Kini Hari Raya dalam keluarga sebelah mak sudah banyak berubah. Tidak ada lagi suasana berhimpun di malam raya di rumah Tok. Justeru rumah lama yang makin luas itu sejak diubahsuai oleh Pak Cik hujung tahun lepas itu sepi dan lenggang dari riuh suara dan tawa anak dan cucu. Sunyi yang mengundang sebak di hati tua. Apatahlagi melihat rumah Tok Ngah iaitu adik kepada Tok di belakang rumah yang bising dengan anak cucunya.
Tok yang kebal airmata itu berpura-pura ceria. Gelak tawa yang dibuat-buat. Menutup sayu di hati tua yang makin dimamah usia. Seperti kami yang muda sudah rasa hilang seri raya tidak seperti zaman kanak-kanak dan remaja dahulu, Tok lagilah terasa sepi di usia yang hanya menyingkap album kenangan buat menghibur hati dalam baki usia bersama Tok Wan yang makin uzur.
Orang muda tidak memahami hati dan perasaan orang tua. Ia dapat difahami dengan cuba mengerti naluri mereka. Namun ramai yang tidak ambil peduli. Lemah sungguh sebagai orang muda yang hanya mementingkan naluri dan kehendak muda sahaja. Sibuk yang sering menjadi alasan teratak lama di kampung tiada dalam kamus destinasi yang akan ditujui. Itu bagi keadaan jarak yang jauh.
Bagi jarak yang dekat pula yang hanya memakan masa beberapa minit sahaja untuk sampai ke kampung. Senantiasa dikunjungi di hujung minggu. Kepulangan malam raya dan pagi raya bukanlah sesuatu yang penting bagi orang muda. Namun lain cerita bagi orang tua kerana perkara tidak penting itu amatlah penting bagi mereka. Kenangan lama itu hendak sentiasa diulangi tidak kira perubahan apa pun yang berlaku. Kesunyian menjalani hidup berdua atau berseorangan itu mahu dikecapi dengan sekali-sekala bersama keriuhan anak cucu yang makin bertambah.
"Macam mana mak kita nak himpunkan semula saudara mara seperti dulu di malam raya?" akibat peristiwa itu aku terniat hendak susun kembali kenangan dahulu dalam keadaan yang baru.
"Ermm..masing-masing dah punya keluarga dan ada aktiviti sendiri di rumah," kenangan yang sukar direalitikan kembali seperti dahulu.
"Hari raya makin suram sejak arwah Mak Teh meninggal dunia kan mak..dulu Mak Teh yang ceria itulah yang banyak memainkan peranan balik mengemas, memasak dan sebagainya. Arwah pula cekap serba-serbi," wajah luhur emak saudara yang meninggal 10tahun lalu akibat barah hati itu terimbau.
Realitinya hidup mengalami perubahan. Hari ini tidak sama seperti semalam. Itu yang perlu difahami oleh setiap insan tidak kira usia. Namun, rasanya tidak salah beralah menggunakan realiti itu sebagai hujah kepada orang tua. Usia tua yang berpusing kembali perasaan dan naluri menjadi anak-anak kecil. Lebih mudah tercuit rasa dengan hanya sedikit khilaf. Perlukan pujukan dan belaian bukannya tengkingan dan hamburan marah. Bersabar dengan karenah orang tua walau sedikit berbeza dengan sabar dengan karenah anak-anak yang belum sampai tahap baligh.
"Raya Haji ni kita buat barbeku di rumah Tok," merujuk kepada kawasan rumah perumahan kami yang tidak luas. Dapat juga mengumpulkan saudara-mara. Menyediakan makanan rasanya setakat ini adalah cara membuatkan saudara-mara berkumpul di rumah kayu itu.
Memahami perasaan dan naluri tua perlu kerana kita juga bakal menempuhi usia emas itu. Persediaan menempuhinya lebih membuatkan kita tabah mengharungi kedaan itu. Berbuat baiklah kepada mereka kerana kita akan dilayan kembali sebegitu. Jika sebaliknya maka akan berlaku sebaliknya juga. Pastinya semua kerana Allah Taala.
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan