Melahirkan anak segera dengan memasukkan air agar tidak lewat keluarnya kerana doktor sibuk untuk membidani ramai ibu-ibu yang sarat. Silap-silap hari bulan caesarien.
Bayi baru mengenal dunia juga disuap susu segera. Cedok, tuang dan goncang.
Pelbagai jenama dan harga yang datang dari satu sumber iaitu lembu. Namun para ibu bapa perlu pastikan kandungannya agar kesihatan bayi terjaga.
Kanak-kanak juga kena tempias segera apabila ibu tiada masa memasak di rumah. Restoran makanan segera difrancaiskan bagai cendawan selepas hujan. Jika kurang duit ke sana, restoran dan warung juga tersedia. Memang sesetengahnya memenuhi citarasa dan sesuai dengan selera. Kena pastikan juga cara penyediaannya. Risau anak-anak terencat minda dek ajinomoto berganda. Sudahlah pelajaran sukar dek bahasa.
Zaman remaja semua perlu segera kerana sibuk mengejar sijil dunia. Terkejar ke sekolah menghadiri kelas dan kokurikulum, tuisyen dan cinta kera. Berfikir formula matematik dan sains yang pelbagai tanda. Akibat sibuk makan mee segera. Banyak di pasaran cuma perlu pastikan halalnya sahaja.
Di universiti menyambung usaha segera. Assignment tak terkira hanya ada pembuatnya. Cuma bayaran dikeluarkan. Ada juga hendak lebih segera. Membeli sahaja sijil, diploma, ijazah, MA dan PHDnya. Akhirnya DR gelaran diberi kepadanya.
Masa dewasa makin perlu segera. Kerja kena disiapkan tepat masa. Silap-silap bos ketuk meja.
Surat berhenti dilempar ke muka. Bebanan hidup makin terasa. Tiada kerja dapat dibeza luangnya. Guru kini juga tiada masa. Bukan sekadar mengajar sahaja. Fail dan data perlu dilengkapkan. Sukatan dikejar agar langsainya seperti tertera. Ikhlasnya samada pelajar dapat ilmu usah dikira. Pastinya gaji masuk dibuat belanja. Bukan tidak peduli nilainya. Waktu yang ada perlu tambah jamnya. Berbeza dengan dahulu kerjaya ini mudahnya. Berkat dalam susah ramai yang berjaya.
Akibat segera kadang-kadang usia tidak sampai tua. Mati kemalangan pecut kereta dijalanraya. Kesnya hendak sampai ke tempat kerja. Semua segera membarahkan penyakit di jasad. Segera menipiskan ozon di atmosfera kerana CFC memenuhi ruang dunia.
Di mana nilai keberkatan, keikhlasan, kejujuran dan kesihatan kerana segera???
Kasih sayang juga terpinggir nun di sana.
Sedihnya itu semua berlaku kerana hendak segera.
********
Pensyarah juga sudah minta assignment Pendidikan Islam dengan segera. Baru nak merasa udara. Kini kembali tersekat dikerongkong. Peduli apa. Buat sahaja la. Selesai nanti boleh berehat sementara kerana hakikat hidup kini ada sahaja kerja menanti di ruang yang terluang.
Apa-apa sahaja ibadah tetap kena jaga kerana itu soalan pertama Allah Taala. Jangan dilupa selesaikan membaca beberapa buah buku yang masih bertanda. Tamak sungguh aku kerana yang dibeli belum habis terusik dipinjam pula dari perpustakaan sekolah. Bukan apa. Rindu tulisan sasterawan negara. Lagi lama lagi tinggi nilai bahasa dan sejarahnya. Ia lebih mahal dari sebuah angka RM.
Tabik spring buat penulis-penulis kita yang menghasilkan karya berharga yang tidak jemu memperjuangkan bahasa ibunda.
Jangan dibuang bahasa arab ini sudah kerana ia bukan bahasa asing pada kita. Biarpun tidak berbicara menggunakannya. Tidak memahami maknanya. Tanpa sedari ia yang diguna bermula lafaz solat disuarakan. Anak-anak juga sudah meminatinya. Dilagukan di rumah dan di mana-mana.
0 comments:
Catat Ulasan