Alhamdulillah langsai sudah MTQ peringkat PKG Padang Serai yang diadakan di SK Guar Lobak petang tadi. Walaupun anak-anak SKBS tidak berjaya meraih sebarang hadiah namun aku berpuas hati kerana dapat mendekati mereka yang selama ini agak terbatas dari segi masa. Baru kutahu bahawa murid perempuan tahun 6 pada tahun ini yang dikatakan agak senyap dan pemalu rupanya mempunyai semangat juang dan mahukan kemenangan. Syabas buat mereka yang mempunyai satu anjakan paradigma semangat aktif dari kepompong pasif.
Cuma kurasa agak sedih kerana wajah mereka nampak hampa tanpa sebarang kejayaan. Kata salah seorang dari mereka,
" Ustazah, saya rasa nak menangis sebab sekolah kita tak menang satu pun."
Bagusnya semangatmu duhai anak didikku. Teruskan semangat itu dengan membuktikan dalam UPSR pada tahun ini. Semoga peratus pada tahun lepas yang meningkat akan terus meningkat pada tahun ini.
Dalam kelenguhan menapak dari satu anak tangga bangunan ke anak tangga bangunan lain melihat anak-anak SKBS yang berada di acara berbeza sempat menyingkap memori antik bersama rakan-rakan lama yang sudah lama tidak bersua.
Wajah yang hampir tidak kukenali datang menegur, " Kak ni dulu Kusza kan, ingat saya dak."
Ingatanku cuba mengimbas wajah di depan mata dalam keriuhan ramai menanti keputusan diumumkan. Sudah kuingati namun seperti biasa aku ni sukar mengingati nama orang yang tidak rapat denganku.
Kami berkenalan kali kedua kerana masing-masing lupa pada nama. Dia junior setahun aku di Kusza. Wajahnya jauh berbeza. Wajah dewasa sememangnya berbeza dengan wajah belasan tahun yang kulihat dahulu.
Maka perkenalan kali kedua ini menyingkap pelbagai memori antik akan rakan-rakan yang sudah bekerja, berumahtangga dan beranak pinak. Sekejap sungguh waktu beredar. Seumpama baru semalam aku berada di depan sebagai ketua exco Helwa ( hal ehwal wanita ) bertaaruf dengan mereka tika sesi perjumpaan pertama kali lajnah tersebut. Indahnya waktu-waktu yang berlalu itu.
Bukan setakat itu. Satu wajah yang pernah kulihat ditangkap retina dalam keramaian manusia mendaftar murid sekolah masing-masing. Melalui tag nama yang dipakainya tekaan aku benar. Ukhti yang pernah tinggal sebelah rumah Kak Njang ( ketua rumah Nida'ul Wafa ) di Kaherah. Berkahwin ketika belajar bersama suaminya yang juga pelajar Al-Azhar. Kecil sungguh dunia ini. Kini kami bertemu di bumi sendiri dalam suasana dan waktu berbeza.
Kenangan lalu yang diingat seperti barang lama yang disimpan dengan baik ditelan usia sehingga menjadi antik. Terlalu mahal harganya malah berganda dari harga yang dibeli. Sukar dinilai dengan wang ringgit. Namun manusia yang berdaya maju tidak mampu hidup hanya kerana kenangan. Ciptalah kehidupan yang lebih baik dengan sifat-sifat mulia yang akan menjadi nilai kenangan antik yang lebih berharga di masa depan buat tatapan dan teladan generasi depan.
0 comments:
Catat Ulasan