1433H telah berlalu pergi sebentar tadi. 1434H pula datang mengganti. Sekejap sahaja putaran waktu bersilih ganti.
Sibuk di awal, tengah dan hujung tahun adakala membuatkan kita lupa menghitung perjalanan hari. Hanya kita sedar pergerakan angka usia sahaja setiap kali tarikh ulangtahun kelahiran menjelma.
Semakin angka tahun dan usia bertambah maka semakin tualah diri kita. Bertambah angka-angka itu adakalanya membuatkan gerun untuk menghadapinya. Bukannya gerun pada kedut-kedut yang mula nampak pada wajah. Bukan juga pada terbatasnya pergerakan anggota kerana longgar dimamah usia. Namun kerana tuanya diri ini dengan kekurangan bekalan untuk dibawa ke negeri akhirat sana.
Masuknya tahun baru bermakna meninggalkan segala yang buruk dan negatif. Terus membawa yang baik dan positif malah melipat gandakannya agar jiwa dan diri sentiasa akrab dengan pencipta yang abadi. Pastikan tiada lagi lompong seperti tahun lalu.
Lompong jauh dari merasai DIA dekat
di hati kita.
Lompong tidak memohon pertolongan-Nya apabila ada kesukaran yang dihadapi.
Lompong tidak mensyukuri segala rahmat dan nikmat limpahan-Nya.
Serta pelbagai lompong yang terlalu panjang jika dihuraikan.
# Doa kemenangan rakyat Syria bersama tentera FSA pada tahun ini.
# Doa kemenangan buat saudara di Palestin.
# Doa buat tanah air tercinta agar benar-benar di bawah lembayung syiar Islam.
# Doa buat diri dan keluarga agar sabar, tabah dan redho dengan segala dugaan serta dirahmati-Nya sepanjang usia.
Rabu, 14 November 2012
Ahlan wa sahlan 1434H.
Posted by EVA SALSABILA at 10:14 PTG 0 comments
Jumaat, 19 Oktober 2012
Kem Ikhtiar Hidup@Master Chef SKBS
Best juga dapat berceloteh di blog ini waktu pagi begini. Itu pun setelah lama tidak berjaga malam melangsaikan segala kerja tertunggak sebegini setelah habis belajar.
Tidur selepas Isyak tanpa persediaan tidur iaitu berus gigi, cuci muka malah sikat rambut sekalipun akan tidak jadi tidur yang sebenarnya bagi saya. Maka bangun semula untuk menyempurnakan semua itu akan terjadi. Namun acap kali bangun itu sering berlanjutan hingga ke pagi. Sesudah Subuh mula terasa kantuk yang amat sangat. Maka rutin tidur akan berubah 360 darjah.
Terasa letih pula menjadi guru pembimbing bagi Kumpulan 5 Kem Ikhtiar Hidup Tahun 6 pada hari ini. Asalnya hanya bidan terjun menggantikan seorang guru yang perlu bawa murid ke Kursus Frog. Namun paksa rela itu akhirnya jadi best pula setelah bertungkus-lumus menyediakan menu untuk makan pagi dan makan tengahari.
Bestnya dan lebih mencabar lagi kem pada tahun ini adalah ada hadiah menanti para peserta yang menyediakan menu yang sedap dan menarik. Dah rasa macam pertandingan Master Chef la pula.
Menu makan tengahari kumpulan kami adalah ayam goreng berempah, sup ayam, telur dadar, kubis goreng kicap + hati dan pedal, coeslaw serta sambal ayam penyet untuk merealisasikan permintaan Zaim yang nak makan ayam penyet. Walaupun ayam penyet diganti dengan ayam goreng berempah, kira ok la sebab nak menyediakan ayam penyet agak makan masa.
Kelakarnya apabila murid Tahun 4 terutamanya yang datang menonton berkata akan memberi undian kepada kumpulan ustazah sebab ustazah pandai masak..haha. Sebulan sekali ustazah masuk dapur yer wahai anak-anak murid ustazah :) Nyatanya bekas murid kelas saya itu masih akrab dengan saya walaupun pada tahun ini mereka sudah tidak di bawah jagaan saya.
Ustazah sayang hampa.
Keputusan juri akan diketahui pada Ahad ini di assembly. PK1 telah memberi hint pemenang tadi tapi saya masih tidak mahu memberi harapan.
Kalah menang itu adat. Pentingnya adalah semangat berjuang dan berlumba-lumba untuk mempersembahkan yang terbaik antara yang terbaik.
Seronok apabila dapat mengajar anak murid goreng sayur, perap ayam, bersihkan ayam ( mulanya depa geli ), potong-memotong dan menumbuk menggunakan lesung batu.
Wallah pengalaman menarik seorang cikgu dan murid-muridnya.
Posted by EVA SALSABILA at 2:35 PG 0 comments
Jumaat, 12 Oktober 2012
Hasrat seorang ibu.
Emak adalah ratu hatiku. Maklumlah abah sudah tidak untuk aku berbakti maka emaklah sahajalah harta yang aku masih ada untuk pelaburan saham akhirat.
Sehelai blouse waka-waka sudah sampai hadiah buat mak. Mak pernah membeli sehelai blouse itu di Pekan Kemboja namun kerana terlalu besar maka hanya terlipat kemas di dalam almari baju.
Menjadi guru pembimbing murid ke Langkawi juga telah dapat menunaikan impian mak yang mahukan sebuah pan jenama Tehfal untuk menggoreng spagetti. Bersama itu juga adalah set pinggan mangkuk plastik untuk mengganti yang lama sekali dengan mangkuk tambah. Sebelum itu mak hanya meninjau harga di Tesco Selatan.
Puas sebenarnya apabila dapat menunaikan hasrat seseorang untuk memiliki sesuatu. Apatahlagi orang itu adalah ibu sendiri.
Mak tidak pernah meminta sebenarnya walaupun daripada anaknya sendiri. Namun sebagai anak kena faham kemahuan dan impian mak sendiri kerana sepanjang hidup selagi mak masih ada dia sentiasa cuba memenuhi hasrat anak-anaknya walau dalam serba kekurangan dan kepayahan.
Ketika dalam perjalanan memandu pulang dari sekolah saya terfikir jika arwah abah masih ada maka dapatlah saya tunaikan hasrat beliau yang pastinya berkaitan makanan kerana arwah suka makan. Namun perkataan 'jika' tidak boleh digunakan. Oleh itu saya sebagai anak masih ada peluang berikan kesenangan kepada arwah di sana.
Menjadi baik. Terus memperbaiki diri menjadi baik dan sedekah harta atas namanya serta sedekahkan surah Yaasin juga doa.
- Semoga abah bahagia di sana. Disamping Kak Long membahagiakan mak di sini -
* Sedang mencari jalan untuk dana membawa mak dan adik flight ke Padang, Indonesia serta China kerana mak kata teringin nak pergi Padang dan panjat The Great Wall.
- Doakan saya berjaya untuk memenuhi impian mak itu ya kawan-kawan.
Posted by EVA SALSABILA at 1:57 PTG 0 comments
Sabtu, 15 September 2012
Sunnah.
Minggu ini hebat berlaku rusuhan serta demonstrasi di merata negara ekoran protes dan marahnya umat Islam terhadap filem 'Innocence of Muslims'.
Filem Amerika adalah arahan Sam Bacile berketurunan Yahudi yang mana identiti sebenar pengarah tersebut juga diragui.
Presiden Mursyi bercakap agar rakyatnya jangan menimbulkan kekecohan menunjukkan bantahan setelah umat Islam bangkit terutama selepas kematian Duta Besar Amerika di Libya.
Di Malaysia juga tidak terkecuali mengadakan bantahan dengan demonstrasi aman selepas solat Jumaat kelmarin untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Duta Besar Amerika di Kedutaan Amerika di sini.
Demonstrasi aman yang ditunjangi oleh Parti Semalaysia PAS itu berjaya menyerahkan memorandum tersebut dengan selamat.
Namun saya tertarik dengan ayat saudara Amin Idris, pengacara rancangan Assalamualaikum pada pagi kelmarin. Beliau selaku motivator berkata yang mana sebagai umat Islam yang sayangkan Nabi bukan sekadar tempik apabila Nabi dihina tetapi sejauh mana kita sebagai umat baginda yang sayangkan baginda adalah perlu mengamalkan sunnahnya sepanjang masa.
Saya menambah ayat itu dengan sunnah dan sayangkan Nabi bukan sekadar masa tertentu apabila hari kebesaran baginda serta ketika dihina. Selagi hayat kita dikandung badan. Selagi nadi masih berdetak.
Maka sebagai umat baginda saya telah menambah satu lagi koleksi makanan sunnah setelah beransur-ansur saya cuba menerapkan ke semua makanan itu dalam menu pemakanan saya.
Terbaru kini saya telah membeli susu kambing al-Haadad sebagai minuman setiap pagi demi melengkapkan dua gelas susu setiap hari. Selama ini saya hanya mengamalkan dua gelas susu lembu kotak. Namun saya bertekad untuk amalkan juga susu kambing setelah mengetahui kelebihannya berbanding susu lembu.
Lama saya berhenti minum susu kambing di waktu kewangan masih belum stabil. Sewaktu itu saya mencuba Hi Goat keluaran HR Marketing.
Kini saya kembali untuk istiqamah dengan susu kambing setelah saya dapat istiqamah dengan habbatul sauda, madu dan cuka epal.
Kini juga saya minum bancuhan sana,' dan sanut bercampur madu setiap pagi. Adakalanya minum juga waktu malam apabila terasa perut berangin.
Alhamdulillah dengan izin-Nya masalah angin, toksin dan bintik kecil di muka juga semakin hilang. Disamping mendapat pahala dengan mengamalkan sunnah, sepertimana kata Ustaz Ghazali adik kepada arwah Ustaz Asri dalam segmen iklan madu Khall dalam rancangan Assalamualaikum Tv al-Hijrah.
Biarlah sedikit asalkan buat.
Posted by EVA SALSABILA at 7:50 PTG 0 comments
Khamis, 13 September 2012
Pantai Timur owh pantai timur
Impian warga sekolah untuk shopping dalam sesi rombongan ke Kelantan dan Terengganu musnah setelah tengahari ini drebar bas memaklumkan yang basnya rosak.
Setelah beberapa kali perancangan tidak jadi sehingga tahun lepas saya terpaksa join rombongan sekolah kawan untuk bawa mak dan adik makan angin di Singapura, namun kali ini yang hampir terealisasi sekali lagi telah musnah.
Tidak senang hati di hari terakhir sebagai pengawas UPSR di SK Permatang Tok Dik menjadi berganda apabila padatnya waktu perlu rushing dari sekolah ke rumah dan ke sekolah semula di malam hari. Namun semuanya itu berganti dengan perubahan automatik 360 darjah.
Semua warga sekolah berubah wajah apabila persediaan 90% sudah siap. Tunggu naik bas malam ini sahaja. Saya pun mulanya agak terkedu mengenangkan emak dan adik kerana keutamaan saya adalah membawa kedua-duanya makan angin. Namun hakikatnya itulah hikmah.
Malam ini hujan lebat. Lebih selesa di rumah menonton tv bersama keluarga dari terjaga dari mimpi di Grik kerana risaunya gaung yang dalam ( pengalaman 3 tahun ke Terengganu menaiki bas waktu malam ).
Bagi mengubati sedikit kesedihan adik maka kami menjamu selera di The Chicken Rice Shop. Hakikatnya nasi tiada di rumah kerana perancangan untuk makan dalam perjalanan.
Kita hanya mampu merancang namun perancangan Allah itu yang terbaik mak a berlapang dadalah dengan perancangan Allah.
Posted by EVA SALSABILA at 10:31 PTG 0 comments
Jumaat, 7 September 2012
Santai
Cuti sehari membawa diri, mak dan adik menenangkan badan dan fikiran dari rutin kerja serta belajar buat sementara waktu. Rehat minor sebelum berehat major pada minggu hadapan. Rehat pon ada major dan minor ? :).
Kami jarang makan di luar melainkan apabila melancong. Namun sekali-sekala mencuba juga makanan-makanan di restoran berdekatan. Apatah lagi jika tiada makanan di rumah.
Berjalan-jalan di Village Mall menemukan kami dengan sebuah restoran Thai di tingkat atas sekali setelah bertemu dengan kerusi urut untuk mak merehatkan badan setelah seminggu bekerja di rumah sambil menyiapkan tempahan kek cawan semalam. Makanan yang agak mahal namun agak sedap maka rasa berbaloilah juga dengan harganya. Terubatlah sedikit emosi dan minda yang murung akibat cuti hanya sehari.
Sesekali saya ingin menulis dengan cara santai :)
Posted by EVA SALSABILA at 10:35 PTG 0 comments
Isnin, 20 Ogos 2012
Syria vs Malaysia
Dalam banyak-banyak video yang saya tonton akan kekejaman Basyar Assad terhadap rakyat Syria, video ini telah membuatkan saya menangis. Apa bezanya video ini dengan video-video yang telah saya saksikan ???
Tiada banyak bezanya. Paparan darah memenuhi bumi. Laungan kalimah 'Allahu akbar' oleh mujahidin Syria serta suara tangisan wanita serta kanak-kanak memenuhi segenap alam. Sedih. Suram. Muram. Duka. Derita.
Saya saksikan video ini kerana admin page syria.care ini menyatakan beliau menangis menyaksikan video ini. Ya, benar, saya juga menangis. Namun menangis saya bukan kerana seorang lelaki yang dibom terburai segala isi perut dan organnya. Juga bukan kerana seorang kanak-kanak yang pecah tempurung kepalanya namun yang paling utama adalah akibat kita di sini tidak berasa apa yang kini mereka sedang rasa maka kita kian jauh dari Allah. Sedangkan mereka kian akrab dengan Allah dan sememangnya Allah lebih memilih mereka untuk menghampiri-Nya.
Allahu akbar.
Ya Azim. Di sini anak muda liat untuk bangun solat Subuh. Sedangkan pemuda sana tidak pernah lelap tidur kerana berjaga-jaga mempertahankan akidah, iman, darah dan tanahair dari dimusnahkan oleh bajingan Basyar.
Ya Rahman. Di sini rakan-rakan rancak memuat turunkan segala bagai juadah hari raya yang sedap-sedap belaka. Sedangkan rakan-rakan di sana memuat turunkan para syuhada yang bergelimpangan sebagai juadah Basyar serta bajingannya yang mahu melesapkan Sunni.
Ya A'lim. Di sini rakan-rakan cantik bergaya dengan pakaian indah di pagi raya. Sedangkan di sana hanya kain kafan sebagai pengganti baju raya.
Ya Fattah. Di sini pakat berposing cantik. Bergambar raya kenangan. Sedangkan di sana mereka masih berusaha memuat turunkan gambar serta video rakyat Syria terseksa dengan jasad yang telah terburai, hancur dan luka parah untuk disebarkan ke seluruh dunia agar dunia tahu kekejaman Basyar yang cuba disembunyikan.
Ya Rahim. Lidah dan hati mereka basah menyebut namamu. Sedangkan lidah dan hati anak muda sini lagha mendendangkan lagu raya.
Kita telah banyak lagha dengan kesengan yang dikecapi sehinggakan ayat yang sering kita dengari adalah,"Bersyukurlah dengan keamanan yang kita miliki."
Ya, bersyukur. Namun bersyukur dengan kita membiarkan mereka sahaja berjuang untuk tanahair mereka. Sedangkan kita mengaku satu akidah, syahadah yang sama yang mana ikatannya adalah saudara seakidah.
Malu untuk mengaku bersaudara apabila mereka menderita. Sedangkan kita sudah sampai tahap membazir dan mengabaikan nasib mereka.
Posted by EVA SALSABILA at 8:04 PG 0 comments
Jumaat, 17 Ogos 2012
Salam Eid Mubarak
Posted by EVA SALSABILA at 8:23 PG 0 comments
Selasa, 24 Julai 2012
Kuingin syurga-Mu
Kali ini saya menulis kerana saya suka berkunjung ke beberapa buah blog dan membaca hasil nukilan tuan-tuan punya blog tersebut. Boleh dikatakan setiap hari. Jika tiada entry maka saya akan sedikit kecewa. Maka saya terfikir adakah pengunjung setia blog saya yang ke sini setiap hari untuk membaca dan mempunyai perasaan yang sama seperti saya apabila tiada entry baru berbulan-bulan lamanya.
Saya seperti sudah abaikan blog ini. Jumlah entry pada setiap bulan juga boleh dihitung dengan jari hanya di sebelah tangan. Walaupun masih ada berkunjung yang meninggalkan jejak di ruang chat box yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama namun rasanya seperti hanya memuji dan melihat ruang blog ini yang berwarna-warni dengan widget berkelip-kelip serta pemandangan gunung dilatari biru putih awan yang sememangnya indah.
Namun hakikat nukilan di sini barangkali hanya dipandang sipi walau saya masih berdoa sekadar widget asmaul husna serta tasbih, tahmid dan takbir yang melatari ruang atas blog ini mampu menjadi penyebab terusik hati pengunjung non Muslim untuk terus mencari hidayah dan kebenaran tentang Islam.
Itu doa saya walau nampak kecil tetapi besar nilainya terutama pada pandangan Allah.
Saya semakin dewasa untuk menceritakan setiap detik yang berlaku dalam hidup seharian. Adakala malu hendak berkongsi segalanya dengan pembaca. Namun saya amat kesali sedikit apabila nilai yang dulu saya selalu tekankan dalam penulisan juga saya tidak siramkan. Amat jarang sekarang ini memandang sesuatu dengan nilai. Jika pun ada bagi saya hanya sekadar biasa-biasa yang tidak perlu dikongsikan di sini dan di mana-mana.
Saya lebih memandang realistik tidak kiralah peristiwa dunia yang seringkali saya sharekan di fb untuk kawan-kawan. Syria, Mesir, Burma dan serata pelosok dunia yang menjadi tumpuan lensa masyarakat dunia. Dahagakan perkembangan terkini berkaitan saudara-saudara seakidah yang tertindas bersama hembusan doa akan segala penderitaan mereka itu berakhir secepat mungkin.
Saya lebih terasa kebersamaan mereka dengan cara ini sehingga terbawa-bawa ke dunia tidur.
Bermimpi berada di dua buah negara dalam sengketa yang ditindas dalam satu malam membuatkan saya lelah apabila terjaga. Dapat merasai sedikit getar apabila nyawa berada di penghujung ketika muncung senjata sentiasa dihunus. Berlari dari satu kampung ke satu kampung bersama keluarga untuk menyelamatkan diri. Penat dan letih namun itulah realiti yang terpaksa mereka harungi setiap detik di sana.
Layaklah syurga terbuka buat mereka dengan bidadari tersenyum menanti.
Sedangkan kita mengharapkan syurga namun bersenang-lenang dengan segala macam makanan juadah berbuka. Berpasang-pasang baju raya ditempah. Berhajat membeli segala macam persiapan lagi untuk Aidilfitri. Kasut, jam dan barang kemas. Termasuk juga perhiasan rumah yang diganti baru kesemuanya.
Malunya.
'Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga-Mu. Namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu. Ampunkan dosaku terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar.'
Posted by EVA SALSABILA at 9:39 PTG 0 comments
Rabu, 18 Julai 2012
Repeat again n again
Hari-hari p&p guru yang bersemangat. Umpama guru praktikum apabila kalut menyediakan BBM di waktu terluang tanpa pedulikan perut yang berkeroncong.
Saya suka apabila berkeadaan begini..haha.
Saya sudah tidak peduli apabila kembali menjadi guru j-QAF tunggal di sekolah. Buat sekadar terdaya. Jika terlalu pulun sehingga tiada masa untuk diri sendiri dan keluarga membuatkan saya tension.
Namun dalam kalut menyediakan BBM, setiap kelas yang dimasuki seperti tongkang pecah. Sampah dari depan sehingga ke belakang kelas. Saya hanya sempat menyelenggara kelas sendiri sahaja. Itu pun tiga kali pada hari ini menyapu dan mengemas kelas. Pagi, tengahari dan waktu pulang. Aduyai..mau pitam cikgu kalo tiap-tiap hari ini macam.
Kesedaran. Ya kesedaran. Murid-murid masih belum punya kesedaran yang tinggi untuk membersihkan kelas tanpa diarah dan pantauan guru. Maka sebagai guru, saya tidak boleh putus asa untuk terus memberi kesedaran kepada mereka agar sikap itu terpahat dalam diri mereka sampai dewasa.
Seperti itu jugalah dakwah yang pastinya tiada penghujung selagi nyawa masih di badan. Jangan berkata tidak sebelum benar-benar mencuba sedaya-upaya.
"Malu pada bangsa cina walaupun mereka non Muslim tapi mereka mementingkan kebersihan dan menjadikan kebersihan agenda no satu dalam peningkatan disiplin sekolah,"kata saya kepada PK1 merujuk bekas GB Tionghua.
Ya di waktu itu murid-murid tidak putus mengucapkan salam. Tidak kurang yang berlumba-lumba datang mengangkat beg dan barang guru serta mengutip sampah di serata tempat dalam kawasan sekolah.
Saya rindu waktu itu.
Pernah sekali sebagai guru bertugas mingguan saya berucap mengingatkan kembali murid-murid tentang disiplin yang pernah diterapkan kepada mereka beberapa tahun lepas. Ada sedikit perubahan. PK1 juga menguacapkan terima kasih apabila saya memperingatkan kembali nilai tersebut. Namun ia kembali dilupai apabila sudah beberapa bulan ucapan itu berlalu.
Hakikat manusia. Perlu diingatkan dan diulangkan kerana manusia seringkali lupa.
Itu yang para Rasul, sahabat, ulama, guru, ustaz sering lakukan. Mengulang ingatkan kebaikan serta mengamalkannya.
Posted by EVA SALSABILA at 4:47 PTG 0 comments
Sabtu, 14 Julai 2012
Ramadhan Malaysia vs Mesir
Lagi seminggu umat Islam akan menyambut Ramadhan.
Umat Islam sekarang kian punya kesedaran apabila kurangnya iklan sambut raya sempena sambut Ramadhan. Sale tetap ada namun tidak banyak. Dunia sekarang menyaksikan Islam kian bangkit walau dalam kancah maksiat dan kecelaruan akidah serta politik yang tidak surut. Satu perkembangan yang baik.
Islam pasti menang dan dijulang.
Saya tertarik pada satu post Wardina yang dicopy paste dari post kawannya. Buffet Ramadhan yang tidak akan dilayan apabila mengenangkan saudara seakidah di seluruh dunia ada yang tidak punya makanan untuk bersahur dan berbuka.
Sedih juga apabila juga apabila ada seorang rakyat Somalia bertanya kepada seorang ustaz tentang sah atau tidak puasa mereka yang tidak bersahur dan berbuka kerana tiada makanan.
Maka insaflah wahai sahabat.
Bersahur dan berbukalah ala kadar.
Usah diganti cadar, langsir, perabut dan alat elektrik baru jika yang lama masih elok.
Usah beria dengan berpasang-pasang baju raya.
Usah membazir dengan kuih raya sehingga meninggalkan jemaah Tarawih di masjid dan surau.
Itu hanya adat. Bukannya sunat.
kerana...
Allah tidak memandang itu semua pada hamba-Nya
Dipandang-Nya adalah nilai ibadah yang ikhlas kepada-Nya.
Bersedekahlah sehingga tangan kiri tidak nampak tangan kanan yang memberi.
Bangunlah di sepertiga malam dengan rasa kehambaan.
Muhasabah dan ubah sikap dan peribadi dari negatif ke positif serta jadikan Ramadhan bulan tarbiah untuk
terus istiqamah pada bulan seterusnya.
Jika Ramadhan tahun-tahun lepas kita mujahadah dan buat Palestin. Pada tahun ini kita mujahadah dan panjangkan doa buat saudara kita di Syria dan Burma.
Saya juga seperti Ustaz Don rindu sambutan Ramadhan di Mesir ( rujuk majalah Anis keluaran Jun 2012 ). Arab yang menyambut datangnya Ramadhan melebihi sambutan Aidilfitri kerana itulah sunnah.
- Sambutan yang meriah dengan lampu yang disambung dari bangunan ke bangunan. Di Malaysia hanya ada kain rentang 'Sale' dibangunan-bangunan pasaraya, hypermarket dan kedai.
- Rata-rata masjid meriah dan sesak dengan jemaah Tarawih sehingga kita rasa tidak mahu ketinggalan merebut pahala berjemaah. Di Malaysia masjid hanya penuh di awal Ramadhan. Pertengahan kian surut. Hujung hanya tinggal imam dan 2 saf.
- Terasa ukhuwwah Islamiah apabila saf rapat antara individu ke individu. Malah ada arab yang menarik kita merapatinya. Jika di Malaysia kita cuba rapat dan akan dihindarkan kerana mereka rasa sempit.
- Rata masjid ada hartawan dan orang kaya buat majlis iftor. Bagi orang miskin tiada masalah berbuka hanya di masjid. Di Malaysia buat kenduri sambut puasa sebelum puasa sedangkan waktu ini masih banyak makanan.
- Keluar masjid ada yang menghulur pek-pek makanan untuk para jemaah. Di Malaysia makanan moreh berlambak dan ada yang terbuang.
- Selesai solat witir ada yang menghulurkan zakat buat golongan asnaf zakat. Di Malaysia zakat sering diagihkan secara tidak betul dan ada mengambil kesempatan menyamar sebagai Amir zakat.
Doa saya agar Ramadhan tahun ini di Malaysia lebih baik dengan perubahan yang baik.
Posted by EVA SALSABILA at 10:59 PG 0 comments
Rabu, 4 Julai 2012
Islam menang
Kemenangan yang tertunda sejak penubuhan serta melatih kader-kader yang cintakan Allah serta impikan syahid melalui jalan jihad dengan mengorbankan kesenangan dunia. Bergelumang dengan kemelut penderitaan dan kesusahan demi sebuah hadiah syahid yang mana darah pun akan berbau kasturi.
Kemenangan yang akan memberi sinar pencerahan buat rakyat Palestin dan Syria yang ramai terkorban sejak dizalimi. Itu antara kata-kata yang diluahkan oleh Dr Mursyi. Maka rakyat Gaza sendiri bersorak gembira seperti menyambut tahun baru apabila diumumkan Dr Mursyi memenangi pilihanraya dan menjadi Presiden Mesir.
Kemenangan yang dirai oleh seluruh umat Islam di dunia yang dalam hati menolak kebatilan walau sebesar hama. Sehingga ke hari ini masih bercakap tentang kemenangan itu di laman-laman sesawang. Keterujaan setelah berpuluh tahun bergelut dengan penindasan dan melihat kezaliman seluruh dunia ke atas umat Islam yang dimonopoli oleh Zionis.
Jalan perjuangan masih panjang. Masih belum terhenti walaupun kemenangan sudah diraih kerana bagi umat Islam yang berjuang atas nama Islam dan kerana Allah tidak akan ada noktah berhenti ketika kalah dan menang. Malah liku perjuangan ini akan diselirati dengan ranjau yang kian berliku.
Doakan buat Dr Mohamad Mursyi serta kader-kadernya agar dapat menyirnakan Islam di mata dunia.
Sepertimana kita perlu gilap dan sirnakan kembali Iman dalam diri yang adakala kendur dimamah noda yang tanpa sedar merebak dalam hati.
Islam terus dijulang.
Posted by EVA SALSABILA at 10:46 PTG 0 comments
Rabu, 20 Jun 2012
Data siput vs Pesta Buku Kedah 2012
Relax sebentar dari tekanan kerja yang menimbun untuk diselesaikan. Dateline semakin dekat. Semua perlu disiapkan dan dihantar dalam satu masa yang sama. Fuhh.. Kerjaya guru mencabar di awal, tengah dan hujung tahun. Maka sepanjang tahunlah guru sibuk :)
Guru yang bukan sekadar mengajar tetapi juga perlu mengisi pelbagai data. Data yang sering membuang masa kerana tidak mempunyai sistem perisian data yang baik. Sesak dan semput apabila para guru akses masuk ke dalamnya. Menguji iman apabila terpaksa akses lebih daripada sekali, dua dan tiga kali. Masuk kali keempat tutup dan langsaikan kerja lain yang menanti. Itu lebih baik daripada membiarkan hati terus panas :) Mencari peluang di waktu pengguna kurang dari 1000. Itu lebih baik. Waktu semua guru tidur itu yang terbaik.
"Hmm..nak tidoq dulu, pukui 12 nak bangun isi pulak," ujar guru di sekolah setelah kecewa tidak dapat akses masuk selepas mencuba berkali-kali.
"Akak..sms atau misscall kejutkan saya sama ya," ayat yang seringkali dituturkan zaman pelajar dahulu untuk study last minute."
****************************
Cerita lebih relax adalah esok akan berlangsung Pesta Buku Kedah di Village Mall.
Wah ! banyak betul pesta di sini sekarang. Dua hari ini telah berlangsung Himpunan usahawan mikro, kecil dan sederhana di UITM Merbok yang dihadiri oleh TPM Muhyiddin Yaasin serta Mukhriz Mahathir.
Balik sekolah esok mahu singgah sebentar di Village Mall menjenguk apa yang menarik di sana.
Posted by EVA SALSABILA at 10:07 PTG 0 comments
Isnin, 18 Jun 2012
Misr jadid
![]() |
| Seorang presiden huffaz |
Sejak dari semalam telah mula debaran apabila pengiraan undi bagi 2 calon di Mesir bermula. Sebelum tidur dengan harapan dan doa agar kemenangan berpihak kepada Dr Mursyi. Bangun pagi tadi juga masih berdoa dengan doa yang sama. Sehingga ke sekolah juga masih menanti pengiraan dengan debaran masih kuat. Sengit seperti pasukan bola kegemaran berada di ambang penalti.
Harapan yang kuat untuk kemenangan yang julung kalinya buat presiden Mesir dari jemaah Ikhwanul Muslimin. Seorang huffaz. Seorang yang meletakkan dirinya sama rata dengan semua rakyat Mesir tidak kira samada penyokong dan penentang dalam ucapan pertama kalinya selepas diumum kemenangan secara tak rasmi.
Majoriti post rakan-rakan fb menyatakan sokongan serta ucapan hamdalah. Tidak kira rakyat Mesir sendiri dan rakan-rakan seluruh negara. Seperti saya ternampak senyuman setiap rakan yang menaip aksara gembira itu walaupun Khamis ini pengumuman secara rasmi segala-galanya boleh terjadi. Zionis terlalu banyak agenda berserta tipu muslihatnya untuk menjatuhkan umat Islam yang benar-benar Muslim.
Seteliti mana pun perancangan manusia namun perancangan Allah itu lebih mengatasi segala-galanya.
"Akak..kun fayakun pasti mengubah segalanya," ayat seorang rakan menghilangkan sedikit debaran di hati.
Menanti Khamis ini lebih lama dan lebih rasa debarannya dari menanti 18hb baru ini apabila mendapat info penghantaran data e-laporan yang belum satu pun diisi ketika itu. Fuhh..penuh debaran.
![]() |
| Sorakan gembira rakyat di semenanjung Gaza |
Walau hanya sekadar pengumuman tidak rasmi sudah cukup membuatkan rakyat semenanjung Gaza bersorak gembira kerana mereka seperti baru menerima hujan di bumi yang telah sekian lama kemarau. Tersentuh dengan situasi itu.
Kemenangan pada hari ini masih belum ada noktah untuk sebuah kegembiraan kerana segala-galanya di tangan Allah pada Khamis ini.
Ditakdirkan Allah memberi kemenangan segala tindak-tanduk jahat puak lawan akan patah dan bermulalah satu perjuangan buat para pejuang penyambung Rasulullah menegakkan agama Allah atas muka bumi ini.
Ditakdirkan Allah menangguhkan kemenangan bermakna Allah menghendaki gandakan usaha kerana-Nya. Betulkan niat serta luruskan saf-saf kepimpinan serta jemaah ( sebenarnya saya tidak sanggup hendak menaip tentang kekalahan )
Jika ada yang berkata bahawa kemenangan ini bukanlah kemenangan utamanya Ikhwan Muslimin dan Dr Mursyi yang bakal presiden perlu menjalankan tanggungjawab selaku presiden namun bagi saya kemenangan atas tiket jemaah seperti Ikhwan Muslimin yang benar-benar Muslim nantikan selama ini.
Sejarah penubuhan jemaah ini berserta presidennya sudah kita ketahui mempunyai pegangan dan hubungan yang kuat dengan Allah. Sejak dahulu sehingga kini mereka ditarbiah untuk mendekati Allah dalam kesederhaan hidup.
Dalam van pulang dari Mansyiah, saya duduk berhadapan dengan seorang lelaki Ikhwan Muslimin. Sekali pandang terlalu jernih wajahnya. Duduknya tanpa sedikit pun memandang wanita di hadapan ( terasa hinanya diri memandangnya walau hanya sebentar walau perhatinya saya untuk lebih memahami gaya orang sana ). Lidahnya tetap berzikir dengan wajah menunduk ke bawah tanpa mata liar melilau ( sekali lagi bersalah menerpa melilau pandangan walau melilau itu untuk lebih mengenali negara sana berserta budayanya )
Itulah pemuda hasil tarbiah Jemaah Ikhwan Muslimin yang membuatkan hati saya hendak meminang pemuda yang sebegitu zuhudnya pada dunia.
Posted by EVA SALSABILA at 11:14 PTG 0 comments
Sabtu, 16 Jun 2012
Rohingya dipandang sepi
Luangkan masa untuk mengambil tahu akan hal umat Islam seluruh dunia.
Cuba fahami permasalahan mereka. Renungkan sebab, motif, hikmah dan iktibar dari itu.
Ringankan tangan menghulur bantuan selaku umat yang sama akidah.
Selitkan mereka dalam setiap doa.
Kita bukan sekadar hidup seorang diri sahaja. Kita hidup dikelilingi manusia yang ramai. Pelbagai jenis
ragam, perilaku dan corak hidup.
Maka kita tidak boleh sama sekali hidup tanpa memandang dan mengambil hal orang lain. Bukan
bermakna mengambil tahu dengan sibuk akan setiap incinya namun mengambil tahu untuk meringankan
bebanan yang dipikul.
Bantu sedaya-upaya dengan apa yang ada bakal mengubah walaupun sedikit corak penderitaan daripada
buat-buat tidak nampak dan buat-buat tidak tahu kerana beranggapan kita hanya kita. Duit yang kita
adalah hak kita. Doa yang kita panjatkan adalah sekadar untuk kita dan orang yang kita sayang. Tenaga
kita adalah sekadar untuk kesenangan kita.
*** Saya tidak sanggup melihat foto sekampung orang-orang Rohingya yang mati hangus keras secara
beramai-ramai ***
Posted by EVA SALSABILA at 8:56 PG 0 comments
Jumaat, 8 Jun 2012
Kempen 1 Hari 1 Buku
'Kempen 1 Hari 1 Buku' telah saya lancarkan untuk diri sendiri :)
Kempen ini telah saya lancarkan pada minggu kedua cuti persekolahan pertengahan tahun ini dek setiap hari melihat susunan buku-buku yang K.Ngah kendong masa PBAKL pada tahun ini. Tak cukup dikendong maka diposkan pula oleh syarikat-syarikat yang terbitkan buku tersebut. Kagum betul dengan adik seorang itu. Dia beli dan K.longnya hanya membaca.
Berada dalam bilik sempit rumah RM25,000 ini seperti berada di dalam library yang ditimbunkan dengan buku-buku yang banyak. Saya suka :) Impian kami bakal menjadi kenyataan. Cuma rasanya perlukan rumah dan ruang yang lebih luas untuk penyimpanan buku yang pastinya kian bertambah. Bayangkan setiap tahun ke PBAKL mengangkut berdozen buku. Ditambah lagi bulanan mengangkut pula dari MPH dan Hasani. Sampaikan takut nak masuk Book Store :)
Dalam 'Kempen 1 Hari 1 Buku' yang baru saya lancarkan, saya telah berjaya menghabiskan 6 buah buku. Satu pencapaian yang baik disamping melangsaikan tanda kertas periksa, memasukkan markah ke dalam SAPS serta beberapa tugasan yang remeh-temeh.
Tidak tahu bagaimana perjalanan kempen ini apabila sekolah buka minggu depan. Terbayang depan mata akan lambakan kerja yang hendak diselesaikan dalam masa yang sama.
Semoga ada keberkatan waktu untuk saya terus laksanakan kempen ini dengan jayanya. Chaiyok..chaiyok.
"Kenapa la takde program Nilam untuk para guru ???" tanya Cikgu Sains sekolah yang juga pasti membawa buku ketika perhimpunan setiap Ahad.
"Jika ada saya nak senaraikan nama top ten dalam ramai-ramai yang suka membaca kak," ujar saya melawak sambil dalam hati saya berkata dengan nada serius.
*** Saya rasa bersalah pada kitab-kitab yang saya beli di Ardul Kinanah dulu kerana masih belum habis membacanya ***
Posted by EVA SALSABILA at 9:45 PG 0 comments
Khamis, 31 Mei 2012
Idola : Zainab al-Ghazali
Perlu jadi yang luar biasa untuk mendapat tempat yang luar biasa di akhirat kelak..!!!"
- Zainab Al-Ghazali -
Inilah wanita yang saya kagumi. Saya cuba mencarinya di Mesir ketika di sana untuk bersua dan memeluknya namun Allah tentukan saya mengenali dan mendekatinya hanya melalui buku 'Hari-hari dalam hidupku' sahaja.
Namun buku itu hanya saya pinjam dari library Mukhtafi Billah Shah Kusza ketika belajar di sana. Novel yang sudah separa lusuh itu saya hadam di hamparan pantai Batu Buruk. Pantai antara tempat yang saya suka juga diabaikan kerana saya lebih mengagumi wanita hebat ini sehingga ada sahabat-sahabat yang berasa hairan dan memanggil-manggil agar saya menyertai mereka.
Ceritanya membuatkan saya kagum. Namun yang lebih saya kagum adalah semangatnya serta sifatnya yang berani, kental, teguh, sabar, tidak mudah menyerah kalah dan mempunyai keyakinan yang jitu pada Allah. Selain hubungannya dengan Allah yang kita sedia maklum ahli Ikhwanul Muslimin adalah terpilih yang mempunyai al-Quran dalam hati, istiqamah pada tahajjud serta puasa sunat.
Saya jadikan ayat beliau di atas sebagai pegangan yang saya letakkan dalam info diri dalam fb sejak sekian lama saya tidak ubah dan insyAllah saya tidak akan ubah kerana kata-kata itu cukup untuk diri saya mendepani hidup ini.
Patutlah saya menyebut-nyebut namanya serta mengingatinya semenjak dua dan tiga hari ini kerana pada malam ini saya bertemu dengannya di alam kaku.
*** Semoga armarhumah bahagia di alam sana ***
Posted by EVA SALSABILA at 10:09 PTG 0 comments
Rabu, 30 Mei 2012
Berkongsi dengan DIA
Adakala kita tidak rasa nak cerita apa dirasa.
Adakala kita tidak tahu bagaimana nak menggambarkannya.
Adakala kita rasa lebih baik rasa itu terbelenggu dalam hati dan diri sahaja.
Jika itu yang kita rasa maka ada baiknya kerana kita hanya perlukan Allah untuk meluahkan segala-galanya. Kepada Dia kita mengadu dan bercerita. Kepada Dia jugalah kita pohon agar rasa ini diubati dengan penawar sehingga memulihkan kembali perasaan dan semangat kita.
Kita ada Dia tetapi kita selalu terlupa apabila kita berduka.
Kita ada Dia tetapi kita selalu terlupa apabila kita memerlukan pertolongan sedangkan Dia menunggu kita
meminta pertolongan-Nya.
Mari kita jadi hamba-Nya yang senantiasa ingat Dia di masa gembira dan duka. Berkongsi dengan Dia dahulu akan segala rasa kerana Dia yang hadirkan rasa ini maka Dialah yang dapat membantu menyelesai dan menghilangkannya.
*** Bermuka manis ketika jiwa duka itu lebih baik ***
Posted by EVA SALSABILA at 9:31 PTG 0 comments
Sabtu, 26 Mei 2012
Tokoh dunia realiti
Kelmarin saya kagum dengan watak Jun Shi Kim lakonan Jang Dong Gun yang membalas permusuhan dengan nilai persahabatan. Ada sedikit rasa tersentuh dengan watak Hasegawa Tatsuo lakonan Joe Odagiri yang mulanya mencetus permusuhan lalu dapat menerima huluran persahabatan sehingga dapat merealisasikan impian musuh itu dalam hidupnya.
Kedua-dua watak itu hanya dalam lakonan filem hebat My Way yang sudah saya ulang tontonnya pada hari ini. Nama pun lakonan dan pelakon. Maka untuk watak lain mereka akan berkarakter lain. Pasti ada yang dikagumi dan disukai. Tak kurang akan ada karakter yang dibenci.
Hakikat mereka di luar barangkali ada persamaan atau berbeza sama sekali. Oleh itu, buang karan sahaja mengagumi pelakon. Mengagumi watak boleh juga diguna pakai dan diadaptasi dalam hidup. Tidak sepenuhnya barangkali 10% boleh.
Hari ini saya mengagumi tokoh ini secara peribadi. Bukan pelakon. Bukannya lakonan. Realiti peribadi dan hidupnya.
Kenali Dr. Mohd. Mursi (calon IM utk Presiden Mesir):
1. Satu-satunya calon yang mana dia, isteri dan 5 anaknya menghafaz al-Quran
2. Satu-satunya calon yg berjanji di hadapan Allah dan rakyat utk melaksanakan syariat Islam
3. Satu-satunya calon yg pernah mengajar di 5 buah universiti antarabangsa
4. Satu-satunya calon yg pelbagai artikelnya diterbitkan oleh NASA
5. Satu-satunya calon yg pernah terpilih sebagai ahli parlimen terbaik di dunia dari tahun 2000-2005.
6. Satu-satunya calon yg tidak mencalonkan dirinya untuk jawatan tetapi dipilih oleh syura.
7. Satu-satunya calon yg memperolehi sokongan dari pergerakan cendikiawan terbesar Mesir iaitu Islamic Legitimate Body of Rights and Reformation
8. Satu-satunya calon yg berdiri di belakangnya parti politik terbesar Mesir iaitu Perti Kebebasan dan Keadilan
9. Satu-satunya calon yg berdiri di belakangnya Jamaah Islam terbesar di dunia iaitu Jamaah Ikhwan Muslimin.
10. Satu-satunya calon yang memiliki sebesar-besar projek pembangunan dan mengabungkan 1000 orang pakar dalam semua bidang kepakaran.
Mari sama-sama kita teruskan berdoa untuk kemenangan tokoh ini agar bukan sekadar rakyat Mesir mendapat pembelaan. Malah cahaya juga akan menerangi rakyat Gaza.
Takbirrrrrrrrrrrrrrr. Allah hu akbar !!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
*** Jawapan saya pada yang bertanya siapakah calon pilihan saya adalah yang peribadinya, sifatnya, sikapnya dan akhlaknya menghampiri Rasulullah s.a.w.
Posted by EVA SALSABILA at 6:29 PTG 0 comments
Jumaat, 25 Mei 2012
Tuba dibalas madu
3 jam saya terpaku depan tv menonton filem ini melalui Astro First. Berbaloi untuk langganan RM15 untuk 48 jam.
Kisah permusuhan yang berakhir dengan persahabatan dek kerana kebencian dibalas kasih-sayang.
Lalu ingatan saya pusing ke belakang. Ingat kepada Rasul junjungan mulia. Itulah sifat dan akhlak baginda yang ditonjolkan untuk teladan ummah. Namun kita ummah yang sering lupa dan abaikan akhlak tersebut kerana terlalu menurut hawa amarah yang membelenggu. Sukar untuk tenang apabila diherdik. Sering membalas apabila dihina.
Itulah akhlak kita yang sering terburu-buru. Sukar sabar di permulaan. Hanya sejuk dan sedar apabila di tengah dan akhir yang adakala semuanya telah musnah. Nasi sudah menjadi bubur.
Janganlah kerana perselisihan pendapat ukhwah ummah terlerai. Janganlah kerana ideologi berbeza ukhwah terpecah. Tanpa kita sedar makhluk api bertepuk tangan. Makhluk tanah yang tidak menyembah Yang Esa tersenyum ria.
Walaupon sedih hero yang menukar permusuhan dengan kasih-sayang itu tumpas dan mati namun tetap terukir senyuman apabila musuh yang akhirnya akrab itu berjaya menunaikan hasrat dan cita-cita hero yang berkorban sehingga ke akhir hayat itu.
Tahniah buat Korea yang berjaya bikin satu filem yang ada nilai untuk dihayati dan diadaptasi dalam hidup. Walaupon mereka non Muslim namun mampu laksanakan nilai untuk dihayati. Bukan sekadar tontonan hiburan.
*** Memaafkan musuh itulah yang terbaik. Saya sering nasihatkan diri tentang ini. Sering tersasar namun saya akan cuba sehingga berjaya. Doakan saya agar terus dapat istiqamah dengan akhlak ini ***
Posted by EVA SALSABILA at 9:36 PTG 0 comments




















