Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Hari Rabu adalah hari yang membuatkan peti suara lemah untuk mengeluarkan bunyinya
di penghujung kelas yang terakhir.
Jika pensyarah pembimbing berkata seorang guru perlu menjadi pelakon. Ingin kutambah bahawa sebagai guru perlu juga menjadi penyanyi. Bukannya senang sebenarnya seorang manusia yang dilahirkan tidak bersuara lantang hendak membina kekuatan vokal dalam masa tidak sampai dua tahun.
Semuanya perlukan masa iaitu kelaziman sebagai latihan.
Jadual waktu padat pada hari ini mengajar kelas-kelas yang mempunyai jumlah murid yang begitu ramai di dalamnya.
Malah di dalamnya terdapat sebijak-bijak sehingga selemah-lemah murid dari segi IQ dan EQ.
Amat sukar sebenarnya bagi diri ini hendak merancang p&p beserta aktiviti untuk disesuaikan dengan semua tahap murid yang ada.
Ditambah kekurangan kewangan bagi menyediakan alat dan bahan bantu mengajar.
Bermula dari tahun pertama mengajar sehingga kini sebenarnya masih mencari kaedah terbaik untuk digunakan dalam kelas yang mempunyai semua tahap kecerdasan ini.
Peluang bersama pensyarah pembimbing memang tidak dilepaskan bertanyakan tips terbaik. Begitu juga bersama pensyarah ketika tutorial berlangsung di institut perguruan.
Lazimnya tidak ada siapa yang mampu memberikan jawapan yang memuaskan kerana sasaran tahap murid berbeza mengikut tempat, latar belakang, IQ dan EQ.
Mungkin bagi masalah ini sekali lagi aku perlukan masa dan pengalaman sebenarnya adalah penyelesaian kepada masalah ini di samping strategi, kaedah, pendekatan dan teori yang sedia dimaklumi.
Jelaslah pelajaran, pengajaran dan pembelajaran berlaku sepanjang hidup ini.
Tidak terlepas sebenarnya hendak lari dari konsep ketiga-tiga perkara di atas.
Konsep-konsep itu juga perlu diiringi dengan sabar, amanah dan ikhlas tanpa mempersoalkan takdir dan merungut di atas kesukaran yang dihadapi.
Serba kekurangan sebagai guru tunggal di sini kadang-kadang memberi satu rasa kepuasan apabila tunjuk ajar dan nasihat yang diberikan menjadi ingatan murid-murid.
Itu adalah salah satu targetku sebagai manusia dan guru kini kerana aku juga masih memegang nasihat dan tunjuk ajar bukan sahaja ibu bapa, guru malah sahabat dan sesiapa walau hanya kukenali seketika. Bagiku kerana nasihat dan kata-katanya itu menjadi panduan dan selagi menjadi amalan si penasihat akan mendapat pahala. Jadi terlalu mudah sebenarnya bukan sebagai guru malah manusia memperolehi pahala.
Itu juga sebenarnya yang telah kuterapkan kepada murid-murid iaitu hanya dengan mengikuti suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya lalu mengajak orang lain turut serta melakukannya maka semudah itu kita menjadi hamba yang mulia di sisi-Nya. Halangan tetap ada namun semua itu dapat ditepis jika kita sedar itu adalah bisikan syaitan yang berjanji untuk menyesatkan.
Pastinya sebagai penasihat diri perlu melakukan perkara yang dinasihati itu dahulu. Namun sebagai manusia yang mempunyai turun naik iman akan cepat tersedar bahawa diri sudah terleka dari melakukan perkara yang pernah dinasihatinya. Secara tidak langsung kata-kata baiknya itu akan menjadi nasihat buat dirinya kembali.
*******
"Ilmu pon tak banyak camna nak dakwah orang."
"Diri sendiri pon tak berapa baik camna nak nasihat orang."
Dua ayat yang pernah terkeluar dari beberapa mulut manusia. Ia merujuk kepada diri mereka sendiri yang dirasakan mempunyai banyak kelemahan.
"Jika hendak tunggu ilmu banyak atau seratus peratus baik maka sampai bila kebaikan hendak disebarkan."
Ayat lain pula yang pernah kudengar sekaligus kuiyakannya serta merta. Ilmu yang seluas lautan takkan mampu kita lengkapinya. Jika merasakan diri masih kurang baik maka itu adalah tanda kesedaran. Justeru kesedaran boleh membimbingnya menjadi seorang yang baik dan lebih baik. Maka tiada alasan lagi kebaikan tidak dapat disebarkan di atas muka bumi ini.
Semua mampu menjadi pendakwah dalam konteks dan cara berbeza. Kadang-kadang seorang yang dahulunya jahil lebih mampu memberi dakwah yang lebih berkesan melalui ukuran pengalaman lampau dengan masa kini kerana dakwahnya itu dibuat dengan penuh rasa kerdinya diri. Maka baginya segala kebaikan yang diperolehinya adalah rahmat dan cinta Allah semata. Rasa nikmat itu dikongsi agar semua menghayati dan cuba mencari hidayah dalam kelamnya hati dan jahilnya diri terhadap cahaya IMAN.
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 tahun yang lalu
2 comments:
Ustazah, kadang2 kita amat membentengi diri kita dengan hujah seperti itu.
Tidakkah ada pesan nabi, "Sampaikan dariku walau satu ayat?"
Apakah perlu kita kuasai segunung ilmu, baharu ada rasa terpanggil untuk berdakwah itu?
yup betul tue...
itu la yg sy cuba tekankan pada diri yg kurang ilmu dan sesiapa sahaja agar menyeru kepada kebaikan tidak kira siapakah kita...yg penting pesanan itu kepada amar makruf nahi mungkar...
Catat Ulasan