"Apa makna puasa," seperti biasa ustazah ini suka bertanya sebelum ditanya.
"Tak boleh makan dan minum," kucar-kacir murid tahun 1 Al-Razi menjawab.
"Lagi?"
"Tak boleh korek hidung..korek telinga," bibir saya automatik terukir senyum dengan jawapan yang hampir sama ketika saya belajar di sekolah rendah dahulu.
"Ya betul semua jawapan itu tetapi yang paling betul adalah puasa ini bulan madrasah," retina semua kanak-kanak kecil yang comel itu fokus kepada saya.
"Madrasah tu apa ustazah?" barangkali murid yang bertanya itu terlupa maksud kalimah madrasah yang pernah diajar ketika mata pelajaran Bahasa Arab tetapi tidak mengapa saya suka kepada pertanyaan.
"Madrasah bermaksud sekolah."
"Aik, kenapa puasa jadi sekolah pula?," masing-masing tertanya kehairanan dengan situasi kelas sedikit bingar.
Saya suka sikap murid-murid yang hendak tahu dan menggunakan akal untuk merungkaikan sesuatu permasalahan.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
"Ramadan bermaksud sekolah kerana ketika Ramadan kita perlu mendidik hati,mata,telinga,hidung dan mulut."
"Aik?" Aisyah antara seorang murid cerdik membuat pertanyaan berbentuk hairan.
"Macam mana tu ustazah?" Syafiq antara murid yang becok di dalam kelas menyoal.
"Mendidik hati agar tidak niat untuk melakukan kejahatan dan kata perkara-perkara yang tidak baik."
"Dari hati selalu bermula kejahatan yang akan dilaksanakan oleh anggota badan yang lain seperti mata, telinga, hidung dan mulut. Sebab itulah Allah menyuruh niat dahulu ketika solat iaitu niat yang berlaku di mana?"
"Niat di dalam hati," bergema surau dengan jawapan dari mulut-mulut mungil itu.
"Mendidik telinga agar tidak mendengar perkataan-perkataan yang tidak baik seperti kata-mengata, umpat keji dan sebagainya."
"Mendidik mata agar tidak melihat perkara-perkara yang tidak baik seperti melihat filem-filem yang tidak senonoh di tv."
"Mendidik mulut agar bukan sekadar tidak makan minum tetapi tidak berkata perkara yang tidak baik, kata yang menyakiti hati orang terutama ibu bapa, kata yang menyebabkan pergaduhan, kata fitnah iaitu perkara tidak benar yang direka-reka dan lain-lain lagi."
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
"Banyaknya ustazah."
"Memang banyak perlu dijaga untuk menghindari dosa."
"Selain itu Ramadan bulan sekolah kerana bermula dari bulan inilah kita dapat mendidik diri kita sehingga ke bulan-bulan seterusnya seperti kamu sekarang yang datang sekolah untuk belajar dan ilmu yang kamu dapat bukan sekadar kamu gunakan di dalam sekolah tetapi kamu gunakan di mana-mana sahaja sehingga kamu besar malah sehingga kamu mati..betul tak?"
"Betulllllllllllllll." gemaan datang dari sebuah sesi pengajaran dan pembelajaran yang suka sekali saya mendengarnya.
"Menutup aurat bukan sekadar pada bulan Ramadan, sedekah bukan hanya pada bulan Ramadan, tidak berbohong, tidak mencuri dan berbuat baik bukan hanya pada bulan Ramadan namun pada bulan-bulan lain juga kerana sebagai orang Islam selain kita menghormati Ramadan, tujuan utama kita membuat sesuatu perkara kerana siapa?"
"Kerana Allah...." gemaan kalimah Allah walau hanya disebut oleh anak-anak kecil cukup menggerunkan.
"Ramadan ini sebagai bulan permulaan kita membentuk akhlak yang baik. Bersesuaian dengan itulah ia layak digelar sebagai bulan?"
"Puasa.."
"Iya sebagai bulan puasa. Selain itu sebagai bulan?"
"Bulan madrasah atau bulan sekolah."
"Ahsantum." semua tersenyum mendengar pujian.
*** Ramadan adalah pemangkin. Ramadan adalah platform. Ramadan bukan hanya bulan persinggahan 30 hari untuk berbuat kebaikan. Namun selepas itu ia terbang seumpama angin sepoi yang menampar pipi ditengah rembang.
Jika Ramadan kita mampu bangun melaksanakan solat tahajud sebelum sahur. Teruskanlah amalan sunat yang dilakukan Rasulullah itu untuk ke bulan seterusnya. Saya kagum melihat jenazah seorang nenek yang tersenyum kerana seumur hidupnya istiqamah melaksanakan tahajud, menurut kata cucu.
Jika Ramadan kita mampu membaca Al-Quran apabila ada masa terluang untuk menghabiskan 30 juzuk dalam sebulan. Teruskanlah pada masa-masa senggang selagi nyawa dikandung badan.
Jika Ramadan kita mampu menghindari umpat keji, kata nista, prasangka, dendam kesumat, fitnah, mengadu domba dan sebagainya. Teruskanlah seumur hidup agar kehidupan ini selamat dari mengikut kata Iblis laknatullah yang senantiasa mahu manusia bermusuhan dan memutuskan silaturrahim.
Jika Ramadan kita mampu mengurangkan makan untuk memudahkan beribadat. Maka teruskanlah ke bulan seterusnya agar badan sihat untuk terus beribadat dalam bentuk ibadat khusus dan ibadat umum.
Jika Ramadan kita mampu tidak menyedut asap rokok. Teruskanlah agar paru-paru terselamat dan dapat menjaga anugerah Allah ini sebaik-baiknya kerana merokok sememangnya tidak langsung memberi faedah. Malah mengundang bahaya kepada diri dan orang tersayang.
Jika Ramadan kita mampu menahan diri tidak membuat dosa. Teruskanlah kerana Allah tidak menjadikan sebulan sahaja untuk hamba-Nya menghindari dosa. Sedangkan 11 bulan selebihnya bergelumang dengan maksiat dan noda.
~ Sedang menanti. Adakah har-hari dalam Ramadan ini masih ada lagi bayi-bayi dibuang ke tempat jijik dan dilempar dari atas bangunan sesuka hati? ~
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan