? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Sabtu, 31 Oktober 2009

Jodoh setakat itu..


Aku sering bermimpi Comey bermain di taman. Aku benar-benar merindui Comey. Tidak lepas bertanya tentang kucing kesayanganku itu apabila menelefon keluarga di Malaysia. Sehinggalah pada suatu hari naluriku kuat mengatakan sesuatu telah menimpa Comey. Lalu aku menelefon Mak untuk menidakkan rasa itu. Mak seperti mengelak dan menyembunyikan sesuatu apabila aku bertanya tentang Comey. Akibat diasak pertanyaan bertubi-tubi Mak memberitahu bahawa Comey telah beberapa hari tidak pulang ke rumah. Darahku tersirap. Benarlah runtunan kata-kata naluriku ini.

Aku kuatkan hati untuk menerima kenyataan bahawa 13 September iaitu tarikh aku bertolak ke Mesir adalah perpisahan selamanya antara aku dan Comey. Renungan sayu matanya seolah-olah berat untuk melepaskanku pergi memberitahu bahawa jodoh kami tidak lama. Ia enggan menjamah makanan yang menyatakan bahawa ia berat untuk berpisah denganku. Tanda-tanda itu membuat pandanganku keluar tingkap Malaysia Airlines membelah awan biru nampak kosong dan hambar.

Aku terharu kerana Mak dan Abah memegang amanah menjaga Comey sehingga sanggup tidur di ruang tamu menanti Comey pulang dan mengetuk pintu. Mungkin kerana Mak tidak mahu aku sedih kerana pulang nanti tanpa melihat mata sayu kucing itu lagi. Tidak kutahu punca Comey tidak pulang sehinggalah aku kembali ke tanahair. Mak tidak bercerita. Aku juga tidak bertanya mengelak sebak di jiwa. Kak Ngah memberitahu kemungkinan besar Comey mati digilis tayar belakang jiranku yang mengundur keretanya keluar dari pagar. Segalanya sudah tertulis. Tiada siapa yang bersalah. Aku menerima setelah kubelajar menerima ketiadaannya ketika kaki melangkah keluar rumah untuk ke lapangan terbang. Juga terus belajar tanpanya ketika di ardil kinanah.

Sudah 5 tahun Comey pergi. Kini airmata degilku kembali bertakung di pinggir mata ketika menaip entry ini. Seperti kata-kata adik ketika aku baru pulang dahulu bahawa Comey kini berada di dalam syurga dan nanti kita akan berjumpa Comey kembali di sana. Aku tersenyum dengan kata-kata adik yang ketika itu berusia 6 tahun.

Ketot masuk ke bilik mengesel kaki pada pagi ini. Kini kami mempunyai keluarga Kitty yang agak besar dengan 3 ekor anaknya dari 13 ekor anak yang dilahirkan. Mereka lebih sihat. Juga lebih banyak meluangkan masa di rumah tanpa merayau. Sudah 2 tahun setengah Kitty menjadi ahli keluarga kami. Tidak ada halangan yang menjadi beban menguruskan mereka kerana mereka adalah sebahagian dari kami. Cubit paha kanan maka paha kiri juga terasa. Begitulah ibaratnya.

Ukhuwah itu bukan setakat bermakna hubungan antara individu dan makhluk.
Namun ia membawa maksud susah senang yang diharungi bersama kerana Allah Taala.

Pautan ukhuwah bukan hanya sekadar dinanti ada yang menghulurkan pangkal talinya.
Sebagai yang mengharap kita juga perlu memberi.
Lemparkanlah pangkal talinya kepada sesiapa yang kita inginkan.
Agar pangkal dan hujungnya dapat disimpul dengan jalinan kasih sayang membentuk jalinan hubungan berlandas Al-Quran dan sunnah.
Jangan dibiarkan ruangnya diceroboh makhluk laknatullah walau sesaat.
Agar memperoleh keberkatan dan rahmat Allah Taala.

Khamis, 29 Oktober 2009

Tak kenal maka tak cinta..


'Tak kenal maka tak cinta'

Kata-kata itu bermain-main ketika kereta menyeret rodanya melalui jalan di Kulim. Ke PPD tidak kulepaskan peluang mengenali setiap simpang dan destinasi arah tujunya. Pedoman masa depan agar tidak lagi sesat di daerah itu. Daerah yang asing bagiku suatu ketika dahulu dan masih lagi asing pada tahun lepas. Akibat asing maka aku tidak suka ke sana. Ditambah lagi simpang-simpangnya yang sering mencelarukanku. Terlalu mudahku menyalahkan. Walhal aku sendiri yang tidak cuba belajar mengenalinya terlebih dahulu.

Pandangan pertama tidak perlukan lagi pada sebuah ulasan kerana masih terlalu banyak yang tersembunyi.

Pandangan kedua,ketiga dan seterusnya juga tidak perlukan ulasan apatahlagi cercaan kerana yang diperlukan adalah memahami dan mengenali. Menggunakan pendekatan dan hikmah kerana setiap sesuatu sememangnya dicipta berbeza untuk melengkapi kejadian yang menunjukkan keunikan setiap ciptaan.

Memandu santai sambil membiarkan angin percuma Allah Taala menampar pipi dapat mengenalkanku dengan setiap jalan, lorong dan simpang di situ. Pedulikan sebentar pada amanah yang akan diselesaikan apabila sampai kelak. InshALLAH akan dihantar pada hari ini juga. Membuat sesuatu tanpa gopoh-gapah rasa lebih teratur perjalanan dan hasilnya.

Angin tetap terasa sejuk walau matahari memancarkan terik panasnya. Damainya memandu pulang walau hati tetap tidak puas kerana amanah tidak langsai akibat halangan yang Allah jadikan pada sesuatu yang dianggap mudah pada ukuran kebanyakan hamba-Nya.

Menjadi guru di sebuah sekolah kecil sering dianggap mudah oleh kebanyakan guru di sebuah sekolah besar. Hakikatnya ukuran tidak boleh dijadikan panduan kerana Allah yang sebenarnya yang memudahkan dan menyukarkan sesuatu tidak kira apa ukuran sebenarnya.

Dengan rahmat dan nikmatNya Ia memudahkan. Dengan izinNya juga Ia menghalang. Pasti ada hikmahNya. Pastinya DIA mahu hamba-hambaNya ini menyakini pada sekecil-kecil kelalaian iaitu semua itu adalah dengan izinNya.

Segala pujian dan syukur layak hanya untukNya yang memberi kesedaran pada setitik kealpaan yang tidak nampak dengan hanya sekilas renungan.

Isnin, 26 Oktober 2009

Cemerlang dunia akhirat

Mata melilau mencari Abah dari atas pentas ketika menerima hadiah dan sijil. Abah berdiri di
pintu dewan menandakan seperti baru sampai. Namun kelibat mak dan adik-adik tidak kelihatan. Wajahku kembali sugul. Turun dari pentas aku melilau mencari Abah di serata ruang sekolah. Abah tiada. Benarkah yang kulihat tadi Abah. Hati kian sebak. Airmata yang hendak keluar dipekung sebaik mungkin. Akhirnya beberapa minit kutemui Abah yang tersenyum sambil mengucapkan tahniah. Sesampai di rumah, Mak dan adik-adik berada di atas buaian bawah rumah Tok Cik iaitu tuan rumah sewa kami di Kampung Pinang Taiping. Mereka berpakaian cantik tanda hendak ke sekolah menyaksikan hari penyampaian hadiah dan sijil tadikaku di Sek.Keb All Saint. Namun bas yang dinanti tidak juga tiba.

Drama oleh murid tahun 6

Aku mencari wajah-wajah keluargaku namun hanya terdapat wajah ibu bapa rakan-rakan yang juga jiran tetanggaku. Tahun pertama di Sek.Keb Sungai Raya membawa rezeki kepadaku kerana berjaya menyeret kaki ke pentas mendapat hadiah antara yang cemerlang dalam kelas tahun 3 Biru. Aku sudah biasa dengan kerja Abah sebagai tentera yang bertugas tidak tentu masa. Jika Abah datang maka itu adalah suatu bonus bagi Abah yang dapat menyaksikan kejayaan anak sulongnya ini. Jika sebaliknya hadiah ini akan kubawa pulang dan membukanya di hadapan keluarga. Aku tidak sebak lagi kerana sudah besar. Buat apa aku hendak menangis kerana Abah tidak hadir kerana tuntunan hidup yang perlu menyara kami. Emak dan adik-adik juga tidak hadir kerana kami tidak punya kereta pada ketika itu.

Tokoh murid SKBS tahun 2009

Antara dua pilihan yang perlu kupilih samada untuk terus berada di Mesir sehingga habis visa pada 31 Oktober 2005 dan mungkin juga terus menyambung visa pelancong sehingga tahun hadapan untuk belajar bahasa Arab atau pulang ke Malaysia pada 7 September. Jika tidak kerana kasihankan Kak Ngah yang konvo pada 13 September pastiku tidak perlu kupilih antara dua. Keadaan kewangan keluarga yang sesak pada waktu itu membuatkan Abah dan Mak tidak dapat menghadiri konvo adik pertamaku itu. Justeru kehendak diri yang masih tidak puas meneroka khazanah ilmu dan budaya di sana kulepaskan demi mengembirakan Kak Ngah. Kami tidak mempunyai harta justeru ikatan kekeluargaan inilah yang bakal membawa kebahagiaan dengan limpahan rahmah jika ia dibajai dan dijaga kerana Ilahi.

*******
Hari Graduasi Tahun 6 & anugerah cemerlang SKBS yang dirangkum 3 dalam 1 untuk menjimatkan kos berlangsung dengan jayanya.

Pertama kali menjadi jurukamera kerana berada bawah jawatankuasa dokumentasi sedikit memenatkan. Namun pengalaman mengambil gambar dengan 3 buah kamera digital secara berselang-seli menyeronokkan. Masa yang sama terlibat dengan jawatankuasa hadiah yang agak kelam-kabut sedikit dipuncaknya tanpa senarai nama untuk hadiah guru-guru.

Berada di sekolah pendalaman sebegini penjimatan kos sering diutamakan. Justeru anjuran Islam supaya berjimat-cermat telah diamalkan. Tidak perlu ada tema untuk sesuatu majlis dengan perlu mencari pakaian yang bersesuaian. Semua itu hanya kehendak. Walhal dengan duit untuk dibelanjakan itu dapat disalurkan pada murid-murid yang berada di paras bawah kemiskinan. Mungkin juga dapat membeli alat mengajar untuk murid-murid pemulihan yang langsung tidak mengenal huruf.

Biar dipandang hina oleh manusia kerana manusia memang tidak pernah berpuas hati dengan manusia lain.
Asal dipandang mulia oleh Allah Taala yang tidak pernah mengugat jiwa yang senantiasa rindukanNya walau seribu dugaan menerpa.

Khamis, 22 Oktober 2009

Nil menemukan kami..



"Kita tolong orang, Allah tolong kita," kata-kata Jia, ahli bait Khaulah Azwar di Iskandariah dulu terngiang-ngiang di telinga.

Kelmarin aku mendapat kad jemputan walimatul urus dari Jia yang pulang ke Malaysia awal dariku. Sebelum membukanya aku sudah dapat meneka bahawa itu adalah kad dari Jia. Ia kerana beberapa minggu lalu, Jia yang senyap dari khabar berita itu tiba-tiba sms meminta alamat rumah.

Kad berwarna hitam dan bertulisan emas amat menarik perhatian kerana sebelum ini belum pernah kad sebegitu diterima. Menariknya lagi perkahwinan serentak tiga beradik yang akan berlangsung pada hari yang sama. Namun perhatianku lebih tertumpu pada nama waris yang mewakili ibu dan bapa sahabatku itu yang kubaca berulang kali untuk menyakinkan. Nama kedua-dua ibu dan bapanya ada perkataan allahyarham dan allahyarhamah.

"Bila ibu bapa Jia meninggal?"
"Meninggal sebab apa?"
"Kenapa aku tidak mengetahuinya?"

Persoalan-persoalan itu tertanya-tanya tanpa jawapan. Patutlah sekian lama Jia menyepi. Sms juga tidak dibalasnya.

Jia seperti adik bangsu kami di bait Khaulah Azwar. Personalitinya yang manja dan keanak-anakan sering membuatkan tercuit dengan suara dan tingkah lakunya. Namun aku kagum pada sifat berdikarinya walaupun dia berpesonaliti begitu.

Aku tahu keperitan beberapa ujian yang dilaluinya di sana. Airmatanya pernah tumpah mendepani ujian bersama anak cucu Adam dan Hawa. Coaster yang disewa bersama beberapa rakan ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia juga pernah terlewat dari masa yang ditetapkan. Ketika itulah kami rakan-rakan akhawat mengangkat beg dari beberapa tingkat yang tinggi naik ke atas coaster dan menurunkannya kembali ke lapangan terbang Kaherah. Walaupun penat itulah pertolongan terakhir kami di bumi Musa yang mana pulang ke Malaysia belum pasti akan bertemu semula.

Bila difikirkan sedihnya kami berpisah dengan sahabat di lapangan terbang Kaherah seumpama kami berlainan negara. Entah apa yang menyedihkan sedangkan Malaysia negara kecil dengan zaman teknologi yang memudahkan perhubungan. Dua kali fikir mungkin kerana ukhuwah. Mungkin juga kerana masa yang akan merubah segalanya. Itulah barangkali yang mendorong kesayuan.

Sahabat itu diuji untuk terus berdikari sesuai dengan kemampuannya. Aku juga diuji namun dalam bentuk berbeza. Justeru ujian yang didatangkan kepada orang lain yang tidak mengenai kita harus diambil sebagai pedoman. Bukannya mengukur tahap ujian mana yang lebih dahsyat dengan mengatakan kita sahaja yang teruk diuji. Isinya adalah bagaimana kita menangani setiap ujian itu. Klimaksnya pula adalah kita berjaya mendepaninya sehingga menaik tarafkan keimanan kita di sisi Allah Taala.

Allah dekat jika kita dekat padaNya dengan limpahan rahmatNya..
Allah juga dekat jika manusia jauh darinya dengan peringatan dariNya..beruntunglah selagi Allah menyedarkan kita dari sekelumit kesalahan dan kelaghaan.

Khamis, 15 Oktober 2009

Penantian: penyeksaan @ tarbiah Allah?


"Waduh..banyaknya kereta..lambat la jawabnya kena tunggu ni," resah memandang jam hampir ke 7.30 pagi.

Simpang tiga susur ke Inokom yang menjadi laluan pemandu bukan sahaja aku malah pemandu-pemandu lain yang datang dari Kedah utara. Jalan kilang yang dulu tidak sibuk kerana hanya berapa kerat sahaja yang tahu tentang jalan pintas itu kini menjadi sesak di waktu pagi oleh pekerja-pekerja yang memburu waktu untuk segera sampai ke destinasi masing-masing.

Hati digaru risau jika sampai nanti tidak tepat pada waktu selalunya. Kereta bersusun panjang menanti untuk bergerak keluar ke arah Kulim. Kereta dari arah Kulim dan Baling bertali arus dengan lori, bas dan kontena. Pekerja-pekerja Inokom juga menanti untuk masuk ke tempat kerja mereka.

Tiba-tiba hati terubat apabila terdetik bahawa sepanjang mana pun deretan kenderaan pasti akan ada celahan untuk aku melaluinya. Tidak akan ada sepanjang masa kenderaan yang bertali arus tanpa koma walau sebentar. Maka penantian ini akan berakhir. Hanya perlu bersabar. Setiap penantian pasti akan berakhir dengan sebuah jawapan, harapan dan impian.

Penantian itu satu penyeksaan. Sebentar tadi ada sahabat yang menukilkan sebegitu. Tidak dinafikan ia begitu menyeksakan.

Jika direnung hikmah di sebalik Allah membiarkan hamba-hambaNya ini menanti adalah untuk mentarbiah jiwa menjadi kental dengan sabar.
Menghargai sesuatu yang didapati itu dengan syukur yang tidak ternilai kerana lama masanya.
Mungkin juga kerana penantian untuk menaik tarafkan iman melalui ujian jika berjaya menempuhnya.

Mudah dan cepat memperolehi sesuatu adakala membuatkan kita tidak menghargainya. Sepertimana Islam kelahiran yang diperolehi maka Islam itu tiada nilai pada kebanyakan dari umatnya. Malah terpinggir sepi dari ruang lingkup hidup.

Sukar dan lambat memperolehi sesuatu seringkali dihargai kerana payah memperolehinya. Semestinya diadun dengan mehnah dan bermacam rintangan.
Sepertimana Islam pencarian yang berakhir dengan syahadah yang dipegang utuh kerana ia datang dengan hidayah Ilahi ketika hidup kelam tanpa arah tujuan. Diri dan cara diserahkan bulat kepada Yang Esa. Malah nur itu dikongsi dengan seberapa ramai penghuni bumi agar turut sama bernaung di bawah cahaya Allah itu.

Menanti itu memang meresahkan namun menanti itu juga sebenarnya adalah ruang untuk belajar. Belajar untuk menjadi seorang yang penyabar. Juga belajar untuk menjadi seorang yang pandai berterima kasih dan menghargai.

Namun menanti bukan hanya sekadar menunggu tanpa usaha dan gerak kerja kerana bantuan tidak akan tiba dengan sekadar duduk sahaja. Pandai-pandailah memburu di celahan ruang masa dan situasi yang ada.


Rabu, 14 Oktober 2009

Pekan hantu..



Tajuknya sahaja membuatkan tertarik untuk membacanya. Hanya sebuah artikel biasa dalam sebuah akhbar tempatan yang terbelakang dari cerita-cerita politik, bencana alam dan peperangan. Namun tetap menjadi perhatian diri ini untuk membacanya kerana ia adalah sebuah pekan yang pernah menjadi tempat permainan bersama kawan-kawan sementara menanti bas Ah Seng berwarna kuning untuk pulang ke rumah di Taman Pulai Jaya.

Sebuah pekan yang dibina sebelum perang kedua. Bangunan-bangunan yang kini mengerunkan di malam hari menurut cerita orang tempatan kerana usangnya setelah tidak berpenghuni sekian lama hanya 50 meter jaraknya dari pagar SK Sungai Raya. Sekolah yang banyak mengajar erti kehidupan untuk melangkah ke alam remaja.

Terlalu banyak kenangan manis untuk dikenang di sana. Sepertimana lenyapnya kawan-kawan sejak berpisah di usia 12 tahun yang tidak pernah bertemu semula. Begitu jugalah bangunan-bangunan yang terdiri antara daripadanya kedai runcit, bengkel, kedai elektrik itu usang dipinggir masa.

Benar kata Kak Ngah pekan itu layak dijadikan prop bagi drama dan filem seram yang bercambah di pasaran tidak kira waktu melebihi orang cina yang meraikan hantu hanya pada bulan September sahaja.

Bangunan-bangunan seabad lalu yang dibina berhampiran Masjid Ahmadiah sekitar 1905 itu pernah menjadi saksi ketika aku di sana kemalangan yang melibatkan penyanyi Zaiton Sameon yang mengorbankan nyawa anak tunggalnya. Ia berlaku di jalan hadapan sekolah itu. Kemalangan yang tidak kusaksikan yang membuatkan diri berfikir dan alergik pada sebuah kemalangan jalanraya yang meragut nyawa insan tersayang. Namun bila, di mana dan sebab kematian kita tetap menjadi rahsia Allah Taala jua.

Di bangunan itulah juga aku mendapat doa dari rakan yang dipanggil Ita kerana sering memanggilku penasihat yang kini terlaksana sebagai guru selain mengajar adalah mendidik anak-anak itu dengan nasihat yang tidak putus. Terima kasih rakan kerana kata-katamu itu telah termakbul walau dahulu cita-cita ini masih kabur untuk digapai.

Setegak mana pun bangunan yang bersejarah kerana usianya itu tetap mengundang kerisauan di hati penduduk kerana strukturnya yang bakal mengundang musibah menimpa orang awam yang melaluinya. Jika tidak diperbaiki untuk dijadikan satu monumen sejarah, runtuhkanlah ia terus dari mengundang masalah kemudian hari.

Sebegitu jugalah semanis mana pun kenangan manusia tidak boleh hidup hanya sekadar bertemankan ia. Bukanlah untuk dilupakan namun sebagai panduan di masa hadapan.

Binalah kehidupan untuk terus mengorak langkah masa depan dengan lebih gemilang dan cemerlang agar usaha hari ini akan terus menjadi memori terindah di hari muka bukan sekadar untuk diri namun generasi akan datang.

Selasa, 13 Oktober 2009

Sesat di jalanraya @ jalan hidup?


Banyak kali petunjuk untuk ke PKG Sg Ular kutanya kepada rakan-rakan sekerja untuk mentakkidkannya agar tidak sesat jalan seperti selalu. Jika tidak kerana tuntutan untuk menghadiri taklimat dan kursus maka jalan-jalan itu tidak akan cuba kuselusuri.

"Hang ni takda reja lain asyik sesat jalan," ujar pegawai j-QAF di PPD pada tahun lepas. Merujuk kepada dua kali sesat di pekan Kulim untuk mencari PPD.

Malu juga kerana akulah manusia yang sering sesat di negeri sendiri.

"Sesat takpa, sekurangnya Kak Long tau jalan..jika tak sampai bila-bila tak tau jalan ," aku suka dengan abah yang akan meniup semangat agar tidak patah dihempap rasa rendah diri dengan sikap dan kata-kata.

Benar kata abah kerana sesat itulah membuatkan kumengingati jalan untuk pulang ke Sungai Petani ketika abah buntu mencari jalan pulang dari Bukit Mertajam pulang dari rumah adik abah semasa hari raya tahun lepas.

Perjalanan pergi berjalan lancar. Tanpa peta seperti tahun lepas aku sudah mampu mengingati berpandukan kepada beberapa tempat sebagai tanda arah. Namun langit tidak selalunya cerah kerana aku kembali kehilangan punca ketika bertolak pulang. Entah lorong mana yang telah silap kumasuki sehingga perlu berpatah balik untuk pulang setelah bertanya kepada seorang penjaja air di tepi jalan. Mujurlah masih tidak jauh untuk berpatah kembali.

Sampai sahaja simpang tanda Kulim Hi Tech kurasakan kembali berada didunia nyata yang kukenal kerana jalan ini sudah biasa untuk ke Kulim.

Malu bertanya sesat jalan. Jalan yang bukan sahaja merujuk kepada jalanraya tetapi adalah jalan hidup.

Ada manusia yang sesat dari mula hingga akhirnya.
Ada manusia yang sesat mulanya yang akhirnya ditunjuki jalan benar.
Ada manusia yang berada dijalan benar yang sesat akhirnya.
Ada manusia yang mulanya di jalan benar dan tersesat kemudian kembali ke pangkal jalan.

Tidak ada manusia yang mengharapkan dirinya sesat. Ada yang tidak sedar bahawa dia tersesat. Beruntunglah kepada sesiapa yang menyedari bahawa dia sesat yang ingin kembali kepangkal. Semuanya dalam rahmat Allah Taala Maha petunjuk. Memberi kepada insan-insan yang mahu berubah yang sentiasa mengharapkan petunjuk dari-Nya.
Bimbinglah mereka yang tersesat dengan penuh kasih dan hikmah dengan niat membantu kerana Allah Taala. Bukannya dengan cemuhan, maki hamun dan bisikan di belakang yang tidak akan menjadi penyebab kepada perubahan.

Isnin, 12 Oktober 2009

Lalu lintas MASA


Hari ini dirasakan agak sibuk seperti waktu-waktu praktikum awal tahun ini. Kesibukan yang adakala dirasakan satu keseronokkan. Adakala merimaskan tanpa ruang bersantai walau sebentar.

"Rasa macam nak doa kat Allah pinta dipanjangkan masa lebih 24 jam aja kak," rakan sekerja yang mendengar itu tersenyum dengan kata-kataku ketika praktikum dahulu.

Melalui pengalaman sudah kuketahui bahawa masa inilah yang menjadi nostalgia untuk dirindukan. Semasa dalam kursus yang menuntut pengorbanan masa bagi guru-guru j-QAF walau ketika cuti persekolahan aku sudah mengandaikan bahawa masa itu pasti kurindui bila ia selesai.

"Ayah nak mai juga cari saudara dan kawan-kawan dia kat sini," kedatangan Tok Ayah ke rumah secara tiba-tiba bersama Mak Ngah dan Mak Ndak mengejutkan kami.

Terkejut kerana setelah lama rumah ini tidak dijejakinya sejak sakit tua. Manakala sejak tahun lepas hanya berada di atas kerusi kerana lumpuh akibat strok.

Masa tua yang hanya duduk tanpa daya bekerja sememangnya sunyi sekadar bertemankan kenangan zaman muda. Itu kataku agar tidak menyalahkan Tok Ayah yang sering bercerita tentang tempat tinggal lamanya yang sudah berubah dimamah zaman.

Cuba merasai perasaan warga emas rasanya tidak rugi kerana kita jua akan menuju ke arah itu jika usia panjangkan. Disamping rasa berbaloi menikmati kesibukan kerja dalam lalu lintas masa yang menuntut pengorbanan tidak kurang tingginya. Maka sebagai motivasi agar kerja-kerja dilakukan seikhlas mungkin bagi memperolehi hasilnya yang berkualiti. Disamping rasa manis kerja sebagai amalan menambah ganjaran pahala. Semuanya kerana Allah Taala.

Carilah nilai IKHLAS di balik lalu lintas MASA agar amalan tidak sia-sia..mendapat hasil mendapat pahala..keberkatan mengiringinya.

Ahad, 11 Oktober 2009

Persepsi diri


"Ustazah..kena buat soalan BA tau," semasa p&p tahun 2 GPI memberitahu dengan senyuman.

"Haa..ok," tidak dapat tidak kena membuatnya juga memandangkan tiada lagi guru BA di sini.

Walhal minggu lepas Guru Besar memberitahu soalan tidak perlu dibuat membuatkan nafas lega dapat ditarik sementara sahaja. Cadangan sebenarnya hendak menyediakan soalan-soalan lebih awal agar tidak sesak waktu-waktu terakhir begini. Namun kerana percaya kepada soalan yang akan dapat seperti awal tahun ini membuatkan lupa seketika pada cadangan itu. Insha Allah ini adalah kali terakhir mempercayainya.

Sebenarnya aku tidak gemar membuat soalan. Ditambah lagi murid-murid tahap dua yang sememangnya tidak mahir dengan bahasa ini berbanding murid tahap satu. Jadi aku perlu menyediakan soalan yang betul-betul di tahap kemampuan mereka. Kerumitan juga apabila banyak silibus yang tertinggal semasa di IPG pertengahan tahun lalu tanpa penganti. Tahun 6 yang sibuk dengan UPSR sehingga terbengkalai subjek ini yang dianggap tidak penting kerana bukan subjek teras. Masa yang ada rasanya tidak cukup untuk aku guru yang masih baru bermain dengan soalan untuk menyediakan soalan-soalan itu.

Rasa ini diterjemahkan di facebook. Seorang kenalan memberikan komen yang membuatkan diri tersedar dari rasa sukar dan bebanan ini. Seperti sukanya bermain dengan soalan-soalan exam ketika belajar dahulu sebegitu jugalah perlunya rasa seronok ketika membuat soalan. Malah perlu lebih seronok kerana kita yang menentukan bentuknya.

Jika rasa sukar maka susahlah jadinya. Jika rasa mudah maka mudahlah jadinya. Sebagai hamba yang punya kelemahan, terlupa pula pada ayat ajaib ini. Semuanya persepsi diri sendiri yang menentukan sebagaimana ia patut terjadi.

Begitu juga dalam kehidupan. Adakala sesuatu yang menanti sering ditentukan oleh persepsi samada ia baik atau buruk. Justeru akal dan emosi menerima dan bertindak mengikut segala persepsi itu. Jika difikirkan maka akan baik. Jika difikirkan buruk maka akan buruk. Namun ada peratusan sebaliknya kerana Allah penentu segalanya pada natijah sesuatu perkara.

Melalui seorang kenalan yang pernah dilihat di Mesir dan bertemu di facebook aku mendapat suntikan semangat. Semalam melalui seorang sahabat yang pernah merasai jatuh bangun di tanahair orang juga aku mendapat semangat dengan nasihat, harapan dan doanya. Semuanya dari Allah yang didatangkan melalui insan-insan itu.

Jadilah manusia yang mampu menjernihkan kekeruhan di hati, jiwa dan hidup orang lain. Walaupun sedikit kata-kata hikmah kita yang tenang membuatkan dia tenang menghadapi gelodak dunia.
Tidak semua yang dilahirkan begitu namun masih ada peluang membentuk sifat menjadi sebegitu.
Semuanya kerana Allah, dari Allah dan kepada Allah jua akhirnya.

Jumaat, 9 Oktober 2009

Ceritalah pada Allah


"Dia tu pelik sikit orang seronok cuti dok umah..dia pula tak sabar nak balik asrama," bercerita tentang anak keduanya, seorang guru melahirkan kepelikkan itu.

Bibir menguntum senyum. Rupanya ada juga insan yang sama denganku. Jika mula cuti merupakan orang terakhir yang pulang ke kampung. Jika habis cuti akulah orang pertama menjejakkan kaki ke asrama. Bukan tidak betah berada di rumah. Namun ada magnet yang menarik diri untuk segera ke sana walaupun kolej masih lenggang dari teman-teman.

Perpustakaan al-Mukhtaffi Billah kugeledah dengan mudah tanpa ramai warga pelajar. Bermula dari ruang bacaan umum di ruang bawah sehingga ke ruang majalah di tingkat atas. Pernah juga berbicara pada diri yang hanya memasuki ruang ilmiah yang dipenuhi kitab-kitab muktabar ketika menyiapkan assignment sahaja. Isu ini pernah ditopikkan dalam bual bicara dengan teman-teman. Pemerhatian juga membuktikan ruang bermusim itu lenggang dari kunjungan pelajar kecuali waktu kuiz, assignment dan peperiksaaan sahaja.

Akibat teruja hendak pulang awal ke asrama pernah juga melapik perut dengan ketupat pulut yang dimakan bersama mangga masak yang dibekalkan oleh Tok sempena puasa 6 yang dilangsaikan. Alasan kerana dewan makan dan corner masih tutup. Kemalasan juga menguasai dri untuk berjalan jauh keluar dari kolej untuk membeli makanan seorang diri. Namun ada juga pengalaman merasai bagaimana enaknya pulut dimakan bersama mangga selain dimakan bersama pisang iaitu makanan orang-orang dahulu kala menurut cerita Tok.

Makmal komputer juga mudah digunakan tanpa menunggu giliran. Internet tidak sesak yang memudahkan mengakses laman-laman web tertentu. Walau sunyi sedikit mencengkam di makmal yang terletak di hujung blok D yang mengundang pelbagai rasa namun diabaikan.

Hanya satu dan dua bilik sahaja yang bercahaya menandakan penghuninya sudah datang sepertiku. Dari koridar ketika menyidai pakaian hanya kegelapan mewarnai kanvas blok yang bertentangan yang bersatu bersama pekatnya malam.

Rindu pula pada suara riuh-rendah warga kolej. Sekaligus pada bual bicara sahabat-sahabat sekursus yang sudah rapat umpama isi dan kuku. Dua hari datang awal dari mereka sudah membuatkan diri tidak mampu untuk hidup hanya bertemankan sunyi. Aku tersilap membuat keputusan untuk kembali awal ke asrama. Kesilapan yang bukan sekali malah setiap kali cuti selesai. Melarikan diri dari satu keadaan untuk mencari detinasi yang lebih baik bukanlah sebaik-baik cara menghadapi satu-satu keadaan. Hakikat yang sudah kumengerti yang jarang diaptasikan. Dikukuhkan lagi dengan nasihat pendek dari seorang sahabat yang dikenali di Iskandariah yang sehingga kini adakala masih menjadi tempat rujuk merungkai masalah walau hanya di skrin telefon bimbit. Terima kasih sahabat yang sudi membaca dan menasihati.

Jangan kata di sana nanti akan bahagia kerana merasakan di sini derita.
Semuanya terletak pada hati.
Hati gembira yang senantiasa disirami cahaya cinta Allah akan membawa bahagia bukan sahaja pada dirinya malah pada semua makhluk tuhan.

Berbicara memang mudah. Menukilkannya juga bukanlah payah. Sukarnya adalah merealitikannya walaupun bukannya mustahil jika punya kemahuan yang disusuli usaha Insha Allah akan dimakbulkan Allah. Allah suka pada hamba-Nya yang hendak berubah dan mengubah keadaan dirinya ke arah yang lebih baik.
Mengadu, bercerita dan memintalah pada Allah yang akan mendengar setiap butir bicara dan rintihan walau di dasar sanubari yang paling dalam.

Khamis, 8 Oktober 2009

Emosi pengaruhi keadaan

Tersenyum simpul sambil kaki melangkah ke kereta dengan lakonan bersama rakan-rakan sekerja tentang guru praktikal. Watak guru praktikal disandang oleh Anis yang berbaju kurung sambil mengalas beg tangan ibunya iaitu guru sains itu didialogkan tanpa skrip bertulis oleh kami. Rakan-rakan ini saling tak tumpah seperti sahabat-sahabat ketika belajar dahulu. Sering mejadi pelakon bagi babak-babak yang tercipta dengan sendiri tanpa dirancang bagi menghilangkan keseriusan ketika belajar dan kerja.

Jamuan hampir penghujung Syawal ini tetap mengundang meriah. Jika di awal dulu aku merasa hairan dan kagum dengan sikap gotong-royong warga sekolah bermula dari menyiang sehingga menghidangkan seperti kenduri di kampung. Kini ia hampir sebati kerana cara inilah mendekatkan kami selaku hamba kepada tuhan Yang Satu. Saudara yang sama dan berbeza akidah.

Kegembiraan dan kepuasan murid-murid adalah sasaran utama guru-guru di sini menjadikan anak-anak ini gembira berada di sekolah dalam kelapa sawit ini. Bukan sahaja mereka. Aku selaku guru dari daerah lain yang ditugaskan di sini juga gembira di sini. Gembira kerana hati-hati yang tulus itu menimbulkan ikhlas barangkali pada setiap amalan yang dimulai niat yang suci.

Selaku manusia yang mengalami proses pengajaran dan pembelajaran sepanjang hayat, diri ini telah mendapat banyak ilmu di sini. Bukan sahaja pengajaran bertulis. Malah melalui pengalaman iaitu guru yang sering memberi ilmu tanpa bayaran. Tarbiah Allah bukan sahaja melalui satu cabang jalan sahaja. Jiwa dan jasad kita ditarbiah melalui segenap cabang cara dan jalan melalui pengalaman. Samada melalui manusia dan makhluk-Nya yang lain. Pandanglah pada setiap insan yang hadir dalam hidup kita pada kelebihannya nescaya kita dapat mengutip mutiara ilmu dan pengajaran darinya. Pedulikan siapa dia, darjat, taraf, ilmu, sijil, rupa, kerjaya dan harta kerana manusia dipandang Ilahi hanya dari segi TAKWA.

Memandang langit sahaja sudah terasa damai ketika pulang tadi. Kesan keadaan begitu kuat mempengaruhi emosi. Aura bahagia memancarkan gembira pada zahir diri. Itulah manusia yang cepat dipengaruhi persekitaran walaupun masih ada yang pandai mengawal keadaan dengan emosi. Namun tidak semua yang dilahirkan sebegitu. Ia dapat dilatih dari semasa ke semasa dengan keazaman yang kuat untuk mentarbiah emosi agar dapat menguasai keadaan tidak kira apa keadaan. Sebagai manusia kita tetap akan ada kekecewaan dan kesedihan hasil dari sesuatu peristiwa. Namun sekurang-kurangnya ia akan berkurangan jika pandai mengawalnya mengggunakan remote IMAN.

Selasa, 6 Oktober 2009

Luaskan kejujuran itu..


Kondisi badan yang tidak stabil menjadikan pemikiran tidak mampu memberikan tumpuan pada sesuatu yang dilakukan. Sakit yang diberi adalah anugerah tanda sayangnya Allah pada hamba yang adakala leka mengingati-Nya.

"Argh..tertinggal laptop di sekolah," kuberitahu mak yang ketika itu melihat bunga-bunga orkid yang digantungnya. Kusedar sudah terlambat hanya ketika kaki sudah memijak simen di dalam pagar rumah.

Perancangan untuk menyelesaikan beberapa kerja terbengkalai sehinggalah mengambil dari kerani yang tinggal berdekatan pada petangnya.

Ketika hendak bertemu kerani tanpa sedar rupanya gear tidak bertukar dan brek tangan masih di kedudukan asal. Sekali lagi kecuaian memainkan peranan.

"Ustazah bagi baki sampai RM0.70 sen," dalam tak menang tangan melayan murid-murid membeli alat tulis di kedai buku, Syikin yang pernah menjadi watak coretanku di sini datang memulangkan kembali RM0.40.

Jujurnya dia. Hatiku sempat memuji. Justeru mulut ini pun seiring memuji kejujurannya itu sebagai dorongan sentiasa melakukan kebaikan. Dia tersenyum sambil berlalu pergi. Diri ini kuat mengatakan bahawa sejarah hitam dalam keluarganya tidak akan berulang melalui dirinya serta saudaranya yang lain.

"La..ustazah ni..lebih sekupang sahaja la..bukannya dua kupang," pada hari yang sama Mimi juga memulangkan kembali duit syiling baki pembelian beberapa alat tulis," sudah banyak kesilapan kulakukan.

Mujurlah anak-anak itu jujur. Malah hampir setiap hari ada sahaja syiling yang dijumpai diberikan kepadaku. Syiling-syiling yang dikumpulkan untuk dimasukkan ke tabung sekolah. Separuhnya untuk dimasukkan ke tabung surau dan masjid yang disinggahi agar sama-sama memperolehi ganjaran. Semoga sikap mereka ini berlanjutan hingga ke hembusan nafas terakhir.
Kejujuran kadangkala sukar diaptasikan demi menampakkan keindahan. Walhal kejujuran itulah cermin sebuah kebaikan yang terpancar dari jernihnya pandangan seseorang. Akibat jujur dia nampak indah tidak kira dari sudut mana pun ia dipandang. Juga dari sudut mana pun kata-katanya disuarakan dan dinukilkan.
Berlaku jujur pada diri sendiri sebelum diluaskan ke segenap ruang alam.

Sabtu, 3 Oktober 2009

Salam 2 jantina..


"Ish..susah hati juga bila time saudara-mara mai beraya," tercengang mendengar keluhan rakan itu.

"Napa kak?" soalan pendek menebak kerisauannya.

"Semua pakat nak mai salam tak kira ajnabi atau tak," beritahunya resah.

Masalah serupa yang pernah dialami oleh mak suatu ketika dahulu yang juga diluahkan kepadaku.

"Tak sambut depa malu pula nanti..nak sambut serba-salah," sambil menyusun buku di atas meja kerjanya dia menyambung cerita.

"Bagi depa dah saudara depa tak kira la," sekadar melanjutkan perbualan.

"Yang faham hukum ok la tapi yang tak faham hukum yang payah atau yang faham tapi buat-buat tak faham," kerumitan hal itu dirungkainya.

"Depa tak faham kita fahamkan atau pakai sarung tangan siap-siap," saranku.

"Haa..ka letak tangan di dada sebagai tanda hormat," cadangan yang praktikal.

"Macam ustaz dalam sinetron Indonesia buat tu kan kak," idea bagus yang boleh dipraktikkan.

"Murid-murid ni perlu juga diberi penjelasan..sekolah rendah depa terbiasa salam dengan kita..bila depa besar jumpa di mana-mana pun tetap nak salam juga," rakan itu melangakaui batasan golongan yang dibualkan.

"Niat depa baik nak menghormati guru tapi tak kena di sisi agama," merujuk sikap baik anak-anak kampung yang lebih menghormati guru itu.

"Mujur baru ni jumpa sorang di pasar malam kak sempat lapik tangan dengan tudung," aku tersenyum kerana pernah mengalami panik sebegitu.

"Setakat ni murid-murid yang saya ajar ni faham la hukum tu kak..harap jangan dilupa sampai bila-bila cuma saya rasa penekanan perlu diberi lagi dari masa ke semasa."

******

"Ustazah macam mana nak buat lakonan bersalaman di pagi raya tue..kan tak boleh salam antara lelaki dan perempuan," soalan dari Najah, murid tahun 6 tentang sketsa sambutan Hari Raya yang akan dipersembahkan pada sambutan Hari Raya Khamis depan.

"Alah..kamu buat sahaja macam ni," beritahuku dengan lagak salam yang jarak sedikit dari dada.

"Haa..betulkan ustazah tak payah sentuh pun," murid-murid bersetuju dengan cadanganku selaku guru pembimbing kumpulan mereka.

******

Hari itu dalam sejarah apabila aku berjaya menghubungi sebuah stesyen televisyen tempatan ketika aku masih di sekolah menengah.
Tujuan aku menghubungi sebuah rancangan itu adalah kerana terperanjat melihat 2 orang ahli dari 4 ahli kumpulan nasyid tempatan bersalaman dengan personaliti tv selaku hos rancangan tersebut.
Atas nama samaran bukan untuk memalukan mereka kerana ketika itu mungkin berada di situasi serba salah. Namun untuk pengacara itu agar di masa depan tidak sewenang-wenang menghulurkan tangan pada tetamu lelaki.
Teguran berbentuk soalan itu mendapat jawapan mengelirukan daripada seorang artis nasyid tersebut apabila dia menyatakan bahawa terdapat khilaf dalam bab bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita.
Agakanku mungkin dia berbeza mazhab barangkali.


Nampak kecil namun akan menjadi besar apabila ia dianggap sebagai bukan satu dosa.
Apa yang Allah larang pasti ada hikmahnya.

Jumaat, 2 Oktober 2009

Roh solat..


"Sudah pupus lelaki sekarang ni yang istiqamah solat," kenyataan dari mulut seorang wanita yang kukenali membuatkan aku sedikit terkejut.

Bibirku sedikit mengukir senyum dengan tohmahan pukul rata itu kerana hati tidak menyetujui kenyataan 'kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar' yang dikeluarkan oleh wanita itu seratus peratus.

Melalui satu kaji selidik yang dibuat oleh seorang prof bahagian Dakwah untuk PHDnya membuktikan bahawa majoriti golongan tidak solat dan sering meninggalkan solat adalah lelaki.

Di sini tidak ingin kuwujudkan perbalahan antara lelaki dan wanita yang sering ada pertikaian antara dua jantina ini tentang sesetengah perkara yang mahu ditegakkan antara benar dan salah. Prof yang membuat kajian itu juga merupakan seorang ustaz yang sering menjadikan solat sebagai satu fokus utama bukan sahaja dalam hidupnya tetapi dalam bidang ilmiah.

Punca para pensyarah dan pelajar di universitinya yang dikaji selidik tidak solat adalah kerana waktu rehat yang pendek dan tempat solat yang tidak selesa. Alasan itu menimbulkan berang yang dilontarkan kepada pelajar-pelajarnya.

Justeru aku teringat pada sahabat-sahabat yang turut serta satu rombongan ke Sinai ketika di Mesir dahulu. Pemandu bas yang membawa mereka tersesat dan satu rombongan bas itu turun mendirikan solat jamak ta'khir dan qasar Zohor dan Asar di padang pasir yang lapang kerana tidak mahu terlepas dari waktunya. Solat dapat dilaksanakan di mana sahaja asalkan suci dan bersih dari najis itu telah dilaksanakan oleh anak melayu yang sememangnya bangsa yang kuat menjadikan kebiasaan itu sebagai kewajipan.

Pernah kuterdengar bisikan antara seorang tua dan wanita muda kerana aku dan sahabat hendak solat hanya berjubah, bertudung dan berstoking tanpa telekung di sebuah masjid di timur semenanjung.

Jika bangsa arab memang mudah didapati mereka solat di mana sahaja bukan setakat masjid dan surau. Bangsa kasar yang mengutamakan ibadah, menurut kata Prof itu berbeza dengan muslim Asia yang agak goyah pegangannya. Juga sepertimana kajian pelajar-pelajar barat tentang solat sebagai sumber kekuatan umat Islam. Justeru target non muslim itu untuk melumpuhkan kekuatan umat Islam adalah menjauhkan bangsa arab dari roh solat itu sendiri. Menurut mereka selagi wujud bangsa arab yang istiqamah melaksanakan kewajipan itu maka selagi itulah Islam sukar ditumbangkan.

Melalui kajian itu juga majoriti yang meninggalkan solat adalah perokok.

"Mungkin kerana hati dah gelap," lanjut wanita yang berbicara denganku tadi dengan hujah beremosinya.

Aku hanya mendengar tanpa mencelah kerana tidak mahu menghuraikannya secara sembrono.

Non muslim turut mendapat kertas soal selidik itu dan hasilnya ada juga yang menyatakan bahawa rakan muslim mereka ramai yang meninggalkan solat walaupun diingatkan oleh mereka yang memahami bahawa solat itu adalah kewajipan bagi muslim.

Seorang rakanku pernah bercerita tentang seorang rakan cinanya yang sering mengejutkan rakan sebilik untuk solat Subuh pada setiap pagi.

Ketika di kolej dahulu rakan sekuliahku merungut tentang rakan biliknya yang mengambil syariah liat bangun mengerjakan solat Subuh. Disamping 4 waktu solat fardu lain yang dilaksanakn di penghujung. Jika Prof itu berkata pelajar pengajian Islam solat kerana memang belajar tentang agama jika tidak mungkin mengabaikannya juga mungkin ada pengecualiannya melalui pengalamanku sendiri melalui cerita tadi.

"Apa guna berbuat baik jika solat tiada dalam agenda hidup..boleh diumpakan seperti bukan Islam yang bersedekah dan sebagainya tanpa mendapat ganjaran pahala," bersemangat wanita itu meluahkan perumpamaannya.

Bersyukurlah jika kita termasuk hamba-Nya yang tidak meninggalkan solat.
Justeru turutlah sama mengajak hamba-Nya mengerjakan kewajipan itu tanpa meninggalkan walau sewaktu.
Jika beberapa kali mengajak tidak dipedulikan, jangan pula berputus asa.
Insha Allah dengan hidayah Yang Esa pintu hati mereka akan terbuka.

***Sesampai di lapangan terbang Kaherah di waktu Subuh membuatkan kami tidak melengahkan waktu solat Subuh kerana tidak mahu terlepas waktu. Sekadar di ruang bawah jauh sedikit dari tandas kerana lokasi surau yang tidak diketahui. Hanya berlapikkan kotak kerana sejadah berada di dalam beg kargo.

Bangsaku di tanahair sendiri sudah tahu kerana ada yang solat di kawasan lapang bersebelahan kerusi menunggu di ruang bawah lapangan terbang Kepala Batas akibat kesesakkan jemaah di dalam surau kecil di situ.

***Kagum pada seorang rakan yang meninggalkan bidang kejuruteraannya dan menceburi perguruan kerana solat dan faktor lainnya yang lebih menghimpit dari melaksanakan kewajipan itu dengan sempurna.
Beranikah tidak agaknya mengajak pengunjung-pengunjung sebuah pasaraya untuk turut serta menunaikan solat apabila azan berkumandang?

Khamis, 1 Oktober 2009

H1N1 & bencana alam


Murid-murid tahun 1 dan 2 tidak pernah lupa untuk bersalaman dengan ustazah dan ustaz setiap kali selesai tasmik. Budaya menghormati guru mengaji itu masih subur hingga kini.

Tiba-tiba hari ini terdetik tentang virus yang tersebar melalui salam. Ia berikutan anak-anak itu yang sering bersin, batuk dan selsema sejak beberapa bulan lepas. Mereka menggunakan telapak tangan tanpa lapik ketika bersin dan batuk. Namun seperti yang pernah kukatakan semua itu kunombor duakan kerana sikap mulia anak-anak kecil itu menghormati guru itu yang kuberi perhatian.

Gelombong kedua H1N1 amat diberi perhatian oleh seluruh masyarakat dunia. Gelombong yang kian hebat apabila musim tengkujuh tiba di Asia Tenggara. Masing-masing bersiap siaga dengan ilmu bermula dari sejarah virus itu sehinggalah kepada cara-cara mencegahnya. Semuanya demi menggelak diri menjadi mangsa.

Mangsa H1N1 di Malaysia kekal 77 orang. Satu fakta yang menunjukkan virus itu kian malap kerana dalam 11 hari tidak memburu mangsa seterusnya. Fakta yang telah berulang beberapa kali di semua media massa. Pagi tadi keudara lagi melalui siaran radio tempatan. Kini masyarakat mampu menghirup udara segar tanpa topeng muka. Utamanya tidak ada lagi pembunuh senyap itu lagi untuk ditakuti.

Jarang-jarang waktu hujan lebat sehingga mengkaburkan pandangan dari nampak kereta di hadapan, belakang, tebing dan tengah jalan. Kelmarin telah berlaku di satu dua tempat ketika perjalanan pulang dari sekolah. Cuaca yang tidak menentu fikirku. Rupa-rupanya bukan sekadar itu. Utusan online yang selama ini banyak kubaca tajuk sahaja tanpa isi kerana mengejar waktu untuk bersiap dan bertolak ke sekolah hari ini kuhadam satu persatu isi tentang kejadian alam yang melanda dunia dan Asia Tenggara khususnya. Jika semalam melalui rakan facebook kuketahui tentang gempa di Sumatera pada 7.6 skala ritcher (laporan berita berbeza kerana ada yang melaporkan pada 7.9 skala ritcher). Hari ini pelbagai kejadian alam yang berlaku hampir serentak di pelbagai tempat termasuk Malaysia dan sedekat-sedekat tempat denganku iaitu di utara semenanjung juga.

Gempa yang berlaku hanya beberapa saat itu telah mempanikkan masyarakat berbeza dari H1N1 yang mendatangkan panik setelah mangsa kian bertambah.

Allah berkuasa atas segala-galanya.

'Pembinaan bangunan di Malaysia tidak mengikut piawaian bangunan gempa kerana selama ini Malaysia tidak pernah terjejas dengan gempa di negara jiran.'

"Erm..bangunan-bangunan di Malaysia la ni tak selamat dah sebab tak da security untuk bencana alam," atas sejadah abah mengulas kenyataan yang kukhabarkan.

"Hmm..tak boleh nak dijadikan faktor sebab Jepun yang bersiap sedia dengan segala kecanggihan mengelak bencana pun musnah teruk sekelip mata dengan izin Allah Taala," mak seperti hendak mencetuskan hujah di pagi hari.

Allah datangkan ujian sebagai peringatan dari keselesaan yang selama ini dirasai.
Keselesaan adakala membuatkan sesetengah manusia lupa pada-Nya.
Peringatan di dunia lebih baik sebelum matahari terbit dari sebelah barat kerana masih punya peluang bertaubat dari sedar di padang Mahsyar hanya untuk diperhitungkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...