Sudah lama saya tidak menulis di sini. Buka dan tutup semula. Buka dan menulis separuh lalu padam. Entah kenapa??? Barangkali hakikat manusia. Seronok dan suka pada permulaan sahaja. Lama kelamaan suka itu kian pudar dan kian jemu lalu ditinggalkan. Bukan semua manusia. Barangkali separuh sahaja. Namun majoriti yang sebegini.
Khamis, 9 Disember 2010
1432 semoga lebih indah..
Posted by EVA SALSABILA at 9:18 PG 0 comments
Khamis, 18 November 2010
Pandang hadapan & toleh belakang.
Bermacam kerja, dahulu sekadar melepaskan batuk di tangga. Kini diatur agar menjadi sebaik mungkin. Berharap agar tiada walau setitik amanah yang tidak dilangsai. Berdoa agar tiada hak yang terabai. Mengharapkan agar setiap syiling gaji yang diperolehi bersih dari unsur-unsur haram culas setiap saat kerja yang diberikan. Ini pesanan orang tua yang kerap diulang kata. Ia menjadi peringatan sebelum memulakan kerja.
Dalam kesibukan melaksanakan semua amanah. Datang pula beberapa cita-cita untuk digapai seiring dengan usia yang kian bertambah nombornya. Pedulikan pada kegagalan lampau. Pedulikan pada kekangan masa, tenaga dan kewangan. Pedulikan pada kekecewaan perasaan. Pandang ke hadapan dengan sesekali menoleh ke belakang melihat kembali sejarah kejayaan orang-orang terdahulu.
Dengan keyakinan bahawa kejayaan pasti dalam genggaman. Selagi mendapat rahmat dan berkahi dari Yang Esa.
Kita hanya mampu bercita-cita dan berusaha. DIA yang akan mengizinkan samada jadi atau tidak.
Posted by EVA SALSABILA at 10:41 PG 0 comments
Sabtu, 9 Oktober 2010
Kagum + Hairan = ILMU
"Aduh, bior benor orang itu."
Posted by EVA SALSABILA at 9:40 PG 1 comments
Sabtu, 2 Oktober 2010
Sudah tukar ka???
Jurufoto Michel Denis-Huot memetik kamera untuk mengambil foto-foto yang mengagumkan ini pada bulan Oktober tahun lalu di Masai Mara, Kenya. Dia kagum dengan apa yang dilihatnya:
“ Pada suatu pagi, tiga ekor adik beradik cheetah kelihatan bermain-main. Tidak lama kemudian, mereka bertemu dengan sekawan rusa impala. Kesemuanya lari bertempiaran meninggalkan si kecil. Dan… harimau tiga beradik itu mudah mengepungnya…”
Namun, lihatlah keajaiban makhluk ALLAH ini…
Posted by EVA SALSABILA at 7:00 PG 0 comments
Jumaat, 24 September 2010
Jangan cuba bermain API !!!
Tidak tahu bagaimana hendak menaip kata-kata apabila tanpa budi bahasa kita diperlakukan sewenang-wenangnya. Biar tiada siapa yang memahami. Cukup sekadar jemari rancak menaip aksara memuaskan hati yang dirodok oleh sebuah kebiadapan manusia yang bertopeng keadilan. Datang tanpa diundang. Pergi tanpa maklum berita. Membawa pergi seseorang yang dikasihi.
Biadap ! Biadap ! Biadap !
Kebiadapan telah mula mengguris kesabaran yang selama ini mengalir bagai sungai yang memberi rezeki buat penduduk.
Namun marah itu api. Api itu syaitan. Syaitan itu musuh dengan kebaikan. Jauh dengan kebaikan membuatkan jauh dari pencipta. Jauh dengan pencipta membuatkan kian rancak menyemai kejahatan membuahkan dosa. Tidak mungkin dan tidak mahu terus menggendong buah-buah dosa di ladang dunia ini. Sedangkan buah-buah pahala masih belum banyak. Semaian ibadah sejak dahulu entah seberapa kerat yang diterima Ilahi. Dicampur, tolak, darab dan bahagi niat, keihlasan dan kekhusyukkan melakukannya.
Lemahnya seorang manusia. Akibat kebiadaban manusia sudah mula mahu bermain api
syaitan. Kesabaran umpama air sungai kian kering yang adakala menyukarkan untuk memadamkan api kemarahan ini. Justeru api ini kadangkala kembali marak. Ditambah lagi tiupan angin yang membuatkan api ini merebak ke tempat lain.
Setiap kebiadapan yang dilakukan pasti ada balasan. Bukan meminta atau disumpah yang tidak baik. Cukup sekadar sedar bahawa setiap manusia layak diperlakukan sebaik-baiknya kerana Allah juga memuliakan hamba-hambaNya. Nabi manusia pertama juga tidak pernah sama sekali menghina manusia lain walaupun seorang Yahudi di zaman baginda. Malah diperlakukan dengan baik sehingga membuka mata mereka bahawa Islam ini beserta orang Islam itu sendiri adalah baik berbudi bahasa.
Posted by EVA SALSABILA at 7:43 PG 0 comments
Sabtu, 4 September 2010
Cerita RAMADHAN 1431
Alexandria. Tiba-tiba kawasan yang di kelilingi laut itu terbayang-bayang dalam ingatan. Seperti hendak berlari sahaja ke sana untuk menghirup bayu lautnya yang masin dihembus angin. Melepaskan segala bebanan perasaan dan bebanan masalah yang membelenggu tidak putus-putus kunjungnya. Inilah kehidupan. Makin dewasa makin hebat diuji. Jika dahulu hanya dibaca dan dilihat membelenggu watak cerita dan jalan hidup manusia lain, kini benar-benar berlaku pada diri. Terima, mendepani, menyelesaikan. Itu cara agar ia pergi dengan baik. Juga agar diri sentiasa berada dalam kondisi tenang dan bahagia.
Posted by EVA SALSABILA at 6:33 PTG 2 comments
Selasa, 10 Ogos 2010
Ahlan ya sahrul Madrasah
"Apa makna puasa," seperti biasa ustazah ini suka bertanya sebelum ditanya.
"Tak boleh makan dan minum," kucar-kacir murid tahun 1 Al-Razi menjawab.
"Lagi?"
"Tak boleh korek hidung..korek telinga," bibir saya automatik terukir senyum dengan jawapan yang hampir sama ketika saya belajar di sekolah rendah dahulu.
"Ya betul semua jawapan itu tetapi yang paling betul adalah puasa ini bulan madrasah," retina semua kanak-kanak kecil yang comel itu fokus kepada saya.
"Madrasah tu apa ustazah?" barangkali murid yang bertanya itu terlupa maksud kalimah madrasah yang pernah diajar ketika mata pelajaran Bahasa Arab tetapi tidak mengapa saya suka kepada pertanyaan.
"Madrasah bermaksud sekolah."
"Aik, kenapa puasa jadi sekolah pula?," masing-masing tertanya kehairanan dengan situasi kelas sedikit bingar.
Saya suka sikap murid-murid yang hendak tahu dan menggunakan akal untuk merungkaikan sesuatu permasalahan.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
"Ramadan bermaksud sekolah kerana ketika Ramadan kita perlu mendidik hati,mata,telinga,hidung dan mulut."
"Aik?" Aisyah antara seorang murid cerdik membuat pertanyaan berbentuk hairan.
"Macam mana tu ustazah?" Syafiq antara murid yang becok di dalam kelas menyoal.
"Mendidik hati agar tidak niat untuk melakukan kejahatan dan kata perkara-perkara yang tidak baik."
"Dari hati selalu bermula kejahatan yang akan dilaksanakan oleh anggota badan yang lain seperti mata, telinga, hidung dan mulut. Sebab itulah Allah menyuruh niat dahulu ketika solat iaitu niat yang berlaku di mana?"
"Niat di dalam hati," bergema surau dengan jawapan dari mulut-mulut mungil itu.
"Mendidik telinga agar tidak mendengar perkataan-perkataan yang tidak baik seperti kata-mengata, umpat keji dan sebagainya."
"Mendidik mata agar tidak melihat perkara-perkara yang tidak baik seperti melihat filem-filem yang tidak senonoh di tv."
"Mendidik mulut agar bukan sekadar tidak makan minum tetapi tidak berkata perkara yang tidak baik, kata yang menyakiti hati orang terutama ibu bapa, kata yang menyebabkan pergaduhan, kata fitnah iaitu perkara tidak benar yang direka-reka dan lain-lain lagi."
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
"Banyaknya ustazah."
"Memang banyak perlu dijaga untuk menghindari dosa."
"Selain itu Ramadan bulan sekolah kerana bermula dari bulan inilah kita dapat mendidik diri kita sehingga ke bulan-bulan seterusnya seperti kamu sekarang yang datang sekolah untuk belajar dan ilmu yang kamu dapat bukan sekadar kamu gunakan di dalam sekolah tetapi kamu gunakan di mana-mana sahaja sehingga kamu besar malah sehingga kamu mati..betul tak?"
"Betulllllllllllllll." gemaan datang dari sebuah sesi pengajaran dan pembelajaran yang suka sekali saya mendengarnya.
"Menutup aurat bukan sekadar pada bulan Ramadan, sedekah bukan hanya pada bulan Ramadan, tidak berbohong, tidak mencuri dan berbuat baik bukan hanya pada bulan Ramadan namun pada bulan-bulan lain juga kerana sebagai orang Islam selain kita menghormati Ramadan, tujuan utama kita membuat sesuatu perkara kerana siapa?"
"Kerana Allah...." gemaan kalimah Allah walau hanya disebut oleh anak-anak kecil cukup menggerunkan.
"Ramadan ini sebagai bulan permulaan kita membentuk akhlak yang baik. Bersesuaian dengan itulah ia layak digelar sebagai bulan?"
"Puasa.."
"Iya sebagai bulan puasa. Selain itu sebagai bulan?"
"Bulan madrasah atau bulan sekolah."
"Ahsantum." semua tersenyum mendengar pujian.
*** Ramadan adalah pemangkin. Ramadan adalah platform. Ramadan bukan hanya bulan persinggahan 30 hari untuk berbuat kebaikan. Namun selepas itu ia terbang seumpama angin sepoi yang menampar pipi ditengah rembang.
Jika Ramadan kita mampu bangun melaksanakan solat tahajud sebelum sahur. Teruskanlah amalan sunat yang dilakukan Rasulullah itu untuk ke bulan seterusnya. Saya kagum melihat jenazah seorang nenek yang tersenyum kerana seumur hidupnya istiqamah melaksanakan tahajud, menurut kata cucu.
Jika Ramadan kita mampu membaca Al-Quran apabila ada masa terluang untuk menghabiskan 30 juzuk dalam sebulan. Teruskanlah pada masa-masa senggang selagi nyawa dikandung badan.
Jika Ramadan kita mampu menghindari umpat keji, kata nista, prasangka, dendam kesumat, fitnah, mengadu domba dan sebagainya. Teruskanlah seumur hidup agar kehidupan ini selamat dari mengikut kata Iblis laknatullah yang senantiasa mahu manusia bermusuhan dan memutuskan silaturrahim.
Jika Ramadan kita mampu mengurangkan makan untuk memudahkan beribadat. Maka teruskanlah ke bulan seterusnya agar badan sihat untuk terus beribadat dalam bentuk ibadat khusus dan ibadat umum.
Jika Ramadan kita mampu tidak menyedut asap rokok. Teruskanlah agar paru-paru terselamat dan dapat menjaga anugerah Allah ini sebaik-baiknya kerana merokok sememangnya tidak langsung memberi faedah. Malah mengundang bahaya kepada diri dan orang tersayang.
Jika Ramadan kita mampu menahan diri tidak membuat dosa. Teruskanlah kerana Allah tidak menjadikan sebulan sahaja untuk hamba-Nya menghindari dosa. Sedangkan 11 bulan selebihnya bergelumang dengan maksiat dan noda.
~ Sedang menanti. Adakah har-hari dalam Ramadan ini masih ada lagi bayi-bayi dibuang ke tempat jijik dan dilempar dari atas bangunan sesuka hati? ~
Posted by EVA SALSABILA at 5:42 PG 0 comments
Jumaat, 30 Julai 2010
Terlupa @ buat-buat lupa?
"Arghhh..selsema pulak, tak selesanya keadaan ini."
"Ermm..baru je demam minggu lepas, minggu ini panas pula badan ini."
"Alah..hujan plak, camna nak gi opis ni."
"Aishh..hujan-hujan camni bawa keta tak nampak jalan la, cermin pun kelabu ja."
Saling ingat-memperingati membuatkan alam ini tersenyum bahagia kerana lupa itu tidak akan menghuni dalam diri manusia makhluk berakal yang sering terlupa yang adakala buat-buat lupa.
Posted by EVA SALSABILA at 7:13 PG 1 comments
Selasa, 27 Julai 2010
Guruh & kilat pasti pergi..
Setiap kali mendengar guruh berdentum dan melihat kilat sabung-menyabung pasti saya teringatkan isteri pensyarah di Kusza dahulu. Surirumah berasal dari Morocco itu amat takutkan guruh dan kilat. Cerita tersingkap apabila pensyarah subjek Fekah itu terkocoh-kocoh hendak pulang ketika guruh mula berbunyi. Perilaku yang normal kerana Morocco tidak mengalami hujan sepanjang tahun seperti di sini.
Posted by EVA SALSABILA at 6:07 PTG 0 comments
Sabtu, 3 Julai 2010
Hadiah buat ABAH..
"Aisyah tahu, hadiah apa yang boleh diberikan kepada mak Aisyah yang sudah meninggal?" saya cuba pancing perhatian Aisyah ketika waktu akhir tasmik di dalam surau.
Kanak-kanak berkulit sawo matang itu menggelengkan kepalanya yang tertunduk.
"Kita tidak boleh memberikan hadiah berupa benda yang boleh disentuh walau semahal mana pun harganya Aisyah," imbasan wajah abah yang hampir dua minggu meninggalkan saya memenuhi pandangan.
"Hadiah seorang anak untuk ibu dan bapa yang telah meninggal adalah menjadi anak yang soleh dan solehah selain menyedekahkan bacaan ayat al-Quran seperti surah Yaasin," airmata sudah memecahi bentong tubir mata anak yang kehilangan ibu kerana melahirkannya.
Hati saya tersentuh kala itu. Sekurangnya saya sempat bersama abah selama 32 tahun. Merindui abah saya masih bertemankan kenangan abah yang terlipat kemas dalam pita memori. Anak itu tidak sempat merasai belaian dan sentuhan seorang ibu. Namun saya kuatkan semangat untuk memberi motivasi kepadanya agar bersungguh-sungguh mengenali dan membaca huruf-huruf al-Quran. Dia bukannya seorang kanak-kanak yang memiliki memori terlalu lemah. Namun sikapnya membuatkan dia memperolehi nombor yang agak corot dalam kelas. Saya mengandaikan dia kekurangan sesuatu. Kekurangan kasih-sayang.
Satu hari lagi yang terakam sebagai hari dalam sejarah dalam hidup saya yang tidak akan dilupai.
19 Jun 2010 bersamaan 6 Rejab 1431H. Tarikh abah pergi meninggalkan kami dengan melangkah ke alam sana. Sedihnya kaki hendak melangkah pulang untuk meniggalkan abah seorang diri ketika usai pengebumian beliau. Perasaan berbeza berbanding di penghujung hayatnya yang kerap ditinggalkan seorang diri di rumah untuk membeli barang keperluan. Bukan tidak dipelawa. Namun abah selesa di rumah dan mengizinkan kami keluar tanpanya.
Membuat apa sahaja teringatkan abah. Ke mana-mana sahaja ada bayangan abah. Hatta ketika memandu juga masih terngiang-ngiang nasihatnya agar mengutamakan pembonceng motorsikal dan pejalan kaki di sebelah kiri.
Sebelum perginya abah meninggalkan pesanan.
Pesanan kepada Kak Ngah agar mengambil lesen memandu kerana tidak mungkin abah dapat menghantarnya kelak.
Pesanan kepada adik agar belajar bersungguh-sungguh agar dapat menjadi doktor.
Pesanan kepada kami 5 beradik sejak adik lahir agar dapat mengganti tanggungjawab beliau menyara adik bongsu yang sekarang di tahun 5.
Allah tahu kami mampu hidup tanpa seorang abah. Semangat emak bercampur nasihat abah membentuk kami adik-beradik untuk terus menongkah arus hidup dengan berpaling ke belakang untuk mengambil pengajaran. Merenung ke hadapan untuk membina empayar hidup agar selari dengan al-Quran dan as-sunnah selagi malaikat maut tidak menjemput ke sana untuk menyertai abah.
Sekarang ini bagi saya maut terlalu dekat. Tanpa ada sekatan antara kita manusia dengan maut.
"Allah beritahu tak bila kita akan mati?" memancing perhatian murid tahap 1 bukanlah perkara mudah bagi saya.
"Tak.....," bergema ruang kelas.
"Jika Allah beritahu tarikh kita akan mati maka mudahlah kita membuat persiapan sebelum mati. Kita tidak akan bermain-main lagi. Mati kita juga insyAllah akan dalam keadaan baik."
"Namun kerana kita tidak tahu bila akan mati maka ramainya matinya dalam keadaan tidak baik."
"Maka bagaimana kita hendak mati dalam keadaan baik?" persoalan yang hanya mendapat renungan tanda tanya pada setiap wajah anak-anak kecik sebersih kain putih itu.
"Sentiasa berbuat baik dan cuba menghindari walau secubit kejahatan dan dosa. InsyAllah hidup yang tidak tahu bila akhirnya akan berakhir dalam keadaan baik."
Beberapa contoh dibawakan agar kanak-kanak itu lebih mudah memahaminya.
Pengukuhan akidah disertai ibadah. Disulami sirah sebagai teladan. Disempurnakan dengan adab mampu membawa anak-anak ini menuju jalan hak dengan rahmat dan izin Allah Taala. Menghindari jalan batil. Menghampiri masjid. Menghindari pub dan disko. Menghampiri majlis ilmu. Menghindari hubungan luar nikah. Menghampiri kerja-kerja amal. Menghindari buang bayi. Itu harapan guru yang mengajar dan mendidik.
Rasanya tidak perlu pendidikan seks di sekolah. Cukuplah memperkasakan Pendidikan Islam yang sedia ada dengan setiap guru mentajdidkan niat. Menghadirkan ikhlas. Ibu bapa memberi sokongan dan dokongan bersama kerana peratus kehidupan anak anda adalah bersama anda berbanding hanya beberapa jam sahaja bersama guru.
*** Allah telah hadirkan pelangi yang cantik setelah perginya guruh dan petir yang menakutkan***
Posted by EVA SALSABILA at 7:15 PG 0 comments
Sabtu, 19 Jun 2010
Bicara anak kecil kepada abahnya.
"Anak abah belajar rajin-rajin ya nanti besar jadi cikgu," dari corong telefon suara abah di seberang sana jelas sebutir-sebutir.
"Baik abah," anak perempuan di seberang sini mengiyakan walaupon guru tidak pernah tersenarai dalam cita-citanya.
Itu kisah 24 tahun lalu ketika anak itu masih kanak-kanak. Abahnya juga masih muda, kuat dan bertenaga.
Masa bertambah. Anak itu remaja dan dewasa. Belajar dan bekerja. Abahnya juga makin berusia, tua, berkedut dan tenaga makin kurang.
Abah masih mengeluarkan butir-butir nasihat terutama ketika berduaan dengan anaknya. Hatta sekecil-kecil panduan ketika memandu di jalan raya, falsafah kehidupan dan masa depan. Cuma caranya berbeza. Cara dewasa. Tidak lagi nasihat sambil mengusap kepala anak perempuan sulongnya itu. Anak itu juga tidak mengadu masalah dengan rengekkan manja.
Kini anak yang sudah dewasa itu rindu dan ingin kembali menjadi anak kecil kepada abah yang disayanginya.
"Abah, bangunlah abah."
"Abah, Kak Long sayang abah."
"Abah, Kak Long nak dengar suara abah dan cerita-cerita abah ketika dalam tentera dulu."
"Abah, bangunlah abah kata nak pergi berkelah sama-sama."
"Abah kata nak makan pizza Radix."
"Abah kata nak pi Mekah, jom la kita pi sama-sama sekali dengan mak."
"Abah, Kak Long tak sanggup tengok abah bernafas menggunakan mesin dengan wayar berselirat di seluruh badan."
"Abah mengajar Kak Long tabah dan berdikari tetapi Kak Long tetap nak abah sihat dan dapat bersama-sama kami.'
"Ya Allah, sedarkanlah abahku, sembuhkanlah dia, sihatkanlah dia, rahmatilah dia."
Abah saya yang dulu periang dan ramah kini diam. Abah saya yang menceriakan kawasan perumahan kami kini sunyi tanpa bunyi enjin motorsikal abah dan suara abah yang kerap menyapa jiran-jiran.
Posted by EVA SALSABILA at 8:58 PG 1 comments
Khamis, 27 Mei 2010
Hak dicipta ditunaikan.
Hak. Berbicara tentang hak. Setiap manusia mahu haknya ditunaikan. Namun hanya minoriti yang menunaikan hak manusia di sekelilingnya. Sepertimana konsep 'erti hidup pada yang memberi'. Rasanya dapatlah juga disamakan 'erti hidup pada yang menyempurnakan hak'.
Posted by EVA SALSABILA at 9:22 PTG 0 comments
Khamis, 20 Mei 2010
Berbicara tentang CINTA
Semalam telah khatam buku 'Murabbi Cinta' karangan Ustaz Hasrizal. Seperti dua buah buku sebelumnya, buku ini juga membuatkan berbaloi dibeli, dimiliki dan dibacai. Lebih mantap jika dapat diadaptasi di pentas realiti. Ada nilai hasil buah idea ustaz dari Allah yang dicerna hasil penelitian ke atas setiap bait kata-kata. Puas. Alhamdulillah.
Posted by EVA SALSABILA at 8:20 PTG 0 comments
Sabtu, 15 Mei 2010
Te..ri..ma kasih Cikguuuuuuu !!! ( versi Upin&Ipin )
"Eh, Cikgu Rohani datang," seorang rakan beramal menyedarkan semua murid tahun 6 Biru dari hiruk-pikuk akibat ketiadaan guru di dalam kelas.
Masing-masing bergerak menuju ke kerusi dengan pantas. Seperti dapat mengagak derapan langkah guru kelas itu masing-masing berada di tempat duduk sendiri sebelum guru itu sampai di muka pintu kelas. Masing-masing kelu. Malah ada yang sempat membuka buku teks untuk dibaca. Ada juga yang berpura-pura menyiapkan latihan. Bak kata lakonan masing-masing memang mantap. Jika ada anugerah pada ketika itu masing-masing akan menggondol hadiah mengikut kategori yang berbeza untuk dibawa pulang.
Cikgu Rohani berbadan gempal. Berkaca mata tebal. Berkulit sawo matang. Mengikat skarf ke belakang adalah seorang guru yang garang. Dia merupakan guru kelas yang mengajar mata pelajaran matematik dan alam manusia. Tiada murid yang berani mengangkat muka ketika ditengking jika ada seorang murid yang tidak menyiapkan latihan matematik. Paling digeruni apabila setiap kerja rumah itu perlu dibentangkan di papan hijau di hadapan kelas. Jika bermula dengan kumpulan A maka setiap ahli kumpulan perlu ke hadapan. Secara perlahan setiap murid mengira samada nombor latihan itu sampai atau tidak kepada dirinya. Jika tidak sampai maka jawapannya adalah selamat. Jika latihan yang diberi itu banyak maka hampir keseluruhan murid perlu ke hadapan.
Jika latihan yang ditulis betul jalan kira dan jawapannya maka akan dapat duduk dengan selamat. Jika sebaliknya perlu menahan usus besar dan kecil akibat dipulas perut. Situasi yang menakutkan ketika di sekolah rendah ketika itu. Mahu tidak mahu, murid yang bijak matematik akan menjadi sasaran ditiru jawapan setiap pagi sebelum loceng kelas bermula.
Saya beruntung. Berada di dalam kumpulan A di bahagian tengah. Bersama 3 lagi rakan. Seorang murid perempuan yang celik jawi. Boleh dikatakan dia adalah guru pertama yang membuatkan saya menjadi celik jawi. Dua orang murid lelaki yang masing-masing bijak matematik dan English. Kami akrab. Umpama berlaku perjanjian MOU antara kami apabila masing-masing secara automatiknya akan membantu kelemahan sesama sendiri pada semua mata pelajaran.
Fadzil dan Anuar akan menulis terjemahan Bahasa Melayu yang dibaca oleh saya dan Ina di bawah teks jawi sebelum ustaz masuk ke kelas untuk mata pelajaran agama. Cara ustaz itu mengajar menggerunkan murid-murid yang tidak mengenal huruf jawi. Murid yang dituding jari olehnya perlu membaca tanpa banyak bicara. Walhal dia bukanlah ustaz yang garang. Namun entah apa yang ditakuti oleh rakan-rakan, saya sendiri tidak tahu.
Fadzil pula adalah penterjemah bagi perkataan-perkataan English yang kami bertiga tidak faham. Anuar pula sering menjadi guru tanpa gaji apabila tanpa jemu menunjuk ajar formula matematik kepada kami. Adakala diberikan bukunya untuk ditiru apabila sudah kesuntukkan masa.
Itulah antara sebahagian guru langsung dan tidak langsung saya ketika kecil. Ilmu mereka sungguh saya hargai dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya. Membentuk saya menjadi manusia seperti hari ini. Sejak berpisah ketika usia 12 tahun, kami tidak pernah bertemu. Namun kerana mereka guru saya, tetap didoakan agar mereka bahagia dalam rahmat Allah Taala.
Sepanjang hidup sehingga kini terlalu ramai guru-guru saya. Semuanya saya hargai. Semuanya saya doai. Guru secara langsung di tiga buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah. Para pensyarah di Kusza. Doktor dan Doktoroh di Universiti Al-Azhar cawangan Iskandariah. Juga buat Sir ketika kursus Skim Latihan Graduan dan arwah ustaz ketika kursus Bahasa Arab.
Guru secara tidak langsung yang hadir dalam hidup ini. Hampir semua yang dikenali pernah memberi ilmu kepada saya walaupun hanya sedikit. Kalian memang guru yang memanusiakan saya. Mendewasakan saya dan mematangkan saya. Jasa kalian tidak dapat mampu dibalas dengan material oleh saya manusia yang terbatas dari itu semua. Namun saya mampu berdoa dan terus berdoa selagi saya bernyawa agar kalian dirahmati Ilahi di dunia dan akhirat.
'Jika memandang seorang manusia, pandanglah pada sudut kelebihannya. Maka dari situ akan terbit imunya yang boleh dikutip buat bekalan hidup kita. Jangan dipandang kelemahannya kerana dari situ akan timbul rasa benci dan meluat yang akan menimbulkan sengketa dan perpecahan ummah.'
Posted by EVA SALSABILA at 7:20 PTG 1 comments
Khamis, 6 Mei 2010
Matahariku.
Dahulu saya hanya nampak cantiknya bulan. Tidak pernah dipedulikan pada matahari. Baru-baru ini baru saya sedari bahawa matahari juga sebenarnya cantik dan indah. Ia bermula di awal pagi dalam perjalanan ke tempat kerja ketika matahari bangun dari beraduan untuk memulakan tugas menukar shift dengan bulan. Bebolanya yang berwarna agak merah jambu ketika mengeliat untuk memulakan tugas menampakkan matahari tidak garang seperti sediakala.
Adakala ketika saya melewati tempat yang sama ia beransur-ansur naik dengan gerakan yang perlahan. Sungguh indah. Lantas sebelah tangan mencari kamera di dalam beg untuk mengabdikan kecantikan di dalam gambar. Namun gagal. Keselamatan diri dan pemandu lain di jalanraya lebih diutamakan. Pastinya esok pasti akan bertemu lagi dengan bebola matahari itu walau dalam apa warna dan gerakan sekalipun. Lantas kerinduan terhadapnya akan terubat walau hanya selintas pandang sebelum ia naik menerangkan alam.
Maha suci Allah yang cantik. Menjadikan setiap ciptaan-Nya cantik, indah dan menarik. Cuba perhatikan pada setiap ciptaan-Nya pasti ada kecantikan samada terzahir atau tersembunyi yang perlu memakan masa mencarinya. Carilah juga kebaikan dan manfaatnya pastinya akan bertemu. Bila dijumpai kedua-duanya maka akan menimbulkan suka. Suka pada kewujudannya. Lebih menghargainya. Pastinya tiada ciptaan Allah yang dijadikan secara sia-sia. Ada manfaat dan peranan yang saling berkait dan melengkapi.
"Ermm..berapa harga bunga matahari tu ye dik?" rembang di tapak konvo, saya di gerai menjual pelbagai jenis bunga.
"Sejambak RM 5 kak, akak nak ke?" pelajar perempuan beramah mesra melayan pelanggan sambil tersenyum.
"Oklah..akak nak sejambak," minat pada bunga matahari yang tidak tahu muncul sejak bila.
"Akak tolong tulis nama dan alamat penerima di sini ya," adik itu memberi secebis kertas dan pen.
"Hehe..akak nak beli untuk diri sendiri la dik," adik itu tersenyum.
"Ohh..untuk akak sendiri..ok saya akan bungkuskan," senyumnya masih belum hilang. Barangkali rasa saya ini kekurangan kawan sehingga terpaksa membeli bunga untuk diri sendiri.
Jambak itu diletakkan di atas meja belajar. Peniup semangat jika mata kelam ketika mengulangkaji pelajaran. Penaik ceria ketika malas menguasai diri agar tekun belajar. Bukan setakat jambak itu malah kertas dinding juga bersumberkan bunga matahari. Saya suka suasana itu. Ceria. Sesuai buat saya yang sering sendirian di bilik. Nasib badan 2 tahun berturut-turut mendapat kawan sebilik berasal dari Terengganu yang akan pulang ke kampung setiap kali cuti hujung minggu.
Kebahagiaan tidak hanya terletak pada satu-satu perkara yang merupakan kebiasaan yang dimiliki ramai orang. Jika tidak dikurniai seperti orang lain. Carilah alternatif berbeza sebagai pengganti. Banyak cara untuk memiliki bahagia. Hanya diri kita yang berhak mencipta bahagia itu dengan izin Allah Taala.
Itu kisah saya di Kolej yang sudah lama ditinggalkan. Jambak itu masih ada. Sudah tidak kembang seperti dulu. Banyak helai daun dan kuntum bunganya hilang. Lekang dari tangkai plastiknya. Namun rutin tidak pernah saya abaikan. Merendam bila habuk dan kekotoran mula melekat. Menjemur di cuaca yang tidak berapa terik. Mengubah semula di dalam pasu agar nampak cantik. Barangkali rutin itu tidak akan diabai sehingga daun dan kuntumnya gugur ke semuanya. Juga sehingga roh ini masih berada dalam jasad.
'Hidup memberi lebih bermakna dari menerima. Jika semua belajar untuk memberi. Tiada yang akan rasa tersisih jika tidak diberi. Akan resah dan mencari untuk memberi.'
***Sedang belajar meggunakan kata nama 'saya' di dalam penulisan blog kerdil ini. Rasa agak janggal. Namun akan dibiasakan sehingga rasa selesa. Kesopanannya sudah terasa. Agak lembut dari segi sebutannya***
Posted by EVA SALSABILA at 5:23 PG 0 comments