"Anak awak dapat berapa A dalam peperiksaan baru-baru ini? tanya seorang ibu kepada ibu-ibu yang lain di sebuah majlis.
"Anak saya dapat 5A," jawab bangga seorang ibu kepada anak lelaki yang dilahirkannya.
"Anak awak pula?" tanya ibu pertama tadi kepada ibu yang lain.
"Anak saya dapat 6A," ibu itu juga menjawab bangga sambil senyum melepasi telinga.
"Anak awak pula?" tanya ibu pertama tadi kepada ibu yang seterusnya.
"Alhamdulillah, atas pertolongan Allah anak saya dapat 10A," jawab ibu itu sehingga melopongkan mulut ibu-ibu yang berada di situ.
Jika diamati situasi ini hampir sama dengan sebuah iklan di televisyen tempatan yang mempromosi talian internet di Malaysia. Apa yang saya ingin tekankan di sini bukanlah kebaikan dan keburukan iklan itu namun adalah sifat bangga,ujub,taajub dan riak yang wujud dalam diri. Kesemua perkataan itu membawa satu maksud menunjukkan sifat negatif yang tersirat dalam diri setiap manusia yang mana kadangkala sukar dikesan akan kewujudannya.
Memang patut ibu bapa berbangga akan kejayaan yang diraih anak-anak namun apa guna kebangaan itu jika tidak kembali kepada Allah yang memberi kejayaan tersebut. Apatahlagi jika dengan niat menjatuhkan anak orang lain dengan menunjukkan anaknya yang paling hebat. Seterusnya kehebatan kembali kepadanya kerana keberhasilan mendidik anak tersebut sehingga berjaya. Kemudian mempersoal anak orang lain atas hasil didikan ibu bapanya walaupun tidak dinyatakan secara langsung. Maka serba sedikit orang yang mendengar itu pasti akan tersinggung.
Itu adalah satu contoh sifat bangga yang ada selain bangga dengan kekayan, kedudukan, kecantikan, ilmu dan selainnya. Itu semua adalah nikmat sebagai dugaan terhadap material dunia. Para Rasul, Nabi serta sahabat juga diberi nikmat sebegitu. Contohnya Nabi Sulaiman yang diberi harta yang banyak. Nabi Yusof diberi kecantikan yang luar biasa. Nabi Muhammad dikurniakan ilmu. Namun nikmat tidak menjadi penghalang untuk mereka memiliki cinta Allah dan syurgaNya. Ini kerana insan-insan mulia ini hanya mengharapkan keredhoan Allah di dunia dan akhirat.
0 comments:
Catat Ulasan