Sudah beberapa hari post saya ini tertangguh. Sedangkan saya teruja untuk menulis di sini. Namun beberapa kali saya gagal memuat turunkan gambar. Sepertimana status yang saya tulis di facebook. Blog saya barangkali merajuk kerana sudah lama ia dibiarkan bersawang.
Keterujaan saya untuk mempamerkan coklat yang dibuat oleh mak kepada anak-anaknya atas rasa cinta dan kasih-sayang. Coklat berbentuk hati yang melambangkan cinta mak kepada kami. Coklat yang apabila dimasukkan ke dalam mulut terasa nyamannya. Lalu mendatangkan kebahagiaan apabila mengunyahnya. Itu adalah kebiasaan ketika kita memakan coklat. Namun pada kali ini rasanya berganda-ganda kerana ia adalah air tangan mak.
Banyak kali perkara ini terjadi. Kerap kali ketika memandu pulang dari sekolah ke rumah. Hari itu sekali lagi.
Tiba-tiba saya lapar coklat. Lalu teringat akan D'Corte, coklat hitam yang dibeli oleh Mak Teh sebelum Hari Raya yang lalu. Sampai ke rumah coklat itu akan dikunyah untuk menghilangkan rasa gian. Coklat itu hanya tinggal sedikit. Ia akan habis. Hendak membeli semula, perlu memesan kepada saudara-mara atau rakan-rakan yang akan ke Langkawi kerana tidak dijual di tempat lain. Aduh. Lama pula akan dapat merasai nikmat coklat hitam yang disaluti badam atau hazel yang banyak.
Di dalam bilik mak masuk menghulurkan dua biji coklat yang berlainan saiz dan bentuknya. Cair di dalam mulut rasanya juga lain. Namun kedua-duanya sedap. Satu coklat yang bersalut bertih seumpama crispy yang terdapat di pasaran. Manakala sebiji lagi adalah coklat mentega kacang yang belum pernah dirasai sebelum ini. Rasanya manis dan sedikit masin. Itulah coklat yang berbentuk cinta.
Itulah keajaiban yang sudah beberapa kali terjadi. Saya menginginkan sesuatu lalu mak merealisasikan tanpa mak tahu saya mahukannya. Ajaib. Barangkali hubungan akrab antara ibu dan anak bukan sekadar di dalam rahim. Namun di dunia yang serba luas ini yang adakala menjarakkan beribu batu juga hubungan itu masih berlangsung.
Saya harapkan rasa itu akan dapat saya laksanakan untuk mak apabila mak menginginkan sesuatu tanpa saya tahu dari lisan mak. Merealitikannya walau dengan keringat dan sehabis tenaga saya seperti mak melaksanakannya untuk saya.
Terlalu banyak untuk dinukilkan.
Namun yang membuatkan saya amat tersentuh adalah dalam dua situasi. Ketika saya di Kusza, mak pernah membuat pelbagai kuih diletakkan di gerai air tebu Tok Wan berniaga di bulan Ramadan. Gerai di hadapan masjid yang tidak ramai pelanggan seperti bazar Ramadan membuatkan kuih mak yang pernah popular suatu ketika dahulu banyak yang tidak laku. Lalu mak sedekahkan kepada para jemaah pada malam itu. Kata mak, itu rezeki para jemaah. Saya seperti mahu meletakkan gagang telefon di ketika itu juga. Mahu menangis semahu-mahunya. Namun saya kuatkan hati memberi kata semangat kepada mak.
Situasi kedua berlaku ketika saya tidak cukup wang untuk membeli tiket pulang ke tanahair sewaktu di Mesir. Saya teragak-agak hendak memberitahu walaupun duit tiket pergi dan pulang sememangnya sudah arwah abah sediakan dari duit keluaran simpanan KWSP. Namun naik turun matawang tidak menentu. Ditambah harga tambang kapal terbang yang naik melambung membuatkan wang yang diperuntukkan tidak mencukupi. Tidak dapat tidak saya memaklumkan kepada mak. Hanya beberapa minggu sahaja mak maklumkan kembali wang diperlukan sudah mencukupi. Saya hairan. Bagaimana mak dan arwah abah mendapatkan wang sesegera itu. Apabila disoal, mak tidak memberitahu dan hanya mahu saya pulang segera dengan selamat. Aneh.
Berada di Malaysia mak memberitahu bahawa dengan bakat dan kudratnya, mak membuat maruku setiap hari. Memulas adunan marku menggunakan acuan kayu bukannya mudah. Perlukan kudrat yang kuat. Berpanas di tepi kuali yang ditakungi minyak masak yang banyak. Peluh menitik dari muka sehingga ke buku lali. Adakala untuk menyelesaikan bancuhan tepung itu mak menangguhkan waktu makannya.
Arwah abah akan menyangkut maruku yang dibungkus plastik itu ke handle motorsikalnya ketika berkerja. Berjaja sambil menghantar surat dan bungkusan sehingga ke daerah pendalaman Baling, Sik dan Grik.
Namun kata mak, berkat niat mak dan abah untuk anak mereka ini barangkali maruku yang dijaja laku setiap hari. Pelbagai bangsa membelinya. Hampir setiap penghuni rumah yang arwah abah hantar barang dan surat akan membeli apabila nampak abah berjaja. Alhamdulillah. Rezeki tanpa disangka-sangka kata mak. Saya sebak. Namun sekali lagi saya tahan untuk tidak menitiskan airmata di hadapan mak.
Terlalu besar pengorbanan mak. Terlalu kerdilnya saya untuk membalas segala-galanya. Namun saya akan cuba memberi apa yang diinginkannya.
***Terima kasih mak. Syukran ya ummi. Xie xie wo de mama. Walau saya sebut dalam 1000 bahasa pengorbanan tetap melebihi segala-galanya.***
0 comments:
Catat Ulasan