? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Rabu, 27 Januari 2010

Selamat pagi usia.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Sebuah van dari belakang kuikuti dengan pergerakan lambatnya. Nampak seperti ambulans
tetapi di mana lampu siren di atasnya. Gelap pagi menyukarkan sedikit pandangan nampak dengan lebih jelas.

Semakin dekat roda keretaku mendekati van tersebut semakin tertera tulisan di belakang badannya. Anak mata dikecilkan agar kesamaran nampak nyata.

'Kereta jenazah'

Aku terkedu seketika. Takirah pagi dari Allah Taala. Peringatan tanpa suara dan kata.

"Syukur ya Allah kerana Engkau sering mengingatkan bahawa dunia ini tidak boleh kugenggam selama-lamanya, keindahannya hanya sementara, perjalanan melalui lorong-lorongnya hanya buat mencari tapak di ladang akhirat sana."

Kita sering gundah pada hal dunia sehingga terlupa pada hal pertimbangan Allah Taala di sana.
Kita sering risau pada ketidakcukupan dunia tetapi kita terlupa kekurangan pahala sebagai bekalan ke sana.
Kita sering mengeluh dengan dugaan padahal itulah tarbiah Allah untuk menyenaraikan kita sebaris hamba-hamba-Nya yang bertakwa.
Kitalah hamba yang sering terlupa yang perlu acapkali diperingatkan.
Itulah kita, hamba yang tidak sempurna.

Diperingatkan tentang kematian maka semakin bersemangat untuk meneruskan kehidupan.
Dilalaikan dengan dunia maka semakin malas meneruskan perjuangan.

Isnin, 25 Januari 2010

Hebat


"Hang mesti menang punya," sayup-sayup murid tahun 6 bercakaran lidah ketika latihan acara balapan bakal bermula.

"Apa pula aku, hang la menang," bertegang urat menyatakan bahawa diri masing-masing tidak hebat.

Aku mula merapati kumpulan itu.

"Takkan sebelum bertanding masing-masing sudah menyerah kalah," mukadimah membuatkan murid-murid yang mewakili Rumah Biru dan Hijau itu terdiam.

"Kalau begitu lebih baik mengumumkan kemenangan tanpa bertanding, beri sahaja kemenangan kepada kepada mana-mana rumah lawan, itukan lebih mudah," meneliti bait-bait ayat ustazah yang dua tahun lalu hanya sebagai pemerhati ketika acara sukan sekolah.

"Mengikut seperti kata-kata kamu semua tadi seolah-olah sudah lemah semangat dan menyerah kalah sebelum berhadapan dengan keadaan."

"Allah tidak suka kamu meletakkan sesuatu tanggapan tanpa berusaha melaluinya terlebih dahulu," kelakar juga aku menjadi motivator ketika mentari berdiri atas kepala.

"Allah akan memberi mengikut apa yang kamu sangka," ayat sahabat baikku tidak pernah kering sebagai ingatan.

"Adam, sepatutnya kamu kena melemahkan pihak lawan dengan mengatakan bahawa aku akan menewaskan engkau wahai Ashraf," sudah seperti Hang Jebat seperti hendak menyerang Tuah di istana Melaka pula gaya bahasaku.

Adam, murid baru itu menganggukkan kepala.

"Alah, apa yang kamu hendak takutkan Ashraf selaku olahragawan tahun lepas ini, dia juga manusia yang ada kelemahan seperti kita," Ashraf senyum sumbing sambil mundar-mandir.

Mata Adam dan rakan-rakan L1 kembali sirna seperti mata helang hendak menerkam mangsa.

"Ashraf, hang tak tahu kelebihan kami selaku rumah biru, selagi belum berlari jangan harap kami akan menyerah kalah," terkesima aku dengan lontaran kata-kata Adam seperti panglima hendak mempertahankan Tanah Melayu lagaknya.

"Macam tulah, semangat kena kuat, jika ada kekuatan fizikal tanpa semangat kita akan lemah. Begitu juga dengan semangat membara tanpa usaha juga akan gagal."

"Bukan sekadar ketika sukan malah ketika belajar dan kehidupan," aku mengharapkan kata-kata itu masuk telinga kanan dan dipekup telinga kiri oleh calon-calon UPSR 2010 ini.

"Apa yang penting semua yang kita buat kerana Allah dan mengeratkan ukhuwah bukannya mencari perbalahan," syarahan kututup setelah pelari-pelari itu dipanggil nama untuk mengambil tempat di padang.

Jika sebelum ini, aku berasa terkebelakang berbanding cikgu-cikgu lain dari segi mengatur strategi. Kini aku juga tahu strategi menjatuhkan lawan. Bukan menyatakan bahawa diri ini hebat. Namun sekadar mengingatkan bahawa setiap diri manusia yang dicipta punya kekuatan. Cuma ada yang tahu tapi tidak pandai menggunakan. Ada yang langsung tidak tahu malah tidak cuba mencari dan mengasahnya.

Setiap dari kita hebat jika pandai menggunakan kehebatan.
Kehebatan bukan untuk mencari pujian manusia.
Cukup sekadar mendapat perhatian Allah Taala.
Kehebatan perlu bagi mencipta sejarah kejayaan dan kecemerlangan.
Menjadi hebat agar orang lain turut serta untuk menjadi hebat.
Maka dalam dunia terisi dengan manusia yang hebat.
Hebat yang dimuliakan Allah Taala.
Bukan hebat yang mendapat tempat dalam jurang neraka. Nau'zubillah.

*****
"Saya ustazah," anak-anak 2 al-Farabi berebut hendak mengepalai senaman sebelum memulakan pelajaran Bahasa Arab.

Sesi senaman adalah rutin menggunakan enam anggota badan bagi tajuk pertama tahun 2.

Menyebut kepala, mata, hidung, telinga, mulut, bahu dan jari sambil menggerakkan anggota-anggota tersebut cukup menyegarkan kami sekelas sebelum memulakan pelajaran baru.

Antara cabaran mengajar sebelum masa rehat adalah mengembalikan fokus minda anak-anak itu daripada makan dan bermain ketika rehat kelak.

"Saya pula ustazah," sekali lagi mereka berebut untuk menjadi ustaz dan ustazah membaca ayat di papan tulis sambil diikuti oleh rakan yang lain.

Ada yang kecewa apabila nama tidak disebut sehingga ke akhir sebelum latihan diberi. Ada yang tersenyum sehingga ke telinga apabila diberi tepukan oleh rakan-rakan kerana kelancaran membaca. Ada yang berbangga apabila digelar sebagai ustaz dan ustazah. Kepelbagaian keletah anak-anak ini sebenarnya mencuitkan hati.

Aku juga pernah seusia anak-anak itu yang berharap agar guru memanggil namaku ketika sesi untuk membaca dan menjawab soalan. Aku boleh merasainya. Justeru jika ada anak-anak lemah dan masih tidak boleh membaca mengangkat tangan akan kucuba realisasikan kehendak mereka itu. Aku berbangga kerana mereka berani. Aku berbangga kerana mereka punya keinginan bersaing dengan rakan-rakan yang pintar. Akibat secubit semangat ditambah daya usaha pasti akan berjaya dengan izin Allah Taala. Kata-kata itu yang sering kulemparkan.

Sebagaimana diri ini gembira memberi. Aku juga mahu anak-anak itu gembira menerima. Kegembiraan apabila mereka berlumba-lumba hendak menunjukkan kehebatan dan berusaha untuk menjadi hebat.

Namun, penegasan perlu ada bahawa Allah lebih hebat dari segala kehebatan di dunia ini. Mereka memahaminya. Alhamdulillah.

Jumaat, 22 Januari 2010

Sudah kenal bertambah suka.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


"Kenapa ustazah tak ajar Bahasa Arab di kelas kami?" ketika latihan acara padang
berlangsung seorang murid tahun 5 bertanya.

"Kenapa ustazah?" rakan sekelasnya pula menyampuk.

"Siapa ajar pun sama sahaja." jawapan ringkas dariku.

Rasa bersalah tiba-tiba menguasai diri. Seperti mahu meminta semula untuk mengajar Bahasa al-Quran itu di kelas tahun 5 dan 6. Bukanlah bermakna diri ini pandai. Namun, anak-anak itu sudah bercambah minat terhadap bahasa ini. Maka kerana minat menerima itulah, diri mahu memberi ilmu yang ada tidak seberapa ini.

Perkara yang baik jangan dijadikan sekadar percubaan.
Sepatutnya dibiarkan berterusan kerana akan ada jalan dimudahkan Allah.
Dugaan tetap ada untuk menaik tarafkan nilainya agar hamba senantiasa memperbaharui niat.
Semoga ia benar-benar menjadi berkualiti di sisi Ilahi bersama hasilnya.
Bukan hanya sekadar kuantiti.

Sebenarnya diri ini dan orang lain di luar sana ingin lihat agar Bahasa Arab dipandang penting oleh semua. Bukan sekadar untuk menjayakan sesuatu program. Bukan sekadar bahasa tambahan selepas Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

*****

Kaki menapak satu persatu anak tangga untuk ke tahun 1 al-Razi. Sambil anak mata memandang ke padang SKBS yang luas terjaga rapi oleh Pak Mat iaitu tukang kebun sekolah yang rajin. Tahun 4 sedang PJ. Barangkali melakukan gerakan memanaskan badan, tekaku.

"Wahid, isnani, salasah, arba'ah, qamsah." bergema suara anak-anak itu mengira dalam lughatul arabiah.

Aku berpusing semula ke arah mereka sambil tersenyum gembira. Segembira hati yang berbunga-bunga kerana ketika pendidikan jasmani tanpa dipinta juga mereka menggunakan bahasa syurga. Nombor-nombor itu sudah sebati dalam diri agaknya yang diberi penekanan tahun lepas setelah dikenal pasti ketika tahun 3 masih ramai tidak tahu mengira dari satu sehingga sepuluh.

~Ya Allah, mudahkanlah urusan pada kebaikan yang ingin hamba-hamba-Mu ini laksana dan realitikan di muka bumi ini. Patahkanlah kejahatan walau secubit dari gerak hati yang terbit. Semoga aura baik senantiasa melingkari hidup kami bawah lembayung rahmat-Mu. Amin.~

Ahad, 10 Januari 2010

Rukun Iman & Rukun Negara


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


"Siapa tahu Rukun Iman ada berapa?" wajah-wajah mulus di depan kupandang.

"Enam," satu suara dalam keriuhan menjawab dengan betul.

"Sekarang cuba sebut satu persatu," masing-masing memandang sesama sendiri sambil berfikir.

"Percaya kepada tuhan," sambil jari telunjuk kuangkat tanda pertama mengiyakan.

"Percaya kepada Raja dan negara," kelas terdiam kerana aku mengerutkan dahi. Hati sudah digeletek gelihati memekarkan senyuman di bibir.

"Patriotik sungguh anak-anak muridku ini," suara hati berbicara.

Tidak dinamakan kehidupan tanpa kesalahan.
Tidak dinamakan teguran tanpa gaya bahasa yang betul.

"Itu Rukun Negara, Rukun Iman yang kedua adalah beriman kepada?" pertanyaan kusambung.

Jika sebelum ini mereka biasa dengan perkataan percaya. Namun ia ditukar kepada beriman untuk membezakan antara dua rukun itu. Sesudah itu dengan lancar ke semua rukun itu disebut mengikut turutan.

Adakala kerana satu perkataan dua individu bakal berantakan. Masyarakat bakal berpecah-belah. Negara bakal punah-ranah. Mungkin kerana salah sangka atau kesilapan yang tidak sengaja. Oleh itu berhati-hatilah menutur kata agar ukhuwah sentiasa terpelihara.

'Terlajak perahu boleh diundur..terlajak kata pohonlah kemaafan agar dosa terampun sebelum diusung ke kubur'

Keletah anak-anak tulus ini sebenarnya adalah salah satu cabang membuatkan aku ceria. Walau hakikatnya aku adalah guru mereka. Mereka juga adalah guru buatku kerana mengajarku tentang kehidupan dari kaca mata seorang kanak-kanak. Memberi pengalaman berharga untuk diterapkan dalam kehidupan kelak. Juga gambaran dari ruang yang kecil ( kanak-kanak )untuk diadaptasi ke dalam ruang yang lebih besar ( dewasa ).

Percayalah bahawa semua yang ditentukan oleh Allah bukanlah sia-sia.

Jumaat, 1 Januari 2010

Sudah tukar ka?


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Kalendar 2009 yang dicobek oleh kucingku di bahagian bawah sudah berganti. Sudah lama hendak diganti. Sekadar menanti hari sahaja. Kini kalendar baru pemberian Abang Chaq atas nama syarikatnya yang diberi ketika pulang bercuti menghadiri kenduri kahwin Zahirah ( sepupu ) menghiasi bilik. Sedap mata memandang pada yang baru. Sudah tiada cobekkan di sana-sini lagi.

Kelas tahun 2 al-Farabi sudah disapu, dicuci dan diatur segala-galanya. Cuma tunggu dihiasi dengan jadual waktu, jadual bertugas, carta dan gambar. Juga beberapa pengubahsuaian yang sudah terancang dalam minda. Pentingnya dibersihkan dahulu. Kebersihan itu separuh daripada iman. Mataku pedih apabila melihat secebis kertas pun di atas lantainya. Apatahlagi berkoyan-koyan habuk, debu yang menyebabkan sinus berada dalam kondisi tidak selesa.

"Alhamdulillah aku mendapat murid-murid tahun 2 yang rajin menyapu dan mengemas terutama Rizal," sambil menyapu bersendirian aku bersyukur.

Rizal adalah pencetus rakan-rakannya menjadi rajin dan pengemas sepertinya.

*******

Genap 10 tahun. Dalam 10 tahun ini aku bergelar pelajar di dua buah pusat pengajian. Tahun 2000 aku menjejakkan kaki ke Kusza. Akhir 2003 aku melangkah ke Universiti al-Azhar cawangan Iskandariah. Selesai belajar kini sudah bekerja.

Segala azam yang kucartakan dalam bentuk peta minda ketika menengah dahulu sudah kugapai. Tanpa disangka segalanya umpama mimpi apabila seiring masa sudah menjadi realiti. Dahulunya semua ini bermula dengan angan-angan. Semuanya dari Allah yang mendengar doa hamba-Nya ini. Dia jugalah yang melihat daya usaha insan kerdil ini. Dia jugalah yang memakbulkan di pentas realiti. Bersama itu doa seorang ibu, abah dan insan sekeliling yang pastinya ada salah satu dari doa itu mustajab.

Usia kian bertambah. Pertambahan angka yang mengerunkan ramai orang kerana menghampiri kematian. Kematian yang tidak boleh dihitung dengan nombor. Itu semua adat masa kerana yang lama pastikan luput. Hakikatnya tarikh ajal sudah tercatat. Setiap masa perlu bersedia menanti malaikat Izrail datang menjemput.

Kalendar sudah menghiasi dada dinding. Azam sudah tercatat di lembaran putih. Pelaksanaan menanti hari yang bakal menjelma untuk direalitikan dengan segenap daya usaha. Itu perancangan kita. Sebaliknya perancangan Dia yang masih menjadi misteri. Hakikat yang lebih terbaik buat hamba-Nya yang sudah Dia nampak dari mulanya.

Hidup ini sebenarnya penuh misteri. Bukan sekadar menanti. Perlu ada gerak usaha, doa dan berserah. Jika rasa Dia dekat tidak akan sanggup melakar mungkar untuk mencapai sasaran impian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...