Hidup, mati, sakit, sihat, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah.
Dihijabkan dari pandangan manusia.
Agar manusia yang leka dengan satu-satu keadaan dapat menerima perubahan keadaan yang bakal berlaku.
Di sinilah menuntut redho dan sabar pada manusia yang mengaku sebagai hamba kepada tuhan Yang Maha Esa dan umat kepada Rasul junjungan mulia.
Sekarang ini antara berita yang heboh yang diperkatakan di mana-mana samada di rumah, sekolah dan kampung adalah tentang sakit. Maklumlah kebiasaan setiap tahun bila musim buah maka ramai yang sakit akibat makan buah-buahan tempatan yang dikatakan panas oleh orang tua-tua. Walhal itu semua adalah penyebabnya sahaja. Sakit itu datangnya dari Allah. Sebagai kafarah dosa, ujian dan peringatan. Namun kadang-kadang Allah memberi mengikut apa yang manusia lakukan dan lazimkan dalam hidup mereka. Jika sudah overdose makan dan tidak pernah senaman untuk menjaga stamina maka lama kelamaan badan juga akan sakit. Ramai dari kita yang terlupa atau mungkin buat-buat lupa kerana kesibukan kerja bahawa pemberian Allah ini perlu dijaga dan dipelihara sentiasa. Sebelum itu betulkan niat menjaga ini adalah untuk kesihatan agar dapat terus beramal ibadat.
Ada juga sakit kerana buatan orang. Zaman sudah kembali ke belakang mengikut kata mak. Zaman ICT juga manusia masih menggunakan ilmu hitam untuk menjatuhkan orang lain. Agaknya cara kuno itu dapat menjadikan orang yang dibenci cepat menderita sehingga ke tahap membunuh apabila segala macam santau dan ilmu hitam mengena. Namun semuanya dengan keizinan Allah Taala yang berhak mengambil nyawa hamba-Nya. Mungkin cara lama itu kembali difikirkan sesuai apabila filem dan drama tempatan rancak menayangkan semula cerita-cerita tentang ilmu hitam yang meluas sebagai senjata menjatuhkan orang yang dianggap musuh akibat rasa tidak puas hati pada zaman dahulu. Kebanjiran drama dan filem seram ini sejak kebelakangan ini yang sudah tersasar jauh ke lembah tahyul. Sepatutnya ia perlu dibendung kerana tidak banyak input kebaikan yang dapat diperoleh darinya. Malah menjadikan kanak-kanak zaman ICT kini kembali mempercayai kewujudan hantu. Nampaknya orang dewasa terutama ustaz dan ustazah perlu memainkan peranan menerangkan bahawa yang wujud adalah iblis, syaitan dan jin yang menyerupai wajah seseorang untuk memesongkan manusia.
*******
"Dah 4 orang meninggal sebab H1N1," kata Cikgu Afidah kepadaku dan Cikgu Rahimah ketika dalam bilik guru.
"Ya ka kak, cepat betul merebak virus tu," balasku yang telah menghitung seorang dalam sehari telah meninggal dunia akibat virus tersebut sejak kebelakangan ini (mungkin angkanya lebih...wallah hu a'lam).
Nampaknya kerajaan, pihak swasta dan individu perlu lebih memainkan peranan untuk membendung virus ini. Mati itu pasti namun sebagai manusia perlu ada usaha untuk merawatnya sedaya mungkin. Perlu ada buruk sangka pada kesihatan sekarang ini walaupun hanya sekadar batuk dan demam sedikit. Mungkin yang sedikit itu merupakan tanda awal yang sebenarnya boleh membawa maut kerana ia merebak terlalu cepat.
******
Kali terakhir melihat Pak Cik Rashid ketika dia bersama kucingnya di depan rumah beliau di waktu pagi ketika aku hendak ke sekolah. Tidak sampai seminggu arwah yang sesak nafas melakukan pemeriksaan di klinik. Lanjutan daripada itu dia disuruh ke hospital. Hasilnya disahkan menghidap paru-paru berair tahap kronik. Hanya 3 hari di hospital maka selepas Suboh kelmarin arwah telah menyahut seruan Ilahi kembali ke sisi-Nya.
Semalam kawan bertanya melalui sms samada aku membaca Metro. SMS yang sama juga dia mengatakan kasihan pada Encik Abu Jalil, pensyarah IPDA yang pernah menjadi penceramah ketika kursus induksi lepas. Segera kubuka metro online kerana kelmarin tidak sempat baca Berita Harian di sekolah untuk memberi ruang kepada murid tahun 6 membaca surat khabar tersebut. Rupanya perkenalan kami dengan En.Abdul Jalil adalah yang pertama dan terakhir ketika KISSM tempoh hari kerana dia telah kembali ke rahmatullah kerana terlibat dalam kemalangan di Machang.
Nek saudara sebelah abah telah 13 hari terlantar seperti koma. Usianya 90 lebih telah menjadikan dia sedikit nyanyuk sebelum terlantar di pembaringan. Namun dia masih bernafas sehingga kini. Anak-anaknya ada yang sentiasa menemani, menjaga dan merawat beliau agar sedar seperti sediakala.
Usia bukanlah pengukur jangka hayat hidup.
Cuma bersedia setiap masa agar kembali kepada-Nya dalam husnul khatimah.
Menjadi seorang yang bermanfaat kepada orang dan makhluk lain amat besar nilainya.
Kerana hidup dan mati akan didoakan seluruh makhluk langit dan bumi.
0 comments:
Catat Ulasan