'Jauh perjalanan luas pengalaman'.
Benar sekali ungkapan di atas. Percutian saya pada cuti pertengahan sekolah pada tahun ini telah saya ubah menjadi sebuah perjalanan menjejak realiti kehidupan. Memandang realiti kehidupan manusia dari pelbagai perspektif. Mudah katanya adalah melihat kehidupan dari kaca mata seorang manusia bawahan sehingga atasan. Pastinya taraf itu yang dicipta oleh manusia bukannya pencipta.
Jika diberi pilihan saya lebih suka melihat dari sudut kaca mata orang bawahan. Juga lebih suka memandang orang miskin berbanding orang kaya.
Bagi saya, memandang orang miskin itu lebih banyak nilainya. Nilai untuk diri saya hasil cedokkan dari nilai yang dimiliki mereka-mereka yang miskin. Kesusahan yang membuatkan mereka berjuang untuk sebuah kehidupan. Membanting tulang empat kerat untuk sesuap makanan. Mengerah keringat untuk seteguk minuman. Pastinya yang dicari bukan untuk hanya mengisi kantung perut sendiri. Namun semua kantung perut orang-orang yang disayangi.
Mereka adalah wira. Wira untuk meneruskan kehidupan. Juga wira memberi peluang kehidupan kepada insan-insan di sekeliling.
Selepas ini, percutian saya akan terus dipandang sebegini.
Bukannya sekadar percutian dibaluti selimut akibat kesejukan alat penghawa dingin di hotel.
Bukan juga percutian selesa menaiki teksi tanpa berebut-rebut dalam debu dan sesaknya manusia menunggu dan menaiki bas.
Bukan juga sekadar percutian menyantap makanan yang mewah-mewah.
Bukan juga percutian membeli-belah menghabiskan wang berkepuk-kepuk.
Bukannya percutian yang berasakan diri kaya tetapi percutian yang mendatangkan seribu keinsafan bahawa kita ini manusia sebenarnya adalah terlalu miskin. Hanya DIA yang Maha kaya.
Sabah. Negeri paling miskin di Malaysia mengatasi Kelantan. Awalnya saya tidak mahu mengiyakan kenyataan tersebut kerana masih belum menjejak kaki di sana. Namun saya mengiyakan setelah lebih seminggu berada di sana. Hampir setiap mata bening saya renungi bagi mendalami dalamnya kesukaran hidup yang mereka hadapi. Hampir setiap orang saya perhati agar dapat melihat kesukaran mereka bergelut mendepani arus hidup.
Saya insaf. Insaf kerana adakala saya hampir lupa kepada kesusahan yang pernah mewarnai kanvas hidup suatu tika dahulu walaupun kini bukanlah terlalu senang. Saya terimbas. Terimbas kepada slot-slot kehidupan sukar dahulu kerana keluarga saya bukanlah keluarga yang mudah untuk memiliki segala-galanya.
Namun saya bersyukur walaupun saya tidak senang, saya diberikan peluang memiliki nilai-nilai kehidupan hasil dari kesukaran yang dikurniai. Itulah kurniaan yang pencipta mahu berikan. Nilai yang membolehkan memandang semua aspek taraf hidup. Nilai yang tidak mampu dibeli dan dimiliki oleh hartawan dan jutawan.
Namun saya juga perlu memandang orang kaya. Bagi melengkapkan ilmu saya tentang semua taraf kehidupan. Membandingkannya. Bukannya untuk mencari kesalahan tetapi bagi melihat sejauhmana hebatnya orang miskin kerana SYURGA kelak dipenuhi orang miskin.
Sebaik mana pun pandangan manusia. Pandangan Allah lebih baik. Maka kerana itulah DIA lebih mengetahui siapa yang layak menghuni jannah-Nya.
Jika kita berbangga menjadi orang kaya.
Kita jangan lupa bahawa Rasulullah tidak memilih jalan senang dalam hidup.
Cukuplah kita menjadi orang kaya yang mahu membuktikan bahawa Islam ini kuat dengan membahagi-bahagikan harta melalui zakat dan derma sehingga tiada lagi umatnya yang melarat. Negara makmur. Islam dapat disebarkan.
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan