? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Selasa, 29 September 2009

Sesuci embun pagi

Adakala memandu di waktu pagi menuju ke sekolah agak mencabar dengan kabus yang tebal. Suasana nyaman seolah-olah berada di negara 4 musim. Memasuki sempadan berkabus tebal seolah-olah mengalami situasi Alice dalam Wonderlandnya. Juga seperti bakal memasuki dunia makhluk halus seperti acapkali yang diceritakan. Terlalu jauh batasan pemikiran melangkaui batas khayalan bersendiri.

"Assalamualaikum Ustazah," bukan setakat seorang dua malah hampir semua murid yang ditemui memberi salam.
Murid sekolah pendalaman lebih beradab dan menghormati guru. Hampir kebanyakkan orang berkata sebegitu.
Jika sebelum ini salam itu hanya sekadar kujawab sambil tersenyum. Hari ini hati berkata bahawa anak-anak yang menuturkan kalimah itu, suci umpama embun pagi. Terlalu indah dipandangan mata. Terlalu mulia dipandangan hati.
Keindahan itu yang menyuntik semangat agar thabat mendidik jiwa-jiwa suci itu menempuh gelombang dunia sehingga akhir usia mereka. Semangat yang mempunyai graf turun naiknya mengikut arus kehidupan yang mencuit perasaan. Ia juga suntikan utama yang perlukan diri membentuk jiwa dan akhlak selaras apa yang dikata.
Jika melihat alam bukti Allah itu ada.
Melihat alam juga dapat membina semangat dan motivasi diri.
Apa yang Allah jadikan tidaklah sia-sia pada insan yang senantiasa memandang dengan mata hati.

Ahad, 27 September 2009

Di surau kecil


"Ish..nak masuk solat camna..sendat macam tin sardin," keluh seorang makcik di luar surau lapangan terbang Kepala Batas.

"Baguslah tu..orang Islam lani pakat solat semua dah," pakcik yang mungkin suaminya membalas menyedapkan hati si wanita.

Perbualan dua insan yang menyinggahi gegendang telinga ketika menyarungkan kasut kepada anak saudara sepupu di hadapan pintu surau kecil yang padat seperti berada di Masjidil Haram rasanya. Mulanya aku punya rasa seperti makcik itu yang terpaksa beratur panjang untuk berwuduk. Seterusnya beratur pula menunggu tempat kosong untuk solat. Tiada ruang untuk duduk menyarungkan stoking. Manusia masuk dan keluar berpusu-pusu gambaran tentang bagaimana logiknya mati dipijak akibat ramai manusia yang mustahil pada pemikiranku ketika ia sensasi suatu ketika dahulu.

Namun kata-kata pakcik itu menyentuh kalbu bahawa sudah ramai muslim yang solat menyebabkan surau kecil yang disediakan itu sesak. Keadaan itu bukanlah bermakna umat Islam sudah berada dalam zon selesa kerana itu adalah sebahagian golongan sahaja. Sedangkan banyak lagi golongan manusia yang masih mengasingkan kewajipan itu dari kehidupan. Malah ada yang mengabaikan ia sebagai satu suruhan pencipta. Lebih menyedihkan adalah kosong pengetahuan dan ilmu tentang itu.

Tanggungjawab masih ada mengajak manusia-manusia di luar sana dan mengajar mereka tentang kewajipan itu. Bukan sekadar mencemuh dan mencela kerana Nabi juga tidak sebegitu rupa.

Sebagaimana keluhan Kak Ngah jika hendak muslimah menutup aurat dengan sempurna jual banyak-banyak tudung bidang 55 atau 60. Maka semua saiz dan ketinggian dapat menyempurnakan penutupan aurat. Begitu jugalah jika mahu semua orang solat sekurangnya dalam waktunya sediakan surau yang luas tidak kira di mana sahaja walaupun jemaah yang ramai hanya bermusim.

Rabu, 23 September 2009

Perancangan manusia


"Akak, jom kita round Alex hari ni...kita pergi Qaitbey dan dari situ kita ziarah makam terus ke Manshiah," pelawa sahabat seangkatan yang turut berangkat bersama ke Mesir.

"Laa...datang umah akak semata-mata nak ajak jaulah ke...tak siap apa benda lagi ni...nape lambat sangat bagitahu," aku masih terpinga-pinga akan ajakan sahabat itu yang sering merancang saat-saat akhir.

"Kitorang baru rancang tadi sebab boring duduk di rumah terus datang sini ajak akak dan sms kawan-kawan yang lain...akak jangan risau...akak siap la kitorang tunggu," tepat tekaanku bahawa ini adalah perancangan last minute yang senantiasa menjadi.

"Bukan apa akak...seronok sebenarnya last minute planning ni sebab akan menjadi...jika rancang awal-awal selalu ada sahaja halangan," tersengih sumbing sahabat itu menagih agar tidak dileteri.

Aku bersiap agak kalut kerana tidak mahu sahabat-sahabat itu menunggu lama. Prinsip tidak mahu menunggu dan tidak suka ditunggu adakala perlu diguna.

*********
"Awat raya tahun ni kalut tak tau...biskut buat awai lagi...ketupat rendang pon tak buat," kesibukan saat-saat akhir yang penat menyelesaikan segala kerja sebelum hari raya.

"Mana cukup cuti dua hari ja nak buat semua persiapan," sepupu mengeluh.

Memang sibuk apatahlagi perancangan saat akhir yang dibuat. Malam raya masih membuat kek buat hidangan kepada tetamu. Tiga biji kek kukus dibuat pada hari akhir itu. Resepinya diambil dari beberapa laman web masakan selepas sahur pada hari itu juga.

Rumah terbuka pada hari raya ketiga juga hanya sekadar perancangan main-main pada mulanya. Menu yang senantiasa berubah-rubah mengikut selera setiap ahli keluarga. Petang raya kedua berkejar ke Tesco membeli bahan-bahan bagi menyediakan pasta bakar. Ambil sahaja apa yang patut sebab anak murid sudah ada di hadapan rumah untuk beraya.

"Syok buat kenduri sebab habis semua," pagi ini mak masih meluahkan rasa gembiranya.

Menu roti jala kari ayam, pasta bakar, bihun goreng singapura bersama tapai pulut dan agar-agar nata de coco yang ditupperwarekan diberi sebagai ole-ole dibawa pulang.

Saudara-mara, sahabat-sahabat kami 6 beradik dan rakan sekerja memenuhi ruang rumah sehingga ke malam. Menjamu selera sambil bertukar-tukar cerita disulami gelak tawa melupakan seketika pada amanah kerja yang 2 bulan menanti sebelum persekolahan sesi 2009 berakhir.

Kami semua tersenyum lega apabila semua menu habis. Penat hilang begitu sahaja kerana pertemuan semula sejak lama tidak bersua menutup segala lelah.

Menjadi juga akhirnya perancangan saat akhir ini dengan izin Allah Taala pastinya.

"Akak cari dodol di setiap rumah tak ada pon yang hidang," rakan sekerja yang bertandang berkata.

"Dah makin pupus makanan tradisional tu kan kak...mungkin di rumah orang tua ada kot," sekadar menyerkap jarang.

"Haa la kalau hidang pon bukan ada orang yang nak makan pon baik tak payah buat," ulasnya lagi.

"Aaa...kan kak orang muda la ni tak makan semua tu," ayat merujuk diri sendiri yang tidak menggemari makanan itu sejak arwah Nek Chaq berhenti perusahaan dodolnya. Resepi dodol yang paling sedap. Keraknya yang masih panas yang menaikkan haruman daun pisang kerana dilapik dengan daun itu memancing selera aku selaku kanak-kanak yang tidak puasa. Kerak itu dihulur kepada kami iaitu kanak-kanak yang bermain di tepi kawah dodol yang hampir masak itu.

Kasihan pula bila kuih tradisional sudah tidak digemari oleh generasi kini. Ditambah pembuatannya yang memakan masa menyukarkan wanita zaman kini yang majoriti belajar tinggi dan bekerja. Namun rasanya kuih muih itu tidak akan pupus lagi kerana masih ada yang menggemari dan membuatnya walau hanya minoritinya sahaja.

***Makan sekadar perlu untuk beribadat mengumpul pahala di ladang dunia sebelum hasil itu di tuai dan di asingkan di padang Mahsyar.

***Kita hanya mampu merancang dan Allah menentukan samada ia layak terealisasi kerana hanya DIA yang tahu sesuatu yang terbaik buat hamba-Nya.

Selasa, 22 September 2009

Naluri tua


Kini Hari Raya dalam keluarga sebelah mak sudah banyak berubah. Tidak ada lagi suasana berhimpun di malam raya di rumah Tok. Justeru rumah lama yang makin luas itu sejak diubahsuai oleh Pak Cik hujung tahun lepas itu sepi dan lenggang dari riuh suara dan tawa anak dan cucu. Sunyi yang mengundang sebak di hati tua. Apatahlagi melihat rumah Tok Ngah iaitu adik kepada Tok di belakang rumah yang bising dengan anak cucunya.

Tok yang kebal airmata itu berpura-pura ceria. Gelak tawa yang dibuat-buat. Menutup sayu di hati tua yang makin dimamah usia. Seperti kami yang muda sudah rasa hilang seri raya tidak seperti zaman kanak-kanak dan remaja dahulu, Tok lagilah terasa sepi di usia yang hanya menyingkap album kenangan buat menghibur hati dalam baki usia bersama Tok Wan yang makin uzur.

Orang muda tidak memahami hati dan perasaan orang tua. Ia dapat difahami dengan cuba mengerti naluri mereka. Namun ramai yang tidak ambil peduli. Lemah sungguh sebagai orang muda yang hanya mementingkan naluri dan kehendak muda sahaja. Sibuk yang sering menjadi alasan teratak lama di kampung tiada dalam kamus destinasi yang akan ditujui. Itu bagi keadaan jarak yang jauh.

Bagi jarak yang dekat pula yang hanya memakan masa beberapa minit sahaja untuk sampai ke kampung. Senantiasa dikunjungi di hujung minggu. Kepulangan malam raya dan pagi raya bukanlah sesuatu yang penting bagi orang muda. Namun lain cerita bagi orang tua kerana perkara tidak penting itu amatlah penting bagi mereka. Kenangan lama itu hendak sentiasa diulangi tidak kira perubahan apa pun yang berlaku. Kesunyian menjalani hidup berdua atau berseorangan itu mahu dikecapi dengan sekali-sekala bersama keriuhan anak cucu yang makin bertambah.

"Macam mana mak kita nak himpunkan semula saudara mara seperti dulu di malam raya?" akibat peristiwa itu aku terniat hendak susun kembali kenangan dahulu dalam keadaan yang baru.

"Ermm..masing-masing dah punya keluarga dan ada aktiviti sendiri di rumah," kenangan yang sukar direalitikan kembali seperti dahulu.

"Hari raya makin suram sejak arwah Mak Teh meninggal dunia kan mak..dulu Mak Teh yang ceria itulah yang banyak memainkan peranan balik mengemas, memasak dan sebagainya. Arwah pula cekap serba-serbi," wajah luhur emak saudara yang meninggal 10tahun lalu akibat barah hati itu terimbau.

Realitinya hidup mengalami perubahan. Hari ini tidak sama seperti semalam. Itu yang perlu difahami oleh setiap insan tidak kira usia. Namun, rasanya tidak salah beralah menggunakan realiti itu sebagai hujah kepada orang tua. Usia tua yang berpusing kembali perasaan dan naluri menjadi anak-anak kecil. Lebih mudah tercuit rasa dengan hanya sedikit khilaf. Perlukan pujukan dan belaian bukannya tengkingan dan hamburan marah. Bersabar dengan karenah orang tua walau sedikit berbeza dengan sabar dengan karenah anak-anak yang belum sampai tahap baligh.

"Raya Haji ni kita buat barbeku di rumah Tok," merujuk kepada kawasan rumah perumahan kami yang tidak luas. Dapat juga mengumpulkan saudara-mara. Menyediakan makanan rasanya setakat ini adalah cara membuatkan saudara-mara berkumpul di rumah kayu itu.



Memahami perasaan dan naluri tua perlu kerana kita juga bakal menempuhi usia emas itu. Persediaan menempuhinya lebih membuatkan kita tabah mengharungi kedaan itu. Berbuat baiklah kepada mereka kerana kita akan dilayan kembali sebegitu. Jika sebaliknya maka akan berlaku sebaliknya juga. Pastinya semua kerana Allah Taala.

Ahad, 20 September 2009

Ukhuwah itu indah kerana Allah


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Hari terakhir di sekolah guru besar telah mengadakan taklimat mengenai H1N1. Ia daripada
kursus yang telah dia hadiri sebelum itu. Pelbagai pesanan daripadanya kepada murid-murid dan warga sekolah agar langkah-langkah menghindari penyakit itu ketika musim raya ini dipraktikkan.

"Salam la elok-elok. Tak baik buat seperti itu pada kawan," merujuk kepada seorang pengawas tahun 5 yang menarik tangan ketika rakannya menghulurkan salam.

"Elak H1N1 ustazah," jawab olahragawan sekolah itu dengan senyuman. Berkesan juga taklimat ringkas itu rupanya.

"Tak apa, insha Allah ukhuwah itukan perkara baik..perkara baik Allah akan bantu agar musibah itu tidak terkena tempiasnya."

Dua orang pengawas itu bersalaman memohon kemaafan. Sejuk mata memandang apabila rapatan ukhuwah itu terzahir. Tenang rasa jiwa apabila sengketa diluputkan dalam sukma. Damainya alam ini apabila tiada tohmah dan cela. Segala perbezaan diselesaikan dengan penuh hikmah.

"Tak seronok rasanya apabila pemberian duit raya pada tahun ini tak buat di kantin macam tahun-tahun lepas," merujuk kepada pemberian duit raya hanya dibuat seusai taklimat H1NI dalam makmal ICT.

"Aaaa..kan kak..rasa ada kekurangan dan tak meriah apabila tiada majlis bersalaman dan bermaafan seperti selalu," perbezaan yang bukan aku sahaja yang terasa.

Selaku saudara seakidah kami tetap menghulurkan tangan dan memeluk memohon maaf. Pautan itu menghangatkan lagi ukhuwah antara kami. Walaupun tangan perlu dijaga agar tidak berjangkit virus dari sesiapa sahaja namun itu tidak menghalang huluran salam yang pastinya perlu ikhlas dari hati bukan sekadar perbuatan tanpa secebis rasa.

Jika benar virus ini adalah ciptaan puak-puak tertentu maka agenda merenggangkan ukhuwah sesama umat hampir terlaksana apabila masing-masing menjurangkan ukhuwah kerana risau dijangkiti.
Paling dirisaukan adalah virus yang nyata iaitu perbezaan yang dicucuk dan telah memusnahkan beberapa buah negara. Tanpa sedar kita bersengketa dan berbalah. Sedangkan mereka yang mencucuk jarum bersorak gembira.

Jumaat, 18 September 2009

To bu chi nimen


'Ustazah, maafkan saya sebab kenakalan saya semasa ustazah mengajar'.
Coretan dari beberapa keping kad raya murid-murid yang kuterima.
Sedar juga rupanya bahawa diri mereka nakal.
Bagus kerana menyedari kesalahan justeru mengaku.
Murid-muridku itu adakala membuatkan hati kecil ini tersentuh walau kenakalan sering mengundang marah.

Suasana memohon maaf dan mengucapkan selamat hari raya penuh dengan hiba tanpa airmata.
Seorang murid perempuan pinta untuk memeluk dan mencium ketika langkah diatur menuju ke kereta.
Seperti biasa perpisahan untuk cuti melebihi Jumaat Sabtu berlaku seperti tanpa bertemu kembali.
Warga SKBS membuatkan aku bertambah sayang kepada mereka.

Tidak terbatas dengan warga sekolah dan murid-murid yang masih tanpa palitan dosa.
Jalinan ukhuwah yang terbina sejak dari diri mengenal alam dan kehidupan mencuit rasa bahawa setiap insan yang ditemui atas apa sahaja gelaran dan hubungan adalah amat berharga.
Pertemuan yang tidak mahu diputuskan.
Perpisahan yang tidak mahu ada sebarang salah.
Atas nama Allah bertemu dan atas nama Allah jua berpisah lebih membuatkan perpisahan itu diiringi ikhlas dan redho.
Betul kata pensyarahku bahawa anak sulong memang sensitif dengan apa sahaja keadaan yang berlaku di sekelilingnya walau tidak semua begitu.

Buat semua sahabat handai, rakan-rakan blogger dan pembaca kumohon maaf dari kalian andai ada kenangan kita yang membuatkan hati menjeruk rasa.
Bicara yang terkasar bahasa dan berbeza.
Tulisan yang menyentuh sukma membuatkan kalian tidak suka.
Diri ini adalah insan biasa yang punya kekurangan serta dhaif dari kebaikan.


Rabu, 16 September 2009

Cerita raya..


Dapatkan ecard NasyidFM Disini


Seorang kawan berkata tahun ini aku boleh beraya sakan. Namun bagiku hanya biasa sahaja. Usia sekarang tidak segembira menyambut raya seperti zaman kanak-kanak dan pelajar walau dalam keadaan yang sederhana. Sederhana itulah yang turut terbawa sehingga kini.

Baju raya masih belum dibeli. Cadang dengan mak dan Kak Ngah hendak menjengah bazar di hadapan jam besar dua hari sebelum Eid Mubarak mencari pakaian yang berkenan di pandangan mata. Disamping kualiti dan harga yang tidak terlalu mahal. Tahun pertama beraya di bumi orang memakai jubah arab yang perlu dilipat kerana labuh dan besar. Sukar untuk berjalan dan amat menyekat pergerakan untuk beraya ke rumah pelajar-pelajar yang sudah berkahwin. Tentunya juadah mereka lebih enak seperti masakan orang-orang tua di sini.

Kuih raya cuma sedia untuk dihidangkan. Mak sudah menyediakan beberapa bekas london almond untuk diberi kepada saudara-mara terutama sepupu yang akan berangkat ke Mesir pada hari raya keempat nanti. Biskut kegemaran keluarga dan saudara mara itu sudah menjadi juadah wajib disediakan setiap kali Syawal walaupun namanya tetap mendatangkan keraguan dinamakan sempena kota bekas penjajah itu. Menyediakan biskut raya sebagai anak rantau menjadikan diri kreatif. Seorang rakan telah menerap biskut menggunakan tudung botol air berkarbonat sehingga terbentuk bulan sabit. Maka jadilah biskut bulan sabit ciptaan perantau serba kekurangan bahan dan peralatan.

Kanak-kanak adalah golongan yang amat suka dengan hari raya. Malam sepanjang Ramadan memang meriah dengan suara, jerit-pekik bermain bunga api dan mercun walaupun kadang-kadang membuatkan kami sekeluarga beristighfar dan panas hati kerana terkejut. Di sekolah guru-guru sering menasihati murid agar jangan bermain mercun. Suatu hari ketika aku lalu di tepi sebuah kelas guru kelas itu mendenda hampir separuh murid di dalam kelasnya. Bila ditanya murid-murid alasan didenda adalah kerana bermain mercun. Cukup terharu kerana sikap mengambil berat guru-guru itu. Namun bila mereka pulang ke rumah lain pula ceritanya. Tarbiah dan nasihat guru hanya 7 jam sahaja tidak cukup dibandingkan dengan tarbiah ibu bapa mengikut baki jam lebihnya.

Mengembirakan kanak-kanak di hari raya sebenarnya cukup membuatkan kita turut sama gembira. Sepertimana zaman kanak-kanak kita telah melaluinya dengan rasa gembira mendapat duit raya. Ketika kanak-kanak aku senang mengikut rombongan bapa saudara sepupu yang tua setahun dariku. Mengelilingi kampung sewaktu itu yang masih seratus peratus melayu Malaysia. Mengutip duit raya tetapi kami tetap menghormati tuan rumah dengan masuk merasai juadah yang dihidangkan. Aku masih ingat biskut semperit yang paling sedap adalah di sebuah rumah di kampung tok. Tuan rumah itu juga tidak kukenali sebenarnya. Kini hanya tinggal kenangan apabila pulang ke kampung sudah seperti berada di Indonesia.

Ramadan hampir pergi. Namun al-Quran masih perlu terus di baca. Amalan sunat perlu diteruskan bagi menampung yang wajib. Nafsu perlu dibendung agar syaitan tidak sewenang-wenang memanipulasi kelemahan.

Salam Eid Mubarak buat semua. Kullu am wa antum bikhair.

Selasa, 15 September 2009

Syawal: gembira @ sedih?


Memandu pergi dan pulang dari sekolah sambil mendengar lagu raya rasanya seronok walaupun keluarga sudah di depan mata. Sekadar mahu merasa suasana menyambut kemenangan sabar menahan nafsu sepanjang Ramadan seperti lazim setiap tahun. Namun tahun ini lagu raya jarang ke udara seperti tahun-tahun yang lalu.

"Tak banyak dapat kad raya tahun ni," ujar rakan sekerja merujuk kepada budaya memberi kad raya yang makin luntur di telan gelombong teknologi. Jika ada hanya kad yang diberi oleh murid tahun satu yang seronok menulis kerana baru menguasai kemahiran itu sekaligus dapat membaca hasil tungkus lumus guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu.

"Iklan lama sahaja, iklan baru tak ada," merujuk kepada iklan raya yang penuh dengan mesej dan paparan menarik sebagai tarikan menantinya itu, mak berkata-kata kepada Kak Ngah.

Namun tanpa lagu, kad dan iklan raya tidaklah membuatkan diri kecewa. Malah berbangga saban tahun bangsa sendiri menunjukkan peningkatan mengutamakan Ramadan dari Syawal. Mendahulukan ibadat dari segala-galanya. Setiap pesanan di telefon bimbit, laman frienster dan facebook dan blog juga mengingatkan kepada amalan di bulan mulia ini. Disamping menambah amalan 10 malam terakhir agar beroleh lailatulqadar. Benar-benar sebagai dorongan agar melipat gandakan amalan sebagai tarbiah agar ia diistiqamahkan.

**********

"Tahun 6 ka kak yang takbir di surau?" seusai dari kelas tahun 1 terdengar mendayu-dayu laungan takbir di surau sekolah.

"Ustaz ajar budak-budak tu takbir agaknya," benar seperti tekaan hatiku ketika mendengarnya tadi.

Justeru takbir ini mengimbau tahun pertama di Mesir.

"Malam ni kita ke Markas Hewi dengar takbir orang Malaysia, boleh menangis teringat keluarga di Malaysia," seorang rakan mengajak seluruh pelajar-pelajar baru agar merasai suasana raya seperti di Malaysia.

"Haa...kenapa kena menangis? bukankah raya itu bermaksud kemenangan setelah berjaya menahan nafsu sepanjang Ramadan," hatiku mula menyoal ajakan rakan itu namun tidak diluahkan.

Terdapat perbezaan takbir antara Malaysia dan Mesir. Jika takbir di Malaysia mendayu-dayu. Takbir Mesir pula lebih bersemangat. Sesuatu yang baru tetapi aku suka kerana semangat itu menunjukkan nafsu telah berjaya dilentur semasa Ramadan lalu. Namun tidak meriah kedengaran di corong-corong masjid seperti di sini. Agaknya rakyat sana masih sedih ditinggalkan Ramadan sehinggakan hari raya pertama lengang dari bangsa itu di bumi mereka sendiri.

"Boringlah bila raya sahaja mesti tunjuk drama sedih, asyik-asyik Rosyam Noor berlakon dengan Fauziah Nawi cerita airmata," berterus-terang kulontar rasa tidak puas hati.

"Entah...buatlah cerita kebaikan yang penuh dengan kegembiraan dan kebahagiaan...bagi jadi teladan kepada penonton...ini tak cerita anak derhaka plot insaf sikit diakhir cerita...jawabnya budak-budak lebih meniru kepada derhaka tu lebih daripada insafnya," kuteliti butir-butir bicara rakan itu.

"Betul tu kak walaupun cerita tu adalah realiti masyarakat dan kehidupan rasa-rasanya tak salah jika terapkan nilai-nilai kebaikan, kebahagiaan dan kegembiraan yang juga menjadi latar kehidupan sesetengah daripada kita sebagai teladan," aku menyokong kata-kata guru itu seratus peratus.

"Nak komen memang mudahkan kak tetapi nak realisasikannya tak ada pula peranannya...ka selepas ni kita pula yang jadi penulis skrip," seloroh aku bersuara.

"Tulis...tulis jangan tak tulis agar ada pembaharuan dalam masyarakat kita," bersemangat kakak itu memberi dorongan dari celahan selorohku itu.

***********

Semestinya kita sedih kerana Syawal ini tanpa insan-insan tersayang.
Kita juga sedih kerana Syawal ini masih ada insan-insan yang menderita peperangan, bencana alam dan kebuluran.
Kita sambut Syawal secara sederhana kerana mengimbangi kesedihan akibat pemergian dan penderitaan itu.
Namun kesedihan itu tidak memungkinkan kita dalam kemurungan berpanjangan sehingga kedatangan Syawal sentiasa disambut dengan deraian airmata.
Berdoa dan bersedekahlah kepada insan yang telah pergi dan menderita itu dengan al-Fatihah, Yaasin, harta, ilmu dan tenaga.
Redho ketentuan Ilahi yang berhak mengambil dan memberi seadanya.
namun
sedih lagi rasanya bila terdapat manusia yang masih belum mengenal pencipta dan masih mencari di mana tuhan.
sedih juga bila yang sudah mengenal Allah tetapi mengabaikan suruhan dan larangan-Nya.
Lebih menyedihkan kita sekadar pemerhati dan pengkritik tanpa sebaris kata dan usaha membimbing mereka keluar dari kegelapan.
*********
Wo ai ni Allah ( aku cinta Allah ) yang masih belum masuk muka surat tengah telah membuatku sedar tentang rasa seorang ateis yang mula merasakan kewujudan tuhan tetapi tidak tahu di mana tuhan. Misinya mencari tuhan melalui pertanyaan kepada beberapa orang dari setiap agama menemukan kebuntuan malah dia dicop gila oleh mereka.
Akibat itu aku bersyukur kerana dilahirkan sebagai muslim oleh ibu bapa muslim.
Mengenal Allah sejak dari mengenal dunia. Diterapkan dengan amalan sepertimana di dalam Al-Quran dan hadis. Diberi Allah agar mengikut lorong yang bercahaya. Semuanya itu dari-Nya dzat yang berkuasa di atas segala-galanya. Nikmat ini perlu dijaga dari sebarang anasir yang dapat merosakkan ia walau dengan satu kalimah dan perbuatan.

Ahad, 13 September 2009

Yakin + Usaha + Ikhlas


"Dia cukup risau kalau kak pi mana-mana," merujuk kepada kerisauan anak lelakinya yang berusia 8 tahun, rakan sekerja itu bercerita di masa senggang dalam bilik guru.

"Kenapa dia risau kak," aku masih tidak faham punca kerisauan murid tahun 2 Al-Razi itu.

"Risau mak dia ni accident," kanak-kanak itu sentiasa berfikir lagak pemikiran dewasa mengikut sumber dari emaknya.

Aku juga pernah berfikir sepertinya walaupun di kala usia lebih banyak dari itu. Risau orang yang disayangi terutama mak, abah dan adik-adik terlibat dalam kecelakaan. Jika abah dan mak keluar maka selalu tertanya sendirian samada akan bertemu lagi selepas itu. Namun perkara yang akan berlaku luar dari kotak pengetahuan dan jangkaan. Tanpa terfikir Ustaz yang pernah berkata hendak mati sebelum dunia makin kotor dengan ragam penghuninya pergi menghadap Ilahi. Kelas terakhir bersamanya berlangsung melebihi waktu. Hampir penuh papan hijau digunakan untuk menulis. Rupanya itu adalah hari teakhir bersamanya sebelum arwah terlibat dalam kemalangan ketika pergi meminang untuk adik iparnya. Ahad yang turut yang redup seolah menangisi pemergian hamba yang soleh itu menyebabkan seluruh warga SMA Raudhatul Ulum itu muram.

Kerisauan itu kadang-kadang membuatkan hati tidak tenang. Jika boleh hendak orang tersayang berada di depan mata sentiasa agar keselamatan terjamin.

Usia meningkat dan semua itu berubah. Ilmu kuliah dan luar kuliah banyak mengajar. Patutlah alim ulamak wajahnya tenang dan sedap mata memandang. Ia kerana mereka meletakkan Allah taala sebaik-baik penjaga dan tempat bergantung harap. Langkah dipanjangkan kerana keyakinan itu merantau mengutip permata ilmu di bumi sahara. Ketika itu redho jika di lapangan terbang Kepala Batas adalah tatapan terkhir wajah-wajah insan yang kusayang. Rahsia yang tidak pernah terbocor samada salah seorang antara kami kembali dahulu menghadap Ilahi.

**********
Seperti mana mati yang menjadi rahsia sebegitu jugalah kelahiran, jodoh dan rezeki.
Selagi ia belum terjadi sukar membuat andaian.
Namun tidak salah untuk merangka, bercita-cita dan berusaha memilikinya.
Segalanya dari Allah maka kepada-Nyalah di pinta dan diletakkan keyakinan.

*********

Sejauhmana kualiti pencapaian akademik zaman sekarang melalui peperiksaan sukar diukur tahapnya. Jika hanya sekadar memuntahkan jawapan yang sudah dihafal akibat soalan yang terbocor atau sengaja dibocorkan maka ilmu itu sudah jatuh nilainya.

Rasanya sistem Al-Azhar yang sering diperlekehkan patut digunakan. Kertas soalan panas selepas baru dicetak adalah hasil soalan para doktor dan doktoroh yang diperolehi dari solat hajat di malam sebelum peperiksaan berlangsung. Dari situ dapat disaring antara pelajar-pelajar yang ikhlas dan tidak kerana tajuk-tajuk yang diberikan oleh para pensyarah sebelum ini kemungkinan tidak akan naik ketika peperiksaan. Jika yang ikhlas menuntut ilmu kerana Allah Taala akan mengkhatamkan kitab dari kulit ke kulit. Jika sebaliknya akan hanya menghafal tajuk-tajuk yang diberikan tanpa tahu kemungkinan hasil qiammulail para pensyarah.

Wallah hu Taala a'lam.



BERHATI-HATI, BERSABAR DAN MEMBERI LALUAN KETIKA MEMANDU DAPAT MEMBUATKAN JALANRAYA AMAN DARI KEMALANGAN.

USAH DIKEJAR DUNIA KERANA SERING MENJADIKAN KITA CELAKA.

KEJARLAH AKHIRAT KERANA AKAN MEMBUAT DIRI BAHAGIA.



Jumaat, 11 September 2009

Tanpa sedar


"Nak masuk surah baru dah ustazah," Mas memberitahu dengan riak gembira kerana
kumpulan tadarus di bawah penyeliaanku sudah masuk juzuk terakhir dari 3 juzuk yang ditaklifkan oleh guru pendidikan islam.

"Alhamdulillah, rasanya sempat habis minggu depan ni, Insha Allah," kami semua mengharap setengah jam waktu rehat dapat digunakan sebaik mungkin.

"Ustazah..ustazah..kami nak masuk kumpulan ustazah boleh tak?" semakin hari makin bertambah kumpulan tadarusku.

"Kamu kumpulan mana?" hanya untuk kepastian.

"Kami tak da kumpulan lagi," bersungguh-sungguh murid tahun 4 itu menjelaskan.

"Baiklah, kamu boleh mula esok ya," rona murid-murid itu beriak suka.

"Ustazah..saya nak masuk kumpulan ustazah la minggu depan sebab Cikgu Padhilah tak da," merujuk kepada guru sains itu yang menjadi pengawas UPSR di sekolah lain sepanjang peperiksaan berlangsung.

"Ok, no hal," makin bertambah ahli kumpulan ini.

Bila sudah bertambah dan makin ramai maka pelbagai pula ragamnya. Jika diikutkan hati ingin sahaja kembali kepada ahli asal seperti yang telah ditetapkan Panitia Pendidikan Islam. Namun tidak sanggup mengecewakan permintaan anak-anak ini untuk turut serta membaca kalam Allah itu. Justeru masa inilah dapat kuperbetulkan bacaan mereka. Dapat kubantu bacaan yang masih merangkak-rangkak. Waktu-waktu lain aku tidak punya ruang kerana tidak mengajar mereka mata pelajaran agama.

Aku suka pada semangat kanak-kanak yang mahu membuat kebaikan. Pedulikan pada niat asal mereka samada hanya sekadar mengikut, suka-suka atau bertujuan untuk bermain. Jangan ditolak minat dan suka kanak-kanak pada sesuatu yang baik. Itu menyebabkan mereka patah semangat dan putus asa untuk terus melakukannya. Abaikan juga rasa bebanan mengurusi mereka meneruskan minat itu. Sewaktu kecil aku juga pernah rasa sebegitu. Mujurlah diberi kesempatan luntur semangat itu pulih untuk meneruskan minat dan cita-cita.

********
Aku tersenyum geli hati mendengar alunan suara adik bongsu meniru lenggok aku membaca Al-Quran. Ketika itu dia masih pelat berkata-kata. Dia menghadap Al-Quran diribaanku yang kubaca selepas solat Maghrib. Justeru itu kuberi padanya Iqra' sebagai bacaan. Maka setiap hari Iqra' itu dia ambil dan dibaca seperti membaca Al-Quran lagaknya. Kisah lucu untuk meniru itu kini hanya menjadi kenangan. Di dalam bilik yang sama kini dia mampu membaca berhelai-helai muka surat dengan lesen pelepasan yang kuberi bahawa dia sudah mampu membaca sendiri. Bersyukur pada Ilahi kerana memberi kecelikkan mengenal huruf hijaiyah dan ayat-ayat suci itu padanya sejak kecil. Semoga menjadi amalan dan dimanfaatkan sehingga akhir usia.

Kadang-kadang tanpa sedar kita telah mentarbiah seseorang dan sekelompok insan di dunia ini. Kadang-kadang tanpa tahu kita menjadi idola kepada mereka. Asalkan yang diikut itu adalah kebaikan. Maka pahala menjadi ganjarannya. Bukannya hendak kemasyhuran. Apa lagi bangga diri. Semuanya dari Allah. Kita hanya penyebab bagi mengumpul saham untuk dinilai diakhirat kelak. Jika sedar punya riak, buang ia agar IKHLAS mengganti.

Tarbiah tidak perlukan kekerasan dan paksaan. Sifat asal manusia memang pantang dipaksa. Sekadar amalan kebaikan sebagai rutin yang dilakukan demi redho-Nya. Bukan sekadar pameran lakonan sementara. Nabi menjadi ikutan dan disayangi kerana peribadi dan amalannya. Jika masih tegar masih ada bicara lembut membuatkan dia tertarik menuruti kebaikan itu.

"Kak pakai sarung lengan tue..saya pun ada kat rumah nanti nak pakailah," di atas motorsikal pulang dari kelas SLG kawanku itu berbicara.

Aku tersenyum. Sarung lengan itu dipakai kerana lengan baju kurung yang tidak berkancing akan membuatkan aurat lengan tersingkap ketika membawa motorsikal. Berhadapan dengan lelaki di dalam kelas ketika kursus itu juga membuatkan aurat yang sering diabaikan itu perlu dijaga rapi. Dalam tidak sedar rupanya kawanku itu memerhati. Mahu pula dia menuruti. Kepada Allah dipanjatkan syukur.

Ramai sudah manusia yang menjadi idolaku walau ada antaranya tidak pernah bersua muka. Kata-kata indah dan perlakuan baik mereka banyak mentarbiah diriku menjadi insan yang menggapai syurga-Nya. Atas rasa terima kasih doa dipanjatkan buat mereka.

Mungkin ada antara kalian adalah idolaku. Mungkin antara kalian telah mentarbiah jiwa dan peribadiku walau hanya dengan satu kalimah.

Berbuat baiklah agar sebaran kebaikan itu memenuhi ruang jiwa, hati dan diri manusia.
Menjadikan bumi indah merestui kebaikan penghuni jagatnya.
Tidak salah bermimpikan kebaikan sebagai penamat sebuah cerita kerana tanggapan bakal merubah keadaan masa hadapan.


Rabu, 9 September 2009

Kesedaran yang dikongsi


"Ishh..baju raya tak beli lagi ni," keluh ramai manusia kerana Hari Raya bakal menjelma beberapa hari sahaja lagi. Maka gedung, bazar dan pasar malam dipenuhi segenap manusia yang mencari pakaian secantik mungkin untuk digayakan di hari meriah tersebut.

"Kuih raya buat dah?" soalan yang amat popular waktu sengit sekarang. Hampir setiap wanita bertanyakan soalan ini apabila bertemu sesama mereka.

Susah sebenarnya hendak merubah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan. Memerlukan ruang masa dan istiqamah yang tinggi. Kebiasaan yang hampir bertukar menjadi adat adakala mengundang kejanggalan pada diri dan sesetengah individu.

Pakaian itu perlu bagi menutup aurat. Makanan itu juga perlu bagi meneruskan kelangsungan hidup. Malah kedua-duanya termasuk dalam keperluan. Niat mulanya amat murni jika membeli pakaian adalah untuk menutup aurat sepertimana digariskan Allah Taala. Juga murni jika makan untuk tenaga agar setiap kerja menjadi amalan. Namun niat itu akan berubah jika keperluan itu sudah berubah menjadi kehendak. Segala-galanya perlukan yang indah, cantik, berjenama, berkualiti dan berharga. Seiring itu niat agar nampak cantik, mewah dan melebihi orang lain. Akibat terlalu memikirkan keperluan yang sudah bertukar menjadi kehendak mulalah ibadat dikesampingkan. Kadang-kadang ia berlaku tanpa disedari. Jika sedar itu anugerah yang perlu diperbetulkan segera.

Baiknya seorang ibu membeli pakaian raya untuk anak-anak. Juga menyediakan dan membeli juadah raya sebagai santapan keluarga. Menyediakan duit raya buat ibu bapa, anak-anak, saudara mara, jiran tetangga jua tetamu yang hadir sebagai sedekah dan sumbangan peribadi. Pengorbanan seorang ibu tidak ternilai bukan setakat kepada anak-anak malah seluruh insan yang berdamping dengannya kerana wanita dianugerahi sifat penyayang melebihi lelaki. Lebih baik pengorbanan itu jika setiap letihnya itu diniatkan lillah hi taala. Lebih bernilai pengorbanannya itu diterapkan rasa syukur dan bersederhana pada setiap jiwa yang diberi. Bersederhana pada urusan dunia. Bertungkus-lumus pada urusan akhirat.

*********
"Haa..ustazah..takkan di rumah Rasulullah hanya ada sebiji kurma sahaja," terkejut seorang murid tahun 4 dengan kenyataan melalui ceritaku beberapa hari lalu.

Akibat keasyikan dunia kita terlupa bahawa kita sudah terlebih mewah dengan makanan, pakaian dan barang-barang lain. Malah sering berfikir untuk merasai keenakan resepi terbaru dan menambah koleksi pakaian peribadi. Mungkin diri punya kemampuan. Namun akibat kemampuanlah sering terleka dari batas kesederhanaan. Justeru melupakan insan yang masih ramai tersadai kemiskinan yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Lemahnya iman seorang hamba yang mendapat nikmat dunia yang lupa untuk dikongsikan sesama hamba yang tidak mendapatnya. Walaupun itu usaha dan kerajinan sendiri namun Allah yang memberi mengharapkan hamba-Nya hidup berkongsi sekaligus tidak mementingkan diri. Maka kerana itulah zakat menjadi rukun. Sedekah digalakkan.


*********
Merantau sambil belajar di negara arab telah terbentang depan mata bangsa ini yang sering menabur sedekah dan zakat pada golongan yang berhak mendapatnya. Bukan pada cek sebesar banner pada ruangan akhbar. Hanya melalui laluan hidup seharian yang mencetuskan kesedaran. Sekaligus menimbulkan semangat mengikut jejak dan membudayakan di tanahair tercinta. Pemberian yang ikhlas adalah menggunakan tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri. Itulah antara golongan yang akan menjadi penghuni syurga seperti yang terdapat di dalam hadis.

Aku juga manusia yang sering terlupa..
bila tersedar itulah nikmat dari-Nya..
kesedaran itu harus dikongsi bersama
agar hari muka sama-sama turut berbahagia..

Isnin, 7 September 2009

Ranjau menuju syurga


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Turun sahaja dari kereta, aku telah mendapat kad hari raya yang pertama. Kad itu
dihulurkan oleh Shikin, murid tahun enam yang bakal menduduki UPSR esok hari.
Aku terkejut kerana kad itu adalah dari murid KIA 2M.
Namun aku berbangga walau begitu dia berusaha memberi kad kepada setiap guru.
Sudah pasti bahawa di dalam kad itu bukanlah ayat-ayat yang ditulisnya sendiri kerana sepanjang aku menjadi pengawas peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di kelasnya tidak ada satu huruf yang membentuk perkataan pada kertas jawapannya.
Menurut guru Bahasa Melayu perkataannya hanya berbunyi mus..tas..pos yang lengkap dengan huruf vokal dan konsonan namun tidak membawa sebarang makna.

Dua guru ketawa membaca kad ucapan itu kerana terdapat banyak kesalahan ejaan. Aku turut tersenyum. Tidak dapat dipastikan penulis kad itu. Mungkinkah Shima iaitu adik kepada Shikin yang kini tahun 5. Ini kerana dalam keluarga mereka hanya Shima seorang yang agak terkehadapan dari abang-abang dan kakaknya.

Tiba-tiba rasa sedih menerpa kerana dalam zaman ICT masih terdapat insan yang tidak mampu menulis dan membaca. Ketika Perkembangan jalur lebar dan sebagainya masih ada insan yang melihat perkataan dalam bahasa ibunda seperti melihat tulisan bahasa asing tanpa difahami. Sedih dengan nasib Shikin dan keluarganya dan insan yang senasib dengannya. Sebenarnya masih terdapat beberapa lagi murid seperti Shikin yang sekelas dengannya.

Bagaimana dengan masa depan mereka?
Bagaimana pula dengan generasi mereka?

Masa kami bersama tidak lama maka aku hanya mampu mendidik dan membimbing beberapa perkara sahaja terutama tentang pembentukan diri sebagai muslim yang sebenar agar sejarah silam keluarga tidak berulang dalam hidup mereka. Biar kurang dari satu segi dan dipandang hina oleh manusia namun tetap mulia di sisi Ilahi dengan diri dihiasi taqwa. Selebihnya doa dan berserah pada Allah sebaik-baik penjaga.


*********
Rumit mendengar bacaan Al-Quran murid tahap dua. Itu menurut kata beberapa orang guru sejak program tadarus tahun ini dilaksanakan.
Begitu juga apabila masuk bab membaca perkataan, ayat dan dialog dalam bahasa arab. Hanya yang boleh membaca Al-Quran sahaja mampu membacanya. Asyik-asyik ulang murid yang sama. Murid yang tidak boleh membaca sekadar mendengar jika tidak bersembang sesama mereka. Hendak disuruh masih membaca Iqra' 2, 3 dan 4. Banyak lagi yang perlu diperbetulkan. Banyak tenaga dan semangat diperlukan demi memahirkan murid-murid yang lemah ini tentang Al-Quran. Sekaligus menjadikan murid-murid yang masih belum dapat membaca ini khatam. Tidak hanya separuh jalan.

Jangan sangka bahawa liku-liku menempuh syurga itu indah kerana ia dipenuhi duri dan ranjau.Jika rasa hendak memahami Islam dan mengamalkannya mudah dilaksanakan diri sendiri. Ia menjadi sukar untuk memahamkan orang lain sekaligus menjadikan itu amalan mereka. Asalkan ada usaha. Jangan sekadar berbicara tanpa gerak kerja

Sabtu, 5 September 2009

Utamakan yang lebih utama


"Siapa puasa hari ini," sebelum keluar sempat bertanya soalan rutin sepanjang Ramadan ini.

Semua murid mengangkat tangan. Malah bersungguh-sungguh dengan bangga ingin menyatakan bahawa mereka berpuasa.

"Bagus...semua puasa tapi kamu perlu jujur...jangan bohong...Allah tahu siapa bohong," perangkap agar mereka sentiasa jujur mengaku sesuatu.

"Betul ustazah...," murid-murid itu mengaku sambil menganggukkan kepala seperti spring.

"Siapa yang solat Subuh pagi tadi," soalan berubah.

Hampir separuh dari 30 murid itu menjatuhkan tangan dengan perlahan. Barangkali malu dengan rakan yang tetap mengangkat tangan setegak tiang bendera di dataran perhimpunan. Mungkin juga malu kepada ustazah yang bertanya yang memandang sambil mengira.

"Tahniah ustazah ucapkan buat kamu yang solat dan dalam masa yang sama berpuasa...kamu patut berbangga dan mengucapkan tahniah pada diri sendiri kerana berjaya melaksanakan 2 daripada rukun apa?" sekadar menguji ingatan.

"Islam...," nyata pelajaran tahun lepas lekat di minda mereka. Alhamdulillah dengan izin Allah yang memberi dan menarik ilmu itu kembali.

"Jika kamu mampu melaksanakan rukun Islam yang ketiga iaitu puasa kenapa tidak mampu melaksanakan rukun kedua iaitu solat...sepatutnya yang kedua perlu diutamakan terlebih dahulu kerana nyata ia lebih utama sebab itu berada di tempat kedua," panjang lebar penerangan. Agaknya mereka faham atau tidak.

Masing-masing terlopong mendengar ceramah percuma sebelum mata pelajaran berganti.

"Bangun lewat tadi ustazah," ada yang memberi alasan.

"Bukan setakat solat Subuh pagi tadi tetapi solat setiap waktu sebanyak 5 kali sehari semalam," sambil diikuti oleh setengah murid yang mengingati rukun kedua itu dengan baik.

"Ya...pandai pon...bila dah tau maka kenalah buat...tidak ada makna puasa jika tidak solat kerana solat itu tiang agama maka bumbung, dinding, pintu, tingkap tidak akan dapat dibina tanpa tiang," berkias pula ceramah kali ini.

Muka beberapa orang murid cerdik yang tidak solat sudah merona merah. Kasihan pula melihat mereka. Agaknya menahan malu kerana rakan-rakan yang IQ sederhana ramai yang mampu melaksanakan dua rukun itu sekaligus.

Soalan itu akan kuulang tanya sehingga diri ini masih bersama mereka. Bagaimana pun keluarga dan latar belakang mereka tidak kupedulikan samada ibu bapa mereka mengambil berat tentang rukun Islam kedua itu. Harapanku agar diri setiap kanak-kanak itu tertanam dengan keimanan yang utuh. Mampu menahan mehnah dunia yang diwarnai dengan seribu macam keseronokan. Bukan sekadar diri sendiri. Mampu juga mengajak keluarga yang lupa bahawa solat itu adalah fardu ain. Perlu diqadha selagi bernyawa. Tidak boleh orang lain ganti jika sudah meninggal dunia. Tidak ada fidyah untuk ia.

Begitu juga jika ada seorang hamba yang memboikot barang Yahudi sambil mengajak orang agar turut serta. Sedangkan solatnya juga masih ada yang tertinggal. Sedangkan solat itu yang utama. Diikuti amalan kebaikan lain yang turut serta atau menyusul di belakang.


Iman umpama ombak ada pasang surutnya yang sentiasa mengalir dan kadangkala beralun.
Doalah agar ia tidak membeku agar dapat diupgradekan sehingga mencapai tahap tertinggi di sisi Ilahi.

Jumaat, 4 September 2009

Menerima dan memberi.


"Telekung baru nampak," tangan melipat kembali telekung kepunyaan Kak Ngah itu.

"Free...," adik pertamaku itu meneruskan kerja melipat pakaian.

"Haaa...sapa bagi?...bestnya," manusia memang suka pada sesuatu yang percuma tapi jarang bersyukur apabila memperolehinya.

"Di masjid UKM dalam bulan puasa...time tu tak da duit so tiap-tiap hari buka puasa kat situ...suatu hari ada hamba Allah yang sedekah telekung ni," panjang lebar Kak Ngah cerita.

"Oooo...macam tu...bertuah orang tu dapat pahala selagi kita solat pakai telekung ni," kepala di angguk perlahan tanda faham sambil tersenyum.

**********
Diri masih tidak berganjak dari tempat solat. Menantikan jemaah yang lain ke luar dari Masjid Nuri yang terletak di Hayyu Sabiek ini dengan sabar. Rasanya tidak patut terburu-buru kerana malam itu tiada pengajian Syeikh Nuruddin yang diadakan di Hayyu Ashir seperti malam sebelum ini sepanjang dua minggu Ramadan.

Tengkuk dipanjangkan mencari kelibat sahabat-sahabat serumah. Nampaknya tiada satu wajah pun yang kukenali. Semuanya muslimah arab kecuali dua dan tiga orang pelajar Indonesia yang masih bersiap-sedia untuk pulang.

Keasyikkan aku memerhati ragam dan gelagat itu tiba-tiba datang seorang mama arab memberikan LE 5 kepadaku. Mama yang berbadan besar dan bertongkat itu menyuruhku mengambil sedekahnya itu sambil tersenyum. Kuambil wang kertas berwarna hijau itu sambil mengucapkan terima kasih kepadanya. LE 5 juga amat berharga bagi pelajar asing yang hanya ditaja oleh mak abah yang tidak berharta.

"Alhamdulillah bersyukur pada-MU ya Allah," kusujud syukur kerana rezeki itu datang tanpa disangka. Ketika saku makin kosong dari wang kertas.

"Pi mana lambatnya keluar," di hadapan masjid yang berkubah seperti bawang besar mengikut kata sahabat senior. Ahli bait menunggu bersama mushrif yang jauh sedikit.

"Maaf...tadi nak keluar dah tiba-tiba datang seseorang bagi ni," kutunjuk wang yang masih dalam genggaman.

"Laa...kami tak dapat pon...nak juga," mereka bertanya sambil mencari kelibat mama arab tadi.

Kutunjuk pada seorang mama yang dipimpin seorang lelaki muda masuk ke dalam sebuah kereta mewah berwarna hitam kepada sahabat-sahabat.

"Orang kaya rupanya...erm...menyesal keluar awai," rungut sebahagian dari sahabat.

"Dapat juga duit," dari belakang seorang sahabat yang baru keluar menunjukkan wang dia dapat yang sama nilai sambil tersenyum.

"Maknanya memanglah sapa yang keluar lambat sahaja yang dapat...rugi sungguh keluar awal walau hanya seminit," mengeleng kepala sahabat itu sambil berbicara.

"Sudahlah tu...Allah dah tentukan setiap rezeki dari kita...bukannya kira seminit, dua minit...kalau dah rezeki tue berjam-jam pun dapat," seloroh seorang senior sambil menasihati adik-adik junior yang masih kebudak-budakan itu.

Setiap hamba telah ditentukan rezeki sebelum dilahirkan ke bumi.
Namun itu bukanlah alasan hanya sekadar menanti dan berdoa tanpa usaha.
Berangan mendapat setempayan wang emas umpama ingin mengapai bintang untuk dijadikan hiasan kamar sahaja yang mustahil untuk menjadi realiti.
Jika ia datang tanpa disangka itulah rezeki yang diberi untuk digunakan pada jalan yang benar.
Allah tahu status ketidakupayaan hamba-Nya.
Setelah mendapat durian runtuh jangan tersasar dari landasan yang menjadikan nikmat itu dikufuri.
Dia memberi melalui hamba-Nya kala kita susah itu menandakan Dia mahu kita ingat untuk memberi pula di masa kita senang.

Hargailah apa yang diberi dengan syukur, terima kasih dan doa.
Berilah pada yang benar-benar memerlukan kerana dia lebih menghargai apa yang kita beri.

Allah memberikan banyak benda percuma jarang disyukuri.
Rasul yang berjuang menegakkan Islam sukar diikuti.
Ibu yang memberikan pengorbanan lupa dibalasi.
Ayah yang menumpahkan keringat jarang diingati.

Kembalilah mengingati agar tidak terlewat menghargai setiap pemberian, pengorbanan dan jasa yang memberi. Membalasnya sedaya mungkin dengan segenap tenaga,amal dan wang yang ada.

Rabu, 2 September 2009

Relevenkah soalan itu?


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


"Dah baca Quran setakat mana?" sambil berjalan ke kelas soalan ditanya oleh rakan
sekerja yang duduk bersebelahan mejaku.

Ramainya manusia yang seorang ini telah bertanya sambil mengingatkan pada urusan akhirat. Aku suka pada cebisan soalan itu. Soalan itu membuatkan aku tersedar dari lena diulit hal dunia. Al-Quran bukan setakat dibaca malah difahami dan diamalkan. Bukan setakat di bulan Ramadan malah selagi hayat di kandung badan.

"Hai..nak gi sekolah ke?" soalan rutin setiap kali kulalu hadapan rumah sewa pelajar lelaki kolej swasta yang terletak di Alor Star.

"Ish..dah pakai baju sekolah memang la nak ke sekolah..apa daa punya soalan..tanya la dah solat Dhuha ke atau dah baca Mathurat kubra ka pagi ni..," hati merungut sambil membiarkan soalan pelajar yang lebih berusia dariku itu terbiar tanpa jawapan.

"Nak masak apa ya hari ini," akal ligat mencari idea bagi menu makan malam pada hari itu agar menu itu disantap dengan berseleranya oleh 5 orang ahli bait Nuha Amani.

Jika akal dan tenaga diperah demi menyediakan santapan untuk sahabat-sahabat merasai nikmat rezeki dan kenyang. Namun sukar pula mengejutkan mereka dengan bersungguh-sungguh untuk turut sama merasai nikmat munajat pada Allah di hening sepertiga malam di tanah Mandara, Iskandariah itu.

"Bangunnnnnn..bilik yang gelap tu..bangun anak dara oii..nak Suboh ni," Ustaz Kamaruzzaman tercegat di bawah menjalankan tanggungjawabnya selaku warden asrama mengejutkan pelajar kolej yang menghuni blok berdekatan rumahnya.

Walau rasa mimpi diganggu. Namun aku suka pada pendekatan ustaz itu di mana 2 tahun sebelum ini tiada warden yang sanggup menjerit sehingga dengar ke tingkat tiga asrama akhawat agar turun solat Subuh jemaah di surau dan mendengar tazkirah.

"Yang, cukup lah sahaja dengan segelas air suam..pergilah bersolat malam.
Mudah-mudah kita bertemu Lailatul Qadar. Malam rahmat seribu bulan." bukan ayat ciptaan namun melalui satu blog yang kubaca.

Bagusnya jika semua suami meredhai dan memahami sebegitu.

Keperluan perlu dipenuhi namun jangan pula sampai ibadat dikesampingkan.

"Siapa yang solat Subuh pagi tadi," ustaz di sekolah memulakan sesi ucapannya pada perhimpunan pagi dengan pertanyaan solat pada murid-murid.

"Ok...sebelum main bola jom kita pakat pi solat Asar dulu," kuajak murid-murid lelaki seusai persatuan agama yang diadakan di surau pada hari Rabu itu.

"Siapa puasa pada hari ini," mencuri masa set induksi yang dijadikan rutin soalan Ramadan ini sebelum pengajaran dimulakan.

"Ehh...dah masuk Asar ni...jom kita sama-sama solat dulu...dah selesai kewajipan tu baru rasa lega nak buat perkara lain."

Jika tidak diajak, apa kata kita pula yang mengajak.
Jika kita tidak ditanya maka kita pula yang perlu bertanya.
Agar seruan itu bukan sekadar diingati malah dilaksanakan.
Esok ketika lalai mungkin kita pula akan ditanya dan diajak sedemikian rupa.

Selasa, 1 September 2009

Tiada kedua selepas pertama



Tahun lepas ketika ini murid tahun enam sering datang mengadu kegelisahan akibat peperiksaan semakin hampir.
Tahun ini pula di mana tinggal lagi seminggu terpancar kesungguhan pada setiap dari mereka.
Jika dahulu aku sering memerhati beberapa orang murid yang sering mencuri pandang ke luar kelas ketika pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Hari ini semua bertungkus lumus mendengar dan menyiapkan latihan.
Sesiapa yang lalu juga tidak dipedulikan.

Besar sungguh penangan masa yang sentiasa mencemburui manusia. Kesempitan terasa kerana alirannya senantiasa mengalir sehingga menemukan penghujung sesuatu perkara.
Rugi sungguh manusia kerana tidak pandai memanfaatkan masa yang berjalan dengan riang tanpa pengisian semaksima mungkin.

********
"Aduh mengantuk la...camna nak buat ni," kami bertiga mula menahan kantuk. Jam sudah menunjukkan angka 3 pagi.

"Takpa, kami bancuh air...minum air panas tak la mengantuk sangat," tangan Anim mencapai cerek elektrik untuk memasak air.

"Haa...akak pi beli keropok ikan di bilik 208 la, sedap juga makan dengan air," pen di tangan segera diletak atas nota ringkasan subjek Nahu itu.

Beberapa bungkus plastik keropok ikan telah menjadi penghuni bakul sampah di bilik Anim. Tiga biji mug kosong tersadai di atas meja stadi dan lantai. Buku Nahu dan kitab rujukan sampingan ternganga di atas katil, meja dan lantai. Buku dan kitab dibaca sepintas dan ditanda dengan pensel dan highlight pada point yang penting sahaja. Lalu ia dipindahkan ke atas kertas kajang putih dalam bentuk peta minda seringkas mungkin.

"Pukul berapa dah ni?" ku soal Asha sekadar mengisi kebosanan walhal jam berada di atas meja beberapa jarak sahaja.

"Dah pukul empat lebih dah," kata sahabat itu lalu memandang kembali ke kitab di hadapannya.

Masa berlalu. Kepala berat memikul bebanan manahan kantuk. Menyesal dan mula mengutuk diri belajar last minit yang menyiksa fizikal dan mental. Ini pengajaran agar masa depan tidak berulang lagi.

"Ok...semua dah siap...time to discuss...explain la tajuk-tajuk tu mengikut apa yang korang faham," badan 3 orang kami bergerak membetulkan segala urat dan otot yang regang akibat bongkok semalaman.

Itu kenangan semasa bergelar pelajar. Itu bukanlah kali pertama melakukan stadi last minute tetapi kali itu benar-benar membuatkan terseksa jiwa raga. Jika sebelumnya seperti pelajar lain yang senang stadi last minit kali itu terbabas. Alhamdulillah subjek itu kami bertiga lulus. Allah masih memberi kesempatan.

*********
"Kamu semua minta kelas tambahan ditambahkan ke?" soal Guru Besar pada tiga orang pengawas tahun enam ketika mereka membaca akhbar.

"Ya cikgu...kami nak sangat-sangat," seorang menjawab yang menunjukkan wajah mengharap.

"Kalau nak kamu kena bayar...dulu kamu lari dari kelas tambahan...sekarang cikgu semua dah letih kamu nak belajar pula," tegur guru cina itu persis seorang ibu meleteri anak-anak kecil yang nakal.

Itu realiti manusia dengan urusan dunia. Melakukan sekali kesilapan masih punya ruang memperbaikinya di masa lain. Malah kerana rahmat Allah kesilapan itu adalah pemangkin kejayaan di masa hadapan. Allah memberi kesempatan untuk berubah. Allah memberi masa agar keciciran waktu lalu digunakan sebaik mungkin di masa akan datang.
Beruntunglah pada insan yang merasakan telah merugikan masa lalu.

Namun kerugian sebagai hamba dalam perjalanan hidup bernyawa yang menemui akhirnya tiada peluang kedua menebusnya. Perginya seorang manusia adalah untuk selamanya. Tiada kali kedua yang diberi Allah untuk memperbaiki kesilapan pertama lalu. Tidak ada seorang manusia pun yang dihidupkan kembali untuk itu. Pergi membawa amal yang dilakukan di dunia. Segala-galanya bernoktah setakat itu sahaja.



Dunia ini ibarat pentas. Hidup ini ibarat lakonan. Manusia ibarat pelakon.
Jadikanlah dunia pentas indah dihiasi warna-warna ISLAM.
Jadikan lakonan ini umpama lakonan yang TERAKHIR.
Jadilah pelakon yang membawa watak acuan AL-QURAN & SUNNAH.
Setiap babak biarlah diselit cinta dan kasih sayang yang berpaksikan CINTA ILAHI.
Biarlah iman dan akal memandu nafsu dan diri menjadi PENGARAH.
Agar berakhirnya lakonan ini dalam HUSNUL KHATIMAH.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...