? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Ahad, 25 Januari 2009

Teruskan perjuangan wahai saudaraku...


Ruang udara itu kini sunyi
ditemani bintang dan bulan
datarannya sepi
isiya lebur
sisa cebisan bom dan peluru
sesekali bedilan kapal dari lautan

Penghuni sudah kembali
mengutip serpihan sisa yang tinggal
jika bisa diguna pakai
mencari jasad yang berkecai
disemadi cara terhormat

Bantuan dihulur berpusu-pusu
memasuki daerah kontang itu
makanan,pakaian,ubatan,minyak
sumbangan insan-insan berperikemanusiaan
seantero dunia
buat kehidupan yang masih bernyawa

Bumi kontang itu
tidak dapat ditakluki
oleh bangsa penghisab darah
mereka kalah di bawah panji utuh akidah Islamiah
yang bersatu menentang pelbagai cara

Kemenangan bukan makna
untuk terus megah
lalai kerana keamanan
mungkin hanya sementara
puak-puak itu tetap mengintai peluang
mengulang kembali tragedi berdarah
agar Islam tidak tertegak di bumi Al-Quds

Teruskan berjuang
wahai saudaraku
menolong nafsu mahmudah berlawan dengan mazmumah
menentang iblis dan konconya yang berbisik tiap saat
menentang maksiat sekeliling
menentang sekular yang menjati dalam negara bermajorti muslim
menentang jarum halus suntikan zionis yang kian membudaya
menentang serangan peluru dan serangan minda
dengan keimanan siang dan malam
menegakkan kalimullah dalam diri dan dunia
berniatkan satu cinta
cinta Allah taala
bertujuankan syurga yang kekal bahagia

Sabtu, 24 Januari 2009

Hikmah Allah Taala


"Kak long, abah nak cakap ni," laung tok yang berada di atas rumah memanggilku yang sedang minum susu sebelum ke sekolah ( gagahkan diri telan susu sebab nak jadi pandai, alergik susu sebenarnya sebelum sampai Mesir)

Aku segera naik ke atas untuk menyambut panggilan abah dari Ipoh agar tidak dileteri tok.

"Assalamualaikum abah," kuucapkan salam sebagai mukadimah perbualan bagi muslim.

"Waalaikumsalam, anak abah sihat?," abah menjawab salam seraya menanyakan khabar anakandanya yang berada di selatan jelapang.

Perbualan berlangsung beberapa minit sebelum aku mengakhirinya dengan pertanyaan mudah.

"Abah nak cakap apa lagi?," sebagai klimaks memberhentikan perbualan.

"Anak abah ni belajaq rajin2 noh, besar nanti jadi cikgu." kata abah sebagai perangsang buat anaknya. Lagi pun keluarga sebelah abah memang minat dengan kerjaya ini. Sebabnya tidak kuketahui.

"Ok," jawabku ringkas di bibir. Sebenarnya hatiku protes hebat tidak mahu menjadi guru. Tiada kerja lainkah selain guru. Asyik-asyik cikgu.

Ketika usia 8 tahun itu aku bercita-cita hendak menjadi pelukis sebab aku ada kemahiran melukis dan pernah menghantar karya di sebuah stesen televisyen tempatan dengan bantuan Mak Eda ( mak saudara sepupu sebelah mak ). Cita-cita itu hanya tersemat dalam diri. Sedangkan jika ditanya guru antara cita-cita yang aku labelkan adalah doktor, polis dan jururawat. Tidak pernah langsung guru aku labelkan malah anti pada kerjaya itu.

Usia menginjak remaja cita-cita aku kian berubah dan pelbagai sehinggakan sukar bagiku hendak memilihnya. Melihat model cantik maka aku bercita-cita menjadi model. Tengok gaya artis teringin menjadi penyanyi dan pelakon. Sasterawan, kartunis semuanya pernah termasuk dalam senarai cita-citaku. Semuanya berkaitan seni. Mungkin kerana aku aku ada sedikit jiwa seni agaknya. Jika diingat kembali kelakar pun ada. Itulah aku yang penuh dengan dunia imaginasi dan angan-angan. Sehinggalah cita-citaku yang terakhir di universiti untuk menjadi pendakwah. Juga sebagai doktor yang tidak dapat kugapai.

Namun Allah memeliharaku dengan rahmat-Nya. Minatku pada agama sedari sekolah rendah membuatku meminta pada mak abah untuk memasuki Sekolah Menengah Agama. Aku sering memberontak pada guru kelas untuk berada di Kelab Agama Islam berbanding Kelab Seni yang dipaksa untuk menyertainya kerana tiada sambutan.

Kini, kerjaya yang ku anti dulu menjadi kerjayaku. Mulanya ku selalu doa agar Allah singkap hikmah semua ini. Sebenarnya ini semua adalah tarbiah Allah untuk diriku. Ini juga adalah dakwah seperti mana yang kutulis dalam surat permohonan KPLI. Dakwah untuk anak-anak yang baru mengenal dunia yang penuh tipu daya. Terima kasih ya Allah kerana tidak jebakkanku dalam dunia maksiat dan syubhat. Cuma agak terkilan kerana tidak dapat jadi doktor. Mungkin ada hikmah yang tersurat. Akan kudidik bakal anak-anakku menjadi doktor yang beriman.

***Sebagai manusia selalu memberontak jika tidak dapat memperolehi sesuatu yang dikehendaki malah diberi sesuatu yang dibenci. Sedangkan Allah tahu yang dibenci itu adalah yang terbaik dari yang disukai. Allah adalah sebaik-baik perancang kerana Dialah pencipta yang Maha mengetahui. Kita hanya hamba yang tidak dapat menyingkap rahsia di sebalik kejadian yang penuh misteri. Jadi terimalah perancangan Allah itu sebaik seamanah mungkin dan ikhlaskan diri melakukannya. InsyAllah pastikan ada ganjaran dari-Nya agar tidak sia-sia dan berhasil di dunia dan akhirat.
Terima kasih buat cikgu Rohani (guru kelas 6 Biru 1990 SK Sungai Raya, Ipoh,Perak)
Ustazah Hasanah (guru madah Tajwid SMU Gurun, Kedah)
dan semua guru yang pernah mengajar dan mendidik diri ini hingga sebegini. Semoga dirahmati Allah dan dipermudahkan urusan.
Juga buat rakan-rakan sedari SK Convent All Saint Taiping sehingga Universiti al-Azhar.
Alangkah indahnya jika kita dapat bersua kembali.
Untuk sahabat-sahabat blogger bila agaknya kita dapat bersua??? Semoga madah kalian dapat dijadikan wadah pemangkin iman buat pembaca.

Jumaat, 23 Januari 2009

Simpati...


Bertapaknya kakiku di bumi anbiyak ini, menjumlahkan simpatiku kepada insan-insan yang hidup melarat. Bumi ini banyak mengajarku erti kehidupan secara tidak langsung. Kehidupan manusia yang bukannya selalu senang bahkan ada waktu-waktu tertentu kita akan mengalami kesusahan. Bukannya semua manusia kaya malah masih ramai yang menderita kemiskinan. Kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Namun mereka berdarah arab ini rajin berusaha demi meneruskan kehidupan yang entah bila akhirnya.

Aku kagum pada mereka yang sanggup berlaung nada-nada nyanyian untuk berjaja dan mampu didengari walau setinggi mana pun bangunan terpacak dipasak bumi. Tidak kira usia, warna kulit dan rupa. Bahkan, ramai anak-anak muda dan remaja mencari bahan-bahan jajaan di kebun-kebun sayuran menggunakan kereta sorong atau kereta keldai dan kuda. Pada hal di usia mereka itu sepatutnya berada di sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti tapi kerana taraf hidup yang rendah menidakkan mereka berada di tempat-tempat itu untuk mendalami ilmu.

Jika tidak menjaja hasil-hasil kebun, ada yang mengutip barang-barang terbuang dan terpakai dengan menyanyi bermikrofon laungan. Ketikaku termenung di balakon (beranda) rumahku sewaku, aku terpandang seorang ammu (pakcik) sebaya abahku sedang mengutip kotak di dalam tong sampah tanpa tangan berlapik yang mendedahkan dirinya kepada kekotoran yang boleh mengundang penyakit. Namun bagi insan miskin sepertinya bukan itu yang menjadi soal. Pentingnya adalah perutnya serta anak isteri yang perlu diisi. Hatiku tersentuh dengan peristiwa itu sekaligus membandingkan diriku yang sewenangnya berbelanja.

Aku sedih melihat remaja sebaya adik-adikku yang berjaja sedangkan adik-adikku dan remaja di tanahairku kerap ponteng dari pengajian demi mengejar keseronokkan duniawi dengan hiburan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan dan barangan berjenama tanpa memikirkan saudara seagama yang menderita tanpa makanan. Apatahlagi untuk belajar.

Hatiku mudah tersentuh berada di sini cuma belum menitiskan airmata lagi kerana aku bukanlah seorang wanita yang mudah menangis tapi bagiku bumi gersang ini mengandungi berjuta ilmu untuk dikutip bagi mereka yang peka akan kehidupan. Tidak sekadar ilmu kuliah yang perlu dipelajari malah ilmu akan didapati dalam perjalanan hidup kita sehari-hari jika pandai menghargainya.

Itu tidak termasuk lagi pengemis jalanan. Ada yang mengemis dengan ketuaan memanjat usia. Ada yang mengemis dengan anak-anak kecil melarat. Ada yang mengemis dengan penderitaan sakit tidak berubat. Sepanjang perjalanan pergi balik ke kuliah yag memakan masa tidak sampai 10 minit pasti terjumpa pengemis jalanan sekurang-kurangnya seorang menadah tangan memohon belas manusia lalu lalang. Ikutkan diri semua hendak dibantu untuk mengurangkan bebanan mereka tapi sebagai insan yang bertaraf sederhana yang masih di bawah tanggungan ibu bapa hanya sedikit yang mampu diberi. Selebihnya doa kepada Rabbul Izzati agar mereka dipermudahkan urusan dalam hidup ini. Moga doaku dan doa insan-insan lain diperkenankan Ilahi.

Bila difikirkan kembali lebih baik hidup dalam kemiskinan tetapi dalam keberkatan dan imannya tertegak utuh dalam diri dan melakukan segalanya ikhlas kerana Iahi. Berusaha dan bertawakal daripada hidup kaya dan beramal untuk duniawi demi kesenangan berganda untuk dirinya sahaja. Jika yang diusaha tidak beroleh hasil akan mengeluh resah sepanjang masa. Itulah doaku pada diriku, ibu bapaku, adik-adikku, keluargaku, guru-guruku, sahabat-sahabatku, jiran-jiranku dan seluruh umat Islam agar kami hidup dalam keberkatan dan ketenangan walaupun dalam kemarau kesusahan.
Sis of g-had
Bait Khaulah al-Azwar
Alexandria, Egypt 2004

Rabu, 21 Januari 2009

Tahniah Palestin...perjuangan belum selesai


Kita akan merasai perjuangan kita ini sempit apabila kita memikirkan kita yang akan memulakan perjuangan ini. Akan tetapi, apabila kita memikirkan bahawa perjuangan ini bukan kita yang akan menamatkannya dan kita hanya salah satu dari mata rantai antara rantaian yang panjang. Maka kita akan terasa betapa luasnya perjuangan kita kerana keluarga kita bukan diikat oleh keturunan darah tetapi keturunan kita diikat oleh kesatuan dan akidah. Buat pejuang-pejuang yang telah gugur lalu dimuliakan oleh Allah dengan janjinya, berbahagialah mereka.


- SYED QUTB -


Ini hanya sekadar kata-kata namun ia lahir dari jiwa seorang pejuang yang mampu menaikkan semangat orang lain untuk terus berjuang menghadapi segala mehnah dan ujian yang mendatang selagi nyawa di kandung badan.
Perjuanganku untuk terus mendidik anak muridku agar celik Al-Quran, jawi, fardu ain. Malah, mampu menguasai bahasa arab walaupun kekadang berseorangan. Perjuanganku mendidik warga sekolah agar Islam bukan sekadar manis dibicarakan di tebing bibir. Namun, pokoknya adalah amal perbuatan sebagai lambang keyakinan dan ikutan generasi masa depan.
Perjuangan rakyat Palestin dan Hamas yang menentang pencerobohan zionis mempertahankan tanahair mereka dengan nyawa, darah dan airmata di mana natijahnya memperolehi kemenangan walau tidak disensasikan oleh media antarabangsa kerana dilindungi bayang berita perlantikan Barack Obama sebagai presiden kulit hitam pertama Amerika.
Juga perjuangan kita muslimin seluruh dunia membantu saudara kita di bumi kiblat pertama agar menemui cahaya keamanan dengan doa, harta dan boikot besar-besaran.
Semoga perjuangan kita ini disertakan keikhlasan kerana cinta Allah. Agar ia menjadi amalan di sisi Rabbul Izzah.
Memperolehi ganjaran pahala berganda. Menatijahkan mahligai di syurga nanti.
Teruskan perjuangan sehingga kalimah syahadah tertegak dalam diri setiap manusia penghuni bumi dengan perilaku kemurniaan peribadi Rasulullah s.a.w.

Selasa, 20 Januari 2009

Pasukan blogger Israel dibentuk


Nampaknya Israel bukan hanya menyerang di darat, laut dan udara malah kini membentuk pasukan blogger menyerang maya.
Pasukan yang dibentuk akan direkrut bagi melawan blog-blog anti Israel yang mengandungi gambar-gambar dan cerita-cerita kekejaman zionis terhadap Palestin.

Tawaran diberi keutamaan kepada individu yang mempunyai bahasa kedua selain bahasa Ibrani seperti bahasa inggeris, sepanyol, perancis, Rusia sampai Portugis.

Dalam jangka waktu 30 minit selepas program perekrutan 'pasukan blogger' diumumkan Kementerian Luar Negeri Israel telah berhasil merekrut lima orang blogger.

Jadi apa peranan kita sebagai blogger anti Israel???
Teruskan berjuang menentang kekejaman Israel di dunia realiti dan maya. Jangan hanya sekadar menjadi buih-buih yang banyak di lautan.

Takbir...ALLAH hu akbar

Sabtu, 17 Januari 2009

Musuh Allah akan kalah

Kekeliruan pada pagi ini untuk menyediakan bahan-bahan praktikum diganti dengan membuka beberapa web dan blog mengenai Palestin. Hati agak gembira dengan satu artikel mengenai Israel yang mengatur strategi untuk berundur dalam keadaan yang tidak memalukan. Justeru, pada hari ini telah ditandatangani kerjasama Israel-AS menyekat penyeludupan senjata di perbatasan Mesir ke Gaza. Jelaslah di sini bahawa Hamas sebenarnya ditakuti Israel yang sebenarnya pengecut.

Di samping kereta-kereta kebal Israel yang berundur dari Tel-al-Hawa di Gaza City selepas 24 jam mengganas yang mengakibatkan 16 buah kereta kebal mereka musnah diserang pejuang Palestin.

Ini di tambah dengan 3 buah negara sudah memutuskan hubungan diplomatik Israel bermula dengan Venezuela, Bolivia dan yang terbaru Qatar. Malah, bahang boikot sudah dirasai seluruh dunia. Ini termasuk para petani Israel yang terkena bahana akibat Jordan dan negara skandavia seperti Norway, Denmark dan Sweden yang membatalkan kapal penghantaran buah-buahan. Kelmarin ketika sesi membeli-belah sempat menjengah ke restoran makanan segera Mcdonalds yang tidak penuh seperti dahulu. Kenyataan yang sama oleh sahabat yang berada di Kuala Lumpur bahawa para pekerja mengibarkan bendera dan memanggil pelanggan untuk masuk ke Mcdonalds. Syarikat Coca cola juga dikatakan mengalami kerugian besar akibat kempen boikot ini. Walaupun ada sedikit kasihan kerana bahana ini dirasai manager dan pekerja Malaysia namun tidak dapat tidak saham jualan tetap disalurkan ke dana US dan Israel.

Kebencian umum terus meluap apabila 2 pelanggan wanita Israel di halau oleh pegusaha cafe berbangsa Turki di Invecargill di Selandia baru. Juga beratus-ratus laman web Israel yang digodam teruk oleh hacker sepanjang minggu dan digunakan untuk menyebarkan dakyah anti Israel dan Amerika yang beroperasi dari Lebanon, Morocco, Iran dan Turki.

Sebenarnya blog juga memainkan peranan penting dalam peperangan kali ini apabila blog-blog anti Israel berlawanan dengan blog anti Palestin. Maka, kita sebagai blogger mempunyai peranan cukup besar melumpuhkan Israel di arena maya agar mereka lumpuh dari sudut psikologi yang menatijahkan kekalahan zahir. Justeru para sahabat marilah kita sama-sama terus mengalahkan mereka dengan tulisan dan karya-karya kita kerana" mata pena lebih tajam dari mata pedang".

Sabda Rasulullah s.a.w
"Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah berbanding seorang muslim yang lemah"

Syair Syauqi:
Kejayaan tidak diperolehi hanya dengan angan-angan. Namun kemenangan di dunia hanya diperoleh dengan usaha keras.

Jumaat, 16 Januari 2009

Jihad nafsu vs Zionis & USA

Terlanjur pagi tadi keluar membeli ink catridge printer bersama adik ke-2 ( Kak Ngah ) dan adik bongsu ( Adik ) terus turun ke hypermarket di bawah untuk membeli buah. Ternyata shopping pada kali ini agak perit kerana hampir semua barang yang selalu dibeli adalah jenama Amerika yang kini giat diboikot oleh penduduk dunia termasuk kami sekeluarga.
Biskut keluaran Danone yang menjadi bekalan adik perlu diganti biskut-biskut jenama lain. Kak Ngah yang mahu membeli facial wash Johnsons&Johnsons kena menukar kepada jenama lain. Itu tidak termasuk jenama susu yang masih berbaki di rumah serta beberapa barangan lagi. Agak susah sebenarnya hendak melakukan perubahan namun bila mengingati penderitaan saudara-saudara di Palestin benda-benda itu sanggup digantikan bukan setakat peperangan yang belum berhenti pada kali ini sahaja malah istiqamah jika diizinkan Allah sehingga akhir hayat. Kesusahannya hanya di peringkat awal yang mana lama-kelamaan akan menjadi biasa. Nampaknya selama ini kita memang banyak membantu ekonomi kuasa besar dunia itu.
Kesusahan kita cuma sekadar menahan nafsu dunia. Sedangkan kesusahan saudara kita di Palestin adalah menahan tanahair dari dicerobohi dan dirampas bangsa laknatullah.
*************
Said Siyam yang merupakan Menteri Dalam Negeri dalam kabinet pemerintahan HAMAS, yang dipimpin Perdana Menteri Ismail Haniyah, dan juga merupakan salah seorang pemimpin militer senior Hamas telah syahid dalam sebuah serangan jet tempur Israel di Gaza, seperti dilaporkan oleh stesen televisyen Al-Quds .Said Siyam syahid bersama dengan anak laki-lakinya dan seorang saudaranya dalam serangan udara di kem pelarian Jabalya pada hari Khamis (semalam).

"Said Siyam, anaknya [Mohammed] dan saudaranya telah menjadi syuhada di Gaza," TV Al-Quds sebuah stesen televisyen milik HAMAS yang berbasis di Beirut melaporkan hal tersebut.
Pejabat Hamas telah mengesahkan hal tersebut, bahawa tiga orang meninggal dalam serangan udara Israel di sebuah rumah yang disewa oleh saudara Siam.

"Darah Siyam akan menjadi kutukan pada Zionist Israel," kata Mohammed Nazzal, seorang pejabat Hamas, kepada Aljazeera.

Siyam dianggap merupakan salah satu di antara lima pemimpin tertinggi Hamas di Gaza.
Sebagai Menteri alam Negeri dalam pemerintahan Hamas di Gaza, dia memimpin 13.000 polisi Hamas dan pasukan keamanan , dan banyak di antara meraka yang secara aktif terlibat dalam memerangi Israel.

Serangan itu sendiri merupakan operasi gabungan antara Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan Polis Rahsia Israel (Shin Beth).

Siyam lahir di kem pelarian di Gaza City tahun 1959, dia adalah seorang guru hingga 2003, selama waktu itu dia juga aktif dalam politik.

Beliau ditangkap selama empat kali selama berlangsungnya Intifada pertama 1987-1993.
Pada tahun 1992, dia diusir Israel ke Lebanon Selatan, dan setelah itu dia kembali ditangkap oleh pasukan keamanan Palestin.

Siyam sangat dekat Sheikh Ahmed Yassin, pendiri dan pemimpin spiritual Hamas yang juga dibunuh oleh Israel dalam suatu serangan udara, serta dekat dengan pemimpin politik Hamas Khaled Misy'al, yang mendampingi Misy'al ketika berkunjungan ke Moskow.

Sebelumnya, tokoh senior HAMAS Nizar Rayan juga telah syahid bersama 4 isteri dan 11 anaknya sewaktu serangan membabi buta Israel di Gaza.

Inna lillahi wa inna ilaihi raji'uun. Semoga Allah Azza Wa Jalla memberikan kemuliaan, dan menerima amal jihadnya, dan menempatkan di surga-Nya. Selamat jalan saudaraku.(aljzr)
Setakat kini angka korban adalah 1,054
355 adalah kanak-kanak
100 adalah wanita
4,870 mangsa cedera.



Khamis, 15 Januari 2009

Budaya Mesir yang janggal di mata orang kita...


Mengimbas kembali Mesyuarat Guru kali pertama SKBS, guru besar yang berbangsa cina ada menyoal tentang budaya memberi salam antara muslim dan non muslim. Soalannya adalah bolehkah non muslim mengucapkan "assalamualaikum" atau menjawab "waalaikumussalam" kepada muslim. Ini memandangkan ada di antara murid di sekolah yang beragama hindu dan buddha yang keliru ketika semua guru muslim masuk kelas memberi salam. Maka, jawapanku kepadanya ialah boleh kerana ia hanya dari segi bahasa. Walau hakikatnya ada jawapan yang tertentu untuk non muslim seperti "waalaikumussam".
Aku tidak berniat menghurai itu semua secara panjang lebar namun apa yang ingin dinyatakan adalah memberi salam yang ingin dibudayakan oleh guru besar yang baru masuk 2 tahun di sini. Maka, aku teringat bumi Mesir yang telah kutinggalkan hampir 4 tahun. Ditambah memori yang dihangatkan kembali setelah membuka blog rakan Azhar di sana.
Memberi salam adalah budaya di Mesir. Salam diberi tidak kira kepada siapa,usia,jantina,pangkat dan tempat samada yang dikenali atau sekadar bertembung di gigi jalan. Ia umpama perkara wajib seorang muslim terhadap saudara muslimnya yang lain.
Ketika memasuki sebuah teksi di Hayyu sabiek, Kaherah aku pernah di sapa dengan salam oleh pemandu teksi tersebut lantas mendapat ceramah pendek olehnya tentang kebaikan salam. Mujurlah aku memakai nikob ( purdah ) maka dapat menutup muka yang malu namun kebenaran kata-katanya diperakui kami seisi teksi.
Semasa menuruni Wadi Arba'in dalam sesi jaulah ( percutian ) ke Sinai aku mengucapkan salam kepada seorang wanita yang sedang berkayuh basikal ketika sampai di tepi jalan dalam kelelahan menuruni bukit tersebut. Lantas dia menjawab salam itu dan mengatakan 'ahsanti' ( baiknya kamu ). Aku terpinga kerana hanya sekadar memberi salam aku sudah dipuji baik. Sebenarnya bukan pujian yang kuharapkan cuma sekadar membudayakan budaya mereka. Setelah itu bagiku salam bukan sekadar budaya orang arab tapi ia juga adalah doa yang dilafazkan terhadap saudara semuslim.
Namun, setelah pulang ke tanahair sendiri permulaannya aku masih terikut-ikut dengannya bertujuan mahu membudayakannya di sini tetapi ia tidak mendapat respon yang baik kerana itu bukan budaya kita dan kita sendiri tidak memahami tujuan salam itu sebenarnya.
Di bulan Ramadan tahun pertama di sini, aku bersolat terawih di Masjid al-Muttaqin di belakang rumah. Keseronokkan berterawih di Masjid Nuri, Kaherah yang terletak sejauh 8minit berjalan kaki membuatkan hati meronta untuk merasai suasana yang sama di sini. Namun, amat dikesali kerana aku sudah tidak dapat merasai nikmatnya bahu yang bersentuhan dan kaki bertemu kaki sesama jemaah. Juga tiada nikmatnya jemaah yang menarik kita untuk hampir kepadanya. Malah aku yang cuba menghampirkan diri kepada jemaah makin menjarakkan dan jika cuba ditarik ada yang mampir dengan muka yang masam. Bukanlah maksudku hendak menghina saudara senegara dan memuji saudara negara Musa Firaun itu namun apa salahnya jika membudayakan sesuatu yang Islam sendiri menggalakkannya. Justeru ukhuwah terpupuk dan pahala diraih bersama.
Bagiku, walaupun negara Mesir berdebu pasir, bising dengan suara pekikan penjual jalanan dan hon kenderaan, pergaduhan di tempat awam di samping barang-barang yang mudah hilang dicuri pencopek yang sememangnya bijak dan pelbagai keburukan lagi namun di sana juga boleh dilihat rakyatnya membaca nashkah Al-Quran kecil di stesen dan dalam keretapi. Juga pemandangan jemaah yang bersolat di hadapan kedai, taman bunga dan akan bersegera untuk berjemaah di masjid walaupun nenek yang hanya mampu bersolat di atas kerusi.
Itulah mereka di sebalik kekasaran, kebengisan dan kekotoran yang dapat dilihat mata kasar.
Inilah kita yang nampak lemah-lembut, baik dan ayu yang sering menjadi pujian bangsa asing.
Setiap manusia dan bangsa ada kelemahan dan kekurangan masing-masing namun kekurangan itu boleh diperbaiki dengan mengambil contoh teladan orang lain agar menjadi manusia dan bangsa yang bertamadun dari segi spritual dan material.

Rabu, 14 Januari 2009

Mari kita bersatu!!!


Tertarik juga tadi membaca nisbah orang Yahudi dengan orang Islam sebanyak 1:100 iaitu bagi seorang Yahudi ada 100 orang Islam. Ini kerana Yahudi di seluruh dunia hanya berjumlah 14 juta orang dengan pecahan di serata benua dan negara.

Amerika : seramai 7 juta orang


Asia : 5 juta orang

Eropah : 2 juta orang


Afrika : 100 00 orang

Namun sedikitnya mereka mampu mengawal white house sebagai pusat pemerintahan di Amerika.


Ramainya umat Islam selalu menjadi mangsa penindasan mereka dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Kenapa dan mengapa perkara ini terjadi adalah kerana berlakunya perpecahan yang parah di kalangan umat Islam dari segi mazhab, pemikiran dan politik yang berbeza mengikut bangsa dan negara.

Mengimbas sesi pembelajaran dalam kelas tahun 6 al-Biruni di sekolahku, aku membawa sedikit isu Palestin untuk membuka minda mereka. Maka pelbagai respon yang diberikan anak-anak didikku yang tidakku jangka.

" Ustazah, kenapa tok-tok arab tak tolong depa kan kaya ada minyak?" tanya Kamil atlet pingpong sekolah yang menjadi naib johan perlawanan antara sekolah Kulim Bandar Baharu tahun lepas.


"Sebabnya depa penting diri sendiri dan tak mau bersatu,"jawabku selamba kerana itulah kenyataannya.

Juga pelbagai kenyataan dan soalan dari mereka yang tidak ditaip di ruang ini.


Jelaslah, anak-anak di balik naungan kelapa sawit itu juga dapat berfikir kenapa orang-orang kaya tidak dapat membantu negara yang mengalami kesusahan yang berlanjutan sejak dulu.


Maka, apalagi raja-raja,presiden-presiden,menteri-menteri dan saudagar-saudagar yang cukup akal dan baligh untuk berfikir tentang perkara itu atau mungkin buat-buat gila dan masih belum matang untuk berfikir. Mungkin juga hati mereka tertutup untuk semua itu.


Justeru kita sebagai insan yang sempurna akal dan sifat yang dapat berfikir maka marilah sama-sama kita bersatu di bawah panji Islam yang merupakan agama yang menyeru kepada perpaduan dan ukhuwah. Bersatu untuk tertegaknya dinul Islam di dalam diri,negara dan dunia. Bersatu untuk kehancuran seorang bangsa dan negara yang sering menindas dan menjajah.

Walaupun bukan dengan senjata kita mampu bersatu berdoa,solat hajat,membaca Yaasin,surah al-fath dan beberapa surah lagi di dalam al-Quran,qunut nazilah,boikot dan apa saja bantuan samada dari segi material dan spiritual dari langit kejauhan.


InsyAllah di syurga kita pasti bertemu kelak...

Selasa, 13 Januari 2009

Perancangan

Sehari sebelum akhbar tempatan menyiarkan kenyataan Kementerian Pendidikan membenarkan murid-murid sekolah, pelajar-pelajar IPT dan guru-guru menyertai perarakan selamatkan Palestin hati ini ada terdetik untuk memberi kesedaran kepada murid-murid SK Bukit Selarong tentang Palestin. Namun, dalam skop yang agak kecil bersesuaian dengan sekolah yang kecil dan warga yang sedikit di samping kewangan yang terbatas. Niatku setakat ini cukuplah dulu sekadar penayangan video slot rentetan kekejaman Israel terhadap Palestin beberapa kali seminggu. Mungkin perkara ini pernah dilaksanakan di beberapa buah sekolah namun inilah hasrat hatiku sebagai lonjakan revolusi untuk SK Bukit Selarong yang terlindung dengan estet kelapa sawit. Disamping ramai murid-murid yang datang dari keluarga miskin dan sederhana yang kurang pendedahan tentang isu-isu semasa. Justeru dapat membuka minda mereka agar dapat diluahkan di atas kertas dalam dewan peperiksaan. Paling baik adalah dapat diadaptasikan dalam hidup.
Hendak mengadakan solat hajat bersama warga sekolah menunggu surau sehari-hari masih belum siap atas beberapa faktor. Ada hikmahnya barangkali yang Allah letakkan. Para guru agak teruja menunggu surau itu siap. Ustaz sebagai Panitia Pendidikan Islam siap mengatur perancangan untuk aktiviti surau. Mujurlah ada insan dermawan yang menderma sebuah surau untuk SKBS jika menunggu kutipan derma, entah beberapa tahun lagi ia dapat dibina. Perancangan Allah memang menarik dan baik.
Sahabat-sahabat jangan lupa qunut nazilah untuk Palestin dan
doakan diri ini tenang menghadapi detik-detik praktikum akan datang...
Apsal tah kdg2 susah nak download pic masuk lam nih...berjam2...so lama ngat off jer nak tido dah sok bangun awal nak drive gi kolah....

Jumaat, 9 Januari 2009

Sayang saudara...


Bumi hijau bertukar tandus
tanah subur menjadi gersang
laut biru bertukar merah
sungai berarus deras dipenuhi jasad
jalan dipenuhi kenderaan diganti mayat bergelimpangan
bumi damai itu kini bingit
dengan bom,peluru,mortar,helikopter,siren
suara jeritan bersahutan
tangisan bersambungan
lafaz Allah hu akbar kedengaran serata pelosok ruang
dalam menanti maut mendatang

Itulah bumi saudaraku
yang berada beribu batu dari tanahku
aku tidak mengenali mereka secara peribadi
atas nama akidah
ukhuwah terpaut kemas
hingga aku
turut berada dalam kancah konflik mereka

Jika mereka pedih ditembak peluru
aku turut sama merasa kepedihannya
tika jasad mereka hancur dilontar bom
jasadku turut sama hancur
semasa jasad mereka hangus
jasadku turut hangus

Andai kalian dapat membaca
tintaku ini
wahai saudara-saudaraku
kalian ketahui bahawa
pentingnya kalian dalam hidupku
walau kekesalan kerana tidak menyumbangkan
tenaga membantu kesengsaraan kalian
hanya doa senjataku di bumi sini

Jarak kita jauh di dunia
mustahil kita akan bersua
Andai tidak bertemu di dunia
moga syurga menemukan kita dalam
BAHAGIA yang abadi

Isnin, 5 Januari 2009

Cabaran 2009

Sesi persekolahan telah bermula bagi seluruh warga sekolah terutama para guru dan murid.
Jika dipantau maka pelbagai ragam guru bermula dari menyiapkan kelas sehinggalah fail-fail data murid.
Manakala murid-murid pula dengan pelbagai karenah dengan tangisan dan kenakalan terutama
yang baru masuk alam persekolahan pra, rendah dan menengah.
Di samping para ibu-bapa yang turut serta menyumbang airmata kerana terpaksa berpisah dengan anak-anak yang akan tinggal di asrama.
Apa pun situasi di atas ia tetap kepada satu matlamat iaitu ilmu dan pendidikan.
Tahun ini merupakan tahun cabaran buat diri ini yang akan menghadapi praktikum selama 4 bulan.
Diri ini serta sahabat-sahabat sekarang menanti pensyarah dalam debar di samping menyiapkan bahan-bahan praktikum yang akan dipantau bermula dari 19 Januari ini.
Maka banyak perkara perlu diteliti agar tidak menimbulkan masalah kemudian hari.
Doakan kejayaan kami agar dapat menghadapinya dengan gembira dan cemerlang.
Yang penting dalam diri perlu ditanam sifat sabar berterusan dalam semua situasi tidak terbatas hanya untuk praktikum.

Palestin terus dibedil hingga angka korban meningkat sehingga 450 mangsa.
Sejak semalam puak zionis itu telah menyerang melalui jalan darat dan mangsa pertama kereta kebal adalah kanak-kanak. Namun Amerika tetap dengan pendirian mereka secara terang-terangan menyokong Israel apabila mengagalkan usaha Libya memujuk PBB supaya Israel menghentikan serangan. Setiap hari apabila helaian akhbar diklik hati makin tersiat dengan kekejaman bangsa laknatullah itu mengakibatkan umat seakidah menderita di bumi sendiri.

Ekoonomi dunia makin merudum sehingga bursa saham juga berada diparas terendah. Melalui cerita abah beberapa buah kilang di kawasan Bakar Arang yang merupakan kawasan perindustrian terbesar di Sungai Petani akan tutup. Negara polis dunia kononnya iaitu Amerika juga akan membuang pekerja dengan jumlah yang ramai. Guru besar di sekolah sempat berpesan dalam mesyuarat agar guru-guru menabung supaya tidak susah di kemudian hari.

Gabungan sakit hati dengan kekejaman Israel yang sanggup membunuh umat Islam untuk merealisasikan misi Israel raya dan misi diri ini agar lagi berjimat cermat
maka
kesimpulannya ialah ' MEMBOIKOT BARANG-BARANG ISRAEL & AMERIKA'. Disamping membantu membeli barangan bumiputera yang tidak kurang hebat dari segi kualiti dan harga. Diri ini tidak mampu terbang ke Palestin untuk mengangkat senjata atau melontar bom. Selemah-lemah iman hanya mampu berdoa di sini agar Palestin kembali damai. Jadi inilah antara cara membantu saudaraku di sana.

Marilah kita sama-sama pakat boikot barangan ISRAEL dan AMERIKA.

Semoga sedikit sumbangan kita mendapat tempat di sisi Allah S.W.T
dan
mendapat saham di sana kelak

AMIN YA RABBIL A'LAMIN.

Jumaat, 2 Januari 2009

'Motivasi untuk aku'

Aku dihidupkan bukan untuk mencari sengketa
hanya diberi nyawa sekejap cuma
buat mencari pahala bekalan akhirat sana
berpandukan Al-Quran Sunnah

Hidupku hanya sementara
sepatutnya tiada waktu untuk aku membuang masa
kerana ajal tidak ku tahu bila datang
pahala masih sedikit untuk kubawa

Ajalku 'bila' menjadi tanda tanya
setakat merenung bila datang tiada guna
beramal ikhlas itulah agenda
memenuhkan uncang pahala

Beramal ikhlas itulah diterima Allah
istiqamah dalam melaksanakannya
cubalah buat kerana kita cinta-Nya
hidup tenang dan bahagia

Cinta Allah membahagiakan
rindu Allah mengasyikkan
hingga tenggelam ke dasar khusyuk
ujian dunia tidak memberi kesan

Khusyuk itu yang kuinginkan
tika nama-Nya disebut tiap masa
memantapkan rohani jasmaniku berjihad
menegakkan dinul hak dalam diri dan dunia

Berjihad itu tujuan manusia dihidupkan
dari nafsu menggila dan syaitan durjana
Sebab itu ada syurga neraka
setiap ciptaan pasti bersebab

Syurga neraka akhiran tempat
ditentu berdasar amal seseorang
cita-citaku menjadi penghuni syurga
berlabelkan gelaran seorang ' SYAHIDAH'.



Apa guna berbicara tentang jihad di medan perang jika nafsu dalam diri masih bermaharajalela. Sesungguhnya nafsu adalah benda yang paling sukar diperangi yang merupakan jihad terbesar jika dapat dikalahkan. Tahniahlah kepada mereka-mereka yang telah berjaya membiarkan nafsu dipandu akal. Simpati kepada mereka-mereka yang masih leka membiarkan akal dipandu nafsu. Di manakah kita di antara dua golongan ini? Tepuk dada tanyalah iman.

Khamis, 1 Januari 2009

Kita tidak kalah

Tidak semestinya berjaya di dunia dengan perjuangan
kalah tidak beerti kalah
menang tidak beerti menang
yang dibunuh dan mati tidak bermakna kalah
berjaya memiliki martabat syuhadak
yang kalah menegakkan dustur Islamiyah
tidak bermakna kalah...
berjaya manfaat masa untuk agama
kita adalah pemenang selagi berjuang
pada jalan-Nya
kita yang menang di sisi-Nya
biar jasad berkecai ditembak
peluru jahanam laknatullah
biar dikurung gelita penjara batu
pemimpin gila harta
biar kalah atas dasar penipuan demokrasi pilihanraya
kekalahan adalah peniup semangat
melipatgandakan perjuangan
demi meraih sebuah cinta berharga
cinta Allah taala.


Hasil nukilan
anak rantau 2004
Alexandria....egypt
Puisi ini adalah hasil ilham sewaktu di rumah sewa As-sofiroh, Alexandria, Mesir. Maghrib tadi ketika mengemas rak buku terjumpa kembali karya-karya yang hampir lupa ditelan zaman. Ketika itu memang rajin berkarya kerana banyak masa terluang. Juga sebagai luahan akibat ketidapuasan terhadap sesuatu. Mungkin juga sekadar mengisi kebosanan. Namun ada cerpen yang sudah hilang separuh. Nampaknya kenalah cari idea menyambung cerita tersebut. Itu kerana hobi mengemas yang kadang-kadang dokumen penting pun dibuang. InsyAllah bercadang juga hendak menyiarkan di blog ini sebagai bahan bacaan tetamu. Memang cerita-cerita tersebut berlatar belakangkan Mesir dan penghuninya. Jika diizinkan Allah dan mempunyai masa lapang.

Dapat kad dan award

Thanx 4 Sri di atas pemberian kad pertama yang saya dapat di blog ini. Awak merupakan
sahabat blogger sejak mula menyokong hingga kini. Moga persahabatan kita berkekalan
duhai teman. Saya sentiasa menyokong awak.





Thanx juga untuk Dora atas pemberian award beberapa hari yang lalu.
Dora juga antara sahabat pertama blogger saya.
Ketika itu kami masih belum punya ramai teman di sini.
Di atas permintaan Dora di sini dinyatakan 10 perkara berkaitan diriku :
  1. Seorang yang kuat berangan terutama ketika kecil dahulu...haha...ada yang sudah tercapai.
  2. Bertadika dan tahun 1 di Sek Convent All Saint, Taiping, Perak...kebanyakan cikgu beragama Kristian.
  3. Setiap malam menangis teringatkan mak ketika tinggal dengan tok dan tokwan di usia 7 dan 8 tahun.
  4. Kecil dulu takutkan kucing kini i love them...sekarang ada Kitty dan Etot.
  5. Pernah berkaca mata dan digelar mata empat oleh budak lelaki sekolah.
  6. Simple soal makan, cukup sekadar ikan rebus, sayur atau ulam, cili padi...yumm.
  7. Terlalu mudah kesiankan orang dan makhluk tak berdaya.
  8. Menitikberatkan soal diet dan cara hidup sihat...jaga pemberian Allah.
  9. Bercita-cita menyambung master bidang akidah dan falsafah...amin ya Rabb.
  10. Nak travel around the world...sebelum tu pergi Mekah dulu bawa mak dengan abah.

Rabu, 31 Disember 2008

Erti tahun baru pada kita?


Pixel Code Graphics


Awal pagi menatap utusan online agak memeranjatkan dengan artikel
bertajuk ' Tahan, dakwa penganjur pesta seks tahun baru'.

Terkejut bukan kerana ia perkara baru namun
perkara seperti ini memang dijangka pada setiap sambutan.

Pesta seks, zina, rempit dan pelbagai lagi adalah cara sebahagian manusia
meraikan hari cuti umum ini pada setiap tahun.

Kenapa perkara seperti ini melanda masyarakat timur (Malaysia) yang tinggi
nilai kesopanan dan bermajoriti muslim

Hanya individu terbabit yang mampu menjawabnya.

Hakikatnya inilah cara hidup masyarakat barat yang telah
menular kepada kita dengan alasan up to date.

Inilah warisan British sebelum melangkah keluar dari Malaya
51 tahun dahulu.

Maka perjuangan Tok Janggut dan Dato' Maharajalela yang digantung
Dato' Bahaman yang dibuang daerah
Temenggung Jugah, Rosli Dhobi, Rentap, Mat Kilau
ada yang terkorban di medan perang
ada juga di penjara
dan
alim ulamak yang berjuang
untuk mempertahankan agama dan tanahair dari ditindas
hanya sia-sia belaka kerana agama sudah tiada nilai kepada generasi mereka

Baginda Rasullulah S.A.W juga menyebut "ummati...ummati...ummati"
yang bermaksud 'umatku...umatku dan umatku'
sebelum wafat kerana sayangkan umatnya
namun
umatnya tidak pernah rasa secubit ingatan padanya
apatahlagi hendak bersalawat kepada baginda.

Di manakah janji yang pernah kita lafazkan sejak azali kepada Allah
untuk berpegang dengan agamaNya?

Semuanya telah hilang lenyap ditelan nikmat dunia akibat kebohongan
yang dibuat iblis laknatullah melalui bangsa laknatullah iaitu Yahudi
bercampur
akal yang dipandu nafsu mazmumah

sedarlah!!!

Sebenarnya bukan sekadar Palestin yang ditindas
dijajah dan diserang
kita juga sedang diserang hebat oleh mereka
bukan menggunakan senjata, bom dan mortar
tetapi
menggunakan saraf

Memo: Maksiat yang dilakukan umat Islam sebenarnya adalah agenda yang telah diatur Yahudi
sejak dahulu. Ia sebenarnya telah disedari oleh ulama'-ulama' muktabar. Hanya kita
tidak menyedarinya akibat sering dilakukan maka menjadi kebiasaan malah sudah tidak
dianggap sebagai dosa. Yahudi telah berjaya dalam perancangannya dan umat Islam
tertewas lagi.

Selasa, 30 Disember 2008

Award + Ukhuwah

Terkejut juga buka blog semalam dapat award dari Alia. Terima kasih Alia di atas penghargaan awak. Moga ukhuwah kita berpanjangan dengan limpahan keredhoan dari Allah S.W.T.
Alhamdulillah sejak memasuki dunia blog ni dapat ramai kawan dari pelbagai negara dan latar belakang maka sesuailah dengan firman Allah yang bermaksud:

"Wahai manusia,sesungguhnya Kami menciptakan kamu semua daripada jenis lelaki dan perempuan dan kemudian Kami menjadikan kamu berbilang bangsa dan kaum supaya kalian dapat saling mengenal sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah di antara kamu adalah yang paling bertakwa,sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Mewaspadai."

(Al-Hujurat :13)

Ukhuwah adalah perkara yang dititikberatkan dalam Islam. Ini kerana ia mewujudkan perdamaian dan menggelakkan persengketaan sesama manusia.

Rasul junjungan juga telah menjalinkan ukhuwah bukan sahaja dengan sesama Islam malah orang Islam dan melindungi kaum Yahudi di bawah Piagam Madinah.

Jika diambil ajaran yang dibawa Nabi Muhammad ini maka kehidupan akan menjadi indah di samping keamanan dunia dapat dikecapi.
Memo : marilah kita sama-sama doakan agar pencerobohan di Gaza dan Rafah
Palestin dihentikan. Amin Ya Rabb.

Isnin, 29 Disember 2008

Mati itu pasti...ingat mati itu mesti


Al-fatihah buat armarhum Tuanku Ja'far Tuanku Abdul Rahman yang telah kembali ke rahmatullah pada 28 Disember 2008 di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana tidak sedarkan diri selepas mengadu sakit kepala.

Juga Al-Fatihah buat semua yang telah pergi menyahut seruan Ilahi.

Setiap yang hidup pasti akan mati.

Itulah hakikat kehidupan mempunyai permulaan dan penamatnya kerana sifat makhluk yang baharu berbeza dengan sifat Allah yang mencipta iaitu Baqa' yang bermaksud kekal.


Namun berapa orangkah antara kita yang mengingati mati?
atau

Berapa kalikah dalam sehari kita mengingati mati?


Mati sering dilupakan kerana ia dirahsiakan dari pengetahuan.

Firman Allah SWT :

Dan mereka berkata:" Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata ( Surah al-Jathiyah ayat 24).


Sesuai dengan akhirnya samada ditempatkan di syurga atau neraka maka kematian dirahsiakan dari pengetahuan .


Namun, Allah telah mengingatkan melalui kalamnya di dalam Al-Quran melalui surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud:


Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)-untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).


Maka melalui peringatan itu kita perlu melakukan apa yang disuruhNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya sebagai amal kebaikan.


Jika direnung bukanlah susah untuk menjadi penghuni syurga namun kekangan untuk beramal tetap wujud melalui

1. Dorongan dalaman iaitu NAFSU

2. Hasutan luaran iaitu syaitan dan dunia

Walaupun hanya dua benda sebagai kekangan sudah cukup melontarkan manusia ke dalam api neraka.

Oleh itu, akidah memang perlu dimantapkan

iman perlu diupgradekan


Jadi apa kata jika mulai saat ini

peruntukkan masa mengingati mati

agar amalan dilaksanakan

malah digandakan

kemungkaran ditinggalkan

semoga syurga menjadi tempat kita di sana.

Ahad, 28 Disember 2008

Pembukaan Maal Hijrah


Salam Maal Hijrah melalui beberapa sms yang dikirimkan oleh sahabat-sahabat semasa di kampung tadi. Ini bermakna sejak Maghrib tadi tirai 1430 Hijriah telah bermula.

Di waktu umat Islam menyambut tahun baru Hijrah, Malaysia digemparkan dengan berita blog menghina Nabi Muhammad S.A.W. Malah ia menggunakan nama seorang wanita melayu. Namun sukar dikesan pihak berkenaan kerana sistem pelayar berpengkalan di luar negara.

Ketika umat Islam menyambut tahun baru Hijrah juga Palestin dibedil peluru Israel meragut 155 nyawa serta 310 cedera. Maka Hamas dan puak-puak Palestin lain mengarahkan pejuang masing-masing menuntut bela terhadap keganasan rejim Yahudi itu.
Dua berita panas yang kini sedang berlaku tidak memungkinkan kita sebagai orang Islam berpeluk tubuh sahaja. Ini tidak bermakna kita perlu ke Palestin untuk sama-sama mengangkat senjata. Juga tidak bermaksud berdemonstrasi jalanan membantah kewujudan blog menghina Nabi tersebut.
Namun kita punya tanggungjawab untuk prihatin dengan menadah tangan memohon pada Yang Esa agar penghinaan dan peperangan ini dihentikan.
Malah kita jangan lalai dan pentingkan diri dengan kenikmatan yang diperolehi kerana umat Islam saudara seakidah kita masih ramai diuji dengan kesusahan.
Kita juga jangan alpa dengan kenikmatan dunia ini kerana Islam tetap dimusuhi mereka-mereka yang dengkikan agama suci ini. Jalankan tanggungjawab sebagai muslim. Hindari Islam difitnah kerana kita.
Di mana langit dijunjung
Islam tetap menjadi pegangan

Jumaat, 26 Disember 2008

Azam 1430

1429 hanya berbaki dua hari sahaja lagi sebelum 1430 membuka tirai harinya. Entah kenapa hati ini tidak sebak seperti tahun-tahun sebelumnya untuk meninggalkan memori. Mungkin kerana hendak cepat menghabiskan kursus KPLI/j-QAF tapi sebelum itu kena menghadapi praktikum yang bermula pada minggu ke-3 persekolahan sehingga bulan April. Selepas itu pada bulan Jun pula berdepan dengan peperiksaan untuk major paper. Nampaknya setengah tahun depan masih kena berhempas pulas dan tidak dapat hendak bersenang lenang lagi.
Adakah istilah bersenang lenang untuk orang berdakwah? Itulah kelemahan manusia. Mudah bibir menuturkan kata untuk berdakwah dan berjihad tapi masih mahu bersenang lenang. Jalan memperolehi syurga dipenuhi duri ranjau sedangkan jalan ke neraka dipenuhi nikmat. Maka jika hendakkan pahala dakwah dan jihad niatkan kerja dan amal yang kita lakukan sehari-hari sebagai jihad dan dakwah. Pahala diperolehi di samping kerja lebih bermakna. Oleh itu marilah kita sama-sama niat tahun baru untuk menjadikan kerja kita sebagai dakwah dan jihad.
Buat anak didikku....ustazah akan kembali dengan semangat untuk memahirkan kalian akan Bahasa Al-Quran
Buat rakan-rakan sekerja....hadirku nanti insyAllah bersama kematanganku sebagai guru dan pekerja yang dapat melakukan semua perkara yang diperintahkan.
Moga surau baru kita nanti dapat memantapkan iman kita dan anak didik melalui solat.
Amin Ya Rabb


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...