? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Sabtu, 28 Februari 2009

Nukilan buat sahabat

Pintu utama diketuk menandakan ada tetamu yang datang. Aku segera meneropong melalui lubang kecil di pintu untuk memantau gerangan tetamu itu demi keselamatan diri dan ahli bait ( housemate ). Berada di negara orang keselamatan lebih dititikberatkan. Itu pesanan ahli keluarga di tanahair dan senior yang lebih dahulu berpengalaman di tempat ini. Semua itu kemas dalam genggaman agar niat utama datang ke sini tercapai tanpa halangan akibat kecuaian diri sendiri.

" Assalamualaikum....," ucapan salam memecah gegendang telinga yang dipicingkan untuk mengenal suara empunya diri.

" Waalaikummusalam," jawabku sambil jari menyelak penyendal pintu setelah mengenalpasti tetamu itu adalah sahabatku yang dikenali sejak di kolej di negeri pantai timur tanahair.

"Masuklah, buat macam bait orang ek," pelawaku sambil berseloroh. Gadis genit berjubah coklat susu itu masuk sambil tersenyum nipis.

Dia terus menuju ke kamarku dan duduk di birai katil. Aku membuntutinya sambil tangan rancak mengemas meja stadi yang berterabur dengan kitab dan nota.

" Hai, awal betul berjalan pagi ini," tegurku kepadanya yang hanya tinggal beberapa meter sahaja dari rumah sewaku.

"Sebenarnya saya dari rumah ustaz Khadir," jawab gadis berkaca mata itu sambil memandangku sayu.

"Oooo....tukar duit ek," telahku kerana selain menjual kad vodafone (telefon internet) ustaz yang sudah berkahwin itu juga menjalankan urusniaga money changer kepada akhawat-akhawat di sini.

"Erm....nak pinjamkan akak ler," jawabnya tanpa selindung.

Aku tersentak hingga pemusatan fokus perbicaraan tadi sudah hilang disambar kejutan perasaan. Memang aku kehabisan duit ketika ini namun itu bukanlah untukku sewenangnya meminjam walau tanpa dipinta. Niat baiknya kutolak dengan baik. Keikhlasannya hanya Allah yang mampu membalasnya. Dalam hati aku bersyukur dikurniai sahabat sebaiknya. Bukan sahaja dia namun termasuk beberapa lagi yang sememangnya kurniaan Ilahi sebagai temanku menjalani hidup di rantau yang jauh dari mata orang tua.

Sahabat
datang dan pergi
mencorakkan kanvas hidup ini
datang kalian disambut ahlan wa sahlan
perginya kalian dengan ucapan ilal liqa'
kerna bila bertemu
tiada noktah menamatkan ukhuwah ini
walau dengan kematian
kerna ia terikat bukan berdasar melengkapi putaran kehidupan
namun kerna lillah hi taala

ana uhibbukum fillah




Jumaat, 27 Februari 2009

Sensitifkah kita???

Sejauh manakah sensiviti kita umat Islam terhadap penghinaan yang dilemparkan oleh Israel terhadap Nabi junjungan mulia yang akan memberi syafaat di padang Mahsyar kelak???
Juga penghinaan terhadap agama benar yang kita anuti dengan pengakuan penyaksian 'tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah???
Selepas penghinaan dengan membantai jasad tidak berdosa rakyat Palestin dan memusnahkan infrastruktur negara itu hingga mengakibatkan kerugian yang besar.
Tepuk dada tanyalah iman....
Jangan dipandang sebelah mata...
Penghinaan 1:
Saluran TV 10 Israel telah menyiarkan satu rancangan yang mencemuh dan menghina Nabi Muhammad (SAW) di mana salah seorang daripada para peserta itu bernama Natan Bshefken menyamakan kasutnya dengan Junjungan Mulia.

Penghinaan 2:
Filem kartun yang kontroversial ditayangkan di You tube ini berjudul “Ahmad Salim”, dalam filem ini digambarkan seorang anak laki-laki yang karakternya lebih tertarik kepada budaya pop barat daripada mengikuti keinginan bapanya yang menginginkan dia mati menjadi syuhada dengan melakukan serangan 'teror' kepada orang-orang Yahudi dan Amerika.

Uni Emirat Arab telah memblok filem kartun buatan Israel di laman YouTube karena dianggap kandungan dari filem kartun tersebut menghina Islam dan melecehkan UEA, hal itu disampaikan oleh dua penyedia jasa internet di negara tersebut hari Rabu lalu.

**********

Reaksi marah, benci, sakit hati atau buat tidak peduli???

Kini Islam dan umatnya terlalu mudah dipijak, dihentam, dicaci dan dihina apabila ekonomi, politik dan sosial dikawal mereka

Kita hanya boneka mengikut telunjuk yang dicipta keuntungan untuk mereka

Al-Quran dan sunnah ditolak belaka....kononnya perlu dikaji semula

sedangkan kedua-duanya khazanah peninggalan Rasulullah buat menjalani hidup penuh masalah

Siapa yang patut dipersalah

Orang islam sendiri atau mereka???

Sama-samalah muhasabah agar Islam bukan sekadar menjulang nama

namun tertanam teguh di lubuk hati yang dalam

diterjemah sepenuhnya dalam realiti kehidupan.



Khamis, 26 Februari 2009

Seronoknya...

Tergeletek hati apabila membaca keadaan ekonomi Israel memasuki frasa yang sangat buruk.
Seramai 730 orang Israel secara automatik memegang title penganggur baru di wilayah utara Israel kerana banyak syarikat swasta gulung tikar pada setiap hari.
Sumber manusia Israel sendiri mengumumkan bahawa 20 ribu pekerja kehilangan pekerjaan pada Januari lepas.
Itu baru balasan di dunia. Di akhirat usahlah dicerita.
Kita di sini hanya membaca dan mendengar.
Jika melihat hanya di kaca televisyen, dada-dada akhbar dan internet.
Sebenarnya, mereka yang mengalami sendiri lebih merasa akan hakikat sebuah kezaliman dan pertolongan yang Maha Esa.
Ketika pembantaian dan pembunuhan besar-besaran Israel ke atas Palestin rupa-rupanya ada pertolongan ghaib dari Allah seperti yang pernah dicatit sejarah perang Badar iaitu perang pertama Rasulullah dan para sahabat.
Bentuk fizikal usah dibayangkan namun datang dalam keadaan tentera berpakaian putih seperti yang ditanya oleh tentera Israel sendiri kepada rakyat Palestin.
A'zimnya kuasa Allah.
Pertolongan-Nya datang dalam keadaan yang tidak dijangka dan disangka.
Patutlah takut benar tentera Israel tersebut walau hanya dengan orang awam.
Palestin masih dibedil.
Rakyat masih dibedal dalam usaha perdamaian dan kata sepakat yang dicari.
Kini kita sudah abai peristiwa dan tragedi itu
kerana sibuk dengan perebutan kuasa yang belum usai
halal sudah menjadi haram
yang haram sewenangnya dihalalkan
yang melatah lebih disaman dan dipenjara
erm....aku tetap berdoa agar tanah ini aman dari persengketaan
agar tiada tangan yang mencelah mengambil kesempatan.

Rabu, 25 Februari 2009

Trap

"Siapa nak masuk syurga?" tanyaku kepada murid tahun tiga al-Khawarizmi.
"Nak...........................," jawab murid seluruh kelas bergema ruang kelas.
Seronok betul bercerita tentang keindahan syurga kepada anak-anak yang baru membesar.
Golongan ini paling sukakan ganjaran.
Syurga adalah ganjaran di atas kebaikan yang dilakukan manusia di dunia.
Disebabkan mahu syurga sebagai ganjaran anak-anak ini teruja mahu melakukan kebaikan.

"Jika kamu nak masuk syurga maka kenalah sembahyang, puasa, tutup aurat, jadi anak soleh," dakwah mudahku kepada anak-anak yang masih terpelihara dari dosa itu.

Kanak-kanak itu terlopong mendengar ceritaku seterusnya.

Begitulah kita sewaktu kecil begitu teruja mendengar cerita nikmat syurga dan mahu buat kebaikan untuk menempah tempat di dalamnya kerana skop hidup masih belum luas.

Namun masa merubah segalanya.
Apabila usia memanjat tangga waktu ruang hidup terbuka.
Mengenalkan kita akan material dunia yang indah untuk dimiliki.
Lupa seketika akan nikmat syurga yang kekal abadi.

Pendedahan tentang syurga adalah usaha permulaan yang baik untuk mendidik kanak-kanak menjadi baik daripada memperkenalkan mereka dengan sesuatu yang lagha hingga ke besar.

Semoga pendedahan awal itu dapat memacu iman mereka menuju jalan diredhoi Ilahi hingga ke akhir hayat.

Pesan akhirku sebelum mengakhiri kelas, " Kita perlu susah dahulu di dunia untuk hidup senang di dalam syurga."

Kenapa susah???

Susah untuk meninggalkan permainan video, televisyen dan kawan-kawan untuk mendirikan solat.

Susah kerana terpaksa berlapar berpuasa di bulan Ramadan.

Susah untuk mendengar nasihat ibu-bapa dan guru-guru.

Susah untuk belajar dan menyiapkan kerja sekolah ( tambahan untuk menaikkan motivasi mereka ).

"Ustazah nanti cerita lagi na," pinta hampir separuh murid tahun tiga yang susah hendakku kawal tahun lepas kerana kenakalan beberapa orang daripada mereka.
Ditambah dengan title guru baru yang tidak pandai mengawal keadaan dan mengunakan psikologi.

"Insyallah," sahutku ringkas.

Dalam hati berkata," mengena juga perangkapku pada kali ini dengan izin Yang Maha Esa."

Selasa, 24 Februari 2009

Khan el-khalili

Bazar Khan el-khalili diletup lagi.
Berita melaporkan bahawa ini merupakan kali ketiga ia berlaku.
Kali ini mengorbankan warga asing dan mencederakan beberapa orang termasuk rakyat tempatan.
Ia adalah tindak balas serangan Israel ke atas Palestin.

Pada 2005 ketika aku masih di bumi Musa itu ia pernah dibom sekali.
Kak Ngah, adik pertama mengirim pesanan mak melalui sistem pesanan ringkas agar aku tidak pergi ke bazar tersebut.
Itu adalah pesanan kedua selepas melarang aku ke Sinai bersempadan negara haram Israel kerana berlaku pengeboman.
Waktu itu mak dan keluarga mengambil tahu 100% tentang berita di negara penuh sejarah itu.

Bazar itu terletak berdekatan Masjid Saidina Hussein iaitu cucu kepada baginda Rasulullah s.a.w.
Juga berdekatan dengan jami'ah Al-Azhar lilbanin (universiti al-Azhar pelajar lelaki).
Tempat strategik yang mempunyai pelbagai infrastruktur dan fungsi.
Ramai pencari ilmu kerap ke sana untuk bertalaqi (belajar kitab dengan Syeikh terkenal).


Aku mempunyai memori dengan Khan el-khalili apabila keberanian tercabar ketika terpaksa menjadi musyrifah (ketua) membawa pelajar-pelajar dari Insaniah yang beberapa minggu lewat tiba ke Mesir berbanding kami dari Kusza.
Tercabar adalah kerana lemahnya aku dari segi mengingati jalan dan tempat.
Sedangkan di Kulim pun aku sesat beberapa kali mencari jalan pulang ke Sungai Petani.
Inikan bumi orang yang baru dijejaki masih begitu asing bagi diri ini.
Mujurlah bus stop dan pokok masih ada terpasak di bumi sebagai panduan.
Jika tidak, sesatlah aku seteksi.
Ragam pemandu teksi sana perlu penumpang menunjukkan jalan.
Jadi penumpang perlu betul-betul cekap dan kenal jalan di sana.

Pelikkan???
Tapi begitulah keadaannya kerana mesir merupakan sebuah negara yang luas dan rakyat yang bekerja di Kaherah sahaja datang dari rata tempat di seluruh Mesir.

Jika di Malaysia aku selesa membeli barang di pasaraya.
Di Mesir aku suka ke bazar walaupun sesak dengan manusia, keldai dan kereta kuda.
Itu tidak termasuk lagi bau najis haiwan-haiwan tersebut.
Jerit pekik penjual menjaja barang jualan, pembeli menawar harga dan pergaduhan yang merupakan perkara biasa di sana.
Semua itu membuatkan kulali kerana harga barangan yang berpatutan sesuai dengan tahap kewanganku yang cukup-cukup sahaja.


Paling penting adalah tabiatku yang suka melihat ragam bangsa arab sebagai ilmu luar kuliah
mengenali budaya, lahjah ammiah (loghat tempatan) dan adab mereka sebagai ole-ole untuk menulis barangkali.


Hajat untuk bertalaqi tidak kesampaian kerana kurangnya keberanian untuk pergi berseorangan.
Jika di Iskandariah hampir penjurunya boleh dijejaki.
Namun, Kaherah sebagai tempat persinggahan kadangkala agak sukar untuk dibuat-buat berani.
Mungkin pada masa hadapan???
Jawapannya boleh jadikan dengan izin Allah.

Puasa juga pernah diuji ketika terlajak bas hingga ke stesen maka perlu berjalan kaki untuk berpatah kembali ke bazar bersama seorang junior.
Haus dan kering tekak usah dikira.
Menyinggah ke masjid melaksanakan kewajipan dilengkapi wuduk sebagai penyegar badan.
Fokus kepada Allah yang memberi ketenangan sukar dibicara.


Hijrah pendek selama dua tahun di sana belum cukup sebenarnya untukku mengutip ilmu, mengenali budaya dan bangsa Mesir namun cukup untuk membuatku kurindukan negara yang bertembung kuat antara hak dan batil

Isnin, 23 Februari 2009

CINTA ke-3

'CINTA kepada Allah'
'CINTA rasul'
'CINTA ibu-bapa'
lirik nasyid nyanyian kumpulan Saujana ku lagukan ketika memandu menyingkap jasa dan pengorbanan mak dan abah yang membesarkanku dengan jerih perih.
Aku dikandung dengan menyentap kesihatan mak selama 9 bulan terkulai lemah.
Aku dibesarkan dengan kudrat abah membanting tulang empat kerat siang dan malam.
Terima kasih mak abah yang sanggup menerimaku di dunia ini dengan mengorbankan kesenangan kalian.
Aku beruntung tidak dicampak merata di penjuru alam dalam kementahan mengenal dunia.
Rakan sekerja bercerita akan ralatnya dia tidak dapat berbicara saat akhir ayahnya kembali ke rahmatullah Khamis lalu.
Bukan tidak mahu melayan bicara seorang ayah namun tuntutan kerja yang menuntut masa melangsaikannya menyekat semua itu walau tinggal berdekatan.
Hakikatnya kematian dihijabkan Ilahi maka pemergian orang tersayang adakala tidak dijangka dalam sekelip mata.
Fitrah manusia tidak menghargai yang ada di depan mata.
Lebih baik berjauhan sering merindui dan menghargai.
Sukmaku tersentuh teringatkan jasad yang jauh di Timur Tengah 4 tahun lampau.
Sering merindui dan mimpikan keluarga tercinta.
Kini sebumbung adakala hanya bertembung.
Berbicara boleh dikira beberapa patah sahaja kerana tuntutan dunia meneruskan kelangsungan hidup.
Hati mula berbisik lembut andai ibu bapaku sudah tiada.
Mustahil untukku berbicara seperti sediakala.
Suara mereka pasti terngiang-ngiang di telinga.
Hanya airmata melampiaskan rindu bersama kiriman al-Fatihah, yaasin dan doa.
Semasa mereka masih ada apatahlagi di depan mata tidakkan kusia-siakan mereka walau kesibukan meregut masa.
Ku mahu kalian bahagia dalam kesingkatan menghirup udara dunia dengan anakmu sebagai permata memimpin tangan kalian menuju syurga.
Amin ya Rabb.
Kerana mak abah airmata tegarku sudah menitis sambil dada menahan menahan sebak.
Hargailah ibu bapa selagi mereka masih ada.

Ahad, 22 Februari 2009

Hikmah yang tersingkap

Perasaan bercampur baur antara resah, gelisah, kecewa, marah, suka dan bersyukur.
Susah untuk mentafsirkannya kala ini.
Cuma punya motivasi dalaman yang sedikit pemberian Ilahi sebagai pendorong kekuatan.
Soalan yang pernah ditanya kepada seorang pensyarah tentang cara untuk mewujudkan motivasi dalaman kepada anak didikku di kawasan luar bandar ini.
Namun, jawapannya masih belum memuaskan hati.
Akan ku terus kucari dengan pengembaraan ilmu dan pengalaman hidup.
Pastinya semua dari Ilahi.

Daerah jelapang kembali berair dengan hujan yang turun menyimbah bumi lewat dua hari ini.
Rahmat Ilahi yang memakbulkan doa mak yang senantiasa memohonnya setelah bahang mengisi ruang atmosfera sekian lama.
Allah masih menyayangi kita kerana rahmatnya masih mengiringi ketika alam melayani fenomena dan ragam manusia yang pelbagai cerita.
Sesaat sahaja kisah baru akan meletus semudah manusia mendapat tahunya dengan hanya menekan 'klik' pada papan kekunci.

Telah tersingkap sesuatu yang dirahsiakan Ilahi dalam kesukaran yang menimpa walaupun setakat ini hanya sedikit yang dibuka.
Penggeledahan beberapa teori dan model pengajaran di dalam modul dan internet untuk menghasilkan penulisan jurnal dan refleksi secara tidak langsung dapat diaplikasikan di dalam kelas.
Itulah gunanya segala teori dan model yang dicipta oleh pakar-pakar sejak dari dulu melalui kajian dan pengalaman yang memakan masa.
Itulah juga sebabnya ia termasuk dalam sukatan pelajaran bagi bakal-bakal guru yang akan mewarnai dunia pendidikan negara.
Semua bersebab. Tidak dibuat tanpa sebab dan untuk disia-siakan.
Melatih menjadi guru yang mampu beridea kreatif dan kritis.
Tidak hanya menciplak idea turun temurun generasi ke generasi tanpa idea segar mengikut peredaran zaman, persekitaran setempat dan psikologi murid.

Hari ini satu teori yang menggunakan peraturan yang dibaca secara tidak langsung telah dilaksanakan dan ternyata ia mampu mendisplinkan anak didikku di tahap satu dengan izin Allah.
Satu hari tidak cukup untuk keberkesanannya.
Pelaksanaan dan pengamatan secara berterusan amat perlu untuk hasil yang maksimum.

Jika ia terlaksana maka hariku akan kembali mekar dan cerah umpama bunga dan matahari satu-satunya bunga yang berjaya mencuri hati ini.
Chaiyok....chaiyok...biiznillah.

Jumaat, 20 Februari 2009

Demi MASA

"Mari kita sudahi perjumpaan kali pertama ini dengan tasbih kifaroh dan suratul a'sr," kataku kepada murid-murid Persatuan Agama Islam ketika ko-kuriklum pada hari Rabu dua minggu lepas.

Sural al-Asr merupakan sebuah surah pendek yang mengandungi makna besar dalam kehidupan. Pepatah mengungkapkan 'masa itu emas'. Guru tuisyen semasa tingkatan 5 pernah mengubahnya menjadikan 'masa itu seperti uranium' kerana katanya uranium lebih mahal dari emas. Apa sahaja ungkapan untuk masa ia berlalu sepantas kilat. Sebentar cuma tidak menghargainya akan berlalu pergi tanpa bayangan dan putar kembali.

Masaku kini semakin sempit dengan kerja-kerja yang terbengkalai dan ditimbun dengan tugasan baru. Bukan sengaja membiarkannya melambak cuma masa terlalu singkat untuk dilangsaikannya. Pinjam kata-kata seorang sahabat yang kini sering bermain di ruang hati. 'Ada kemahuan tetapi tiada kemampuan'. Itulah kata-kata yang layak dituturkan oleh seorang guru zaman kini. Berbeza 20 tahun lepas. Guru-guru matan di sekolah bercerita bahawa tahun 80an dahulu kerja seorang guru mudah tidak seperti sekarang. Zaman sekarang selain mengajar terlalu banyak data yang perlu dibuat. Sesuailah dengan tangga gaji zaman sekarang kata emak pula.

Aku letih hendak mengulas panjang cuma jika diberi kesempatan oleh Allah biarlah kerja-kerja ini langsai dengan ikatan keikhlasan. Hari-hari mendatang punya ruang waktu untuk menghabiskan bacaan buku-buku yang dibeli dan dapat menulis walau sebaris kata.

Masa juga meragut usia dua insan tersayang PK1 dan guru sains apabila dalam kesibukan menyiapkan kerja menerima panggilan guru matematik memberitahu tentang pulangnya ayah dan ibu dua orang guru itu ke rahmatullah pada hari ini.

Hati berdetik 'memang singkat hidup ini sesingkatnya 24 jam dalam sehari'.

Ahad, 15 Februari 2009

Cerita satu malam

Badan yang penat disandar ke tilam empuk buat menghilangkan lelah seharian di pejabat.
Mata terkatup rapat sambil bibir terkumat-kamit membaca basmalah serta beberapa surah.
Akhirnya minda sedar hilang ditelan lena dibuai mimpi.

Jam telefon bimbit berdering menandakan jasad perlu bangun dari pembaringan semalam.
Hari baru bermula bakal mengerakkan diri kembali bekerja mencari rezeki menyuap anak isteri. Alangkah indahnya jika hari ini cuti. Telah hati masih sempat bersuara.

Langkah diatur menuju ke kamar mandi buat menyegarkan anggota badan sebelum menunaikan solat Subuh kewajipan untuk seluruh umat. Ketika menuju ke kamar yang berposisi di belakang rumah tiba-tiba bola mata hampir tersembul keluar. Dua tingkap sudah ternganga tanpa cermin.

"Ya Allah, apa dah jadi ni," sambil hati beristighfar memujuk jiwa yang resah.

Terus tapak berpusing kembali ke ruang tengah sambil mata melilau mencari sesuatu. Komputer riba yang berharga 3 ribu lebih sudah tiada di tempatnya. Langkah laju ke meja sisi ruang tamu. Mata fokus ke arah meja beralas kain bunga-bunga. Telefon bimbit yang baru dibeli minggu lepas berharga hampir 1 ribu setengah juga sudah lesap.

"Ina, rumah kita sudah dimasuki pencuri," jerit suami kepada isteri yang masih terpisat-pisat mengenyeh mata.

*******

Kisah ini berdasarkan kecurian yang rancak berlaku di kawasan perumahanku. Ramai yang berkata pencurinya adalah mat-mat pit (kaki dadah) yang sememangnya orang kawasan sini. Pastinya orangnya berbadan kurus kerana cuma 2 cermin ditanggalkan.

Usah diduga nanti salah sangka mempalitkan dosa. Mungkin juga peringatan untuk warga yang leka agar kembali pada-Nya untuk bersatu di bawah lembayung ukhuwah.

Alangkah amannya dunia dari kes-kes seumpama ini jika hukum Allah dilaksanakan. Allah sudah berpesan melalui kalamnya yang nyata di dalam al-Quran tapi manusia mempertikaikannya. Al-Quran hanya dibaca tanpa cuba difahami makna dan mentaabur isinya. Mungkin juga buat-buat tidak mengerti untuk kepentingan peribadi.


Wallah hu Taala a'lam.

Rabu, 11 Februari 2009

Memori klasik di Perak

Atenye tak tau kenape teman dua tiga menjak ni asyik terkelour bahase perok aje. Teman idok ler nak menguleh ape-ape cumenye sebut pase perak ni teman teringat kisah kanak-kanak dulu. Teman lame juge tingge di sane. Dari umo 9 taun sampe 12 taun. Kiranye4 taun tue banyok juge memori dengan orang sane. Kawan-kawan teman le sape lagi yang idok penah teman jumpe lepes teman balik ke Kedoh.
Kirenye mula dari sane le teman betui-betui kene alam sahabat. Bagi teman walaupun deme bukan orang kampung teman tapi teman dilayan baik. Sampekan mase ateh kete nak balik Kedah teman nangis separuh jalan. Jadinye paling ke tingkap aje le (nak cover ayu nanti adik-adik nampak...he...he). Ikut ati teman idok le mau balik tapi abah teman udoh pencen. Buat mendenye teman dok sane sorang-sorang.

Hujung 2007 teman ade le pegi sana dengan famili teman. Nak ziarah jiran-jiran dan sahabat-sahabat le atenye tapi masa udoh telan semuanya. Bukan setakat jiran-jiran dan sahabat-sahabat tak ade. Kawasan rumah teman pun udoh rope utan simpan Pahang. Idok le maksud teman nak hine tempat di kelilingi bukit dan lombong yang udoh dikambuih itu tapi udoh ilang serinya tak macam mase teman tingge sane dulu. Sedih pulok nengoknye.


Sempat juge nyinggah sekolah lame teman melalui jalan kampung yang pernoh teman lalu dengan basikal mase nok pegi sekolah dulu. Udah sunyi macam kampung cerite Puaka Niyang Rapik ropanya. Sekali lagi bukan nok hine tapi sedih pikionye nape jadi rope itu. Kede-kede tempat singgahan teman untuk membeli kacang sebagai kudapan berkelah tepi lombong lepes balik sekolah(mak larang sebenornye) pun udoh boleh buat filem seram. Sekolah teman pun udoh idok ade serinye. Terbayang mase teman bersame sahabat-sahabat kelas biru. Mase itu le teman jadi murid kesayangan cikgu Rohani (guru kelas teman). Teman jadi puteri Gunung Ledang bagi budok laki keles. Teman jugok le penasihat bagi rakan-rakan perempuan kerana teman ni suke nasihat deme. Deme yang beri semue gelaran-gelaran tu. Bagi teman zaman itu tak de mende yang sedih melainkan happy aje.

Sebab nak happy aje le teman akan tarik moncong bile mak teman nyuruh dokong adik kelima yang montelnya macam anak jepun(sekarang udoh rope mamak..he..he). Udoh le idok dapat main galah panjang (orang Kedah call main toi)depan romah kene dokong baby besor pulok yang teman sekali nak terbalik. Teman ni anak sulung jadi kene buat macam-macam kroje. Malam pule teman cukup takut bile kene kluor mangga pagor. Ape idoknye, kawasan romah teman dari dulu memang menyeramkan. Sebabnye anak india suke terojun lombong bunoh diri. Tengah malam perenah juga dengor orang basuh kain, cuci lantai itu nyebabnya naik bulu rome teman. Tapi apa pun yang teman dengar dan adik teman nampak sronok sungguh dudok sane.

Malam-malam bulan pose lepes aje buke teman dan adik-adik udoh langkah tembok romah jiran sebelah nak main barbie doll, sahibba, saidina dan pelbagai kad. Teman ni idok ler suke doll tapi suke sebab barbie ni ade peralatan macam orang. Mahalnye usoh kire. Jiran buleh membelinya sebab anak orang berade. Malam juge mak teman nyuruh pegi kede membeli dari garam, tepung hingga ke gula yang letaknye beberapa romah aje dari romah teman. Walaupun dekat tapi teman riso sebab banyak anjing. Heret adik teman sorang buat peneman. Di sane juge le teman accident 1st time. Accident beskal kerane teman ni suke ngayuh beskal macam nak racing. Mase tu pulok bawa adik teman yang nombor empat. Melambung die. Riso teman maka cepat-cepat pegi nengok die. Mujo die selamat(jiran teman pun selamat). Ropenye teman yang luke berbulan juge nak baiknye. Mak abah teman idok taunye. Saje tak nok kabo nanti kene maroh. Berubat sendiri le.
Hai rindunye teman zaman dulu. Udoh rope mane le sahabat-sahabat teman ye. Tingin sangat nak jupe deme. Moge deme bahagia dunia dan akhirat. Juge buat sahabat-sahabat sekarang yang akan menjadi klasik di mase depan. Moge sentiasa berhubung hingga maut menjemput pulang.

Selasa, 10 Februari 2009

Be Happy

Sebagai manusia kita layak mendapat kebahagiaan dalam kemelut yang melanda. Muhimnya (pentingnya) adalah diri kita yang pandai mencipta kebahagiaan itu dalam kemarau masalah yang membahang saban waktu.

Masalah sering melanda tidak mengira pangkat, darjat, keturunan, taraf, jantina, bangsa dan agama. Ia datang kepada seluruh makhluk bukan sahaja manusia. Bezanya , manusia hebat dihujani masalah kerana anugerah akal yang dapat digunakan menyelesaikan masalah. Ditambah anugerah IMAN yang memandu akal menyelesaikan masalah secara berhikmah dan amal yang diniat kerana Allah tuhan yang Esa.


Kegawatan masalah yang mendatang menduga emosi yang mencernanya. Bahagianya bagi mereka-mereka yang mampu mengawal emosi dari melampiaskannya kepada insan sekeliling. Kesabaran memerangkap emosi marah dari membanjiri suasana. Senyumlah kepada semua tika menghadapi masalah.

Masalah itu akan selesai walau cepat atau lambat. Jika selesai maka ruang-ruang ceria kembali memenuhi hati. Mungkin kebahagiaan tidak dikecapi di dunia namun di akhirat tetap mendapatnya. Allah tidak terlepas pandang akan semua itu. Makin hebat masalah maka ganjarannya adalah makin bahagianya diri tika masalah koma di dunia dan noktah di akhirat.

******* Semoga semua sahabat (pembaca) memperoleh kebahagiaan seiring nafas yang masih
bernyawa. Jika saudara di Gaza mampu bahagia dengan keamanan sementara yang
mungkin dirampas bila-bila masa. Inikan kita yang menyedut oksigen di negara yang
aman dari dijajah mana-mana negara secara lahiriah.


Kebahagiaan abadi adalah di syurga hakiki....

Ahad, 8 Februari 2009

Iskandariah dan aku

Bayu lembut menampar wajah ketika merentasi pantai Mandara beach menuju ke Assofira beach yang memakan masa 5 minit perjalanan. Hayunan kaki laju melalui persisirannya yang melengkung menuruti lautnya yang membiru.
Usapannya yang sejuk mendamaikan musim panas yang membahang di negara kelahiran para nabi itu. Menenangkan jiwa yang berkecamuk sarat masalah yang tidak pernah surut datangnya. Meredakan emosi yang bergejolak kerana sikap sesetengah insan sekeliling yang menduga keimanan.

Pantai yang dikerumuni manusia untuk merasai segar airnya dan memenuhi cuti musim panas yang panjang agar jasad dan minda dapat rehat dari bebanan tugas harian. Musim itu laut tidak sunyi diziarahi manusia siang dan malam. Laut waktu tengahari yang tidak nampak airnya hanya hitam rambut manusia mengapungkan diri di dalamnya.

Deretan bangunan menghiasi pantai cantik tersusun dengan mahkamah, universiti, pejabat kerajaan, kedai dan cafe. Perpustakaan terbesar di Asia idea arkitek jepun juga utuh di depan simbolik patung wanita bersama seekor lembu juga berdepan pantai itu. Perjalanan menuju ke tanjung melawati Qaitbey Citiadel menaiki van tidak bosan dengan pemandangan persis Eropah.

Jaulah menaiki kereta kuda memberi lebih nikmatnya. Sekaligus memberi rezeki kepada ammu2 (pakcik2) arab yang menanti pelanggan dengan tambang yang boleh dirunding harganya. Menjelajah bukan sekadar persisiran pantai malah makam-makam para sahabat yang terdapat sekeliling selatan Iskandariah yang dijaga rapi penduduk setempat.

Ombak kuat menghempas tebing menjadikan pantai lengkap sifatnya. Suaranya bergema di cuping telinga menjadi irama tanpa lirik. Cantiknya ciptaan Ilahi dengan nikmat dan faedah yang berguna untuk yang pandai menikmati ciptaannya. Walau ombak mampu mengganas meranapkan sebuah pulau. Ia tetap memberi nikmat pada yang mampu menilai harga sebuah kejadian yang melengkap sistem biologi alam.
Iskandariah kurindu gemersik lautmu
kurindu hidu masinnya air laut itu
dalam bahangnya mentari sita' (musim panas)
menghilang bebanan masalah
menghayun kaki menelusuri pinggirmu
merasai panasnya pasir2mu
merasai suamnya airmu
aku rindu semua
bilakah kita akan kembali bertemu???

Sabtu, 7 Februari 2009

Airmata & semangat Gaza

Sebak melihat penderitaan warga Gaza dalam Majalah 3 sebentar tadi. Jangankan wartawannya, Nurul Syuhada menangis berdepan melihat mangsa-mangsa fosforus putih, aku yang cuma berdepan skrin pun membendung airmata merembes keluar dari kolam mata. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Semoga penderitaan mereka di dunia dipermudahkan di padang Mahsyar kelak. Dalam menghadapi penderitaan, jiwa mereka tetap berkobar dengan jihad mempertahankan tanahair dari diceroboh dan dijajah zionis. Bangga kerana anak-anak bergelar syuhadak. Poster yang mengabadikan gambar perjuangan anak-anak mereka digantung kemas. Ada yang berazam menyambung pengajian untuk mengejar cita-cita walau kaki sudah tiada sebelah. Kuat sungguh semangat mereka menghadapi kemelut penderitaan hidup.

Kemusnahan sengaja dibiarkan dengan kasut, serpihan pakaian berlumuran darah dan sisa peluru zionis. Malah, daging yang bertempek di dinding dan tulang dibiarkan sebagai tatapan dunia akan kezaliman zionis tidak berperikemanusiaan. Nyatanya daging dan tulang sanggup dibiarkan kerana tidak berbau bangkai sebagai lazimnya malah berbau harum sesuai dengan gelaran syuhadak.
Ini adalah tatapan dan coretan untukku dan kalian yang membaca agar menghadapi mehnah hidup ini dengan sabar, tabah dan semangat yang kuat dengan meletakkan Allah di atas segala-galanya.
*** Untuk aku yang kekadang dirundung gelisah setelah mengenali pensyarah pembimbing dengan kehendak-kehendaknya yang ada sesetengahnya sukar dimengerti. Namun dia juga manusia yang mampu ditundukkan hati oleh yang Maha Esa. Dalam sifatnya sebegitu aku tahu dia juga punyai kebaikan kerana selepas berjumpa ketika menuju ke kereta untuk pulang hatiku berkata " baik juga ustaz ini rupanya, tidak seteruk yang diwar-warkan bekas penuntut IPDA."

Jumaat, 6 Februari 2009

Benar atau salah?

Ketika ke bank membuat pembayaran pinjaman kenderaan tengahari ini datang dua orang remaja perempuan berusia lingkungan 14 tahun memohon sumbangan derma maahad tahfiz di utara Kedah. Dialog remaja tersebut.
"Kak,minta derma untuk sekolah tahfiz dan anak-anak yatim, kak boleh beli cd ini atau beri sumbangan ikhlas," tuturnya seperti penjual MLM.
"Sekolah tahfiz kat mana ni?," tanyaku sedikit meragui sambil mengambil sijil perakuan kutipan derma yang diluluskan Jabatan Agama Islam. Sijil kusam mengaburkan tulisan kurenung sekilas.
"Sekolah kat Kuala Kedah ka?, kuulang pertanyaan dengan ayat sedikit berbeza.
Remaja itu mengiyakan tanpa kata-kata dan anggukan yang nampak sedikit gelabah. Reaksinya itu menambah keraguanku. Ditambah adabnya seperti pelajar yang disoal siasat oleh guru disiplin untuk mempertahankan diri. Demi masaku yang semakin sempit sedekah untuk mereka buat mengalas perut walaupun keraguan masih bermain di minda akan kebenaran orang zaman sekarang mengutip derma. Tidak semua yang menipu namun kerana sedikit yang melakukannya untuk mendapat rezeki cara mudah maka semua terkena tempiasnya. Mungkin remaja itu hanya mangsa kepada individu atau mana-mana pihak namun ia tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana imej islam dan Malaysia akan terjejas. Sekaligus menjebakkan pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang agama ke arah dosa dan perkembangan yang tidak sihat.
Dunia hari ini dilanda taufan. Taufan yang melanda Palestin masih belum pulih hingga kerugian negara yang bernilai jutaan ringgit bagaikan padang jarak padang terkukur. Sri Lanka berperang sesama sendiri. China pula sudah mengisytiharkan darurat kemarau bakal menjejaskan ekonomi petani pada negara yang tidak terkena bahang ekonomi dunia itu. Nasib malang muslim Rohingya yang tertindas. Malaysia pula masih belum usai bab politik sejak pilihanraya lalu yang menjadi sejarah kerana empat negeri dimenangi pakatan rakyat. Hari ini Perak kembali jatuh ke tangan BN akibat bahang lompat parti. MB bertukar ganti. Wajah Perak akan bertukar situasi. Hanya Allah mampu menilai kebenaran dan keikhlasan hati seseorang. Marilah muhasabah akan sebuah kemenangan sementara. Mungkin ada hikmah yang dirahsiakan-Nya. Kepada pemenang samada sah atau tidak. Betulkan niat kerana Allah taala.

Khamis, 5 Februari 2009

Tag:Dera atau pengikat ukhuwah?

Mujur malam ini adalah malam cuti hujung minggu bagi negeri Kedah maka dapatlah menjawab tag cik sri sufi yang sudah beberapa hari terbengkalai oleh kerana kesibukan menulis buku rancangan mengajar harian.
Penantian juga sudah berakhir kerana pertemuan dengan pensyarah sudah berlangsung secara tidak formal di sebuah kedai makan di Sungai Petani. Maka, segala kekusutan sudah terhurai dengan tunjuk ajar diberi oleh Ustaz Aziz petang tadi. Segala kesalahan diperbetulkan. Masalah diselesaikan. Walau masih belum usai. Jiwa makin lapang. Namun, satu tanggungjawab terpundak di bahu iaitu mengkhatam buku panduan j-QAF dan stadi awal akan modul-modul maktab seperti arahan ustaz untuk dipraktikkan dalam p&p. Nampaknya sesi stadi awal berbanding perancangan asal selepas praktikum untuk menghadapi peperiksaan Jun nanti. Whatever, moga Allah permudahkan segalanya. Doakan kejayaan kami j-QAF 2008. Chaiyok-chaiyok.
Rules: Use Google Image to search the answers to the questions below. Then you must choose a picture in the first page of the results, and post it as your answer. After that tag 6 people..
1. I AM
--> nature ( fitrah )...manusia yg mempunyai kelebihan dan kekurangan.

2. I really want to go to?
--> Selain Mecca for ibadah bawa mak abah, nak juga pergi Australia. Sebab byk tempat mnrik utk dilawati. Sudah ada hamba Allah yang hendak ditumpangi cuma duit aje kena kumpul lagi.
InsyAllah biiznillah.

3. My Favourite Place?
--> semestinya laut...pandang saja pun dapat pahala. Dua tempat belajar dahulu dekat laut juga. Dapat umah tepi laut...perghh...besnya...ngadap ia aje

4. My favourite Things?
--> 1. Buku lah...pantang masuk toko buku la budda (tidak dapat tidak) sure beli sekurangnya satu. Budget tiap bulan mesti ada utk mende alah ini.


2. Kitabullah la budda dibawa ke sana ke mari sebagai panduan hidup. Boleh baca and tadabbur makna dan isinya.



5. My Favourite Drink?
--> sky juice utk mengurangkan badan yg selalu dehidration selain murah, mudah di dapati dan disediakan


6. My Favourite Food?
--> Gizi pemakanan seimbang untuk menjaga badan kurniaan Ilahi agar ibadat dapat dilaksanakan


7. My Favourite Colours?
--> Green...sejuk mata memandang


8. I Live In?
--> Rumah yang dapat berlindung dari tatapan umum (ajnabi) ...hujan dan panas


9. I was born in?
--> Jelapang padi...ohh negeriku..walau ruangmu kecil tatapi suasanamu tatap kurindui di mana saja ku jelajahi


10. School, college & uni i attended?
--> Sek banyak sangat daa...Kusza (sekarang UDM) ganu and al-azhar Iskandariah...rindunya laut mediterranean


11. My Favourite Story?
--> Banyak sebenarnya tapi yg ini lain sikit...seronoknya bukan ttg cinta tapi nilai hamba terhadap tuhannya...syabas kang Habiburrahman El-Shirazy


12. My hobby?
--> 3M ( membaca, menulis & melukis )...sekarang dua yg depan tu aje yg selalu dibuat.

13. My ambition?
--> i want to be a lecturer...selain round travel a world utk melihat ciptaan Ilahi sebagai wadah ilham utk terus menulis n menulis n menulis ( bila nak hbs daa )


14. mangsa tag seterusnya...haha...saja suka-suka ma mau kenakan u all...kalau bz tak nak jawab pun takpe...ana afham
--> syahidah-dora-akak sohaina-solehah-mimi-zahirah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...