Terlalu banyak peristiwa berlaku sehingga setengah daripadanya tidak lekat dalam ingatan.
Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Zaman berganti zaman.
Manusia lahir dan mati bersilih ganti. Yang mati pergi membawa amalan. Yang hidup menambah dan mengurangi amalan.
Itulah rutin kita ( makhluk ) yang tidak terlepas akan setiap inci perbuatan dari pandangan Pencipta.
Namun kita seringkali terlupa bahawa setiap inci pembohongan, pengkhianatan, ketidaktanggungjawaban dan segala bentuk amalan mazmumah itu dihitung oleh malaikat Raqib tanpa tertinggal walau sebesar zarah. Apatahlagi jika amalan-amalan itu sudah berdarah daging. Sudah pasti tidak ada rasa segan melakukannya. Tiada rasa salah dan bersalah.
Majoriti dari kita rasa diperhati Allah ketika melakukan ibadat wajib sahaja. Allah melihat solat kita. Melihat puasa, zakat dan haji kita. Sedangkan Allah melihat segala bentuk inci perbuatan kita samada tersenarai dalam amalan wajib, sunat, haram, makruh dan harus.
Jika segala perbuatan diniatkan sebagai ibadat maka seluruh perbuatan adalah ibadat. Kena pada niat dan caranya maka dikira sebagai ibadat. 24 hidup kita dikira ibadat sehinggakan tidur juga ibadat.
Terlalu mudah sebenarnya untuk sentiasa hidup dalam ibadat.
Kenapa perlu memilih dosa kerana dosa itu sebenarnya bertentangan dengan naluri manusia ???
Jawab seorang murid saya yang berada di tahun 6," Kita lebih suka melakukan maksiat kerana kita sering dihasut syaitan utk melakukannya."
'Sering' itu membuatkan perkara bertentangan naluri juga akhirnya dilakukan walaupun tahu ia adalah dosa yang adakala rasa bersalah mencengkam. Namun sukar ditinggalkan.
Jika maksiat yang 'sering' dihasut syaitan itu membuatkan ia terlaksana maka 'sering' juga perlu diletakkan pada amal.
Dalaman manusia sendiri yang perlu 'sering' mendekatkan diri kepada Allah, Rasul serta para sahabat dan insan-insan baik. Perlu 'sering' mencari ilmu agar 'sering' hasutan syaitan itu dapat ditundukkan dengan mudah. Perlu 'sering' mencari cinta Allah dan Rasulnya yang dapat menjatuhkan 'sering' syaitan yang bakal menjatuhkan ke jurang api marak yang hitanm legam.
Luaran manusia iaitu kita yang ditaklifkan sebagai khalifah di muka bumi perlu 'sering' mengajak manusia lain agar sama-sama berjalan di jalan yang berpandukan al-Quran dan hadis. Ajakan yang berbentuk dakwah bil hikmah ( bijaksana ) tanpa mengira putus-asa dan naik turunnya mengikut masa, semangat dan mood.
Jika syaitan yang berada di mana-mana itu dengan mudah membisikkan kata-kata magnet ke arah kejahatan. Maka lawannya adalah istighfar, zikrullah dan selawat yang perlu setiap masa dan di mana-mana agar magnet itu terus memacu ke arah kebaikan.
"Kamu semua dengar tak bunyi burung berkicau di luar kelas?" soal saya pada anak-anak tahun 3 ketika mata pelajaran Bahasa Arab pagi tadi.
"Ya, dengar."
"Burung berkicau bukan sekadar bunyi tetapi burung berkicau memuji Allah yang mencipta segalanya."
Dialog ringkas ketika lidah anak-anak itu ( juga anak-anak lain ) yang lebih mudah dan kerap melagukan lagu dan siulan dunia berbanding memuji Allah al-Khalik.
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan