Dia suka melihat manusia. Pelbagai rupa, paras, bentuk dan warna. Pelbagai ragam, laku dan peribadi. Unik terlalu unik untuk diperhati dan diamati.
Kadang-kadang dia jelik dengan manusia. Kejelikkan mengundang benci sehingga ke lubuk hati yang dalam. Mengelorakan hati yang azalinya tenang. Kebobrokkan sikap yang lari dari landasan kebaikan. Tergelincir demi nafsu memiliki kesenangan dunia. Mengadunkan nafsu dan arahan syaitan untuk memperolehi kesenangan dalam masa sesingkat mugkin. Demi memiliki sanggup menggadaikan hubungan sesama tuhan dan makhluk termasuk rakan sama ciptaan. Dia kesal kerana manusia menjatuhkan taraf khalifah yang dilantik Allah ke lubuk maruah paling rendah. Dia malu itu adalah makhluk yang dicipta dari tanah yang sama dengannya. Lembutnya tanah mampu kecaikan jasad digilis, diletup dan dibakar. Setakat itu sahajalah kehebatan manusia yang senantiasa menganggap diri hebat. Sedangkan kehebatan sebenar adalah memiliki nilai akrab dengan tuhan pencipta.
Bila mengimbau akhlak Rasulullah suhu kebencian itu menurun ke tahap paling rendah. Ia kembali normal. Demi sebuah sunnah manusia paling agung di dunia yang dicatat tamadun sejarah. Dia manusia paling hebat. Hebat mempertahankan cinta Allah dalam ranjau hitamnya perilaku manusia. Mampu membawa cahaya Islam menerangi alam buana. Menumbuhkan benih-benih dakwah di roh-roh yang cintakan kedamaian, kebahagiaan dan kebaikan. Dia tersenyum semula sambil hati berselawat rancak kepada kekasih Allah itu agar nanti beroleh syafaat.
Dia tetap akan terus memerhati manusia dengan mata zahir dan mata hati. Dia akan terus mengamati manusia dengan jiwa yang bersih. Dia tetap akan berfikir tentang manusia dengan akal yang waras. Dia akan terus menulis tentang manusia dengan penilaian yang bernas. Dia akan terus belajar tentang manusia kerana dia ingin roh dakwah yang sedikit wujud akan mekar mengharumkan taman-taman dunia yang pincang dengan kegelapan dosa.
Baginya manusia itu tetap unik dan akan terus unik sehingga masa menamatkannya tanpa pengetahuan makhluk apa pun. Keunikan itu kerana rambut sama hitam sedangkan hati lain-lain.
0 comments:
Catat Ulasan