Alexandria. Tiba-tiba kawasan yang di kelilingi laut itu terbayang-bayang dalam ingatan. Seperti hendak berlari sahaja ke sana untuk menghirup bayu lautnya yang masin dihembus angin. Melepaskan segala bebanan perasaan dan bebanan masalah yang membelenggu tidak putus-putus kunjungnya. Inilah kehidupan. Makin dewasa makin hebat diuji. Jika dahulu hanya dibaca dan dilihat membelenggu watak cerita dan jalan hidup manusia lain, kini benar-benar berlaku pada diri. Terima, mendepani, menyelesaikan. Itu cara agar ia pergi dengan baik. Juga agar diri sentiasa berada dalam kondisi tenang dan bahagia.


"Abah sudah selamat pergi. Kita yang masih hidup ini masih tidak tahu bagaimana cara berakhirnya nanti."
Seperti hendak saya tambah," Maka perlulah kita sendiri mencorakkan jalan untuk mendapatkan penamat yang baik (husnul khotimah ) tanpa bertangguh lagi walau sesaat."

"Ramadhan kali ini banyak betul orang kena sembelih," kata Mak Cik selepas solat Maghrib di rumah Tok.
Jika dahulu peristiwa penyembelihan manusia adalah perkara biasa di luar negara yang dilakukan oleh orang bukan Islam. Kini sudah menjadi perkara biasa di negara ini yang dilakukan oleh orang Islam. Bersama suami sudah tidak selamat apabila isteri sendiri disembelih. Bersama bapa juga sudah tidak selamat apabila anak yang manja dengannya disembelih. Bersama ibu juga tidak selamat apabila anak kandung didera sehingga membawa kematian. Berada di dalam rumah sendiri juga tidak selamat apabila didapati meninggal tanpa ada motif.
"Sekarang ini jika hendak berkahwin bukan sekadar perlu dicheck HIV dan gen talasemia, malah perlu dikenal pasti tahap kesihatan mental pasangan," kata Kak Ngah yang ada benarnya.
Bukan setakat negara dihina oleh rakyatnya. Malah Islam sendiri dihina bukan sahaja oleh bukan Islam tetapi dihina oleh umatnya sendiri. Dihina tanpa kata-kata terlalu meluas sekarang ini. Apatahlagi dihina dengan kata-kata yang seringkali dipandang sebelah mata oleh umat Islam lainnya. Sedangkan jika non muslim yang cetek pengetahuan tentang Islam akibat kekeliruan melihat orang Islam yang sudah tidak selari dengan ajaran Islam menghina Islam maka akan melenting umat Islam seluruhnya.
"Awak kata solat, puasa dan pakai tudung itu perlu dibuat tetapi mengapa ahh ramai orang Islam tatak solat, tatak puasa dan tatak pakai tudung maa?" soalan yang pernah saya terbaca ditanya kepada seorang hamba Allah yang barangkali berada di minda hampir setiap non muslim tanpa diluahkan.
Jika tidak mampu berkata-kata. Cukuplah sekadar mengarang satu nasihat dan teladan. Jika tidak mampu menulis. Cukuplah sekadar menunjukkkan teladan melalui perlakuan. Bukanlah bermakna menunjuk itu hanya satu lakonan. Di hadapan baik. Di belakang sebaliknya. Namun menjadikan al-Quran dan hadis itu sebagai garis panduan sudah baik untuk memandu diri dan orang lain untuk mengikuti lorong yang lurus.
Buat kerana Allah. Allah dan manusia akan menilainya. Buat kerana manusia hanya sekadar manusia yang menilainya.
Renung-renungkan duhai diri sendiri. Renung-renungkan wahai semua. Selamat menggandakan amal di hari-hari terakhir Ramadhan.
2 comments:
salam,
takziah kak, lama tak singgah, dah tak tahu apa terjadi,
semoga roh ayah akak dicucuri rahmat,
wslm..
tq syahidah..insyallah..amin..itu yg kita harapkan..
Catat Ulasan