Dalam banyak-banyak video yang saya tonton akan kekejaman Basyar Assad terhadap rakyat Syria, video ini telah membuatkan saya menangis. Apa bezanya video ini dengan video-video yang telah saya saksikan ???
Tiada banyak bezanya. Paparan darah memenuhi bumi. Laungan kalimah 'Allahu akbar' oleh mujahidin Syria serta suara tangisan wanita serta kanak-kanak memenuhi segenap alam. Sedih. Suram. Muram. Duka. Derita.
Saya saksikan video ini kerana admin page syria.care ini menyatakan beliau menangis menyaksikan video ini. Ya, benar, saya juga menangis. Namun menangis saya bukan kerana seorang lelaki yang dibom terburai segala isi perut dan organnya. Juga bukan kerana seorang kanak-kanak yang pecah tempurung kepalanya namun yang paling utama adalah akibat kita di sini tidak berasa apa yang kini mereka sedang rasa maka kita kian jauh dari Allah. Sedangkan mereka kian akrab dengan Allah dan sememangnya Allah lebih memilih mereka untuk menghampiri-Nya.
Allahu akbar.
Ya Azim. Di sini anak muda liat untuk bangun solat Subuh. Sedangkan pemuda sana tidak pernah lelap tidur kerana berjaga-jaga mempertahankan akidah, iman, darah dan tanahair dari dimusnahkan oleh bajingan Basyar.
Ya Rahman. Di sini rakan-rakan rancak memuat turunkan segala bagai juadah hari raya yang sedap-sedap belaka. Sedangkan rakan-rakan di sana memuat turunkan para syuhada yang bergelimpangan sebagai juadah Basyar serta bajingannya yang mahu melesapkan Sunni.
Ya A'lim. Di sini rakan-rakan cantik bergaya dengan pakaian indah di pagi raya. Sedangkan di sana hanya kain kafan sebagai pengganti baju raya.
Ya Fattah. Di sini pakat berposing cantik. Bergambar raya kenangan. Sedangkan di sana mereka masih berusaha memuat turunkan gambar serta video rakyat Syria terseksa dengan jasad yang telah terburai, hancur dan luka parah untuk disebarkan ke seluruh dunia agar dunia tahu kekejaman Basyar yang cuba disembunyikan.
Ya Rahim. Lidah dan hati mereka basah menyebut namamu. Sedangkan lidah dan hati anak muda sini lagha mendendangkan lagu raya.
Kita telah banyak lagha dengan kesengan yang dikecapi sehinggakan ayat yang sering kita dengari adalah,"Bersyukurlah dengan keamanan yang kita miliki."
Ya, bersyukur. Namun bersyukur dengan kita membiarkan mereka sahaja berjuang untuk tanahair mereka. Sedangkan kita mengaku satu akidah, syahadah yang sama yang mana ikatannya adalah saudara seakidah.
Malu untuk mengaku bersaudara apabila mereka menderita. Sedangkan kita sudah sampai tahap membazir dan mengabaikan nasib mereka.
- Usah mengimpikan syurga jika tidur lena, makan kenyang dan berpakaian indah -
0 comments:
Catat Ulasan