Ura terus berfikir akan keadaan hutan Jumanji tempat kelahirannya yang kian hari kian kecoh. Beberapa hari lepas beribu-ribu haiwan di hutannya berkumpul bagi membantah Sawa sang pemerintah yang memaksa penghuni hutan mengaum seperti singa di hutan Narnia yang pernah menjajah hutan Jumanji berpuluh tahun dahulu. Jika ada yang tidak mengikut arahan maka akan dihukum membuang daerah ke Pulau Lord yang di kelilingi gunung berapi yang bulat seperti cincin. Bahananya semua yang terlibat dalam perhimpunan itu disembur segerombolan gajah dengan belalai panjangnya.
Ura juga tidak setuju dengan dengan ketua hutan itu. Entah kenapa tiba-tiba dikeluarkan arahan seperti itu sedangkan sebelum ini tiap-tiap haiwan bebas menggunakan bunyi masing-masing. Ura makin tidak faham dan masih tidak faham hingga ke saat ini.
Ura masih ingat tentang bapa Sawa yang pernah mewasiatkan sebelum mati agar penghuni Jumanji jangan sekali-kali meniru cara Singa yang pernah menjajah. Malahan Sawa sendiri memerintah hampir setengah abad tidak pernah melanggar wasiat itu. Ternyata keamanan dikecapi. Kemakmuran dimiliki setiap penghuninya.
Sawa menggunakan kuasa vetonya sejak empat tahun lepas memaksa seluruh penghuni hutan Jumanji belajar mengaum dari kancil-kancil yang dihantar ke hutan Narnia untuk menjalani latihan mengaum dengan Singa. Hasilnya setelah di nilai biawak sepupu Sawa maka hanya 30% yang dapat mengaum dengan ngauman seperti Singa. Peratus itu dimonopoli oleh Rabbit yang sememangnya cerdik dan tinggal di kawasan tengah hutan yang ditumbuhi pokok-pokok renek dan bungaan yang harum berbagai warna. Baki lagi 70% yang tidak dapat mengaum terdiri daripada haiwan yang menghuni kawasan berlumpur dan air termasuk Ura yang pernah tercatat dalam sejarah haiwan sebagai haiwan yang lambat pergerakannya walau klimaksnya menang akibat kesombongan Rabbit.
Ura sendiri mengakui bahawa masih tidak dapat mengaum walaupun sudah belajar sejak mula arahan dikeluarkan oleh Sawa yang memang berlidah cabang. Sudah dipraktik berkali-kali namun tetap gagal. Oleh yang demikian dua tiga menjak ini Ura kerap menyorok diri dari perhatian boya yang memantau perkembangan mengaum di kalangan haiwan. Ura merasa terhimpit dan tersepit dengan keadaan ini. Keadaan yang meragut ketenangan suatu waktu dahulu.
Semalam Ura mendapat tahu punca Sawa bertindak demikian daripada Merpati yang sering mengintai sarang Sawa. Ia kerana kemajuan yang dikecapi hutan Narnia berbanding hutan lain. Kemajuan hasil pencerobohan, pembakaran dan penjajahan ke atas hutan-hutan yang lebih kecil saiznya. Jika itu puncanya maka amatlah tidak releven fikir Ura.
Kebanyakan penghuni Narnia agak hairan kerana hutan Carribean yang sememangnya maju dari segi susunan atur landskap hutannya tidak pernah mengaum seperti singa. Malah beberapa hutan lain juga sama. Tetap maju dan berada di tangga teratas carta hutan paling cantik dan maju.
Sebagai makhluk bernyawa ciptaan tuhan Ura tetap berfikir mencari jalan penyelesaian bagi masalah kencang melanda kerana masa yang tetap berlari pada jarumnya. Ura bukan setakat berfikir malah akan bertindak dengan kudrat lambatnya demi sebuah maruah yang perlu dipelihara. Semburan dan tekanan lalu bukanlah noktah bagi Ura dan penghuni pencinta bunyi habitat bagi terus berjuang menuntut KEADILAN alam Jumanji.
0 comments:
Catat Ulasan