"Dunia tidak pedulikan kita, kita dibiarkan sendiri menentang kekejaman ini," ujar Ibrahim salah satu watak di dalam novel 'Impian Palestin' yang diterjemah dari novel 'Dreaming of Palestine' karya Randa Ghazy.
Novel ringkas menceritakan kehidupan remaja Palestin yang mengaitkan antara peperangan, persahabatan dan percintaan dari kacamata remaja perempuan berusia 15 tahun. Ia serba sedikit dapat merasai perasaan dan kehidupan anak-anak muda yang mendepani kematian setiap saat dalam keadaan kehilangan ibu-bapa dan keluarga tercinta.
Jelas remaja berdarah Mesir warganegara Itali ini mampu mengukur nilai perasaan remaja seusianya di negara Palestin yang menghadapi peperangan sekian lama melalui pembacaan.
Dia bijak menyelami hati mereka. Setiap masa pasti dia cuba masuk ke dalam dunia mereka. Jika itu semua tidak dilaksanakan maka tidak akan terhasil novel sedemikian yang dapat membuka mata sebahagian manusia di bumi yang aman.
Siapa yang hendak mempedulikan rakyat Palestin? Media hanya sekadar mengutip berita dari sumber-sumber yang didalangi Yahudi sendiri. Kencangnya ketika rakyat Palestin dibantai dan dibunuh sehingga mencapai angka 1030 lebih mangsa. Selepas itu lenyap dibawa angin berita korupsi yang bertiup kencang melanda hati-hati orang tertinggi dalam negara.
Penggubal undang-undang Palestin dan pengerusi jawatankuasa Baitulmuqaddis dalam PLC, MP Dr Ahmad Abu Halabia menyatakan pengumuman Israel untuk menggali dua terowong di bawah Masjid Aqsa merupakan “ujian untuk orang Arab dan umat Islam”.
Dalam satu temubual dengan PIC pada Rabu lalu, Abu Halabia menerangkan bahawa usaha-usaha Israel itu untuk meyahudikan segera bandar itu akan diperhebatkan lagi termasuk memusnahkan lebih banyak kediaman Palestin dan memaksa ramai keluarga keluar dari bandar tersebut.
Beliau menekan penggalian Israel di bawah makam ketiga paling suci untuk umat Islam sudah sampai ke peringkat mencemaskan dan mula untuk mengancam asas masjid itu.
Orang Islam negara yang sedang hidup dalam negara yang aman tetap hanya sekadar 'wait and see'.
Palestin sudah tiada dalam peta dan diganti dengan negara Israel. Itulah agenda permulaan zionis. Semua sepi sekadar memandang. Sekarang sampai masanya merealisasikan dalam masyarakat islam lain lalai melayani agenda peribadi. Malahan yang lebih menyedihkan wujud pemimpin-pemimpin negara Islam yang hanya berpeluk tubuh perihal dunia islam luar. sekadar merencanakan jadual mengaut kedudukan dan harta dunia sehingga sanggup memfitnah, menuduh dan menuding jari kepada orang yang tidak bersalah.
Apa hendak jadi pada umat Muhammad?
Apa hendak jadi pada bangsaku?
Apa hendak jadi pada dunia?
Rakanku yang sama bidang pernah berkata bahawa kita ini hanya hangat-hangat tahi ayam. Seperti maksud hadis 'seperti buih-buih di lautan'. Ramainya umat Islam di dunia berbanding bangsa yahudi namun hanya sekadar melihat dan memandang. Jika digembleng seluruh tenaga maka seperti lidi-lidi yang diikat menjadi penyapu dapat digunakan membersihkan halaman. Ada yang berjuang namun tanpa dokongan dan sokongan dari pihak-pihak yang berpengaruh. Namun perjuangan mereka seikhalas mungkin mengharapkan pertolongan Allah.
Kucuba ilusikan Palestin itu negaraku
kucuba bayangkan rakyatnya saudara dan jiranku
darah mereka adalah darahku
jasad mereka jasadku
sakit mereka sakitku
lapar mereka laparku
dahaga mereka dahagaku
airmata mereka airmataku
aku sedih jika ada jiwa yang gugur
aku benci pada yang menggugurkan mereka
keyakinan mereka denganku hanya satu
yakin berlandaskan
cinta lillah hi taala
0 comments:
Catat Ulasan