Dua hari berturut-turut aku ke PC FAIR yang pertama kali diadakan di Village Mall sejak mall itu beroperasi pada 2007.
Buat aku guru pelatih yang perlu berjimat elaun yang diberi setiap bulan, fair beginilah yang dinantikan untuk mendapatkan barang-barang untuk komputer riba yang sekarang umpama nadi kerja.
Hari pertama aku ke sana iaitu pada hari Jumaat kelmarin dengan pakaian biasa. Masih menutup aurat tanpa imej bergaya seorang guru. Itulah gaya simple aku pada hari cuti. Pakaian lama yang masih elok sayang dibuang. Risau juga disoal membazir di akhirat kelak. Pakai untuk keluar ke tempat yang berdekatan rumah.
Aku seperti tidak dilayan oleh penjual-penjual di situ. Mungkin rupa nampak muda ini ditafsirkan mereka sebagai budak sekolah menengah agama yang tidak berduit. Ditambah lagi sifat aku yang suka bertanya harga sebelum membeli. Membeli jika mampu. Ditolak dahulu jika tidak mampu. Aku nampak sendiri cina lelaki itu mencebikkan mulut kepada rakannya. Tidak secuit pun aku terasa hati dengan keadaan itu namun itulah realiti mentaliti manusia zaman kini. Tambahan yang hidup di kawasan yang agak maju.
Hari kedua iaitu pada hari ini, aku kembali ke sana juga selepas menunaikan fardu Asar berpakaian kerja kerana hari ini setiap sekolah beroperasi bagi menggantikan cuti pada hari raya puasa bulan September nanti. Berbeza dengan hari kelmarin. Setiap penjual melayan dengan baik. Malah sanggup bercerita tentang barangan mereka beberapa minit mungkin juga berjam jika dilayan.
Rumusannya beli belah pada hari ini lebih cepat dari kelmarin. Tidak perlu menanti lama di meja gerai hanya untuk mendapatkan RAM. Berkuasa sungguh kuasa wang. Hanya dari segi pakaian yang sedikit mahal dan baru boleh mengubah persepsi manusia terhadap seseorang.
Aku tidak bermaksud mengecillkan pandangan mereka-mereka ini. Namun itulah keadaan sebenar penilaian kita sebagai manusia terhadap manusia lain. Berbeza dengan pandangan Ilahi terhadap hamba-Nya yang diukur dari keimanan bukannya luaran.
Aku bermuhasabah sendirian beradasarkan keadaan ini. Diri yang lemah sentiasa memandang menggunakan mata kasar dengan menghukumnya berdasarkan apa yang nampak itu sahaja. Sedangkan yang tersurat yang hanya dapat dilihat oleh mata hati itu lebih bermakna. Aku perlu lebih memandang manusia, alam dan kehidupan dengan mata hati kini. Sebelum itu hati ini perlu lebih bersih dan perlu kerap disucikan dari sifat-sifat mazmumah. Allah akan senantiasa membantu hamba yang ingin mengubah diri ke arah kebaikan.
*******
KBS ( kem bestari solat 1 ) baru dapat dilaksanakan pada hari ini setelah kekalutan praktikum hampir selesai. Cuma cebisannya menyiapkan beberapa borang untuk dihantar ke unit praktikum IPDA. Sambil itu membuka kembali asignment GERKO yang diwajibkan untuk membuat satu program untuk dilaporkan. Nampaknya masa perlu lagi dicuri untuk menelaah, membuat nota dan menghafal modul sebagai persiapan peperiksaan pada JUN akan datang. Semoga kami semua cemerlang fid dunya wal akhirah.
Amin ya Rabb.
0 comments:
Catat Ulasan