? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Khamis, 31 Mei 2012

Idola : Zainab al-Ghazali

"Hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa.
Perlu jadi yang luar biasa untuk mendapat tempat yang luar biasa di akhirat kelak..!!!"

- Zainab Al-Ghazali -

      Inilah wanita yang saya kagumi. Saya cuba mencarinya di Mesir ketika di sana untuk bersua dan memeluknya namun Allah tentukan saya mengenali dan mendekatinya hanya melalui buku 'Hari-hari dalam hidupku' sahaja.

      Namun buku itu hanya saya pinjam dari library Mukhtafi Billah Shah Kusza ketika belajar di sana. Novel yang sudah separa lusuh itu saya hadam di hamparan pantai Batu Buruk. Pantai antara tempat yang saya suka juga diabaikan kerana saya lebih mengagumi wanita hebat ini sehingga ada sahabat-sahabat yang berasa hairan dan memanggil-manggil agar saya menyertai mereka.

     Ceritanya membuatkan saya kagum. Namun yang lebih saya kagum adalah semangatnya serta sifatnya yang berani, kental, teguh, sabar, tidak mudah menyerah kalah dan mempunyai keyakinan yang jitu pada Allah. Selain hubungannya dengan Allah yang kita sedia maklum ahli Ikhwanul Muslimin adalah terpilih yang mempunyai al-Quran dalam hati, istiqamah pada tahajjud serta puasa sunat.

     Saya jadikan ayat beliau di atas sebagai pegangan yang saya letakkan dalam info diri dalam fb sejak sekian lama saya tidak ubah dan insyAllah saya tidak akan ubah kerana kata-kata itu cukup untuk diri saya mendepani hidup ini.

    Patutlah saya menyebut-nyebut namanya serta mengingatinya semenjak dua dan tiga hari ini kerana pada malam ini saya bertemu dengannya di alam kaku.

   *** Semoga armarhumah bahagia di alam sana ***

Rabu, 30 Mei 2012

Berkongsi dengan DIA


    Adakala kita tidak rasa nak cerita apa dirasa.
    Adakala kita tidak tahu bagaimana nak menggambarkannya.
    Adakala kita rasa lebih baik rasa itu terbelenggu dalam hati dan diri sahaja.

    Jika itu yang kita rasa maka ada baiknya kerana kita hanya perlukan Allah untuk meluahkan segala-galanya. Kepada Dia kita mengadu dan bercerita. Kepada Dia jugalah kita pohon agar rasa ini diubati dengan penawar sehingga memulihkan kembali perasaan dan semangat kita.

   Kita ada Dia tetapi kita selalu terlupa apabila kita berduka.
   Kita ada Dia tetapi kita selalu terlupa apabila kita memerlukan pertolongan sedangkan Dia menunggu kita
   meminta pertolongan-Nya.

   Mari kita jadi hamba-Nya yang senantiasa ingat Dia di masa gembira dan duka. Berkongsi dengan Dia dahulu akan segala rasa kerana Dia yang hadirkan rasa ini maka Dialah yang dapat membantu menyelesai dan menghilangkannya.

*** Bermuka manis ketika jiwa duka itu lebih baik ***

Sabtu, 26 Mei 2012

Tokoh dunia realiti

 
     Kelmarin saya kagum dengan watak Jun Shi Kim lakonan Jang Dong Gun yang membalas permusuhan dengan nilai persahabatan. Ada sedikit rasa tersentuh dengan watak Hasegawa Tatsuo lakonan Joe Odagiri yang mulanya mencetus permusuhan lalu dapat menerima huluran persahabatan sehingga dapat merealisasikan impian musuh itu dalam hidupnya.

     Kedua-dua watak itu hanya dalam lakonan filem hebat My Way yang sudah saya ulang tontonnya pada hari ini. Nama pun lakonan dan pelakon. Maka untuk watak lain mereka akan berkarakter lain. Pasti ada yang dikagumi dan disukai. Tak kurang akan ada karakter yang dibenci.

     Hakikat mereka di luar barangkali ada persamaan atau berbeza sama sekali. Oleh itu, buang karan sahaja mengagumi pelakon. Mengagumi watak boleh juga diguna pakai dan diadaptasi dalam hidup. Tidak sepenuhnya barangkali 10% boleh.

    Hari ini saya mengagumi tokoh ini secara peribadi. Bukan pelakon. Bukannya lakonan. Realiti peribadi dan hidupnya.

Kenali Dr. Mohd. Mursi (calon IM utk Presiden Mesir):

1. Satu-satunya calon yang mana dia, isteri dan 5 anaknya menghafaz al-Quran
2. Satu-satunya calon yg berjanji di hadapan Allah dan rakyat utk melaksanakan syariat Islam
3. Satu-satunya calon yg pernah mengajar di 5 buah universiti antarabangsa
4. Satu-satunya calon yg pelbagai artikelnya diterbitkan oleh NASA
5. Satu-satunya calon yg pernah terpilih sebagai ahli parlimen terbaik di dunia dari tahun 2000-2005.
6. Satu-satunya calon yg tidak mencalonkan dirinya untuk jawatan tetapi dipilih oleh syura.
7. Satu-satunya calon yg memperolehi sokongan dari pergerakan cendikiawan terbesar Mesir iaitu Islamic Legitimate Body of Rights and Reformation
8. Satu-satunya calon yg berdiri di belakangnya parti politik terbesar Mesir iaitu Perti Kebebasan dan Keadilan
9. Satu-satunya calon yg berdiri di belakangnya Jamaah Islam terbesar di dunia iaitu Jamaah Ikhwan Muslimin.
10. Satu-satunya calon yang memiliki sebesar-besar projek pembangunan dan mengabungkan 1000 orang pakar dalam semua bidang kepakaran.


     Mari sama-sama kita teruskan berdoa untuk kemenangan tokoh ini agar bukan sekadar rakyat Mesir mendapat pembelaan. Malah cahaya juga akan menerangi rakyat Gaza.

     Takbirrrrrrrrrrrrrrr. Allah hu akbar !!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

*** Jawapan saya pada yang bertanya siapakah calon pilihan saya adalah yang peribadinya, sifatnya, sikapnya dan akhlaknya menghampiri Rasulullah s.a.w. 

Jumaat, 25 Mei 2012

Tuba dibalas madu


      3 jam saya terpaku depan tv menonton filem ini melalui Astro First. Berbaloi untuk langganan RM15 untuk 48 jam.

      Kisah permusuhan yang berakhir dengan persahabatan dek kerana kebencian dibalas kasih-sayang.

      Lalu ingatan saya pusing ke belakang. Ingat kepada Rasul junjungan mulia. Itulah sifat dan akhlak baginda yang ditonjolkan untuk teladan ummah. Namun kita ummah yang sering lupa dan abaikan akhlak tersebut kerana terlalu menurut hawa amarah yang membelenggu. Sukar untuk tenang apabila diherdik. Sering membalas apabila dihina.

     Itulah akhlak kita yang sering terburu-buru. Sukar sabar di permulaan. Hanya sejuk dan sedar apabila di tengah dan akhir yang adakala semuanya telah musnah. Nasi sudah menjadi bubur.

     Janganlah kerana perselisihan pendapat ukhwah ummah terlerai. Janganlah kerana ideologi berbeza ukhwah terpecah. Tanpa kita sedar makhluk api bertepuk tangan. Makhluk tanah yang tidak menyembah Yang Esa tersenyum ria.

     Walaupon sedih hero yang menukar permusuhan dengan kasih-sayang itu tumpas dan mati namun tetap terukir senyuman apabila musuh yang akhirnya akrab itu berjaya menunaikan hasrat dan cita-cita hero yang berkorban sehingga ke akhir hayat itu.

     Tahniah buat Korea yang berjaya bikin satu filem yang ada nilai untuk dihayati dan diadaptasi dalam hidup. Walaupon mereka non Muslim namun mampu laksanakan nilai untuk dihayati. Bukan sekadar tontonan hiburan.

*** Memaafkan musuh itulah yang terbaik. Saya sering nasihatkan diri tentang ini. Sering tersasar namun saya akan cuba sehingga berjaya. Doakan saya agar terus dapat istiqamah dengan akhlak ini ***

Ahad, 20 Mei 2012

Akhirnya..juara


       Akhirnya.............................................................................................................................

      Akhirnya..............................................................................................................................

      Akhirnya..............................................................................................................................

      Tahun 3 Ibnu Batuttah telah memenangi hadiah kelas terbersih dan mendapat hamper untuk penggal pertama ini. Ya beda bedu :) Ustazah suka dapat juara. Murid-murid suka dapat snap, lolipop, sumi dan keropok.

      Semangat untuk murid-murid agar terus menjaga kebersihan kelas.
      Semangat untuk mengutip sampah apabila ternampak sampah di hujung kaki.
      Semangat untuk menyusun meja agar terus tersusun tanpa bengkak-bengkok seperti ular kena palu.
      Semangat bekerjasama menjaga kebersihan dan mengekalkan kejuaraan.

      Semangat juga untuk ustazah turut menghayun penyapu waktu pagi dan pulang. Sambil-sambil boleh exercise kurangkan kalori..hehe
      Semangat lagi untuk ustazah meronda kelas ketika waktu terluang kerana murid-murid usia itu masih memerlukan pemerhatian guru untuk membentuk sesuatu yang baik agar menjadi tabiat tanpa disuruh kelak.
      Semangat lagi untuk ustazah hias kelas dengan perbanyakkan carta, gambar, kad untuk rujukan murid-murid. Disamping mencantikkan kelas. Maka cuti akan datang ini kena kerap ke sekolah untuk laksanakannya ^_^

       Banyak sungguh semangatnya. Kushhh..semangat :)

Rabu, 16 Mei 2012

Motivasi buat guru


       Setiap kali sambutan hari guru saya akan menerima hadiah yang pelbagai dari murid-murid dari tahun 1 sehingga tahun 6. Semasa masuk ke pejabat untuk punch card pulang ada yang berkata,

"Tu dia hadiah sebeg beli kat Tesco," merujuk kepada beg besar Tesco yang senantiasa ada dalam kereta saya yang saya gunakan untuk mengisi hadiah.

Jawapan ringkas saya,"Ngajo dari tahun 1 sampai 6 maka semua murid kenal."

      Kebiasaannya anak-anak kecil itu tidak akan mengenali seorang guru yang tidak mengajar mereka walaupun guru-guru di sekolah tersebut tidaklah ramai.

      Saya berkata begitu kerana rasa beruntung dan bertuah dapat mengenali dan mengajar seramai 212 murid yang bersekolah di situ. Hikmah sejak awal menjadi guru dipertanggungjawabkan mengajar bahasa arab tahun 1 sehingga 6 sudah tersingkap.

      Bukanlah hikmah bermakna saya akan mendapat banyak hadiah itu fokus utama namun hikmah sebenarnya adalah saya dapat mengenali kesemua murid beserta nama dan biodata mereka. Dapat mendekati mereka. Mereka juga dapat bersembang, mengadu dan bercerita kepada saya. Malah sehingga ke menengah pun mereka masih sms dan telefon menceritakan masalah serta bertanya khabar. Keakraban itulah yang membuatkan saya makin suka dan mencintai profesion perguruan. Bersemangat untuk ke sekolah serta untuk masuk kelas.

       Seperti rakan yang mengucapkan selamat hari guru serta mendoai agar keihklasan hari ini berkekalan sehingga nanti. Saya turut meng'amin'kan.


     Namun dalam 2 beg besar Tesco itu, saya terharu dengan ayat dalam kad-kad ucapan buatan sendiri. Ada doa serta pujian. Saya terharu dengan dan semoga doa anak-anak kecil tanpa dosa untuk guru mereka ini dimakbulkan Ilahi.

      Dalam semua kad pula, kad di atas yang paling menyentuh hati saya. Saya menjadikan kad itu motivasi untuk saya bukan sekadar mengajar bahasa arab. Juga untuk terus mempelajari bahasa arab.

*** Terima kasih anak didikku. Love u all ***

Isnin, 14 Mei 2012

Ibu tua dan basikal mini

Kais jalan cari makan. Kita pagi, petang, siang dan malam makan
Ujian kemiskinan itu sebenarnya lebih mengajar erti kehidupan
       Jika berasakan kita susah, ada lagi orang yang lebih susah dari kita. Jika kasihan melihat orang yang lebih susah dari kita maka ternyata kita masih punya kesedaran dan bersyukur dengan apa yang kita ada.

Cuba bayangkan tilam empuk adalah kotak untuk turut merasa apa yang mereka rasa
      Setiap petang menanti adik di luar pagar sekolahnya sekitar dalam 20 sehingga ke 30 minit menemukan saya dengan pelbagai orang yang lalu-lintas dan yang turut berada menanti anak di luar pagar sekolah. Menginsafkan. Allah menjadikan kita tidak sama. Ada yang kaya. Ada yang miskin. Perbezaan itu yang bukannnya Allah hendak meletakkan jurang namun Allah mahu menemukan kita di bawah satu titik juga iaitu titik tolong-menolong dan bantu-membantu.

     Orang kaya turut merasakan kesusahan orang miskin maka tidak akan ada lagi penghinaan dan cemuhan jijikan. Orang miskin pula bersyukur dengan apa yang dimiliki maka tidak akan ada rasa terhina, cemburu serta tidak puas hati terhadap orang kaya.

     Seorang ibu tua membawa basikal mini tuanya penuh dengan makanan yang baru dibeli di dalam raga hadapan. Saya rasa makanan itu dibeli dari Tesco yang tidak jauh dari sekolah namun makanan-makanan itu tanpa plastik kerana plastik tersebut diletakkan barang yang diserahkan kepada anaknya di luar pagar sekolah. Sayu hati melihat ibu tua dengan basikal tua di jalanraya yang sibuk dan sesak.

     Saya bersangkaan bahawa anaknya tinggal di asrama walaupun rumah pastinya dekat dengan sekolah. Namun sangkaan saya meleset apabila ketika u turn untuk pulang ke rumah saya kembali terlihat ibu tua tersebut membawa anaknya dengan basikal tua tersebut pastinya untuk pulang ke rumah. Wajah anaknya saya tidak nampak. Anaknya tadi atau anaknya yang lain yang turut bersekolah di situ.

     Mungkin sangkaan saya sekali lagi tersalah. Walau apa sahaja sangkaan saya ada pengajaran yang saya dapat dari kisah ibu tua dan basikal mininya itu.

    Saya terbayang wajah ibu yang kian tua usianya di rumah. Masih bekerja sehari-hari sebagai surirumah walaupun masih kuat angka usia selalunya seiring dengan kekuatan tenaga.

    Lalu saya teringat kata-kata mak," Mak nak beli basikal la, boleh kayuh pi rumah Tok hampa." Sejurus apabila rasa tidak mahu menyusahkan anak-anak yang seharian bekerja. Sayu.

    " Tak payah la mak, zaman dulu ok la tak banyak kereta macam lani," ujar saya dan K.Ngah yang risau dengan keselamatan mak.

    Kisah ibu tua mengingatkan saya bahawa perlu meluangkan lebih banyak masa denggan mak. Perlu menyediakan ruang untuk berbicara dengan mak dan mendengar masalah serta luahan hati juga perasaannya. Perlu lebih menjaga hatinya dengan kata-kata dan tindakan. Perlu menggembirakannya. Cuba menunaikan impian dan cita-citanya seboleh mungkin.

   Ya Allah, Engkau murahkanlah rezeki hamba-Mu ini agar dapat membahagiakan mak di masa dia masih ada. Engkau panjangkanlah usiaku agar dapat menjaganya seperti dia menjagaku. Engkau sihatkanlah dan kuatkanlah tenagaku agar dapat membantunya ketika dia memerlukan bantuan. Ameen.

*** Mak asyik sebut Langkawi nak beli tehfal. Adakah saya perlu memberanikan diri memandu di tempat
       orang pada cuti bakal datang ini ??? Adakala rasa nak cuba apabila membaca blog Kkida seorang ibu
       yang berani memandu di Sydney..huhu

Khamis, 10 Mei 2012

+ blog lagi


    Semalam saya telah berjaya create satu lagi blog setelah berhempas-pulas kerosek dashboard blogger yang baru. Jika diikutkan buat apa lagi saya membina blog baru sedangkan saya sudah mempunyai 4 blog. Namun atas rasa membuak-buak hendak berkongsi resepi yang pernah dicuba dengan semua maka wujudlah satu lagi blog yang pastinya menceritakan tentang makanan.

    Saya lebih selesa berkongsi segala minat saya dalam blog berasingan mengikut kategori. Umpama saya menyusun pakaian di dalam almari. Saya lebih selesa menyusun mengikut pakaian yang sama dalam satu sudut dan rak berbanding mencampur-adukkan semuanya. Sebenarnya di facebook juga saya begitu. Namun hanya aktif dengan 2 akaun sahaja setakat ini.

     Bagi yang mempunyai minat memasak yang sama dengan saya. Bolehlah berkunjung ke dapur saya di sana.

Terima kasih.

Isnin, 7 Mei 2012

I'm back

      Wah ! sekarang saya sudah rajin berblogging kembali. Jika dahulu acapkali dengan hanya satu iaitu di sini. Sekarang dengan empat blog yang mana 3 blog lagi adalah susulan blog ini yang saya create. Namun hanya rancak dengan beberapa entry sahaja.

      Sebenarnya telah beberapa kali saya bercadang nak remove blog-blog tersebut namun atas dasar sayang maka ia dikekalkan juga walaupon sudah bersawang dengan sarang labah-labah bergayutan di sana-sini. Hehe.

     Maka tercetus idea untuk kembali aktif adalah apabila saya kerap mengikuti blog-blog mengikut hobi saya. Antara blog yang saya kerap lawati adalah blog masakan. Setiap hari pasti akan buka beberapa blog yang aktif dan ada resepi baru yang menarik dan yang lain dari yang lain.

     Oleh itu, saya kemaskinikan blog lama saya yang tujuan asalnya adalah sebagai iklan untuk kek-kek cawan hasil air tangan mak. Setelah tukar template. Susun atur layout walaupon tidak sempurna lagi namun saya berpuas hati dengan wajah barunya. Sekarang setiap hari saya akan update gambar-gambar kek tempahan yang selama ini hanya berhabuk dalam my picture di sudut document dalam laptop.

Inilah linknya. Silalah jemput ke sana yer :)

http://comelhomemadecupcake.blogspot.com/


     Satu lagi blog lama yang dtukar dan dikemaskinikan adalah blog,

  http://kisahsekolahkampung.blogspot.com/


    Tujuan asal blog masih tidak lari cumanya kali ini saya lebih fokus kepada penceritaan tentang sekolah, aktiviti di sekolah serta murid-murid saya. I love them very much. Jujurnya apabila saya baca semula 4 dan 5 entry lama ketika saya baru sebagai guru, tersentuh sedikit dengan cara lalu. Sudut pandangan saya tentang sekolah, murid, program j-QAF dan kerja lebih telus dan positif. Saya ingin menjadi seperti lalu.

 
    Antara blog yang saya selalu saya google dan lawati tentunya blog travel. Wow ! terujanya seperti terus mahu booking tiket dan terbang esok hari. Hehe. Makanya saya ingin mengabdikan cerita perjalanan saya yang masih tidak sampai suku dunia. Disamping saya ingin blog saya itu menjadi wadah kepada traveller yang juga mempunyai minat yang sama.

    Antara persiapan saya sebelum bertolak ke mana-mana percutian adalah google peta, restoran halal, hotel murah, kenderaan serta tempat-tempat yang berbaloi untuk dilawati. Maka saya juga mahu blog saya itu memberi info kepada pengunjung yang mahu pergi ke tempat-tempat yang telah saya lawati.

    Jika mahu ke sana, silalah ke link di bawah yer. Masih belum banyak ceritanya. InsyAllah sedikit masa lagi akan menjadi banyak :)

 http://langkahkakipanjang.blogspot.com/

   Blog ini telah lari 100% dari matlamat asal iaitu dari sebuah blog bercorak cerpen kepada blog pengembara. Bukan mahu meninggalkan dunia penulisan kreatif namun saya mahu jadikan penulisan sebagai sumber pendapatan tambahan. InsyAllah.


    Saya mahu create satu lagi blog iaitu blog masakan yang mana saya ingin berkongsi resepi yang saya dan mak cuba buat, menjadi dan sedap. Namun saya agak keliru dengan blogspot yang baru ini. Hehe. Rasanya saya perlu tanya kepada yang lebih pakar.

    Sudah tidak teruja mahu post status di fb kerana teruja untuk upload gambar-gambar di blog dan menulis di sini.

    Saya perlu kelek kamera ke sana ke mari untuk menjadi jurugambar tidak bertauliah nampaknya agar idea saya banyak tercurah hasil dari gambar-gambar tersebut ;)

Sabtu, 5 Mei 2012

Kisah kucing vs kereta korek

Tot stay cool bawah meja makan setelah kena halau dengan mak dari dalam almari..hehe


Tam masih belum jumpa tempat menyorok yang terbaek punya..huhu..cian
Dua beradik ni dari baby sampai beso tetap bekerjasama ketika susah dan senang..
 Ummi @ nenai ( nenek ) yang selfish..tak pedulikan anak-anak dan cucu-cucu..hehe
Finally, Tam jumpa tempat baek punya..baek sungguh la..atas piring tue..
Anak-anak Tot yang terselamat dalam sangkar
Takut + kecut + risau + gabra..hehe
Apple sampai berdiri nak tau apakah benda besar yang bingit itu..
Buat-buat cool konon..hakikatnya..bergegar sangkar sebab kuatnya degupan jantung sekor-sekor..hehe

    Kisah bulan lepas apabila paip besar di hadapan rumah jiran sebelah bocor. Maka datanglah sebuah lori kecil dan kereta korek untuk menggorek dan menampal paip tersebut agar bocor tidak semakin besar.


    Seperti biasa apabila akan berlaku atau berlaku perkara yang bising kami akan melarikan kucing-kucing terlebih dahulu kerana tahap penakutnya kucing-kucing baka kacukan Parsi ( Nenai ) + Malaysia ini adalah tahap anjing Scooby do..hehe.


    Mujurlah K.Ngah di ofis ketika itu. Jika tidak pasti dia akan lebih riuh-rendah ketika misi menyelamatkan kucing-kucingnya itu..hehe. Hanya saya dan adik maka kami berdua masih dalam kategori cool la beb..hehe.


    Kasihan pada 2 ibu ( Ummi dan Tot ), dua dara ( Pong dan Tam ) serta cucu-cucu ini ( Apple, Rain, Mickey dan Minnie ). Namun dalam kasihan kami dua beradik ketawa sehingga keras perut..hahahahaha..


    Walaupun hanya haiwan, mereka tetap hamba Allah yang tidak layak menerima kekasaran, cemuhan dan pukulan. Jika kepada haiwan tidak boleh, apatahlagi kepada manusia.

*** Renung-renungkanlah dan selamat menunaikan solat fardu Maghrib di hujung minggu ***

Khamis, 26 April 2012

PBAKL vs Ma'rad Kutub Cairo

Hantu buku
    Serius cemburu dengan adik dan sahabat-sahabat yang dapat ke PBAKL setiap tahun. Sedangkan saya sekali pun masih belum berkesempatan bertandang setiap kali PBAKL berlangsung. Pasti ada sahaja halangannya. 

1. Halangan pertama adalah kerja, kerja dan kerja ( Kan baik jika PBAKL diadakan pada cuti pertengahan 
    tahun pada hujung Mei sehinga awal Jun )

2. Halangan kedua adalah kewangan ( walaupun pada tahun ini ngam-ngam baru dapat gaji baru dan
    tunggakan namun halangan pertama melebihi halangan kedua kerana azam pada tahun ini adalah kerja 
    tanpa cuti.Bukan sebab workholic tapi kasihan pada kawan-kawan yang nak kena relief dan murid-murid
    yang  tidak dapat hak mereka jika bercuti tanpa hal penting.

3. Halangan ketiga pada tahun ini adalah jalan KL yang sediakala sesak kian sesak dengan BERSIH 3 dan 
    pelbagai program pancing undi memandangkan pilihanraya sudah hampir. (Tetap juga berbalik kepada 
    kerja yang mana apabila jalan sesak maka segala kenderaan akan terkandas dan akan tertunda 
    perjalanan pada jam yang tidak pasti. Jadi tanpa risiko walau hanya beberapa minit menyebabkan saya 
    terpaksa cuti maka adalah baiknya saya tidak pergi.)

4. Halangan keempat adalah tidak ada mood untuk 6 jam berada di atas bas. Dicampur ragam majoriti 
    pemandu yang sukar bertolak-ansur untuk waktu solat walhal mereka Muslim dan saya berada di sebuah 
    negara Islam yang majoriti Muslim tanpa perlu mengenyehkan mata beberapa kali. Setiap kali naik bas
    saya perlu mencuri waktu diperuntukkan untuk makan dan ke tandas untuk solat. ( Kan best jika syarikat 
    penerbangan tambang murah buat diskaun sempena PBAKL..hehe )

Ma'rad kutub Cairo
        Sebut tentang pesta buku maka saya teringatkan Ma'rad kutub di Cairo. Kesederhanaan sebagai pelajar yang mengharapkan PAMA dan zakat hanya setahun membataskan saya untuk shopping kitab yang dijual di 8 hall yang ada pada masa itu.

        Namun kekurangan wang bukanlah kekangan bagi kami untuk tidak menghadirinya. Malah setiap hari dari 5 hari terakhir kami akan pergi lawat setiap hall yang ada. Dari hall yang menjual buku kanak-kanak sehinggalah kepada hall yang menjual kitab bible. Apabila bercerita tentang buku dan ilmu memang menarik dan sanggup berlama-lamaan.
   
Lambakan kitab
      Ada juga hari yang kami tanpa  membeli sebuah kitab atau buku pun. Hanya sekadar membeli kebab dan aiskrim untuk lapik perut yang kelaparan setelah hampir sehari round ma'rad. Maka dari melihat, membelek dan membaca sedikit kitab, kami melihat dan memantau pula setiap gerai yang menjual makanan yang terdapat di situ untuk mengenali makanan orang Mesir yang belum pernah kami jumpa di kedai makanan biasa. Kiranya ilmu juga la itukan ??? hehe..

      Di Ma'rad kutub ini juga ada satu kisah menarik saya tidak dapat saya lupakan iaitu saya mendapat satu kitab kecil pemberian seorang mama ( panggilan Mak Cik bagi orang Mesir ) ketika saya baru selesai solat Asar. Rakyat Mesir mengambil peluang bersedekah buku dan berdakwah di situ dengan pemberian kertas-kertas tazkirah.

    Saya adalah orang terpilih seperti kata kawan saya kerana dalam rombongan kami hanya saya yang dapat. Namun bagi saya ia adalah sebagai peringatan dari Allah bahawa saya perlu banyak lagi menggali lautan ilmu dan memperbetulkan diri saya dengan ilmu-ilmu benar yang diperolehi.

    Puas walaupun letih 5 hari berjalan mengelilingi ma'rad. Seperti ayat saya kepada sahabat-sahabat ketika itu, " Saya tidak mahu pulang dan mahu tidur di situ dengan dikelilingi buku yang banyak."

    Saya tahu K.Ngah iaitu adik sulung saya juga begitu. Sekarang rumah kecil kami 1/4 darinya adalah buku sehinggakan tidak tahu lagi mahu diletak di mana lagi jika duit sudah dibayar untuk sebuah buku. Adakala untuk membeli buku saya memikirkan tempatnya pula..huhu.

    Saya mahu berkata kepada dia," Rasanya bukan sekadar buku tetapi masanya sekarang adalah memikirkan untuk memiliki sebuah rumah yang boleh dibina library di dalamnya."

    Barangkali ketika itu kami lebih selesa berada di dalam rumah yang sudah selesa dengan library dipenuhi buku dan kitab.

    Disulami sekali-sekala jelajah segala ceruk dunia.

    Mungkin juga lebih selesa jika kita dapat realisasikan impian menjadi seorang penulis dan ketika itu laptop tidak boleh renggang lagi dari kita :-)

    Ada seseorang yang saya respek pernah berkata bahawa saya kuat berangan. Namun saya bersyukur kerana setakat ini hanya 1/4 sahaja angan-angan saya masih belum menjadi realiti. Alhamdulillah Allah telah memakbulkan angan-angan saya kerana angan-angan saya bukan sekadar 'angan-angan Mat Jenin' :-)

Ahad, 22 April 2012

Muhammad @ Iblis ???

       Saya sedang belajar untuk memaafkan semua orang yang menyakiti diri dengan segaja atau tidak sengaja.

       Hasilnya adalah runtunan marah dan sedih itu tetap menghantui diri.

       Namun doa mampu menangkisnya dengan  berani.

       Keputusan akhirnya adalah saya mampu menyapa, menegur dan bersahabat semula seperti sediakala dengan orang itu tanpa ada rasa negatif sebelum ini. Malah gembira kerana semua rasa negatif itu telah dinyah dari terus menggugat emosi.

       Benar dan pastinya memang kita semua tahu bahawasanya ia benar yang ajaran tertulis dalam al-Quran dengan dipertontonkan Muhammad s.a.w melalui perilaku baginda adalah sebaik-baik ajaran. Namun kita sering gagal mencontohinya.

       Seperti dua pilihan yang sering saya beri murid-murid saya pilih iaitu ketika mereka berperilaku dengan rentak nakal dan negatif,

" Kamu hanya ada dua pilihan dalam hidup ini samada mengikut Nabi Muhammad s.a.w atau mengikut Iblis Syaitan laknatullah."

       Ada yang menangis dengan tazkirah berupa ayat pilihan itu. Lalu saya tersenyum kerana jika bukan hari ini maka hidayah itu akan 100% menyapanya pada esok hari.

Sabtu, 7 April 2012

Hatyai : Travelog angan-angan.


         Saya baru bercita-cita hendak membawa mak dan adik berjalan-jalan ke Hatyai pada cuti pertengahan tahun ini iaitu Mei ini ( nape sebelum ni saya tak bercita-cita nak ke Hatyai ??? alasannya adalah saya tak suka shopping. Bawa mak baru best sikit nak beli barang sebab mak pandai membeli-belah) ( jika dah bercita-cita maknanya berangan sekali ler kan..hehe ). Malah sudah jumpa satu syarikat travel dan tour yang baik punya berserta harga dan aktiviti yang berpatutan ( save energy dan stamina dari jadi dreba). Saya juga sudah hubungi travel dan tour tersebut cuma belum membayar deposit sahaja lagi

         Seperti selalu antara persiapan sebelum travel adalah survey segala tempat menarik yang hendak dijelajahi berserta google gambar dan peta sekali juga sudah saya lakukan ( cepatnyer walhal nak gi bulan 5 nun..teruja lebih..hehe..) Siap tunjuk kat mak lagi,

"Mak, nanti kita akan pergi ke tempat ini dan itu..bla..bla..bla." something like that la.

         Siap copy paste link page travel & tour tu ke inbox rakan sekerja, rakan-rakan dan sepupu-sepapat  (kes nak penuh satu bas dengan kawan-kawan dan sedara-mara jer sebab travel ni open ). Sebenarnya sekolah kami dapat free bas untuk ke Hatyai pada tahun lepas namun tawaran itu diabaikan begitu sahaja kerana tidak mendapat sambutan warga sekolah uwaaa..saya yang kaki jalan ini aja yang teruja..yang lain bolayan jerk..sob..sob) Kali ini juga hanya beberapa orang sahaja yang berminat pada awalnya. Akhirnya hanya tinggal saya seorang yang tetap nak pergi ( uwaa sekali lagi ).

         'Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari'. Atas keterujaan dan pendirian tetap nak pergi walaupun beberapa orang rakan menasihati kerana selatan Thailand yang bergolak tiba-tiba Hatyai menggemparkan seluruh dunia amnya dan Asia Tenggara khususnya dengan letupan bom di hadapan Lee Garden Hotel ( so now saya perlu menggendurkan sedikit pendirian sebelum ini ). Saya punya perancangan nak ke Lee Plaza dengan menaiki Tuk Tuk untuk shopping cenderamata dihadiahkan kepada saudara-mara dan kawan-kawan pada malam aktiviti bebas kerana ada satu blogger yang tulis bahawa Lee Plaza lebih murah berbanding Nora Plaza.

        Maka di awal pagi tiba ke sekolah beberapa orang guru mewar-warkan saya dengan berita tersebut (siap tujuk front page paper lagi ) dengan alasan agar saya membatalkan rancangan ke sana.) Namun saya masih buat-buat cool. Sengaja tunggu apa kata mak dan mak masih lagi tidak berkata apa-apa ( saya tau mak saya seorang yang berani ) Antara ayat keberanian mak adalah,

"Jika anak-anak lelaki mak nak, mau ja mak hantaq pi berjuang kat Palestin dan syahid di sana."

      Saya cukup kagum dengan keberanian mak. Sanggup hantar anak ke medan perang seperti mak-mak arab yang cukup bangga apabila ada anak-anak yang mati syahid ( saya rasa hanya minoriti ibu-ibu kaum melayu yang sanggup sebegitu ).

      Seperti selalu yang kita ketahui bahawa kita manusia hanya mampu merancang namun Allah punya perancangan lebih baik ( now saya perlu cari tempat untuk bawa mak dan adik jenjalan pada tahun ini.) Saya perlu bawa juga mereka sebagai hadiah anak kepada mak yang banyak berjasa. Jua sebagai hadiah kakak kepada seorang adik yang kehilangan abah di usia 11 tahun ( reward juga kerana adik berjaya dapat A untuk 2 subjek UPSR lalu yang hanya perolehi B iaitu Matematik dan BI dan dapat tempat kedua dalam kelas. Mak puji Coklat Minda dengan izin Allah maka adik ada peningkatan ) Adik perlu jadi testimoni Coklat Minda lepas ini.

         Kita layan sahajalah gambar-gambar memori di Hatyai ini yang saya cilok dari album travel & tour yang saya nak join tu ( ke saya yang nak tengok gambar-gambar ini hari-hari sebab tak dapat gi tahun ini ) InsyAllah next time dengan harapan Hatyai pulih segera seperti Jepun yang bangun dari musibah. Pulihnya Hatyai maka industri pelancongan akan pulih berserta peniaga-peniaga yang majoriti Muslim akan dapat kembali sumber pendapatan untuk menyara kehidupan.



Floating Boat Market adalah tempat utama yang saya ingin pergi sebab ia unik dengan pelbagai jenis makanan unik yang tidak terdapat di sini ( ke mana-mana tempat pergi, saya teruja dengan keunikan makanan sesuatu tempat berbanding material pakaian )


Siap rancang nak beli semua jenis makanan dengan mak ( haha..tamaknya..sapo ler nak ngabihnyer..lain ler kalu bawa adik yang ke-4 yang kuat makan )


Teruja juga nak ke Ice Dome iaitu tempat salji dan segala benda dibentuk dengan ais ( kes kemaruk salji sebab dulu Mesir takde snow. Hanya pada tahun ini kawan-kawan di sana Alexandria ( 'U' saya ler tu kata salji turun di Alex).


Teruja juga hendak ke tempat jual madu ini ( saya suka madu sebab Rasulullah s.a.w suka madu ). Sakit hati apabila kerap terbeli madu yang dicampur gula ( bukan nak memulihkan tetapi mendatangkan penyakit ). Konon-konon nak beli madu berbotol-botol buat stok la.


Teruja juga hendak beli kekacang terutama badam dan gajus kat sinun sebab orang cakap harganya murah (bapa saudara baru sahaja ke Hatyai tetapi sebiji kacang pon dia tak kasi..gi merasa kat umah Tok..hmmm punya ler fresh kacangnyer )
Kekacang antara makanan yang elok dimakan dalam kuantiti yang tidak terlalu banyak namun dapat mengenyangkan.


Last but not least adalah pantai ini. Tempat lepak yang paling saya suka ( rindu pantai Batu Burok di Ganu ). Kiranya pergi ke mana-mana yang ada laut itu sudah menjadi penawar kesesakan manusia di plaza dan kompleks membeli-belah.

So tadi di awalnya saya cakap tak suka shopping tapi nampaknya banyak barang yang saya hendak beli  (hehe..beli makan jer maa..pakaian dah cukup walau murah tak yah beli lorr ).

*** Dok nampak Langkawi jer ni. Round pulau dan shopping Tehfal untuk grill segala bagai seafood, ayam dan daging ( penangan Astro 703, 706 dan 707 punya pasal..hehe)

- Udah jadi travelog pula entri kali ni yer. Padahal hanya satu angan-angan. Masih belum menjadi kenyataan. Hanya sekadar cilok gambar dan cerita pengalaman orang. Inilah kehebatan 'dunia tanpa sempadan' :-)

Jawapan saya apabila kawan-kawan tanya resepi, tempat, buku dan alamat atau nombor telefon sesuatu jabatan adalah, " Tanya Mr Google jer." Hehe..

Ahad, 1 April 2012

MUDAH tidaklah SUSAH.

      'Biarlah kita menjadi manusia yang tidak menyusahkan di kala hidup dan mati.'
     
      Saya suka ayat ini. Lalu teringat kata-kata ustaz iaitu penceramah Kursus Pengurusan Jenazah ketika LDP anjuran sekolah di Masjid Sungai Seluang dua minggu lepas. 

"Sediakan pakaian dan kain kafan untuk hari terakhir kita nanti agar memudahkan orang untuk menguruskan jenazah kita."

    Ayat yang sama dengan ayat mak. Ayat itu telah mak realisasikan untuk abah dan dirinya maka ketika hari pengurusan jenazah abah amat mudah sekali kami adik-beradik dan saudara-mara mencari segala kelengkapan seperti tuala, pelikat dsbnya kerana segalanya sudah tersedia dan rapi tersusun dalam almari pakaian. 

    Maka saya berpesan pada diri apabila ada duit nanti, usah terburu-buru mencari pakaian dan kain ela untuk dijadikan pakaian kerja sahaja. Dahulukan pakaian dan kelengkapan untuk hari terakhir nanti agar hari terakhir itu juga tidak menyusahkan orang.

   Berpesan senantiasa juga agar selagi hidup tidak menjadi beban dan menyusahkan orang. Pesanan yang sentiasa kita ingat namun tanpa sedar kita menganggu dan menyusahkan orang walaupon hanya sekadar menganggu P&P guru kelas sebelah kerana sikap kita yang tidak mengajar, hanya mengoyangkan kaki di meja guru dan senyum melihat murid-murid bising.

Sabtu, 31 Mac 2012

50 sen + buku iqra' = Camb Mind

      Bercerita tentang Cambodia dan kesusahan mereka di sana masih belum ada penamat rupanya. Hasil menjadi stokis Coklat Minda di Sungai Petani secara kebetulan dan tanpa dirancang sejak tahun lepas membuahkan hasil apabila pada tahun ini modal ditambah dan stok kerap dipesan kerana sambutan para pelanggan yang membeli bertambah. Bukan sekadar Coklat Minda malah Cococolagen dan Cocomirifica juga ada pesanan. 

      Alhamdulillah. Seperti kata mak," Buat sahajalah. Cuma perlu keluarkan modal dan pesan barang. Tidak perlukan keringat untuk menghasilkannya. Benda juga tahan lama."

     Apabila semalam membuka wall Coklat Minda di facebook maka terbaca satu post ini.

PENGUMUMAN ISTIMEWA:

Telah 4 tahun 4 bulan Coklat Minda di pasaran.
Bersempena dengan genap 1 tahun Coklat Minda ke udara di radio IkimFm dan atas tanda shukur kami terhadap kejayaan Coklat Minda membantu mereka2 yang memerlukan sambil kami
mendapat rezeki tambahan, saya ingin mengumumkan salah-satu program “Giving Back (Pulangkan Kembali)” dari syarikat kami. Syarikat MacaMaca Sdn Bhd akan sedekahkan 50 sen bagi setiap kotak Coklat Minda yang dijual dari 30 Mac 2012 hingga 30 April 2012 ini kepada program buku Iqro bagi anak2 Kemboja dan Mindanao. Jadi sesiapa yg membeli Coklat Minda dalam jangkamasa itu berpeluang bersama kami bersedekah kepada anak2 miskin yang akan mengaji Al-Quran di sana. Semoga usaha kita diterima dan diberkati Allah sentiasa. :)
 
http://www.waqafiqro.blogspot.com/


     Marilah sama-sama kita membeli produk Syarikat MacaMaca demi kesihatan dan kecerdikan dan sambil menderma kepada saudara-saudara seakidah yang memerlukan. 

*** Mula berangan nak repeat ke Cambodia untuk mengumpul dan menghantar sumbangan. Buat kerja amal sekadar apa yang terdaya ***

Jumaat, 30 Mac 2012

Kembara Cambodia.

     
     Cita-cita untuk menjejakkan kaki ke Cambodia pada tahun lepas terlaksana pada tahun ini. Tidak sangka akhirnya dapat juga memijak bumi sejarah kekejaman Pol Pot itu. Melihat dengan mata sendiri akan kekejaman seorang manusia yang berhati haiwan. Itulah antara tujuan utama ke sana kerana sejarah sudah menjadi minat yang mendalam di usia kian meningkat ini.

     Cambodia yang sinonim dengan kemiskinan. Jika di Malaysia ini pelbagai pertubuhan dan perseorangan sering mengutip dan menyalurkan derma untuk rakyat Cambodia atas rasa tanggungjawab negara jiran. Memang patutlah derma-derma disalurkan ke sana kerana mereka sememangnya memerlukan pelbagai alat dan kemudahan untuk meneruskan kehidupan. Namun kesusahan tidaklah menunjukkan negara mereka terlalu mundur. Jika ke Phnom Penh dan Siem Riep masih rasa berada di beberapa buah negeri kecil di negara kita.

      Kesempatan 6 hari berada di sana membuatkan keinsafan menyelubungi diri. Terlalu banyak muhasabah diri.

     Ikutkan hati hendak saja terus ke Ho Chi Minh kerana sudah terlalu dekat dan murah tambangnya tetapi akibat perancangan singkat menyebabkan Ho Chi Minh perlu di tunda ke satu tarikh lain.

    Sebenarnya, terlalu banyak gambar yang hendak diupload tetapi terlalu memakan masa maka saya bercadang hendak ubah satu akaun blog untuk dijadikan sebagai penulisan dan gambar kembara sahaja. Nampaknya akan kembali berlama-lamaan di depan blog untuk proses mengedit dan sebagainya. Nanti saya akan beritahu URL blog tersebut.

    Selamat berhujung minggu. ^_^ untuk semua.

Rabu, 8 Februari 2012

Terlalu banyak peristiwa berlaku sehingga setengah daripadanya tidak lekat dalam ingatan.
Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Zaman berganti zaman.
Manusia lahir dan mati bersilih ganti. Yang mati pergi membawa amalan. Yang hidup menambah dan mengurangi amalan.

Itulah rutin kita ( makhluk ) yang tidak terlepas akan setiap inci perbuatan dari pandangan Pencipta.

Namun kita seringkali terlupa bahawa setiap inci pembohongan, pengkhianatan, ketidaktanggungjawaban dan segala bentuk amalan mazmumah itu dihitung oleh malaikat Raqib tanpa tertinggal walau sebesar zarah. Apatahlagi jika amalan-amalan itu sudah berdarah daging. Sudah pasti tidak ada rasa segan melakukannya. Tiada rasa salah dan bersalah.

Majoriti dari kita rasa diperhati Allah ketika melakukan ibadat wajib sahaja. Allah melihat solat kita. Melihat puasa, zakat dan haji kita. Sedangkan Allah melihat segala bentuk inci perbuatan kita samada tersenarai dalam amalan wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Jika segala perbuatan diniatkan sebagai ibadat maka seluruh perbuatan adalah ibadat. Kena pada niat dan caranya maka dikira sebagai ibadat. 24 hidup kita dikira ibadat sehinggakan tidur juga ibadat.

Terlalu mudah sebenarnya untuk sentiasa hidup dalam ibadat.

Kenapa perlu memilih dosa kerana dosa itu sebenarnya bertentangan dengan naluri manusia ???

Jawab seorang murid saya yang berada di tahun 6," Kita lebih suka melakukan maksiat kerana kita sering dihasut syaitan utk melakukannya."

'Sering' itu membuatkan perkara bertentangan naluri juga akhirnya dilakukan walaupun tahu ia adalah dosa yang adakala rasa bersalah mencengkam. Namun sukar ditinggalkan.

Jika maksiat yang 'sering' dihasut syaitan itu membuatkan ia terlaksana maka 'sering' juga perlu diletakkan pada amal.

Dalaman manusia sendiri yang perlu 'sering' mendekatkan diri kepada Allah, Rasul serta para sahabat dan insan-insan baik. Perlu 'sering' mencari ilmu agar 'sering' hasutan syaitan itu dapat ditundukkan dengan mudah. Perlu 'sering' mencari cinta Allah dan Rasulnya yang dapat menjatuhkan 'sering' syaitan yang bakal menjatuhkan ke jurang api marak yang hitanm legam.

Luaran manusia iaitu kita yang ditaklifkan sebagai khalifah di muka bumi perlu 'sering' mengajak manusia lain agar sama-sama berjalan di jalan yang berpandukan al-Quran dan hadis. Ajakan yang berbentuk dakwah bil hikmah ( bijaksana ) tanpa mengira putus-asa dan naik turunnya mengikut masa, semangat dan mood.

Jika syaitan yang berada di mana-mana itu dengan mudah membisikkan kata-kata magnet ke arah kejahatan. Maka lawannya adalah istighfar, zikrullah dan selawat yang perlu setiap masa dan di mana-mana agar magnet itu terus memacu ke arah kebaikan.

"Kamu semua dengar tak bunyi burung berkicau di luar kelas?" soal saya pada anak-anak tahun 3 ketika mata pelajaran Bahasa Arab pagi tadi.

"Ya, dengar."

"Burung berkicau bukan sekadar bunyi tetapi burung berkicau memuji Allah yang mencipta segalanya."

Dialog ringkas ketika lidah anak-anak itu ( juga anak-anak lain ) yang lebih mudah dan kerap melagukan lagu dan siulan dunia berbanding memuji Allah al-Khalik.

Jumaat, 4 November 2011

1 kiblat..

Terima sms dari seorang sahabat yang sedang mengerjakan rukun Islam ke 5.

'Nafas 6 juta umat Islam di sini. Allah hu akbar !'

Dalam kepincangan akhlak dan moral umat Islam di tahap yg genting. Dalam kancah perpecahan umat Islam yang meruncing. Dalam bencana alam yang meragut korban yang angka berjuta billion. Di rumah Allah sana, umat Islam tetap dikumpulkan di bawah satu akidah dan kalimah syahadah. Juga di bawah satu cinta terhadap-Nya.

Subhanallah. Allah hu Akbar.


Saya turut berbahagia dengan sahabat ini. Beliau yang terlalu berharap dapat ke sana. Malah hampir dijemput pada tahun lepas setelah dicucuk sebagai salah satu prosedur yang wajib. Namun kehendak DIA mengatasi segalanya apabila perlu menanti hanya setahun lagi.

"Allah lebih tahu apa yang kita hamba-Nya yang lemah ini tidak tahu. Kita sudah rasa mampu. Namun DIA lebih tahu bahawa banyak lagi yang perlu kita pelajari, insafi dan muhasabah diri," saya cuba tenteramkan sedikit rasa terkilan sahabat ini pada tahun lepas.

"Barangkali banyak lagi yang Allah mahu diri ini pelajari," sambungnya pula.


Kata seorang ustaz dalam sebuah buku," Berubah untuk menjadi baik bukanlah bermula di Mekah tetapi perlu dimulai dari negara sendiri."

Bertaubatlah dari awal agar di sana tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini sepertimana yang sering kita dengari dan bacai tentang perjalanan ibadat yang terganggu dek perilaku silam yang masih tertangguh taubat.


"Kenapa **** tak mahu lagi tunaikan ibadat haji?"

"Hmm..dia kata takut dosa-dosa di sini dibalas cash di sana."

Ayat yang seringkali kita dengar dari seseorang yang teragak-agak untuk melunaskan rukun Islam kelima itu.

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sepatutnya rasa takut dan gusar ada di mana-mana sahaja kerana Allah Taala lihat dan dengar walau di bumi mana kita berbuat dosa. Lintasan di hati kecil juga diketahui.

Jika setiap hembusan nafas juga keluar dengan mengingati Allah. Maka tiada ruang untuk berbuat maksiat dan dosa kerana takutkan DIA.

*** Pengorbanan yang sebenar bukanlah untuk sekadar memberi kebahagiaan pada diri sendiri sahaja. Namun membahagiakan orang sekeliling tetapi itulah yang amat sukar untuk dilaksanakan dengan IKHLAS ***

Rabu, 5 Oktober 2011

Wo ai mak..luv cokolatah..



Sudah beberapa hari post saya ini tertangguh. Sedangkan saya teruja untuk menulis di sini. Namun beberapa kali saya gagal memuat turunkan gambar. Sepertimana status yang saya tulis di facebook. Blog saya barangkali merajuk kerana sudah lama ia dibiarkan bersawang.


Keterujaan saya untuk mempamerkan coklat yang dibuat oleh mak kepada anak-anaknya atas rasa cinta dan kasih-sayang. Coklat berbentuk hati yang melambangkan cinta mak kepada kami. Coklat yang apabila dimasukkan ke dalam mulut terasa nyamannya. Lalu mendatangkan kebahagiaan apabila mengunyahnya. Itu adalah kebiasaan ketika kita memakan coklat. Namun pada kali ini rasanya berganda-ganda kerana ia adalah air tangan mak.


Banyak kali perkara ini terjadi. Kerap kali ketika memandu pulang dari sekolah ke rumah. Hari itu sekali lagi.


Tiba-tiba saya lapar coklat. Lalu teringat akan D'Corte, coklat hitam yang dibeli oleh Mak Teh sebelum Hari Raya yang lalu. Sampai ke rumah coklat itu akan dikunyah untuk menghilangkan rasa gian. Coklat itu hanya tinggal sedikit. Ia akan habis. Hendak membeli semula, perlu memesan kepada saudara-mara atau rakan-rakan yang akan ke Langkawi kerana tidak dijual di tempat lain. Aduh. Lama pula akan dapat merasai nikmat coklat hitam yang disaluti badam atau hazel yang banyak.


Di dalam bilik mak masuk menghulurkan dua biji coklat yang berlainan saiz dan bentuknya. Cair di dalam mulut rasanya juga lain. Namun kedua-duanya sedap. Satu coklat yang bersalut bertih seumpama crispy yang terdapat di pasaran. Manakala sebiji lagi adalah coklat mentega kacang yang belum pernah dirasai sebelum ini. Rasanya manis dan sedikit masin. Itulah coklat yang berbentuk cinta.


Itulah keajaiban yang sudah beberapa kali terjadi. Saya menginginkan sesuatu lalu mak merealisasikan tanpa mak tahu saya mahukannya. Ajaib. Barangkali hubungan akrab antara ibu dan anak bukan sekadar di dalam rahim. Namun di dunia yang serba luas ini yang adakala menjarakkan beribu batu juga hubungan itu masih berlangsung.


Saya harapkan rasa itu akan dapat saya laksanakan untuk mak apabila mak menginginkan sesuatu tanpa saya tahu dari lisan mak. Merealitikannya walau dengan keringat dan sehabis tenaga saya seperti mak melaksanakannya untuk saya.


Terlalu banyak untuk dinukilkan.


Namun yang membuatkan saya amat tersentuh adalah dalam dua situasi. Ketika saya di Kusza, mak pernah membuat pelbagai kuih diletakkan di gerai air tebu Tok Wan berniaga di bulan Ramadan. Gerai di hadapan masjid yang tidak ramai pelanggan seperti bazar Ramadan membuatkan kuih mak yang pernah popular suatu ketika dahulu banyak yang tidak laku. Lalu mak sedekahkan kepada para jemaah pada malam itu. Kata mak, itu rezeki para jemaah. Saya seperti mahu meletakkan gagang telefon di ketika itu juga. Mahu menangis semahu-mahunya. Namun saya kuatkan hati memberi kata semangat kepada mak.


Situasi kedua berlaku ketika saya tidak cukup wang untuk membeli tiket pulang ke tanahair sewaktu di Mesir. Saya teragak-agak hendak memberitahu walaupun duit tiket pergi dan pulang sememangnya sudah arwah abah sediakan dari duit keluaran simpanan KWSP. Namun naik turun matawang tidak menentu. Ditambah harga tambang kapal terbang yang naik melambung membuatkan wang yang diperuntukkan tidak mencukupi. Tidak dapat tidak saya memaklumkan kepada mak. Hanya beberapa minggu sahaja mak maklumkan kembali wang diperlukan sudah mencukupi. Saya hairan. Bagaimana mak dan arwah abah mendapatkan wang sesegera itu. Apabila disoal, mak tidak memberitahu dan hanya mahu saya pulang segera dengan selamat. Aneh.


Berada di Malaysia mak memberitahu bahawa dengan bakat dan kudratnya, mak membuat maruku setiap hari. Memulas adunan marku menggunakan acuan kayu bukannya mudah. Perlukan kudrat yang kuat. Berpanas di tepi kuali yang ditakungi minyak masak yang banyak. Peluh menitik dari muka sehingga ke buku lali. Adakala untuk menyelesaikan bancuhan tepung itu mak menangguhkan waktu makannya.


Arwah abah akan menyangkut maruku yang dibungkus plastik itu ke handle motorsikalnya ketika berkerja. Berjaja sambil menghantar surat dan bungkusan sehingga ke daerah pendalaman Baling, Sik dan Grik.


Namun kata mak, berkat niat mak dan abah untuk anak mereka ini barangkali maruku yang dijaja laku setiap hari. Pelbagai bangsa membelinya. Hampir setiap penghuni rumah yang arwah abah hantar barang dan surat akan membeli apabila nampak abah berjaja. Alhamdulillah. Rezeki tanpa disangka-sangka kata mak. Saya sebak. Namun sekali lagi saya tahan untuk tidak menitiskan airmata di hadapan mak.


Terlalu besar pengorbanan mak. Terlalu kerdilnya saya untuk membalas segala-galanya. Namun saya akan cuba memberi apa yang diinginkannya.


***Terima kasih mak. Syukran ya ummi. Xie xie wo de mama. Walau saya sebut dalam 1000 bahasa pengorbanan tetap melebihi segala-galanya.***

Selasa, 13 September 2011

Ikut acuan sendiri


"Jika mahu hidup bahagia. Jangan hidup dengan acuan orang lain. Hiduplah dalam acuan diri sendiri. Jika mahu juga ikut acuan orang lain janganlah sampai terlalu mendesak".


Ramai orang yang terlalu mengejar kejayaan, kekayaan dan kecemerlangan dengan mengikut landas dan prinsip hidup orang yang menjadi idola. Namun hakikat yang sering tercicir adalah kebahagiaan. Akibat dari itu sesuatu yang dikejar itu sebenarnya tidak benar-benar memberi kegembiraan.



Perhati pada ragam hidup pelbagai golongan. Bermula dari golongan bawahan yang hanya sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ada lompongnya adakala. Golongan pertengahan yang hanya cukup-cukup sahaja. Namun mereka mampu tersenyum dalam keadaan perut bersenandung minta diisi.



Golongan atasan yang dapat duit berlipat-lipat setiap bulan. Namun masih mencuka dan mengeluh tidak cukup di segenap segi.



Di manakah silapnya???



Dua golongan permulaan itu sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada. Tidak terkocoh-kocoh mengejar sesuatu yang dimiliki oleh orang lain sehingga perlu jadi orang lain itu. Jika mengejar pun hanya sebagai motivasi untuk memajukan sedikit taraf kehidupan diri dan keluarga.



Manakala golongan terakhir sering berasa ketidakcukupan akibat melihat kepada kehidupan orang lain. Menjadi orang lain itu sehingga lupa untuk kembali menjadi diri sendiri.



Orang yang bahagia adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada. Menjadi diri sendiri.



Orang yang kurang bahagia adalah orang yang tidak bersyukur pada apa yang diperolehi. Mengubah diri menjadi orang lain.



Manakah yang ingin kita pilih dalam kehidupan ini??? Bahagiakah yang dikejar atau kehendak diri yang tidak pernah cukup dihambat???



***** Memaafkan dan mendoakan semua orang termasuk dalam perbuatan yang akan membahagiakan ****** Tak caya cuba buat :-)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...