Sabtu, 15 Januari 2011
Interlok : antara nilai dan salah faham.
Posted by EVA SALSABILA at 8:20 PG 0 comments
Khamis, 9 Disember 2010
1432 semoga lebih indah..
Sudah lama saya tidak menulis di sini. Buka dan tutup semula. Buka dan menulis separuh lalu padam. Entah kenapa??? Barangkali hakikat manusia. Seronok dan suka pada permulaan sahaja. Lama kelamaan suka itu kian pudar dan kian jemu lalu ditinggalkan. Bukan semua manusia. Barangkali separuh sahaja. Namun majoriti yang sebegini.
Saya sudah merasakan sukar untuk mengatur ayat dengan baik akibat jarang menulis. Walaupun saya sering membaca. Tiap-tiap hari saya meluangkan membaca barang semuka dua buku sesibuk mana sekalipun. Saya tidak mahu dalam sehari saya ketinggalan ilmu melalui bacaan. Rugi rasanya tabiat sedari kecil ini dibiarkan layu sepertimana layu sudah kebanyakan hobi-hobi saya yang lain. Melukis pemandangan dan komik, mengumpul setem, mengubah lirik lagu, mengubah poster filem, mencipta sajak dan pantun. Banyak juga rupanya hobi saya yang semuanya berkaitan seni. Namun sayang seribu kali sayang bakat sedikit sebanyak ini telah pergi meninggalkan waktu. Posted by EVA SALSABILA at 9:18 PG 0 comments
Khamis, 18 November 2010
Pandang hadapan & toleh belakang.
Bermacam kerja, dahulu sekadar melepaskan batuk di tangga. Kini diatur agar menjadi sebaik mungkin. Berharap agar tiada walau setitik amanah yang tidak dilangsai. Berdoa agar tiada hak yang terabai. Mengharapkan agar setiap syiling gaji yang diperolehi bersih dari unsur-unsur haram culas setiap saat kerja yang diberikan. Ini pesanan orang tua yang kerap diulang kata. Ia menjadi peringatan sebelum memulakan kerja.
Dalam kesibukan melaksanakan semua amanah. Datang pula beberapa cita-cita untuk digapai seiring dengan usia yang kian bertambah nombornya. Pedulikan pada kegagalan lampau. Pedulikan pada kekangan masa, tenaga dan kewangan. Pedulikan pada kekecewaan perasaan. Pandang ke hadapan dengan sesekali menoleh ke belakang melihat kembali sejarah kejayaan orang-orang terdahulu.
Dengan keyakinan bahawa kejayaan pasti dalam genggaman. Selagi mendapat rahmat dan berkahi dari Yang Esa.
Kita hanya mampu bercita-cita dan berusaha. DIA yang akan mengizinkan samada jadi atau tidak.
Posted by EVA SALSABILA at 10:41 PG 0 comments
Sabtu, 9 Oktober 2010
Kagum + Hairan = ILMU
"Aduh, bior benor orang itu."
"Lorr, dia benar-benar lakukannya."
"Alhamdulillah, selamat juga dia akhirnya dan misinya untuk mengambil gambar di sudut yang cantik pada pandangannya telah berjaya."Posted by EVA SALSABILA at 9:40 PG 1 comments
Sabtu, 2 Oktober 2010
Sudah tukar ka???
Jurufoto Michel Denis-Huot memetik kamera untuk mengambil foto-foto yang mengagumkan ini pada bulan Oktober tahun lalu di Masai Mara, Kenya. Dia kagum dengan apa yang dilihatnya:
“ Pada suatu pagi, tiga ekor adik beradik cheetah kelihatan bermain-main. Tidak lama kemudian, mereka bertemu dengan sekawan rusa impala. Kesemuanya lari bertempiaran meninggalkan si kecil. Dan… harimau tiga beradik itu mudah mengepungnya…”
Namun, lihatlah keajaiban makhluk ALLAH ini…


“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.” (Al Imran: 145)Posted by EVA SALSABILA at 7:00 PG 0 comments
Jumaat, 24 September 2010
Jangan cuba bermain API !!!
Tidak tahu bagaimana hendak menaip kata-kata apabila tanpa budi bahasa kita diperlakukan sewenang-wenangnya. Biar tiada siapa yang memahami. Cukup sekadar jemari rancak menaip aksara memuaskan hati yang dirodok oleh sebuah kebiadapan manusia yang bertopeng keadilan. Datang tanpa diundang. Pergi tanpa maklum berita. Membawa pergi seseorang yang dikasihi.
Biadap ! Biadap ! Biadap !
Kebiadapan telah mula mengguris kesabaran yang selama ini mengalir bagai sungai yang memberi rezeki buat penduduk.
Namun marah itu api. Api itu syaitan. Syaitan itu musuh dengan kebaikan. Jauh dengan kebaikan membuatkan jauh dari pencipta. Jauh dengan pencipta membuatkan kian rancak menyemai kejahatan membuahkan dosa. Tidak mungkin dan tidak mahu terus menggendong buah-buah dosa di ladang dunia ini. Sedangkan buah-buah pahala masih belum banyak. Semaian ibadah sejak dahulu entah seberapa kerat yang diterima Ilahi. Dicampur, tolak, darab dan bahagi niat, keihlasan dan kekhusyukkan melakukannya.
Lemahnya seorang manusia. Akibat kebiadaban manusia sudah mula mahu bermain api
syaitan. Kesabaran umpama air sungai kian kering yang adakala menyukarkan untuk memadamkan api kemarahan ini. Justeru api ini kadangkala kembali marak. Ditambah lagi tiupan angin yang membuatkan api ini merebak ke tempat lain.
Setiap kebiadapan yang dilakukan pasti ada balasan. Bukan meminta atau disumpah yang tidak baik. Cukup sekadar sedar bahawa setiap manusia layak diperlakukan sebaik-baiknya kerana Allah juga memuliakan hamba-hambaNya. Nabi manusia pertama juga tidak pernah sama sekali menghina manusia lain walaupun seorang Yahudi di zaman baginda. Malah diperlakukan dengan baik sehingga membuka mata mereka bahawa Islam ini beserta orang Islam itu sendiri adalah baik berbudi bahasa.
Posted by EVA SALSABILA at 7:43 PG 0 comments
Sabtu, 4 September 2010
Cerita RAMADHAN 1431
Alexandria. Tiba-tiba kawasan yang di kelilingi laut itu terbayang-bayang dalam ingatan. Seperti hendak berlari sahaja ke sana untuk menghirup bayu lautnya yang masin dihembus angin. Melepaskan segala bebanan perasaan dan bebanan masalah yang membelenggu tidak putus-putus kunjungnya. Inilah kehidupan. Makin dewasa makin hebat diuji. Jika dahulu hanya dibaca dan dilihat membelenggu watak cerita dan jalan hidup manusia lain, kini benar-benar berlaku pada diri. Terima, mendepani, menyelesaikan. Itu cara agar ia pergi dengan baik. Juga agar diri sentiasa berada dalam kondisi tenang dan bahagia.
'Benarkah Iskandar bukan Zulkarnain?'. Buku sejarah yang dibongkar baik oleh saudara Alfareez Abd Razak Al-Hafiz tentang segala rahsia sebenar pejuang agung itu merupakan salah satu sebab Alexandria dirindui. Di perut Alexandria yang diberi segala macam ilmu kehidupan luar kampus oleh Allah Taala. Bermula dari menjalani kehidupan hanya berbekalkan wang 25 sen. Sehingga ke permasalahan sahabat serumah yang membabitkan perasaan yang sedikit dicuit pasti mewujudkan luka yang terlalu parah. Itulah wanita yang penuh emosi dan perasaan. Walau cuba dihindar tetap seperti itu jua sedikit sebanyak pasti ada.
Syukur. Ramadhan pertama tanpa abah dapat dijalani seperti biasa. Ingatan terhadap abah tetap segar. Namun ingatan itu bukanlah penyebab kemurungan sehingga tidak dapat meneruskan kehidupan yang masih berbaki. Seperti kata seseorang yang kukenali.
Sedih. Ramadhan kali ini penuh cerita. Cerita ragam manusia yang masih bernyawa. Bermula awalnya sambungan rentetan pembuangan bayi dari bulan-bulan sebelumnya. Sehingga di malam sambutan kemerdekaan ke 53 juga masih ada tangkapan dibuat di hotel-hotel murah. Maka tunggulah pula bayi-bayi yang dihasilkan ini lahir dan dibuang pada tahun hadapan. Itu antara ayat perbincangan bersama seorang rakan di laman sosial. Posted by EVA SALSABILA at 6:33 PTG 2 comments
Selasa, 10 Ogos 2010
Ahlan ya sahrul Madrasah
"Apa makna puasa," seperti biasa ustazah ini suka bertanya sebelum ditanya.
"Tak boleh makan dan minum," kucar-kacir murid tahun 1 Al-Razi menjawab.
"Lagi?"
"Tak boleh korek hidung..korek telinga," bibir saya automatik terukir senyum dengan jawapan yang hampir sama ketika saya belajar di sekolah rendah dahulu.
"Ya betul semua jawapan itu tetapi yang paling betul adalah puasa ini bulan madrasah," retina semua kanak-kanak kecil yang comel itu fokus kepada saya.
"Madrasah tu apa ustazah?" barangkali murid yang bertanya itu terlupa maksud kalimah madrasah yang pernah diajar ketika mata pelajaran Bahasa Arab tetapi tidak mengapa saya suka kepada pertanyaan.
"Madrasah bermaksud sekolah."
"Aik, kenapa puasa jadi sekolah pula?," masing-masing tertanya kehairanan dengan situasi kelas sedikit bingar.
Saya suka sikap murid-murid yang hendak tahu dan menggunakan akal untuk merungkaikan sesuatu permasalahan.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
"Ramadan bermaksud sekolah kerana ketika Ramadan kita perlu mendidik hati,mata,telinga,hidung dan mulut."
"Aik?" Aisyah antara seorang murid cerdik membuat pertanyaan berbentuk hairan.
"Macam mana tu ustazah?" Syafiq antara murid yang becok di dalam kelas menyoal.
"Mendidik hati agar tidak niat untuk melakukan kejahatan dan kata perkara-perkara yang tidak baik."
"Dari hati selalu bermula kejahatan yang akan dilaksanakan oleh anggota badan yang lain seperti mata, telinga, hidung dan mulut. Sebab itulah Allah menyuruh niat dahulu ketika solat iaitu niat yang berlaku di mana?"
"Niat di dalam hati," bergema surau dengan jawapan dari mulut-mulut mungil itu.
"Mendidik telinga agar tidak mendengar perkataan-perkataan yang tidak baik seperti kata-mengata, umpat keji dan sebagainya."
"Mendidik mata agar tidak melihat perkara-perkara yang tidak baik seperti melihat filem-filem yang tidak senonoh di tv."
"Mendidik mulut agar bukan sekadar tidak makan minum tetapi tidak berkata perkara yang tidak baik, kata yang menyakiti hati orang terutama ibu bapa, kata yang menyebabkan pergaduhan, kata fitnah iaitu perkara tidak benar yang direka-reka dan lain-lain lagi."
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
"Banyaknya ustazah."
"Memang banyak perlu dijaga untuk menghindari dosa."
"Selain itu Ramadan bulan sekolah kerana bermula dari bulan inilah kita dapat mendidik diri kita sehingga ke bulan-bulan seterusnya seperti kamu sekarang yang datang sekolah untuk belajar dan ilmu yang kamu dapat bukan sekadar kamu gunakan di dalam sekolah tetapi kamu gunakan di mana-mana sahaja sehingga kamu besar malah sehingga kamu mati..betul tak?"
"Betulllllllllllllll." gemaan datang dari sebuah sesi pengajaran dan pembelajaran yang suka sekali saya mendengarnya.
"Menutup aurat bukan sekadar pada bulan Ramadan, sedekah bukan hanya pada bulan Ramadan, tidak berbohong, tidak mencuri dan berbuat baik bukan hanya pada bulan Ramadan namun pada bulan-bulan lain juga kerana sebagai orang Islam selain kita menghormati Ramadan, tujuan utama kita membuat sesuatu perkara kerana siapa?"
"Kerana Allah...." gemaan kalimah Allah walau hanya disebut oleh anak-anak kecil cukup menggerunkan.
"Ramadan ini sebagai bulan permulaan kita membentuk akhlak yang baik. Bersesuaian dengan itulah ia layak digelar sebagai bulan?"
"Puasa.."
"Iya sebagai bulan puasa. Selain itu sebagai bulan?"
"Bulan madrasah atau bulan sekolah."
"Ahsantum." semua tersenyum mendengar pujian.
*** Ramadan adalah pemangkin. Ramadan adalah platform. Ramadan bukan hanya bulan persinggahan 30 hari untuk berbuat kebaikan. Namun selepas itu ia terbang seumpama angin sepoi yang menampar pipi ditengah rembang.
Jika Ramadan kita mampu bangun melaksanakan solat tahajud sebelum sahur. Teruskanlah amalan sunat yang dilakukan Rasulullah itu untuk ke bulan seterusnya. Saya kagum melihat jenazah seorang nenek yang tersenyum kerana seumur hidupnya istiqamah melaksanakan tahajud, menurut kata cucu.
Jika Ramadan kita mampu membaca Al-Quran apabila ada masa terluang untuk menghabiskan 30 juzuk dalam sebulan. Teruskanlah pada masa-masa senggang selagi nyawa dikandung badan.
Jika Ramadan kita mampu menghindari umpat keji, kata nista, prasangka, dendam kesumat, fitnah, mengadu domba dan sebagainya. Teruskanlah seumur hidup agar kehidupan ini selamat dari mengikut kata Iblis laknatullah yang senantiasa mahu manusia bermusuhan dan memutuskan silaturrahim.
Jika Ramadan kita mampu mengurangkan makan untuk memudahkan beribadat. Maka teruskanlah ke bulan seterusnya agar badan sihat untuk terus beribadat dalam bentuk ibadat khusus dan ibadat umum.
Jika Ramadan kita mampu tidak menyedut asap rokok. Teruskanlah agar paru-paru terselamat dan dapat menjaga anugerah Allah ini sebaik-baiknya kerana merokok sememangnya tidak langsung memberi faedah. Malah mengundang bahaya kepada diri dan orang tersayang.
Jika Ramadan kita mampu menahan diri tidak membuat dosa. Teruskanlah kerana Allah tidak menjadikan sebulan sahaja untuk hamba-Nya menghindari dosa. Sedangkan 11 bulan selebihnya bergelumang dengan maksiat dan noda.
~ Sedang menanti. Adakah har-hari dalam Ramadan ini masih ada lagi bayi-bayi dibuang ke tempat jijik dan dilempar dari atas bangunan sesuka hati? ~
Posted by EVA SALSABILA at 5:42 PG 0 comments
Jumaat, 30 Julai 2010
Terlupa @ buat-buat lupa?
"Arghhh..selsema pulak, tak selesanya keadaan ini."
"Ermm..baru je demam minggu lepas, minggu ini panas pula badan ini."
"Alah..hujan plak, camna nak gi opis ni."
"Aishh..hujan-hujan camni bawa keta tak nampak jalan la, cermin pun kelabu ja."

"Ermm..keje umah ni tak pernah selesai, orang laki senang la balik keje ja buka paper sambil minum kopi."Saling ingat-memperingati membuatkan alam ini tersenyum bahagia kerana lupa itu tidak akan menghuni dalam diri manusia makhluk berakal yang sering terlupa yang adakala buat-buat lupa.
Posted by EVA SALSABILA at 7:13 PG 1 comments
Selasa, 27 Julai 2010
Guruh & kilat pasti pergi..
Setiap kali mendengar guruh berdentum dan melihat kilat sabung-menyabung pasti saya teringatkan isteri pensyarah di Kusza dahulu. Surirumah berasal dari Morocco itu amat takutkan guruh dan kilat. Cerita tersingkap apabila pensyarah subjek Fekah itu terkocoh-kocoh hendak pulang ketika guruh mula berbunyi. Perilaku yang normal kerana Morocco tidak mengalami hujan sepanjang tahun seperti di sini.
Setiap kali mendengar guruh dan kilat juga pasti saya teringatkan bangsa Cina yang sering menyumpah sesiapa sahaja yang berani menipu akan disambar dua fenomena alam itu. Melalui drama dan filem cina separuh dari kebiasaan mereka dapat juga diketahui.
Ketika berlaku guruh dan kilat ketika kecil dahulu, saya sering berasa seronok. Langit yang gelap. Hujan yang lebat. Satu keluarga berkumpul di bawah satu bumbung. Tiada yang terkecuali. Adik-adik bermain sesama sendiri. Emak memasak di dapur. Abah mengilatkan but tentera. Rasa selamat kerana semuanya dapat berkumpul bersama.
Guruh dan kilat bukanlah alasan fenomena buruk itu perlu dibenci. Dalam dentumnya guruh ada hikmah-Nya. Dalam sabungnya kilat juga ada hikmah-Nya. Tiada sesuatu pun yang dijadikan dengan sia-sia. Dengar dengan baik, dentum guruh itu sedap alunannya. Lihat dengan baik, percikkan kilat itu cantik arusnya.
Kehidupan umpama guruh dan kilat yang berlatar belakangkan langit kelam tidak selalunya muram. Pasti ada kebaikan yang terselit. Posted by EVA SALSABILA at 6:07 PTG 0 comments
Sabtu, 3 Julai 2010
Hadiah buat ABAH..
"Aisyah tahu, hadiah apa yang boleh diberikan kepada mak Aisyah yang sudah meninggal?" saya cuba pancing perhatian Aisyah ketika waktu akhir tasmik di dalam surau.
Kanak-kanak berkulit sawo matang itu menggelengkan kepalanya yang tertunduk.
"Kita tidak boleh memberikan hadiah berupa benda yang boleh disentuh walau semahal mana pun harganya Aisyah," imbasan wajah abah yang hampir dua minggu meninggalkan saya memenuhi pandangan.
"Hadiah seorang anak untuk ibu dan bapa yang telah meninggal adalah menjadi anak yang soleh dan solehah selain menyedekahkan bacaan ayat al-Quran seperti surah Yaasin," airmata sudah memecahi bentong tubir mata anak yang kehilangan ibu kerana melahirkannya.
Hati saya tersentuh kala itu. Sekurangnya saya sempat bersama abah selama 32 tahun. Merindui abah saya masih bertemankan kenangan abah yang terlipat kemas dalam pita memori. Anak itu tidak sempat merasai belaian dan sentuhan seorang ibu. Namun saya kuatkan semangat untuk memberi motivasi kepadanya agar bersungguh-sungguh mengenali dan membaca huruf-huruf al-Quran. Dia bukannya seorang kanak-kanak yang memiliki memori terlalu lemah. Namun sikapnya membuatkan dia memperolehi nombor yang agak corot dalam kelas. Saya mengandaikan dia kekurangan sesuatu. Kekurangan kasih-sayang.
Satu hari lagi yang terakam sebagai hari dalam sejarah dalam hidup saya yang tidak akan dilupai.
19 Jun 2010 bersamaan 6 Rejab 1431H. Tarikh abah pergi meninggalkan kami dengan melangkah ke alam sana. Sedihnya kaki hendak melangkah pulang untuk meniggalkan abah seorang diri ketika usai pengebumian beliau. Perasaan berbeza berbanding di penghujung hayatnya yang kerap ditinggalkan seorang diri di rumah untuk membeli barang keperluan. Bukan tidak dipelawa. Namun abah selesa di rumah dan mengizinkan kami keluar tanpanya.
Membuat apa sahaja teringatkan abah. Ke mana-mana sahaja ada bayangan abah. Hatta ketika memandu juga masih terngiang-ngiang nasihatnya agar mengutamakan pembonceng motorsikal dan pejalan kaki di sebelah kiri.
Sebelum perginya abah meninggalkan pesanan.
Pesanan kepada Kak Ngah agar mengambil lesen memandu kerana tidak mungkin abah dapat menghantarnya kelak.
Pesanan kepada adik agar belajar bersungguh-sungguh agar dapat menjadi doktor.
Pesanan kepada kami 5 beradik sejak adik lahir agar dapat mengganti tanggungjawab beliau menyara adik bongsu yang sekarang di tahun 5.
Allah tahu kami mampu hidup tanpa seorang abah. Semangat emak bercampur nasihat abah membentuk kami adik-beradik untuk terus menongkah arus hidup dengan berpaling ke belakang untuk mengambil pengajaran. Merenung ke hadapan untuk membina empayar hidup agar selari dengan al-Quran dan as-sunnah selagi malaikat maut tidak menjemput ke sana untuk menyertai abah.
Sekarang ini bagi saya maut terlalu dekat. Tanpa ada sekatan antara kita manusia dengan maut.
"Allah beritahu tak bila kita akan mati?" memancing perhatian murid tahap 1 bukanlah perkara mudah bagi saya.
"Tak.....," bergema ruang kelas.
"Jika Allah beritahu tarikh kita akan mati maka mudahlah kita membuat persiapan sebelum mati. Kita tidak akan bermain-main lagi. Mati kita juga insyAllah akan dalam keadaan baik."
"Namun kerana kita tidak tahu bila akan mati maka ramainya matinya dalam keadaan tidak baik."
"Maka bagaimana kita hendak mati dalam keadaan baik?" persoalan yang hanya mendapat renungan tanda tanya pada setiap wajah anak-anak kecik sebersih kain putih itu.
"Sentiasa berbuat baik dan cuba menghindari walau secubit kejahatan dan dosa. InsyAllah hidup yang tidak tahu bila akhirnya akan berakhir dalam keadaan baik."
Beberapa contoh dibawakan agar kanak-kanak itu lebih mudah memahaminya.
Pengukuhan akidah disertai ibadah. Disulami sirah sebagai teladan. Disempurnakan dengan adab mampu membawa anak-anak ini menuju jalan hak dengan rahmat dan izin Allah Taala. Menghindari jalan batil. Menghampiri masjid. Menghindari pub dan disko. Menghampiri majlis ilmu. Menghindari hubungan luar nikah. Menghampiri kerja-kerja amal. Menghindari buang bayi. Itu harapan guru yang mengajar dan mendidik.
Rasanya tidak perlu pendidikan seks di sekolah. Cukuplah memperkasakan Pendidikan Islam yang sedia ada dengan setiap guru mentajdidkan niat. Menghadirkan ikhlas. Ibu bapa memberi sokongan dan dokongan bersama kerana peratus kehidupan anak anda adalah bersama anda berbanding hanya beberapa jam sahaja bersama guru.
*** Allah telah hadirkan pelangi yang cantik setelah perginya guruh dan petir yang menakutkan***
Posted by EVA SALSABILA at 7:15 PG 0 comments
Sabtu, 19 Jun 2010
Bicara anak kecil kepada abahnya.
"Anak abah belajar rajin-rajin ya nanti besar jadi cikgu," dari corong telefon suara abah di seberang sana jelas sebutir-sebutir.
"Baik abah," anak perempuan di seberang sini mengiyakan walaupon guru tidak pernah tersenarai dalam cita-citanya.
Itu kisah 24 tahun lalu ketika anak itu masih kanak-kanak. Abahnya juga masih muda, kuat dan bertenaga.
Masa bertambah. Anak itu remaja dan dewasa. Belajar dan bekerja. Abahnya juga makin berusia, tua, berkedut dan tenaga makin kurang.
Abah masih mengeluarkan butir-butir nasihat terutama ketika berduaan dengan anaknya. Hatta sekecil-kecil panduan ketika memandu di jalan raya, falsafah kehidupan dan masa depan. Cuma caranya berbeza. Cara dewasa. Tidak lagi nasihat sambil mengusap kepala anak perempuan sulongnya itu. Anak itu juga tidak mengadu masalah dengan rengekkan manja.
Kini anak yang sudah dewasa itu rindu dan ingin kembali menjadi anak kecil kepada abah yang disayanginya.
"Abah, bangunlah abah."
"Abah, Kak Long sayang abah."
"Abah, Kak Long nak dengar suara abah dan cerita-cerita abah ketika dalam tentera dulu."
"Abah, bangunlah abah kata nak pergi berkelah sama-sama."
"Abah kata nak makan pizza Radix."
"Abah kata nak pi Mekah, jom la kita pi sama-sama sekali dengan mak."
"Abah, Kak Long tak sanggup tengok abah bernafas menggunakan mesin dengan wayar berselirat di seluruh badan."
"Abah mengajar Kak Long tabah dan berdikari tetapi Kak Long tetap nak abah sihat dan dapat bersama-sama kami.'
"Ya Allah, sedarkanlah abahku, sembuhkanlah dia, sihatkanlah dia, rahmatilah dia."
Abah saya yang dulu periang dan ramah kini diam. Abah saya yang menceriakan kawasan perumahan kami kini sunyi tanpa bunyi enjin motorsikal abah dan suara abah yang kerap menyapa jiran-jiran.
Posted by EVA SALSABILA at 8:58 PG 1 comments
Khamis, 27 Mei 2010
Hak dicipta ditunaikan.
Hak. Berbicara tentang hak. Setiap manusia mahu haknya ditunaikan. Namun hanya minoriti yang menunaikan hak manusia di sekelilingnya. Sepertimana konsep 'erti hidup pada yang memberi'. Rasanya dapatlah juga disamakan 'erti hidup pada yang menyempurnakan hak'.
Lima minit terlewat masuk ke kelas. Lima minit jugalah hak murid-murid yang tidak ditunaikan. Tiga minit terlebih masa setelah loceng berbunyi. Tiga minit jugalah hak guru selepas masa kita telah dicuri. Muhasabah. Diri sendiri jua masih tidak dapat menunaikan hak yang sekecil-kecil ini. Semuanya akan diperhitungkan kelak. Kata-kata pensyarah senantiasa terngiang-ngiang tentang bab menunaikan hak ketika kerja yang akan membabitkan soal gaji, rezeki dan berturutan sehingga masa depan serta keturunan dan generasi. Getar apabila kata-kata itu berbisik kembali di gegendang telinga. Semoga kata-kata itu menjadi pemangkin agar hak yang sekecil-sekecilnya dapat dilaksanakan sebaik mungkin selagi oksigen masih mampu dipam oleh paru-paru.
Seorang ibu dan ayah menunaikan hak kepada anak-anak yang dikendong, dilahir dan dibesarkan. Namun mampukah setiap anak menunaikan hak ibu bapa mereka terutama setelah ibu bapa itu tiada punya kudrat untuk bergerak?
Allah tidak pernah mengabaikan hak setiap hamba-Nya. Namun hamba sering melupakan perintah Allah yang sebenarnya bukanlah sia-sia untuk ditunaikan. Sering bertangguh untuk melaksanakan yang sebenarnya masa tetap berjalan pada paksinya tanpa menanti walau sesaat.Posted by EVA SALSABILA at 9:22 PTG 0 comments
Khamis, 20 Mei 2010
Berbicara tentang CINTA
Semalam telah khatam buku 'Murabbi Cinta' karangan Ustaz Hasrizal. Seperti dua buah buku sebelumnya, buku ini juga membuatkan berbaloi dibeli, dimiliki dan dibacai. Lebih mantap jika dapat diadaptasi di pentas realiti. Ada nilai hasil buah idea ustaz dari Allah yang dicerna hasil penelitian ke atas setiap bait kata-kata. Puas. Alhamdulillah.
Sebut tentang cinta. Ramai yang berasa janggal apabila ustaz dan ustazah berbicara tentangnya. Tambah-tambahan bila cinta terhadap manusia. Para ustaz dan ustazah sendiri juga telah meletakkan diri mereka seolah-olah kebal dari panahan cinta manusia. Cinta itu fitrah. Cinta itu tidak bersalah. Rasulullah juga telah melengkapkan fitrah ini dengan mencintai manusia. Memang tidak dapat disangkal bahawa cinta Allah adalah yang teratas. Cinta yang benar adalah cinta yang berlandaskan cinta-Nya. Ada garis panduan. Ada sekatan agar cinta itu tidak tersasar. Ada cahaya yang diberi-Nya agar cinta itu kian mekar dengan cara yang halal sehingga ke syurga.Posted by EVA SALSABILA at 8:20 PTG 0 comments
Sabtu, 15 Mei 2010
Te..ri..ma kasih Cikguuuuuuu !!! ( versi Upin&Ipin )
"Eh, Cikgu Rohani datang," seorang rakan beramal menyedarkan semua murid tahun 6 Biru dari hiruk-pikuk akibat ketiadaan guru di dalam kelas.
Masing-masing bergerak menuju ke kerusi dengan pantas. Seperti dapat mengagak derapan langkah guru kelas itu masing-masing berada di tempat duduk sendiri sebelum guru itu sampai di muka pintu kelas. Masing-masing kelu. Malah ada yang sempat membuka buku teks untuk dibaca. Ada juga yang berpura-pura menyiapkan latihan. Bak kata lakonan masing-masing memang mantap. Jika ada anugerah pada ketika itu masing-masing akan menggondol hadiah mengikut kategori yang berbeza untuk dibawa pulang.
Cikgu Rohani berbadan gempal. Berkaca mata tebal. Berkulit sawo matang. Mengikat skarf ke belakang adalah seorang guru yang garang. Dia merupakan guru kelas yang mengajar mata pelajaran matematik dan alam manusia. Tiada murid yang berani mengangkat muka ketika ditengking jika ada seorang murid yang tidak menyiapkan latihan matematik. Paling digeruni apabila setiap kerja rumah itu perlu dibentangkan di papan hijau di hadapan kelas. Jika bermula dengan kumpulan A maka setiap ahli kumpulan perlu ke hadapan. Secara perlahan setiap murid mengira samada nombor latihan itu sampai atau tidak kepada dirinya. Jika tidak sampai maka jawapannya adalah selamat. Jika latihan yang diberi itu banyak maka hampir keseluruhan murid perlu ke hadapan.
Jika latihan yang ditulis betul jalan kira dan jawapannya maka akan dapat duduk dengan selamat. Jika sebaliknya perlu menahan usus besar dan kecil akibat dipulas perut. Situasi yang menakutkan ketika di sekolah rendah ketika itu. Mahu tidak mahu, murid yang bijak matematik akan menjadi sasaran ditiru jawapan setiap pagi sebelum loceng kelas bermula.
Saya beruntung. Berada di dalam kumpulan A di bahagian tengah. Bersama 3 lagi rakan. Seorang murid perempuan yang celik jawi. Boleh dikatakan dia adalah guru pertama yang membuatkan saya menjadi celik jawi. Dua orang murid lelaki yang masing-masing bijak matematik dan English. Kami akrab. Umpama berlaku perjanjian MOU antara kami apabila masing-masing secara automatiknya akan membantu kelemahan sesama sendiri pada semua mata pelajaran.
Fadzil dan Anuar akan menulis terjemahan Bahasa Melayu yang dibaca oleh saya dan Ina di bawah teks jawi sebelum ustaz masuk ke kelas untuk mata pelajaran agama. Cara ustaz itu mengajar menggerunkan murid-murid yang tidak mengenal huruf jawi. Murid yang dituding jari olehnya perlu membaca tanpa banyak bicara. Walhal dia bukanlah ustaz yang garang. Namun entah apa yang ditakuti oleh rakan-rakan, saya sendiri tidak tahu.
Fadzil pula adalah penterjemah bagi perkataan-perkataan English yang kami bertiga tidak faham. Anuar pula sering menjadi guru tanpa gaji apabila tanpa jemu menunjuk ajar formula matematik kepada kami. Adakala diberikan bukunya untuk ditiru apabila sudah kesuntukkan masa.
Itulah antara sebahagian guru langsung dan tidak langsung saya ketika kecil. Ilmu mereka sungguh saya hargai dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya. Membentuk saya menjadi manusia seperti hari ini. Sejak berpisah ketika usia 12 tahun, kami tidak pernah bertemu. Namun kerana mereka guru saya, tetap didoakan agar mereka bahagia dalam rahmat Allah Taala.
Sepanjang hidup sehingga kini terlalu ramai guru-guru saya. Semuanya saya hargai. Semuanya saya doai. Guru secara langsung di tiga buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah. Para pensyarah di Kusza. Doktor dan Doktoroh di Universiti Al-Azhar cawangan Iskandariah. Juga buat Sir ketika kursus Skim Latihan Graduan dan arwah ustaz ketika kursus Bahasa Arab.
Guru secara tidak langsung yang hadir dalam hidup ini. Hampir semua yang dikenali pernah memberi ilmu kepada saya walaupun hanya sedikit. Kalian memang guru yang memanusiakan saya. Mendewasakan saya dan mematangkan saya. Jasa kalian tidak dapat mampu dibalas dengan material oleh saya manusia yang terbatas dari itu semua. Namun saya mampu berdoa dan terus berdoa selagi saya bernyawa agar kalian dirahmati Ilahi di dunia dan akhirat.
'Jika memandang seorang manusia, pandanglah pada sudut kelebihannya. Maka dari situ akan terbit imunya yang boleh dikutip buat bekalan hidup kita. Jangan dipandang kelemahannya kerana dari situ akan timbul rasa benci dan meluat yang akan menimbulkan sengketa dan perpecahan ummah.'
Posted by EVA SALSABILA at 7:20 PTG 1 comments
















