? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Isnin, 29 Jun 2009

Akauntabiliti + Amanah

Ramai yang tersenyum apabila nama dipanggil untuk mengambil surat tawaran pelantikan sebagai guru sandaran terlatih siswazah pada petang tadi.

Seorang rakan menyatakan ketidaksabaran untuk melihat digit gaji dalam surat tersebut. Kemungkinan ada pelbagai perancangan untuk keluarga dengan gaji pertama yang bakal diperolehi beberapa bulan lagi.

Bagi siswazah yang baru bekerja ini seronok dan berpuas hati mendapat angka gaji sebegitu kerana itu adalah nilai keringat untuk memperolehi ilmu dan segulung ijazah sehingga dapat berbakti mencurahkan ilmu kepada anak murid. Tunggu sahaja 2 atau 3 tiga tahun lagi angka itu sudah tidak mencukupi dan berharap akan ada kenaikan kerana perbelanjaan kehidupan semakin meluas. Itulah manusia yang punyai tahap kepuasan tanpa sempadan. Namun hakikat mencukupkan kekurangan adalah keberkatan Allah taala. Itu yang sering kita lupa sebagai hamba-Nya.

Diri ini tidak terlalu gembira dengan digit gaji tersebut kerana merenungkan bulan-bulan mendatang yang akan kosong tanpa gaji. Perit juga rasanya untuk melangsaikan bayaran kereta, minyak kereta, bil Broadband, pinjaman pelajaran, bil api dan sebagainya. Mujurlah tiada barang yang dibeli secara bayaran ansuran. Ada tawaran pinjaman dari satu bank namun tidak sanggup rasanya menambah lagi hutang dalam senarai peribadi. Maka pengalaman 25 qirsh dalam poket dapat hidup di negara orang, inikan pula di negeri sendiri kujadikan hujah kepada seorang rakan yang dapat kuadaptasi melalui liku-liku ini. Sedangkan cacing dalam tanah mampu hidup inikan pula manusia yang berakal.

Disebalik keriangan memandang digit dan bakal mendapatnya sebenarnya ada perkara yang terpundak di bahu. Jika dapat direalitikan perkara itu rasanya akan menyengetkan sebelah bahu. Ia adalah akauntabiliti dan amanah bukan sahaja kepada murid-murid malah ibu bapa mereka dan sekolah. Itu yang mungkin dilupakan seketika oleh guru-guru yang sedang berkursus sekarang ini untuk melarikan diri sebentar dari bebanan kerja di sekolah.

Namun amanah sering mengekori kita bukan sahaja sebagai pekerja malah hamba kepada tuhan dan manusia kepada manusia dan makhluk lain.

Sejauh mana sebagai hamba kita menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan sebelum dilahirkan ke bumi?

Sejauh mana sebagai manusia kita menunaikan amanah kepada ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, keluarga, guru-guru, sahabat, jiran dan manusia lainnya?

Sejauh mana kita sebagai makhluk menunaikan amanah kepada makhluk lain?

Juga pelbagai lagi amanah yang ada di sekeliling kita.

Nilai dari segi satu persatu amanah rasa terbeban dan risau jika tidak dapat ditunaikan semuanya.

Maka untuk menunaikan semuanya tanpa wujud kebimbangan adalah melaksanakannya dengan keikhlasan yang berpaksikan kerana Allah.

********

Hidup ini tetap menjadikan kita sebagai peminta dan pemberi.
Meminta bantuan dari Allah dan orang sekeliling.
Memberi bantuan kepada yang memerlukan
kerana kita tidak hidup berseorangan.
"Ustazah...camna nak hentikan airmata ni?" sms Diana kubaca. Sedih kerana terpaksa berpisah dengan kakaknya yang akan melanjutkan pelajaran ke universiti.

Sms berbaur pujukan kubalas untuk meredakan kesedihan murid tahun 5 itu.

Itulah hanya pemberian (bantuan) yang mampu kuberikan padanya walaupun sekadar meredakan keadaan. Menjadi pendengar (pembaca). Tiada yang lebih berharga pada manusia selain dari memiliki insan lain yang mampu menteteramkan jiwanya kala kesedihan. Umpama bermaknanya pemberian sekeping roti pada manusia yang sedang lapar.

Sabtu, 27 Jun 2009

Jodoh...Bertemu sebentar cuma


Terkesan juga rasa hati apabila membaca berita seorang doktor menyelamatkan wanita Iran berusia 26 tahun yang terkena tembakan sesat semasa tunjuk perasaan di Teheran Sabtu lepas.

Kesannya kerana satu lagi negara arab yang dikatakan akan menjadi sasaran Israel dan Amerika untuk menjayakan misi pembinaan Kuil Sulaiman. Di samping untuk mengaut hasil bumi negara yang kaya minyak itu. Dikatakan bahawa ini merupakan bibit-bibit Iran pula bakal jatuh ke tangan mereka. Sejauh mana ramalan para penganalisis politik yang bertauliah dan tidak masih belum dapat disahkan lagi. Namun sebagai saudara seakidah tetap mendoakan kesejahteraan dan keselamatan saudara-saudara di sana.

Melalui berita itu juga teringat pada novel karangan Randa Ghazy tentang Palestin. Kisah remaja-remaja Palestin yang merempat di bumi sendiri dan bertemu sehingga mewujudkan keakraban. Selitan babak seorang watak yang jatuh cinta pada seorang gadis terkena bedilan yang dibawa ke hospital untuk diselamatkan hanya mampu melihat gadis tersebut dalam masa beberapa jam sahaja. Dia yakin bahawa antara mereka tiada jodoh.

Tiba-tiba diri ini terkenangkan rakan-rakan yang kematian suami di usia muda. Suami pergi tanpa meninggalkan zuriat. Bagaimanakah agaknya perjalanan mereka seterusnya dan langkah samada berkahwin lain atau tetap bersendiri kerana setia pada cinta yang pertama tidak pula kuketahui.

Perbualan dengan 2 sahabat sebentar mengimbau ketabahan senior di Mesir yang kematian suami akibat kemalangan dan sakit. Menyayat hati kerana suami pergi ketika anak dalam kandungan dan ada juga yang anak masih kecil mengenal dunia. Diri pernah bersama seorang kakak ketika di Kaherah yang kehilangan suami dan mendengar cerita saat-saat berpisah nyawa dengan suami tercinta. Di samping menyelami perasaan dan mengambil contoh teladan kesabaran dan ketabahan beliau mengharungi dan mejalani kehidupan. Dia sering bercerita memori bersama suami yang dikatakannya terlalu baik namun tanpa setitik airmata yang terbit. Aku kagum pada ketabahan itu.

Allah memang Maha Adil kerana Dia memberikan sesuatu mengikut hamba-Nya samada mampu atau tidak memikulnya. Insan-insan di atas adalah antara sebahagian insan yang mampu menanggung perpisahan dengan orang dicintai samada dalam keadaan tiada jodoh langsung atau jodoh hanya sementara.

Ketabahan mereka berdasarkan cinta yang teguh pada Ilahi. Cinta pada orang yang dicintai berdasarkan cinta Ilahi. Bersebabkan itulah maka mereka sabar dan redho pada ujian Allah Taala. Aku juga kagum pada insan yang yakin akan bertemu jodoh di syurga kelak.

Mencintai Allah bakal ke syurga...
Mencintai kerana Allah juga menjejaki jalan penghuni syurga...

Jumaat, 26 Jun 2009

MJ dan AD

Aku mengenali Michael Jackson sejak dari hitam sehingga menjadi putih.
Artis yang banyak mengoncang industri hiburan antarabangsa kerana peristiwa yang berkaitan dirinya.
Isu liwat kanak-kanak lelaki yang memakan masa perbicaraannya.
Isu perkahwinan, perceraian dengan anak Elvis Presley.
Terakhir adalah isu pengislaman yang dipertikaikan kesahihannya oleh banyak pihak.
Antara lagunya yang paling kuingati adalah 'Black or White'.
Video klip yang menarik perhatianku adalah lagu 'Earth Song'.
Lagu yang sering meniti di bibir waktu kecil dahulu adalah 'You Are Not Alone'.

Pagi ini telah heboh di satu stesyen radio tanahair untuk mengesahkan kematiannya.
Akhirnya dapat disahkan bahawa kematiannya adalah satu kenyataan.

Kini media antarabangsa menutup isu kemenangan Ahmad Dinejad di Iran dan isu demonstrasi rusuhan bantahan kemenangan beliau.

Baiknya jika media terus mengulas tentang kematian raja pop dunia ini kerana itu dapat menutup momokan media tentang isu Iran yang sengaja dihebahkan untuk mewujudkan sentimen perpecahan.

*******

Bersyukurlah jika hari ini diberi kelapangan dan gunakanlah ia dengan sebaiknya kerana esok belum pasti akan ada masa yang terluang seperti hari ini.

Jadi satu hari bersendirian di Taman Siswa ini dapat juga menggunakannya untuk mengeledah segala macam pengetahuan di hujung jari ini.

Pertemuan dengan seorang nenek yang bongkok menolak troli barang berjalan jauh ke pasar malam semalam adalah pengajaran tentang kegigihan insan di usia emas yang hidup menjaga suaminya dan masih menjalankan tanggungjawab seperti di usia muda.

Malunya jika seorang muda mengeluh dan merungut akan kesusahan pada keadaan hidup sedangkan dilimpahi kesenangan sejak menjengah bumi.

Khamis, 25 Jun 2009

Sunyinya...

Dulu ke dewan kuliah bersama sahabat-sahabat mengkelek buku demi ilmu.
Kini ke dewan kuliah bersama rakan-rakan membawa fail menghadiri kursus.
Kadang-kadang terlupa bahawa ini hanyalah sekadar kursus kerana masanya agak panjang.
Keadaannya tetap sama adakala yang mengundang kantuk yang tidak dipinta.

Rakan-rakan pulang ke kampung halaman mengundang nostalgia ditinggalkan sahabat ketika di Iskandariah Mesir penghujung 2004.
Pergi bersama tidak bermakna pulang juga bersama kerana rezeki dan takdir masing-masing berbeza.
Aku ditinggalkan kerana masih ada ilmu yang Allah mahu berikan sesuai dengan permintaan setiap kali sujud menghadapNya.
Namun sebagai insan normal hati tetap kesepian akibat ditinggalkan sahabat seangkatan seperjuangan.
Luka sepi itu berbulan-bulan juga diambil masa untuk sembuhnya.
Pantang melalui hadapan rumah sewa sahabat-sahabat pasti tersentuh hati akan memori yang dicipta bersama.
Masa yang dilalui terasa terlalu panjang detiknya sehingga segala yang berlaku depan mata tidak berbayang hanya kelam tanpa objek nyata.

Hikmahnya sebaliknya sungguh bermakna.
Ketika itulah dapat lebih masa bersama pencipta.
Memuhasabah dan merenung dosa-dosa yang ada.
Hinanya hamba ini sebagai penghuni bumi-Mu.
Mencari-Mu hanya di saat duka dan sunyi.

******
Aku kembali sepi.
Sepi akibat rasa kehilangan.
Namun ini waktunya diri kembali diuji pada ujian yang sama memantapkan iman yang ada pasang surutnya.
Aku tahu cara mengubat sepi.
Caranya adalah membuang sepi kerana kesepian tidakkan muncul pada jiwa yang senantiasa merasakan Allah senantiasa ada bersama dirinya.

******
Waktu-waktu di sini telah mengundang rindu pada keluarga tersayang. Juga pada tiga ekor kucing yang pastinya tertanya ke mana perginya seorang tuan yang membela mereka. Juga merindui sekolah di ceruk kelapa sawit nun di hujung negeri jelapang ini. Tentunya dengan suara-suara rakan sekerja yang banyak menyokong juga anak didik yang pelbagai ragam.

******

Mustahil untuk mengulang detik dahulu untuk kembali menikmatinya..
namun..
tidak mustahil untuk mencipta sejarah baru yang lebih manis untuk dinikmati pada hari ini dan dikenang pada masa hadapan.

Rabu, 24 Jun 2009

Retak menanti pecah


"Akak...tak tau camne nak baikkan diorang berdua tue..dah macam-macam cara kita buat," ujar P padaku di Subuh yang damai.

"Kita sudah usaha sekarang masanya untuk berdoa dan menyerahkan kepada Allah pula la P," aku menjawab soalan P secara tenang agar tidak timbul salah sangka pada hubungan yang kian runcing ketika ini.

"Tu la akak...saya berharap agar diorang dapat berbaik semula seperti dahulu," doa P selaku sahabat merangkap ahli bait Nuha Amani.

Harapkan panas hingga ke petang rupanya hujan menyimbah bumi di tengahari. Begitulah fenomena alam yang sinonim dengan kehidupan seorang manusia. Perhubungan yang baik di permulaan makin retak kerana sedikit salah faham. Emosi dan tabiat manusia yang berbeza menjadikan salah faham itu punca kepada keretakkan sebuah ukhuwah.

Itu cerita retak di pertengahan. Ada juga perhubungan yang gagal dibina sejak di permulaan. Pastinya kerana sikap, emosi dan ketidakmatangan memainkan peranan.

Itu hanya cerita perhubungan yang retak dalam konteks yang kecil.

Kecil-kecil lama-lama menyemarak dapat membakar sebuah rumah dan hutan.

Begitulah juga dengan hubungan antara manusia yang bermula dari individu membentuk komuniti sehingga terbina satu negara. Dilangkaui dengan hubungan dengan manusia luar dari sempadan negara. Begitu juga dengan hubungan yang terikat atas dasar satu akidah dan agama di mana persaudaraan yang ditekankan dalam agama Islam yang suci ini.

Dipandang dari sudut suruhan Allah itu sendiri iaitu gandaan pahala solat jemaah yang menghendaki saf dirapatkan sehingga bersentuh bahu dan kaki antara para jemaah dapatlah dihuraikan bahawa ukuwah itu memang tuntutan penting dalam Islam.

Namun ramai antara kita yang lupa pada tuntutan yang satu ini kerana masing-masing sibuk mempertahankan ego dan ideologi masing-masing. Walhal di sebalik renggangnya ukhuwah ini ada mata-mata manusia luar yang dengkikan pada umat Islam yang senantiasa mengharapkan perpecahan umat ini. Ia sama seperti syaitan yang cuba meneroboskan diri antara celahan ruang saf yang tidak rapat.

Mungkin perpecahan hanya sekadar manipulasi cerita dari sumber-sumber berita dunia yang tidak telus. Mugkin juga sememangnya ada pihak-pihak yang sudah dibeli untuk mengadaikan negara pada serangan pihak musuh. Juga mungkin ada kemungkinan lain yang masih tidak terhurai kerana pendeknya akal manusia melangkaui peristiwa yang tidak nampak di depan mata.

Belajarlah dari sejarah beberapa kejatuhan negara Islam di dunia kerana perpecahan umat Islam dalam negara itu sendiri. Bersikap terbuka dan bertolak ansur antara umat untuk mengenepikan anasir luar yang hanya menunggu peluang memusnahkan dan mengaut hasil bumi yang bernilai. Di samping untuk merealisasikan cita-cita bagi membina kembali kuil penyembahan di mana pembinaannya memakan ruang sehingga beberapa buah negara majoritu umat Islam.

Umat Islam sudah ramai mengetahui tentang fakta itu namun ia hanya sekadar informasi untuk sekadar dilupakan pada sesetengah umat kerana mereka hidup umpama lali diberikan dadah. Sogokkan kemewahan dunia yang diberikan melaghakan pada semua rancangan jahat puak-puak yang dilaknat Allah itu.

Musuh utama kita adalah zionis dan konco-konconya.
Bukannya saudara sesama akidah yang hidup satu bumbung negara.

Selasa, 23 Jun 2009

Senyum + Bahagia

Hati mampu tersenyum bahagia.
Bibir juga mampu mengukir gembira.
Sengketa kembali reda.
Tiupan angin fitnah kian surut.

Walau...

Bahana lain makin merebak.
Menyusup sedikit demi sedikit
menyusupi ruang cergas jasad
sebagai kejutan pada jiwa-jiwa yang alpa tidur
diulit ralit keseronokan dunia.

Separuh yang bermandi noda
Semua terkena tempias balanya

Bersyukurlah kerana diberi ingatan di dunia
buat taubat sementara usia ada
dari kesedaran di hari perhitungan sana
tidak mampu mengubah apa-apa.

*****
Payah sebenarnya hendak memahami sesuatu yang abstrak dan tersirat.
Salah tafsir menyebabkan kesilapan menghurai fakta yang ingin disampaikan.
Namun yang tersirat itu kadang-kadang perlu digunakan untuk menyeimbangkan pasang surut kehidupan seorang manusia bersesuaian keadaan, masa dan tempat.

Tarbiah kekuatan dari Allah

Diri ini lebih suka memandang kepayahan, kesusahan, penderitaan dan kezaliman masa lalu demi kejayaan kehidupan masa hadapan.

Sejarah negara-negara dan bangsa-bangsa di dunia juga menukilkan bahawa atas faktor-faktor tersebut maka sesuatu bangsa dan negara dapat membina tamadunnya sendiri.

Pengalaman individu juga mencoretkan bahawa kejayaan mereka diperolehi selepas melepasi fasa-fasa tersebut.

Ia adalah hasil terbinanya kekuatan yang ampuh demi mengharungi keadaan-keadaan kritikal itu untuk kelangsungan hidup yang masih belum bernoktah.

Bagi umat Islam fasa-fasa itu dilalui dengan pembinaan kekuatan IMAN yang kental dengan menyerahkan usaha dan takdir pada Allah s.w.t.

Bagi golongan bukan islam pula mereka membina kekuatan dengan emosi dan diri yang kukuh bersandarkan motivasi dalaman yang utuh.

Namun...

Masih juga ada yang meruntuhkan hidup akibat faktor-faktor kesusahan, kepayahan, penderitaan dan kezaliman tersebut.

Akibat hilang dan patah semangat memundurkan emosi untuk menerima segala faktor itu sebagai landasan bangun dari sebuah kegagalan. Mereka gagal menerima cabaran kehidupan yang diberi Pencipta itu walhal cabaran itulah sebenarnya langkah pertama menuju kecemerlangan berbanding kesenangan yang hanya menyekat kemajuan akibat diulit keselesaan.

Jika memandang yang sukar itulah cabaran dan ujian pasti akan mendepaninya dengan bijak.
Jika memandang kesukaran itu masalah pasti akan mendepaninya dengan semangat yang lemah.

********

Manusia yang punya IQ tinggi seringkali mundur tanpa EQ yang tinggi

sedangkan

manusia yang punya EQ tinggi akan berjaya tanpa IQ yang tinggi.

Semuanya biarlah berlandaskan kepada tuhan Yang Satu....dengan rujukan kalamNya melalui Al-Quran di samping hadis.

Ahad, 21 Jun 2009

Tunduk dan bersyukur

Pandanglah orang di bawah anda untuk melahirkan rasa kesyukuran akan keadaan susah anda pada masa kini.

Ayat seperti ini sudah lama didengari namun mendengarnya pada kali ini iaitu ketika satu slot ceramah Kursus Induksi Sistem Saraaan Malaysia berlainan makna dan cara penerimaannya.

Dahulu mendengarnya hanya sebagai insan dan hamba yang tiada punya amanah tersurat untuk membentuk peribadi insan lain dengan ilmu.

Mendengarnya pada kali ini pula sebagai seorang hamba dan insan yang terpundak tanggungjawab yang disuratkan untuk membentuk peribadi insan selaras dengan acuan yang dikehendaki Ilahi berlandaskan Al-Quran dan as-Sunnah.

Memandang orang di bawah yang jauh lebih susah untuk melaksanakan amanah-amanah tersebut berbanding diri yang masih punya peluang merasai kelonggaran kepayahan. Namun masih menuntut lagi kelonggaran untuk menikmati keselesaan disamping pulangan kewangan.

Paling malangnya lagi disertai rungutan dan keluhan yang dilontarkan pada pihak-pihak tertentu dan diri sendiri seolah-olah ketentuan yang ditentukan Allah itu ada salahnya.

Sedangkan diri senantiasa berbicara tentang perjuangan dan pengorbanan bersilih ganti.

Lemahnya iman hamba yang masih punya ruang untuk mempalitkan tanda hitam pada seketul hati yang asalnya suci.

Jika masih ada kesedaran pada kekhilafan ini maka ia adalah satu keberuntungan dan bersyukurlah kerana masih diberi kesempatan oleh Ilahi untuk bertaubat dan kembali memulakan kehidupan yang putih dan bersih.

Noda hitam itu pasti kembali datang menyelitkan diri walau pada ruang yang kecil. Terpulanglah pada insan empunya untuk mengemudi hati agar tidak memerintahkan anggota untuk kembali membiarkan titik hitam lain mencemarkan hati dengan tanda hitamnya.

Kalau kita tolong orang...Allah akan tolong kita.

Terngiang-ngiang di gegendang telinga ayat keramat ahli bait ( housemate ) ketika di Bait Khaulah Azwar ( rumah Khaulah Azwar : setiap buah rumah yang dihuni pelajar Malaysia diberi sempena nama tokoh-tokoh Islam ) Iskandariah Mesir dahulu.

Lazimnya, majoriti pelajar di sana senantiasa mencari peluang membuat kebaikan dengan menolong orang salah satunya untuk meraih kejayaan dalam peperikasaan. Namun diragui pula akan keikhlasan jika berbuat kebaikan beralasan untuk mengharapkan ganjaran dunia semata.

Dari segi satu sudut pula, kemungkinan kebaikan pertama yang mengharapkan balasan itu merupakan langkah awal mengasah amal yang disertai keikhlasan.

Apa-apa pun biarlah kebaikan dan amal itu berterusan sehingga noktah nyawa yang terakhir agar keberkatan diperolehi serta ganjaran akhirat yang dijanji Ilahi dapat diperolehi.


Biarlah hidup sekejap diberkati dari hidup lama yang penuh sia-sia.


Jumaat, 19 Jun 2009

Macam-macam ragam


Ragam 1 : Adaptasi dari peristiwa sebenar seorang sahabat yang di tokok tambah untuk mengukuhkan sebuah penceritaan.

"Murid-murid semua....ini bentuk apa?"tanya seorang guru wanita ketika mengajar mata pelajaran PSV.

"Triangle.....," jawab murid tahun 3 serentak. Guru wanita tersebut mengecutkan dahinya yang seluas dahi Datuk Siti Nurhaliza.

"Ya triangle dalam bahasa Inggeris...dalam bahasa melayu pula...ini bentuk apa murid-murid?" tanpa putus asa guru itu menyoal.

"Triangle...," murid-murid menjawab menggemakan ruang kelas 3 Aktif.

"Ini bentuk segi tiga murid-murid....bentuk apa ulang sekali lagi,"guru berumur awal 30 an itu makin semangat menyoal.

"Triangle....," murid-murid tahun 3 Aktif juga makin bersemangat menjawab menyaingi guru kelas mereka.

"Baiklah murid-murid...sekarang cikgu nak kamu semua lukis bentuk segi tiga ini pada kertas lukisan yang cikgu beri tadi," cikgu berbadan kecil molek itu menoktahkan kekeliruan yang jelas terpampang di rautnya.

"Lukis bentuk triangle ka cikgu?" soal Adam selaku ketua kelas mewakili rakan sekelasnya.

"Ya...ya...lukis bentuk triangle ini," kali ini giliran guru wanita itu pula yang menjawab soalan muridnya sambil mimik muka hampa menyeluruhi wajahnya. Pandai sungguh anak muridnya bertutur bahasa orang lain sehingga tidak tahu bahasa ibunda.

Nampaknya Hang Tuah lupa menyambung kata-katanya,

'Takkan melayu hilang di dunia maka bahasa melayu juga takkan hilang di dunia'

Ragam 2 : Peristiwa sebenar diri ini yang diolah serba sedikit perbualan demi menampung lompang kehilangan dialog asal.

"Nampaknya hanya beberapa orang sahaja yang dapat 5A pada peperiksaan pertengahan tahun pada kali ini," kata guru kelas tahun enam kepada seorang lagi guru yang juga mengajar tahun enam.

"Murid-murid yang setakat 4A tak mampu dibantu cikgu kerana markah untuk mata pelajaran yang lagi satu terlalu rendah," guru bahasa melayu menambah fakta.

"Sarah juga hanya sekadar cukup-cukup makan sahaja untuk dapat 5A," ujar guru kelas tahun enam kepada rakan sekerjanya.

"Mohd Darus pula hanya kerana bahasa melayu maka mampu untuk dapat 4A 1B sahaja," keluh guru bahasa melayu.

"Susahlah nak mengajar karangan kepada budak-budak ni....sudah diberi isi dan idea pun masih tidak mampu menghuraikan ayat untuk membentuk karangan," guru bahasa melayu masih meluahkan kegusaran hatinya sejak dahulu lagi.

Perbualan dua guru itu kuteliti sambil tangan rancak menyiapkan e-pelaporan setengah tahun j-QAF untuk ditinggalkan kepada GPI untuk dihantar kepada PPD ketika aku menghadiri KISSM di Jitra kelak.

Nampaknya lain kali aku perlu menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas menggunakan bahasa melayu kepada Mohd Darus untuk memantapkan kembali bahasa melayunya. Agar dia dapat meraih 5A dalam UPSR akhir nanti.
Ragam 3 : Ibu dan anak. Diaolog diubah agar penghayatan cerita dapat menimbulkan kesan kepada pembaca.

"Hang pi berapa lama pula kali ni?" soal mak kepada anak sulongnya.

"2 minggu lebih," jawab anak perempuannya sambil sibuk menambah pakaian ke dalam beg yang masih berbaki pakaian sejak pulang dari IPGM dan BTN.

"Lama juga noh," kata mak yang hanya sempat bertemu sekejap cuma dengan anak yang sering berpisah dengannya sejak dari kecil.

"Macam tu lah mak kerja dengan orang...hidup ini perjuangan tanpa noktah selagi bernyawa," kata anak perempuan yang sering mengambil nilai ketabahan maknya yang menempuh kepayahan sejak dari kecil.

Pilu kerana maknya kini mengharapkan dia untuk ke mana-mana menghilangkan kebosanan seharian berada dan melakukan rutin kerja rumah.

Pada sebuah kisah, kejadian dan tragedi yang realiti dapat di sampaikan ceritanya dengan penokok tambahan dari pencerita agar realiti itu cepat tersebar dan menjadi sensasi.

Penambahan untuk menjadikan ia iktibar dan tidak lari dari fakta dan sejarah masih boleh diterima.

Namun, jika ia mencicirkan fakta dan membuang sejarah sehingga menimbulkan fitnah membuatkan orang percaya hanya Penguasa tertinggi mampu menghukum dengan adilNya.

Khamis, 18 Jun 2009

Pecah ummah bawa petaka

'Maza ya'ni intima'i lil Islam', kitab yang menjadi rujukan kami ketika usrah ketika di sekolah menengah lagi.

Lanjutan dari itu kitab yang sama juga dengan bahasa berlainan yang bertajuk 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' menjadi rujukan antara salah satu kitab ketika membuat Diploma Pengajian Islam Dakwah di KUSZA.

Maka dengan penggunaan berturut-turut kitab yang sama diri mula mengenali Fathi Yakan iaitu seorang ulama yang merupakan pengarang kitab muktabar tersebut.

"Kawan-kawan semua, sedekahkan al-Fatihah buat allahyarham Fathi Yakan yang telah meninggal dunia pada hari ini," umum Ina ketika kami sibuk membuat persediaan untuk LDK seterusnya ketika di Kem Biro Tatanegara Langkawi baru-baru ini.

"Inna lillah hi wa inna ilaihi ra'jiun," lafaz kami beramai-ramai atas pemergian ulama terkemuka itu.

"Mana Ina tau," tanyaku untuk mengesahkan berita yang kini sukar dikenal pasti benar salahnya.

"Ina dapat sms dari kawan tadi," jawab Ina.

Sedih pula rasa hati walaupun diri tidak pernah bersua muka. Hanya sekadar menyelami hasil penulisan beliau yang menusuk ke dalam lubuk jiwa dan sebagai panduan diterapkan dalam hidup.

Dunia akhir zaman, ulama dan para ilmuwan makin kurang kerana diseru panggil Ilahi.

********
"Orang baik selalu meninggal awal kan kak," ulasku pada topik kematian melalui perbualan dengan guru sains di sekolah di suatu ketika.

"Kita ni belum cukup baik la kan sebab tak mati lagi," ujar guru yang berjubah dan bertudung labuh itu sambil ketawa nipis.

"Kita dipanjangkan usia oleh Allah untuk membawa amanahNya kak...agar diri ini dapat memberi manfaat kepada yang lain," sambungku pada perbualan ringkas di bilik guru sambil menyudahkan penulisan rancangan pengajaran keesokkan harinya.

Mati selalu dalam ingatan namun sejauh mana persediaan diri untuk menghadapinya?

********
'Pecah kaca pecah gelas lepas baca harap balas'.

Pantun yang popular di kalangan rakan-rakan ketika berada di sekolah rendah dahulu ketika menulis surat dan kad hari raya.

Aku tidak suka menggunakan pantun tersebut kerana ia terlalu luas penggunaannya.

'Masuk Rumah tidak Taat Pecah Ummah Tiada Manfaat.'

Perpecahan bukan isu hari ini. Ia adalah isu lama. Namun, impaknya bakal dirasai hingga ke beberapa generasi selepasnya. Mungkin juga menyebabkan negara tergadai.
Perbezaan pendapat, ideologi, fikrah, jemaah dan mazhab yang sering menyeret ke kancah perbalahan dan perpecahan.

Sudah terbukti pada beberapa buah negara Islam dan arab di dunia.

Ini adalah kaedah cucukkan jarum paling halus oleh zionis melalui hamba mereka iaitu Amerika.

Kaedah ini juga ditiru dan diguna pakai oleh beberapa parti politik untuk menumbangkan parti lawannya secara halus.

Susah dikenal pasti helahnya malah tidak tahu bahawa ia adalah suatu cara untuk melemahkan.

******
"Wartawan adalah pembawa fitnah paling besar...yang telus cuma ada seorang dua," kata seorang rakan.

Sejauh mana kebenarannya hanya wartawan itu sendiri dan orang yang dapat menilai dengan keimanan dapat menilainya.

Teringat pada allahyarham Fadzil Noor yang mulus dan tulus dari segi rupa dan tindak tanduknya.

Rabu, 17 Jun 2009

Yang busuk itu wangi

' Carilah sesuatu yang baik dalam perkara yang tidak baik dan yang membosankan.'

Bukan mudah sebenarnya hendak mencari kebaikan dalam keburukan.

Ia perlu menggunakan mata hati dan kebaikan yang wujud dalam diri.

Sebagai muslim pengukuran keimanan itu penting untuk menilai semua ini.

Lagi tinggi keimanan maka lagi jauhlah nilai kebaikan dan hikmah yang tersaring dalam semua aspek perkara dalam kehidupan baik pada perkara yang baik dan buruk.

Malah diambil semua itu sebagai panduan dan teladan untuk kehidupan mendatang bukan sahaja untuk diri sendiri malah disebarkan kepada orang lain.

Bergandalah pahala yang diperolehi dari keikhlasan yang dilakukan.

Tidak semua orang yang dapat melihat yang hodoh itu cantik, yang hitam itu putih, yang kelam itu cahaya dan yang busuk itu wangi.

Bertuah kepada mereka yang memiliki pandangan sebegini.

Namun sifat ini dapat dipupuk dengan nilai positif yang wujud dalam diri di samping menambah ibadat demi peningkatan kualiti iman.

*********

Segalanya masih belum selesai.

Masih ada satu lagi kursus sebelum meninggalkan IPDA.

KISSM yang bakal menghadapi ceramah dan peperiksaan.

Nampaknya hidup ini memang banyak ujian.

"Ustazah periksa apa?" tanya Daniel murid tahun 6 melalui sms ketika aku di IPDA.

Hairan agaknya sudah bergelar ustazah juga masih menduduki peperiksaan.

Ujian bukan setakat untuk kanak-kanak dan orang muda malah sehingga ke hujung nyawa.

Ujian dari Allah Taala untuk mengukur dan menilai malah menaiktaraf iman hambaNya.

Jadi sebagai hambaNya yang tidak mahu kecundang ditulis keputusan oleh Malaikat Atid maka sentiasa bersiap siaga menghadapi ujian yang bakal menimpa bila-bila masa.

********
Rindu pula rasanya pada bau dan suasana hutan di kem BTN Langkawi baru-baru ini.

Rindu pada rakan-rakan yang dikenali di sana yang terdiri dari pelbagai bangsa, sekolah dan negeri.

Terutama kumpulan LDK 7 yang menunjukkan semangat kerjasama berkumpulan walau hanya dalam masa dua hari.

Sekali ukhuwah terbina ia tidak akan runtuh melainkan dengan izinNya. Jika sekali pun kerana hilangnya nyawa ingatan pada yang masih bernafas tetap tidakkan luput.

Terima kasih rakan-rakan kerana membina akrab ini.

Semoga kalian berjaya dan bahagia di dunia dan akhirat.

#Buat Cheok Bee Geok : bertemu nanti pastikan janji kita dapat bertutur dalam Bahasa Melayu dan Mandarin dengan fasih. Chaiyok....chaiyok....

#Buat Loke Yien Kiew : rindunya pada celoteh awak. Coklat yang awak syorkan itu memang sedap.

#Buat lain-lain : kalian tetap di hati.

Rabu, 10 Jun 2009

Diri ditinggalkan masa

'Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.'

Kalam Allah diturunkan sebagai panduan kita walau hanya berupa surah pendek dengan beberapa ayat sahaja.

Melalui kalamNya mengingatkan kita bahawa masa ini terlalu singkat.

Hidup ini terlalu pendek.

Jadi kerana kesingkatan masa itu maka perlu digunakan masa sebaik-baiknya.

Leka sedetik barangkali bakal menatijahkan kegagalan masa depan.

Kegagalan boleh diperbaiki dengan kejayaan.

Namun jika kelekaan mengejar masa tetap berlaku tidak mustahil kegagalan itu akan kembali berulang kali.

Beringatlah pada suatu kegagalan dek sekelumit cuma kelekaan mengejar masa yang tidak menanti manusia.

Jadilah pengurus masa yang terbaik kerana masa yang berlalu tidak akan kembali.

********
Kertas Ilmu Pendidikan dan Bahasa Arab kertas 1 sudah selesai diduduki dua hari berturut-turut bermula dari kelmarin. Esok cuma perlu menjawab kertas Bahasa Arab 2 sahaja sebelum bertolak ke Langkawi untuk BTN.

Semoga guru-guru pelatih j-QAF ambilan 2008 ini lulus dalam peperiksaan ini.

Amin ya Rabb.

Jumaat, 5 Jun 2009

Rasa dan sememangnya dipinggir...

'Setiap manusia mempunyai imaginasi tersendiri yang sering disekat perkembangannya akibat
manusia lain yang sering melihatnya dengan pandangan yang negatif walhal jika ia dikembangkan akan mencetuskan kejayaan luar biasa individu berkenaan kepada dunia.'
Ini adalah rumusan ketika membaca dan membuat nota Ilmu Pendidikan tengahari tadi.
Menarik rupanya jika difahami, dihayati dan diambil peduli oleh setiap orang khasnya para ibu bapa dan guru.
Namun tidak mustahil ia bukan sekadar untuk kanak-kanak malah orang dewasa yang masih mampu berimaginasi.
*********
Pelik dan menghairankan apabila seorang yang beragama islam menolak islam secara terang-terangan.
Sepatutnya memang tidak pelik kerana penolakkan bukan baru berlaku pada zaman kini.
Namun kehairanan tetap menjalar kerana meletakkan islam itu tidak penting dan merupakan nombor bawah daripada satu dalam perkara yang penting dalam hidup.
Kita tahu bapa sekularisme adalah Kamal Attartuk yang memisahkan antara agama dan kehidupan.
Kita juga tahu sejarah Rusman Rushdie yang menghina Rasulullah dalam bukunya serta mengulas Islam dengan kancah matanya yang serong.
Kita tahu Aminah Wadud yang pesong menjadi imam solat kepada jemaah muslimin.
Secara terang-terangan mereka menolak dan memesongkan islam yang benar.
Seluruh dunia ketahuinya.
Mereka yang bukan calang-calang orang yang berada dalam kategori bijak dan mempunyai jawatan, profesion dan pengaruh.
Kini menjalar dalam masyarakat.
Cerita teman sekuliah tentang Guru Besarnya yang menerima kemasukkan program j-QAF ke sekolahnya sekadar hidup segan mati tidak mahu amat menyedihkan.
Masalah ini berlaku sejak awal posting lagi yang mana kepala sekolah tidak mahu menerima Bahasa Arab sebagai satu mata pelajaran di sekolahnya dan bahasa Al-Quran tidak dapat dilaksanakan sehingga beberapa bulan.
Setelah dilaksanakan hanya sekadar di luar jadual waktu menjelaskan bahawa dia tetap tidak menerima sebagai mata pelajaran di sekolah itu.
Bukan sahaja Bahasa Arab malah mata pelajaran Agama Islam juga seperti di anak tirikan.
Jika ada pertandingan yang membabitkan dua pelajaran itu antara sekolah-sekolah pasti dia membuat tafsiran awal akan kalah.
Sebaliknya jika berkenaan dengan Bahasa Inggeris pasti akan melatih berminggu-mingu dan turut serta membawa dan menunggu peserta.
Walhal dia adalah Guru Besar cemerlang.
Sekolahnya juga mendapat kenaikan taraf sekolah Cluster.
Berdasarkan sistem fail yang teratur dan kecemerlangan akademik murid-murid.
Padahal wujud ketidakseimbangan antara dunia dan akhirat.
Siapa yang memberi kelayakan itu?
Semestinya JPN sendiri.
Adakah JPN sepatutnya dipersalahkan atau sistem pendidikan negara yang masih antik mengikut sistem tinggalan British berpuluh tahun lalu?
Islam hanya sekadar pada nama dan lambang.
*******
Sebagai guru mengajar Bahasa Arab, al-Quran dan Agama Islam di sekolah aku juga terasa dipinggirkan kerana semua mata pelajaran itu bukannya teras.
Murid-murid juga seperti sudah diacuankan bahawa mata pelajaran bukan teras itu tidak penting hanya sebagai sampingan kerana tidak ada dalam peperiksaan yang menentukan hala tuju ke peringkat menengah.
Itu dalam situasiku yang masih bernasib baik kerana j-QAF diterima walaupun Guru Besar berbangsa Budhha.
Namun kerana sistem begitu dia pernah meminta maaf kerana katanya bukan untuk mengenepikan namun ia sudah disuratkan sebegitu.
Islam dipinggir oleh penganutnya sendiri.
Aku berharap agar suatu masa kelak mata pelajaran Agama Islam dan Bahasa Arab dapat menjadi mata pelajaran teras yang akan dipentingkan oleh setiap individu yang bernama Islam.
Tepuk dada tanya IMAN...
Tadah tangan mohon keampunan...
Agar kekhilafan diperbetulkan...
Yang bengkok diluruskan...
Tanpa berpaling tadah semula...
Cemerlanglah di dunia dan akhirat.

Rabu, 3 Jun 2009

Butakah mataku?

Aku bangga kerana anak muridku dapat berinteraksi denganku di dalam blog ini.
Malah ada yang sudah memiliki blog sendiri dengan pengikut yang ramai.
Ada juga yang ingin membina blog dan minta tunjuk ajar di usia yang baru 10 tahun.
Nampaknya mereka memang celik ICT.

Itu cerita anak muridku dari 213 orang murid di SKBS di dalam kebun kelapa sawit.
Di luar sana ramai lagi kanak-kanak dan remaja yang tidak buta ICT.
Mereka memang maju selaras perkembangan zaman.
Ibu bapa, guru malah Perdana Menteri sendiri pasti berbangga.

Namun pernah ditelitikah berapa ramai pula kanak-kanak dan remaja yang tidak buta al-Quran?

Akibat kesedaranlah diwujudkan program j-QAF lima tahun yang lalu.
Agar warga Malaysia yang majoriti Islam didedahkan dan dididik dengan al-Quran sejak dari sekolah rendah lagi.
Hasilnya memberangsangkan mengikut kata seorang pensyarah.
Jelas dalam ruang lingkup SKBS yang kecil murid-murid mempunyai kemajuan dan minat mendalam pada al-Quran walaupun dia adalah murid KIA 2M (pemulihan).

Kanak-kanak ini makin celik al-Quran.
Jika ada yang buta mungkin sekadar minoriti.
Pengajaran dan didikan ini perlu berterusan.

Seiring sudah kecelikkan kanak-kanak ini pada hal dunia dan akhirat.
Al-Quran dan ICT.
Jika diadun keduanya akan mewujudkan kehidupan yang mantap.

*******
Kelas pendidikan al-Quran minor pada hari ini sungguh mencabar.
Mencabar bukan kerana ideologi dan method yang terdapat di dalamnya.
Malah bukan juga dek pembentangan.
Namun kerana kelemahan bacaan yang dikorek dari setiap dada para guru ini.
Tidak bermaksud buta al-Quran.

Boleh membaca tapi perlu perhaluskan agar bacaan menjadi mantap mengikut cara bacaan imam-imam masyhur di Mesir, Mekah dan Madinah.

Tidak mustahil dapat mengikut lahjah mereka 100% dengan latih tubi dan talaqi.
Namun jika sekadar dapat membaca dengan gaya arab juga sudah memadai setelah latih tubi dan talaqi dilaksanakan.

Pentingnya ada usaha untuk memperbetulkan bacaan al-Quran dari sehari ke sehari.

Ilmu di dalam al-Quran itu terlalu banyak.
Ilmu cara membacanya juga banyak.
Terlalu menarik untuk dicungkil ilmu-ilmu agar dada terisi dengan butir permatanya sebagai amalan dan tunjuk ajar pada insan yang lain di masa hadapan.

Selasa, 2 Jun 2009

Ilmu dari semut

Di dunia yang kecil.


Semut-semut bertempiaran keluar ke serata pelosok ruang bilik.
Bertempiarannya mereka tetap dalam keadaan saf yang teratur.
Berjalan dengan matlamat untuk mencari sesuap rezeki di atas muka bumi Allah.
Disiplinnya mereka sehingga tidak berlanggar antara satu sama lain ketika berselisih di pertengahan jalan samada secara seekor atau berkumpulan.

Bijak sungguh semut walhal hanya sekadar serangga tanpa akal fikiran.
Sekecil-kecilnya Allah telah menurunkan surah al-naml yang bermaksud semut.
Jelaslah ada pengajaran yang Allah suruh kutip dari semut.

Fikir-fikirkanlah...


Di dunia yang luas

"Hishh...banyak sungguh semut ni, datang mana entah," rungut rakan sebilikkku yang setia menjadi rakan sebilik sejak interaksi tutorial kedua lagi.

"Memang pun...hurung (kerumun) habis semua benda.... tiduq sat lagi (jap lagi) ketit (gigit) kita pulak," tambahku yang sememangnya alergik pada makanan yang dimasuki semut kerana akan melemahkan pemikiran setelah memakannya.

Aku dan sahabat dari Pahang itu makin tidak selesa berada di bilik asrama ini dengan adanya makhluk-makhluk kecil yang tidak diundang ini.

"Balik nanti nak bawa Bygon la nak sembur semut-semut ni, geram sungguh...habis dibuat sarang dalam plastik baju yang baru saya beli semalam," ujar wanita genit beranak satu itu menyatakan ketidakpuasan hatinya.

"Memang pun baju akak pun dia ada tadi..banyak pula tu," tambahku menyedapkan umpatan pada makhluk yang tidak ada dosa itu.

********
Malam ini semut-semut ini sudah berani naik ke atas tilamku pula malah memanjat dinding yang rapat dengan katil.

Seekor yang sedang memanjat segera kupenyek sehingga menjadi mayat.
Zalimnya aku membunuh makhluk Allah itu.

Setiap kali membunuh serangga pasti ingatan terimbau pada seorang sahabat ketika di Kusza dahulu.

Perbualan kami di meja rehat berdekatan blog Aisyah yang diperbaharui untuk dijadikan bilik kuliah itu amat berkesan padaku.

Sahabat yang merupakan anak saudara tokoh agamawan dan politik terkemuka tanahair itu sering memberi kesedaran dan peringatan padaku yang keluar dari butir bicaranya.

Lepak-lepak sambil stadi untuk paper keesokkan harinya telah menimbulkan topik tentang serangga antara kami berdua.

Ia bermula dari keganasanku mempenyekkan kerengga yang lalu di atas meja rehat berukir kayu itu.

"Seorang sahabat saya tak pernah membunuh serangga walaupun seekor dalam hidupnya," kata sahabat yang turut sama berjuang mencari ilmu di bumi Mesir bersamaku selepas Kusza.

"Takkan kot, alim sungguh perempuan tu...tak percayalah," aku mempersoalkan cerita sahabat itu akibat kebaikan luar biasa yang tidak masuk dek akal bagiku.

"Iya kak...dia memang wanita solehah...bukan setakat tidak membunuh malah jika serangga itu lalu di tempat yang risiko untuk jatuh dia akan letakkan serangga itu di telapak tangan dan meletakkan di tempat yang selamat," tambah sahabat berwajah manis itu untuk menyakinku.

"Baiknya dia sampai tahap tu...salute la pada dia...bukan senang nak cari orang mulia macam tu zaman lani...nak jadi macam dia la...nak jadi solehah juga," aku berkata sambil hati menggagumi peribadi tuan punya diri.

Sejak hari itu aku tidak lagi membunuh serangga teruatama semut kecuali nyamuk dan serangga yang berbahaya.

Jika terlupa aku sering mengingatkan diri kembali agar makhluk kecil itu patut dilindungi bukan dibunuh kerana ia juga punya hak untuk bernyawa.

Juga kerana ia dicipta Allah atas sebab ada faedah kerana ciptaanNya tiada yang sia-sia.

Namun kadang-kadang tetap terbabas dari sikap berjaga-jaga itu.
Cepat sungguh jari dan tangan membunuh makhluk kecil itu.
Mentang-mentanglah ia kecil dan mudah untuk dimusnahkan.

Belajarlah dari semut untuk patuh pada arahan pencipta.
Belajarlah dari semut untuk berdisiplin bermula solat sebagai tiang agama agar solat pada awal waktunya.
Belajarlah dari semut untuk bekerjasama agar setiap yang berat dapat dipikul dan yang ringan dapat dijinjing.
Belajarlah dari semut agar bersatu kerana dengannya akan tertegak saf dan dustur (negara) islamiyyah yang kuat.

Wahai Cik Mut....

Aku tak kisah engkau hendak menumpang tinggal bersama....

Kerana kewujudanmu di sini telah menjadi guruku memberi ilmu dan kesedaran pada hikmah ciptaan makhluk sekecilmu buat pedoman aku iaitu manusia yang senantiasa lupa...

Terima kasih ya Allah atas peringatanMu melalui makhluk kecil ini sebagai penyebabnya.

Isnin, 1 Jun 2009

Kasih sayang itu tali...

Semilir senja membawa bau pasir bersama bau laut mediterranaen ke hidung amat menenangkan.
Aku rindu pada suasana dan bau itu.

Keletah adik-adik di depan mata walau diri rasa terbeban untuk menjaga amat menghiburkan.
Aku rindu pada wajah kecil mulus serta tangis gurau mereka ketika kami kecil dahulu.

Keenakan ikan yang digentel menjadi keropok menimbulkan selera di kala petang hari.
Aku rindu pada makanan negeri pantai timur itu.

Suara yang memanggil namaku bertanya soalan cuba kulayan walaupun rasa rimas kerana mereka berhak diberi perhatian.
Aku rindu pada anak didik yang masih punya ruang dibentuk menjadi insan.

Tangisan anak-anak kucing di paras bawah asrama ini menyentak hatiku.
Aku rindu pada Kitty, Etot dan Popong di rumah.
Walau hanya sekadar kucing mereka adalah sebahagian dari hidupku.
Sedang mewarnai kanvas ruang hidupku.
Ku tidak ingin peristiwa itu berulang kembali.
Sebagai manusia ku tak mampu mengubah takdir yang telah tersurat di hadapan.

*******
Ruang bawah kurenungi dengan pandangan kosong kerana hati merindui sesuatu.
Jendela kapal terbang itu hanya sekadar tempat kumelepaskan perasaan sedih yang cuba kusembunyikan dari pengetahuan sahabat yang duduk di sebelah.

Comel memandangku dengan sayu.
Comel melepaskanku dengan rasa hiba.
Ia sering hadir dalam mimpiku.
Rupanya jodoh kami tidak lama.
Ia pergi jua tanpa sempat kami bersua semula.
Semoga syurga menemukan kembali aku dan ia.

*******
Cantiknya hikmah Allah taala menjadikan kasih sayang sesama makhluk ciptaan tidak kira fizikal, rupa, warna dan saiz.
Berbeza ciptaan tidak bermakna hubungan tidak dapat diwujudkan.
Pentingnya ia disulami cinta Ilahi yang mengatasi segala cinta di dunia ini.
Jika berbeza ciptaan mampu menyulam kasih inikan pula sesama manusia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...