Isnin, 3 Mei 2010
Kenali musuh anda - IBLIS-
Posted by EVA SALSABILA at 9:21 PTG 0 comments
Rabu, 14 April 2010
Muram itu mendung..senyum itu pelangi :-)
"Ermm, kenapa tiba-tiba rasa happy tanpa sebab ni?" sambil menuruni tangga soalan itu bermain di minda.
Rasa gembira yang datang tanpa diundang. Sudah datang mahu dijemput agar menjadi penghuni perasaan untuk selama-lamanya. Namun itu mustahil kerana manusia itu baharu. Sedih pasti jua datang menghimpit diruang hati. Itu normal. Cuma cara setiap manusia mengendalikan perasaan yang pelbagai itu yang membezakannya.
Jika gembira perlu ditonjolkan agar tempias auranya yang indah menimpai seberapa insan sekeliling.
Jika duka perlu disorokkan agar kesuraman dan kemalapan tidak turut sama dirasai oleh insan lain.
Tempat duduk belakang kereta dibuka untuk meletakkan barang. Mata terpandang buku teks murid yang tersadai kaku. Ada kekurangan nampaknya.
"Hmm, tertinggal buku teks murid tahun 2 la," diri ini telah menjumpai jawapan.
Masalah jika tidak membawa pulang. Tekad untuk menyiapkan soalan bagi ujian kedua pada hari ini untuk diserahkan keesokkan hari. Lantas kaki melangkah naik semula ke bilik guru.
Kejauhan, retina menangkap objek beg komputer riba duduk menegak di kerusiku.
"Mujur saya tak tinggal laptop," ujarku kepada 2 orang guru yang masih menyiapkan tugasan di bilik guru.
"Haa, mujur cepat..kalau tak bilik guru memang akan dikunci sebentar lagi, jawabnya kena pi cari kunci kat pejabat pula la," kata seorang guru sambil tangan masih rancak menulis.
"Tu la kak, dah la hari ini nak balik siapkan soalan," tali beg digalas ke bahu sambil tangan membawa buku.
"Kalau macam tu, dah terlepas jauh pun mesti patah balik ke sekolah la jawabnya," bibir aku tersenyum mengenangkan perlu berpatah semula jika tayar kereta sudah bergolek sampai ke Sungai Petani. Letihnya perlu menambah 40 minit lagi masanya. Jawapannya adalah meminta bantuan kerani untuk kali kedua untuk membawa pulang komputer riba ini kerana dia juga tinggal di Sungai Petani.
"Alhamdulillah," kalimah itu yang keluar dari bibir sambil keluar dari bilik guru.
Hikmah gembira sebelum berlaku peristiwa. Sebenarnya sudah beberapa kali berlaku dalam hidup ini namun tidak diambil perhatian. Sepertimana gembira juga berlaku rasa sedih sebelum mengetahui sesuatu keadaan duka yang bakal berlaku. Namun seringkali ditepis agar tidak benar-benar berlaku. Walaupun begitu jika telah tersurat akan berlaku jua. Rentetan dari peristiwa itu adalah tarbiah sabar dan redha. Manisnya akan diperolehi apabila bersabar dengan keadaan duka yang diberikan.
'La taqaf wa la tahzan..innallah ha ma'ana'
(Jangan takut jangan sedih, sesungguhnya Allah bersama-sama kita)
Ayat Allah ini sentiasa menjadi peganganku agar hidup ini bukanlah sekadar dibiarkan perasaan takut dan sedih mengelumangi kebahagiaan. Tidak sama sekali. Kita berhak untuk bahagia ketika hidup sementara. Bahagia didunia untuk memperolehi bahagia di akhirat.
'Jika anda mampu membuat diri anda indah maka anda akan mampu melihat keindahan tiap-tiap sesuatu yang anda pandang' ~ petikan pedoman dari buku 'Be a happiest women' karangan DR A'IDH ABDULLAH AL-QARNI.
Sedih dan gusar membaca status dalam laman sosial. Seseorang yang kukenal rapat. Luahan rasa seorang remaja yang putus cinta dengan seorang lelaki yang dikenali di IPTA. Mungkin itu kesan awal sebelum hati bertemu dengan hati yang sebenarnya ditetapkan oleh Allah. Namun tidak senang apabila rasa itu meletakkan seorang muslimah yang mempunyai iman mengikut perasaan sebegitu rupa. Meletakkan perisai bagi menepis nasihat. Justeru rasa sedih sehingga hendak mati itu juga yang dituruti.
Remaja hari ini meletakkan hubungan luar nikah itu satu kemestian. Keseronokkan bergelumang dengan bunga-bunga cinta di taman larangan. Apabila tercucuk duri perbalahan maka pedihnya akan dirasa sehingga ke tulang.
"Orang dahulu sampai hendak kahwin pun hanya pernah sekali bersua muka bagi mengenali paras sebelum berumahtangga. Orang sekarang ikhtilat sudah menjadi adat apabila bertemu sehingga sudah tidak ada rasa malu pada Allah Taala," bicara seorang wanita lewat petang hujung minggu lalu kepadaku.
"Zaman sekarang jika hendak berumahtangga perlu begitu. Jika tidak sampai ke tua masih tiada teman," kata seorang yang juga kukenali pada waktu yang kulupa tarikhnya.
Tiada salah untuk berkenalan. Mengenali hati budi masing-masing. Sepertimana hujah Ustaz Hasrizal dalam facebook bahawa masa itu adalah untuk mengenali dengan sekatan batas yang diletakkan Islam agar perkahwinan kelak berkekalan sehingga ke akhir hayat. Cetusan itu berdasarkan statistik perceraian yang meningkat akhir-akhir ini.
Perlu ada penyelesaian untuk setiap masalah yang datang. Kursus perkahwinan bukan sekadar penuh dengan lawak tidak beradab. Perlu ada penekanan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah.
'Aku terima nikahnya' dan ' Bercinta sampai ke syurga' adalah 2 buku yang puas dihadam isinya. Pengalaman bukan sekadar teori kaku yang diaptasikan oleh Ustaz Hasrizal mengajak para suami dan isteri bukan sekadar menjadikan hidup berumahtangga erti menerima yang menimbulkan rasa tidak puas hati apabila kegagalan satu pihak melaksanakan sesuatu amanah. Erti memberi itu lebih besar nilainya bukan kepada suami isteri sahaja malah antara manusia sesama manusia amnya.
Sedang mencari buku ketiga sambungan 'Bercinta sampai ke syurga.'
Posted by EVA SALSABILA at 10:22 PTG 0 comments
Isnin, 12 April 2010
Pakej perjalanan ke alam kekal
Nama penuh : Hamba Allah
Nama gelaran : Insan
Asal : tanah
Alamat : planet bumi
BUTIRAN PERJALANAN
Terbuka kepada semua umat Islam. Anda layak menyertai pakej ini secara percuma.
Bentuk tempahan : tetap, pasti, mesti & tidak boleh diubah
Balai berlepas : kehidupan dunia
Destinasi dituju : alam akhirat
Tempoh dan jarak perjalanan : seketika cuma dan hanya beberapa meter dari perut bumi.
Jarak perjalanan
Pendaftaran/ check in : ketika dan sebaik sahaja nyawa dipisahkan dari jasad
MUATAN YANG DIBENARKAN
Kain putih berukuran 5 meter panjang
Kapas putih secukupnya
Muatan yang akan dipertimbangkan :
- Amal soleh
- Sedekah jariah
- Anak-anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya
- Ilmu yang bermanfaat
* Lain-lain muatan yang ditegah adalah tanggungjawab sendiri. Barangsiapa melanggar peraturan yang ditetapkan akan dibicarakan dan didenda.
PERINGATAN PERJALANAN
Khas kepada semua penumpang. Sila ambil perhatian kerana anda akan merentasi perjalanan dengan meninggalkan segala kehidupan di dunia dan melangkah ke alam baru iaitu akhirat. Sila perhatikan ketua anda ( pilot ) atau juruterbang yang dikhaskan iaitu Malaikat Maut. Bagi anda yang masih kabur dan kurang faham. Dapatkan maklumat lanjut daripada al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w serta mengikutinya dengan penuh taat. Sebarang masalah dan kemusykilan, silalah rujuk kepada para cendekiawan dan para ulama'.
*************
Pagi yang agak kalut. Ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah. Nyawa masih panjang maka terselamat. Hampir bergesel dengan sebuah pacuan empat roda. Akibat kelalaian kedua-dua pihak kerana tidak memberi isyarat arah. Malah kedua-dua berada di lorong yang tidak selari dengan arah yang hendak ditujui. Segala-galanya berlaku terlalu pantas.
Alhamdulillah masih diberi ruang menapak lantai bumi. Diberi ruang menghirup udara percuma. Melihat membirunya bumbung langit. Buat khusyuk memandang hijaunya dinding alam. Mendengar alunan beburung dan unggas berzikir. Peluang hidup bukan untuk disia-siakan. Peluang untuk memberi manfaat kepada semua makhluk tuhan. Juga peluang mengambil manfaat dari setiap makhluk yang tercipta. Malah dikutip dari kejadian, tragedi dan peristiwa.
Al-Fatihah buat mereka-mereka yang telah menemui pencipta.
Masa kita akan tiba. Kejadian ghaib itu sepertimana kelahiran dan pertemuan pasti akan tersingkap jua akhirnya. Pengisiannya adalah berusaha dan berdoa tanpa putus asa dari rahmat Allah agar menjadi yang terbaik dan mendapat yang terbaik di sisi-Nya.
Posted by EVA SALSABILA at 5:09 PTG 0 comments
Selasa, 6 April 2010
Sanah helwah..
Posted by EVA SALSABILA at 9:29 PTG 0 comments
Khamis, 1 April 2010
Wanita idaman..
Posted by EVA SALSABILA at 6:59 PTG 0 comments
Lelaki acuan al-Quran

Lelaki acuan al-Quran ialah seorang lelaki yang beriman,
yang hanya disalut rasa takwa kepada Allah,
yang sentiasa haus dengan ilmu,
yang sentiasa dahaga dengan pahala,
yang solatnya adalah maruah dirinya,
yang tidak pernah takut berkata benar,
yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu.
Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menjaga tutur katanya,
yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya.
yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya yang pelindung,
yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.
Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menghormati ibu bapanya,
yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
yang bakal menjaga keharmonian rumahtangga,
yang akan mendidik anak-anak mendalami islam,
yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
kerana dunia baginya adalah rumah sementara menunggu akhirat.
Lelaki acuan al-Quran sentiasa bersedia untuk agamanya,
yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat Saidina Abu Bakar as-Siddiq,
yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.
Lelaki acuan al-Quran tidak pernah membazirkan masa,
matanya kepenatan kerana kuat membaca,
yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir,
yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
bangun Subuhnya penuh dengan kecerdasan,
kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan.
Lelaki acuan al-Quran sentiasa mengingati mati,
yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
yang mana buah kehidupan itu perlu dibajai dan dijaga,
meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.
Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
kerana dia mengimpikan syurga,
di situlah rumah impiannya,
wanita acuan al-Quran.
Badan Hal Ehwal Wanita Islam,
Dewan Tertinggi Pelajar,
Kolej Agama Sultan Zainal Abidin.
Posted by EVA SALSABILA at 6:23 PTG 0 comments
Sabtu, 27 Mac 2010
Sahak, 'Aku Hidup Dalam Iman'.
"Rindu Sahak la," langkah dihayunkan secepat mungkin kerana tidak tahan bebanan beg pakaian yang dibimbit.
"Sahak mana?" dahi sahabat itu terjerut akibat hairan yang menjalar.
"Sahak 'aku hidup dalam blues' komik Ujang," seperti kerang busuk aku tersenyum mengenakan.
"Alahai ingatkan siapa la tadi, buang karan betul la kau ni," langkahnya menyaingi sudah seperti berada dalam acara berjalan kaki.
"Ok apa, rindu pada watak kartun saja bukannya watak hidup yang membuatkan dosa bertambah merindui seseorang yang tidak halal di sisi kita," sahabat itu mencebik bibirnya ke depan beberapa inci membuatkan senyumanku bertambah mekar semekar bunga matahari di hadapan rumah nyonya di kawasan perumahanku.
"Kau jaga beg kejap, nak pergi beli bahan bacaan pengubat bosan di atas bas nanti," sambil meluruskan kakinya sahabat itu menganggukkan kepala.
Ujang, Apo, Lanun, Siswa, Fokus, Mingguan Wanita dan akhbar tabloid adalah antara sasaranku mengisi kebosanan ketika dalam perjalanan untuk sampai ke Sungai Petani. Release tension. Lari sebentar dari menghadap kitab dan buku-buku teks sekolah.
"Seronok ka majalah tu?" bertemu rakan sekelas di stesen bas bertanya tentang Mingguan Wanita yang baru kubeli.
"Aaaa..seronok mengetahui ragam kehidupan manusia yang bernama wanita," ketidakpastian pada jawapan itu.
Kenapa Mingguan Wanita? Waktu itu aku masih lagi remaja. Sebetulnya baca majalah Remaja. Namun seperti ada sentuhannya yang membuatku rasa rugi membeli. Sekadar memaparkan model-model remaja cantik jelita sebagai penghias kulit. Bertubuh langsing berbaju seperti tidak cukup meter kain. Haram tu. Sekadar mengajar teknik-teknik bersolek ke majlis-majlis yang sesuai. Tabarruj tu. Info bercouple sebelum kahwin. Valentine day pun dirai. Seperti menggalakkan pula. Mendekati zina. Haram lagi tu. Hanya ruangan kesihatan dan cerita mistik sahaja diselak ketika meminjam dari rakan.
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk".
Kenapa tidak diterbitkan majalah remaja memaparkan imej remaja muslim. Info berpakaian, adab, pergaulan cara Islam. Boleh juga aku beli.
Itu antara hujahku kepada rakan tadi yang mahu membayar majalah yang tidak kugemari itu. Lantas tangannya automatik meletakkan majalah itu dan menukarnya dengan malajah Mingguan Wanita. Aku hanya bercerita. Tiba-tiba dia berubah hati. Hanya seketika mingguan wanita yang terbit 2 kali sebulan itu pun kotolak ke tepi. Pening membaca pergolakan rumahtangga yang tidak pernah usai. Seperti biasa antara lelaki dan wanita saling menyalahkan. Bertukar pula ke Al-Islam dan Anis yang agak lebih sedikit harganya. Janjinya puas dapat ilmu.
"Haha..pakai tudung labuh tapi baca komik," sinis seorang Pak Cik tertawa melihatku membaca Ujang.
Pelik. Aku menutupnya dan melihat cover Din Beramboi dengan sebelah selipar di tangan. Rasanya tidak ada gambar lucah di situ. Juga tiada ayat-ayat sentimen berbaur politik yang penuh fitnah, caci dan cerca. Biarlah.
Aku suka komik. Separuh remajaku dengan komik. Membaca komik. Melukis kartun. Tidak cukup di buku kosong. Dalam buku aktiviti sekolah pun ada lakaran kartun bayanganku. Sehingga pernah ada senaskah komik hak ciptaku sendiri. Hero pastinya persis wajah Sahak. Kartunis termasuk dalam senarai cita-cita.
Semuanya bermula di rumah Mak Ngah. Aku suka ke rumah Mak Ngah. Berhari-hari pun tidak apa sebab di stor rumahnya ada timbunan komik terutama Gila-gila yang popular ketika zaman kanak-kanak. Anak-anak Mak Ngah boleh dikatakan membesar dengan komik. Namun mereka tidak menjadi kartun. Semuanya berjaya dengan bidang masing-masing. Mungkin disebabkan darah kartunis mengalir dalam tubuh mereka. Arwah Rejabhad (kartunis Gila-gila), bapa saudara mereka yang mengalirkan darah seni itu.
Berlanjutan di Mesir, majalah suara kampus setiap anak negeri tidak pernah kulepaskan untuk dimiliki. Ruangan komik di hadapan dan belakang antara yang terawal kubaca. Jenaka berbaur nasihat. Ada diselitkan ilmu. Kartun juga mampu berdakwah.
Dewasa, komik sudah lama kutinggalkan. Minggu lalu ke rumah baru rakan sekerja. Usai solat majalah Apo kepunyaan anaknya kuselak kembali. Terimbau masa remaja. Aku, dia dan volkswagen, Si Putet, Budak Hostel. Kembali terjelma dalam ingatan. Remaja yang sudah lama berlalu. Remaja yang hanya meninggalkan tapak-tapak memori atas lantai usia.
Kelebihan membaca surah ar-Rahman, al-Waqiah, al-Kahfi, al-Mulk dan Yaasin kuketahui dari komik Apo. Jika bijak, komik juga mampu menjadi wadah dakwah.
Terasa tangan ini ingin kembali melakarkan watak animasi bayanganku sendiri.
Posted by EVA SALSABILA at 6:23 PG 0 comments
Isnin, 22 Mac 2010
Pelangi..pelangi..
"Cuba hampa tengok ada pelangi, cantiknya," telingaku menangkap butir kata murid perempuan tahun 3 dalam perjalanan menuju ke kantin.
Dewasa ini, aku sudah tidak terburu-buru keluar mencari pelangi selepas hujan. Dewasa yang rancak dengan aktiviti-aktiviti melangsungkan kehidupan. Dewasa lebih banyak memberi dari menerima. Wajarlah roda kehidupan ini berputar setelah ketika kecil diri ini banyak menerima. Unsur memberi dan menerima yang telah Allah tetapkan agar kehidupan seluruh manusia berjalan dengan lancar. Agar tidak ada yang jasad yang terbiar. Juga tidak ada hati yang kekosongan. Posted by EVA SALSABILA at 3:51 PTG 0 comments
Khamis, 18 Mac 2010
Pohon pinang @ pohon kurma?
3 kali pusingan adalah joging. 2 kali pusingan sebelumnya adalah berjalan untuk memanaskan badan. Itu tetapan yang dibuat berdasarkan kondisi badan sendiri. Udara pagi cukup segar. Walaupun cahaya matahari sudah mula sirna di dada langit. Mendongak ke atas, warna langit kebiruan bercampur sedikit cahaya tetap tidak mengurangkan indahnya. Syukur ke hadrat Ilahi mengurniakan 2 kornea untuk menatap ciptaan-Nya yang serba indah.
Kepala diturunkan sedikit."Aik, kenapa pokok pinang hiasan nampak seperti pohon kurma," hati tergaru hairan memandang 3 pokok pinang yang di tanam penjuru taman rekreasi itu.
"Barangkali kerana sudah lama tidak menjamah kurma agaknya," terbayang sekotak kurma yang belum disentuh tersimpan di dalam peti sejuk di rumah yang diberi Pak Su beberapa bulan lalu.
"Barangakali juga terkesan dengan video kembara seorang rakan ketika di Mesir yang sempat ditonton pagi tadi," bagi mengusir hairan pelbagai andaian mula menjadi teka-teki.
Sebut tentang kurma tiba-tiba bibir mengembang senyum sambil mata mencari pepohon pinang di sudut yang lain bertepatan kaki yang sudah jauh menapak dari tempat tadi.'Siti Khadijah jarang sakit kerana beliau menjaga kesihatan. Antara surah yang sering dibacanya adalah surah Yusof.'
Melalui sebuah blog fakta yang baru diperolehi ini menerjah ingatan. Hasil sebuah ceramah yang ditulis kembali. Menarik. Boleh menjadi pembakar untuk meneruskan semangat menjaga kesihatan yang dikurniai. Larian makin laju. Pohon-pohon pinang itu melambaikan dedaunnya ditiup angin seperti turut sama bertepuk tangan memberi semangat.
Semangat untuk melakukan sesuatu yang baik tidak harus padam malah perlu ditiup dan ditambah kayu bagi menyemarakkan julang apinya. Semangat hanya bukan sekadar kata-kata. Namun daya usaha dan ikhtiar yang berterusan kerana Islam itu sendiri tertegak berlandaskan usaha dan ikhtiar. Seterusnya doa dan tawakal pengharapan yang benar-benar pada Ilahi.
Seorang wanita sindrom down yang mengikut ibunya. Seorang Pak Cik yang setiap hari berlari sehingga lencun t-shirt yang dipakai. Sekumpulan warga tua yang terdiri daripada kaum 1 Malaysia. Seorang uncle yang setiap hari melakukan tai-chi. Sepasang suami isteri bangsa Cina yang berjalan berpegangan tangan. Juga beberapa wajah yang kukenali sejak menjadi sebahagian daripada warga rutin di taman rekreasi yang dibina 4 tahun lalu.Wajah yang akan kucari apabila beberapa hari mereka tidak hadir untuk memeriahkan tempat itu. Sakitkah mereka? Semoga cepat sembuh. Kemungkinan bercuti ke mana-mana. Semoga selamat pergi dan pulang.
'Jangan menjaga tepi kain orang'
Kedengaran suara melalui beberapa diskusi menyatakan bahawa pepatah ini sudah tidak releven digunakan zaman kini. Akibat masih diguna pakai maka beberapa nyawa kecil tidak berdosa menjadi mangsa penderaan. Ibu dan bapa juga sudah tidak boleh diharap memegang amanah memelihara dan mendidik anak-anak. Sama ada lahirnya anak-anak itu tidak berlandaskan cinta yang murni atau cinta itu telah reput dimamah angin waktu yang menimbulkan konflik akibat bosan dan tekanan hidup yang datang menderu.
Riwayat Mu’adz dari Nabi Sallallahhu Alaihi Wa Sallam ia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahhu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Allah Azza Wajalla berfirman: Orang-orang yang saling mencintai kerana kebesaranku, mereka mempunyai mimbar dari cahaya, di mana para Nabi dan para syuhada’ merasa iri kepada mereka.” (HR. Tirmidzi)
Lakukanlah semua perkara niat kerana Allah Taala. Kita pasti akan diuji namun selagi kuat berpegang pada tali-Nya tidak akan tersembam dan terbenam ke lumpur dosa.
Setiap ciptaan Allah perlu dihargai, dipeliharai, diperhati agar jangan ada yang menyakiti. Tambah-tambahan pada insan lemah yang tidak ada daya mempertahankan diri. Memukul adakala perlu demi mendidik. Bukannya melampiaskan nafsu umpama kain buruk sahaja tarafnya.
Tidak layak bagi seorang manusia membenci dan menyakiti hamba lain yang dicintai Allah Taala.
Posted by EVA SALSABILA at 9:39 PG 0 comments
Jumaat, 5 Mac 2010
Hujan oh hujan kenapa engkau tak turun?
"Ish, panas sungguh sekarang ni," telinga mendengar perbualan dua orang pak cik yang berdekatan ketika memilih buku di MPH Book Store.
"Nak pasang penghawa dingin pun mahal juga, bilik tengah tu panas sungguh," beritahu seorang jiran ketika melintasi mereka pada suatu petang.
Wajah itu datang dan pergi. Wajah yang tiada lagi di dunia ini. Pergi tidak akan kembali. Secara tiba-tiba rebah tanpa tanda sehari sebelumnya. Bukanlah merindui arwah kerana terlalu rapat dengannya. Cukup sekadar pernah mengenali membuatkan hati ini agak tersentuh dengan pemergian tanpa tanda itu. Kini kematian mudah meragut sesiapa sahaja apabila sampai ajalnya. Sekali rebah tidak akan bangun lagi. Terlalu mudah insan-insan itu pergi menemui pencipta. Posted by EVA SALSABILA at 4:40 PTG 1 comments
Khamis, 25 Februari 2010
Berilah CINTA selagi masa masih ada.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Masa dapat mengubah segalanya.
Masa dapat menggugurkan kelopak INGATAN perhubungan.
Masa yang memisahkan diri dengan rakan-rakan ketika sekolah dahulu.
Masa yang menemukan kami semula di alam maya.
Masa yang membawa pergi rakan-rakan dari dunia ini di usia yang masih muda.
Masa juga penyebab berita pemergian beberapa rakan itu sampai melalui rakan lain setelah lama tidak bersua.
Masa benar-benar mencemburui.
Tidak..masa itulah yang benar kerana patuh berjalan pada paksinya tanpa pincang sedikit pun.
Manusia yang lalai kerana tidak pandai menghargai masa.
Manusia yang leka kerana tidak menjadikan masa itu benar-benar berkualiti.
Masa dapat memekarkan CINTA dan RINDU.
Masa memisahkan insan yang paling mulia dengan penghuni bumi.
Namun masa tidak lupa menghebahkan sirah baginda agar diteladani.
Sehingga ramai yang masih mengikuti sunnah baginda sehari-hari.
Masa juga menjadi saksi pada hati dan bibir yang basah berselawat saban siang dan malam.
Jauhnya berpisah dari masa tidak melekangkan sedikit pun cinta dan ingatan pada baginda.
Malah ia makin mekar dari hari ke hari kerana baginda sememangnya sudah memberi cinta kepada seluruh umatnya maka sepanjang zaman beliau dicintai.
Masa ada tidak menghargai.
Masa pergi baru disesali.
Hargailah masa ada agar jangan disesali pada yang sudah pergi kerana semestinya tidak akan kembali lagi.
Jika masih punya ibu bapa layanilah mereka sebaiknya kerana mungkin esok kita akan merindui celoteh mereka.
Jika masih punya suami, isteri dan anak-anak sempurnakanlah hak mereka kerana mungkin esok kita rindu untuk menunaikan tanggungjawab itu.
Jika masih punya keluarga, guru, sahabat dan tetangga bantulah mereka sedaya mampu kerana mungkin esok kita rindu bersosial dengan mereka.
Jika masih punya usia, renjiskanlah cinta seisi alam berpaksikan cinta Allah kerana mungkin esok kita tidak ada lagi di sini.
Posted by EVA SALSABILA at 8:40 PTG 0 comments
Sabtu, 13 Februari 2010
Semuanya bermula dari hati
Posted by EVA SALSABILA at 4:37 PG 1 comments
Selasa, 9 Februari 2010
Bacalah..hati akan menjadi lapang..
Posted by EVA SALSABILA at 9:08 PTG 0 comments
Ahad, 7 Februari 2010
Mahalnya setitis airmata

Wanita terlalu lemah. Wanita tidak sekuat lelaki. Wanita mudah mengalirkan airmata.
Wanita penuh emosi. Namun itulah nikmat kata sahabatku. Nikmat menjadi seorang wanita ujarnya lagi.
Berinteraksi dengan ramai wanita sekarang ini membuatkan aku lebih mengenali kaumku sendiri. Walaupun aku adalah wanita namun aku dapat mengumpulkan fakta sebanyak mungkin bahawa beginilah fitrahnya seorang wanita. Namun, ada sebahagian wanita yang mampu melindungi semua sifat itu dengan perisai tabah, sabar dan redho sehingga tidak nampak langsung bayangan goyahnya. Wanita-wanita sebegini mengikut jejak srikandi dahulu kala yang meletakkan Allah di hadapan segala-galanya.
Airmatanya dilindungi dari menitis di khalayak. Luka hatinya ditutupi sehingga berhadapan orang ramai umpama tiada masalah. Mampu tersenyum bahagia sehingga aura itu menimpai sesiapa sahaja yang melihatnya. Kata-kata indah terukir cantik keluar dari butir katanya.
Terlalu banyak keluhan wanita tentang rasa hati yang kubaca saban hari. Aku turut sedih dengan keluhan itu namun hanya mampu berdoa dan meng'amin'kan agar sinar bahagia menanti mereka di hujung sana. Bahagia jika tidak dikecapi di dunia tetapi di akhirat sana.
Entah apa hikmah-Nya aku turut terheret sama menjadi pembaca setia akan masalah-masalah itu sepertimana pinta mereka. Masalah antara dua jantina yang kian lebat rimbunnya. Jika lidah suami isteri lagikan tergigit. Inikan pula lidah pasangan yang belum diijabkabulkan.
Sabar. Hanya itu penenangnya. Bergantung kepada DIA yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Redho itu penawarnya. Segala sakit dan penderitaan itu akan sembuh seperti sediakala.
Jangan dibazirkan airmata kerana cinta dunia. Airmata itu bakal menjadi saksi jika menangis kerana takutkan DIA.
Posted by EVA SALSABILA at 9:20 PTG 0 comments
Sabtu, 6 Februari 2010
Sedar di lorong Cina.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
"Adik beli coklat?" kucuba beramah mesra dengan seorang kanak-kanak perempuan di
simpang lorong rumah cina.
"Hmm..mak suruh beli planta di kedai," hakikatnya aku hendak mengajak kanak-kanak itu turut lari bersamaku daripada seekor anjing yang menuju ke arah kami. Kononnya hendak menjadi penyelamat. Walhal anjing itu langsung tidak mempedulikan kewujudan kami akibat asyik mencari makanan.
Kami beriringan di bawah satu payung ketika matahari terik menjamah kulit. Berjalan sambil berkenalan agar suasana tidak hambar.
"Adik bersekolah di sini?" selaku orang dewasa aku bertanya.
"Tak, saya sekolah di Tasek Apung," deretan rumah bangsa Cina itu kami lewati.
"Mak Cik..Mak Cik cikgu ka?" ada satu kejutan pada soalan itu. Bukan..bukan pada soalan itu tetapi pada satu perkataan itu.
'Mak Cik'. Ya, kanak-kanak itu benar. Dia memang kanak-kanak yang jujur. Berani berkata benar sehingga aku tersedar dari lamunan usia bahawa aku sudah tua. Hampir masuk separuh usia Nabi. Pada tahun ini angka itu akan bertambah lagi satu. Walaupun aku bukanlah wanita yang malu-malu kucing hendak memberitahu angka itu namun aku gusar. Gusar kerana tua kurangnya amalan. Ohh..diriku.
"Hmm..Mak Cik cikgu tapi bukan di sekolah sini. Sekolah Mak Cik jauh," terasa janggal menyebut Mak Cik. Selama ini menggunakan Acik pada anak-anak sahabat ketika berfacebook.
"Adik ada kakak dan abang?" soalan merujuk kepada sebab kanak-kanak berjalan sendirian di tengahari yang kekurangan orang.
"Kakak ade la tapi abang tak de," ala-ala loghat KL kanak-kanak itu menjawab.
Pernah timbul kehairanan di benakku. Pernah juga bertanya lisan kepada mereka. Murid-murid dan pelajar-pelajar di sini ramai menggunakan loghat selatan. Bila ditanya memang dilahir dan dibesarkan di sini. Tidak pernah tinggal luar dari Kedah. Tidak kupeduli sebenarnya loghat apa yang hendak digunakan. Cuma, penekanannya kanak-kanak memang mudah terpengaruh walau hanya melalui layar televisyen. Sekadar loghat tidak mengapa. Masalahnya ialah terpengaruh cara berpakaian, bertabarruj, bersosial dan pelbagai masalah di luar syarak.
"Kakak sekolah di mana?" seronok pula berbual dengan kanak-kanak ini.
"Kakak yang nombor satu sekolah di SMP," ramah dan petah kanak-kanak itu menjawab.
"Sekolah Menengah..P tu apa?" berlegar-legar mencari nama penuh bagi P itu.
"Bukan..bukan..bukan Sekolah Menengah..sekolah yang dekat dengan Tasek Apong," aku angguk walaupun masih kelam. Akulah manusia yang masih belum mahir dengan tempat sendiri kerana asyik tinggal di luar negeri.
"Haa Mak Cik..di sana rumah saya," sambil jari menunjuk ke arah rumahnya.
Kanak-kanak itu kulepaskan selepas lori berlalu. Ketika jalan kosong dari sebarang kenderaan. Risaunya hati melihat kanak-kanak berusia 9 tahun yang masih teragak-agak untuk melintas jalan seorang diri.
***Di bumi Musa dahulu aku suka berbual dengan kanak-kanak arab. Sebabnya adalah bahasa arab pasarku yang tidak berapa lancar. Cara kanak-kanak berkomunikasi lebih mudah difahami berbanding dewasa. Cuma aku menjadi kagum kerana kanak-kank berusia 11tahun sahaja sudah matang berbicara tentang bab aurat dan perjuangan di Palestin. Bukan sekadar dengan gaya biasa tetapi bersemangat seperti sanggup untuk turun ke medan sana pada bila-bila masa. Berani bertanya dan menegakkan jawapan.
Aku sedang mengatur cara tentang bagaimana mahu melatih murid-murid agar petah dan lancar untuk pertandingan bercerita yang akan datang. Sekaligus mengusir ragu-ragu dan rasa malu berhadapan dengan penonton.
Posted by EVA SALSABILA at 7:33 PTG 0 comments
Rabu, 27 Januari 2010
Selamat pagi usia.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Sebuah van dari belakang kuikuti dengan pergerakan lambatnya. Nampak seperti ambulans
tetapi di mana lampu siren di atasnya. Gelap pagi menyukarkan sedikit pandangan nampak dengan lebih jelas.
Semakin dekat roda keretaku mendekati van tersebut semakin tertera tulisan di belakang badannya. Anak mata dikecilkan agar kesamaran nampak nyata.
'Kereta jenazah'
Aku terkedu seketika. Takirah pagi dari Allah Taala. Peringatan tanpa suara dan kata.
"Syukur ya Allah kerana Engkau sering mengingatkan bahawa dunia ini tidak boleh kugenggam selama-lamanya, keindahannya hanya sementara, perjalanan melalui lorong-lorongnya hanya buat mencari tapak di ladang akhirat sana."
Kita sering gundah pada hal dunia sehingga terlupa pada hal pertimbangan Allah Taala di sana.
Kita sering risau pada ketidakcukupan dunia tetapi kita terlupa kekurangan pahala sebagai bekalan ke sana.
Kita sering mengeluh dengan dugaan padahal itulah tarbiah Allah untuk menyenaraikan kita sebaris hamba-hamba-Nya yang bertakwa.
Kitalah hamba yang sering terlupa yang perlu acapkali diperingatkan.
Itulah kita, hamba yang tidak sempurna.
Diperingatkan tentang kematian maka semakin bersemangat untuk meneruskan kehidupan.
Dilalaikan dengan dunia maka semakin malas meneruskan perjuangan.
Posted by EVA SALSABILA at 3:07 PTG 3 comments
Isnin, 25 Januari 2010
Hebat
"Apa pula aku, hang la menang," bertegang urat menyatakan bahawa diri masing-masing tidak hebat.
Aku mula merapati kumpulan itu.
"Takkan sebelum bertanding masing-masing sudah menyerah kalah," mukadimah membuatkan murid-murid yang mewakili Rumah Biru dan Hijau itu terdiam.
"Kalau begitu lebih baik mengumumkan kemenangan tanpa bertanding, beri sahaja kemenangan kepada kepada mana-mana rumah lawan, itukan lebih mudah," meneliti bait-bait ayat ustazah yang dua tahun lalu hanya sebagai pemerhati ketika acara sukan sekolah.
"Mengikut seperti kata-kata kamu semua tadi seolah-olah sudah lemah semangat dan menyerah kalah sebelum berhadapan dengan keadaan."
"Allah tidak suka kamu meletakkan sesuatu tanggapan tanpa berusaha melaluinya terlebih dahulu," kelakar juga aku menjadi motivator ketika mentari berdiri atas kepala.
"Allah akan memberi mengikut apa yang kamu sangka," ayat sahabat baikku tidak pernah kering sebagai ingatan.
"Adam, sepatutnya kamu kena melemahkan pihak lawan dengan mengatakan bahawa aku akan menewaskan engkau wahai Ashraf," sudah seperti Hang Jebat seperti hendak menyerang Tuah di istana Melaka pula gaya bahasaku.
Adam, murid baru itu menganggukkan kepala.
"Alah, apa yang kamu hendak takutkan Ashraf selaku olahragawan tahun lepas ini, dia juga manusia yang ada kelemahan seperti kita," Ashraf senyum sumbing sambil mundar-mandir.
Mata Adam dan rakan-rakan L1 kembali sirna seperti mata helang hendak menerkam mangsa.
"Ashraf, hang tak tahu kelebihan kami selaku rumah biru, selagi belum berlari jangan harap kami akan menyerah kalah," terkesima aku dengan lontaran kata-kata Adam seperti panglima hendak mempertahankan Tanah Melayu lagaknya.
"Macam tulah, semangat kena kuat, jika ada kekuatan fizikal tanpa semangat kita akan lemah. Begitu juga dengan semangat membara tanpa usaha juga akan gagal."
"Bukan sekadar ketika sukan malah ketika belajar dan kehidupan," aku mengharapkan kata-kata itu masuk telinga kanan dan dipekup telinga kiri oleh calon-calon UPSR 2010 ini.
"Apa yang penting semua yang kita buat kerana Allah dan mengeratkan ukhuwah bukannya mencari perbalahan," syarahan kututup setelah pelari-pelari itu dipanggil nama untuk mengambil tempat di padang.
Jika sebelum ini, aku berasa terkebelakang berbanding cikgu-cikgu lain dari segi mengatur strategi. Kini aku juga tahu strategi menjatuhkan lawan. Bukan menyatakan bahawa diri ini hebat. Namun sekadar mengingatkan bahawa setiap diri manusia yang dicipta punya kekuatan. Cuma ada yang tahu tapi tidak pandai menggunakan. Ada yang langsung tidak tahu malah tidak cuba mencari dan mengasahnya.
Setiap dari kita hebat jika pandai menggunakan kehebatan.
Kehebatan bukan untuk mencari pujian manusia.
Cukup sekadar mendapat perhatian Allah Taala.
Kehebatan perlu bagi mencipta sejarah kejayaan dan kecemerlangan.
Menjadi hebat agar orang lain turut serta untuk menjadi hebat.
Maka dalam dunia terisi dengan manusia yang hebat.
Hebat yang dimuliakan Allah Taala.
Bukan hebat yang mendapat tempat dalam jurang neraka. Nau'zubillah.
*****
"Saya ustazah," anak-anak 2 al-Farabi berebut hendak mengepalai senaman sebelum memulakan pelajaran Bahasa Arab.
Posted by EVA SALSABILA at 3:43 PTG 0 comments
Jumaat, 22 Januari 2010
Sudah kenal bertambah suka.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
"Kenapa ustazah tak ajar Bahasa Arab di kelas kami?" ketika latihan acara padang
berlangsung seorang murid tahun 5 bertanya.
"Kenapa ustazah?" rakan sekelasnya pula menyampuk.
"Siapa ajar pun sama sahaja." jawapan ringkas dariku.
Rasa bersalah tiba-tiba menguasai diri. Seperti mahu meminta semula untuk mengajar Bahasa al-Quran itu di kelas tahun 5 dan 6. Bukanlah bermakna diri ini pandai. Namun, anak-anak itu sudah bercambah minat terhadap bahasa ini. Maka kerana minat menerima itulah, diri mahu memberi ilmu yang ada tidak seberapa ini.
Perkara yang baik jangan dijadikan sekadar percubaan.
Sepatutnya dibiarkan berterusan kerana akan ada jalan dimudahkan Allah.
Dugaan tetap ada untuk menaik tarafkan nilainya agar hamba senantiasa memperbaharui niat.
Semoga ia benar-benar menjadi berkualiti di sisi Ilahi bersama hasilnya.
Bukan hanya sekadar kuantiti.
Sebenarnya diri ini dan orang lain di luar sana ingin lihat agar Bahasa Arab dipandang penting oleh semua. Bukan sekadar untuk menjayakan sesuatu program. Bukan sekadar bahasa tambahan selepas Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
*****
Kaki menapak satu persatu anak tangga untuk ke tahun 1 al-Razi. Sambil anak mata memandang ke padang SKBS yang luas terjaga rapi oleh Pak Mat iaitu tukang kebun sekolah yang rajin. Tahun 4 sedang PJ. Barangkali melakukan gerakan memanaskan badan, tekaku.
"Wahid, isnani, salasah, arba'ah, qamsah." bergema suara anak-anak itu mengira dalam lughatul arabiah.
Aku berpusing semula ke arah mereka sambil tersenyum gembira. Segembira hati yang berbunga-bunga kerana ketika pendidikan jasmani tanpa dipinta juga mereka menggunakan bahasa syurga. Nombor-nombor itu sudah sebati dalam diri agaknya yang diberi penekanan tahun lepas setelah dikenal pasti ketika tahun 3 masih ramai tidak tahu mengira dari satu sehingga sepuluh.
~Ya Allah, mudahkanlah urusan pada kebaikan yang ingin hamba-hamba-Mu ini laksana dan realitikan di muka bumi ini. Patahkanlah kejahatan walau secubit dari gerak hati yang terbit. Semoga aura baik senantiasa melingkari hidup kami bawah lembayung rahmat-Mu. Amin.~
Posted by EVA SALSABILA at 8:56 PG 0 comments
Ahad, 10 Januari 2010
Rukun Iman & Rukun Negara
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
"Siapa tahu Rukun Iman ada berapa?" wajah-wajah mulus di depan kupandang.
"Enam," satu suara dalam keriuhan menjawab dengan betul.
"Sekarang cuba sebut satu persatu," masing-masing memandang sesama sendiri sambil berfikir.
"Percaya kepada tuhan," sambil jari telunjuk kuangkat tanda pertama mengiyakan.
"Percaya kepada Raja dan negara," kelas terdiam kerana aku mengerutkan dahi. Hati sudah digeletek gelihati memekarkan senyuman di bibir.
"Patriotik sungguh anak-anak muridku ini," suara hati berbicara.
Tidak dinamakan kehidupan tanpa kesalahan.
Tidak dinamakan teguran tanpa gaya bahasa yang betul.
"Itu Rukun Negara, Rukun Iman yang kedua adalah beriman kepada?" pertanyaan kusambung.
Jika sebelum ini mereka biasa dengan perkataan percaya. Namun ia ditukar kepada beriman untuk membezakan antara dua rukun itu. Sesudah itu dengan lancar ke semua rukun itu disebut mengikut turutan.
Adakala kerana satu perkataan dua individu bakal berantakan. Masyarakat bakal berpecah-belah. Negara bakal punah-ranah. Mungkin kerana salah sangka atau kesilapan yang tidak sengaja. Oleh itu berhati-hatilah menutur kata agar ukhuwah sentiasa terpelihara.
'Terlajak perahu boleh diundur..terlajak kata pohonlah kemaafan agar dosa terampun sebelum diusung ke kubur'
Keletah anak-anak tulus ini sebenarnya adalah salah satu cabang membuatkan aku ceria. Walau hakikatnya aku adalah guru mereka. Mereka juga adalah guru buatku kerana mengajarku tentang kehidupan dari kaca mata seorang kanak-kanak. Memberi pengalaman berharga untuk diterapkan dalam kehidupan kelak. Juga gambaran dari ruang yang kecil ( kanak-kanak )untuk diadaptasi ke dalam ruang yang lebih besar ( dewasa ).
Percayalah bahawa semua yang ditentukan oleh Allah bukanlah sia-sia.
Posted by EVA SALSABILA at 9:29 PTG 4 comments
Jumaat, 1 Januari 2010
Sudah tukar ka?
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Kalendar 2009 yang dicobek oleh kucingku di bahagian bawah sudah berganti. Sudah lama hendak diganti. Sekadar menanti hari sahaja. Kini kalendar baru pemberian Abang Chaq atas nama syarikatnya yang diberi ketika pulang bercuti menghadiri kenduri kahwin Zahirah ( sepupu ) menghiasi bilik. Sedap mata memandang pada yang baru. Sudah tiada cobekkan di sana-sini lagi.
Kelas tahun 2 al-Farabi sudah disapu, dicuci dan diatur segala-galanya. Cuma tunggu dihiasi dengan jadual waktu, jadual bertugas, carta dan gambar. Juga beberapa pengubahsuaian yang sudah terancang dalam minda. Pentingnya dibersihkan dahulu. Kebersihan itu separuh daripada iman. Mataku pedih apabila melihat secebis kertas pun di atas lantainya. Apatahlagi berkoyan-koyan habuk, debu yang menyebabkan sinus berada dalam kondisi tidak selesa.
"Alhamdulillah aku mendapat murid-murid tahun 2 yang rajin menyapu dan mengemas terutama Rizal," sambil menyapu bersendirian aku bersyukur.
Rizal adalah pencetus rakan-rakannya menjadi rajin dan pengemas sepertinya.
Genap 10 tahun. Dalam 10 tahun ini aku bergelar pelajar di dua buah pusat pengajian. Tahun 2000 aku menjejakkan kaki ke Kusza. Akhir 2003 aku melangkah ke Universiti al-Azhar cawangan Iskandariah. Selesai belajar kini sudah bekerja.
Segala azam yang kucartakan dalam bentuk peta minda ketika menengah dahulu sudah kugapai. Tanpa disangka segalanya umpama mimpi apabila seiring masa sudah menjadi realiti. Dahulunya semua ini bermula dengan angan-angan. Semuanya dari Allah yang mendengar doa hamba-Nya ini. Dia jugalah yang melihat daya usaha insan kerdil ini. Dia jugalah yang memakbulkan di pentas realiti. Bersama itu doa seorang ibu, abah dan insan sekeliling yang pastinya ada salah satu dari doa itu mustajab.
Usia kian bertambah. Pertambahan angka yang mengerunkan ramai orang kerana menghampiri kematian. Kematian yang tidak boleh dihitung dengan nombor. Itu semua adat masa kerana yang lama pastikan luput. Hakikatnya tarikh ajal sudah tercatat. Setiap masa perlu bersedia menanti malaikat Izrail datang menjemput.
Kalendar sudah menghiasi dada dinding. Azam sudah tercatat di lembaran putih. Pelaksanaan menanti hari yang bakal menjelma untuk direalitikan dengan segenap daya usaha. Itu perancangan kita. Sebaliknya perancangan Dia yang masih menjadi misteri. Hakikat yang lebih terbaik buat hamba-Nya yang sudah Dia nampak dari mulanya.
Hidup ini sebenarnya penuh misteri. Bukan sekadar menanti. Perlu ada gerak usaha, doa dan berserah. Jika rasa Dia dekat tidak akan sanggup melakar mungkar untuk mencapai sasaran impian.
Posted by EVA SALSABILA at 8:56 PG 0 comments













