkan kejahilan diri sebenarnya kerana ia membuka aib yang dilitupi hijab malu tak bertepi.
Kadang-kadang tidak sedar bahawa diri jahil.

Maka jika sedar bahawa diri jahil itu adalah bonus bagi meneroka jalan lurus bagi melalui denainya mensucikan diri yang selama ini diselaputi lumpur dosa.
Diri yang merasakan jahil senantiasa melawan arus mendabik dada dengan iman dan ilmu yang dimiliki yang memijak dan merendahkan orang yang tidak setaraf (semoga Allah jauhkan kita dari sifat itu).

Setelah menemui jalan kebenaran maka denai-denai taubat itu dilalui dengan penuh harap agar lumpur dosa dihapuskan dengan rahmat Yang Maha Esa. Harapan dipasakkan agar keampunan mengiringi. Moga cahaya rahmat memayungi sehingga akhir usia. Agar usia terhindar dari sekecil-kecil dosa yang diperlaku hati. Juga berakhir hayat dalam husnul khatimah.

Cahaya yang ditemui dikongsi bersama agar denai-denai itu dapat sama dilalui oleh insan lain. Maka kejahilan yang selama ini dibentengi tembok malu diruntuhkan demi sebuah pengajaran bersama. Agar orang lain tidak turut terpesong dalam kejahilan itu. Semoga yang diselubungi kejahilan kembali ke pangkal jalan dengan bimbingan sempadan iman yang telah dirasai. Manisnya hidayah yang dicari pemberian Ilahi.

*************
Seseorang yang datang mengaku dengan rasa malu kerana diri jahil tentang solat sebenarnya menerbitkan rasa syukur dan kagum kerana diusia hujung senja itu dia diberi ingatan agar melaksanakan kewajipan tersebut.
Diri ini juga masih terasa kurang ilmu cara membimbingnya dengan baik.
Maka terasa kejahilan ini dan perlu terus menggali seberapa banyak khazanah ilmu yang tercicir semasa belajar dahulu.

'Pelajaran, pembelajaran dan pengajaran adalah proses sepanjang hayat.'
Kata-kata azimat ini dipegang kukuh dan inilah motivasi dalaman yang merasakan diri tidak terlalu jatuh kerana kekurangan dan tidak terlalu tinggi kerana kelebihan.

***Rasa bersalah menggunakan perkataan jahil kerana ia dirasakan terlalu hina namun kalimah itu merujuk kepada tahap kelemahan dari sudut agama yang mudah dapat difahami kiranya (ya Allah ampunilah jika hambaMu ini bersalah).

Isnin, 17 Ogos 2009

Masa dan kita


"Ya Allah, dah pukul 11.10 ka,erm...dah nak masuk kelas pon...cepatnya masa berlalu," sambil tangan rancak mengambil beberapa buah buku lalu cikgu itu menuju ke kelas.

"Cepat mandi tu, dah nak habis waktu solat ni, waktu bukannya tuggu kita...tak baik melambatkan solat," laung ibu awal 50an kepada anak bongsunya di suatu petang menghampiri senja.

"Laa...hari ini dah masuk pertengahan bulan...lupa pula nak bayar ansuran kereta bulan ini," seorang lelaki berkata kepada isterinya.

"Ermm...dah besar anak-anak kita tu...rasa macam baru semalam bangun bancuh susu untuk diorang," kata seorang wanita muda sambil tersenyum.

"Ishh...dah 2 tahun arwah Makcik Nab meninggal, sat saja rasa," tutur mak kepadaku dan Kak Ngah yang rancak dengan gamenya.

"Aik...dah hari Khamis, sat sangat masa berlalu dah nak hujung tahun pon," hati berbicara tentang masa yang kian cepat berlalunya.

Perhimpunan hari Ahad sekejap sahaja sudah menulis pula rancangan pelajaran pada hari Khamis untuk Ahad minggu seterusnya.
Pelik celik sahaja rasanya perjalanan masa sekarang.
Bangun tidur bersiap untuk ke sekolah dan sekejap sahaja bertemu kembali malam untuk melelapkan mata bagi merehatkan badan untuk bertemu siang keesokannya.
Terlalu pantas masa berlari meninggalkan manusia yang bertatih melangsaikan semua amanat dan tanggungjawab sebagai hamba dan manusia bermasyarakat.
24 jam jarum berputar tetap sama sejak dahulu namun perbezaan masanya dirasai.

"Dulu posa lambat sungguh nak berbuka...lani tak berasa tengok-tengok dah azan Maghrib," mak menyingkap sejarah puasanya semasa kecil.

'Singkatnya hidup umpama azan dan iqamat'
Itu bunyi sms oleh seorang rakan ketika di kolej dahulu.
Sebab itulah masa juga kian singkat sebagai peringatan hidup ini singkat dengan umur dunia juga amatlah singkat.

Singkatnya masa ini sebenarnya masih dapat diselesaikan segala amanat dan tanggungjawab sebagai hamba sekaligus manusia dengan adanya keberkatan.
Maka dengan itulah kita dapat tengok ada manusia yang mampu menyelesaikan segala urusan akhirat dan dunia. Malah punya kesempatan menambah amalan di keheningan malam.

Bila sedar masa ini cepat berlalu mula datang kesedaran bahawa singkatnya masa dan hidup ini tidak patut berlengah pada kebaikan. Juga perlu meninggalkan segala salah yang sering berulang sesegera mungkin.

Jaga hubungan dengan pencipta.
Malah lupakan sengketa sesama manusia dengan berbaik sangka.
Musahabah diri sepanjang masa agar kelalaian bertemu kesedaran dan taubat memohon keampunan.

***************
Sekejap sahaja rasa setahun lebih menghadapi kesibukan, kursus sudah selesai.
Di SKBS juga sudah mempunyai dua anak.
Hanya beberapa bulan lagi bakal mendapat anak ketiga pula bagi program j-Qaf ini.
Anak sulong (tahun 2 al-Farabi) juga makin matang dan disiplin. Saling mengenali sikap dan perasaan sesama sendiri banyak membantu kelincinan p&p. Kasih sayang juga kian utuh mengikut hubungan usia masa.
Namun anak kedua (tahun1 al-Razi) masih perlu banyak diasuh. Masih perlu ruang mengenali. Menyemarakkan sayang agar hubungan itu secara tidak langsung menyerap segala didikan dengan mudah.
Semuanya dengan izin Allah. Sebagai manusia tidak mempunyai kuasa mengubah sesuatu tanpa pertolongan dan bantuan Yang Esa.

Ahad, 16 Ogos 2009

Cerita perut


Dalam kerajaan tubuh, semua organ lain amat mencemburui perut.
Menurut mereka, perut tidak sepatutnya diberikan keistimewaan menerima setiap makanan yang masuk ke kerajaan mereka.
Dengan rasa kecewa, perut tidak berkata apa-apa sebaliknya tetap menjalankan tanggungjawabnya seperti biasa.
Suatu hari, diperintahkan oleh raja agar perut digantung kerja buat seketika bagi memberi pengajaran kepada organ-organ lain yang terlalu berhasad dengki.
Maka berhentilah perut daripada tugasnya dan organ lain bersorak gembira.
Namun, rasa gembira hanya seketika kerana tanpa tugas yang dilakukan perut, mereka semua tidak boleh berfungsi seperti biasa dan lemahlah seluruh sistem tubuh.

Sebagai pengajaran kepada organ-organ lain maka berpuasalah bukan sekadar di bulan Ramadan malah di bulan-bulan lain juga (lawak je).

Amalan sunat adalah bagi menampung amalan fardu yang mungkin tertinggal dengan sedar dan tanpa sedar.

Rajin-rajinlah beramal dan selamat berpuasa...

Sabtu, 15 Ogos 2009

Puji-pujian



"Puji isteri tu kalau nak dia bahagia dan itu sebenarnya cara nak hargai segala penat lelah dia," nasihat rakan wanita kepada rakan lelaki yang menyatakan rasa kasihan kepada isterinya yang berulang alik dari tempat kerja yang jauh demi menjaga ibunya yang uzur.

"Ermm...isteri ni kalau suami puji pun kira ok dah campur ayat-ayat cinta sikit...segala penat dia hilang...tak payah beli hadiah mahal-mahal," sampuk rakan seorang lagi.

"Kuat sungguh kuasa pujian rupanya yang selama ini hanya kecil peranannya bagiku," hati ini berkata-kata sendirian.

*************
"Kuwais ya ukhti," hatiku berkembang kuncup mendengar pujian Du'a terhadap bacaan al-Quranku walaupun sebenarnya hatiku menolak pujiannya pada realitiku kerana kutahu sifat arab memang suka memuji. Bukan sekadar aku malah hampir semua sahabat-sahabat dalam kumpulan stadi pada hari itu dipujinya.

Itu tidak termasuk lagi memuji kecantikan walaupun sebenarnya bangsa mereka lebih cantik. Juga memuji pada sekecil-kecil perkara yang dilakukan yang tidak sangka akan mendapat pujian.

*************
"Yang lawa pakai cermin mata tu tolong baca ayat baris mula pelajaran hari ini," mata yang lelap kerana mengikut jam biologi terus celik kerana arahan yang dimulai dengan pujian itu.

Bukan setakat pada seorang malah semua pelajar mendapat pujian pada setiap malam oleh arwah Ustaz Shaari yang berdarah campuran melayu dan arab Yaman itu.

"Ustaz tu memang suka puji orang ka?" kusoal rakan senior merangkap kerani di Madrasah Hidayah itu.

"Ustaz memang lagu tu, jadi perasan sat kita ni...hehe...tapi tu la kalau dia tak buat lagu tu mana mampu celik mata tadah kitab jam 1 sampai 2 pagi," kepalaku angguk tanda setuju tujuan ustaz itu memuji pelajarnya.

**************
"Sebagai cikgu kita ni kena rajin memuji...budak-budak kena puji pun seronok dah,"kata seorang pensyarah.

Siapa yang tidak bangga bila dipuji (bangga kerana rasa dihargai...nau'zubillah bangga sehingga menimbulkan riak).
Namun seringkali terlupa apabila hendak memuji.
Tidak adil namanya apabila mengharapkan tetapi sukar hendak memberi.

"Tengok ni tulisan Anis kemas dan cantik macam orangnya," pujian kuberi kepada murid tahun 2 sebagai dorongan kepada murid sekelasnya.

"Bagus Aiman dapat jawab soalan yang susah ni...semua tepuk tangan untuk Aiman," wajah Aiman berona merah sambil tersenyum bangga dengan pujianku itu.

Itu antara pujian yang pernah kuberikan.
Nampaknya kerana dialog tiga rakan di atas aku kena mengingatkan diri agar kerap memuji anak-anak kecil itu sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan kejayaan mereka. Juga sebagai dorongan dan motivasi untuk terus berusaha dan kepada murid lain agar mengikut jejak yang sama.

********
Selain kad dan sticker penghargaan yang dibekalkan oleh guru besar kepada setiap guru aku juga menggunakan cop berwajah kartun seperti Cinderella, Mickey Mouse dan Pooh ketika menanda buku latihan. Jumlah cop dikira berdasarkan jawapan betul. Setelah itu mereka akan membandingkan jumlah yang diperolehi. Ia nampak kecil di mata aku seorang dewasa namun besar di mata anak-anak kecil itu.

Hasilnya juga murid-murid semakin rajin menyiapkan latihan yang diberikan dengan segera. Malah murid-murid pemulihan juga cuba menyiapkan latihan berbanding dahulu yang sering diabaikan.

***Ada yang memuji demi mengharapkan sesuatu. Contohnya memuji untuk memiliki sekeping hati sebelum halal. Bila sudah dimiliki dengan halal makin kedekut memberi pujian. Rasanya memuji dalam kedaan halal lebih baik kerana ikatan itu tidak akan mengundang rasa bahagia palsu yang melaghakan.

Jumaat, 14 Ogos 2009

Lari atau tunggu?


Lari dari masalah.

Bunyi macam seronok sahaja kenyataan itu.
Tetapi sejauh mana kita sentiasa dapat lari darinya dalam hidup ini.

Masalah mesti dihadapi dan didepani dengan berani,tabah,sabar dan redho.
Disamping usaha pembentukan diri,emosi dan perasaan itu perlu juga ada tawakal dan doa.

Jika masih mahu melarikan diri dari masalah tiada siapa yang dapat melarang cuma perlukan lebih kesabaran kerana masa akan membawa pergi masalah itu bila sampai waktunya. Namun ia keputusan yang kurang tepat. Sebagai manusia acapkali terpesong dari keputusan tepat yang digariskan akal hanya kerana mengikut arus emosi tidak menentu.

Masalah besar timbul apabila melakukan perkara memudaratkan untuk menghilangkan bayangannya mengganggu hidup. Perkara memudaratkan itu pula termasuk dalam senarai dosa samada kecil dan besar. Justeru ia membiakkan bakteria masalah hingga ke tahap wabak kedurhakaan kepada Yang Kuasa. Lanjutan daripada itu kepada Rasul junjungan mulia, ibu bapa, keluarga dan masyarakat seluruhnya.

Contohnya yang dapat diutarakan di sini berdasarkan kisah benar yang diubah agar dapat menjaga peribadi individu:

Aidil (bukan nama sebenar) sering dipukul oleh ayahnya yang mendapat tekanan oleh majikan di tempat kerja. Dia adalah mangsa pelampias geram. Ini kerana dia anak yang degil dan suka memberontak berbanding saudaranya yang lain. Akibat sikap dan sering dipukul dia menjadi pendendam terutama kepada ayahnya sendiri. Disamping itu pengalaman masa kecilnya itu telah membentuk peribadinya. Baginya rumah adalah neraka. Keluarganya terutama ayahnya adalah musuh. Maka dicari keseronokkan luar yang dianggap syurga dunia bersama rakan-rakan seumpama darah yang mengalir dalam urat. Ponteng sekolah, bergaduh, menyamun adalah aktivitinya. Itu semua lebih baik daripada mendengar tengkingan ayah dan leteran ibunya. Kepercayaan kepada rakan-rakan rupanya mengheret dirinya sebagai penjenayah yang dikehendaki pihak berkuasa apabila ketika rasa keinsafan timbul. Rakannya telah membabitkan dia turut terbabit dalam kes berat yang tidak dilakukan. Aidil menyesal dan mulai sedar kerana dia masih punya ibu dan saudara kandung yang menyayangi dan mendoakannya. Walaupun ayahnya baran namun masih punya cara untuk berdiplomasi. Ini kerana keluarganya masih dalam kategori mengingati Allah. Cuma dirinya yang ingkar walaupun dipujuk oleh ibunya agar kembali mengingati Yang Maha Kuasa. Jika Aidil menangani tekanan dan masalahnya itu dengan cara yang disebutkan di atas maka nasi tidak akan mudah menjadi bubur.

****************************
Tension sebenarnya dengan kartun Tom and Jerry. Tom mengejar Jerry sejak aku kecil sehingga sekarang masih belum dapat. Kasihan pula pada Tom yang asyik terkena sahaja dengan taktik-taktik Jerry. Sudah tidak rasa menariknya pada adegan kejar-mengejar yang tidak berkesudahan itu. Nilai moralnya mungkin adalah seseorang yang kecil akan dapat menumpaskan orang yang besar daripadanya dengan kebijaksanaan. Mungkin boleh juga kuasa kecil yang dapat menumpaskan kuasa besar juga dengan kebijaksanaan. Kuasa kecil itu merujuk kepada Yahudi yang asalnya sedikit namun kerana kebijaksanaan maka dapat menumpaskan kuasa besar dunia iaitu Amerika sehingga menjadi boneka mereka kerana sejarah panjang yang telah terlakar (pandai-pandai aja aku ni buat huraian sendiri...)

Mudahkan urusan


"Nek Yah dah meninggal Zohor tadi," beritahu emak sejurus selepas aku masuk ke dalam rumah ketika pulang dari sekolah.

"Inna lillah hi wa inna ilahi ra'jiun," lafazku seusai mendengar khabar itu dari emak.

Aku tidak terkejut sangat dengan berita tersebut kerana nenek saudara sebelah abah itu telah koma 2 minggu dalam usia 90 lebih. Wajahnya ketika meninggal juga tidak berubah seperti wajahnya ketika koma seperti yang kulihat 2 minggu lepas.

"Ustaz Asri pon meninggal dah no," beritahu mak lagi ketika aku duduk bersebelahannya.

"Ustaz Asri mana?" aku mula bertanya kerana terlalu ramai ustaz yang bernama Asri kukenali.

"Ustaz Asri Rabbani," emak menjawab sambil tersenyum kerana mungkin tersedar maklumat yang disampaikan tidak lengkap.

"Inna lillah hi wa inna ilaihi ra'jiun...yaka?...sakit apa?...bila?...ishh tak sangka no," bertubi-tubi soalan kutanya kepada emak yang menceritakan serba sedikit detik-detik pemergian vokalis kumpulan Rabbani itu setakat yang dia tahu.

Aku terkejut walaupun hakikat usia dan masa kematian akan berlaku bila-bila sahaja seperti yang telah tersurat tanpa pengetahuan manusia. Namun sebagai manusia pemergian secara tiba-tiba itu agak mengoncangkan rasa terkejut tanpa tanda awal yang terzahir. Sekaligus terimbau pemergian allahyarham Salleh kumpulan Hijjaz dan Zairi kumpulan Raihan beberapa tahun dahulu.

"Hmm...kiranya setiap anggota kumpulan nasyid otai ada yang meninggallah no," kata emak kepadaku yang menyedarkanku dari lamunan imbauan terhadap kisah pemergian mengejut anggota Raihan dan Hijjaz itu.

"Allah ambil awal penyanyi-penyanyi nasyid ni," mak mengeluarkan kenyataan.

"Allah sayangkan depa mak lagi pun depa pergi dalam keadaan yang baik maka kita doakan agar arwah ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh.

Kak Ngah pernah kata bahawa mudah berurusan dengan kumpulan Rabbani. Ketika itu Kak Ngah masih di UKM. Sebagai seorang tenaga pengurus konsert nasyid yang dianjurkan oleh persatuan pelajar dia mempunyai pengalaman dengan beberapa kumpulan nasyid tanahair yang dijemput. Maka kata Kak Ngah kumpulan Rabbani tidak banyak soal dalam bab penginapan, bayaran dan sebagainya. Maka tidak hairanlah Rabbani menjadi kumpulan nasyid paling popular selama 10 tahun berturut-turut. Bukan hendak memperlekehkan kumpulan yang lain namun cara memudahkan urusan yang diamalkan Rabbani rasanya patut dipraktikkan oleh kumpulan nasyid yang lain.

'Mudahkan urusan orang insyallah Allah akan mudahkan urusan kita.'
Rasanya perlu dimasukkan dalam diari amalan yang patut dilazimi oleh diri.
Sebagai manusia kadang-kadang perkara ini dikesampingkan kerana dibayangi beberapa perkara utama lain.
Jika di bumi anbiyak dahulu perkara ini antara perkara utama yang dilazimi oleh majoriti pelajar. Tarbiah yang diterapkan oleh guru-guru dan sahabat-sahabat sebelum kaki memijak tanah sahara itu.
Sepertimana kita akan mendoakan orang yang memudahkan urusan kita maka sebegitu juga orang akan mendoakan kita yang memudahkan urusan mereka.

Berdoalah selalu agar urusan di dunia dipermudahkan Allah dan dipermudahkan juga perhitungan di akhirat kelak.

Rabu, 12 Ogos 2009

Kalimah berbau dakwah...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Hari Rabu adalah hari yang membuatkan peti suara lemah untuk mengeluarkan bunyinya
di penghujung kelas yang terakhir.
Jika pensyarah pembimbing berkata seorang guru perlu menjadi pelakon. Ingin kutambah bahawa sebagai guru perlu juga menjadi penyanyi. Bukannya senang sebenarnya seorang manusia yang dilahirkan tidak bersuara lantang hendak membina kekuatan vokal dalam masa tidak sampai dua tahun.
Semuanya perlukan masa iaitu kelaziman sebagai latihan.

Jadual waktu padat pada hari ini mengajar kelas-kelas yang mempunyai jumlah murid yang begitu ramai di dalamnya.
Malah di dalamnya terdapat sebijak-bijak sehingga selemah-lemah murid dari segi IQ dan EQ.
Amat sukar sebenarnya bagi diri ini hendak merancang p&p beserta aktiviti untuk disesuaikan dengan semua tahap murid yang ada.
Ditambah kekurangan kewangan bagi menyediakan alat dan bahan bantu mengajar.
Bermula dari tahun pertama mengajar sehingga kini sebenarnya masih mencari kaedah terbaik untuk digunakan dalam kelas yang mempunyai semua tahap kecerdasan ini.
Peluang bersama pensyarah pembimbing memang tidak dilepaskan bertanyakan tips terbaik. Begitu juga bersama pensyarah ketika tutorial berlangsung di institut perguruan.
Lazimnya tidak ada siapa yang mampu memberikan jawapan yang memuaskan kerana sasaran tahap murid berbeza mengikut tempat, latar belakang, IQ dan EQ.
Mungkin bagi masalah ini sekali lagi aku perlukan masa dan pengalaman sebenarnya adalah penyelesaian kepada masalah ini di samping strategi, kaedah, pendekatan dan teori yang sedia dimaklumi.

Jelaslah pelajaran, pengajaran dan pembelajaran berlaku sepanjang hidup ini.
Tidak terlepas sebenarnya hendak lari dari konsep ketiga-tiga perkara di atas.
Konsep-konsep itu juga perlu diiringi dengan sabar, amanah dan ikhlas tanpa mempersoalkan takdir dan merungut di atas kesukaran yang dihadapi.

Serba kekurangan sebagai guru tunggal di sini kadang-kadang memberi satu rasa kepuasan apabila tunjuk ajar dan nasihat yang diberikan menjadi ingatan murid-murid.
Itu adalah salah satu targetku sebagai manusia dan guru kini kerana aku juga masih memegang nasihat dan tunjuk ajar bukan sahaja ibu bapa, guru malah sahabat dan sesiapa walau hanya kukenali seketika. Bagiku kerana nasihat dan kata-katanya itu menjadi panduan dan selagi menjadi amalan si penasihat akan mendapat pahala. Jadi terlalu mudah sebenarnya bukan sebagai guru malah manusia memperolehi pahala.
Itu juga sebenarnya yang telah kuterapkan kepada murid-murid iaitu hanya dengan mengikuti suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya lalu mengajak orang lain turut serta melakukannya maka semudah itu kita menjadi hamba yang mulia di sisi-Nya. Halangan tetap ada namun semua itu dapat ditepis jika kita sedar itu adalah bisikan syaitan yang berjanji untuk menyesatkan.

Pastinya sebagai penasihat diri perlu melakukan perkara yang dinasihati itu dahulu. Namun sebagai manusia yang mempunyai turun naik iman akan cepat tersedar bahawa diri sudah terleka dari melakukan perkara yang pernah dinasihatinya. Secara tidak langsung kata-kata baiknya itu akan menjadi nasihat buat dirinya kembali.

*******
"Ilmu pon tak banyak camna nak dakwah orang."

"Diri sendiri pon tak berapa baik camna nak nasihat orang."

Dua ayat yang pernah terkeluar dari beberapa mulut manusia. Ia merujuk kepada diri mereka sendiri yang dirasakan mempunyai banyak kelemahan.

"Jika hendak tunggu ilmu banyak atau seratus peratus baik maka sampai bila kebaikan hendak disebarkan."

Ayat lain pula yang pernah kudengar sekaligus kuiyakannya serta merta. Ilmu yang seluas lautan takkan mampu kita lengkapinya. Jika merasakan diri masih kurang baik maka itu adalah tanda kesedaran. Justeru kesedaran boleh membimbingnya menjadi seorang yang baik dan lebih baik. Maka tiada alasan lagi kebaikan tidak dapat disebarkan di atas muka bumi ini.

Semua mampu menjadi pendakwah dalam konteks dan cara berbeza. Kadang-kadang seorang yang dahulunya jahil lebih mampu memberi dakwah yang lebih berkesan melalui ukuran pengalaman lampau dengan masa kini kerana dakwahnya itu dibuat dengan penuh rasa kerdinya diri. Maka baginya segala kebaikan yang diperolehinya adalah rahmat dan cinta Allah semata. Rasa nikmat itu dikongsi agar semua menghayati dan cuba mencari hidayah dalam kelamnya hati dan jahilnya diri terhadap cahaya IMAN.

Selasa, 11 Ogos 2009

Ingat dan mengingatkan

Hari ini bilik guru dipenuhi murid-murid yang sakit secara berturut-turut.
Sebelah pagi murid lelaki tahun 4 sakit pinggang akibat terjatuh dalam longkang. Awal pagi aku menegurnya kerana tidak turut serta bersama kawan-kawannya di padang untuk pendidikan jasmani ketika aku hendak ke tahun 2. Bagiku jika terjatuh yang membabitkan bahagian pinggang termasuk dalam masalah yang perlu diberi perhatian segera. Itu berikutan dengan kes yang pernah terjadi pada rakan yang sama institut perguruan. Rakan yang jatuh tangga itu telah mengalami retak tulang sehingga dia terpaksa duduk untuk sesi pemantauan praktikum. Malah ketika sesi tutorial dan kursus induksi juga dia duduk di atas kerusi yang dilapik dengan narita.

Tengahari murid perempuan tahun 3 pula mengalami demam panas yang menjadi penghuni sofa biru di dalam bilik guru. Itu adalah demam yang dilaporkan kepada guru-guru. Namun sekarang murid-murid yang demam sama peratusnya dengan murid sihat. Tahun 2 sahaja hampir 8 orang murid tidak hadir sepanjang minggu ini. Itu tidak termasuk tanda-tanda demam yang terdapat pada beberapa murid lagi pada hari ini sahaja.

"Murid-murid sekolah sebelah dah ada yang pakai mask," beritahuku pada rakan sekerja merujuk kepada murid-murid sekolah tamil di hadapan sekolahku.

"Ooo...yaka?" jawab guru lelaki yang turut sama berada di dalam bilik guru ketika itu.

"Kita pun kena ambil tindakan berjaga-jaga dengan segera nampaknya," sahut guru Bahasa Melayu pula.

Mangsa H1N1 sudah masuk 32 orang setakat ini. Masyarakat kian panik. Doktor, jururawat dan pekerja hospital pula makin sibuk. Pengeluar topeng mulut pula makin untung menurut kata rakan sekerja. Media sibuk mengiklankan cara menjaga kebersihan dengan betul. PM pula menasihatkan agar orang ramai sebolehnya elakkan diri berada di tempat awam ketika ini.

"Ishh...depa suruh elak dari tempat awam tapi kenapa masih buat kursus itu dan ini...risau juga dalam ramai-ramai tu nanti ada yang sakit dan akan berjangkit pula pada yang lain," rungut seorang guru yang perlu menghadiri kursus sepanjang minggu ini.

"La kalau dah keadaan gawat camni tangguh la dulu konvo ka...apa ka," kata adikku yang ke4 merujuk kepada pelawaan mak saudara kepada tok untuk menghadiri konvokesyen anaknya pada Sabtu ini.

"Tu la...tangguh pun tak pa lagi pun konvo tu sekadar lakonan ja...bukannya dapat lagi ijazah betui," jawab Kak Ngah selaku graduan UKM.

Aku bersikap mendiamkan diri pada perkara yang menjadi pertikaian itu. Hendak disekat semua nanti lumpuh pula segala aktiviti. Jawabnya tawakal sahaja. Disamping berusaha mengelakkan penyakit tersebut. Itu yang kukatakan pada seorang rakan.

Penawar H1N1 (dengan izin Allah):

1. Surah al-Fatihah
2. Surah al-Muawwizat ( 3 qul : al-Ikhlas,al-Falak,an-Nas )
3. Ayat Kursi
4. Ayat al-Hasyr 21-24 (Lau anzalna )
5. Selawat syifa'
6. Doa hajat khususi ( apa yang dihajatkan )

Dibaca dan ditiup pada air. Air itu diminum dan dijelum.

Ini apa yang kudapat melalui blog seorang ustaz yang diambil dari Ust. Haron Din. Perkara yang baik ini perlu disebarkan. Selain sebagai penawar ia juga sebenarnya mengajak kita sebagai hamba yang sering leka agar kembali kepada tuhan pencipta. Selain wabak, ada sesuatu yang Allah mahu semua hamba-Nya muhasabah, memperbetulkan dan mencari hikmah di sebalik semua yang berlaku ini.

Sejarah juga telah melakarkan bahawa bala dan ujian itu datang dalam berbagai cara. Jika tidak bencana alam maka wabak pula yang diturunkan.

Maka masing-masing perlu ingat dan mengingatkan. Dari ini juga dapat disimpulkan bahawa sebagai manusia yang hidup bermasyarakat memang perlu mengingatkan dalam semua aspek perkara terutama berkaitan dengan akidah dan iman.

Isnin, 10 Ogos 2009

Cinta Ramadan bertasbih lagi...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Hati teruja hendak menonton filem 'Ketika Cinta Bertasbih' karya Habiburrahman el-
Shirazy.
Terus terang aku katakan bahawa salah satu sebab aku meminati hasil karyanya adalah kerana berlatar belakangkan Mesir disamping sebab utamanya adalah jalinan cinta yang berpaksikan cinta Allah. Realiti emosi yang tersirat juga menarik untuk difahami.
Ketika cinta bertasbih ini pula banyak menggunakan lokasi di Alexandria, Mesir.
Sudah pasti aku mengenali sisiran pantai Iskandariah walaupun hanya dari sebuah bilik di dalam video klip soundtraknya.
Ia kerana persisiran pantai ala eropah itu pernah menjadi saksi suka dukaku sebagai pelajar, saudara, sahabat dan tetamu sementara di bumi itu.
Walupun perlu berhati-hati menyatakan rindu pada pantai itu beribu kali di sini agar tidak menampakkan taksub namun sukar dihindar rasa rindu ini.
Hanya memandang kanvas persisiran dan pantainya sahaja sudah dapat menghuraikan beribu macam ragam manusia dan kehidupan yang dapat dicoret dengan tinta agar menjadi sebuah cerita sebagai pedoman dan teladan.

*******
Rindu itu kian mengamit
agar datangnya segera
hati ini ingin ia memenuhi waktu
menyelami suasananya yang damai

bahang hadirnya sudah dirasa
walau cuaca sejuk mencengkam tulang

ia makin hampir
tanpa ramai yang mengalukannya
dek terlindung pesta dunia selainnya

datangnya tetap membawa rahmat
hadirnya membawa berkah
perginya ditangisi
kerna mungkin tidak sempat bertemu kembali.

RAMADAN AL-KARIM datangmu kunanti...
pergimu kan kutangisi...

Ahad, 9 Ogos 2009

Kaktus di padang pasir



Amatlah baik jika mempunyai keyakinan utuh dapat memperoleh satu perkara yang diinginkan setelah berusaha untuk memilikinya.

Namun...

Belajar menerima satu keadaan yang kita tidak mahu sebenarnya ia berlaku dalam hidup ini juga perlu agar dapat pasrah pada takdir ketentuan itu.

Tanamkan keyakinan pada Allah seutuhnya agar kelak dapat menerima segala yang berlaku dengan redho. Ketika itu bibir juga mampu terukir senyum walaupun sesuatu yang diharapkan itu tidak dapat menjadi hak milik pinjaman sementara.

Walaupun ia tidak berlaku seperti yang diharapkan tidak bermakna hidup ini akan malap kerana sebaliknya yang berlaku itu lebih baik. Allah lebih mengetahui sesuatu yang terbaik untuk setiap hamba-Nya yang berbeza dari segi mental dan fizikal. Hanya hamba-Nya yang senantiasa meragui sebuah perjalanan kehidupan jika berlaku selain dari apa yang diinginkan dan jika tersimpang sedikit dari perjalanan biasa seorang manusia.

*******
Jadilah kaktus di padang pasir
tidak cantik dipandang
namun mampu memberi air buat membasah tekak musafir berkelana
yang kehausan tika teriknya mentari di sahara itu.

Kaktus itu berdiri teguh dan utuh menahan ribut pasir
dan bahangnya pasir dalam pancaran mentari
bersendiri di tengah gurun itu.

Kaktus padang pasir jarang disebut namun mempunyai makna dalam kamus musafir berkelana
selain pencipta yang tahu kelebihan ia dicipta di atas muka bumi ini tanpa sia-sia.

Sabtu, 8 Ogos 2009

Salam ukhuwah...


Dapatkan ecard NasyidFM Disini


Rasanya sudah berbulan tidak bertemu dengan saudara mara sejak awal tahun ini kerana kesibukan praktikum, tutorial dan kursus. Maka pertunangan sepupu pada hari ini telah menemukan kami semua di rumah emak saudara sebelah mak itu. Sekali sekala bertemu seronok juga rasanya. Pelbagai cerita bertukar. Gelak tawa dan gurau senda memenuhi hari bahagia sepupu itu. Justeru terasa indahnya nilai ukhuwah ini. Kesibukan dan keletihan juga hilang begitu sahaja.

Ada setengah orang pernah berkata bahawa tidak guna terlalu baik pada kawan-kawan melebihi saudara mara kerana ketika susah hanya saudara mara yang akan membantu.

Ada juga yang pernah berkata bahawa berbuat baik dengan jiran-jiran berbanding saudara mara berguna kerana jiran-jiran yang akan membantu ketika kenduri kendara dan sakit pening kerana jiran yang paling dekat berbanding saudara mara.

Namun melalui pemgalaman sendiri semua itu tidak dapat dijadikan ukuran untuk sebuah ukhuwah. Ukhuwah tidak memandang dengan siapa perlu dihulurkan ikatan. Juga tidak meletakkan balasan pertolongan atas sebuah ukuwah yang dihulurkan. Jika itu yang diharapkan maka diri akan kecewa apabila tidak mendapat bantuan seperti yang diharapkan.

Adakala seseorang yang hanya dikenali di jalanan sanggup menghulurkan bantuan kerana dia punya keikhlasan membantu atas nama ukuwah kerana Allah taala. Kadang-kadang sampai tefikir kenapa dia sanggup membantu sedangkan kita bukanlah sesiapa dengannya. Itulah nilai IKHLAS yang akan membenihkan ukhuwah.

Tidak salah melebarkan sayap ukhuwah kepada sesiapa sahaja di dunia ini tanpa mengukur sejauhmana nilai ikhlasnya dia berukhuwah dengan kita. Mungkin hari ini dia hanya seorang rakan biasa namun mungkin nilai iklhlas yang dihulurkan maka aura baik itu akan menjadikan dia sahabat pula.

******
Setahun mengenali Du'a di bumi Mesir masih terasa dirinya dekat dihati. Mungkin dia juga terasa begitu walaupun sudah terputus hubungan sejak kuliah usai.

Tiga bulan bertemu Lin di kursus SLG masih mengingatkan dia pada ukuwah pertemuan singkat itu. Semalam dia telefon bertanya khabar tentang diri ini juga rakan-rakan sekursus yang lain.

Jika hati kuat teringatkan seseorang itu tandanya orang itu sedang ingat dan rindukan kita. Maka kerana kata-kata itu kucuba untuk membuktikan kebenarannya. Hasilnya 90% benar kerana beberapa kali sudah kuingat dan rindukan seorang sahabat ini. Ketika itu juga dia akan sms dan telefon tanya khabar diri ini walaupun hanya sekadar tersilap mendail nombor.

"Anie ohh anie tak hilang lagi rupanya sikap tersilap sms dan telefon orang ye...," itu antara kata-kataku pada sahabat lama yang sudah tidak bertemu sejak usai belajar di Mesir beberapa tahun lalu.

Buat rakan-rakan blogger yang baru mengenali blog dan diri yang tidak seberapa ini kuhulurkan SALAM UKHUWAH buat kalian.

Jumaat, 7 Ogos 2009

Asal semuanya BAIK



Setiap manusia memilki kebaikan.
Walaupun dalam jiwa seorang pembunuh yang paling kejam sekalipun.
Sesetengah manusia dapat diketahui kebaikannya melalui cara hidup dan amal yang dilakukan. Automatik dia adalah seorang yang baik. Sehinggakan kadang-kadang hati tidak dapat menerima sedikit kekurangan yang dimilikinya walhal sebagai manusia mustahil memilki kesempurnaan.
Sesetengah manusia pula dikatakan jahat kerana melalui cara hidup dan maksiat yang dilakukannya telah menunjukkan dia jahat. Semuanya yang ada pada dirinya nampak jahat waalupun dia sebenarnya ada juga melakukan kebaikan.
Begitulah resam dunia.

Diri ini bukan hendak mengajak mencari kejahatan dalam diri seorang yang baik.
Namun apa yang hendak ditekankan di sini ialah mencari kebaikan dalam jiwa seorang yang dikatakan nakal dan jahat.

Sebagai guru yang sering bersama murid-murid berhadapan dengan pelbagai karenah mereka samada karenah positif dan negatif. Ini adalah satu bonus sebenarnya mengenali ragam manusia yang masih mentah dalam hidup sebelum mengenali ragam manusia yang dewasa yang mungkin berbeza tahap perilaku negatifnya bersesuaian dengan usia, kematangan dan waktu.

Murid yang nakal ini sebenarnya mempunyai sikap yang keras, suka memberontak, melawan dan sebagainya. Lagi dimarah, dipukul dan diherdik maka kian mereka memberontak dan semakin degil jadinya. Mereka sudah dipandang sinis oleh guru-guru dan rakan-rakan akan sikap degil dan nakal itu. Akibat dipandang serong maka terbentuk dalam diri mereka bahawa sifat-sifat itu sukar diubah. Pandangan sekeliling menjadikan mereka lupa bahawa diri setiap manusia memiliki kebaikan iaitu melalui perasaan yang ada pada setiap manusia. Perasaan kasih sayang terutamanya dapat mengubah sikap negatif menjadi positif. Ini hanyalah sekadar contoh diruang lingkup yang kecil sebagai permulaan kepada masyarkat yang lebih luas skopnya.

Seorang penagih sering berusaha untuk meninggalkan ketagihannya itu dan berubah untuk menjadi manusia normal. Namun dia seringkali gagal kerana pandangan masyarakat yang masih mengatakan dia jahat dan penagih. Lalu kerana cemuhan dan kata-kata dia terjerumus kembali ke lembah dosa. Kata-kata juga merupakan satu doa. Secara kebetulan mungkin ia menjadi doa apabila majoriti masih menggelarkannya penagih. Minoriti masyarakat sahaja yang memberi nasihat, keyakinan dam doa untuk dia berubah.

Jika dikaji ada puncanya seorang yang jahat menjadi sebegitu. Manusia diuji berbeza. Manusia juga punyai perbezaan tahap iman dan kekuatan bagi menghadapi ujian-ujian itu. Bagi yang punya kekuatan akan dihadapi segala ujian dengan nafsu dipandu oleh iman dan akal. Namun ada juga yang menghadapinya dengan akal yang dipandu nafsu dan bisikan syaitan. Di sinilah wujud pula pada dua golongan ini yang mana yang mampu mengendali hidup dengan iman dan akal sering menuduh dan tohmah golongan yang gagal mengendali ujian dengan iman dan akal. Maka kesannya akan menimbulkan konflik yang berterusan.

Diperhati dan diamati sebenarnya manusia yang disebut jahat ini sebenarnya mempunyai kebaikan yang tersembunyi. Malah mereka juga punya kelebihan yang tidak terdapat pada manusia baik yang mana jika diberi suntikan baru mereka yang dikatakan sampah ini mampu menjadi aset buat masyarakat.

Sebagai hamba kita hanya berusaha selebihnya terserah kepada Allah jua.

*******
Hari cuti yang dicuri sedikit masa untuk menonton DVD bertajuk Hancock sebenarnya telah menyedarkan lagi tentang pandangan serong masyarakat terhadap seseorang yang sering melakukan kemusnahan. Kebaikan ada padanya tetapi sebaliknya dia punya kisah hidup yang menjadikan dia sebegitu. Akibat rasa terhutang budi ada seorang insan yang menolong dengan mengubahnya menjadikan dia pembantu polis menyelesaikan jenayah sehingga digelar superhero oleh masyarakat.

Khamis, 6 Ogos 2009

Pilihan yang terbaik



Dialog pertama:

AA : Jika terjumpa orang accident, awak nak bantu tak orang yang terperangkap dalam
kenderaan itu?

BB : Ishh tak naklah bantu...biarlah pakar yang melakukan semua itu.

AA : Kalau aku...aku cuba bantu orang tue sian dia terperangkap dalam tu.

BB : Buatnya time kita keluarkan dia dari kenderaan itu tiba-tiba terkehel atau
patah ke...kan kita juga yang susah.

AA : Tapi jika kenderaan itu akan meletup dan bantuan juga masih belum sampai dan
mangsa masih hidup...kan lebih baik selamatkan saja daripada biarkan dia mati
terbakar sambil kita hanya menjadi pemerhati sahaja.

BB : Betul juga tue....

Dialog kedua:

AAA : Kau bawa dia pergi hospital jap lagi ek...risau gak simptom-simptom H1N1 dah
ada tue...jika tak ada apa ok lah sekurangnya dah tau puas hati.

BBB : Isshh...kena-kena demam biasa je...sebab pegi spetal tiba-tiba berjangkit lak
kan susah tu.

AAA : Camne lak jika memang ada virus tu tapi dibiarkan tak ke nanti kita menyesal
sebab tak bawa ke hospital.

BBB : Ermm...oklah aku bawa.


Serba salah rasanya bila berada dalam situasi 'ditelan mati emak diluah mati bapa ini'. Memilih satu jalan untuk menyelamatkan namun bakal mengundang masalah lain pula. Mahu tidak mahu terpaksa juga memilih satu jalan yang bakal mendatangkan risiko namun mampu menyelamatkan mangsa walaupun hanya 10% kebarangkaliannya hidup. Jalan itu hanya sekadar usaha kita selaku makhluk baharu yang kosong dari pengetahuan tentang masa depan. Selebihnya adalah kuasa Allah taala yang tahu tentang masa depan mangsa samada dia selamat atau sebaliknya.

Itu hanya secebis kejadian dalam kehidupan yang menuntut manusia untuk membuat pilihan. Sebenarnya sepanjang hayat manusia dituntut untuk membuat pilihan. Memilih pakaian, tempat tinggal, kenderaan, bidang pengajian, universiti, kerjaya dan sebagainya. Inilah yang sering menjadikan manusia sering keliru kerana risau pilihan yang dibuat itu bakal mengundang risiko di kemudian hari. Ada yang tegar dengan pilihannya sendiri dan yakin pada dirinya yang melakukan pilihan itu. Namun ada pula yang ragu-ragu dengan pilihan itu dan tidak yakin pada diri yang melakukan pilihan itu. Semuanya terpulang pada individu kerana pilihan itu ada pada tangan sendiri yang memilihnya. Selain itu pemilihan yang dibuat perlu ada rasa lapang dada maka dengan memilihnya tidak menimbulkan rasa kurang senang yang timbul dalam diri. Rasa yang akan menjauhkan diri dari Allah. Rasa yang akan membuatkan diri mendabik dada dengan membuat pilihan itu.

Maka jalan penyelesaiannya adalah kembali kepada Allah kerana pilihan Allah itu adalah sebaik-baiknya kerana Allah tahu apa yang bakal berlaku di kemudian hari.

***Teringat pada seorang pelajar SMA Taufikiah Halimiah (Pondok Pak Ya) yang turut menemui ajal setelah mengambil keputusan untuk masuk kembali ke dalam asrama yang sedang dijilat api untuk menyelamatkan rakannya. Cerita ini kudapat dari Maksu yang merupakan bekas pelajar sekolah itu beberapa belas tahun yang lalu.

Rabu, 5 Ogos 2009

Kerana CINTA


Cool Myspace Generators

Kerana CINTA seorang wanita tertipu hampir RM20,000.
Pertemuan teruna dan dara berlainan benua.
Mengeratkan ikatan tanpa bersua muka.
Harapan diberi.
Janji terpatri akan mengikat tali pernikahan sebagai bukti CINTA itu adalah yang sejati.
Akhirnya janji tinggal janji apabila rasa diri tertipu setelah duit diberi sebagai janji jaminan pinangan.
Wanita tersungkur di tebing mulut lelaki yang bermadah semamis madu yang merupakan perangkap seorang penipu.
Mujur hanya tergadai wang kerana wang itu boleh dicari lagi.
Itu sebagai peringatan agar tidak mudah terpedaya pada janji lelaki di ruang maya ini walau masih ada yang berhati tulus.

Kerana CINTA seorang wanita tergadai body.
Pertemuan teruna dara di mana-mana.
Mengeratkan hubungan sehingga ke ruang kamar.
Pinta body sebagai bukti CINTA.
Sekali lagi wanita terpedaya dek janji manis lelaki yang hanya inginkan nafsu dipenuhi.
Janji akan bertanggungjawab jika apa-apa terjadi.
Rupanya sekadar menanam tebu di tebing bibir.
Setelah perut membuncit lelaki angkat kaki.
Meninggalkan wanita terkial seorang diri.
Akibat malu janin dan bayi menjadi mangsa.
Bukan sekadar buang dalam tong sampah sahaja.
Malah disumbat dalam lubang tandas.
Wanita itu bukan sekadar penzina malah pembunuh.
Menjadi trauma sepanjang hayat jika keinsafan sudah menapak dalam diri.
Mujurlah wanita itu tidak tergadai agama walaupun maruah diri tidak dapat dikembalikan namun jika masih punya agama dan kembali pada-Nya dengan taubat nasuha.
Wanita itu dapat bangkit semula sebagai muslimah solehah walau dicerca oleh manusia.
Wanita itu mulia di sisi Allah taala.
Kerana Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang berbanding manusia yang hanya nampak sezarah kesalahan berbanding bertimbun kebaikan.

Kerana CINTA wanita tergadai agama.
Bertemu dengan lelaki berlainan agama tidak kira di mana sahaja.
Bagi wanita yang kuat pegangan agamanya dikatakan hendak belajar tentang Islam.
Bagi yang memandang rupa menggunakan paras yang kacak persis artis Hollywood dan Bollywood.
Bagi yang rasa terpinggir menggunakan sikap ambil berat lebih dari ibu bapa.
Wanita itu terpedaya pada janji manis lelaki yang merupakan musuh Islam.
Mahu melihat Islam itu tersungkur sepertimana sungkurnya akidah wanita itu hanya kerana sekeping CINTA palsu yang dihulurkannya.
Percintaan sehingga ke jinjang pelamin yang mengikat status suami isteri yang memberi hak kepada suami membawa isteri jauh dari keluarga.
Wanita itu pergi dan hilang bersama hilangnya iman yang diasuh sedari kecil.
Esak tangis keluarga dan saudara muslim tidak bermakna kerana dunia hari ini punya undang-undang yang terbatas bagi membawa kembali orang murtad kembali kepada Islam.
Malah lelaki yang seumpama itu terlepas bebas ke mana-mana.
Mungkin mencari mangsa baru untuk dimurtadkan.

Kerana CINTA, manusia mudah lupa pada agama, ibu bapa dan segalanya.
CINTA itu murni namun dikotorkan dengan niat pencinta yang manipulasikannya demi tujuan yang tidak syar'ie.

Cinta yang benar adalah CINTA yang dapat membawa diri mencintai Allah dengan mencintainya.

Isnin, 3 Ogos 2009

Apa yang penting?...KERJASAMA...



Acummm......, sekali bersin aku sudah teringatkan H1N1.

Ketika mata hampir lelap terasa tekak agak perit, sekali lagi teringatkan H1N1.

Hari ini kondisi badan berada antara suam, lemah dan sakit kepala. Hendak dikata demam mustahil kerana tidak panas. H1N1 juga yang kuingat. Adakah tanda-tanda HIN1 yang tidak mempunyai simptom demam, hati mula bertanya. Apa pun keadaan kugagah selesaikan menanda kertas Pendidikan Islam tahun 2.

Namun sebagai warga SKBS aku gagahi jua rasa lemah ini membantu guru-guru sains menyusun barang-barang sains di lima buah buah stesen yang dirancangkan sempena hari sains bersama cetree USM pada hari ini. Mengawal murid-murid tahap dua agar tidak bising. Juga bersama murid-murid dalam beberapa buah stesen demi melancarkan program ini agar soalan-soalan yang disediakan berdasarkan pameran melalui ujikaji dapat dijawab dengan baik.

"Haaaa.....H1N1 sudah masuk mangsa keenam...ishhh...cepatnya," aku berkata sendirian ketika membaca akhbar. Mengikut berita, mangsa kali ini hanya mengalami demam sehari sahaja tanpa tanda-tanda yang lain.

Lagi-lagi H1N1. Kenapa aku risau sangat dengan H1N1 ini. Penularan selsema burung dan SARS dahulu tidaklah aku risau sebegini walaupun kedua-duanya itu lebih merbahaya dan cepat merebak mengikut satu artikel yang sudah lupa di mana aku membacanya.

Akibat H1N1 kami sekeluarga telah membatalkan perancangan untuk ke konvokesyen sepupu di USM Pulau Pinang Sabtu depan. Menghindari dari tempat umum begitu lebih baik menurut kata emak. Kata emak lagi bahawa mati itu pasti berlaku namun menghindari dari penyakit adalah perkara yang mesti.

"Seluruh masjid dalam negara patut buat solat hajat dah sekarang ni kan mak," kukata pada emak semalam ketika berita di televisyen sedang ke udara.

"Ermmm...,kita tunggu Tok Guru buat di Kelantan dulu nanti baru semua pakat buat," respon mak pada pernyataanku itu serta-merta.

"Bala la tu Allah bagi nak bagi orang sedar tapi tak semua yang sedar. Alhamdulillah kita sedar dan moga Allah tak tarik kesedaran ini dari kita," itu menurut kata rakan sekerja.

Akibat terlalu berhati-hati maka semua simptom yang berlaku telah menimbulkan buruk sangka pada kesihatan ini. Kononnya demi hendak mendapatkan rawatan awal jika dijangkiti. Lagi-lagi H1N1 yang kurisaukan. Kenapa aku risau lebih-lebih sedangkan akhbar dua tiga hari ini sudah meletakkan kes kematian akibat H1N1 bukan sebagai berita utama. Nampaknya orang-orang sekarang lebih risaukan ancaman rusuhan daripada wabak yang diturunkan Allah.

Dunia...dunia....
Yang mudah dipayahkan....
Keadaan aman dihuru-harakan....
Api jika disiram petrol pasti marak....
kenapalah tidak sahaja menjadi air yang dapat memadamkan api yang kecil itu....
maka itukan lebih mudah ceritanya....
boleh tumpu pada perkara yang lebih penting dari yang kurang penting yang selalu disensasikan untuk menjadikan ia penting....

"Apa yang penting murid-murid?" soalku pada murid kelas 2 al-Farabi.

"Kerjasama." sahut murid-murid secara serentak dan bersemangat sekali. Budak-budak pun pandai bercakap tentang kerjasama.

Pastinya kerjasama membuat perkara kebaikan berlandaskan al-Quran dan hadis. Bukannya membuat batil berlandaskan hukum akal berpaksikan matlamat menghalalkan cara.

Keadaan tidak sihat banyak pula idea hendak ditulis. Agaknya inilah hikmah disebalik kejadian yang kurang baik.

Ahad, 2 Ogos 2009

Belajar sampai mati....



1st story :

"Ermmm...nape umo jauh benar nih...orang lain tahung 82,"tegur seorang kakitangan Kusza di hari pendaftaran.Lelaki hujung 20 an itu senyum menyindir.

"Aik...takdak tulis dalam borang permohonan nak tahun 82 saja, awat orang tua(sebenarnya muda lagi)tak boleh belajaq ka? rasanya ramai yang belajaq sampai tua,"hatiku rusuh bertanya soalan bertubi-tubi. Hendak bertanya lelaki yang mempersoalkan itu tidak terkeluar pula soalan. Risau juga nanti dicop kurang adab. Biarlah dia dengan keluarganya asalkan diriku bahagia. Akhirnya tercapai juga cita-cita nak belajar di negeri banyak pantai ini.

2nd story :

"Mokcik nok belaja sampa mati, makcik suko blaja di sini, dapat betulkan mokcik punya bacaan al-Quran, ustaznya pon baik," kata seorang mak cik yang kutemui di sebuah masjid di Kota Bharu Kelantan ketika menunggu bas Transnasional untuk ke Kusza bagi menghantar borang pengurusan sambung belajar ke Mesir. Kagum aku pada mak cik yang sudah lewat usia itu. Secara automatik semangat mak cik itu menyerap ke dalam semangatku untuk mengikut jejaknya walaupun bertemu sekejap cuma.

3rd story :

"Laaa...hang nak pi Mesir ka? tak kesian kat abah mak hang ka? adik-adik dah la ramai. Mesti guna duit banyak tu," bebel mak saudaraku bertubi-tubi seperti mercun roket terkena batang hidung rasanya.

"Abah dan mak izinkan, solat hajat dan istikoroh pun dah lama buat...hati memang tergerak nak ke sana...maknanya Allah pun izinkanlah," kucuba jawab kata-kata mak saudaraku itu selembut gula-gula kapas. Nampaknya dia mengambil berat pada keluargaku. Aku hargainya namun perasaan meluap-luap untuk menuntut ilmu ini tidak mampu ditahan.

Bukan senang nak senang...
Bukan susah nak susah...
Mudahkanlah yang payah...
Selain usaha Allah itu ada sebagai tempat bergantung...
Cakap memang mudah merealisasikannya kadangkala terlupa bahawa Allah bersama hamba-Nya yang sentiasa meminta dan berharap pada-Nya...
Dia berkuasa memberi dan tidak andai itu semua bukan yang terbaik buat kita...
Jika bertekad pada sesuatu yang mulia ditambah keazaman yang kental Allah juga akan memudahkan jalan untuk memilikinya.

Iklan tawaran untuk mengikuti program sarjana yang kubaca dalam akhbar di sekolah tadi antara perkara yang masih terbayang dalam ingatan.
Nampaknya kena ajak murid-murid tahun 6 bersaing untuk belajar dan memperolehi keputusan cemerlang untuk membakar kembali motivasi mereka yang agak merudum pada ujian percubaan UPSR baru-baru ini.

"Ustazah pun nak belajaq lagi...hangpa yang muda ni lagi kena rajin dan pulun," ayat yang berbunyi sedikit riak itu bakal kuucap pada mereka. Mengikut kata guru tuisyen SPMku dahulu bahawa kadang-kadang dengan murid kena tunjuk sedikit bahawa sebagai guru kita ini hebat untuk membakar semangat mereka. Bukanlah riak sebenar (na'uzubillah hi min zalik).

Sabtu, 1 Ogos 2009

Kenal dulu sebelum kata...

Adakah kita berani menjadi seperti lelaki di atas?
Sanggup menanggung risiko untuk memperoleh sesuatu yang diinginkan mungkin samada sekadar memenuhi hobi atau mahukan nama tercatat dalam buku rekod dunia sepanjang zaman?
Semuannya terletak pada tuan diri yang tahu tujuan dia berani melakukan aksi sedemikian.
Sebagai yang sekadar melihat kita tidak akan dapat menekanya.
Mungkin tidak berhak menghurainya kerana kita tidak mengenali lelaki tersebut sama sekali.
Satu kelas pelajar-pelajar Dakwah berasa pelik dan hairan kenapa tiba-tiba ustaz syadid, gelaran yang diberi kepada Ustaz Tarmizi yang mengajar madah Fekah meminta kami menulis kekurangan dan kelemahan yang ada pada dirinya di penghujung semester.
Sebelum ini ustaz itu agak digeruni oleh kami dengan caranya sehingga digelar 'syadid'.
Jika akhawat memberi salam kepadanya di mana-mana dalam kawasan kolej jangan berasa hati dan berharap dia akan memandang wajah si pemberi salam.
Sejak itu juga sarung lengan yang mula dipopularkan oleh Datin Seri Wan Azizah mula menjadi antara pakaian wajib akhawat sejak ditegur olehnya tentang aurat lengan yang nampak kerana tangan baju kurung yang tidak berkancing.
Maka ketika kelasnya ramai yang menolak untuk duduk di kerusi bahagian hadapan.
Kecut perut untuk menghadapi kelasnya kerana tiada unsur kecindan langsung.
Jika membaca kitab dengan baris dan makna yang salah akan dimarah.
Tidak dapat menjawab soalan juga akan ditempelak.
Aku pernah juga bertegas hendak ke kelas Fekah dan hendak meninggalkan sahabat yang tidak sedarkan akibat dirasuk.
Namun atas jaminan Ustaz Mahadir selaku warden asrama diri agak berani sedikit tidak menghadiri kelas ketika itu.
Bukanlah seratus peratus kerana gerun pada sifatnya namun rasa rugi jika ilmunya tidak dikutip walau sesaat.

Diri ini tidak pernah membencinya sama sekali malah perasaan menghormati tebal kerana respek pada ilmu dan alimnya itu walaupun pernah dimalukan di hadapan rakan-rakan.
Respek itu kian bertambah apabila di akhir semester dia sendiri memanggilku ke biliknya dan menurunkan ego seorang pensyarah dengan meminta maaf dariku atas sikapnya memalukanku.
Surat-surat tidak bernama yang mencatatkan tentang kelemahan dan kekurangannya itu dibacanya kepada kami dan cuba diperbaiki katanya. Ada komen tentang cara dia mengajar. Ada juga yang komen tentang syadidnya. Malah yang komen tentang pakaiannya. Itu yang telah dihuraikan secara panjang lebar dengan menyingkap sejarah keluarganya.

Dia berasal dari keluarga yang susah dengan adik beradik yang ramai.
Kesusahan keluarganya membuatkan dia berjuang untuk memperolehi ilmu.
Sehingga perlu mengurangkan keselesaan hidup demi ilmu.
Dia punya tekad jika sudah berjaya akan dibantu ibu bapa dan adik-adiknya yang masih ramai.
Tekadnya itu dilaksanakan di ketika sudah berkeluarga dengan anak-anak yang ramai.
Walaupun bergaji tinggi dia masih perlu membahagikan gajinya maka kerana itu dia masih bersederhana dalam berpakaian.
Memakai baju lama yang sudah agak kecil bersama seluar yang sudah pendek parasnya bukanlah satu kehinaan padanya.
Maka dia berkata hanya perkara itu yang tidak dapat diubah.

Hatiku pilu dan mula mengutuk si penulis.
Mata mula melilau mencari siapa agaknya tuan punya diri yang tidak prihatin itu.
Jika hendak nilai pun biarlah pada perangainya bukannya materialnya kerana dia sudah menutup aurat cuma tidak sekemas pensyarah-pensyarah lain.

Manusia memang mudah menilai hanya dengan sekali pandangan.

********
"Asyik pakai coklat aje," rakan pernah menegur ketika di Mesir kerana 2 jubahku berwarna coklat dari 5 helai yang kubawa ke sana. Aku diam sahaja biarlah dia tidak tahu aku bahawa aku membelinya dengan duit simpanan potong makan di dewan makan Kusza setiap kali cuti hujung minggu. Akibat tidak dapat mengambil makanan di dewan kuganti dengan mee segera dan nasi yang dibeli di cafeteria yang dibahagi 2 untuk makan tengahari dan malam.

"Tak sesuailah tudung dengan baju ni, tukarlah....," rakan menegur ketika di asrama IPDA. Tidak kunyatakan bahawa itu adalah tudung lama yang dipakai sehingga kini.

"Kain ni betul-betul macam kain batik pakai kat rumah," rakan menegur ketika KISSM. Tidak kuberitahu bahawa itu adalah kain batik yang diberi emak lalu kujadikan kain lengkap dengan baju kurung kerana ketika pulang ke Malaysia simpanan kuhabis semasa belajar untuk membeli kain sut yang baru.

Biarlah mereka berkata-kata namun kucuba ambil pengajaran darinya bahawa tidak semua manusia mampu seperti kita maka mustahil untuk menjadikan dia seperti kita.

Biarlah dia dengan caranya asal tidak melanggar batasan syarak. Jika melanggar pun perlu kepada teguran dan nasihat yang penuh hikmah.

Pandanglah seseorang pada peribadinya bukannya pakaiannya.
Jika dia masih berpakaian tidak menutup aurat mungkin dia punya sifat mulia yang akan dapat membawanya bertemu hidayah Allah suatu masa kelak.
Sebagai manusia kita tunjuk contoh, nasihat dengan baik dan doa agar dia berubah.
Tidak guna mengutuk dan mengata kerana dari situ jelaslah bahawa kita lagi teruk darinya yang tidak pernah mengata kita.

Tajdidkan diri sebelum tajdidkan orang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...