? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Sabtu, 19 Disember 2015

Mak yang hebat...

    "Hampa nak pi kat Iman dah ka?"soalku Mak setelah bangun dari tidur selepas Isyak tadi.


    "Nak pi la ni Mak,"jawabku.

    "Sat nak pi bancuh kopi kat dia,"lalu Mak berlalu ke dapur untuk membancuh kopi untuk Adik,

     Itulah rutin kami setiap malam sejak adik keempat saya membuka gerai burgernya di lokasi tapak bazar Ramadan taman kami. Setelah beberapa bulan beroperasi secara penghantaran ke rumah bermula dari pertengahan tahun ini. Mak merupakan tulang belakang yg paling kuat sejak Adik memulakan bisnesnya ini. Setiap hari Mak membuat sos blackpepper, menyediakan bahan perap ayam dan tepung menggoreng sehingga membantu menggoreng ayam. Adakala menghantar barang ke ruang tamu untuk dimasukkan ke kereta. Sesekali menyediakan pesanan pelanggan ketika Adik ke tandas @ balik rumah untuk mengambil ayam. 

    Sejak dari itu rutin tidur kami berubah termasuk Mak. Kami menunggu sehingga Adik tutup gerai jam 2 pagi. Mengemas barang serta canopy. Pulang ke rumah 15 minit selepas itu. Melelapkan mata pada jam 3 pagi. Hanya ada dua jam untuk bangun solat Subuh. 

    Di usia 57 tahun Mak masih bertenaga membantu anak-anaknya meneruskan kelangsungan hidup disamping tetap tidak mengabaikan tugas beliau sebagai seorang ibu serta surirumahtangga. Allah,tabahnya hati seorang isteri tanpa seorang suami di sisi dengan 6 orang anak yang masih ramai belum lepas rumah. Hebatnya engkau wahai ibu. Saya juga mahu menjadi wanita hebat sebegitu. 

   Mak kata nak bantu Bang Chik sebab dia nak bertunang. Mak kata lagi Mak nak dia nikah dan hidup berumahtangga. Mak nak ajar bakal isteri dia buat segala bahan jualan. Waktu itu Mak dapat lepaskan Bang Chik berdikari berniaga bersama isterinya. Ya, Mak mahu kesemua anak-anaknya hidup berumahtangga walaupun tanpa Mak menyuruh serta mendesak. 

   Mak banyak mengajar saya tentang hidup. Saya belajar dari Mak tanpa bebelan panjang namun saya belajar dari perlakuan Mak sendiri. Adakala dari sikap Mak yang tidak menegur kesalahan itu membuatkan saya berfikir lalu saya bertanya, dari situlah Mak memberitahu sebabnya. Jelasnya memang niat Mak mahu kami berfikir itu berjaya walaupun tidak semua anak-anaknya berfikir sebabnya Mak tidak menegur. Hebat engkau wahai Mak mengajar anakmu tentang hidup tanpa engkau mempelajari ilmu psikologi serta kaunseling. Kagum saya dengan wanita berpelajaran setakat darjah enam itu sahaja. 

   Doaku Mak terus dipanjangkan usia dalam rahmat-Nya agar kami anak-anak yang banyak karenah ini dapat mengganda pahala membahagiakan Mak tika sihat, sakit dan lanjut usia. Ya Allah rahmatilah hidup kami sekeluarga. Aamiin.

   


Sabtu, 14 Februari 2015

Cahaya yang berlalu.

    "Sue, kenapa?" aku bertanya rakan sepengajian yang kukenal sejak dari Kusza setelah melihat kerut di wajahnya selepas dia menatap telefon bimbitnya.


    "Sue dapat berita tentang Ayah Zik meninggal dunia," sahabat itu menjawab cemas tentang berita yang membabitkan bapa saudaranya yang merupakan Menteri Besar Kelantan merangkap Presiden Pas.

    "So bagaimana sekarang Sue?" seorang lagi sahabat yang juga kukenal sejak dari Kusza juga bertanya setelah melihat diri Sue yang tidak keruan menerima sms kematian bapa saudaranya.

    "Kita keluar dululah Sue, sms family Sue di Malaysia untuk sahkan tentang perkara ini," cadangku kerana ketika itu kami berada di dalam perpustakaan Bibliotheca, Iskandariah untuk mencari buku rujukan subjek berkaitan kuliah.

    "Sue rasa begitu juga sebab sekarang ini hati pun tak sedap nak buat gapo pon," anak kepada Ustaz Nik Razi itu pon mula menghayun langkah menuju ke tangga untuk turun berserta kami dua orang rakannya yang menurutinya dari belakang.

    Setelah berada di luar perpustakaan hebat yang menggunakan kepakaran arkitek Jepun itu Sue mula menaip sms untuk bertanya khabar tentang Ayah Zik. Kami berdua menunggu penuh debar. Dalam masa itu aku juga menerima sms yang sama mengatakan Ayah Zik telah tiada. Namun aku masih mengambil pendekatan tidak mempercayai sesuatu khabar tanpa dapat pengesahan ahli keluarga jika membabitkan seseorang dan merujuk pakar jika membabitkan ilmu. 

    "Alhamdulillah Ayah Zik masih sihat di Malaysia..hanya khabar angin jer," wajah Sue kembali ceria setelah suram datang sebentar menyapa.

    "Alhamdulillah," kami berdua pula mengucapkan syukur atas kesihatan yang diberi kepada ulama merangkap tokoh ilmuwan yang berketurunan Raja Jembal tersebut.

    Sudah beberapa kali berlegar khabar angin kematian Tok Guru Nik Aziz semenjak aku di Kusza lagi. Malah khabar angin kematian turut membabit nama beberapa tokoh ulama Malaysia seperti Ust Ismail Kamus, Ust Harun Din serta Ust Taib Azamuddin. Punca membuat khabar angin kematian tokoh-tokoh tersebut tidak pula diketahui sebabnya. 

    Setelah beberapa tahun usai belajar dan pulang ke Malaysia aku masih lagi mendengar beberapa kali kematian TGNA sehingga kami pengikut TGNA ini sudah lali serta tidak mempercayainya. Andai ada cerita kematian TGNA pasti Sue yang kami rujuk dalam group wassup Kusza.

    Namun satu wassup dari sahabat Kusza tanya Sue tentang perginya TGNA pada 12/2/2015 bersamaan hari Khamis jam 9.50pm sebenarnya adalah berita yang benar. Bertalu mesej wassup masuk dari semua group di wassup dan telegram. Ya, sudah sah yang TGNA sudah selamat menemui pencipta.

    Allah, berat dada mendengar khabar ini. Seorang lagi ulama akbar Malaysia dipanggil pencipta Yang Esa. Mata Mak sudah bergenang beberapa kali. Alam juga berwajah hiba dengan langit mendung berserta cuaca muram. 

    Jumaat yang kelam dengan kehilangan seorang tokoh agama yang sarat pelbagai ilmu di dada. Seorang MB yang turun ke medan untuk menyebarkan ilmu kepada rakyat jelata. Mirip kepada cara hidup para Nabi, para sahabat, tabi' serta tabi'en. Zuhud kehidupannya. Rendah hatinya. Tiada beza hidupnya denga orang awam walaupun berpangkat serta berilmu. Harta sama sekali tidak dikumpul dari wang rakyat serta negara. 

    Berbahagialah duhai Ayah Zik. Kita tidak pernah bersua namun hidupmu serta pergimu membuat hatiku diuliti kesedihan. Engkau terlalu akrab tanpa kita bersua serta kenal berdepan. Sepertimana kata seorang sahabat yang juga pernah ditahnikkan anaknya oleh allahyarham TGNA, 

    "Akak tak bertemu Tok Guru di dunia, pasti akan ketemu di syurga," aku mengaminkan kata-kata sahabat tersebut dalam hati yang dalam.

Rabu, 14 Januari 2015

Semangat yang hilang..

    Biar semua manusia tidak ada bersamaku, kumasih mampu menjalani hidup asalkan Allah tetap ada bersamaku. 


    Ujian dan musibah adalah untuk mematangkan diriku yang selama ini makin leka dengan kesenangan. 

    Hari ini nafasku rasa sesak. Degup jantungku sesah. Denyutan nadiku laju. Perasaanku galau. Namun setelah semua ini berlalu aku takkan ingat yang semua ini pernah terbeban atas diriku. Keyakinan ini wujud setelah beberapa kali ujian perasaan menimpaku sepanjang hidup ini. 

    Ya Allah..aku ada Engkau..aku direct meminta pada-Mu tanpa meminta bantuan hamba-Mu yang lain. Tanpa mereka yang hanya penyebab. Engkau yang lebih memahami, mendengar, melihat serta mengetahui apa yang aku serta mereka tidak tahu. Tenangkan jiwaku, lapangkan dadaku, berilah rahmat-Mu sepanjang usiaku berjalan. 

    Biarlah ada manusia yang mendoai kecelakaan buatku, sama sekali aku tidak akan turut mendoainya sebegitu. Biarlah ada manusia yang menghina diriku, aku sama sekali tidak akan menghina serta memalukan dirinya. Aku tidak mahu menjadi dia. Malah aku mengharapkan kebaikan buatnya. 

    Biarlah semua ini berlalu hanya seumpama angin yang menampar pipi di tengahari. Datangnya sekejap. Terasa pipi hangat dipukul angin panas namun hanya sekejap. Berlalunya pula tanpa parut serta kesan. 

    Ya Allah..hamba-Mu ini hanya mengharapkan-Mu.

Jumaat, 21 November 2014

Waktu yang singkat

    Seperti baru sahaja menghadiri mesyuarat guru pertama hujung Dis 2013. 

    Seperti baru sahaja menjual buku kepada murid di hari selepas segala mesyuarat usai.
    Seperti baru sahaja merangka segala aktiviti utk persekolahan 2014.

    Namun kelmarin sudah berakhir sesi persekolahan bagi tahun 2014. Sekejapnya usia tahun di hujung zaman. Manusia disibukkan dengan hal dunia sehingga tidak sedar waktu berlari pantas menambah angka dunia. 

    Dunia kian tua. Usia kita juga kian tua. Kian tua kian banyak nampak ragam dunia. Ragam manusia. Ragam alam. Ragam kehidupan. Ragam yang adakala merimaskan. Ragam yang membuatkan mahu kembali ke alam kanak-kanak yang mana usia itu tidak peduli keadaan sekeliling. Tidak terbeban dengan kehidupan. Tidak terpundak dengan bebanan. Tidak nampak kecacatan, kelemahan serta kesakitan.

    Namun sepertimana bumi bulat. Putaran alam serta hidup juga bulat. Tidak akan ada kehidupan yang statik. Hanya rata tidak bertumbuh. Hanya pada satu tahap tidak bertahap-tahap. Perlu hadapi kesemua tahap dengan sabar, tabah serta redha untuk memperolehi kecemerlangan. Namun sebelum memperolehi cemerlang itu pasti tidak akan senang dan tenang. Akan ada sahaja mehnah menerpa ketenangan hingga merentap kebahagiaan. 

    Inilah hidup. Inilah alam. Inilah dunia. 

    Semoga cuti ini dapat merawat luka sepanjang sesi 2014. Luka itu biarlah terus kering walaupun parut pasti berbekas. Tambahkan nilai sabar untuk mendepani sesi 2015.

    Allah always beside me. 

Jumaat, 24 Oktober 2014

Kita semua sama


     Sudah bertahun saya tidak menulis di sini. Kekangan masa serta kemunculan beberapa laman sesawang yang memudahkan interaksi dengan kawan-kawan lama dan baru membuatkan laman blog kian menambahkan sawangnya. Namun rasa rindu tetap ada untuk kembali mencoret di sini. Mana mungkin dilupai tempat mula yang menjadi wadah meluahkan segala rasa yang terperuk di lubuk hati.

     Pelbagai kejadian telah berlaku sepanjang catatan di sini tidak berabjad. Peristiwa yang menarik urat jantung berdetak tidak keruan. Juga peristiwa gembira yang melonjakkan adrenalin riang hingga membuatkan hati juga turut tersenyum.

     Catatan mula setelah bertahun ini saya titipkan dengan sebuah doa agar kira semua dirahmati Ilahi serta diberikan usia serta rezeki yang diberkahi-Nya. Aamin.

Ahad, 10 Februari 2013

2 situasi

Hakikat yang tidak dapat disangkal mahu mencari diri adalah ketika kesunyian.

Hakikat yang tidak dapat ditolak mahu melihat cermin dosa adalah ketika melakukan kesilapan.

2 hakikat yang payah dijumpai ketika berada dalam situasi gembira dan bahagia.

Allah menjadikan sunyi dan sedih ada bersebab. Sebab yang menyebabkan kita lebih mendekati-Nya.

Maka usah rimas dengan 2 situasi tersebut. Malah carilah lubuk kebahagiaan dari 2 situasi itu.

Andai kita berusaha mendepani 2 situasi itu dengan tenang dan bijak, kita akan memperolehi kebahagiaan yang lebih lama bertahan dari situasi kegembiraan sebenar.

Bertabahlah untuk mendepani apa sahaja situasi mendatang yang adakala mengejut hadirnya dalam hidup ini.

Jumaat, 21 Disember 2012

Guangzhou,Shenzen,HK

Impian yang tak disangka akan tertunai secepat ini.

'Laluan Sutera' impian sejak zaman belajar setelah menjadi penonton setia siri dokumentasi di RTM.

Kisah terjadi apabila seorang rakan j-QAF yang ditemui ketika kursus KSSR mengajak ke China setelah dia tahu saya jenis yang suka travel.

Pada mulanya apabila sebut China saya menyangka Beijing maka terbayang saya akan memanjat 'The Great Wall' pada musim sejuk. Namun akhirnya saya baru tahu bahawa destinasi kami adalah Guangzhou dan HK. Apa-apa sajalah kerana duit sudah dibayar. Tambah-tambahan ini adalah kali pertama saya bercuti dengan agensi untuk ke tempat yang sedikit jauh.

Rombongan seramai 17 orang pelbagai lapisan umur dengan pelbagai ragam mengundang pelbagai cerita. Namun semua itu diabaikan kerana kseronokan tercipta dengan mengenali negara, budaya dan masyarakat luar. Pertemuan dengan ahli rombongan mencetus kegembiraan serta menambah kawan. Sehingga kini masih teringatkan adegan lucu M.Cik Yah bersama penjual baju kanak-kanak.

"Bu you ma,"cerita terberi matawang HK yang mengundang airmata ketawa lucu mak dan adik-adik.

Kami pergi selama 5 hari 4 malam yang mana pada dari Malaysia bertolak dari KLIA ke lapangan terbang Baiyun. Hari kedua bertolak ke Shenzen dengan koster. Manakala hari ketiga ke HK dengan train. Hari keempat kembali ke Guangzhou. Hari kelima ziarah maqam Saad Bin Abi Waqas dan membeli- belah habiskan yuen di Leather kompleks sebelum bertolak pulang ke Malaysia.

Saya akan menulis detail tentang perjalanan ini di http://langkahkakipanjang.blogspot.com.

Rabu, 14 November 2012

Ahlan wa sahlan 1434H.

1433H telah berlalu pergi sebentar tadi. 1434H pula datang mengganti. Sekejap sahaja putaran waktu bersilih ganti.

Sibuk di awal, tengah dan hujung tahun adakala membuatkan kita lupa menghitung perjalanan hari. Hanya kita sedar pergerakan angka usia sahaja setiap kali tarikh ulangtahun kelahiran menjelma.

Semakin angka tahun dan usia bertambah maka semakin tualah diri kita. Bertambah angka-angka itu adakalanya membuatkan gerun untuk menghadapinya. Bukannya gerun pada kedut-kedut yang mula nampak pada wajah. Bukan juga pada terbatasnya pergerakan anggota kerana longgar dimamah usia. Namun kerana tuanya diri ini dengan kekurangan bekalan untuk dibawa ke negeri akhirat sana.

Masuknya tahun baru bermakna meninggalkan segala yang buruk dan negatif. Terus membawa yang baik dan positif malah melipat gandakannya agar jiwa dan diri sentiasa akrab dengan pencipta yang abadi. Pastikan tiada lagi lompong seperti tahun lalu.

Lompong jauh dari merasai DIA dekat
di hati kita.
Lompong tidak memohon pertolongan-Nya apabila ada kesukaran yang dihadapi.
Lompong tidak mensyukuri segala rahmat dan nikmat limpahan-Nya.
Serta pelbagai lompong yang terlalu panjang jika dihuraikan.

# Doa kemenangan rakyat Syria bersama tentera FSA pada tahun ini.

# Doa kemenangan buat saudara di Palestin.

# Doa buat tanah air tercinta agar benar-benar di bawah lembayung syiar Islam.

# Doa buat diri dan keluarga agar sabar, tabah dan redho dengan segala dugaan serta dirahmati-Nya sepanjang usia.

Jumaat, 19 Oktober 2012

Kem Ikhtiar Hidup@Master Chef SKBS

Best juga dapat berceloteh di blog ini waktu pagi begini. Itu pun setelah lama tidak berjaga malam melangsaikan segala kerja tertunggak sebegini setelah habis belajar.

Tidur selepas Isyak tanpa persediaan tidur iaitu berus gigi, cuci muka malah sikat rambut sekalipun akan tidak jadi tidur yang sebenarnya bagi saya. Maka bangun semula untuk menyempurnakan semua itu akan terjadi. Namun acap kali bangun itu sering berlanjutan hingga ke pagi. Sesudah Subuh mula terasa kantuk yang amat sangat. Maka rutin tidur akan berubah 360 darjah.

Terasa letih pula menjadi guru pembimbing bagi Kumpulan 5 Kem Ikhtiar Hidup Tahun 6 pada hari ini. Asalnya hanya bidan terjun menggantikan seorang guru yang perlu bawa murid ke Kursus Frog. Namun paksa rela itu akhirnya jadi best pula setelah bertungkus-lumus menyediakan menu untuk makan pagi dan makan tengahari.

Bestnya dan lebih mencabar lagi kem pada tahun ini adalah ada hadiah menanti para peserta yang menyediakan menu yang sedap dan menarik. Dah rasa macam pertandingan Master Chef la pula.

Menu makan tengahari kumpulan kami adalah ayam goreng berempah, sup ayam, telur dadar, kubis goreng kicap + hati dan pedal, coeslaw serta sambal ayam penyet untuk merealisasikan permintaan Zaim yang nak makan ayam penyet. Walaupun ayam penyet diganti dengan ayam goreng berempah, kira ok la sebab nak menyediakan ayam penyet agak makan masa.

Kelakarnya apabila murid Tahun 4 terutamanya yang datang menonton berkata akan memberi undian kepada kumpulan ustazah sebab ustazah pandai masak..haha. Sebulan sekali ustazah masuk dapur yer wahai anak-anak murid ustazah :) Nyatanya bekas murid kelas saya itu masih akrab dengan saya walaupun pada tahun ini mereka sudah tidak di bawah jagaan saya.

Ustazah sayang hampa.

Keputusan juri akan diketahui pada Ahad ini di assembly. PK1 telah memberi hint pemenang tadi tapi saya masih tidak mahu memberi harapan.

Kalah menang itu adat. Pentingnya adalah semangat berjuang dan berlumba-lumba untuk mempersembahkan yang terbaik antara yang terbaik.

Seronok apabila dapat mengajar anak murid goreng sayur, perap ayam, bersihkan ayam ( mulanya depa geli ), potong-memotong dan menumbuk menggunakan lesung batu.

Wallah pengalaman menarik seorang cikgu dan murid-muridnya.

Jumaat, 12 Oktober 2012

Hasrat seorang ibu.

Emak adalah ratu hatiku. Maklumlah abah sudah tidak untuk aku berbakti maka emaklah sahajalah harta yang aku masih ada untuk pelaburan saham akhirat.

Sehelai blouse waka-waka sudah sampai hadiah buat mak. Mak pernah membeli sehelai blouse itu di Pekan Kemboja namun kerana terlalu besar maka hanya terlipat kemas di dalam almari baju.

Menjadi guru pembimbing murid ke Langkawi juga telah dapat menunaikan impian mak yang mahukan sebuah pan jenama Tehfal untuk menggoreng spagetti. Bersama itu juga adalah set pinggan mangkuk plastik untuk mengganti yang lama sekali dengan mangkuk tambah. Sebelum itu mak hanya meninjau harga di Tesco Selatan.

Puas sebenarnya apabila dapat menunaikan hasrat seseorang untuk memiliki sesuatu. Apatahlagi orang itu adalah ibu sendiri.

Mak tidak pernah meminta sebenarnya walaupun daripada anaknya sendiri. Namun sebagai anak kena faham kemahuan dan impian mak sendiri kerana sepanjang hidup selagi mak masih ada dia sentiasa cuba memenuhi hasrat anak-anaknya walau dalam serba kekurangan dan kepayahan.

Ketika dalam perjalanan memandu pulang dari sekolah saya terfikir jika arwah abah masih ada maka dapatlah saya tunaikan hasrat beliau yang pastinya berkaitan makanan kerana arwah suka makan. Namun perkataan 'jika' tidak boleh digunakan. Oleh itu saya sebagai anak masih ada peluang berikan kesenangan kepada arwah di sana.

Menjadi baik. Terus memperbaiki diri menjadi baik dan sedekah harta atas namanya serta sedekahkan surah Yaasin juga doa.

- Semoga abah bahagia di sana. Disamping Kak Long membahagiakan mak di sini -

* Sedang mencari jalan untuk dana membawa mak dan adik flight ke Padang, Indonesia serta China kerana mak kata teringin nak pergi Padang dan panjat The Great Wall.

- Doakan saya berjaya untuk memenuhi impian mak itu ya kawan-kawan.

Sabtu, 15 September 2012

Sunnah.

Minggu ini hebat berlaku rusuhan serta demonstrasi di merata negara ekoran protes dan marahnya umat Islam terhadap filem 'Innocence of Muslims'.

Filem Amerika adalah arahan Sam Bacile berketurunan Yahudi yang mana identiti sebenar pengarah tersebut juga diragui.

Presiden Mursyi bercakap agar rakyatnya jangan menimbulkan kekecohan menunjukkan bantahan setelah umat Islam bangkit terutama selepas kematian Duta Besar Amerika di Libya.

Di Malaysia juga tidak terkecuali mengadakan bantahan dengan demonstrasi aman selepas solat Jumaat kelmarin untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Duta Besar Amerika di Kedutaan Amerika di sini.

Demonstrasi aman yang ditunjangi oleh Parti Semalaysia PAS itu berjaya menyerahkan memorandum tersebut dengan selamat.

Namun saya tertarik dengan ayat saudara Amin Idris, pengacara rancangan Assalamualaikum pada pagi kelmarin. Beliau selaku motivator berkata yang mana sebagai umat Islam yang sayangkan Nabi bukan sekadar tempik apabila Nabi dihina tetapi sejauh mana kita sebagai umat baginda yang sayangkan baginda adalah perlu mengamalkan sunnahnya sepanjang masa.

Saya menambah ayat itu dengan sunnah dan sayangkan Nabi bukan sekadar masa tertentu apabila hari kebesaran baginda serta ketika dihina. Selagi hayat kita dikandung badan. Selagi nadi masih berdetak.

Maka sebagai umat baginda saya telah menambah satu lagi koleksi makanan sunnah setelah beransur-ansur saya cuba menerapkan ke semua makanan itu dalam menu pemakanan saya.

Terbaru kini saya telah membeli susu kambing al-Haadad sebagai minuman setiap pagi demi melengkapkan dua gelas susu setiap hari. Selama ini saya hanya mengamalkan dua gelas susu lembu kotak. Namun saya bertekad untuk amalkan juga susu kambing setelah mengetahui kelebihannya berbanding susu lembu.

Lama saya berhenti minum susu kambing di waktu kewangan masih belum stabil. Sewaktu itu saya mencuba Hi Goat keluaran HR Marketing.

Kini saya kembali untuk istiqamah dengan susu kambing setelah saya dapat istiqamah dengan habbatul sauda, madu dan cuka epal.

Kini juga saya minum bancuhan sana,' dan sanut bercampur madu setiap pagi. Adakalanya minum juga waktu malam apabila terasa perut berangin.

Alhamdulillah dengan izin-Nya masalah angin, toksin dan bintik kecil di muka juga semakin hilang. Disamping mendapat pahala dengan mengamalkan sunnah, sepertimana kata Ustaz Ghazali adik kepada arwah Ustaz Asri dalam segmen iklan madu Khall dalam rancangan Assalamualaikum Tv al-Hijrah.

Biarlah sedikit asalkan buat.

Khamis, 13 September 2012

Pantai Timur owh pantai timur

Impian warga sekolah untuk shopping dalam sesi rombongan ke Kelantan dan Terengganu musnah setelah tengahari ini drebar bas memaklumkan yang basnya rosak.

Setelah beberapa kali perancangan tidak jadi sehingga tahun lepas saya terpaksa join rombongan sekolah kawan untuk bawa mak dan adik makan angin di Singapura, namun kali ini yang hampir terealisasi sekali lagi telah musnah.

Tidak senang hati di hari terakhir sebagai pengawas UPSR di SK Permatang Tok Dik menjadi berganda apabila padatnya waktu perlu rushing dari sekolah ke rumah dan ke sekolah semula di malam hari. Namun semuanya itu berganti dengan perubahan automatik 360 darjah.

Semua warga sekolah berubah wajah apabila persediaan 90% sudah siap. Tunggu naik bas malam ini sahaja. Saya pun mulanya agak terkedu mengenangkan emak dan adik kerana keutamaan saya adalah membawa kedua-duanya makan angin. Namun hakikatnya itulah hikmah.

Malam ini hujan lebat. Lebih selesa di rumah menonton tv bersama keluarga dari terjaga dari mimpi di Grik kerana risaunya gaung yang dalam ( pengalaman 3 tahun ke Terengganu menaiki bas waktu malam ).

Bagi mengubati sedikit kesedihan adik maka kami menjamu selera di The Chicken Rice Shop. Hakikatnya nasi tiada di rumah kerana perancangan untuk makan dalam perjalanan.

Kita hanya mampu merancang namun perancangan Allah itu yang terbaik mak a berlapang dadalah dengan perancangan Allah.

Jumaat, 7 September 2012

Santai

Cuti sehari membawa diri, mak dan adik menenangkan badan dan fikiran dari rutin kerja serta belajar buat sementara waktu. Rehat minor sebelum berehat major pada minggu hadapan. Rehat pon ada major dan minor ? :).

Kami jarang makan di luar melainkan apabila melancong. Namun sekali-sekala mencuba juga makanan-makanan di restoran berdekatan. Apatah lagi jika tiada makanan di rumah.

Berjalan-jalan di Village Mall menemukan kami dengan sebuah restoran Thai di tingkat atas sekali setelah bertemu dengan kerusi urut untuk mak merehatkan badan setelah seminggu bekerja di rumah sambil menyiapkan tempahan kek cawan semalam. Makanan yang agak mahal namun agak sedap maka rasa berbaloilah juga dengan harganya. Terubatlah sedikit emosi dan minda yang murung akibat cuti hanya sehari.

Sesekali saya ingin menulis dengan cara santai :)

Isnin, 20 Ogos 2012

Syria vs Malaysia



         Dalam banyak-banyak video yang saya tonton akan kekejaman Basyar Assad terhadap rakyat Syria, video ini telah membuatkan saya menangis. Apa bezanya video ini dengan video-video yang telah saya saksikan ???

         Tiada banyak bezanya. Paparan darah memenuhi bumi. Laungan kalimah 'Allahu akbar' oleh mujahidin Syria serta suara tangisan wanita serta kanak-kanak memenuhi segenap alam. Sedih. Suram. Muram. Duka. Derita.

          Saya saksikan video ini kerana admin page syria.care ini menyatakan beliau menangis menyaksikan video ini. Ya, benar, saya juga menangis. Namun menangis saya bukan kerana seorang lelaki yang dibom terburai segala isi perut dan organnya. Juga bukan kerana seorang kanak-kanak yang pecah tempurung kepalanya namun yang paling utama adalah akibat kita di sini tidak berasa apa yang kini mereka sedang rasa maka kita kian jauh dari Allah. Sedangkan mereka kian akrab dengan Allah dan sememangnya Allah lebih memilih mereka untuk menghampiri-Nya.

Allahu akbar.

          Ya Azim. Di sini anak muda liat untuk bangun solat Subuh. Sedangkan pemuda sana tidak pernah lelap tidur kerana berjaga-jaga mempertahankan akidah, iman, darah dan tanahair dari dimusnahkan oleh bajingan Basyar.

          Ya Rahman. Di sini rakan-rakan rancak memuat turunkan segala bagai juadah hari raya yang sedap-sedap belaka. Sedangkan rakan-rakan di sana memuat turunkan para syuhada yang bergelimpangan sebagai juadah Basyar serta bajingannya yang mahu melesapkan Sunni.

         Ya A'lim. Di sini rakan-rakan cantik bergaya dengan pakaian indah di pagi raya. Sedangkan di sana hanya kain kafan sebagai pengganti baju raya.

         Ya Fattah. Di sini pakat berposing cantik. Bergambar raya kenangan. Sedangkan di sana mereka masih berusaha memuat turunkan gambar serta video rakyat Syria terseksa dengan jasad yang telah terburai, hancur dan luka parah untuk disebarkan ke seluruh dunia agar dunia tahu kekejaman Basyar yang cuba disembunyikan.

         Ya Rahim. Lidah dan hati mereka basah menyebut namamu. Sedangkan lidah dan hati anak muda sini lagha mendendangkan lagu raya.

        Kita telah banyak lagha dengan kesengan yang dikecapi sehinggakan ayat yang sering kita dengari adalah,"Bersyukurlah dengan keamanan yang kita miliki."

       Ya, bersyukur. Namun bersyukur dengan kita membiarkan mereka sahaja berjuang untuk tanahair mereka. Sedangkan kita mengaku satu akidah, syahadah yang sama yang mana ikatannya adalah saudara seakidah.

       Malu untuk mengaku bersaudara apabila mereka menderita. Sedangkan kita sudah sampai tahap membazir dan mengabaikan nasib mereka.

- Usah mengimpikan syurga jika tidur lena, makan kenyang dan berpakaian indah -

Jumaat, 17 Ogos 2012

Salam Eid Mubarak


Sekejap sahaja Ramadhan 1433 bakal pergi meninggalkan kita. Ramadhan yang banyak tarbiah kita tentang sabar dan menahan diri dari membuat perkara-perkara mungkar. Ramadhan juga mengajar kita agar kuat melakukan ibadat sehinggakan aktiviti harian juga kita mampu di naiktarafkan sebagai amalan.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Eid Mubarak serta Happy Raya Day buat semua pengunjung blog dhoif ini. 

Teruskan dengan ibadat-ibadat di bulan Ramadhan ini. Terus langsungkan kebaikan yang dibina dalam Ramadhan. Jangan biarkan kebaikan dan penambahan amalan berlaku ketika Ramadhan sahaja yang hanya muncul setahun sekali.


"Awat hangpa tak salam dengan Pak *** ?" tanya Tok Besah.

"Hmmm...,"itu sahaja yang mampu kami katakan.

Dialog ketika remaja sewaktu Tok Besah masih kuat. Bapa saudara yang hanya sekadar bau-bau bacang itu adalah saudara jauh yang bukan mahram menyebabkan kami tidak bersalam dengannya. Namun bagi Tok Besah, satu kampung adalah saudara-mara belaka yang perlu disalami setiap kali bertemu dan berpisah. Resah kami apabila menghadapi detik-detik tersebut. Ketika itu saya remaja jadi tidak mahir untuk menggunakan bahasa indah menjelaskan hukum kepada Tok sendiri yang dihormati.

Bermaafan bukanlah semata-mata salam namun yang lebih utama adalah ia lahir dari hati yang tulus untuk memaafkan serta memohon maaf akan segala kesilapan yang sedar dan tanpa sedar. Maka salam bukanlah satu keperluan untuk semua orang walaupun berada dalam satu rumah ketika berkumpul di kampung. Seperti wajibnya menutup aurat yang disyariatkan. Begitu jugalah wajibnya tidak bersentuhan kulit antara yang bukan mahram. Usah biarkan kulit hangus dibakar api neraka kelak.


Hanya tinggal dua hari sahaja lagi Ramadhan akan pergi. Buat mukmin datangnya Ramadhan dialu. Perginya Ramadhan dipilu kerana keberkatan Ramadhan membuatkan diri semakin akrab dengan pencipta Yang Satu. Walaupun Ramadhan seterusnya ada mengikut perkiraan usia diri dan tahun namun ketika Ramadhan itu adakah kita masih ada untuk melaksanakannya ???

Sepertimana arwah abah yang tidak tahu bahawa Ramadhan 1430 adalah yang terakhir buatnya. Begitu jugalah kita yang tidak tahu tahun bilakah Ramadhan terakhir kita. 

Semoga arwah abah bahagia dan tenang di sana. Amin.

Selasa, 24 Julai 2012

Kuingin syurga-Mu


       Kali ini saya menulis kerana saya suka berkunjung ke beberapa buah blog dan membaca hasil nukilan tuan-tuan punya blog tersebut. Boleh dikatakan setiap hari. Jika tiada entry maka saya akan sedikit kecewa. Maka saya terfikir adakah pengunjung setia blog saya yang ke sini setiap hari untuk membaca dan mempunyai perasaan yang sama seperti saya apabila tiada entry baru berbulan-bulan lamanya.

      Saya seperti sudah abaikan blog ini. Jumlah entry pada setiap bulan juga boleh dihitung dengan jari hanya di sebelah tangan. Walaupun masih ada berkunjung yang meninggalkan jejak di ruang chat box yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama namun rasanya seperti hanya memuji dan melihat ruang blog ini yang berwarna-warni dengan widget berkelip-kelip serta pemandangan gunung dilatari biru putih awan yang sememangnya indah.

      Namun hakikat nukilan di sini barangkali hanya dipandang sipi walau saya masih berdoa sekadar widget asmaul husna serta tasbih, tahmid dan takbir yang melatari ruang atas blog ini mampu menjadi penyebab terusik hati pengunjung non Muslim untuk terus mencari hidayah dan kebenaran tentang Islam.

     Itu doa saya walau nampak kecil tetapi besar nilainya terutama pada pandangan Allah.

     Saya semakin dewasa untuk menceritakan setiap detik yang berlaku dalam hidup seharian. Adakala malu hendak berkongsi segalanya dengan pembaca. Namun saya amat kesali sedikit apabila nilai yang dulu saya selalu tekankan dalam penulisan juga saya tidak siramkan. Amat jarang sekarang ini memandang sesuatu dengan nilai. Jika pun ada bagi saya hanya sekadar biasa-biasa yang tidak perlu dikongsikan di sini dan di mana-mana.

    Saya lebih memandang realistik tidak kiralah peristiwa dunia yang seringkali saya sharekan di fb untuk kawan-kawan. Syria, Mesir, Burma dan serata pelosok dunia yang menjadi tumpuan lensa masyarakat dunia. Dahagakan perkembangan terkini berkaitan saudara-saudara seakidah yang tertindas bersama hembusan doa akan segala penderitaan mereka itu berakhir secepat mungkin.

    Saya lebih terasa kebersamaan mereka dengan cara ini sehingga terbawa-bawa ke dunia tidur.

    Bermimpi berada di dua buah negara dalam sengketa yang ditindas dalam satu malam membuatkan saya lelah apabila terjaga. Dapat merasai sedikit getar apabila nyawa berada di penghujung ketika muncung senjata sentiasa dihunus. Berlari dari satu kampung ke satu kampung bersama keluarga untuk menyelamatkan diri. Penat dan letih namun itulah realiti yang terpaksa mereka harungi setiap detik di sana.

   Layaklah syurga terbuka buat mereka dengan bidadari tersenyum menanti.

   Sedangkan kita mengharapkan syurga namun bersenang-lenang dengan segala macam makanan juadah berbuka. Berpasang-pasang baju raya ditempah. Berhajat membeli segala macam persiapan lagi untuk Aidilfitri. Kasut, jam dan barang kemas. Termasuk juga perhiasan rumah yang diganti baru kesemuanya.

   Malunya.

   'Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga-Mu. Namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu. Ampunkan dosaku terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar.'


Rabu, 18 Julai 2012

Repeat again n again


     Hari-hari p&p guru yang bersemangat. Umpama guru praktikum apabila kalut menyediakan BBM di waktu terluang tanpa pedulikan perut yang berkeroncong.

    Saya suka apabila berkeadaan begini..haha.

    Saya sudah tidak peduli apabila kembali menjadi guru j-QAF tunggal di sekolah. Buat sekadar terdaya. Jika terlalu pulun sehingga tiada masa untuk diri sendiri dan keluarga membuatkan saya tension.

    Namun dalam kalut menyediakan BBM, setiap kelas yang dimasuki seperti tongkang pecah. Sampah dari depan sehingga ke belakang kelas. Saya hanya sempat menyelenggara kelas sendiri sahaja. Itu pun tiga kali pada hari ini menyapu dan mengemas kelas. Pagi, tengahari dan waktu pulang. Aduyai..mau pitam cikgu kalo tiap-tiap hari ini macam.

   Kesedaran. Ya kesedaran. Murid-murid masih belum punya kesedaran yang tinggi untuk membersihkan kelas tanpa diarah dan pantauan guru. Maka sebagai guru, saya tidak boleh putus asa untuk terus memberi kesedaran kepada mereka agar sikap itu terpahat dalam diri mereka sampai dewasa.

   Seperti itu jugalah dakwah yang pastinya tiada penghujung selagi nyawa masih di badan. Jangan berkata tidak sebelum benar-benar mencuba sedaya-upaya.

   "Malu pada bangsa cina walaupun mereka non Muslim tapi mereka mementingkan kebersihan dan menjadikan kebersihan agenda no satu dalam peningkatan disiplin sekolah,"kata saya kepada PK1 merujuk bekas GB Tionghua.

   Ya di waktu itu murid-murid tidak putus mengucapkan salam. Tidak kurang yang berlumba-lumba datang mengangkat beg dan barang guru serta mengutip sampah di serata tempat dalam kawasan sekolah.

   Saya rindu waktu itu.

   Pernah sekali sebagai guru bertugas mingguan saya berucap mengingatkan kembali murid-murid tentang disiplin yang pernah diterapkan kepada mereka beberapa tahun lepas. Ada sedikit perubahan. PK1 juga menguacapkan terima kasih apabila saya memperingatkan kembali nilai tersebut. Namun ia kembali dilupai apabila sudah beberapa bulan ucapan itu berlalu.

   Hakikat manusia. Perlu diingatkan dan diulangkan kerana manusia seringkali lupa.

   Itu yang para Rasul, sahabat, ulama, guru, ustaz sering lakukan. Mengulang ingatkan kebaikan serta mengamalkannya.

Sabtu, 14 Julai 2012

Ramadhan Malaysia vs Mesir


   Lagi seminggu umat Islam akan menyambut Ramadhan.

   Umat Islam sekarang kian punya kesedaran apabila kurangnya iklan sambut raya sempena sambut Ramadhan. Sale tetap ada namun tidak banyak. Dunia sekarang menyaksikan Islam kian bangkit walau dalam kancah maksiat dan kecelaruan akidah serta politik yang tidak surut. Satu perkembangan yang baik.

   Islam pasti menang dan dijulang.

   Saya tertarik pada satu post Wardina yang dicopy paste dari post kawannya. Buffet Ramadhan yang tidak akan dilayan apabila mengenangkan saudara seakidah di seluruh dunia ada yang tidak punya makanan untuk bersahur dan berbuka.

   Sedih juga apabila juga apabila ada seorang rakyat Somalia bertanya kepada seorang ustaz tentang sah atau tidak puasa mereka yang tidak bersahur dan berbuka kerana tiada makanan.

   Maka insaflah wahai sahabat.
  Bersahur dan berbukalah ala kadar.
  Usah diganti cadar, langsir, perabut dan alat elektrik baru jika yang lama masih elok.
  Usah beria dengan berpasang-pasang baju raya.
  Usah membazir dengan kuih raya sehingga meninggalkan jemaah Tarawih di masjid dan surau.
  Itu hanya adat. Bukannya sunat.
 
  kerana...

  Allah tidak memandang itu semua pada hamba-Nya
  Dipandang-Nya adalah nilai ibadah yang ikhlas kepada-Nya.
  Bersedekahlah sehingga tangan kiri tidak nampak tangan kanan yang memberi.
  Bangunlah di sepertiga malam dengan rasa kehambaan.
  Muhasabah dan ubah sikap dan peribadi dari negatif ke positif serta jadikan Ramadhan bulan tarbiah untuk
  terus istiqamah pada bulan seterusnya.

  Jika Ramadhan tahun-tahun lepas kita mujahadah dan buat Palestin. Pada tahun ini kita mujahadah dan panjangkan doa buat saudara kita di Syria dan Burma.

   Saya juga seperti Ustaz Don rindu sambutan Ramadhan di Mesir ( rujuk majalah Anis keluaran Jun 2012 ). Arab yang menyambut datangnya Ramadhan melebihi sambutan Aidilfitri kerana itulah sunnah.

- Sambutan yang meriah dengan lampu yang disambung dari bangunan ke bangunan. Di Malaysia hanya ada kain rentang 'Sale' dibangunan-bangunan pasaraya, hypermarket dan kedai.

- Rata-rata masjid meriah dan sesak dengan jemaah Tarawih sehingga kita rasa tidak mahu ketinggalan merebut pahala berjemaah. Di Malaysia masjid hanya penuh di awal Ramadhan. Pertengahan kian surut. Hujung hanya tinggal imam dan 2 saf.

- Terasa ukhuwwah Islamiah apabila saf rapat antara individu ke individu. Malah ada arab yang menarik kita merapatinya. Jika di Malaysia kita cuba rapat dan akan dihindarkan kerana mereka rasa sempit.

- Rata masjid ada hartawan dan orang kaya buat majlis iftor. Bagi orang miskin tiada masalah berbuka hanya di masjid. Di Malaysia buat kenduri sambut puasa sebelum puasa sedangkan waktu ini masih banyak makanan.

- Keluar masjid ada yang menghulur pek-pek makanan untuk para jemaah. Di Malaysia makanan moreh berlambak dan ada yang terbuang.

- Selesai solat witir ada yang menghulurkan zakat buat golongan asnaf zakat. Di Malaysia zakat sering diagihkan secara tidak betul dan ada mengambil kesempatan menyamar sebagai Amir zakat.

 Doa saya agar Ramadhan tahun ini di Malaysia lebih baik dengan perubahan yang baik.

Rabu, 4 Julai 2012

Islam menang

 
         Kemenangan yang tertunda sejak penubuhan serta melatih kader-kader yang cintakan Allah serta impikan syahid melalui jalan jihad dengan mengorbankan kesenangan dunia. Bergelumang dengan kemelut penderitaan dan kesusahan demi sebuah hadiah syahid yang mana darah pun akan berbau kasturi.

        Kemenangan yang akan memberi sinar pencerahan buat rakyat Palestin dan Syria yang ramai terkorban sejak dizalimi. Itu antara kata-kata yang diluahkan oleh Dr Mursyi. Maka rakyat Gaza sendiri bersorak gembira seperti menyambut tahun baru apabila diumumkan Dr Mursyi memenangi pilihanraya dan menjadi Presiden Mesir.

        Kemenangan yang dirai oleh seluruh umat Islam di dunia yang dalam hati menolak kebatilan walau sebesar hama. Sehingga ke hari ini masih bercakap tentang kemenangan itu di laman-laman sesawang. Keterujaan setelah berpuluh tahun bergelut dengan penindasan dan melihat kezaliman seluruh dunia ke atas umat Islam yang dimonopoli oleh Zionis.

       Jalan perjuangan masih panjang. Masih belum terhenti walaupun kemenangan sudah diraih kerana bagi umat Islam yang berjuang atas nama Islam dan kerana Allah tidak akan ada noktah berhenti ketika kalah dan menang. Malah liku perjuangan ini akan diselirati dengan ranjau yang kian berliku.

Doakan buat Dr Mohamad Mursyi serta kader-kadernya agar dapat menyirnakan Islam di mata dunia.

Sepertimana kita perlu gilap dan sirnakan kembali Iman dalam diri yang adakala kendur dimamah noda yang tanpa sedar merebak dalam hati.

Islam terus dijulang.

Rabu, 20 Jun 2012

Data siput vs Pesta Buku Kedah 2012


   Relax sebentar dari tekanan kerja yang menimbun untuk diselesaikan. Dateline semakin dekat. Semua perlu disiapkan dan dihantar dalam satu masa yang sama. Fuhh.. Kerjaya guru mencabar di awal, tengah dan hujung tahun. Maka sepanjang tahunlah guru sibuk :)

   Guru yang bukan sekadar mengajar tetapi juga perlu mengisi pelbagai data. Data yang sering membuang masa kerana tidak mempunyai sistem perisian data yang baik. Sesak dan semput apabila para guru akses masuk ke dalamnya. Menguji iman apabila terpaksa akses lebih daripada sekali, dua dan tiga kali. Masuk kali keempat tutup dan langsaikan kerja lain yang menanti. Itu lebih baik daripada membiarkan hati terus panas :) Mencari peluang di waktu pengguna kurang dari 1000. Itu lebih baik. Waktu semua guru tidur itu yang terbaik.

"Hmm..nak tidoq dulu, pukui 12 nak bangun isi pulak," ujar guru di sekolah setelah kecewa tidak dapat akses masuk selepas mencuba berkali-kali.

"Akak..sms atau misscall kejutkan saya sama ya," ayat yang seringkali dituturkan zaman pelajar dahulu untuk study last minute."

                                                      ****************************

   Cerita lebih relax adalah esok akan berlangsung Pesta Buku Kedah di Village Mall.

   Wah ! banyak betul pesta di sini sekarang. Dua hari ini telah berlangsung Himpunan usahawan mikro, kecil dan sederhana di UITM Merbok yang dihadiri oleh TPM Muhyiddin Yaasin serta Mukhriz Mahathir.

  Balik sekolah esok mahu singgah sebentar di Village Mall menjenguk apa yang menarik di sana.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...