Kali ini saya menulis kerana saya suka berkunjung ke beberapa buah blog dan membaca hasil nukilan tuan-tuan punya blog tersebut. Boleh dikatakan setiap hari. Jika tiada entry maka saya akan sedikit kecewa. Maka saya terfikir adakah pengunjung setia blog saya yang ke sini setiap hari untuk membaca dan mempunyai perasaan yang sama seperti saya apabila tiada entry baru berbulan-bulan lamanya.
Saya seperti sudah abaikan blog ini. Jumlah entry pada setiap bulan juga boleh dihitung dengan jari hanya di sebelah tangan. Walaupun masih ada berkunjung yang meninggalkan jejak di ruang chat box yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama namun rasanya seperti hanya memuji dan melihat ruang blog ini yang berwarna-warni dengan widget berkelip-kelip serta pemandangan gunung dilatari biru putih awan yang sememangnya indah.
Namun hakikat nukilan di sini barangkali hanya dipandang sipi walau saya masih berdoa sekadar widget asmaul husna serta tasbih, tahmid dan takbir yang melatari ruang atas blog ini mampu menjadi penyebab terusik hati pengunjung non Muslim untuk terus mencari hidayah dan kebenaran tentang Islam.
Itu doa saya walau nampak kecil tetapi besar nilainya terutama pada pandangan Allah.
Saya semakin dewasa untuk menceritakan setiap detik yang berlaku dalam hidup seharian. Adakala malu hendak berkongsi segalanya dengan pembaca. Namun saya amat kesali sedikit apabila nilai yang dulu saya selalu tekankan dalam penulisan juga saya tidak siramkan. Amat jarang sekarang ini memandang sesuatu dengan nilai. Jika pun ada bagi saya hanya sekadar biasa-biasa yang tidak perlu dikongsikan di sini dan di mana-mana.
Saya lebih memandang realistik tidak kiralah peristiwa dunia yang seringkali saya sharekan di fb untuk kawan-kawan. Syria, Mesir, Burma dan serata pelosok dunia yang menjadi tumpuan lensa masyarakat dunia. Dahagakan perkembangan terkini berkaitan saudara-saudara seakidah yang tertindas bersama hembusan doa akan segala penderitaan mereka itu berakhir secepat mungkin.
Saya lebih terasa kebersamaan mereka dengan cara ini sehingga terbawa-bawa ke dunia tidur.
Bermimpi berada di dua buah negara dalam sengketa yang ditindas dalam satu malam membuatkan saya lelah apabila terjaga. Dapat merasai sedikit getar apabila nyawa berada di penghujung ketika muncung senjata sentiasa dihunus. Berlari dari satu kampung ke satu kampung bersama keluarga untuk menyelamatkan diri. Penat dan letih namun itulah realiti yang terpaksa mereka harungi setiap detik di sana.
Layaklah syurga terbuka buat mereka dengan bidadari tersenyum menanti.
Sedangkan kita mengharapkan syurga namun bersenang-lenang dengan segala macam makanan juadah berbuka. Berpasang-pasang baju raya ditempah. Berhajat membeli segala macam persiapan lagi untuk Aidilfitri. Kasut, jam dan barang kemas. Termasuk juga perhiasan rumah yang diganti baru kesemuanya.
Malunya.
'Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga-Mu. Namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu. Ampunkan dosaku terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar.'
0 comments:
Catat Ulasan