Masalah itu adalah percubaan yang diberi Allah sebelum kita layak mendapat ganjarannya jika sabar mendepaninya.
"Akak pun nak masalahlah jika kerana masalah itu dapat cemerlang," ujar seorang rakan ketika keputusan peperiksaan IPG sudah keluar dan bakal-bakal guru ini heboh bertanya dan memperkatakan tentangnya.
"Apa yang Allah bagi elok dah akak, usah dipersoalkan lagi, jika tidak dapat cemerlang pun ada hikmahnya," aku memujuk ibu yang bakal mendapat anak keempat itu.
Kehendak rakan itu adalah berdasarkan kepada tiga rakan sekelas yang dapat cemerlang kerana mereka bertigalah yang lebih hebat diuji berbanding yang lain-lain.
Rakan yang pertama telah menjalani praktikum dalam keadaan sarat mengandung. Kebetulan dia mendapat pensyarah pembimbing yang sama denganku. Dia layak dicalonkan cemerlang namun ditolak kerana dikhuatiri akan bersalin. Bagiku dia seorang guru yang gigih kerana mampu mendapat cemerlang dalam keadaan melayan 3 orang anak yang masih kecil. Waktu malam setelah anak-anaknya tidur digunakan untuk menulis rancangan pengajaran, bahan bantu mengajar dan mengulangkaji pelajaran.
Rakan yang kedua pula menghadapi pelbagai ujian ketika praktikum. Dia yang dikhuatiri tidak layak menduduki peperiksaan kerana ada kes ketika praktikum. Walhal katanya bebanan tugas yang dilambakkan oleh guru besar untuk dilangsaikan menjadikan masa terlalu suntuk. Dia seorang yang senantisa berfikiran positif. Walaupun dia dimarahi kerana terlalu baik menerima setiap tugasan yang diberikan, aku yakin keikhlasannya membantu menjadikan dia cemerlang.
Rakan ketiga pula disinis kerana sibuk mengadakan walimatul urus ketika kuliah tutorial terakhir. Aku tabik juga padanya kerana pandai mengatur hari yang cukup padat dengan tutorial dari Ahad sehingga Khamis bermula jam 8.30 sehingga senja malah kadang-kadang sehingga ke malam. Hari Sabtu pertama ketika taklimat kursus bermula diadakan kenduri di rumahnya. Manakala minggu seterusnya diadakan pula di rumah suaminya. Masa ulangkajinya terlalu singkat. Kata seorang rakan bahawa itu adalah rezeki perkahwinannya. Ujar ibunya perkahwinan itu adalah permintaan sebelah pihak lelaki. Jika memudahkan urusan orang maka dimudahkan kita mungkin itu yang layak dikatakan untuknya.
Jika hendak mencari teladan sebagai panduan kehidupan usah dilangkau ke lain benua. Di hadapan mata juga sudah tersedia.
Terlepas dari masalah dan ujian dirasakan umpama seekor burung yang terlepas dari sangkar. Dapat terbang bebas di angkasa raya. Namun tidak mustahil kebebasan itu bakal disekat kembali. Sebagai manusia yang sudah biasa mendepani masalah yang berbeza teruslah keluar dari masalah dengan cara seperti sebelumnya atau dengan cara yang lebih darinya.
2 minggu lebih menghadiri kursus ini dirasakan umpama sebulan sudah berlalu. Bukan diri ini sahaja yang merasakan begitu malah murid-murid juga sudah bertanya bila akan kembali ke sekolah. Isnin ini akan berakhir. Surat pelantikan masih belum dapat. Ura-ura yang mengatakan ada penempatan yang akan berubah masih belum tahu kebenarannya. Semuanya masih dalam rahsia yang mana Allah taala lebih mengetahuinya dan hikmah di sebalik apa yang tertulis.
2 comments:
salam sahabat yang dirindu
Eva...
suka entry ni...
apa khabar?
salam juga buat sri yg senantiasa dalam ingatan...
alhamdulillah baik2 aja....
yeke?
ini hanya sebahagian daripada kehidupan saya sebagai insan...
Catat Ulasan