Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Kalendar 2009 yang dicobek oleh kucingku di bahagian bawah sudah berganti. Sudah lama hendak diganti. Sekadar menanti hari sahaja. Kini kalendar baru pemberian Abang Chaq atas nama syarikatnya yang diberi ketika pulang bercuti menghadiri kenduri kahwin Zahirah ( sepupu ) menghiasi bilik. Sedap mata memandang pada yang baru. Sudah tiada cobekkan di sana-sini lagi.
Kelas tahun 2 al-Farabi sudah disapu, dicuci dan diatur segala-galanya. Cuma tunggu dihiasi dengan jadual waktu, jadual bertugas, carta dan gambar. Juga beberapa pengubahsuaian yang sudah terancang dalam minda. Pentingnya dibersihkan dahulu. Kebersihan itu separuh daripada iman. Mataku pedih apabila melihat secebis kertas pun di atas lantainya. Apatahlagi berkoyan-koyan habuk, debu yang menyebabkan sinus berada dalam kondisi tidak selesa.
"Alhamdulillah aku mendapat murid-murid tahun 2 yang rajin menyapu dan mengemas terutama Rizal," sambil menyapu bersendirian aku bersyukur.
Rizal adalah pencetus rakan-rakannya menjadi rajin dan pengemas sepertinya.
Genap 10 tahun. Dalam 10 tahun ini aku bergelar pelajar di dua buah pusat pengajian. Tahun 2000 aku menjejakkan kaki ke Kusza. Akhir 2003 aku melangkah ke Universiti al-Azhar cawangan Iskandariah. Selesai belajar kini sudah bekerja.
Segala azam yang kucartakan dalam bentuk peta minda ketika menengah dahulu sudah kugapai. Tanpa disangka segalanya umpama mimpi apabila seiring masa sudah menjadi realiti. Dahulunya semua ini bermula dengan angan-angan. Semuanya dari Allah yang mendengar doa hamba-Nya ini. Dia jugalah yang melihat daya usaha insan kerdil ini. Dia jugalah yang memakbulkan di pentas realiti. Bersama itu doa seorang ibu, abah dan insan sekeliling yang pastinya ada salah satu dari doa itu mustajab.
Usia kian bertambah. Pertambahan angka yang mengerunkan ramai orang kerana menghampiri kematian. Kematian yang tidak boleh dihitung dengan nombor. Itu semua adat masa kerana yang lama pastikan luput. Hakikatnya tarikh ajal sudah tercatat. Setiap masa perlu bersedia menanti malaikat Izrail datang menjemput.
Kalendar sudah menghiasi dada dinding. Azam sudah tercatat di lembaran putih. Pelaksanaan menanti hari yang bakal menjelma untuk direalitikan dengan segenap daya usaha. Itu perancangan kita. Sebaliknya perancangan Dia yang masih menjadi misteri. Hakikat yang lebih terbaik buat hamba-Nya yang sudah Dia nampak dari mulanya.
Hidup ini sebenarnya penuh misteri. Bukan sekadar menanti. Perlu ada gerak usaha, doa dan berserah. Jika rasa Dia dekat tidak akan sanggup melakar mungkar untuk mencapai sasaran impian.
0 comments:
Catat Ulasan