Aku sering bermimpi Comey bermain di taman. Aku benar-benar merindui Comey. Tidak lepas bertanya tentang kucing kesayanganku itu apabila menelefon keluarga di Malaysia. Sehinggalah pada suatu hari naluriku kuat mengatakan sesuatu telah menimpa Comey. Lalu aku menelefon Mak untuk menidakkan rasa itu. Mak seperti mengelak dan menyembunyikan sesuatu apabila aku bertanya tentang Comey. Akibat diasak pertanyaan bertubi-tubi Mak memberitahu bahawa Comey telah beberapa hari tidak pulang ke rumah. Darahku tersirap. Benarlah runtunan kata-kata naluriku ini.
Aku kuatkan hati untuk menerima kenyataan bahawa 13 September iaitu tarikh aku bertolak ke Mesir adalah perpisahan selamanya antara aku dan Comey. Renungan sayu matanya seolah-olah berat untuk melepaskanku pergi memberitahu bahawa jodoh kami tidak lama. Ia enggan menjamah makanan yang menyatakan bahawa ia berat untuk berpisah denganku. Tanda-tanda itu membuat pandanganku keluar tingkap Malaysia Airlines membelah awan biru nampak kosong dan hambar.
Aku terharu kerana Mak dan Abah memegang amanah menjaga Comey sehingga sanggup tidur di ruang tamu menanti Comey pulang dan mengetuk pintu. Mungkin kerana Mak tidak mahu aku sedih kerana pulang nanti tanpa melihat mata sayu kucing itu lagi. Tidak kutahu punca Comey tidak pulang sehinggalah aku kembali ke tanahair. Mak tidak bercerita. Aku juga tidak bertanya mengelak sebak di jiwa. Kak Ngah memberitahu kemungkinan besar Comey mati digilis tayar belakang jiranku yang mengundur keretanya keluar dari pagar. Segalanya sudah tertulis. Tiada siapa yang bersalah. Aku menerima setelah kubelajar menerima ketiadaannya ketika kaki melangkah keluar rumah untuk ke lapangan terbang. Juga terus belajar tanpanya ketika di ardil kinanah.
Sudah 5 tahun Comey pergi. Kini airmata degilku kembali bertakung di pinggir mata ketika menaip entry ini. Seperti kata-kata adik ketika aku baru pulang dahulu bahawa Comey kini berada di dalam syurga dan nanti kita akan berjumpa Comey kembali di sana. Aku tersenyum dengan kata-kata adik yang ketika itu berusia 6 tahun.
Ketot masuk ke bilik mengesel kaki pada pagi ini. Kini kami mempunyai keluarga Kitty yang agak besar dengan 3 ekor anaknya dari 13 ekor anak yang dilahirkan. Mereka lebih sihat. Juga lebih banyak meluangkan masa di rumah tanpa merayau. Sudah 2 tahun setengah Kitty menjadi ahli keluarga kami. Tidak ada halangan yang menjadi beban menguruskan mereka kerana mereka adalah sebahagian dari kami. Cubit paha kanan maka paha kiri juga terasa. Begitulah ibaratnya.
Ukhuwah itu bukan setakat bermakna hubungan antara individu dan makhluk.
Namun ia membawa maksud susah senang yang diharungi bersama kerana Allah Taala.
Pautan ukhuwah bukan hanya sekadar dinanti ada yang menghulurkan pangkal talinya.
Sebagai yang mengharap kita juga perlu memberi.
Lemparkanlah pangkal talinya kepada sesiapa yang kita inginkan.
Agar pangkal dan hujungnya dapat disimpul dengan jalinan kasih sayang membentuk jalinan hubungan berlandas Al-Quran dan sunnah.
Jangan dibiarkan ruangnya diceroboh makhluk laknatullah walau sesaat.
Agar memperoleh keberkatan dan rahmat Allah Taala.
2 comments:
aduhai, sedey kalau ingat kucing. Kalau la ada kopi campuran yang bleh bg spisis rimau ni pjg umur sampai 50 tahun ke kan ke best.
kucing last sy Puti. Skang xbela kucing. Wife asma. Best kan kalau kucing bleh bercakap.
nak kena cipta tue ubat kucing panjang umo..
kalo kucing bole bercakap semua prob bole cite kat dia..
tp dulu mmg sy cakap ngan n cite prob pada kucing pon walau ia skadar merenung n tanpa membalasnya..
Catat Ulasan