? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Jumaat, 30 Julai 2010

Terlupa @ buat-buat lupa?

"Arghhh..selsema pulak, tak selesanya keadaan ini."

"Ermm..baru je demam minggu lepas, minggu ini panas pula badan ini."

"Alah..hujan plak, camna nak gi opis ni."

"Aishh..hujan-hujan camni bawa keta tak nampak jalan la, cermin pun kelabu ja."

"Hmm..panasnya, malas la nak keluar rumah nanti terbakar kulit."

"Uhhh..peritnya panas kali ni, nak ke mana-mana pun tak selesa."


"Ermm..keje umah ni tak pernah selesai, orang laki senang la balik keje ja buka paper sambil minum kopi."

"Aduh..banyaknya keje, jika dapat bercutikan best dapat release tension."

"Hmm..boringnya tak tau nak wat ape."

"Boring la plak, mana pergi semua orang ni..hmmm."

Tanpa sedar ayat-ayat di atas sering kita tuturkan bila berada dalam situasi-situasi di atas. Iman dan akal juga gagal mengawal emosi yang bergelodak. Sebaliknya ketika di luar situasi di atas kita mampu menggelakkan ayat-ayat itu dengan kawalan emosi, akal dan iman. Betapa lemahnya manusia ketika diuji sedikit.

Ketika itu kita terlupa sakit itu tandanya Allah sayang.
Ketika itu kita terlupa hujan itu adalah rahmat.
Ketika itu kita terlupa bahawa panas itu adalah bala yang perlu dimuhasabahkan diri dan masyarakat.
Ketika itu kita terlupa bahawa sibuk itu tanda Allah tidak membiarkan kita lagha dengan perkara yang sia-sia.
Ketika itu kita terlupa bahawa masa lapang itu diperuntukkan untuk mengganti amalan wajib yang banyak lopong.

Ketika sakit kita terlupa bersyukur kerana sakit itu membuatkan kita makin rapat dengan-Nya. Sakit yang diberi-Nya dan DIA jugalah yang akan menariknya kembali. Justeru sakit yang mengingatkan kita kepada mati. Sihat sering melalaikan kita. Mengejar dunia seolah-olah dunia ini tidak akan ditinggalkan.

Ketika hujan kita terlupa untuk mengucapkan 'alhamdulillah' kerana menurunkan rezeki berlimpah-ruah ke bumi. Bakal menyuburkan tanaman dan tumbuhan. Bakal memenuhkan sungai dan perigi. Bakal menebarkan rahmat ke atas setiap ciptaan-Nya.

Ketika panas kita lupa berishtighfar menghapuskan dosa-dosa kecil. Taubat Nasuha bagi melenyapkan dosa-dosa besar. Semoga dosa-dosa itu jatuh berkeping-keping umpama ruping luka yang telah kering.

Ketika sibuk dengan rutin kerja seharian kita terlupa untuk memanjatkan syukur kerana kita punya kerja untuk menampung kehidupan. Kita punya amanah apabila dilangsaikan dengan ikhlas akan ada ganjaran yang besar dari-Nya. Ganjaran yang tidak nampak dek mata kasar. Ada keluarga yang perlu dijagai. Boleh menumpang manja dan bahagia berbanding orang yang ditakdirkan sebatang kara.

Ketika punya masa lapang kita terlupa untuk bersyukur kerana punya ruang untuk membuat pelbagai amal kebaikan untuk diri sendiri dan orang lain. Berbanding orang yang sibuk kita ada masa untuk solat sunat bagi menampung solat wajib yang mungkin lopong. Ada masa untuk mencari ilmu dari pelbagai sumber dengan pelbagai cara. Sumber utama adalah membaca, mentadabbur dan menghayati makna al-Quran. Malah mungkin menghafaznya. Membaca pelbagai jenis buku. Menghadiri majlis-majlis ilmu dan sebagainya. Lebih santai melaksanakan hobi yang tidak bercanggah dengan syariat.

Kita yang selalu lupa kerana lupa saya mengingatkan diri sendiri terutamanya dan semua agar bersyukur atas pemberian dan ujian yang diberi-Nya.

Saling ingat-memperingati membuatkan alam ini tersenyum bahagia kerana lupa itu tidak akan menghuni dalam diri manusia makhluk berakal yang sering terlupa yang adakala buat-buat lupa.

Selasa, 27 Julai 2010

Guruh & kilat pasti pergi..

Setiap kali mendengar guruh berdentum dan melihat kilat sabung-menyabung pasti saya teringatkan isteri pensyarah di Kusza dahulu. Surirumah berasal dari Morocco itu amat takutkan guruh dan kilat. Cerita tersingkap apabila pensyarah subjek Fekah itu terkocoh-kocoh hendak pulang ketika guruh mula berbunyi. Perilaku yang normal kerana Morocco tidak mengalami hujan sepanjang tahun seperti di sini.

Setiap kali mendengar guruh dan kilat juga pasti saya teringatkan bangsa Cina yang sering menyumpah sesiapa sahaja yang berani menipu akan disambar dua fenomena alam itu. Melalui drama dan filem cina separuh dari kebiasaan mereka dapat juga diketahui.

Ketika berlaku guruh dan kilat ketika kecil dahulu, saya sering berasa seronok. Langit yang gelap. Hujan yang lebat. Satu keluarga berkumpul di bawah satu bumbung. Tiada yang terkecuali. Adik-adik bermain sesama sendiri. Emak memasak di dapur. Abah mengilatkan but tentera. Rasa selamat kerana semuanya dapat berkumpul bersama.
Selepas guruh dan kilat beransur pergi. Lalu menampakkan pelangi mulalah masing-masing bertebaran ke serata bumi menjalankan aktiviti masing-masing. Mulalah kurang tenteram. Teringatkan abah di kem. Teringatkan adik-adik di sekolah atau di padang permainan.
Sekarang sudah berubah. Masing-masing sudah dewasa. Ketika guruh dan kilat masih ada yang berada di luar rumah. Hati digaru resah. Waktu arwah abah menjadi despatch dahulu hanya doa mengiringi agar abah selamat di perjalanan. Ketika abah menjadi guard juga hanya doa mampu mengiringi. Kini doa itu untuk adik-adik yang keluar bekerja. Disamping doa untuk diri sendiri yang menempuh gelap. Apatahlagi ketika hujan, guruh dan kilat.
Guruh dan kilat bukanlah alasan fenomena buruk itu perlu dibenci. Dalam dentumnya guruh ada hikmah-Nya. Dalam sabungnya kilat juga ada hikmah-Nya. Tiada sesuatu pun yang dijadikan dengan sia-sia. Dengar dengan baik, dentum guruh itu sedap alunannya. Lihat dengan baik, percikkan kilat itu cantik arusnya.

Kehidupan umpama guruh dan kilat yang berlatar belakangkan langit kelam tidak selalunya muram. Pasti ada kebaikan yang terselit.
Kehidupan seumpama pelangi berwarna-warni dengan cahaya memenuhi alam tidak semestinya indah. Pasti ada ujian yang menyempit.
Terpulang kepada cara individu memandang dan mendengar setiap yang mendatang itu. Pastinya berbaik sangka pada pencipta yang memberi itu bakal merubah kegelapan menjadi cahaya.
***************
Kenapa kita dibiarkan sendiri ketika dilanda masalah. Mahu mengapai mana-mana tangan seperti tidak sudi. Baik sangkanya adalah mereka mempunyai masalah sendiri yang hendak diselesaikan barangkali. Mungkin juga sibuk dengan kehidupan. Jelasnya, Allah membiarkan mereka sebegitu agar hanya DIA yang dicari. Lalu kita mencari DIA. Merayu, memohon, meratap, berdoa, berharap dan bertawakkal. Itulah sebenarnya. Mencari DIA secara terus tanpa melalui sesiapa.

Sabtu, 3 Julai 2010

Hadiah buat ABAH..

"Aisyah tahu, hadiah apa yang boleh diberikan kepada mak Aisyah yang sudah meninggal?" saya cuba pancing perhatian Aisyah ketika waktu akhir tasmik di dalam surau.

Kanak-kanak berkulit sawo matang itu menggelengkan kepalanya yang tertunduk.

"Kita tidak boleh memberikan hadiah berupa benda yang boleh disentuh walau semahal mana pun harganya Aisyah," imbasan wajah abah yang hampir dua minggu meninggalkan saya memenuhi pandangan.

"Hadiah seorang anak untuk ibu dan bapa yang telah meninggal adalah menjadi anak yang soleh dan solehah selain menyedekahkan bacaan ayat al-Quran seperti surah Yaasin," airmata sudah memecahi bentong tubir mata anak yang kehilangan ibu kerana melahirkannya.

Hati saya tersentuh kala itu. Sekurangnya saya sempat bersama abah selama 32 tahun. Merindui abah saya masih bertemankan kenangan abah yang terlipat kemas dalam pita memori. Anak itu tidak sempat merasai belaian dan sentuhan seorang ibu. Namun saya kuatkan semangat untuk memberi motivasi kepadanya agar bersungguh-sungguh mengenali dan membaca huruf-huruf al-Quran. Dia bukannya seorang kanak-kanak yang memiliki memori terlalu lemah. Namun sikapnya membuatkan dia memperolehi nombor yang agak corot dalam kelas. Saya mengandaikan dia kekurangan sesuatu. Kekurangan kasih-sayang.

Sabtu.

Satu hari lagi yang terakam sebagai hari dalam sejarah dalam hidup saya yang tidak akan dilupai.

19 Jun 2010 bersamaan 6 Rejab 1431H. Tarikh abah pergi meninggalkan kami dengan melangkah ke alam sana. Sedihnya kaki hendak melangkah pulang untuk meniggalkan abah seorang diri ketika usai pengebumian beliau. Perasaan berbeza berbanding di penghujung hayatnya yang kerap ditinggalkan seorang diri di rumah untuk membeli barang keperluan. Bukan tidak dipelawa. Namun abah selesa di rumah dan mengizinkan kami keluar tanpanya.

Membuat apa sahaja teringatkan abah. Ke mana-mana sahaja ada bayangan abah. Hatta ketika memandu juga masih terngiang-ngiang nasihatnya agar mengutamakan pembonceng motorsikal dan pejalan kaki di sebelah kiri.

Sebelum perginya abah meninggalkan pesanan.

Pesanan kepada Kak Ngah agar mengambil lesen memandu kerana tidak mungkin abah dapat menghantarnya kelak.
Pesanan kepada adik agar belajar bersungguh-sungguh agar dapat menjadi doktor.
Pesanan kepada kami 5 beradik sejak adik lahir agar dapat mengganti tanggungjawab beliau menyara adik bongsu yang sekarang di tahun 5.

Allah tahu kami mampu hidup tanpa seorang abah. Semangat emak bercampur nasihat abah membentuk kami adik-beradik untuk terus menongkah arus hidup dengan berpaling ke belakang untuk mengambil pengajaran. Merenung ke hadapan untuk membina empayar hidup agar selari dengan al-Quran dan as-sunnah selagi malaikat maut tidak menjemput ke sana untuk menyertai abah.

Sekarang ini bagi saya maut terlalu dekat. Tanpa ada sekatan antara kita manusia dengan maut.

"Allah beritahu tak bila kita akan mati?" memancing perhatian murid tahap 1 bukanlah perkara mudah bagi saya.

"Tak.....," bergema ruang kelas.

"Jika Allah beritahu tarikh kita akan mati maka mudahlah kita membuat persiapan sebelum mati. Kita tidak akan bermain-main lagi. Mati kita juga insyAllah akan dalam keadaan baik."

"Namun kerana kita tidak tahu bila akan mati maka ramainya matinya dalam keadaan tidak baik."

"Maka bagaimana kita hendak mati dalam keadaan baik?" persoalan yang hanya mendapat renungan tanda tanya pada setiap wajah anak-anak kecik sebersih kain putih itu.

"Sentiasa berbuat baik dan cuba menghindari walau secubit kejahatan dan dosa. InsyAllah hidup yang tidak tahu bila akhirnya akan berakhir dalam keadaan baik."

Beberapa contoh dibawakan agar kanak-kanak itu lebih mudah memahaminya.

Pengukuhan akidah disertai ibadah. Disulami sirah sebagai teladan. Disempurnakan dengan adab mampu membawa anak-anak ini menuju jalan hak dengan rahmat dan izin Allah Taala. Menghindari jalan batil. Menghampiri masjid. Menghindari pub dan disko. Menghampiri majlis ilmu. Menghindari hubungan luar nikah. Menghampiri kerja-kerja amal. Menghindari buang bayi. Itu harapan guru yang mengajar dan mendidik.

Rasanya tidak perlu pendidikan seks di sekolah. Cukuplah memperkasakan Pendidikan Islam yang sedia ada dengan setiap guru mentajdidkan niat. Menghadirkan ikhlas. Ibu bapa memberi sokongan dan dokongan bersama kerana peratus kehidupan anak anda adalah bersama anda berbanding hanya beberapa jam sahaja bersama guru.

*** Allah telah hadirkan pelangi yang cantik setelah perginya guruh dan petir yang menakutkan***

Sabtu, 19 Jun 2010

Bicara anak kecil kepada abahnya.

"Anak abah belajar rajin-rajin ya nanti besar jadi cikgu," dari corong telefon suara abah di seberang sana jelas sebutir-sebutir.

"Baik abah," anak perempuan di seberang sini mengiyakan walaupon guru tidak pernah tersenarai dalam cita-citanya.

Itu kisah 24 tahun lalu ketika anak itu masih kanak-kanak. Abahnya juga masih muda, kuat dan bertenaga.

Masa bertambah. Anak itu remaja dan dewasa. Belajar dan bekerja. Abahnya juga makin berusia, tua, berkedut dan tenaga makin kurang.

Abah masih mengeluarkan butir-butir nasihat terutama ketika berduaan dengan anaknya. Hatta sekecil-kecil panduan ketika memandu di jalan raya, falsafah kehidupan dan masa depan. Cuma caranya berbeza. Cara dewasa. Tidak lagi nasihat sambil mengusap kepala anak perempuan sulongnya itu. Anak itu juga tidak mengadu masalah dengan rengekkan manja.

Kini anak yang sudah dewasa itu rindu dan ingin kembali menjadi anak kecil kepada abah yang disayanginya.

"Abah, bangunlah abah."

"Abah, Kak Long sayang abah."

"Abah, Kak Long nak dengar suara abah dan cerita-cerita abah ketika dalam tentera dulu."

"Abah, bangunlah abah kata nak pergi berkelah sama-sama."

"Abah kata nak makan pizza Radix."

"Abah kata nak pi Mekah, jom la kita pi sama-sama sekali dengan mak."

"Abah, Kak Long tak sanggup tengok abah bernafas menggunakan mesin dengan wayar berselirat di seluruh badan."

"Abah mengajar Kak Long tabah dan berdikari tetapi Kak Long tetap nak abah sihat dan dapat bersama-sama kami.'

"Ya Allah, sedarkanlah abahku, sembuhkanlah dia, sihatkanlah dia, rahmatilah dia."

*********
Anak itu adalah saya. Abah itu adalah abah saya yang kini koma di ICU yang disahkan barah hati tahap kritikal.

Abah saya yang dulu periang dan ramah kini diam. Abah saya yang menceriakan kawasan perumahan kami kini sunyi tanpa bunyi enjin motorsikal abah dan suara abah yang kerap menyapa jiran-jiran.

Khamis, 27 Mei 2010

Hak dicipta ditunaikan.

Hak. Berbicara tentang hak. Setiap manusia mahu haknya ditunaikan. Namun hanya minoriti yang menunaikan hak manusia di sekelilingnya. Sepertimana konsep 'erti hidup pada yang memberi'. Rasanya dapatlah juga disamakan 'erti hidup pada yang menyempurnakan hak'.

Lima minit terlewat masuk ke kelas. Lima minit jugalah hak murid-murid yang tidak ditunaikan. Tiga minit terlebih masa setelah loceng berbunyi. Tiga minit jugalah hak guru selepas masa kita telah dicuri. Muhasabah. Diri sendiri jua masih tidak dapat menunaikan hak yang sekecil-kecil ini. Semuanya akan diperhitungkan kelak. Kata-kata pensyarah senantiasa terngiang-ngiang tentang bab menunaikan hak ketika kerja yang akan membabitkan soal gaji, rezeki dan berturutan sehingga masa depan serta keturunan dan generasi. Getar apabila kata-kata itu berbisik kembali di gegendang telinga. Semoga kata-kata itu menjadi pemangkin agar hak yang sekecil-sekecilnya dapat dilaksanakan sebaik mungkin selagi oksigen masih mampu dipam oleh paru-paru.
Seorang ibu dan ayah menunaikan hak kepada anak-anak yang dikendong, dilahir dan dibesarkan. Namun mampukah setiap anak menunaikan hak ibu bapa mereka terutama setelah ibu bapa itu tiada punya kudrat untuk bergerak?

Tidak dinafikan wujud ibu bapa yang tidak menyempurnakan hak terhadap anak-anak yang dilahirkan seputih kain. Malah ibu bapa itu juga disebut telah menderhakai anak-anak. Sebermula seorang bapa yang tidak mencari calon ibu yang baik untuk mendidik anak-anaknya. Berlarutan di dalam institusi rumahtangga yang dibina itu sehingga membabitkan anak-anak seterusnya generasi masa depan. Kesannya cukup memakan masa. Hakikat kita yang senantiasa berasakan perkara itu kecil jarang nampak kesan masa depan yang ghaib.

Allah tidak pernah mengabaikan hak setiap hamba-Nya. Namun hamba sering melupakan perintah Allah yang sebenarnya bukanlah sia-sia untuk ditunaikan. Sering bertangguh untuk melaksanakan yang sebenarnya masa tetap berjalan pada paksinya tanpa menanti walau sesaat.

"Tarik nafas semua dan semasa melepaskannya ucapkanlah 'Alhamdulillah'," sesi regangan setelah tengahari menyebabkan tumpuan murid-murid lari dari pengajaran.

"Apa yang kamu rasa?"

"Segar," mata masing-masing kembali bugar.

"Pernah tak seketika kamu semua rasa tidak boleh bernafas?"

"Tak pernah," bergema kelas dengan jawapan.

"Allah tidak pernah mempersiakan hak terhadap setiap hamba-nya walaupun kepada hamba-Nya yang tidak beriman kepada-Nya."

"Cuba gerakkan tangan dan kaki kamu, tengok dan fikir bagaimana dapat digerakkan jika nafas terhenti walaupun hanya seketika."

Masing-masing mempraktikkan arahan yang diberi dengan patuh. Realitinya kanak-kanak memang suka pada gerakan. Pengajaran dan pembelajaran yang kaku bagi mereka membosankan.

"Tidak bolehkan?" jawapan berbentuk soalan diutarakan.

"Jadi cuba renungkan, terlalu banyak anugerah Allah terhadap kita berbanding perintah yang hanya sedikit disuruh sepanjang hidup."

"Apalah sangat solat yang hanya 5 waktu di mana setiap waktu hanya memakan masa selama 5 minit berbanding anugerah-Nya yang membolehkan kita bergerak sehingga dapat meneroka angkasa."

Subhanallah. Subhanallah. Subhanallah.

Rasulullah menunaikan hak terhadap umatnya sehingga ke akhir usia masih mengingati kita. Berjuang agar kalimah LAILA HA ILLA ALLAH ada di hati setiap umatnya.

"Kamu semua cinta Nabi tak?" perhimpunan pagi bagi menumbuhkan rasa kehambaan yang jitu melalui manusia agung kekasih Allah.

"Cinta!!!."

"Bagaimana kamu mencintai manusia yang tidak pernah kamu lihat?"

"Baca buku."

"Dengar cerita."

Pelbagai jawapan yang diterima dari tahap murid yang berbeza.

"Ya, kamu hebat dapat mencintai Rasul yang telah wafat beratus tahun lalu namun Rasul junjungan lagi hebat kerana mencintai kita umatnya yang masih belum lahir ketika itu malah didoai umatnya sehingga akhir zaman.

'Jangan dituntut hak kita ditunaikan sebelum merenung adakah hak mereka telah kita tunaikan'

**** Hak blog ini juga perlu ditunaikan kerana ia diwujudkan untuk coretan memperingatkan diri dan sesiapa yang membaca. Namun 2010 ia agak terabai. Adakala datang rasa bersalah.****

Matahari tetap menunaikan hak terhadap seluruh penduduk bumi agar aktiviti kehidupan tetap diteruskan.

Jadilah seperti matahari yang menyinari seluruh alam. Memberi manfaat setelah diberi peranan oleh pencipta. Jika sehari matahari tidak bercahaya akan kucar-kacirlah kehidupan.

Khamis, 20 Mei 2010

Berbicara tentang CINTA

Semalam telah khatam buku 'Murabbi Cinta' karangan Ustaz Hasrizal. Seperti dua buah buku sebelumnya, buku ini juga membuatkan berbaloi dibeli, dimiliki dan dibacai. Lebih mantap jika dapat diadaptasi di pentas realiti. Ada nilai hasil buah idea ustaz dari Allah yang dicerna hasil penelitian ke atas setiap bait kata-kata. Puas. Alhamdulillah.

Sebut tentang cinta. Ramai yang berasa janggal apabila ustaz dan ustazah berbicara tentangnya. Tambah-tambahan bila cinta terhadap manusia. Para ustaz dan ustazah sendiri juga telah meletakkan diri mereka seolah-olah kebal dari panahan cinta manusia. Cinta itu fitrah. Cinta itu tidak bersalah. Rasulullah juga telah melengkapkan fitrah ini dengan mencintai manusia. Memang tidak dapat disangkal bahawa cinta Allah adalah yang teratas. Cinta yang benar adalah cinta yang berlandaskan cinta-Nya. Ada garis panduan. Ada sekatan agar cinta itu tidak tersasar. Ada cahaya yang diberi-Nya agar cinta itu kian mekar dengan cara yang halal sehingga ke syurga.

Bercinta dengan berpandukan hidayah-Nya.
Bersama tidak bosan. Berpisah tidak gundah.
Bercinta dengan mengharapkan bantuan-Nya.
Tiada kesangsian pada apa yang terjadi. Menerima segalanya dengan rasa ia bersesuaian dengan kemampuan sendiri.
Bercintalah dengan rasa cinta terhadap-Nya kian subur setiap detik ke detik.
Segala suka dan duka dihamburkan kepada-Nya.
Jangan menolak cinta jika cinta itu dapat membawa kepada DIA.

"Mengikut bancian antara orang dahulu dan orang sekarang yang manakah lebih tinggi berlaku perceraian?" seorang guru mencetus persoalan untuk dibahaskan.

"Orang dulu bercerai tidak direkodkan dan diwar-warkan seperti di media," jawab guru lain spontan.

Hati saya mengiyakan. Namun tidak diberi tumpuan pada perbincangan tersebut kerana melangsaikan kerja sebelum peperiksaan pertengahan tahun bermula pada minggu hadapan.

"Kak nak buat kajian tentang perkara ini," berseloroh guru yang mencetuskan persoalan ini.

"Bagus juga tu Kak sertakan sekali punca-puncanya di samping cara atasinya agar hasil kajian akak tu lengkap. Mudah-mudahan dibukukan untuk kebaikan ummah," secara serius saya mencadangkan kerana rasa menarik untuk direalisasikan.

Guru itu ketawa dengan usul saya itu. Barangkali usul suka-suka itu sudah bertukar menjadi serius.

Berpisah mungkin kerana tiada jodoh. Namun tidak salah mencari punca dan akibatnya. Juga cara mengatasinya agar retak yang menanti dalam rumahtangga tidak terbelah.

Hiduplah dengan niat mahu memberi. Itu lebih bermakna dari hidup yang hanya mahu menerima. Mungkin kata-kata yang saya pinjam ini adalah satu daripada beribu cara untuk membuatkan cinta dan sesuatu hubungan itu kian menyala sehingga ke syurga walaupun masing-masing ternyata memiliki kelemahan.

Cinta yang indah apabila berasakan kualitinya walaupun sekejap daripada lama namun kosong dan suram.
Cinta bukan sekadar hanya kata-kata yang indah. Cinta adalah perlakuan yang ditonjolkan.

Jangan memaksa untuk menjadi Rabiatul Adawiyah jika naluri Muhammad kuat mengalir dalam diri. Syariatullah yang bersulamkan sunnatullah itu lebih indah gabungannya.

Saya mengharapkan cinta sebegini hadir dalam hidup saya dan anda sekalian. Amin.

Sabtu, 15 Mei 2010

Te..ri..ma kasih Cikguuuuuuu !!! ( versi Upin&Ipin )

"Eh, Cikgu Rohani datang," seorang rakan beramal menyedarkan semua murid tahun 6 Biru dari hiruk-pikuk akibat ketiadaan guru di dalam kelas.

Masing-masing bergerak menuju ke kerusi dengan pantas. Seperti dapat mengagak derapan langkah guru kelas itu masing-masing berada di tempat duduk sendiri sebelum guru itu sampai di muka pintu kelas. Masing-masing kelu. Malah ada yang sempat membuka buku teks untuk dibaca. Ada juga yang berpura-pura menyiapkan latihan. Bak kata lakonan masing-masing memang mantap. Jika ada anugerah pada ketika itu masing-masing akan menggondol hadiah mengikut kategori yang berbeza untuk dibawa pulang.

Cikgu Rohani berbadan gempal. Berkaca mata tebal. Berkulit sawo matang. Mengikat skarf ke belakang adalah seorang guru yang garang. Dia merupakan guru kelas yang mengajar mata pelajaran matematik dan alam manusia. Tiada murid yang berani mengangkat muka ketika ditengking jika ada seorang murid yang tidak menyiapkan latihan matematik. Paling digeruni apabila setiap kerja rumah itu perlu dibentangkan di papan hijau di hadapan kelas. Jika bermula dengan kumpulan A maka setiap ahli kumpulan perlu ke hadapan. Secara perlahan setiap murid mengira samada nombor latihan itu sampai atau tidak kepada dirinya. Jika tidak sampai maka jawapannya adalah selamat. Jika latihan yang diberi itu banyak maka hampir keseluruhan murid perlu ke hadapan.

Jika latihan yang ditulis betul jalan kira dan jawapannya maka akan dapat duduk dengan selamat. Jika sebaliknya perlu menahan usus besar dan kecil akibat dipulas perut. Situasi yang menakutkan ketika di sekolah rendah ketika itu. Mahu tidak mahu, murid yang bijak matematik akan menjadi sasaran ditiru jawapan setiap pagi sebelum loceng kelas bermula.

Saya beruntung. Berada di dalam kumpulan A di bahagian tengah. Bersama 3 lagi rakan. Seorang murid perempuan yang celik jawi. Boleh dikatakan dia adalah guru pertama yang membuatkan saya menjadi celik jawi. Dua orang murid lelaki yang masing-masing bijak matematik dan English. Kami akrab. Umpama berlaku perjanjian MOU antara kami apabila masing-masing secara automatiknya akan membantu kelemahan sesama sendiri pada semua mata pelajaran.

Fadzil dan Anuar akan menulis terjemahan Bahasa Melayu yang dibaca oleh saya dan Ina di bawah teks jawi sebelum ustaz masuk ke kelas untuk mata pelajaran agama. Cara ustaz itu mengajar menggerunkan murid-murid yang tidak mengenal huruf jawi. Murid yang dituding jari olehnya perlu membaca tanpa banyak bicara. Walhal dia bukanlah ustaz yang garang. Namun entah apa yang ditakuti oleh rakan-rakan, saya sendiri tidak tahu.

Fadzil pula adalah penterjemah bagi perkataan-perkataan English yang kami bertiga tidak faham. Anuar pula sering menjadi guru tanpa gaji apabila tanpa jemu menunjuk ajar formula matematik kepada kami. Adakala diberikan bukunya untuk ditiru apabila sudah kesuntukkan masa.

Itulah antara sebahagian guru langsung dan tidak langsung saya ketika kecil. Ilmu mereka sungguh saya hargai dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya. Membentuk saya menjadi manusia seperti hari ini. Sejak berpisah ketika usia 12 tahun, kami tidak pernah bertemu. Namun kerana mereka guru saya, tetap didoakan agar mereka bahagia dalam rahmat Allah Taala.

Sepanjang hidup sehingga kini terlalu ramai guru-guru saya. Semuanya saya hargai. Semuanya saya doai. Guru secara langsung di tiga buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah. Para pensyarah di Kusza. Doktor dan Doktoroh di Universiti Al-Azhar cawangan Iskandariah. Juga buat Sir ketika kursus Skim Latihan Graduan dan arwah ustaz ketika kursus Bahasa Arab.

Guru secara tidak langsung yang hadir dalam hidup ini. Hampir semua yang dikenali pernah memberi ilmu kepada saya walaupun hanya sedikit. Kalian memang guru yang memanusiakan saya. Mendewasakan saya dan mematangkan saya. Jasa kalian tidak dapat mampu dibalas dengan material oleh saya manusia yang terbatas dari itu semua. Namun saya mampu berdoa dan terus berdoa selagi saya bernyawa agar kalian dirahmati Ilahi di dunia dan akhirat.

'Jika memandang seorang manusia, pandanglah pada sudut kelebihannya. Maka dari situ akan terbit imunya yang boleh dikutip buat bekalan hidup kita. Jangan dipandang kelemahannya kerana dari situ akan timbul rasa benci dan meluat yang akan menimbulkan sengketa dan perpecahan ummah.'

Khamis, 6 Mei 2010

Matahariku.

Dahulu saya hanya nampak cantiknya bulan. Tidak pernah dipedulikan pada matahari. Baru-baru ini baru saya sedari bahawa matahari juga sebenarnya cantik dan indah. Ia bermula di awal pagi dalam perjalanan ke tempat kerja ketika matahari bangun dari beraduan untuk memulakan tugas menukar shift dengan bulan. Bebolanya yang berwarna agak merah jambu ketika mengeliat untuk memulakan tugas menampakkan matahari tidak garang seperti sediakala.

Adakala ketika saya melewati tempat yang sama ia beransur-ansur naik dengan gerakan yang perlahan. Sungguh indah. Lantas sebelah tangan mencari kamera di dalam beg untuk mengabdikan kecantikan di dalam gambar. Namun gagal. Keselamatan diri dan pemandu lain di jalanraya lebih diutamakan. Pastinya esok pasti akan bertemu lagi dengan bebola matahari itu walau dalam apa warna dan gerakan sekalipun. Lantas kerinduan terhadapnya akan terubat walau hanya selintas pandang sebelum ia naik menerangkan alam.

Maha suci Allah yang cantik. Menjadikan setiap ciptaan-Nya cantik, indah dan menarik. Cuba perhatikan pada setiap ciptaan-Nya pasti ada kecantikan samada terzahir atau tersembunyi yang perlu memakan masa mencarinya. Carilah juga kebaikan dan manfaatnya pastinya akan bertemu. Bila dijumpai kedua-duanya maka akan menimbulkan suka. Suka pada kewujudannya. Lebih menghargainya. Pastinya tiada ciptaan Allah yang dijadikan secara sia-sia. Ada manfaat dan peranan yang saling berkait dan melengkapi.

"Ermm..berapa harga bunga matahari tu ye dik?" rembang di tapak konvo, saya di gerai menjual pelbagai jenis bunga.

"Sejambak RM 5 kak, akak nak ke?" pelajar perempuan beramah mesra melayan pelanggan sambil tersenyum.

"Oklah..akak nak sejambak," minat pada bunga matahari yang tidak tahu muncul sejak bila.

"Akak tolong tulis nama dan alamat penerima di sini ya," adik itu memberi secebis kertas dan pen.

"Hehe..akak nak beli untuk diri sendiri la dik," adik itu tersenyum.

"Ohh..untuk akak sendiri..ok saya akan bungkuskan," senyumnya masih belum hilang. Barangkali rasa saya ini kekurangan kawan sehingga terpaksa membeli bunga untuk diri sendiri.

Jambak itu diletakkan di atas meja belajar. Peniup semangat jika mata kelam ketika mengulangkaji pelajaran. Penaik ceria ketika malas menguasai diri agar tekun belajar. Bukan setakat jambak itu malah kertas dinding juga bersumberkan bunga matahari. Saya suka suasana itu. Ceria. Sesuai buat saya yang sering sendirian di bilik. Nasib badan 2 tahun berturut-turut mendapat kawan sebilik berasal dari Terengganu yang akan pulang ke kampung setiap kali cuti hujung minggu.

Kebahagiaan tidak hanya terletak pada satu-satu perkara yang merupakan kebiasaan yang dimiliki ramai orang. Jika tidak dikurniai seperti orang lain. Carilah alternatif berbeza sebagai pengganti. Banyak cara untuk memiliki bahagia. Hanya diri kita yang berhak mencipta bahagia itu dengan izin Allah Taala.

Itu kisah saya di Kolej yang sudah lama ditinggalkan. Jambak itu masih ada. Sudah tidak kembang seperti dulu. Banyak helai daun dan kuntum bunganya hilang. Lekang dari tangkai plastiknya. Namun rutin tidak pernah saya abaikan. Merendam bila habuk dan kekotoran mula melekat. Menjemur di cuaca yang tidak berapa terik. Mengubah semula di dalam pasu agar nampak cantik. Barangkali rutin itu tidak akan diabai sehingga daun dan kuntumnya gugur ke semuanya. Juga sehingga roh ini masih berada dalam jasad.

'Hidup memberi lebih bermakna dari menerima. Jika semua belajar untuk memberi. Tiada yang akan rasa tersisih jika tidak diberi. Akan resah dan mencari untuk memberi.'

***Sedang belajar meggunakan kata nama 'saya' di dalam penulisan blog kerdil ini. Rasa agak janggal. Namun akan dibiasakan sehingga rasa selesa. Kesopanannya sudah terasa. Agak lembut dari segi sebutannya***

Isnin, 3 Mei 2010

Kenali musuh anda - IBLIS-


PENGENALAN DIRI

Nama penuh : Iblis laknatullah
Tarikh lahir : Sejak ia enggan sujud kepada Nabi Adam apabila disuruh oleh Allah.
Status diri : Fasiq kelas pertama.
Agama : Kufur atau kafir.
Tempat tinggal : Di hati orang yang lalai.
Kawasan / daerah : Tiada orang mengingati Allah.
Arah perjalanan : Bengkak-bengkok ( tiada haluan )
Alamat tetap : Neraka Jahanam.

STATUS PERNIAGAAN

Modal pusingan : Angan-angan kosong.
Tempat pertemuan : Pasar.
Musuh / saingan : Tiap-tiap orang Islam.
Dalil atau hujah : Fatamorgana ( maya ).
Motto : Banyakkan riba dan hipokrasi.
Uniform kerja : Segala warna
Kesukaannya : Orang yang lalai mengingati Allah.
Yang melemahkan dan menjatuhkan : Istighfar / al-Quran.
Lambang koporat : Sebarang tatu.
Pejabat : Dalam tandas atau bilik air.
Sifatnya : Muzabzab, Mengikut angin, mengikut keperluan.
Rakan-rakan kongsi : Golongan munafik, jin-jin, syaitan-syaitan.
Sumber rezeki : Harta haram.
Bilik operasi : Tempat-tempat najis atau maksiat.
Jenis perkhidmatan : Menyuruh yang mungkar dan menggalakkannya.
Arahannya : Selalu mengarahkan manusia melakukan kejahatan.
Jawatan : General Manger dari golongan-golongan 'al-Maghdubi' dan 'al-Dholin'.
Tempoh perkhidmatan : Sampai kiamat.
Hala perjalanan : Ke neraka.
Label perniagaan : Mabbaan manthura ( masuk angin keluar asap ).
Tema sejawat : Orang yang berdiam diri dari menyatakan kebenaran.
Ganjaran / gaji : Dosa dan segala jenisnya.
Kaedah komunikasi : Mengumpat, adu domba dan mengintip.
Makanan yang disukai : Daging orang mati ( mengumpat ).
Yang ditakut / dibenci : Mukmin yang bertakwa dan selalu mengingati Allah.
Daya tahan : Sesungguhnya tipu daya syaitan amat lemah.
Perangkapnya : Wanita / perempuan.
Kegemarannya : Menggoda dan menyesatkan.
Cita-cita : Supaya semua manusia sesat.
Ajalnya : Pada waktu menjelang kiamat.
Kerja yang paling disukai : Homoseks dan lesbian.
Kod isyarat pertuturan : 'Aku'
Para penghiburnya : Penyanyi yang melalaikan.
Janji-janjinya : Menjanjikan kefakiran.
Menyebabkan dia menangis : Bila mana manusia sujud kepada Allah.

Dipetik dan disusun dari kitab :

AL-WIQAYAH MINAL JIN WAS SYAITAN.

Risalah tazkirah KUSZA.

Rabu, 14 April 2010

Muram itu mendung..senyum itu pelangi :-)

"Ermm, kenapa tiba-tiba rasa happy tanpa sebab ni?" sambil menuruni tangga soalan itu bermain di minda.

Rasa gembira yang datang tanpa diundang. Sudah datang mahu dijemput agar menjadi penghuni perasaan untuk selama-lamanya. Namun itu mustahil kerana manusia itu baharu. Sedih pasti jua datang menghimpit diruang hati. Itu normal. Cuma cara setiap manusia mengendalikan perasaan yang pelbagai itu yang membezakannya.

Jika gembira perlu ditonjolkan agar tempias auranya yang indah menimpai seberapa insan sekeliling.

Jika duka perlu disorokkan agar kesuraman dan kemalapan tidak turut sama dirasai oleh insan lain.

Tempat duduk belakang kereta dibuka untuk meletakkan barang. Mata terpandang buku teks murid yang tersadai kaku. Ada kekurangan nampaknya.

"Hmm, tertinggal buku teks murid tahun 2 la," diri ini telah menjumpai jawapan.

Masalah jika tidak membawa pulang. Tekad untuk menyiapkan soalan bagi ujian kedua pada hari ini untuk diserahkan keesokkan hari. Lantas kaki melangkah naik semula ke bilik guru.

Kejauhan, retina menangkap objek beg komputer riba duduk menegak di kerusiku.

"Mujur saya tak tinggal laptop," ujarku kepada 2 orang guru yang masih menyiapkan tugasan di bilik guru.

"Haa, mujur cepat..kalau tak bilik guru memang akan dikunci sebentar lagi, jawabnya kena pi cari kunci kat pejabat pula la," kata seorang guru sambil tangan masih rancak menulis.

"Tu la kak, dah la hari ini nak balik siapkan soalan," tali beg digalas ke bahu sambil tangan membawa buku.

"Kalau macam tu, dah terlepas jauh pun mesti patah balik ke sekolah la jawabnya," bibir aku tersenyum mengenangkan perlu berpatah semula jika tayar kereta sudah bergolek sampai ke Sungai Petani. Letihnya perlu menambah 40 minit lagi masanya. Jawapannya adalah meminta bantuan kerani untuk kali kedua untuk membawa pulang komputer riba ini kerana dia juga tinggal di Sungai Petani.

"Alhamdulillah," kalimah itu yang keluar dari bibir sambil keluar dari bilik guru.

Hikmah gembira sebelum berlaku peristiwa. Sebenarnya sudah beberapa kali berlaku dalam hidup ini namun tidak diambil perhatian. Sepertimana gembira juga berlaku rasa sedih sebelum mengetahui sesuatu keadaan duka yang bakal berlaku. Namun seringkali ditepis agar tidak benar-benar berlaku. Walaupun begitu jika telah tersurat akan berlaku jua. Rentetan dari peristiwa itu adalah tarbiah sabar dan redha. Manisnya akan diperolehi apabila bersabar dengan keadaan duka yang diberikan.

'La taqaf wa la tahzan..innallah ha ma'ana'
(Jangan takut jangan sedih, sesungguhnya Allah bersama-sama kita)

Ayat Allah ini sentiasa menjadi peganganku agar hidup ini bukanlah sekadar dibiarkan perasaan takut dan sedih mengelumangi kebahagiaan. Tidak sama sekali. Kita berhak untuk bahagia ketika hidup sementara. Bahagia didunia untuk memperolehi bahagia di akhirat.

'Jika anda mampu membuat diri anda indah maka anda akan mampu melihat keindahan tiap-tiap sesuatu yang anda pandang' ~ petikan pedoman dari buku 'Be a happiest women' karangan DR A'IDH ABDULLAH AL-QARNI.

*******
'Mati..mati..mati'

Sedih dan gusar membaca status dalam laman sosial. Seseorang yang kukenal rapat. Luahan rasa seorang remaja yang putus cinta dengan seorang lelaki yang dikenali di IPTA. Mungkin itu kesan awal sebelum hati bertemu dengan hati yang sebenarnya ditetapkan oleh Allah. Namun tidak senang apabila rasa itu meletakkan seorang muslimah yang mempunyai iman mengikut perasaan sebegitu rupa. Meletakkan perisai bagi menepis nasihat. Justeru rasa sedih sehingga hendak mati itu juga yang dituruti.

Remaja hari ini meletakkan hubungan luar nikah itu satu kemestian. Keseronokkan bergelumang dengan bunga-bunga cinta di taman larangan. Apabila tercucuk duri perbalahan maka pedihnya akan dirasa sehingga ke tulang.

"Orang dahulu sampai hendak kahwin pun hanya pernah sekali bersua muka bagi mengenali paras sebelum berumahtangga. Orang sekarang ikhtilat sudah menjadi adat apabila bertemu sehingga sudah tidak ada rasa malu pada Allah Taala," bicara seorang wanita lewat petang hujung minggu lalu kepadaku.

"Zaman sekarang jika hendak berumahtangga perlu begitu. Jika tidak sampai ke tua masih tiada teman," kata seorang yang juga kukenali pada waktu yang kulupa tarikhnya.

Tiada salah untuk berkenalan. Mengenali hati budi masing-masing. Sepertimana hujah Ustaz Hasrizal dalam facebook bahawa masa itu adalah untuk mengenali dengan sekatan batas yang diletakkan Islam agar perkahwinan kelak berkekalan sehingga ke akhir hayat. Cetusan itu berdasarkan statistik perceraian yang meningkat akhir-akhir ini.

Perlu ada penyelesaian untuk setiap masalah yang datang. Kursus perkahwinan bukan sekadar penuh dengan lawak tidak beradab. Perlu ada penekanan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah.

'Aku terima nikahnya' dan ' Bercinta sampai ke syurga' adalah 2 buku yang puas dihadam isinya. Pengalaman bukan sekadar teori kaku yang diaptasikan oleh Ustaz Hasrizal mengajak para suami dan isteri bukan sekadar menjadikan hidup berumahtangga erti menerima yang menimbulkan rasa tidak puas hati apabila kegagalan satu pihak melaksanakan sesuatu amanah. Erti memberi itu lebih besar nilainya bukan kepada suami isteri sahaja malah antara manusia sesama manusia amnya.

Sedang mencari buku ketiga sambungan 'Bercinta sampai ke syurga.'

Isnin, 12 April 2010

Pakej perjalanan ke alam kekal

Hayati pengalaman sekali seumur hidup
BUTIRAN PERIBADI

Nama penuh : Hamba Allah
Nama gelaran : Insan
Asal : tanah
Alamat : planet bumi


BUTIRAN PERJALANAN

Terbuka kepada semua umat Islam. Anda layak menyertai pakej ini secara percuma.

Bentuk tempahan : tetap, pasti, mesti & tidak boleh diubah

Balai berlepas : kehidupan dunia

Destinasi dituju : alam akhirat

Tempoh dan jarak perjalanan : seketika cuma dan hanya beberapa meter dari perut bumi.

Jarak perjalanan
Pendaftaran/ check in : ketika dan sebaik sahaja nyawa dipisahkan dari jasad


MUATAN YANG DIBENARKAN

Kain putih berukuran 5 meter panjang
Kapas putih secukupnya
Muatan yang akan dipertimbangkan :

  • Amal soleh
  • Sedekah jariah
  • Anak-anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya
  • Ilmu yang bermanfaat

* Lain-lain muatan yang ditegah adalah tanggungjawab sendiri. Barangsiapa melanggar peraturan yang ditetapkan akan dibicarakan dan didenda.

PERINGATAN PERJALANAN

Khas kepada semua penumpang. Sila ambil perhatian kerana anda akan merentasi perjalanan dengan meninggalkan segala kehidupan di dunia dan melangkah ke alam baru iaitu akhirat. Sila perhatikan ketua anda ( pilot ) atau juruterbang yang dikhaskan iaitu Malaikat Maut. Bagi anda yang masih kabur dan kurang faham. Dapatkan maklumat lanjut daripada al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w serta mengikutinya dengan penuh taat. Sebarang masalah dan kemusykilan, silalah rujuk kepada para cendekiawan dan para ulama'.

*************

Pagi yang agak kalut. Ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah. Nyawa masih panjang maka terselamat. Hampir bergesel dengan sebuah pacuan empat roda. Akibat kelalaian kedua-dua pihak kerana tidak memberi isyarat arah. Malah kedua-dua berada di lorong yang tidak selari dengan arah yang hendak ditujui. Segala-galanya berlaku terlalu pantas.

Alhamdulillah masih diberi ruang menapak lantai bumi. Diberi ruang menghirup udara percuma. Melihat membirunya bumbung langit. Buat khusyuk memandang hijaunya dinding alam. Mendengar alunan beburung dan unggas berzikir. Peluang hidup bukan untuk disia-siakan. Peluang untuk memberi manfaat kepada semua makhluk tuhan. Juga peluang mengambil manfaat dari setiap makhluk yang tercipta. Malah dikutip dari kejadian, tragedi dan peristiwa.

Al-Fatihah buat mereka-mereka yang telah menemui pencipta.

Masa kita akan tiba. Kejadian ghaib itu sepertimana kelahiran dan pertemuan pasti akan tersingkap jua akhirnya. Pengisiannya adalah berusaha dan berdoa tanpa putus asa dari rahmat Allah agar menjadi yang terbaik dan mendapat yang terbaik di sisi-Nya.

Selasa, 6 April 2010

Sanah helwah..


Berkongsi rezeki yang banyak bermakna. Berkongsi yang sedikit lagi amat bermakna.

Ini adalah entri terakhir sebelum angka usia bertambah lagi setahun. Sudah bertambah tua.
Sudah bertambah matang. Semuanya dengan izin dan rahmat DIA yang memberi melalui
nikmat dan tarbiah dugaan. Juga mahu graf iman menaik tanpa ada penurunan. Juga mahu hidup bermakna dengan memberi makna kepada semua makhluk Allah. Hidup memberi lebih bermakna dari hidup yang hanya sekadar menerima.

Memberi perlindungan dan meneduhkan kepada sesiapa yang memerlukan.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih digerakkan paru-paru menyedut oksigen dan
mengepamnya untuk dibawa ke organ yang lain. Nikmat yang tidak terhingga kerana sehingga saat ini semua anugerah-Nya masih mampu berfungsi mengikut aturan yang ditetapkan oleh-Nya. Nikmat bukan untuk disia-siakan. Juga bukan untuk disalahgunakan.

Memberi seberapa banyak yang mampu diberi tanpa mengharapkan balasan.

Terima kasih kepada mak yang mengandung, melahir dan membesarkan. Pengorbanan yang tidak menghitung harga bayarannya. Begitu juga cinta dan kasih-sayang yang diberi tanpa memohon balasan dengan kata-kata. Sebagaimana iklan Planta menayangkan kemesraan antara ibu dan anak membuat kek dan biskut menjelang Hari Raya. Begitu juga kemesraan bersama mak buat pertama kali membuat kuih raya ketika masih di sekolah rendah.

"Nanti bagitahu Tok Wan, ini biskut yang Kak Long buat," kata mak ketika mengeluarkan biskut pertama yang masak dari oven.

Saat yang amat bermakna.

Mak mengikat skaf di belakang agar kemas. Sebak. Walhal ketika itu masih belum bertudung. Hanya sekadar mahu ke kelab agama Islam untuk aktiviti ko-kurikulum di sekolah. Tahu keinginan anaknya ini hendak bertudung. Mak memulakan secara berperingkat agar dipakai terus. Bukan hanya sekadar keinginan sementara.

Pelukan mak ketika hendak terbang ke negeri orang tidak sama ketika pulang. Kepulangan lebih kemas dan kejap. Melepaskan rindu barangkali. Rindu yang tidak pernah dituturkan. Air mata yang tidak pernah ditunjukkan. Namun melalui pelaksanaan tanggungjawab yang tidak pernah diabaikan. Baru kumengerti bahawa selama ini ku disayangi seperti adik-adik yang lain. Namun dalam cara yang berbeza. Lebih tarbiah dan ketegasan selaku anak sulong.

Membantu itu lebih baik dari dibantu.

Terima kasih abah yang mencurah keringat demi membesarkan anak ini. Keringat yang tak dipinta setiap titik jatuhnya ke bumi untuk dibayar. Lelah yang mengharapkan anak ini bukan sekadar berjaya di dunia malah di akhirat.

Seperti air dingin menimpa kepala di tengah rembang ketika abah mengusap kepala ini sambil memberi nasihat dan doa.

Berkorban demi memberi kebahagiaan kepada yang disayang

Terima kasih buat semua yang memberi manfaat kepada diri ini. Manfaat ilmu, teladan, teguran dan nasihat.

'Sesungguhnya sahabat yang baik itu bukan yang hanya sekadar mengiyakan apa yang dikata. Namun yang memperbetulkan kata-kata yang salah dengan cara yang penuh hikmah.'

Cinta itu perlu untuk sebuah kedamaian.

Mencintai dan mengasihi sesama insan tanpa ada sekelumit rasa benci, dendam dan sengketa. Setiap mereka yang hadir adalah anugerah Allah yang perlu untuk dipertanggungjawabkan. Berterima kasih kepada setiap mereka yang hadir kerana pernah membahagiakan. Berdoa yang baik untuk mereka agar sejahtera di dunia dan akhirat.

Selamat pergi usia lamaku. Semoga pemergian diiringi rahmat dan berkah. Selamat datang usia baruku. Doaku agar datangnya juga diiringi rahmat dan berkat. Malah pengisiannya lebih padat dan mantap berbanding yang lalu.

***Masih menanti keadaan, kejadian, peristiwa masa depan yang ghaib tanpa mengabaikan hari ini yang perlu disusun dengan baik agar masa depan terbentuk juga dengan baik***

Khamis, 1 April 2010

Wanita idaman..

Wanita Idaman

Wanita idaman adalah yang mencintai agama tuhannya,
yang mengalir cinta, takut dan harap,
yang menguasai perjalanan kehidupan dari waktu ke waktu,
sehingga perjanjian di antara nyawa dan jasad berakhir.

Wanita idaman adalah wanita yang di mata dan di wajahnya,
terpancar sinar nur Ilahi,
lidahnya basah dengan zikrullah,
jasadnya bergaul dengan ibadah,
di sudut hati kecilnya sentiasa membesarkan Allah.

Wanita idaman adalah yang menutup auratnya,
dari pandangan lelaki ajnabi,
kehormatan dirinya menjadi maruah termahal nilainya,
disanjung tinggi penduduk langit dan bumi.

Wanita idaman adalah yang tak gentar sedikit pun dengan dugaan,
yang tidak gemar pada keluhan,
pandangannya hanya pada Tuhan,
Al-Quran diletakkan sebagai panduan.

Wanita idaman adalah yang bersyukur pada apa yang ada,
yang bersabar pada yang tiada,
cinta pada hidup yang sederhana,
yang tidak terpesona pada kemewahan dunia.

Wanita idaman menjadi diam pada dirinya sendiri,
menjadi pelita untuk putera-puteri nanti,
yang bakal ditakdirkan untuk menyambung perjuanganku di belakang hari.

Wanita yang diimpikan,
adalah yang mendekatkan hati yang telah jauh,
yang mengingatkan semula
kepada Ar-Rahman dan Ar-Rahim,
ketika aku tiada di sana kerana dilamar kebendaan dunia.

Sesungguhnya itulah wanita idaman hati,
yang selalu berada dalam doa,
sebagai suri hati,
dilahirkan khas buatku.

KUSZA

***********************

Menyelongkar almari buku telah menemukanku dengan himpunan helaian tazkirah yang telah dibukukan. Sepanjang bergelar pelajar barangkali ratusan helaian tazkirah diperolehi. Satu wadah peringatan yang dimainkan peranan oleh badan pelajar. Helaian yang terkandung ilmu dan pengajaran. Ilmu yang dapat dimanfaatkan. Juga dapat diperturunkan buat sesiapa sahaja. Walau hanya sekadar kertas yang setengahnya hampir lasam. Ia tetap bernilai sebagai rujukan dan panduan.

Kredit dari Allah buat penulis yang mengingatkan.

Lelaki acuan al-Quran


Lelaki acuan al-Quran

Lelaki acuan al-Quran ialah seorang lelaki yang beriman,
yang hanya disalut rasa takwa kepada Allah,
yang sentiasa haus dengan ilmu,
yang sentiasa dahaga dengan pahala,
yang solatnya adalah maruah dirinya,
yang tidak pernah takut berkata benar,
yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu.

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menjaga tutur katanya,
yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya.
yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya yang pelindung,
yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menghormati ibu bapanya,
yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
yang bakal menjaga keharmonian rumahtangga,
yang akan mendidik anak-anak mendalami islam,
yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
kerana dunia baginya adalah rumah sementara menunggu akhirat.

Lelaki acuan al-Quran sentiasa bersedia untuk agamanya,
yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat Saidina Abu Bakar as-Siddiq,
yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Lelaki acuan al-Quran tidak pernah membazirkan masa,
matanya kepenatan kerana kuat membaca,
yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir,
yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
bangun Subuhnya penuh dengan kecerdasan,
kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan.

Lelaki acuan al-Quran sentiasa mengingati mati,
yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
yang mana buah kehidupan itu perlu dibajai dan dijaga,
meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
kerana dia mengimpikan syurga,
di situlah rumah impiannya,
wanita acuan al-Quran.

Badan Hal Ehwal Wanita Islam,
Dewan Tertinggi Pelajar,
Kolej Agama Sultan Zainal Abidin.


Sabtu, 27 Mac 2010

Sahak, 'Aku Hidup Dalam Iman'.

"Rindu Sahak la," langkah dihayunkan secepat mungkin kerana tidak tahan bebanan beg pakaian yang dibimbit.

"Sahak mana?" dahi sahabat itu terjerut akibat hairan yang menjalar.

"Sahak 'aku hidup dalam blues' komik Ujang," seperti kerang busuk aku tersenyum mengenakan.

"Alahai ingatkan siapa la tadi, buang karan betul la kau ni," langkahnya menyaingi sudah seperti berada dalam acara berjalan kaki.

"Ok apa, rindu pada watak kartun saja bukannya watak hidup yang membuatkan dosa bertambah merindui seseorang yang tidak halal di sisi kita," sahabat itu mencebik bibirnya ke depan beberapa inci membuatkan senyumanku bertambah mekar semekar bunga matahari di hadapan rumah nyonya di kawasan perumahanku.

"Kau jaga beg kejap, nak pergi beli bahan bacaan pengubat bosan di atas bas nanti," sambil meluruskan kakinya sahabat itu menganggukkan kepala.

Ujang, Apo, Lanun, Siswa, Fokus, Mingguan Wanita dan akhbar tabloid adalah antara sasaranku mengisi kebosanan ketika dalam perjalanan untuk sampai ke Sungai Petani. Release tension. Lari sebentar dari menghadap kitab dan buku-buku teks sekolah.

"Seronok ka majalah tu?" bertemu rakan sekelas di stesen bas bertanya tentang Mingguan Wanita yang baru kubeli.

"Aaaa..seronok mengetahui ragam kehidupan manusia yang bernama wanita," ketidakpastian pada jawapan itu.

Kenapa Mingguan Wanita? Waktu itu aku masih lagi remaja. Sebetulnya baca majalah Remaja. Namun seperti ada sentuhannya yang membuatku rasa rugi membeli. Sekadar memaparkan model-model remaja cantik jelita sebagai penghias kulit. Bertubuh langsing berbaju seperti tidak cukup meter kain. Haram tu. Sekadar mengajar teknik-teknik bersolek ke majlis-majlis yang sesuai. Tabarruj tu. Info bercouple sebelum kahwin. Valentine day pun dirai. Seperti menggalakkan pula. Mendekati zina. Haram lagi tu. Hanya ruangan kesihatan dan cerita mistik sahaja diselak ketika meminjam dari rakan.

"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk".

Kenapa tidak diterbitkan majalah remaja memaparkan imej remaja muslim. Info berpakaian, adab, pergaulan cara Islam. Boleh juga aku beli.

Itu antara hujahku kepada rakan tadi yang mahu membayar majalah yang tidak kugemari itu. Lantas tangannya automatik meletakkan majalah itu dan menukarnya dengan malajah Mingguan Wanita. Aku hanya bercerita. Tiba-tiba dia berubah hati. Hanya seketika mingguan wanita yang terbit 2 kali sebulan itu pun kotolak ke tepi. Pening membaca pergolakan rumahtangga yang tidak pernah usai. Seperti biasa antara lelaki dan wanita saling menyalahkan. Bertukar pula ke Al-Islam dan Anis yang agak lebih sedikit harganya. Janjinya puas dapat ilmu.

"Haha..pakai tudung labuh tapi baca komik," sinis seorang Pak Cik tertawa melihatku membaca Ujang.

Pelik. Aku menutupnya dan melihat cover Din Beramboi dengan sebelah selipar di tangan. Rasanya tidak ada gambar lucah di situ. Juga tiada ayat-ayat sentimen berbaur politik yang penuh fitnah, caci dan cerca. Biarlah.

Aku suka komik. Separuh remajaku dengan komik. Membaca komik. Melukis kartun. Tidak cukup di buku kosong. Dalam buku aktiviti sekolah pun ada lakaran kartun bayanganku. Sehingga pernah ada senaskah komik hak ciptaku sendiri. Hero pastinya persis wajah Sahak. Kartunis termasuk dalam senarai cita-cita.

Semuanya bermula di rumah Mak Ngah. Aku suka ke rumah Mak Ngah. Berhari-hari pun tidak apa sebab di stor rumahnya ada timbunan komik terutama Gila-gila yang popular ketika zaman kanak-kanak. Anak-anak Mak Ngah boleh dikatakan membesar dengan komik. Namun mereka tidak menjadi kartun. Semuanya berjaya dengan bidang masing-masing. Mungkin disebabkan darah kartunis mengalir dalam tubuh mereka. Arwah Rejabhad (kartunis Gila-gila), bapa saudara mereka yang mengalirkan darah seni itu.

Berlanjutan di Mesir, majalah suara kampus setiap anak negeri tidak pernah kulepaskan untuk dimiliki. Ruangan komik di hadapan dan belakang antara yang terawal kubaca. Jenaka berbaur nasihat. Ada diselitkan ilmu. Kartun juga mampu berdakwah.

Dewasa, komik sudah lama kutinggalkan. Minggu lalu ke rumah baru rakan sekerja. Usai solat majalah Apo kepunyaan anaknya kuselak kembali. Terimbau masa remaja. Aku, dia dan volkswagen, Si Putet, Budak Hostel. Kembali terjelma dalam ingatan. Remaja yang sudah lama berlalu. Remaja yang hanya meninggalkan tapak-tapak memori atas lantai usia.

Kelebihan membaca surah ar-Rahman, al-Waqiah, al-Kahfi, al-Mulk dan Yaasin kuketahui dari komik Apo. Jika bijak, komik juga mampu menjadi wadah dakwah.

Terasa tangan ini ingin kembali melakarkan watak animasi bayanganku sendiri.

Isnin, 22 Mac 2010

Pelangi..pelangi..

"Cuba hampa tengok ada pelangi, cantiknya," telingaku menangkap butir kata murid perempuan tahun 3 dalam perjalanan menuju ke kantin.

"Mana?" sekumpulan rakan-rakannya mencari pelangi di balik awan.

"Haa, tu dia jumpa dah, cantiknya," sambil telunjuk seorang murid lain menunjuk ke arah pelangi.

Aku turut mendongak mencari pelangi yang dikatakan muncul. Walaupun hairan bagaimana pelangi akan muncul sebelum awan yang sarat memuntahkan air yang dikendongnya. Kuasa Allah apa yang hendak dihairankan. Allah kata 'kun'(jadi) 'fa yakun'(maka jadilah). Semua ini kepunyaan DIA maka DIA berhak melakukan apa sahaja. Pastinya apa yang dilakukan-Nya bukanlah sia-sia.

"Hai, jangan tunjuk nanti jari kudung," kata-kata Qasidah sama seperti yang pernah kudengar dari kawanku ketika kecil dahulu.

"Ermm..dari kecil lagi ustazah buat ujikaji tunjuk pelangi dan jari ustazah masih ada sehingga sekarang," jari telunjukku tepat dihala ke arah pelangi tujuh warna yang samar-samar tempias warnanya kerana cahaya matahari.

"Maksudnya pernyataan itu tidak benar kerana tidak ada ayat al-Quran dan hadis yang menyatakan pelangi tidak boleh ditunjuk dengan jari," Qasidah tersenyum sipu.

Terfikir. Siapakah yang membuat ayat larangan itu? Apakah sebab larangan itu dikenakan? Nampaknya perlu mencari warga emas untuk mencungkil sebab musababnya.

Orang melayu memang kreatif. Mencipta pepatah, simpulan bahasa, pantun, puisi dan syair. Menarik bahasanya. Sedap dilagukan. Enak pada pendengaran. Malah berjaya mempengaruhi generasi hari ini dengan ayat-ayat larangan seperti di atas tadi. Masih ada yang diguna pakai. Walaupun sudah ramai yang menyangkal. Sejauh mana relevennya dengan dunia hari ini.

Yakinilah sesuatu kerana Allah nescaya DIAlah yang memberi dan mengambil kembali. Benda dan perkara baharu hanyalah sebab yang tidak punya kuasa untuk mengubah sesuatu keadaan.
Agak seronok rasanya bila bercakap diselang-selikan dengan pantun dan gurindam.

Dewasa ini, aku sudah tidak terburu-buru keluar mencari pelangi selepas hujan. Dewasa yang rancak dengan aktiviti-aktiviti melangsungkan kehidupan. Dewasa lebih banyak memberi dari menerima. Wajarlah roda kehidupan ini berputar setelah ketika kecil diri ini banyak menerima. Unsur memberi dan menerima yang telah Allah tetapkan agar kehidupan seluruh manusia berjalan dengan lancar. Agar tidak ada yang jasad yang terbiar. Juga tidak ada hati yang kekosongan.

Konsep fitrah iaitu cinta yang diberi oleh Allah agar setiap hati berpaut dengan penuh kasih-sayang. Maka dengan cintalah manusia punya rasa tidak sanggup membiarkan insan lain terbiar tanpa perlindungan dan bantuan. Cinta yang diambil dari tanda cintanya Allah kepada setiap hamba yang tercipta. Maka dengan itu tiada seorang pun hamba-Nya yang dilahirkan tiada tertulis rezeki walaupun hamba itu sama sekali tidak beriman dengan-Nya. Bersyukur jauh sekali dilafazkan. Sebermula menyedut oksigen ke dalam paru-paru yang membuatkan sistem badan berfungsi memulakan kehidupan. Sehingga sistem itu terhenti secara automatik tatkala Izrail datang mencabut nyawa.

Cinta kerana Allah maka akan dibimbing oleh Allah mengikut langkah cinta-Nya.
Cinta kerana nafsu akan menurut jejak langkah syaitan yang tidak putus asa memberi tiket percuma agar keturunan Adam bersamanya di dalam neraka.


Ibu bapa mencintai anak-anak yang diamanahkan.
Anak-anak mencintai ibu bapa yang banyak berjasa.
Suami mencintai isteri dan anak-anak yang memerlukan perlindungan.
Isteri mencintai suami dan anak-anak yang yang mengharapkan perhatian.
Mencintai semua di atas selepas Allah dan Rasul junjungan mulia.
Justeru putaran akan berlaku pada keadaan yang sama dengan izin Allah Taala generasi bergenerasi.

Sebelum melakukan maksiat berfikirlah bahawa kesannya bukan sekadar pada diri sendiri yang terkena bahana. Malah berterusan memecah tembok zaman-berzaman.

'Iman tidak dapat diwarisi'. Namun kerana iman manusia terkekang dari membuat maksiat. Adakala kerana iman seseorang membuatkan orang tersedar untuk turut sama menjadi sepertinya. Juga kerana iman seseorang membuatkan hidayah diperolehi melalui usaha dan doanya yang mahu insan lain berubah ke arah kebaikan. Semuanya dengan izin Allah yang memberi. Memberi berkali-kali tanpa dapat dihitungkan dengan akal manusia yang terbatas.

Entah kenapa? Seperti ternampak bias cahaya pelangi di hujung sana. Hati sedikit berlagu riang bernada tenang.

Khamis, 18 Mac 2010

Pohon pinang @ pohon kurma?

3 kali pusingan adalah joging. 2 kali pusingan sebelumnya adalah berjalan untuk memanaskan badan. Itu tetapan yang dibuat berdasarkan kondisi badan sendiri. Udara pagi cukup segar. Walaupun cahaya matahari sudah mula sirna di dada langit. Mendongak ke atas, warna langit kebiruan bercampur sedikit cahaya tetap tidak mengurangkan indahnya. Syukur ke hadrat Ilahi mengurniakan 2 kornea untuk menatap ciptaan-Nya yang serba indah.

Kepala diturunkan sedikit.

"Aik, kenapa pokok pinang hiasan nampak seperti pohon kurma," hati tergaru hairan memandang 3 pokok pinang yang di tanam penjuru taman rekreasi itu.

"Barangkali kerana sudah lama tidak menjamah kurma agaknya," terbayang sekotak kurma yang belum disentuh tersimpan di dalam peti sejuk di rumah yang diberi Pak Su beberapa bulan lalu.

"Barangakali juga terkesan dengan video kembara seorang rakan ketika di Mesir yang sempat ditonton pagi tadi," bagi mengusir hairan pelbagai andaian mula menjadi teka-teki.


Sebut tentang kurma tiba-tiba bibir mengembang senyum sambil mata mencari pepohon pinang di sudut yang lain bertepatan kaki yang sudah jauh menapak dari tempat tadi.

'Siti Khadijah jarang sakit kerana beliau menjaga kesihatan. Antara surah yang sering dibacanya adalah surah Yusof.'

Melalui sebuah blog fakta yang baru diperolehi ini menerjah ingatan. Hasil sebuah ceramah yang ditulis kembali. Menarik. Boleh menjadi pembakar untuk meneruskan semangat menjaga kesihatan yang dikurniai. Larian makin laju. Pohon-pohon pinang itu melambaikan dedaunnya ditiup angin seperti turut sama bertepuk tangan memberi semangat.

Semangat untuk melakukan sesuatu yang baik tidak harus padam malah perlu ditiup dan ditambah kayu bagi menyemarakkan julang apinya. Semangat hanya bukan sekadar kata-kata. Namun daya usaha dan ikhtiar yang berterusan kerana Islam itu sendiri tertegak berlandaskan usaha dan ikhtiar. Seterusnya doa dan tawakal pengharapan yang benar-benar pada Ilahi.


Seorang wanita sindrom down yang mengikut ibunya. Seorang Pak Cik yang setiap hari berlari sehingga lencun t-shirt yang dipakai. Sekumpulan warga tua yang terdiri daripada kaum 1 Malaysia. Seorang uncle yang setiap hari melakukan tai-chi. Sepasang suami isteri bangsa Cina yang berjalan berpegangan tangan. Juga beberapa wajah yang kukenali sejak menjadi sebahagian daripada warga rutin di taman rekreasi yang dibina 4 tahun lalu.

Wajah yang akan kucari apabila beberapa hari mereka tidak hadir untuk memeriahkan tempat itu. Sakitkah mereka? Semoga cepat sembuh. Kemungkinan bercuti ke mana-mana. Semoga selamat pergi dan pulang.

'Jangan menjaga tepi kain orang'

Kedengaran suara melalui beberapa diskusi menyatakan bahawa pepatah ini sudah tidak releven digunakan zaman kini. Akibat masih diguna pakai maka beberapa nyawa kecil tidak berdosa menjadi mangsa penderaan. Ibu dan bapa juga sudah tidak boleh diharap memegang amanah memelihara dan mendidik anak-anak. Sama ada lahirnya anak-anak itu tidak berlandaskan cinta yang murni atau cinta itu telah reput dimamah angin waktu yang menimbulkan konflik akibat bosan dan tekanan hidup yang datang menderu.

Riwayat Mu’adz dari Nabi Sallallahhu Alaihi Wa Sallam ia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Allah Azza Wajalla berfirman: Orang-orang yang saling mencintai kerana kebesaranku, mereka mempunyai mimbar dari cahaya, di mana para Nabi dan para syuhada’ merasa iri kepada mereka.” (HR. Tirmidzi)

Lakukanlah semua perkara niat kerana Allah Taala. Kita pasti akan diuji namun selagi kuat berpegang pada tali-Nya tidak akan tersembam dan terbenam ke lumpur dosa.

Setiap ciptaan Allah perlu dihargai, dipeliharai, diperhati agar jangan ada yang menyakiti. Tambah-tambahan pada insan lemah yang tidak ada daya mempertahankan diri. Memukul adakala perlu demi mendidik. Bukannya melampiaskan nafsu umpama kain buruk sahaja tarafnya.

Tidak layak bagi seorang manusia membenci dan menyakiti hamba lain yang dicintai Allah Taala.


Jumaat, 5 Mac 2010

Hujan oh hujan kenapa engkau tak turun?

"Ish, panas sungguh sekarang ni," telinga mendengar perbualan dua orang pak cik yang berdekatan ketika memilih buku di MPH Book Store.

"Mandi pun tidak jadi apa lepas itu panas semula," sahut rakannya yang hampir sebaya.

Rata-rata dan di mana-mana sahaja topik di atas yang sering kedengaran masa kini.

Matahari memancar terang di tengahari rembang. Tekak kering kehausan. Jika tidak dibasahkan badan akan dehidrasi. Kulit kering mengelupas. Kadang-kadang kulit kegatalan akibat debu kerana tanah yang gersang. Adakala terasa seperti berada di negara Timur Tengah. Apabila angin bertandang syukur tidak terkira dengan kunjungan seketika itu yang mengeringkan renek-renek keringat.

"Nak pasang penghawa dingin pun mahal juga, bilik tengah tu panas sungguh," beritahu seorang jiran ketika melintasi mereka pada suatu petang.

"Alangkah nikmatnya jika hujan turun dengan lebatnya pada hari ini," hati berkata-kata di tengahari di hari terputus bekalan air akibat paip besar bocor.

'Sudah jatuh ditimpa tangga'

Bertimpa-timpa bukan untuk diseksa. Nampak sahaja bertimpa-timpa namun hanya sekadar cebisan sahaja dari nikmat yang telah dikurniakan selama jantung ini berdegup di atas muka bumi ini.

Bersyukur adalah lebih tepat dalam apa sahaja keadaan. Baik ketika senang dan susah.

"Syukur ya Allah dalam kemarau masih ada rezeki yang Engkau kurniakan."

Terasa kehilangan apabila benar-benar kehilangan.

Rindu pada titik-titik hujan menimpa atap. Rindu pada deruman hujan lebat yang melimpahkan jalan. Rindu pada guruh dan kilat sabung-menyabung. Benar-benar rasa kehilangan. Sudah lama hujan tidak menampakkan rupa.

Rindu pada air di sinki untuk membasuh pinggan mangkuk yang telah digunakan. Rindu pada air yang mengalir ke dalam mesin basuh membasahi longgokan pakaian untuk diputar. Rindu pada jirusan menghilangkan daki dan kotoran untuk beribadat dalam keadaan yang suci lahiriah dan batiniah. Rindu walau hanya sehari air merajuk pergi. Juga benar-benar rasa kehilangan.

Selalu berkata apabila kehilangan. Tidak akan mensia-siakan apabila muncul nanti. Tidak akan dibaziri. Digunakan sebaik mungkin. Namun manusia seringkali leka apabila memperolehi kembali. Segala yang ditutur hanya tinggal bait-bait ayat yang pudar di atas kertas dimamah angin zaman.
Wajah itu datang dan pergi. Wajah yang tiada lagi di dunia ini. Pergi tidak akan kembali. Secara tiba-tiba rebah tanpa tanda sehari sebelumnya. Bukanlah merindui arwah kerana terlalu rapat dengannya. Cukup sekadar pernah mengenali membuatkan hati ini agak tersentuh dengan pemergian tanpa tanda itu. Kini kematian mudah meragut sesiapa sahaja apabila sampai ajalnya. Sekali rebah tidak akan bangun lagi. Terlalu mudah insan-insan itu pergi menemui pencipta.

Maka apabila kehilangan mula tertanya-tanya. Adakah pernah menguris hatinya. Adakah pernah bersalah dan berdosa walaupun tanpa sengaja. Hanya Allah dan dia yang tahu. Semoga tiada dosa yang tidak diampunkan. Semoga hidup dan mati dalam keadaan bersih.

Berbuat baiklah kepada sesiapa sahaja selagi hayat masih ada. Usirkan buruk sangka, iri hati dan umpat keji walaupun ada yang melakukan salah. Sekali lagi manusia terlupa dengan ini semua apabila dikuasai marah.

Manusia yang kuat adalah manusia yang boleh menahan marah dari pecah menjadi larva sengketa dan dendam kesumat.

'Berbaiklah selagi belum kehilangan. Usah nanti apabila kehilangan ada rasa sesal kerana tidak berbaik ketika ada.'

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...