Pintu utama diketuk menandakan ada tetamu yang datang. Aku segera meneropong melalui lubang kecil di pintu untuk memantau gerangan tetamu itu demi keselamatan diri dan ahli bait ( housemate ). Berada di negara orang keselamatan lebih dititikberatkan. Itu pesanan ahli keluarga di tanahair dan senior yang lebih dahulu berpengalaman di tempat ini. Semua itu kemas dalam genggaman agar niat utama datang ke sini tercapai tanpa halangan akibat kecuaian diri sendiri.
" Assalamualaikum....," ucapan salam memecah gegendang telinga yang dipicingkan untuk mengenal suara empunya diri.
" Waalaikummusalam," jawabku sambil jari menyelak penyendal pintu setelah mengenalpasti tetamu itu adalah sahabatku yang dikenali sejak di kolej di negeri pantai timur tanahair.
"Masuklah, buat macam bait orang ek," pelawaku sambil berseloroh. Gadis genit berjubah coklat susu itu masuk sambil tersenyum nipis.
Dia terus menuju ke kamarku dan duduk di birai katil. Aku membuntutinya sambil tangan rancak mengemas meja stadi yang berterabur dengan kitab dan nota.
" Hai, awal betul berjalan pagi ini," tegurku kepadanya yang hanya tinggal beberapa meter sahaja dari rumah sewaku.
"Sebenarnya saya dari rumah ustaz Khadir," jawab gadis berkaca mata itu sambil memandangku sayu.
"Oooo....tukar duit ek," telahku kerana selain menjual kad vodafone (telefon internet) ustaz yang sudah berkahwin itu juga menjalankan urusniaga money changer kepada akhawat-akhawat di sini.
"Erm....nak pinjamkan akak ler," jawabnya tanpa selindung.
Aku tersentak hingga pemusatan fokus perbicaraan tadi sudah hilang disambar kejutan perasaan. Memang aku kehabisan duit ketika ini namun itu bukanlah untukku sewenangnya meminjam walau tanpa dipinta. Niat baiknya kutolak dengan baik. Keikhlasannya hanya Allah yang mampu membalasnya. Dalam hati aku bersyukur dikurniai sahabat sebaiknya. Bukan sahaja dia namun termasuk beberapa lagi yang sememangnya kurniaan Ilahi sebagai temanku menjalani hidup di rantau yang jauh dari mata orang tua.
Sahabat
datang dan pergi
mencorakkan kanvas hidup ini
datang kalian disambut ahlan wa sahlan
perginya kalian dengan ucapan ilal liqa'
kerna bila bertemu
tiada noktah menamatkan ukhuwah ini
walau dengan kematian
kerna ia terikat bukan berdasar melengkapi putaran kehidupan
namun kerna lillah hi taala
ana uhibbukum fillah
0 comments:
Catat Ulasan