Persinggahanku ke MPH pada hari ini untuk memantau buku-buku terbaru menimbulkan tidak senang hati apabila dipandang curiga oleh pekerja di situ. Curiga kerana aku membawa plastik Tesco. Juga kerana duduk meneliti tajuk buku demi buku di rak paling bawah.
Itu bukan salah dia sebagai pekerja. Malah itu adalah tanggungjawab dia sebagai pekerja. Amanah menjaga kedai tempat dia mencari rezeki agar buku-buku yang berharga rendah sehingga ke ratusan harganya itu tidak dicuri oleh pengunjung yang tidak punya rasa berdosa.
Sikap berhati-hati itu mungkin ekoran tindakan seorang pelakon drama siri popular tempatan yang mengambil dua buah buku di cawangan MPH yang lain tanpa membayar. Sukar dihuraikan kebenaran tomahan itu samada ia benar dilakukan atau hanya tuduhan tanpa bukti. Hanya Allah yang tahu.
Akibat mahu meruntuhkan kecurigaan pekerja itu terhadapku maka kehadiran yang hanya sekadar memantau telah membuatku membeli sebuah buku motivasi nipis karangan Habiburrahman El Shirazy. Hikmahnya buku nipis itu telah langsai kuhabiskan pada hari ini. Kandungannya yang berupa cerita teladan dari zaman Rasulullah dan zaman kini amat menarik dan dapat diceritakan kepada anak didikku untuk menaikkan semangat motivasi mereka untuk belajar dan menghadapi arus kehidupan.
"Ok...buat latihan yang ustazah bagi tadi tapi jangan tiru..kalau ustazah tak nampak...sapa yang nampak?" soalku.
"Allah....," laung murid-murid tahun dua al-Farabi kepadaku.
Itulah yang kuterapkan kepada murid-murid agar senantiasa rasa diri diawasi oleh pencipta tidak kira tempat dan masa. Bila rasa diri diawasi maka takutlah membuat dosa.
" Dan ada pun orang-orang yang takut kepada keagungan Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya."
(an-Nazi'aat 40-41)
Mudah sahaja sebenarnya menghalang nafsu mazmumah mengikut bisikan syaitan dari melakukan kemungkaran walaupun terlepas dari mata insan. Ianya adalah merasakan diri senantiasa diperhatikan oleh Allah pencipta. Maka akan wujud ketakutan dari melakukannya kerana pandangan Allah tiada batasan ruang walau seinci berbanding pandangan manusia yang punya had.
0 comments:
Catat Ulasan