"Ustazah, macam mana cakap Bahasa Arab nak minta pi tandas," Najiha datang duduk berdekatan ketika majlis persaraan Guru Besar berlangsung.
Gembira pula apabila anak muridku ini bertanyakan ayat dalam bahasa arab. Walaupun sekadar mahu mengambil hati. Itu adalah satu permulaan untuk dia menyukai bahasa al-Quran itu.
Sekarang dia sering mencari peluang menghampiriku sejak aku bertanya tentang kisah lalunya beberapa bulan lalu. Mungkin rasa ada yang mengambil berat. Mungkin juga dia rasa ada yang yang sanggup menjadi sahabat bagi dia menceritakan masalah dan kisah.
"Budak tu boleh saja kalau dibentuk lagi tu," guru sains menyatakan pandangan tentang Najiha yang baru di sekolah ini namun sering menimbulkan kontroversi.
"Saya pon rasa macam tu lah kak, budak tu perlukan perhatian," berdasarkan status anak itu yang kematian ibu sejak dari kecil.
Sejak itu dia dipelihara ibu saudara yang tinggal di Johor. Juga ada kisah-kisah yang tidak dapat dipastikan benarnya menurut cerita dari dia ketika tinggal bersama ibu saudaranya itu. Kesan itulah yang membuatkan dia menimbulkan kontroversi bersama murid lelaki khususnya. Juga bersama murid perempuan yang menyebabkan hampir keseluruhan murid-murid lain memandang negatif padanya. Itu hanya kesimpulan rambang kami selaku guru.
Kini sekolah kian sunyi dari kontroversi ciptaannya. Sekali-sekala ada murid lelaki seorang dua yang menganggu. Sikapnya sendiri menyebabkan dia sering diganggu. Jika aku ada berdekatan pasti kedua-dua pihak akan ditegur. Jika tidak ada angin masakan pokok akan bergoyang. Pening juga dibuatnya dengan seorang murid ini pada permulaannya.
Setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali kusta dan mati.
Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya yang perlu dicari titik hujung pangkalnya yang sama agar kembali bertemu.
Aku masih cuba untuk merapatinya. Membimbing sedaya mungkin agar sikapnya berubah. Sekaligus masa depannya tidak dikaburi dengan titik hitam berpunca dari sikapnya sendiri. Buat anak-anak SKBS yang lain perlu ditegur agar tidak mudah memandang serong pada seseorang atau sekadar ikutan untuk membenci seseorang. Semua itu perlu dibendung dari awal agar virus negatif itu tidak terus membesar seiring tumbesaran mereka.
**********
"Suami saya tak mau ajar anak saya masa kecil ni..dia kata tak boleh ajar budak kecil," masa rehat kursus mencuri peluang bersembang bersama rakan yang hanya sekali-sekala bertemu."Ermm..memang la sebab masa kecil ni lah susahnya nak mendidik dan membentuk untuk menjadi seorang manusia," aku suka pada jawapan yang keluar dari mulut dari sahabat lain yang turut mendengar.
"Betui noh, sapa la yang nak mengambil risiko pada yang susah," sesungguhnya menjadi guru sekolah rendah memang mencabar sebermula dari mengenal A,B,C, dan 1,,2,3. Itu yang menerpa di minda ketika berbicara waktu itu.
Tidak ada perkara mudah di titian hidup kerana penciptaan manusia adalah untuk melalui gelombang-gelombang itu sebagai kayu pengukur keimanan demi untuk syurga atau neraka sebagai destinasi terakhir kelak.
2 comments:
semoga urusan kak eva dipermudahkan,
saya dah tukar url blog
http://syahidahmahassan.blogspot.com/
tidak lagi menggunakan syahidahmahassan.via.my
terima kasih syahida atas doa..
iye ke? ermm..patut tidak boleh buka blog yang lama..rindu dengan titipan syahidah di sana..
Catat Ulasan