? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Khamis, 17 Mac 2011

Matahari dan Jepun

Saya sudah menemukan jawapan atas persoalan tiba-tiba saya jatuh cinta kepada matahari. Bermula sejak perjalanan awal pagi ke sekolah.

Walhal ketika belajar dahulu saya adalah pencinta fanatik bulan. Di tengah malam berjaga keseorangan, saya meluaskan tingkap menatap wajah bulan. Terlupa seketika yang saya telah mendedahkan diri dan kawan-kawan dengan penceroboh kerana sampai pagi tingkap itu masih ternganga. Waktu itu bulan sebagai semangat untuk saya tekun belajar. Melihat bulan saya nampak wajah mak, abah dan adik-adik. Wajah-wajah insan tersayang itu tersenyum mengharapkan kejayaan saya.

Perjalanan awal pagi ke sekolah ketika bulan masih lagi di singgahsana sehingga mentari sedikit malu mengunjukkan diri. Itulah panorama yang saya tatapi setiap hari. Mulanya tidak saya peduli. Namun lama-kelamaan saya telah mula jatuh hati pada bebola panas yang ditawaf oleh planet-planet termasuk bumi di galaksi.

Subhanalllah. Subhanallah. Subhanallah.

Kalimat itu yang keluar dari bibir. Disamping hati yang turut sama mengakui. Cantiknya fenomena aturan Allah itu. Beberapa kali saya ingin memberhentikan kereta di tepi jalan untuk merakamkan kecantikan tersebut melalui lensa kamera. Warna alam yang bertukar dari hitam ke jingga bercampur merah dan kuning sehingga menampakkan langit kebiruan bertompok awan putih juga cukup indah.

Allah hu akbar. Allah hu akbar. Allah hu akbar.

Perhatilah. Bukan sekadar melihat tanpa ada apa-apa rasa. Hanya fenomena biasa alam. Perhati dengan mata hati akan setiap kejadian yang diciptakan sekeliling diri.

" Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah untuk orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring mengiring. Mereka pula memikirkan perihal kejadian langit dan bumi sambil berkata," Wahai Tuhan kami ! Tidak engkau menjadikan semua benda ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, pelihara kami daripada azab neraka."

Surah Ali Imran ayat 190-191

Ketika itu saya merasakan cinta ini hanya kerana kecantikan pada matahari itu sahaja. Sedap mata memandang.

Hari ini setelah Jepun dilanda bencana gempa bumi 8.9 skala ritcher bersama terjahan tsunami yang menggulung seluruh isi alam. Setelah saya mengikuti kronologi bencana yang memakan 10,000 mangsa. Rentetan reaktor loji nuklear yang meletup satu-persatu akibat paras radiasi yang melonjak yang entah bila berakhirnya. Setelah saya melihat video seorang tua Jepun yang diselamatkan dari bencana berkata," Mari kita bina sama-sama."

Justeru saya tersedar akan semangat bangsa Jepun yang tidak mudah patah. Perang dunia kedua telah membuktikan Jepun bangkit sebagai negara dunia ketiga yang maju.

Jepun amat sinonim dengan matahari. Bendera negara Jepun sendiri ber'objekkan matahari di tengah-tengah latar belakang putih. Matahari yang muncul dari arah Timur membuatkan Jepun tidak pernah lekang dengan matahari.

Semangat yang lahir dari matahari. Bangun dan muncul tepat setiap pagi menerangi alam. Memberi manfaat buat seluruhnya. Hilang semula tepat setiap hari untuk seluru isinya beristirahat.

Rutin bangsa Jepun seperti matahari walaupun majoriti mereka bukan Islam. Cara mereka belajar dan bekerja seperti matahari. Tidak bosan yang sentiasa cepat dan tepat.

Saya dapat pengajaran dari matahari dan Jepun.

Allah telah mengaturkan jadual yang terbaik untuk manusia sepertimana jadual yang diatur-Nya untuk bima sakti . Sebermula awal pagi Solat Subuh. Mungkin awal lagi daripada itu kira-kira jam 3 atau 4 pagi bertahajjud. Sebelum bertebaran ke seluruh pelusuk dunia melaksanakan tugas masing-masing.

Sepatutnya umat Islam mampu lebih maju dari bukan Islam jika benar-benar menuruti jadual yang diatur oleh pencipta. Berakhir dengan solat Isyak sebelum melelapkan mata. Membuatkan umat Islam benar-benar selari dengan sistem biologi yang tercipta untuk kesihatan jasmani dan rohani yang mantap. Apabila punya kemantapan maka mampu mengeluarkan produk yang bukan sahaja berkuantiti. Malah berkualiti.

Barangkali jika disoal akan sebab umat Islam tidak maju. Jawapannya adalah umat Islam kini majoritinya sudah songsang arus jadual yang diatur Ilahi.

Solat yang ada lompong. Barangkali sudah lama tidak dilaksana. Mungkin juga tidak tahu bagaimana mahu melaksanakannya.

Sunnah yang dikesampingkan. Digunapakai oleh umat bukan Islam. Jepun sendiri mengikut sunnah Rasulullah dengan cara berjalan cepat seolah-olah menurun yang memberi impak seperti senaman. Juga lebih banyak berjalan berbanding berkenderaan melaksanakan kerja sehari-hari.

Lihat bencana ini dari sudut yang positif. Buang lumpur. Tolong bina kembali penempatan. Bukan sekadar lawak Ultraman lari dikejar ombak Tsunami. Atau membuat kenyataan di manakah Ultraman, Doraemon dan superhero yang lain untuk membantu. Jelas minda sebahagian masyarakat kita masih terkebelakang. Sepertimana terbelakangnya kita dari segi kemajuan teknologi.

Kesalnya lagi apabila hanya angka gejala sosial yang mendahului dari segala carta kemajuan. Nampaknya jadual songsang yang diamalkan bukan sahaja mampu memundurkan. Malah membuatkan selruh umat Islam dan Islam dipandang serong oleh dunia. Walhal yang melakukannya hanya sebahagian.

**** Natijahnya, saya mencintai matahari kerana manfaatnya. Saya sukakan Jepun yang tidak lekang dengan matahari kerana semangat yang ada. Saya ingin meminjam semangat itu untuk terus menggali dan memberi ilmu untuk dimanfaati semua.

Jadilah manusia yang bukan sahaja mengambil manfaat. Malah dapat memberi manfaat sehingga akhir hayat.

Sabtu, 5 Mac 2011

Dalam hati ada taman cinta Allah Taala.

Sewaktu kecil. Saya lebih suka memerhati daripada berbicara. Adakala saya memerhati seseorang atau sesuatu kejadian dengan leka sehingga tidak sedar akan perkara lain di sekeliling. Kerapkali ditegur dan dimarahi oleh mak. Acapkali berlaku ketika berada di luar rumah. Bagi saya, dalam rumah terdapat orang dan rutin yang sama. Maka tiada kepelikkan di situ. Berlainan di luar rumah. Ramai orang dan banyak perkara baru yang dapat saya tontoni dan pelajari.

Dewasa kini. Saya masih lagi suka memerhati tetapi dengan cara yang lebih beradab. Pemerhatian bukan sahaja di luar rumah iaitu di dunia nyata. Namun boleh juga berlaku di dalam rumah iaitu di dunia maya yang hampir diuliti sehari-hari.

Cinta. Ramai yang berbicara tentangnya. Bermula dari cinta Allah Taala sehinggalah kepada cinta kepada alam sekitar.

Majoriti agamawan berbicara tentang cinta tuhan.
Majoriti ilmuwan berbicara tentang cinta buku.
Majoriti rupawan berbicara tentang cinta alat solek dan baju.
Majoriti remaja dan dewasa berbicara tentang cinta manusia.
Majoriti wanita berbicara tentang cinta kekasih dan suami tercinta.
Majoriti rakyat berbicara tentang cintakan negara yang makmur punya pemimpin adil saksama.
Majoriti sukarelawan berbicara tentang cinta alam sejagat.

Namun majoritinya dari di atas berbicara tentang cinta manusia. Manis apabila dimiliki. Pedih apabila tidak dipeduli. Pelbagai perasaan yang diluahkan. Ada manis. Ada masam. Ada suka. Ada duka. Ada yang meleret-leret. Ada yang ringkas. Ada yang ditulis tersurat. Ada yang dirangkai tersirat. Ada yang meletakkan lagu yang mendayu-dayu. Melayan jiwa yang barangkali ada taman atau barangkali dilanda garuda.

Jika bisa berbicara. Ingin saya nyatakan.

Usah terlalu mengejar cinta dunia kerana dunia akan musnah.
Usah terlalu dikejar cinta manusia kerana manusia akan mati.
Usah dikejar bahagia sementara kerana kita bisa perolehi bahagia abadi.
Janjinya hanya satu iaitu mencintai Ilahi lebih dari segala yang ada di alam ini.

Jika sudah Allah menulis orang yang kamu cintai itu bakal menjadi pendamping halalmu. Pastikan bersamamu tidak kira apa sahaja halangan yang menjelma.
Jika sudah Allah tuliskan bahawa dia bukan untukmu. Segala kemudahan yang terhampar tidak akan membawa engkau untuk bersamanya.
Jika itu yang kalian fahami, yakini dan boleh imani. Maka kalian akan beroleh kelapangan.
Justeru mencipta kebahagiaan yang berpanjangan. Bukan sahaja di dunia yang diharapkan. Malah di akhirat kekal abadi.

Burulah cinta-Nya. Nescaya kalian akan diberi bonus akan cinta manusia yang juga punya cinta utuh terhadap-Nya. Berbanding jika kalian hanya memburu cinta manusia. Diperolehi hanya cinta manusia yang kalian cintai yang kesamaran cinta sebenarnya pada pencipta.

Ramai yang hairan apabila orang agama berbicara tentang cinta. Namun kerana cinta jualah kami berbicara untuk melihat semua dari kita mencintai Tuhan Yang Maha Esa sepenuh jiwa raga.
*************
Tidak pernah saya terfikir. Apabila perlu menanggani cinta seorang murid sekolah rendah yang bernama Mat Romeo. Macam-macam hal dalam dunia ini.

Sabtu, 15 Januari 2011

Interlok : antara nilai dan salah faham.


Saya menggeledah perpustakaan sekolah yang terletak bersebelahan bilik guru. Seperti biasa, untuk mencari bahan bacaan yang boleh dihadam ketika masa lapang di rumah. Tiba-tiba retina tertancap kepada 2 buah novel garapan 2 sasterawan negara. Saya mula memilih antara dua untuk dipinjam.

Terimbau ketika di Kusza. Hampir setiap pelosok perpustakaan saya geledah. Namun antara sudut yang saya suka adalah bahagian novel yang ditulis oleh para sasterawan negara. Ada sebahagiannya ditulis zaman sebelum merdeka yang saya sendiri tidak mengenali penulisnya. Bahagian kulitnya sebahagian juga sudah samar-samar. Bahasanya pula adalah bahasa melayu lama yang pada sesetengah ayat perlu diulang-ulang bacaan untuk difahami. Namun di situ punya nilai antiknya, sasteranya, ilmunya dan pengajarannya. Ia bukanlah sebuah novel picisan yang hanya digarap tanpa ilmu dan nilai. Itu adalah salah satu sebab kenapa saya lebih tertarik kepada novel yang ditulis oleh sasterawan.

Saya memilih 'Interlok' yang ditulis oleh Datuk Abdullah Hussin. Novel yang masih nampak baru luar dan dalamnya. Barangkali jarang dipinjam oleh murid-murid. Sememangnya nyata apabila kad pinjaman di bahagian dalam buku hanya tertulis 2 nama peminjam. Barangkali murid-murid beranggapan bahawa buku sebegini berat dan tidak menarik untuk dibacai. Ketika itu hati saya bertekad untuk menjadi orang pertama menjadi pembaca sastera di sekolah ini. Bersesuaian sebagai guru semestinya penggorak langkah perkara yang baik kepada murid-murid.

Interlok itu saya simpan dahulu. Ada sedikit sifat murid dalam diri bahawa novel itu berat yang tidak akan dapat dihadami dengan cepat. Namun setelah diuliti dari awal, perasaan bergejolak untuk mengakhirinya. Lantas dengan cepat saya usaikan. Puas.

Ketika bercakap di perhimpunan, saya menceritakan serba-sedikit tentang novel yang menarik ini. Saya cuba mengangkat sedikit bahan bacaan berunsur sastera di mata anak-anak di sekolah kecil itu. Niat utama saya mahu mereka mengenali, mencintai dan membaca bahan bacaan berunsur sastera yang punyai banyak manfaat berbanding bahan bacaan picisan, komik dan sebagainya.

Rupa-rupanya kata-kata saya itu diambil endah oleh beberapa orang murid perempuan yang suka membaca. Mereka datang bertanya tentang sinopsis novel itu. Masing-masing berebut untuk menjadi peminjam untuk menguliti sendiri. Sejak itu tanpa saya semak semula kemungkinan nama peminjam sudah bertambah.

Itu peristiwa yang berlaku pada 2009. Seorang guru baru yang cuba mengangkat Interlok, sebuah novel terpinggir di mata anak-anak di sekolah luar bandar. Hari ini Interlok kembali diangkat kerana kontroversi yang berlaku antara mahu diangkat dan mahu dijatuhkan dari menjadi teks di negara ini.

Saya tidak berapa mengikuti perjalanan kontroversi ini. Namun saya rasa amat rugi apabila khazanah ini dibakar sewenang-wenangnya. Dahulu saya rasa amat puas membacanya walau hanya dipinjam. Kini saya ingin mencari, membeli dan menjadikan ia koleksi peribadi. Kembali membacanya. Lebih menghadaminya.

*****************

"Kak Long, ada novel apa lagi? Cinta tamau ok," tanya Iman adik keempat saya setelah langsai membaca 'Pengembaraan Hang Jebat'.

"Ada, nak novel sejarah, fiksyen atau kehidupan. Novel cinta sememangnya tidak ada?" ujar saya.

"Apa-apa sahaja." katanya yang menghabiskan masa sehari-hari dalam bilik untuk melangsaikan novel keluaran PTS Fortuna itu.

*******************
"Mak, Hafiz baca buku apa tu? soalku.

"Buku yang hang bagi Bang Chik pinjam tu."

"Ermm..sejak bila Hafiz minat baca novel?" soalku sedikit tercuit suka.

"Bab sejarah memang dia minat." kata mak.

"Owh..yang tajuk Landasan Maut tu ya."

Dahulu di rumah ini hanya perempuan sahaja yang berminat membaca novel dan buku. Kini minat sudah menjalar kepada adik-adik saya yang lelaki yang dahulunya hanya suka membaca akhbar. Satu perubahan yang membanggakan. Maka saya juga lebih membuak-buak untuk membeli buku dan novel untuk dijadikan koleksi. Sekaligus membentuk perpustakaan kecil di rumah sebagai bahan bacaan kami sekeluarga. Selain dapat memenuhi masa. Masa di luar juga dapat diminumumkan yang mempunyai 1001 masalah yang mungkin dapat menjerat diri bagi yang tidak dapat mengawal diri.

Khamis, 9 Disember 2010

1432 semoga lebih indah..

Sudah lama saya tidak menulis di sini. Buka dan tutup semula. Buka dan menulis separuh lalu padam. Entah kenapa??? Barangkali hakikat manusia. Seronok dan suka pada permulaan sahaja. Lama kelamaan suka itu kian pudar dan kian jemu lalu ditinggalkan. Bukan semua manusia. Barangkali separuh sahaja. Namun majoriti yang sebegini.

Saya sudah merasakan sukar untuk mengatur ayat dengan baik akibat jarang menulis. Walaupun saya sering membaca. Tiap-tiap hari saya meluangkan membaca barang semuka dua buku sesibuk mana sekalipun. Saya tidak mahu dalam sehari saya ketinggalan ilmu melalui bacaan. Rugi rasanya tabiat sedari kecil ini dibiarkan layu sepertimana layu sudah kebanyakan hobi-hobi saya yang lain. Melukis pemandangan dan komik, mengumpul setem, mengubah lirik lagu, mengubah poster filem, mencipta sajak dan pantun. Banyak juga rupanya hobi saya yang semuanya berkaitan seni. Namun sayang seribu kali sayang bakat sedikit sebanyak ini telah pergi meninggalkan waktu.

1431 telah pergi meninggalkan masa. 1431 yang banyak menyimpan memori. Barangkali banyak duka dari suka. Kehilangan abah dan beberapa kegagalan yang dihadapi. Memori yang bukan untuk diratapi sepanjang masa. Namun sebagai pedoman menghadapi hari muka agar lebih bermakna, ceria dan bahagia. Meneruskan azam lepas. Disamping penambahan azam-azam baru dengan harapan agar Allah memakbulkan semuanya pada 1432 ini. InsyAllah.

Kesakitan bukanlah makna untuk terus lemah.
Kegagalan bukanlah makna untuk terus mengalah.
Kematian bukanlah bermakna orang yang masih hidup perlu terus meratapi ketentuan Allah.
Hakikatnya adalah pemberian sebaliknya yang diberi Allah jika kita pandai meneropong hikmah.

1432 Hijrah. Mengharapkan kecemerlangan, kegemilangan, kebahagiaan dan keceriaan buat hidup saya, kamu dan semua. Amin.

*** Sunflower. Bunga kesukaan saya. Selain cantik, peniup semangat agar jadi seindah matahari menerangi seluruh alam :-) ***

Khamis, 18 November 2010

Pandang hadapan & toleh belakang.

Kita stabil apabila kita berada dalam keadaan emosi tidak diuji.
Kita tidak akan stabil ketika emosi teruji.
Itu normal.
Namun dapatkah kita stabil ketika emosi hebat diuji.
Jika itu yang dapat kita stabilkan maka kita hebat.

Kita tidak akan melenting apabila kita tiada masalah.
Kita akan melenting apabila kita dilanda masalah.
Teruknya lagi apabila kita melampiaskan kemarahan kepada orang sekeliling yang tidak bersalah.
Hebatnya kita apabila dapat bersikap tenang walaupun dihujani masalah sehingga orang tidak tahu bahawa kita ada masalah.

Kita ada semangat apabila hendak memburu sesuatu yang dihajati.
Kita lemah semangat malah langsung tiada semangat apabila apa yang dihajati tidak dapat kita miliki.
Kita hebat apabila semangat itu dapat kita gilap kembali untuk terus memburu apa dikehendaki selagi ada peluang.
Malah kita lebih hebat apabila dapat meredhai peluang yang bukan tertulis untuk kita dan mencari peluang baru dan terus memburunya dengan semangat yang lebih mantap.

Kita boleh senyum dan ketawa apabila tiada orang atau keadaan yang menguriskan hati kita.
Kita akan menitiskan airmata apabila ada orang atau keadaan yang menyebabkan kita terguris.
Kita hebat apabila dapat membendung airmata dari tumpah di hadapan khalayak.
Malah senyuman dan gelak tawa tak lekang apabila bersama manusia.
Kita kian hebat apabila hanya dapat bersendirian, menangis tersedu, merintih dan merayu di hadapan Tuhan Yang Maha Esa.

Kita hebat apabila berjaya.
Namun kita lebih hebat apabila dapat bangkit dari sebuah kegagalan.
*********
Usai 3 tahun saya menjadi tenaga pengajar. Bermacam ilmu yang diperolehi. Bermacam dugaan yang dihadapi. Bermacam rintangan yang dapat dilalui. Bermacam rasa tidak suka yang kini membiak menjadi suka. Bermacam kelemahan yang dapat diperbaiki.

Bermacam kerja, dahulu sekadar melepaskan batuk di tangga. Kini diatur agar menjadi sebaik mungkin. Berharap agar tiada walau setitik amanah yang tidak dilangsai. Berdoa agar tiada hak yang terabai. Mengharapkan agar setiap syiling gaji yang diperolehi bersih dari unsur-unsur haram culas setiap saat kerja yang diberikan. Ini pesanan orang tua yang kerap diulang kata. Ia menjadi peringatan sebelum memulakan kerja.

Dalam kesibukan melaksanakan semua amanah. Datang pula beberapa cita-cita untuk digapai seiring dengan usia yang kian bertambah nombornya. Pedulikan pada kegagalan lampau. Pedulikan pada kekangan masa, tenaga dan kewangan. Pedulikan pada kekecewaan perasaan. Pandang ke hadapan dengan sesekali menoleh ke belakang melihat kembali sejarah kejayaan orang-orang terdahulu.

Dengan keyakinan bahawa kejayaan pasti dalam genggaman. Selagi mendapat rahmat dan berkahi dari Yang Esa.

Kita hanya mampu bercita-cita dan berusaha. DIA yang akan mengizinkan samada jadi atau tidak.

Sabtu, 9 Oktober 2010

Kagum + Hairan = ILMU

"Kenapa dia memilih batu yang kecil itu untuk dijadikan tempat mengambil gambar?"

"Bagaimana cara dia sampai ke tempat itu?"

"Aduh, bior benor orang itu."

"Lorr, dia benar-benar lakukannya."

"Alhamdulillah, selamat juga dia akhirnya dan misinya untuk mengambil gambar di sudut yang cantik pada pandangannya telah berjaya."

Kagum. Hairan. Terasa orang itu seperti bodoh mempertaruhkan nyawa hanya kerana kerjaya dan minat barangkali. Semua perasaan ini memenuhi ruang diri saya ketika melihat gambar-gambar di atas.

Kagum kerana dia adalah seorang yang gigih membuat apa yang dikehendaki.

Hairan kerana ada juga manusia yang sanggup mempertaruhkan nyawa sebegini.

Rasa orang itu bodoh kerana nyawanya akan melayang begitu sahaja apabila dia tidak selamat dan jatuh ke bawah dengan jarak beberapa meter.

Itulah pada fikiran kita apabila melihat seseorang yang sanggup melakukan sesuatu yang mengakibatkan nyawa atau mempertaruhkan nyawa di hujung pedang. Namun kita seringkali terlupa bahawa kejayaan dan kecemerlangan yang terbina yang dicatat dalam sejarah dunia sebenarnya berlaku pada orang-orang sebegini.

Tidaklah saya bermaksud untuk kita sama-sama melakukan perkara yang sama seperti lelaki di atas. Itu hanyalah sebagai kiasan dalam kehidupan sebagai manusia untuk kita melakukan sesuatu yang diluar batas kebiasaan ( masih dalam garisan syariat ) bagi melakar kejayaan dan kegemilangan buat diri sendiri sekurangnya. Jika boleh kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.

Saya juga masih mencari kekuatan bagi mempertaruhkan sesuatu untuk mencipta kegemilangan dalam hidup.

Saya suka membaca catatan hidup semua manusia di dunia. Tidak kira samada dia seorang Raja, Presiden, Menteri, saintis, pekerja am sehinggalah orang biasa yang mampu melakarkan sesuatu yang luar biasa untuk hidupnya sehingga mampu berjaya walaupun pernah menempuh kegagalan berkali-kali.

KELUAR DARI KOTAK KEBIASAAN.

Selaku manusia, kita takut untuk keluar dari kotak kebiasaan. Jawapannya hanya kerana takut menghadapi kegagalan. Maka kita hanya selesa berada di zon selesa tanpa menukar ke zon kurang selesa atau tidak selesa. Zon selesa yang memberi kita banyak ruang untuk bersantai dan lepak. Walhal dalam masa yang sama mahukan ganjaran untuk memenuhi segala kehendak yang melebihi keperluan.

Menyorot sirah para Rasul, Nabi, sahabat, tabi' dan tabi'in juga mereka sebenarnya sering berada di zon kurang selesa. Namun mereka mampu mencipta kegemilangan buat Islam dan ummah sehingga ke hari ini. Hasilnya ummah mampu merasai nikmat manisnya IMAN atas zon ketidakselesaan mereka.

Jika hendak memiliki sesuatu atau hendak memenuhi sesuatu lebihkan usaha. Jika tidak mampu dimiliki muhasabahlah. Barangkali usaha hanya biasa-biasa sahaja dan masih belum mencukupi. Berbaik sangka pada Ilahi yang DIA mahu kita gandakan usaha. Nampak gagal namun sebenarnya jika kita bijak di situ Allah letakkan kecemerlangan berganda untuk lebihkan usaha dari orang lain. Disamping lebih mendekati-Nya dan mengharapkan-Nya tanpa ragu-ragu.

Hendak berjaya dalam pelajaran. Lebihkan menelaah. Kurangkan terlibat dengan aktiviti-aktiviti membuang masa bersama rakan-rakan. Memang agak tersisih namun itulah yang perlu dikorbankan sedikit.

Itulah yang dilakukan dan dirasakan oleh arwah ustaz saya. Arwah seorang yang rajin menelaah kitab. Katanya, masa dalam hidup terlalu terhad. Maka kerana hendak menimba ilmu seluas lautan tanpa tepian, beliau menghadkan perbualan bersama saudara-mara dan rakan-rakan walaupun hanya perbualan di telefon.

Seorang rakan saya di sekolah menengah juga sering disisihkan kerana dia jarang terlibat dengan aktiviti membuang masa bersama rakan yang lain.

Hendak berjaya dalam kerjaya. Gandakan usaha. Langsaikan segala amanah. Cipta sesuatu untuk keluarkan produk atau hasil yang berkualiti.

Sebenarnya saya kagum dengan beberapa rakan yang sanggup rugi berpuluh ribu menyertai MLM dan mengeluarkan modal untuk bisnes. Tidak ada erti putus asa kerana hendak mengembangkan sumber kewangan bagi menjamin kehidupan lebih baik untuk diri dan keluarga.

Hendak berjaya dalam hidup. Selarikan tuntutan syariatullah dan sunnatullah. Jangan diabaikan sunnatullah untuk jaminan memberi kebahagiaan buat semua. Tidak ada yang dapat menjamin kebahagiaan selain dari rahmat Ilahi walaupun hidup dalam serba kekurangan.

Seorang bapa yang bekerja sebagai penoreh getah mampu menghantar ke semua anak-anaknya belajar sehingga ke universiti di luar negara. Malah dapat menunaikan rukun islam kelima dengan hasil tabungannya yang berdikit sejak dari muda. Bila ditanya, jawapannya hanya rahmat dan keberkatan Ilahi. Jelas bapa ini seorang yang tidak menjarakkan dirinya dari Allah. Meluangkan diri bersama Allah ketika orang-orang di luar sana bergelak tawa secara berlebihan.

Namun jika kita sudah sebegitu jangan dihina mereka yang bukan sebegitu.
Bukanlah bermakna perlu menyisihkan diri namun jangan berlebihan sehingga mengabaikan kejayaan diri sendiri.

*******

Nampaknya minat membaca siri penyiasatan semasa kecil dahulu masih subur dalam diri saya. Bahruddin Bekri berjaya menyuburkan kembali dengan siri penyiasatan hasil tulisannya iaitu 'Detektif bertudung hitam'. Sambungannya 'Penyiasat masjid'. Siri penyiasatan yang santai, tidak rumit dan penuh dengan adegan lucu. Malah mengandungi falsafah kehidupan yang cukup bermakna.

Sabtu, 2 Oktober 2010

Sudah tukar ka???

Jurufoto Michel Denis-Huot memetik kamera untuk mengambil foto-foto yang mengagumkan ini pada bulan Oktober tahun lalu di Masai Mara, Kenya. Dia kagum dengan apa yang dilihatnya:

“ Pada suatu pagi, tiga ekor adik beradik cheetah kelihatan bermain-main. Tidak lama kemudian, mereka bertemu dengan sekawan rusa impala. Kesemuanya lari bertempiaran meninggalkan si kecil. Dan… harimau tiga beradik itu mudah mengepungnya…”
Namun, lihatlah keajaiban makhluk ALLAH ini…



“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.” (Al Imran: 145)


Agaknya dunia sudah terbalik. Manusia yang berakal sudah menjadi haiwan ( tidak semua ). Haiwan yang tidak berakal sudah menjadi manusia kerana mempunyai sifat penyayang dan belas kasihan walaupon sesama pemburu dan pemangsa. Manakala manusia pula, ibu dan bapa juga gamak membunuh anak-anak sendiri dan mencampakkan merata-rata. Banyak faktor yang dicungkilkan hasil dari fenomena tidak sihat ini. Antaranya adalah :

1. Mendengar bisikan halus ( iblis dan syaitan )
2. Pemakanan tercemar yang mempunyai bahan toksik yang mempengaruhi fizikal dan mental.
3. Stress melampau akibat tuntutan hidup ( kerja, material, memenuhi kehendak orang tersayang dsbnya )

Namun, apa sahaja faktornya pasti ada solusi yang mengembalikan manusia kepada fitrah manusia.

Sepatutnya makin diuji makin kita dekat dengan pemberi ujian iaitu Allah. Dari DIA ujian itu datang. Kepada DIA juga ujian itu akan kembali.

Sepatutnya juga manusia yang hebat dan kerap diuji perlu bersyukur kerana kita dicintai-Nya kerana DIA mahu kita senantiasa dekat kepada-Nya. Hakikatnya manusia ini akan renggang dengan Allah apabila berada dalam keadaan senang.

"Kamu tahu bagaimana cara kita hendak dekat dengan Allah?" tanya saya kepada seluruh murid tahun 5.

Semua menggelengkan kepala.

"Yang utama sempurnakanlah solat fardu 5 waktu dengan ikhlas kerana Allah diikuti dengan kewajipan yang lain."

"Namun jika solat sudah disempurnakan kamu masih melakukan maksiat maka semak kembali solat yang kamu laksanakan dari segi rukun qauli dan fi'linya," penerangan saya menjadi mudah kerana anak-anak ini sudah mempelajari tajuk yang berkaitan.

Tiada cara yang dapat mendekatkan kita kepada Allah selain dari solat yang utama. Solat yang dihadirkan hati selain perlakuan yang dilakukan dan perkataan yang dilafazkan. Jika kekhusyukkan sudah tersasar, telinga kembalilah menghayati kalimah-kalimah yang dilafazkan bibir.

Jika di luar solat masih mendengar bisikan dan tertekan maka lazimilah hati berhubung dengan Allah di mana-mana dan bila-bila sahaja. Di darat, udara dan laut. Senantiasa connect dengan-Nya memohon ampun atas kesalahan sedar dan tanpa sedar. Memohon keselamatan hidup di dunia dan mati dalam keadaan baik. Mohonlah apa-apa sahaja. DIA mendengar dan DIA menyukai hamba-Nya yang meminta.

*******

Alhamdulillah. Allah memakbulkan doa saya untuk kembali bertemu dengan kawan-kawan sekolah rendah yang sudah 20 tahun terpisah. Pencarian di dunia realiti yang tidak ketemu. Akhirnya di dunia maya kembali bersua.

Kelas 6 Biru SK Sg Raya Kg Kepayang, Ipoh memang best. Menganyam zaman kanak-kanak untuk membentuk hidup seterusnya. Nampak nakal dan hanya main-main. Namun tanpa dulu menyedari ada waktu-waktu itu merupakan landasan kehidupan dewasa. Allah memberi zaman itu sebagai secebis kemanisan hidup agar hari-hari muka tetap merasai kemanisan itu.

All of my friends. Semoga kita menjadi sahabat di dunia dan akhirat. Amin.

Jumaat, 24 September 2010

Jangan cuba bermain API !!!



University Club Library - New York City, United States

Tidak guna berbuku tanpa berguru.
Tidak guna berbangsa tanpa budi bahasa.

Tidak tahu bagaimana hendak menaip kata-kata apabila tanpa budi bahasa kita diperlakukan sewenang-wenangnya. Biar tiada siapa yang memahami. Cukup sekadar jemari rancak menaip aksara memuaskan hati yang dirodok oleh sebuah kebiadapan manusia yang bertopeng keadilan. Datang tanpa diundang. Pergi tanpa maklum berita. Membawa pergi seseorang yang dikasihi.

Biadap ! Biadap ! Biadap !

Kebiadapan telah mula mengguris kesabaran yang selama ini mengalir bagai sungai yang memberi rezeki buat penduduk.

Namun marah itu api. Api itu syaitan. Syaitan itu musuh dengan kebaikan. Jauh dengan kebaikan membuatkan jauh dari pencipta. Jauh dengan pencipta membuatkan kian rancak menyemai kejahatan membuahkan dosa. Tidak mungkin dan tidak mahu terus menggendong buah-buah dosa di ladang dunia ini. Sedangkan buah-buah pahala masih belum banyak. Semaian ibadah sejak dahulu entah seberapa kerat yang diterima Ilahi. Dicampur, tolak, darab dan bahagi niat, keihlasan dan kekhusyukkan melakukannya.

Yale University’s Beinecke Rare Book and Manuscript Library - New Haven, Connecticut

Lemahnya seorang manusia. Akibat kebiadaban manusia sudah mula mahu bermain api
syaitan. Kesabaran umpama air sungai kian kering yang adakala menyukarkan untuk memadamkan api kemarahan ini. Justeru api ini kadangkala kembali marak. Ditambah lagi tiupan angin yang membuatkan api ini merebak ke tempat lain.


Admont Abbey Library - Austria

Api syaitan tidak boleh dibiarkan terus merebak membakar semua kawasan mahmudah yang
berpuluh tahun dibangunkan ini. Panjangnya masa dibangunkan yang tidak sedikit pengorbanan dan airmata yang dibelanjakan.

Real Gabinete Português de Leitura - Rio de Janeiro, Brazil

Allah..Allah..Allah. Kembali kepada-Nya. Apabila kembali kepada DIA maka api itu akan
terpadam. Air sungai kesabaran kembali mengalir deras. Ketenangan kembali menghuni diri.
Setiap kebiadapan yang dilakukan pasti ada balasan. Bukan meminta atau disumpah yang tidak baik. Cukup sekadar sedar bahawa setiap manusia layak diperlakukan sebaik-baiknya kerana Allah juga memuliakan hamba-hambaNya. Nabi manusia pertama juga tidak pernah sama sekali menghina manusia lain walaupun seorang Yahudi di zaman baginda. Malah diperlakukan dengan baik sehingga membuka mata mereka bahawa Islam ini beserta orang Islam itu sendiri adalah baik berbudi bahasa.

Mengaku Muhammad itu adalah Nabi sahaja tidak guna apabila sikap, sifat dan ajaran baginda tidak dituruti.

Kekasaran dan kebiadapan berlaku di mana-mana walaupun kepada manusia seagama dan sebangsa.

Thomas Fisher Rare Book Library at University of Toronto - Toronto, Canada

Sedarlah bahawa keadilan itu bukan sekadar laungan namun pentingnya adalah melalui tindak-
tanduk yang ditonjolkan.

Jika diri menghormati orang maka diri juga akan dihormati.
Jika diri berbuat baik kepada orang maka diri juga akan menerima kebaikan yang tak putus tiba.

Tidak kira siapa diri itu. Mulianya diri itu adalah pada pandangan mata Allah. Bukan pada pandangan mata manusia yang hanya sekadar nampak gah. Sebaliknya sering mengundang dosa hati yang sering tidak disedari.

George Peabody Library - Baltimore, Maryland

Sebenarnya di sini ada sebuah cerita yang tidak boleh dihebahkan. Cuma pohon doa para
pembaca agar cerita ini berakhir dengan baik. Dimudahkan segala urusan oleh Allah Taala. Diberikan taufik hidayah oleh-Nya. Juga agar jalan di hadapan terbentuk cantik dan indah dengan berakhirnya sebuah kehidupan dengan pengakhiran yang baik. AMIN.

George Peabody Library - Baltimore, Maryland

Kagum sebentar melihat beberapa buah perpustakaan di seluruh dunia ini. Maka diabadikan
di sini untuk tatapan semua. Terakhir berada di sebuah perpustakaan yang agak besar adalah di Iskandariah Mesir 5 tahun lalu. Terasa seperti hendak berumah dan berkampung di situ. Terasa seperti hendak membeli stok makanan dan hanya menelaah di situ. Namun itu mustahil sama sekali.

Sabtu, 4 September 2010

Cerita RAMADHAN 1431

Alexandria. Tiba-tiba kawasan yang di kelilingi laut itu terbayang-bayang dalam ingatan. Seperti hendak berlari sahaja ke sana untuk menghirup bayu lautnya yang masin dihembus angin. Melepaskan segala bebanan perasaan dan bebanan masalah yang membelenggu tidak putus-putus kunjungnya. Inilah kehidupan. Makin dewasa makin hebat diuji. Jika dahulu hanya dibaca dan dilihat membelenggu watak cerita dan jalan hidup manusia lain, kini benar-benar berlaku pada diri. Terima, mendepani, menyelesaikan. Itu cara agar ia pergi dengan baik. Juga agar diri sentiasa berada dalam kondisi tenang dan bahagia.

'Benarkah Iskandar bukan Zulkarnain?'. Buku sejarah yang dibongkar baik oleh saudara Alfareez Abd Razak Al-Hafiz tentang segala rahsia sebenar pejuang agung itu merupakan salah satu sebab Alexandria dirindui. Di perut Alexandria yang diberi segala macam ilmu kehidupan luar kampus oleh Allah Taala. Bermula dari menjalani kehidupan hanya berbekalkan wang 25 sen. Sehingga ke permasalahan sahabat serumah yang membabitkan perasaan yang sedikit dicuit pasti mewujudkan luka yang terlalu parah. Itulah wanita yang penuh emosi dan perasaan. Walau cuba dihindar tetap seperti itu jua sedikit sebanyak pasti ada.

Syukur. Ramadhan pertama tanpa abah dapat dijalani seperti biasa. Ingatan terhadap abah tetap segar. Namun ingatan itu bukanlah penyebab kemurungan sehingga tidak dapat meneruskan kehidupan yang masih berbaki. Seperti kata seseorang yang kukenali.

"Abah sudah selamat pergi. Kita yang masih hidup ini masih tidak tahu bagaimana cara berakhirnya nanti."

Seperti hendak saya tambah," Maka perlulah kita sendiri mencorakkan jalan untuk mendapatkan penamat yang baik (husnul khotimah ) tanpa bertangguh lagi walau sesaat."

Sedih. Ramadhan kali ini penuh cerita. Cerita ragam manusia yang masih bernyawa. Bermula awalnya sambungan rentetan pembuangan bayi dari bulan-bulan sebelumnya. Sehingga di malam sambutan kemerdekaan ke 53 juga masih ada tangkapan dibuat di hotel-hotel murah. Maka tunggulah pula bayi-bayi yang dihasilkan ini lahir dan dibuang pada tahun hadapan. Itu antara ayat perbincangan bersama seorang rakan di laman sosial.

"Ramadhan kali ini banyak betul orang kena sembelih," kata Mak Cik selepas solat Maghrib di rumah Tok.

Jika dahulu peristiwa penyembelihan manusia adalah perkara biasa di luar negara yang dilakukan oleh orang bukan Islam. Kini sudah menjadi perkara biasa di negara ini yang dilakukan oleh orang Islam. Bersama suami sudah tidak selamat apabila isteri sendiri disembelih. Bersama bapa juga sudah tidak selamat apabila anak yang manja dengannya disembelih. Bersama ibu juga tidak selamat apabila anak kandung didera sehingga membawa kematian. Berada di dalam rumah sendiri juga tidak selamat apabila didapati meninggal tanpa ada motif.

"Sekarang ini jika hendak berkahwin bukan sekadar perlu dicheck HIV dan gen talasemia, malah perlu dikenal pasti tahap kesihatan mental pasangan," kata Kak Ngah yang ada benarnya.

Bukan setakat negara dihina oleh rakyatnya. Malah Islam sendiri dihina bukan sahaja oleh bukan Islam tetapi dihina oleh umatnya sendiri. Dihina tanpa kata-kata terlalu meluas sekarang ini. Apatahlagi dihina dengan kata-kata yang seringkali dipandang sebelah mata oleh umat Islam lainnya. Sedangkan jika non muslim yang cetek pengetahuan tentang Islam akibat kekeliruan melihat orang Islam yang sudah tidak selari dengan ajaran Islam menghina Islam maka akan melenting umat Islam seluruhnya.

"Awak kata solat, puasa dan pakai tudung itu perlu dibuat tetapi mengapa ahh ramai orang Islam tatak solat, tatak puasa dan tatak pakai tudung maa?" soalan yang pernah saya terbaca ditanya kepada seorang hamba Allah yang barangkali berada di minda hampir setiap non muslim tanpa diluahkan.

Jika tidak mampu berkata-kata. Cukuplah sekadar mengarang satu nasihat dan teladan. Jika tidak mampu menulis. Cukuplah sekadar menunjukkkan teladan melalui perlakuan. Bukanlah bermakna menunjuk itu hanya satu lakonan. Di hadapan baik. Di belakang sebaliknya. Namun menjadikan al-Quran dan hadis itu sebagai garis panduan sudah baik untuk memandu diri dan orang lain untuk mengikuti lorong yang lurus.

Buat kerana Allah. Allah dan manusia akan menilainya. Buat kerana manusia hanya sekadar manusia yang menilainya.

Renung-renungkan duhai diri sendiri. Renung-renungkan wahai semua. Selamat menggandakan amal di hari-hari terakhir Ramadhan.

Selasa, 10 Ogos 2010

Ahlan ya sahrul Madrasah

"Apa makna puasa," seperti biasa ustazah ini suka bertanya sebelum ditanya.

"Tak boleh makan dan minum," kucar-kacir murid tahun 1 Al-Razi menjawab.

"Lagi?"

"Tak boleh korek hidung..korek telinga," bibir saya automatik terukir senyum dengan jawapan yang hampir sama ketika saya belajar di sekolah rendah dahulu.

"Ya betul semua jawapan itu tetapi yang paling betul adalah puasa ini bulan madrasah," retina semua kanak-kanak kecil yang comel itu fokus kepada saya.

"Madrasah tu apa ustazah?" barangkali murid yang bertanya itu terlupa maksud kalimah madrasah yang pernah diajar ketika mata pelajaran Bahasa Arab tetapi tidak mengapa saya suka kepada pertanyaan.

"Madrasah bermaksud sekolah."

"Aik, kenapa puasa jadi sekolah pula?," masing-masing tertanya kehairanan dengan situasi kelas sedikit bingar.

Saya suka sikap murid-murid yang hendak tahu dan menggunakan akal untuk merungkaikan sesuatu permasalahan.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


"Ramadan bermaksud sekolah kerana ketika Ramadan kita perlu mendidik hati,mata,telinga,hidung dan mulut."

"Aik?" Aisyah antara seorang murid cerdik membuat pertanyaan berbentuk hairan.

"Macam mana tu ustazah?" Syafiq antara murid yang becok di dalam kelas menyoal.

"Mendidik hati agar tidak niat untuk melakukan kejahatan dan kata perkara-perkara yang tidak baik."

"Dari hati selalu bermula kejahatan yang akan dilaksanakan oleh anggota badan yang lain seperti mata, telinga, hidung dan mulut. Sebab itulah Allah menyuruh niat dahulu ketika solat iaitu niat yang berlaku di mana?"

"Niat di dalam hati," bergema surau dengan jawapan dari mulut-mulut mungil itu.

"Mendidik telinga agar tidak mendengar perkataan-perkataan yang tidak baik seperti kata-mengata, umpat keji dan sebagainya."

"Mendidik mata agar tidak melihat perkara-perkara yang tidak baik seperti melihat filem-filem yang tidak senonoh di tv."

"Mendidik mulut agar bukan sekadar tidak makan minum tetapi tidak berkata perkara yang tidak baik, kata yang menyakiti hati orang terutama ibu bapa, kata yang menyebabkan pergaduhan, kata fitnah iaitu perkara tidak benar yang direka-reka dan lain-lain lagi."


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


"Banyaknya ustazah."

"Memang banyak perlu dijaga untuk menghindari dosa."

"Selain itu Ramadan bulan sekolah kerana bermula dari bulan inilah kita dapat mendidik diri kita sehingga ke bulan-bulan seterusnya seperti kamu sekarang yang datang sekolah untuk belajar dan ilmu yang kamu dapat bukan sekadar kamu gunakan di dalam sekolah tetapi kamu gunakan di mana-mana sahaja sehingga kamu besar malah sehingga kamu mati..betul tak?"

"Betulllllllllllllll." gemaan datang dari sebuah sesi pengajaran dan pembelajaran yang suka sekali saya mendengarnya.

"Menutup aurat bukan sekadar pada bulan Ramadan, sedekah bukan hanya pada bulan Ramadan, tidak berbohong, tidak mencuri dan berbuat baik bukan hanya pada bulan Ramadan namun pada bulan-bulan lain juga kerana sebagai orang Islam selain kita menghormati Ramadan, tujuan utama kita membuat sesuatu perkara kerana siapa?"

"Kerana Allah...." gemaan kalimah Allah walau hanya disebut oleh anak-anak kecil cukup menggerunkan.

"Ramadan ini sebagai bulan permulaan kita membentuk akhlak yang baik. Bersesuaian dengan itulah ia layak digelar sebagai bulan?"

"Puasa.."

"Iya sebagai bulan puasa. Selain itu sebagai bulan?"

"Bulan madrasah atau bulan sekolah."

"Ahsantum." semua tersenyum mendengar pujian.

*** Ramadan adalah pemangkin. Ramadan adalah platform. Ramadan bukan hanya bulan persinggahan 30 hari untuk berbuat kebaikan. Namun selepas itu ia terbang seumpama angin sepoi yang menampar pipi ditengah rembang.

Jika Ramadan kita mampu bangun melaksanakan solat tahajud sebelum sahur. Teruskanlah amalan sunat yang dilakukan Rasulullah itu untuk ke bulan seterusnya. Saya kagum melihat jenazah seorang nenek yang tersenyum kerana seumur hidupnya istiqamah melaksanakan tahajud, menurut kata cucu.

Jika Ramadan kita mampu membaca Al-Quran apabila ada masa terluang untuk menghabiskan 30 juzuk dalam sebulan. Teruskanlah pada masa-masa senggang selagi nyawa dikandung badan.

Jika Ramadan kita mampu menghindari umpat keji, kata nista, prasangka, dendam kesumat, fitnah, mengadu domba dan sebagainya. Teruskanlah seumur hidup agar kehidupan ini selamat dari mengikut kata Iblis laknatullah yang senantiasa mahu manusia bermusuhan dan memutuskan silaturrahim.

Jika Ramadan kita mampu mengurangkan makan untuk memudahkan beribadat. Maka teruskanlah ke bulan seterusnya agar badan sihat untuk terus beribadat dalam bentuk ibadat khusus dan ibadat umum.

Jika Ramadan kita mampu tidak menyedut asap rokok. Teruskanlah agar paru-paru terselamat dan dapat menjaga anugerah Allah ini sebaik-baiknya kerana merokok sememangnya tidak langsung memberi faedah. Malah mengundang bahaya kepada diri dan orang tersayang.

Jika Ramadan kita mampu menahan diri tidak membuat dosa. Teruskanlah kerana Allah tidak menjadikan sebulan sahaja untuk hamba-Nya menghindari dosa. Sedangkan 11 bulan selebihnya bergelumang dengan maksiat dan noda.

~ Sedang menanti. Adakah har-hari dalam Ramadan ini masih ada lagi bayi-bayi dibuang ke tempat jijik dan dilempar dari atas bangunan sesuka hati? ~

Jumaat, 30 Julai 2010

Terlupa @ buat-buat lupa?

"Arghhh..selsema pulak, tak selesanya keadaan ini."

"Ermm..baru je demam minggu lepas, minggu ini panas pula badan ini."

"Alah..hujan plak, camna nak gi opis ni."

"Aishh..hujan-hujan camni bawa keta tak nampak jalan la, cermin pun kelabu ja."

"Hmm..panasnya, malas la nak keluar rumah nanti terbakar kulit."

"Uhhh..peritnya panas kali ni, nak ke mana-mana pun tak selesa."


"Ermm..keje umah ni tak pernah selesai, orang laki senang la balik keje ja buka paper sambil minum kopi."

"Aduh..banyaknya keje, jika dapat bercutikan best dapat release tension."

"Hmm..boringnya tak tau nak wat ape."

"Boring la plak, mana pergi semua orang ni..hmmm."

Tanpa sedar ayat-ayat di atas sering kita tuturkan bila berada dalam situasi-situasi di atas. Iman dan akal juga gagal mengawal emosi yang bergelodak. Sebaliknya ketika di luar situasi di atas kita mampu menggelakkan ayat-ayat itu dengan kawalan emosi, akal dan iman. Betapa lemahnya manusia ketika diuji sedikit.

Ketika itu kita terlupa sakit itu tandanya Allah sayang.
Ketika itu kita terlupa hujan itu adalah rahmat.
Ketika itu kita terlupa bahawa panas itu adalah bala yang perlu dimuhasabahkan diri dan masyarakat.
Ketika itu kita terlupa bahawa sibuk itu tanda Allah tidak membiarkan kita lagha dengan perkara yang sia-sia.
Ketika itu kita terlupa bahawa masa lapang itu diperuntukkan untuk mengganti amalan wajib yang banyak lopong.

Ketika sakit kita terlupa bersyukur kerana sakit itu membuatkan kita makin rapat dengan-Nya. Sakit yang diberi-Nya dan DIA jugalah yang akan menariknya kembali. Justeru sakit yang mengingatkan kita kepada mati. Sihat sering melalaikan kita. Mengejar dunia seolah-olah dunia ini tidak akan ditinggalkan.

Ketika hujan kita terlupa untuk mengucapkan 'alhamdulillah' kerana menurunkan rezeki berlimpah-ruah ke bumi. Bakal menyuburkan tanaman dan tumbuhan. Bakal memenuhkan sungai dan perigi. Bakal menebarkan rahmat ke atas setiap ciptaan-Nya.

Ketika panas kita lupa berishtighfar menghapuskan dosa-dosa kecil. Taubat Nasuha bagi melenyapkan dosa-dosa besar. Semoga dosa-dosa itu jatuh berkeping-keping umpama ruping luka yang telah kering.

Ketika sibuk dengan rutin kerja seharian kita terlupa untuk memanjatkan syukur kerana kita punya kerja untuk menampung kehidupan. Kita punya amanah apabila dilangsaikan dengan ikhlas akan ada ganjaran yang besar dari-Nya. Ganjaran yang tidak nampak dek mata kasar. Ada keluarga yang perlu dijagai. Boleh menumpang manja dan bahagia berbanding orang yang ditakdirkan sebatang kara.

Ketika punya masa lapang kita terlupa untuk bersyukur kerana punya ruang untuk membuat pelbagai amal kebaikan untuk diri sendiri dan orang lain. Berbanding orang yang sibuk kita ada masa untuk solat sunat bagi menampung solat wajib yang mungkin lopong. Ada masa untuk mencari ilmu dari pelbagai sumber dengan pelbagai cara. Sumber utama adalah membaca, mentadabbur dan menghayati makna al-Quran. Malah mungkin menghafaznya. Membaca pelbagai jenis buku. Menghadiri majlis-majlis ilmu dan sebagainya. Lebih santai melaksanakan hobi yang tidak bercanggah dengan syariat.

Kita yang selalu lupa kerana lupa saya mengingatkan diri sendiri terutamanya dan semua agar bersyukur atas pemberian dan ujian yang diberi-Nya.

Saling ingat-memperingati membuatkan alam ini tersenyum bahagia kerana lupa itu tidak akan menghuni dalam diri manusia makhluk berakal yang sering terlupa yang adakala buat-buat lupa.

Selasa, 27 Julai 2010

Guruh & kilat pasti pergi..

Setiap kali mendengar guruh berdentum dan melihat kilat sabung-menyabung pasti saya teringatkan isteri pensyarah di Kusza dahulu. Surirumah berasal dari Morocco itu amat takutkan guruh dan kilat. Cerita tersingkap apabila pensyarah subjek Fekah itu terkocoh-kocoh hendak pulang ketika guruh mula berbunyi. Perilaku yang normal kerana Morocco tidak mengalami hujan sepanjang tahun seperti di sini.

Setiap kali mendengar guruh dan kilat juga pasti saya teringatkan bangsa Cina yang sering menyumpah sesiapa sahaja yang berani menipu akan disambar dua fenomena alam itu. Melalui drama dan filem cina separuh dari kebiasaan mereka dapat juga diketahui.

Ketika berlaku guruh dan kilat ketika kecil dahulu, saya sering berasa seronok. Langit yang gelap. Hujan yang lebat. Satu keluarga berkumpul di bawah satu bumbung. Tiada yang terkecuali. Adik-adik bermain sesama sendiri. Emak memasak di dapur. Abah mengilatkan but tentera. Rasa selamat kerana semuanya dapat berkumpul bersama.
Selepas guruh dan kilat beransur pergi. Lalu menampakkan pelangi mulalah masing-masing bertebaran ke serata bumi menjalankan aktiviti masing-masing. Mulalah kurang tenteram. Teringatkan abah di kem. Teringatkan adik-adik di sekolah atau di padang permainan.
Sekarang sudah berubah. Masing-masing sudah dewasa. Ketika guruh dan kilat masih ada yang berada di luar rumah. Hati digaru resah. Waktu arwah abah menjadi despatch dahulu hanya doa mengiringi agar abah selamat di perjalanan. Ketika abah menjadi guard juga hanya doa mampu mengiringi. Kini doa itu untuk adik-adik yang keluar bekerja. Disamping doa untuk diri sendiri yang menempuh gelap. Apatahlagi ketika hujan, guruh dan kilat.
Guruh dan kilat bukanlah alasan fenomena buruk itu perlu dibenci. Dalam dentumnya guruh ada hikmah-Nya. Dalam sabungnya kilat juga ada hikmah-Nya. Tiada sesuatu pun yang dijadikan dengan sia-sia. Dengar dengan baik, dentum guruh itu sedap alunannya. Lihat dengan baik, percikkan kilat itu cantik arusnya.

Kehidupan umpama guruh dan kilat yang berlatar belakangkan langit kelam tidak selalunya muram. Pasti ada kebaikan yang terselit.
Kehidupan seumpama pelangi berwarna-warni dengan cahaya memenuhi alam tidak semestinya indah. Pasti ada ujian yang menyempit.
Terpulang kepada cara individu memandang dan mendengar setiap yang mendatang itu. Pastinya berbaik sangka pada pencipta yang memberi itu bakal merubah kegelapan menjadi cahaya.
***************
Kenapa kita dibiarkan sendiri ketika dilanda masalah. Mahu mengapai mana-mana tangan seperti tidak sudi. Baik sangkanya adalah mereka mempunyai masalah sendiri yang hendak diselesaikan barangkali. Mungkin juga sibuk dengan kehidupan. Jelasnya, Allah membiarkan mereka sebegitu agar hanya DIA yang dicari. Lalu kita mencari DIA. Merayu, memohon, meratap, berdoa, berharap dan bertawakkal. Itulah sebenarnya. Mencari DIA secara terus tanpa melalui sesiapa.

Sabtu, 3 Julai 2010

Hadiah buat ABAH..

"Aisyah tahu, hadiah apa yang boleh diberikan kepada mak Aisyah yang sudah meninggal?" saya cuba pancing perhatian Aisyah ketika waktu akhir tasmik di dalam surau.

Kanak-kanak berkulit sawo matang itu menggelengkan kepalanya yang tertunduk.

"Kita tidak boleh memberikan hadiah berupa benda yang boleh disentuh walau semahal mana pun harganya Aisyah," imbasan wajah abah yang hampir dua minggu meninggalkan saya memenuhi pandangan.

"Hadiah seorang anak untuk ibu dan bapa yang telah meninggal adalah menjadi anak yang soleh dan solehah selain menyedekahkan bacaan ayat al-Quran seperti surah Yaasin," airmata sudah memecahi bentong tubir mata anak yang kehilangan ibu kerana melahirkannya.

Hati saya tersentuh kala itu. Sekurangnya saya sempat bersama abah selama 32 tahun. Merindui abah saya masih bertemankan kenangan abah yang terlipat kemas dalam pita memori. Anak itu tidak sempat merasai belaian dan sentuhan seorang ibu. Namun saya kuatkan semangat untuk memberi motivasi kepadanya agar bersungguh-sungguh mengenali dan membaca huruf-huruf al-Quran. Dia bukannya seorang kanak-kanak yang memiliki memori terlalu lemah. Namun sikapnya membuatkan dia memperolehi nombor yang agak corot dalam kelas. Saya mengandaikan dia kekurangan sesuatu. Kekurangan kasih-sayang.

Sabtu.

Satu hari lagi yang terakam sebagai hari dalam sejarah dalam hidup saya yang tidak akan dilupai.

19 Jun 2010 bersamaan 6 Rejab 1431H. Tarikh abah pergi meninggalkan kami dengan melangkah ke alam sana. Sedihnya kaki hendak melangkah pulang untuk meniggalkan abah seorang diri ketika usai pengebumian beliau. Perasaan berbeza berbanding di penghujung hayatnya yang kerap ditinggalkan seorang diri di rumah untuk membeli barang keperluan. Bukan tidak dipelawa. Namun abah selesa di rumah dan mengizinkan kami keluar tanpanya.

Membuat apa sahaja teringatkan abah. Ke mana-mana sahaja ada bayangan abah. Hatta ketika memandu juga masih terngiang-ngiang nasihatnya agar mengutamakan pembonceng motorsikal dan pejalan kaki di sebelah kiri.

Sebelum perginya abah meninggalkan pesanan.

Pesanan kepada Kak Ngah agar mengambil lesen memandu kerana tidak mungkin abah dapat menghantarnya kelak.
Pesanan kepada adik agar belajar bersungguh-sungguh agar dapat menjadi doktor.
Pesanan kepada kami 5 beradik sejak adik lahir agar dapat mengganti tanggungjawab beliau menyara adik bongsu yang sekarang di tahun 5.

Allah tahu kami mampu hidup tanpa seorang abah. Semangat emak bercampur nasihat abah membentuk kami adik-beradik untuk terus menongkah arus hidup dengan berpaling ke belakang untuk mengambil pengajaran. Merenung ke hadapan untuk membina empayar hidup agar selari dengan al-Quran dan as-sunnah selagi malaikat maut tidak menjemput ke sana untuk menyertai abah.

Sekarang ini bagi saya maut terlalu dekat. Tanpa ada sekatan antara kita manusia dengan maut.

"Allah beritahu tak bila kita akan mati?" memancing perhatian murid tahap 1 bukanlah perkara mudah bagi saya.

"Tak.....," bergema ruang kelas.

"Jika Allah beritahu tarikh kita akan mati maka mudahlah kita membuat persiapan sebelum mati. Kita tidak akan bermain-main lagi. Mati kita juga insyAllah akan dalam keadaan baik."

"Namun kerana kita tidak tahu bila akan mati maka ramainya matinya dalam keadaan tidak baik."

"Maka bagaimana kita hendak mati dalam keadaan baik?" persoalan yang hanya mendapat renungan tanda tanya pada setiap wajah anak-anak kecik sebersih kain putih itu.

"Sentiasa berbuat baik dan cuba menghindari walau secubit kejahatan dan dosa. InsyAllah hidup yang tidak tahu bila akhirnya akan berakhir dalam keadaan baik."

Beberapa contoh dibawakan agar kanak-kanak itu lebih mudah memahaminya.

Pengukuhan akidah disertai ibadah. Disulami sirah sebagai teladan. Disempurnakan dengan adab mampu membawa anak-anak ini menuju jalan hak dengan rahmat dan izin Allah Taala. Menghindari jalan batil. Menghampiri masjid. Menghindari pub dan disko. Menghampiri majlis ilmu. Menghindari hubungan luar nikah. Menghampiri kerja-kerja amal. Menghindari buang bayi. Itu harapan guru yang mengajar dan mendidik.

Rasanya tidak perlu pendidikan seks di sekolah. Cukuplah memperkasakan Pendidikan Islam yang sedia ada dengan setiap guru mentajdidkan niat. Menghadirkan ikhlas. Ibu bapa memberi sokongan dan dokongan bersama kerana peratus kehidupan anak anda adalah bersama anda berbanding hanya beberapa jam sahaja bersama guru.

*** Allah telah hadirkan pelangi yang cantik setelah perginya guruh dan petir yang menakutkan***

Sabtu, 19 Jun 2010

Bicara anak kecil kepada abahnya.

"Anak abah belajar rajin-rajin ya nanti besar jadi cikgu," dari corong telefon suara abah di seberang sana jelas sebutir-sebutir.

"Baik abah," anak perempuan di seberang sini mengiyakan walaupon guru tidak pernah tersenarai dalam cita-citanya.

Itu kisah 24 tahun lalu ketika anak itu masih kanak-kanak. Abahnya juga masih muda, kuat dan bertenaga.

Masa bertambah. Anak itu remaja dan dewasa. Belajar dan bekerja. Abahnya juga makin berusia, tua, berkedut dan tenaga makin kurang.

Abah masih mengeluarkan butir-butir nasihat terutama ketika berduaan dengan anaknya. Hatta sekecil-kecil panduan ketika memandu di jalan raya, falsafah kehidupan dan masa depan. Cuma caranya berbeza. Cara dewasa. Tidak lagi nasihat sambil mengusap kepala anak perempuan sulongnya itu. Anak itu juga tidak mengadu masalah dengan rengekkan manja.

Kini anak yang sudah dewasa itu rindu dan ingin kembali menjadi anak kecil kepada abah yang disayanginya.

"Abah, bangunlah abah."

"Abah, Kak Long sayang abah."

"Abah, Kak Long nak dengar suara abah dan cerita-cerita abah ketika dalam tentera dulu."

"Abah, bangunlah abah kata nak pergi berkelah sama-sama."

"Abah kata nak makan pizza Radix."

"Abah kata nak pi Mekah, jom la kita pi sama-sama sekali dengan mak."

"Abah, Kak Long tak sanggup tengok abah bernafas menggunakan mesin dengan wayar berselirat di seluruh badan."

"Abah mengajar Kak Long tabah dan berdikari tetapi Kak Long tetap nak abah sihat dan dapat bersama-sama kami.'

"Ya Allah, sedarkanlah abahku, sembuhkanlah dia, sihatkanlah dia, rahmatilah dia."

*********
Anak itu adalah saya. Abah itu adalah abah saya yang kini koma di ICU yang disahkan barah hati tahap kritikal.

Abah saya yang dulu periang dan ramah kini diam. Abah saya yang menceriakan kawasan perumahan kami kini sunyi tanpa bunyi enjin motorsikal abah dan suara abah yang kerap menyapa jiran-jiran.

Khamis, 27 Mei 2010

Hak dicipta ditunaikan.

Hak. Berbicara tentang hak. Setiap manusia mahu haknya ditunaikan. Namun hanya minoriti yang menunaikan hak manusia di sekelilingnya. Sepertimana konsep 'erti hidup pada yang memberi'. Rasanya dapatlah juga disamakan 'erti hidup pada yang menyempurnakan hak'.

Lima minit terlewat masuk ke kelas. Lima minit jugalah hak murid-murid yang tidak ditunaikan. Tiga minit terlebih masa setelah loceng berbunyi. Tiga minit jugalah hak guru selepas masa kita telah dicuri. Muhasabah. Diri sendiri jua masih tidak dapat menunaikan hak yang sekecil-kecil ini. Semuanya akan diperhitungkan kelak. Kata-kata pensyarah senantiasa terngiang-ngiang tentang bab menunaikan hak ketika kerja yang akan membabitkan soal gaji, rezeki dan berturutan sehingga masa depan serta keturunan dan generasi. Getar apabila kata-kata itu berbisik kembali di gegendang telinga. Semoga kata-kata itu menjadi pemangkin agar hak yang sekecil-sekecilnya dapat dilaksanakan sebaik mungkin selagi oksigen masih mampu dipam oleh paru-paru.
Seorang ibu dan ayah menunaikan hak kepada anak-anak yang dikendong, dilahir dan dibesarkan. Namun mampukah setiap anak menunaikan hak ibu bapa mereka terutama setelah ibu bapa itu tiada punya kudrat untuk bergerak?

Tidak dinafikan wujud ibu bapa yang tidak menyempurnakan hak terhadap anak-anak yang dilahirkan seputih kain. Malah ibu bapa itu juga disebut telah menderhakai anak-anak. Sebermula seorang bapa yang tidak mencari calon ibu yang baik untuk mendidik anak-anaknya. Berlarutan di dalam institusi rumahtangga yang dibina itu sehingga membabitkan anak-anak seterusnya generasi masa depan. Kesannya cukup memakan masa. Hakikat kita yang senantiasa berasakan perkara itu kecil jarang nampak kesan masa depan yang ghaib.

Allah tidak pernah mengabaikan hak setiap hamba-Nya. Namun hamba sering melupakan perintah Allah yang sebenarnya bukanlah sia-sia untuk ditunaikan. Sering bertangguh untuk melaksanakan yang sebenarnya masa tetap berjalan pada paksinya tanpa menanti walau sesaat.

"Tarik nafas semua dan semasa melepaskannya ucapkanlah 'Alhamdulillah'," sesi regangan setelah tengahari menyebabkan tumpuan murid-murid lari dari pengajaran.

"Apa yang kamu rasa?"

"Segar," mata masing-masing kembali bugar.

"Pernah tak seketika kamu semua rasa tidak boleh bernafas?"

"Tak pernah," bergema kelas dengan jawapan.

"Allah tidak pernah mempersiakan hak terhadap setiap hamba-nya walaupun kepada hamba-Nya yang tidak beriman kepada-Nya."

"Cuba gerakkan tangan dan kaki kamu, tengok dan fikir bagaimana dapat digerakkan jika nafas terhenti walaupun hanya seketika."

Masing-masing mempraktikkan arahan yang diberi dengan patuh. Realitinya kanak-kanak memang suka pada gerakan. Pengajaran dan pembelajaran yang kaku bagi mereka membosankan.

"Tidak bolehkan?" jawapan berbentuk soalan diutarakan.

"Jadi cuba renungkan, terlalu banyak anugerah Allah terhadap kita berbanding perintah yang hanya sedikit disuruh sepanjang hidup."

"Apalah sangat solat yang hanya 5 waktu di mana setiap waktu hanya memakan masa selama 5 minit berbanding anugerah-Nya yang membolehkan kita bergerak sehingga dapat meneroka angkasa."

Subhanallah. Subhanallah. Subhanallah.

Rasulullah menunaikan hak terhadap umatnya sehingga ke akhir usia masih mengingati kita. Berjuang agar kalimah LAILA HA ILLA ALLAH ada di hati setiap umatnya.

"Kamu semua cinta Nabi tak?" perhimpunan pagi bagi menumbuhkan rasa kehambaan yang jitu melalui manusia agung kekasih Allah.

"Cinta!!!."

"Bagaimana kamu mencintai manusia yang tidak pernah kamu lihat?"

"Baca buku."

"Dengar cerita."

Pelbagai jawapan yang diterima dari tahap murid yang berbeza.

"Ya, kamu hebat dapat mencintai Rasul yang telah wafat beratus tahun lalu namun Rasul junjungan lagi hebat kerana mencintai kita umatnya yang masih belum lahir ketika itu malah didoai umatnya sehingga akhir zaman.

'Jangan dituntut hak kita ditunaikan sebelum merenung adakah hak mereka telah kita tunaikan'

**** Hak blog ini juga perlu ditunaikan kerana ia diwujudkan untuk coretan memperingatkan diri dan sesiapa yang membaca. Namun 2010 ia agak terabai. Adakala datang rasa bersalah.****

Matahari tetap menunaikan hak terhadap seluruh penduduk bumi agar aktiviti kehidupan tetap diteruskan.

Jadilah seperti matahari yang menyinari seluruh alam. Memberi manfaat setelah diberi peranan oleh pencipta. Jika sehari matahari tidak bercahaya akan kucar-kacirlah kehidupan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...