Setiap kali mendengar guruh berdentum dan melihat kilat sabung-menyabung pasti saya teringatkan isteri pensyarah di Kusza dahulu. Surirumah berasal dari Morocco itu amat takutkan guruh dan kilat. Cerita tersingkap apabila pensyarah subjek Fekah itu terkocoh-kocoh hendak pulang ketika guruh mula berbunyi. Perilaku yang normal kerana Morocco tidak mengalami hujan sepanjang tahun seperti di sini.
Setiap kali mendengar guruh dan kilat juga pasti saya teringatkan bangsa Cina yang sering menyumpah sesiapa sahaja yang berani menipu akan disambar dua fenomena alam itu. Melalui drama dan filem cina separuh dari kebiasaan mereka dapat juga diketahui.
Ketika berlaku guruh dan kilat ketika kecil dahulu, saya sering berasa seronok. Langit yang gelap. Hujan yang lebat. Satu keluarga berkumpul di bawah satu bumbung. Tiada yang terkecuali. Adik-adik bermain sesama sendiri. Emak memasak di dapur. Abah mengilatkan but tentera. Rasa selamat kerana semuanya dapat berkumpul bersama.
Selepas guruh dan kilat beransur pergi. Lalu menampakkan pelangi mulalah masing-masing bertebaran ke serata bumi menjalankan aktiviti masing-masing. Mulalah kurang tenteram. Teringatkan abah di kem. Teringatkan adik-adik di sekolah atau di padang permainan.
Sekarang sudah berubah. Masing-masing sudah dewasa. Ketika guruh dan kilat masih ada yang berada di luar rumah. Hati digaru resah. Waktu arwah abah menjadi despatch dahulu hanya doa mengiringi agar abah selamat di perjalanan. Ketika abah menjadi guard juga hanya doa mampu mengiringi. Kini doa itu untuk adik-adik yang keluar bekerja. Disamping doa untuk diri sendiri yang menempuh gelap. Apatahlagi ketika hujan, guruh dan kilat.
Guruh dan kilat bukanlah alasan fenomena buruk itu perlu dibenci. Dalam dentumnya guruh ada hikmah-Nya. Dalam sabungnya kilat juga ada hikmah-Nya. Tiada sesuatu pun yang dijadikan dengan sia-sia. Dengar dengan baik, dentum guruh itu sedap alunannya. Lihat dengan baik, percikkan kilat itu cantik arusnya.
Kehidupan umpama guruh dan kilat yang berlatar belakangkan langit kelam tidak selalunya muram. Pasti ada kebaikan yang terselit.
Kehidupan seumpama pelangi berwarna-warni dengan cahaya memenuhi alam tidak semestinya indah. Pasti ada ujian yang menyempit.
Terpulang kepada cara individu memandang dan mendengar setiap yang mendatang itu. Pastinya berbaik sangka pada pencipta yang memberi itu bakal merubah kegelapan menjadi cahaya.
***************
Kenapa kita dibiarkan sendiri ketika dilanda masalah. Mahu mengapai mana-mana tangan seperti tidak sudi. Baik sangkanya adalah mereka mempunyai masalah sendiri yang hendak diselesaikan barangkali. Mungkin juga sibuk dengan kehidupan. Jelasnya, Allah membiarkan mereka sebegitu agar hanya DIA yang dicari. Lalu kita mencari DIA. Merayu, memohon, meratap, berdoa, berharap dan bertawakkal. Itulah sebenarnya. Mencari DIA secara terus tanpa melalui sesiapa.
0 comments:
Catat Ulasan