? ??????????????The Giving Tree? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 508 Total Grabs. ?
?????Get the Code?? ?? ?????Pug Lovers Unite? ????? ?????? ???Rating: 5.0 (1 Rating)??0 Grabs Today. 149 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Bamboo Forest? ????? ?????? ???Ra BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Rabu, 31 Disember 2008

Erti tahun baru pada kita?


Pixel Code Graphics


Awal pagi menatap utusan online agak memeranjatkan dengan artikel
bertajuk ' Tahan, dakwa penganjur pesta seks tahun baru'.

Terkejut bukan kerana ia perkara baru namun
perkara seperti ini memang dijangka pada setiap sambutan.

Pesta seks, zina, rempit dan pelbagai lagi adalah cara sebahagian manusia
meraikan hari cuti umum ini pada setiap tahun.

Kenapa perkara seperti ini melanda masyarakat timur (Malaysia) yang tinggi
nilai kesopanan dan bermajoriti muslim

Hanya individu terbabit yang mampu menjawabnya.

Hakikatnya inilah cara hidup masyarakat barat yang telah
menular kepada kita dengan alasan up to date.

Inilah warisan British sebelum melangkah keluar dari Malaya
51 tahun dahulu.

Maka perjuangan Tok Janggut dan Dato' Maharajalela yang digantung
Dato' Bahaman yang dibuang daerah
Temenggung Jugah, Rosli Dhobi, Rentap, Mat Kilau
ada yang terkorban di medan perang
ada juga di penjara
dan
alim ulamak yang berjuang
untuk mempertahankan agama dan tanahair dari ditindas
hanya sia-sia belaka kerana agama sudah tiada nilai kepada generasi mereka

Baginda Rasullulah S.A.W juga menyebut "ummati...ummati...ummati"
yang bermaksud 'umatku...umatku dan umatku'
sebelum wafat kerana sayangkan umatnya
namun
umatnya tidak pernah rasa secubit ingatan padanya
apatahlagi hendak bersalawat kepada baginda.

Di manakah janji yang pernah kita lafazkan sejak azali kepada Allah
untuk berpegang dengan agamaNya?

Semuanya telah hilang lenyap ditelan nikmat dunia akibat kebohongan
yang dibuat iblis laknatullah melalui bangsa laknatullah iaitu Yahudi
bercampur
akal yang dipandu nafsu mazmumah

sedarlah!!!

Sebenarnya bukan sekadar Palestin yang ditindas
dijajah dan diserang
kita juga sedang diserang hebat oleh mereka
bukan menggunakan senjata, bom dan mortar
tetapi
menggunakan saraf

Memo: Maksiat yang dilakukan umat Islam sebenarnya adalah agenda yang telah diatur Yahudi
sejak dahulu. Ia sebenarnya telah disedari oleh ulama'-ulama' muktabar. Hanya kita
tidak menyedarinya akibat sering dilakukan maka menjadi kebiasaan malah sudah tidak
dianggap sebagai dosa. Yahudi telah berjaya dalam perancangannya dan umat Islam
tertewas lagi.

Selasa, 30 Disember 2008

Award + Ukhuwah

Terkejut juga buka blog semalam dapat award dari Alia. Terima kasih Alia di atas penghargaan awak. Moga ukhuwah kita berpanjangan dengan limpahan keredhoan dari Allah S.W.T.
Alhamdulillah sejak memasuki dunia blog ni dapat ramai kawan dari pelbagai negara dan latar belakang maka sesuailah dengan firman Allah yang bermaksud:

"Wahai manusia,sesungguhnya Kami menciptakan kamu semua daripada jenis lelaki dan perempuan dan kemudian Kami menjadikan kamu berbilang bangsa dan kaum supaya kalian dapat saling mengenal sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah di antara kamu adalah yang paling bertakwa,sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Mewaspadai."

(Al-Hujurat :13)

Ukhuwah adalah perkara yang dititikberatkan dalam Islam. Ini kerana ia mewujudkan perdamaian dan menggelakkan persengketaan sesama manusia.

Rasul junjungan juga telah menjalinkan ukhuwah bukan sahaja dengan sesama Islam malah orang Islam dan melindungi kaum Yahudi di bawah Piagam Madinah.

Jika diambil ajaran yang dibawa Nabi Muhammad ini maka kehidupan akan menjadi indah di samping keamanan dunia dapat dikecapi.
Memo : marilah kita sama-sama doakan agar pencerobohan di Gaza dan Rafah
Palestin dihentikan. Amin Ya Rabb.

Isnin, 29 Disember 2008

Mati itu pasti...ingat mati itu mesti


Al-fatihah buat armarhum Tuanku Ja'far Tuanku Abdul Rahman yang telah kembali ke rahmatullah pada 28 Disember 2008 di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana tidak sedarkan diri selepas mengadu sakit kepala.

Juga Al-Fatihah buat semua yang telah pergi menyahut seruan Ilahi.

Setiap yang hidup pasti akan mati.

Itulah hakikat kehidupan mempunyai permulaan dan penamatnya kerana sifat makhluk yang baharu berbeza dengan sifat Allah yang mencipta iaitu Baqa' yang bermaksud kekal.


Namun berapa orangkah antara kita yang mengingati mati?
atau

Berapa kalikah dalam sehari kita mengingati mati?


Mati sering dilupakan kerana ia dirahsiakan dari pengetahuan.

Firman Allah SWT :

Dan mereka berkata:" Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata ( Surah al-Jathiyah ayat 24).


Sesuai dengan akhirnya samada ditempatkan di syurga atau neraka maka kematian dirahsiakan dari pengetahuan .


Namun, Allah telah mengingatkan melalui kalamnya di dalam Al-Quran melalui surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud:


Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)-untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).


Maka melalui peringatan itu kita perlu melakukan apa yang disuruhNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya sebagai amal kebaikan.


Jika direnung bukanlah susah untuk menjadi penghuni syurga namun kekangan untuk beramal tetap wujud melalui

1. Dorongan dalaman iaitu NAFSU

2. Hasutan luaran iaitu syaitan dan dunia

Walaupun hanya dua benda sebagai kekangan sudah cukup melontarkan manusia ke dalam api neraka.

Oleh itu, akidah memang perlu dimantapkan

iman perlu diupgradekan


Jadi apa kata jika mulai saat ini

peruntukkan masa mengingati mati

agar amalan dilaksanakan

malah digandakan

kemungkaran ditinggalkan

semoga syurga menjadi tempat kita di sana.

Ahad, 28 Disember 2008

Pembukaan Maal Hijrah


Salam Maal Hijrah melalui beberapa sms yang dikirimkan oleh sahabat-sahabat semasa di kampung tadi. Ini bermakna sejak Maghrib tadi tirai 1430 Hijriah telah bermula.

Di waktu umat Islam menyambut tahun baru Hijrah, Malaysia digemparkan dengan berita blog menghina Nabi Muhammad S.A.W. Malah ia menggunakan nama seorang wanita melayu. Namun sukar dikesan pihak berkenaan kerana sistem pelayar berpengkalan di luar negara.

Ketika umat Islam menyambut tahun baru Hijrah juga Palestin dibedil peluru Israel meragut 155 nyawa serta 310 cedera. Maka Hamas dan puak-puak Palestin lain mengarahkan pejuang masing-masing menuntut bela terhadap keganasan rejim Yahudi itu.
Dua berita panas yang kini sedang berlaku tidak memungkinkan kita sebagai orang Islam berpeluk tubuh sahaja. Ini tidak bermakna kita perlu ke Palestin untuk sama-sama mengangkat senjata. Juga tidak bermaksud berdemonstrasi jalanan membantah kewujudan blog menghina Nabi tersebut.
Namun kita punya tanggungjawab untuk prihatin dengan menadah tangan memohon pada Yang Esa agar penghinaan dan peperangan ini dihentikan.
Malah kita jangan lalai dan pentingkan diri dengan kenikmatan yang diperolehi kerana umat Islam saudara seakidah kita masih ramai diuji dengan kesusahan.
Kita juga jangan alpa dengan kenikmatan dunia ini kerana Islam tetap dimusuhi mereka-mereka yang dengkikan agama suci ini. Jalankan tanggungjawab sebagai muslim. Hindari Islam difitnah kerana kita.
Di mana langit dijunjung
Islam tetap menjadi pegangan

Jumaat, 26 Disember 2008

Azam 1430

1429 hanya berbaki dua hari sahaja lagi sebelum 1430 membuka tirai harinya. Entah kenapa hati ini tidak sebak seperti tahun-tahun sebelumnya untuk meninggalkan memori. Mungkin kerana hendak cepat menghabiskan kursus KPLI/j-QAF tapi sebelum itu kena menghadapi praktikum yang bermula pada minggu ke-3 persekolahan sehingga bulan April. Selepas itu pada bulan Jun pula berdepan dengan peperiksaan untuk major paper. Nampaknya setengah tahun depan masih kena berhempas pulas dan tidak dapat hendak bersenang lenang lagi.
Adakah istilah bersenang lenang untuk orang berdakwah? Itulah kelemahan manusia. Mudah bibir menuturkan kata untuk berdakwah dan berjihad tapi masih mahu bersenang lenang. Jalan memperolehi syurga dipenuhi duri ranjau sedangkan jalan ke neraka dipenuhi nikmat. Maka jika hendakkan pahala dakwah dan jihad niatkan kerja dan amal yang kita lakukan sehari-hari sebagai jihad dan dakwah. Pahala diperolehi di samping kerja lebih bermakna. Oleh itu marilah kita sama-sama niat tahun baru untuk menjadikan kerja kita sebagai dakwah dan jihad.
Buat anak didikku....ustazah akan kembali dengan semangat untuk memahirkan kalian akan Bahasa Al-Quran
Buat rakan-rakan sekerja....hadirku nanti insyAllah bersama kematanganku sebagai guru dan pekerja yang dapat melakukan semua perkara yang diperintahkan.
Moga surau baru kita nanti dapat memantapkan iman kita dan anak didik melalui solat.
Amin Ya Rabb


Khamis, 25 Disember 2008

Mabruk a'laikum

Nampaknya kuterima seorang lagi adik ipar perempuan kerana tarikh hari ini adik lelaki Dakwah Kusza telah selamat akad nikah. Membiak lagilah keluarga Dakwah nanti dengan ipar duai dan anak saudara. Maka makin bertambah umat Islam. Melalui sms tuan empunya diri kendurinya bakal berlangsung Mac tahun depan. Tahniah buat Mohd Basri dan pasangannya. Basri ini kuanggap seperti adik sendiri kerana dialah muslimin pertama yang memanggil diri ini kak Nor masa di kolej dahulu. Muslimin yang lain dengan selambanya hanya memanggil nama sahaja. Mungkin memang sifat lelaki agaknya yang gemar memanggil nama daripada pangkat usia seseorang. Basri ini juga pernah berjasa padaku kerana mengingatkanku tarikh perjalanan flight bertolak ke Mesir pada tahun 2003. Jika tidak kerana dia maka aku ketinggalan flight sehari lewat selepas penerbangan sebenar. Ini kerana sikap cuaiku melihat tarikh penerbangan. Dialah juga merupakan satu-satunya rakan Dakwah muslimin yang bersama melanjutkan ijazah ke Mesir. Jadi dialah tempat rujukan kami ketika mula sampai di sana. Namun dia seorang sahaja yang dapat menyambung course Dakwah. Manakala 11 orang kami yang wanita menyambung kos Usuluddin 'Tafsir & Ulum Al-Quran. Ini kerana kos Dakwah tidak dibuka kepada wanita luar Mesir. Apa-apa pun 12 orang kami selesai menghabiskan pengajian dan majoriti sekarang sudah bekerja dan berkeluarga. Di samping seorang sahabat yang menyiapkan tesis untuk MA. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang banyak membantu diri ini menghadapi kemelut dugaan di bumi Musa Firaun itu. Tahniah juga buat mereka yang berjaya mengharungi badai cabaran di sana dengan tabah.

Isnin, 22 Disember 2008

Cuti-cuti Malaysia 2008


"Tahun ni nak bawak adik pi mana noh, kesian dia cuti lama dok dalam rumah ja,"tanya mak kepada abah.

"Ikut la nak pi mana-mana pun,abah tak kisah, kesian juga dekat adik terperuk ja dalam rumah," jawab abah kepada mak.

"Kan mak kata nak pi jalan Perlis, pi Padang Besar cari bunga orkid," celahku antara perbulan mak dan abah.

"Tapi kalau pi sana mesti teringin macam-macam, dah la bisnes baru mula," jawab mak beralasan logik.

"Kalau lagu tu kit api Aloq setaq je lah, boleh singgah umah pakteh sekali," ujarku memberi cadangan.

"Ok jugak tu, bawa dia pi muzium dan round dua tiga tempat untuk release tension," jawab kak ngah mencelah dari dapur.

Maka, hasil dari perbualan di atas dapatlah kami ziarah Alor Setar dalam sesi cuti-cuti Malaysia pada tahun ini. Ini berbalik kepada budget yang terhad. Jika tidak langkah tayar kereta makin jauh jaraknya. Namun baju perlu diukur pada badan sendiri. Juga sebagai manusia kita harus bersyukur pada apa yang ada. Ada hikmah,ilmu dan kenangan yang Allah hendak berikan. Pastinya, jika bijak menggunakan apa yang ada maka sesuatu yang biasa akan menjadi indah.

Seperti yang dirancang destinasi utama adalah Muzium Negeri Kedah dan Muzium Diraja. Sebenarnya kedua-dua muzium ini adalah tempat yang menjadi kunjunganku di hujung minggu bersama teman-teman serumah ketika menuntut di SEK Agama Raudhatul Ulum, Langgar pada 1996 dahulu. Walaupun pernah dikunjungi namun kunjungan pada kali ini berwajah dan berstruktur baru dengan pindaan pada bangunan,suai letak serta susun aturnya. Namun satu yang tidak dapat diubah adalah sejarahnya. Jelaslah, sejarah adalah harta paling bernilai dalam kehidupan manusia. Ia mampu ditipu pada zahir. Batinnya, ia tetap kekal dengan pengetahuan Yang Esa serta diri empunya. Lawatan ke muzium kali ini memberikanku ilmu dan pengetahuan baru yang terlepas pandang pada kunjungan lalu.

Solat kami telah dilaksanakan di Masjid Al-Bukhary yang terletak dalam kompleks Al-Bukhary. Inilah pertama kali dapat solat dan berkunjung ke sana kerana sebelum ini hanya sekadar mendengar nama dan cerita sahaja. Tempat yang menarik berlandskapkan timur tengah dengan pokok-pokok tamar di ruang hadapan kompleks. Ditambah suasana tenang dan nyaman umpama benar-benar berada di timur tengah. Bukannya membanggakan negara orang. Cuma sekadar memberitahu kenyataan bahawa berada di tempat para Nabi, Rasul serta alim ulama' memberi ketenangan. Ia kerana alam menghormati iman dan ilmu yang mereka miliki. Berbeza dengan tempat yang pernah diazab Allah seperti tasik Qarun yang terletak di Fayyoum yang tidak selesa dikunjungi kerana bahang mentari menyengat akibat azab yang ditimpakan Allah. Siapalah diri ini untuk menghukum namun kenyataannya adalah alam juga tidak merestui maksiat yang dilakukan penghuninya.






Ahad, 21 Disember 2008

Egypt dalam ingatan



Masa begitu cepat berlalu. Tidak sangka sudah setahun aku menjadi warga SK Bukit Selarong. Maknanya sudah 3 tahun alam universiti sudah ditinggalkan jauh ke belakang. Namun, segala memori masih terpatri di dinding ingatan. Mana mungkin kulupakan semua nama dan wajah yang pernah menghulur salam persahabatan.


Selepas Isyak tadi sempat berchatting dengan ex-housemate di Iskandariah dahulu. Sejak pulang memang tidak pernah bertemu kerana dia anak Selangor. Bercakap di telefon juga boleh dihitung jari. Sms jarang dibalas mungkin kerana kesibukan sebagai isteri dan ibu kepada seorang anak yang berusia 11 bulan. Masing-masing bertukar cerita tentang sekolah tempat berkhidmat kerana dia juga seorang guru. Di samping cerita di Mesir dahulu. Nampaknya ingatanku pada sesetengah nama tempat di sana sudah hampir kabur ditelan waktu kerana boleh tertukar antara Asfor ( nama pusat yang menjual barangan kristal yang terletak di Shoubra) dengan Aswan (tempat yang mempunyai banyak patung Firaun).


Juga mengimbas sahabat di sana yang masih bergelut dengan kuliah dan buku. Semoga dia dapat menghabiskan pembelajaran dengan pulang membawa segulung ijazah dan ilmu untuk dimanfaatkan pada masyarakat.


Selain itu, mengimbau keenakan roti coklat yang dapat dibeli di kedai hadapan markaz pelajar Malaysia yang berharga sebiji 0.75 kurush yang tidak dapat dijumpai di Malaysia sebagai pengalas perut selepas pulang dari kuliah. Semua itu adalah sejarah yang tertulis dalam lipatan zaman. Tidak akan dapat diubah. Mungkin dapat dilupa. Namun mana mungkin memori seindah itu dilupai kecuali dengan izinNya.

Jumaat, 19 Disember 2008

Ada apa pada sebuah kebanggaan???


"Anak awak dapat berapa A dalam peperiksaan baru-baru ini? tanya seorang ibu kepada ibu-ibu yang lain di sebuah majlis.

"Anak saya dapat 5A," jawab bangga seorang ibu kepada anak lelaki yang dilahirkannya.

"Anak awak pula?" tanya ibu pertama tadi kepada ibu yang lain.

"Anak saya dapat 6A," ibu itu juga menjawab bangga sambil senyum melepasi telinga.

"Anak awak pula?" tanya ibu pertama tadi kepada ibu yang seterusnya.

"Alhamdulillah, atas pertolongan Allah anak saya dapat 10A," jawab ibu itu sehingga melopongkan mulut ibu-ibu yang berada di situ.

Jika diamati situasi ini hampir sama dengan sebuah iklan di televisyen tempatan yang mempromosi talian internet di Malaysia. Apa yang saya ingin tekankan di sini bukanlah kebaikan dan keburukan iklan itu namun adalah sifat bangga,ujub,taajub dan riak yang wujud dalam diri. Kesemua perkataan itu membawa satu maksud menunjukkan sifat negatif yang tersirat dalam diri setiap manusia yang mana kadangkala sukar dikesan akan kewujudannya.

Memang patut ibu bapa berbangga akan kejayaan yang diraih anak-anak namun apa guna kebangaan itu jika tidak kembali kepada Allah yang memberi kejayaan tersebut. Apatahlagi jika dengan niat menjatuhkan anak orang lain dengan menunjukkan anaknya yang paling hebat. Seterusnya kehebatan kembali kepadanya kerana keberhasilan mendidik anak tersebut sehingga berjaya. Kemudian mempersoal anak orang lain atas hasil didikan ibu bapanya walaupun tidak dinyatakan secara langsung. Maka serba sedikit orang yang mendengar itu pasti akan tersinggung.

Itu adalah satu contoh sifat bangga yang ada selain bangga dengan kekayan, kedudukan, kecantikan, ilmu dan selainnya. Itu semua adalah nikmat sebagai dugaan terhadap material dunia. Para Rasul, Nabi serta sahabat juga diberi nikmat sebegitu. Contohnya Nabi Sulaiman yang diberi harta yang banyak. Nabi Yusof diberi kecantikan yang luar biasa. Nabi Muhammad dikurniakan ilmu. Namun nikmat tidak menjadi penghalang untuk mereka memiliki cinta Allah dan syurgaNya. Ini kerana insan-insan mulia ini hanya mengharapkan keredhoan Allah di dunia dan akhirat.

Selasa, 16 Disember 2008

Bersatu...bekerjasama...kemaafan


Hari ini merupakan hari terakhir kuliah kumpulan BA3 IPDA.Jelas terbayang wajah kegembiraan pada setiap sahabat kerana dapat merasai nikmat cuti tahunan walau hanya dua minggu masih berbaki.Rasanya cukuplah ruang-ruang cuti itu untuk release tension setelah setahun bergelumang dengan akademik di sekolah dan IPG di samping mendepani karenah anak murid pelbagai ragam.Tahun depan guru-guru pelatih ini bakal berdepan dengan praktikum yang mana memerlukan persiapan mental,jasmani serta material sebagai jaminan mendapat pengiktirafan untuk menjadi seorang guru bertauliah.Semoga semua ilmu yang kita dapat dalam interaksi tutorial di IPDA dapat diaplikasikan dalam p&p kelak.

Terima kasih juga buat para sahabat kerana komitmen menjayakan perlawanan netball 2 vs 2 kuliah KOK pada pagi ini.Semua muslimah hebat-hebat belaka kerana dapat menjadikan netball versi ragbi sehingga sakit satu badan.Juga buat muslimin sebagai pengurus program.Nampaknya selepas ini dapatlah mengurus perlawanan grand di sekolah.
Kejayaan perlawanan ini adalah berkat kerjasama setiap individu bersatu padu merealisasikannya.Alangkah indahnya ajaran Islam yang menyuruh umatnya bersatu,bekerjasama dalam satu jemaah kerana natijahnya akan membuahkan hasil yang bernilai berbanding kerja individu.Di samping merapatkan ukhuwah sesama sahabat.Keadaan aktiviti sebegini barulah dapat melihat semua sahabat ketawa,gembira dan berkomunikasi sebagai sahabat.Jelaslah,ukuwah itu indah jika dibina berdasarkan prinsip menerima segala sikap positif dan negatif dan menolak ketidakpuasan dengan kemaafan.Jika sifat ini dapat diterap dalam diri semua manusia maka akan amanlah dunia ini.Caranya mudah sahaja iaitu bermula dengan memaafkan semua orang sebelum tidur.InsyALLAH esok hari dapat dimulakan dengan ceria tanpa sifat benci,dendam dan sengketa.Pentingnya ia dilakukan kerana mengharapkan cinta Yang Esa...di samping syurgaNya di akhirat kelak...

Sabtu, 13 Disember 2008

Setangkai Gandum & Sebutir Bom


Mengapa diwujudkan perpecahan seagama dan seakidah
mengapa dihalakan senjata pada saudara seagama dan seakidah
mengapa dilemparkan bom pada saudara seagama dan sekidah
mengapa berlainan mazhab dijadikan alasan perpecahan
mengapa berlainan puak dan kabilah adanya perpecahan
mengapa berlainan politik terjadinya perpecahan

Mengapa...??? mengapa...??? dan mengapa...???

siapa pun kita
walau berbeza mazhab, puak dan politik
kita patut bersatu bawah panji Islam
dan lembayung rahmat Rabbul Izzah ( Allah )
kerana kita diturunkan satu kitab ( Al-Quran )
juga sunnah sebagai panduan kehidupan ( Hadis )
tinggalan Nabi yang mulia ( Rasulullah s.a.w )
simboliknya bersatu bawah satu imam dalam satu jemaah
ketika menunaikan solat


wahai manusia marilah menuju persaudaraan
kasih sayangnya melebihi kasih seorang ibu
marilah membina silaturrahim sebagai janji penuh berkah
jadikanlah diriku sebagai saudara selagi Adam adalah ayahku
jika kamu Qabil yang menabur permusuhan dan kebencian


-Dr A'id Abdullah Al-Qarni-
"Dan janganlah kalian semua saling bermusuhan,sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang saling bermusuhan."
( Al-Baqarah : 190 )


Ahad, 7 Disember 2008

Pengorbanan + Ikhlas


Sejarah telah mewariskan pengorbanan Siti Sarah mengizinkan Nabi Ibrahim berkahwin lagi untuk kelangsungan zuriat.Juga pergorbanan Siti Hajar ditinggalkan suami bersama anaknya di padang pasir yang gersang demi pembukaan Makatul Mukarramah.Malah pengorbanan Nabi Ismail untuk dikorbankan di tangan bapanya kerana suruhan Allah Yang Esa.Kisah-kisah itu adalah sebahagian sahaja daripada kisah pengorbanan para Rasul,Nabi serta para sahabat untuk teladan umat yang tidak dapat hidup sezaman bersama insan-insan mulia itu.

Seorang ibu sanggup mengorbankan nyawa untuk anaknya dapat melihat dunia.Seorang bapa sanggup memerah keringat siang malam demi kelangsungan hidup anaknya.Seorang guru sanggup memerah idea agar ilmu dapat disampaikan kepada anak bangsa.Semua lapisan masyarakat tidak kira usia,pangkat serta jantina masing-masing berkorban untuk perjalanan sebuah kehidupan.Namun,sejauh manakah pengorbanan itu diterima Allah sebagai amal untuk meraih ganjaran berbentuk pahala buat meraih cintaNya dan syurgaNya???Tepuk dada tanya iman samada amal itu disertai ikhlas kerana Allah atau hanya sekadar landasan buat meneruskan kehidupan???

Diri ini meraba mencari dalam terangnya sang mentari
mencari untuk menjadi muslimah solehah
tika dunia goncang dek bobroknya perilaku penghuninya
jahiliyah moden sudah kembali
bersama hilangnya nilai kemanusiaan
kerana ingin menjadi pemerintah dunia
lupa janji azali pada pencipta
lupa bahawa dunia hanya sementara
di sini hanya ladang mencari bekalan akhirat

Aku terus meraba mencari sahabat amalku
agar aku tidak mensiakan ia
atau sekadar membuang masa
kerana aku harapkan sebuah cinta Yang Esa
bukan sekadar nikmatnya syurga

Aku akan terus merangkak meraba mencarinya
mencari keikhlasan untuk disatukan bersama amal di pentas dunia
p/s : usah di kenang pengorbanan kita terhadap orang tapi kenanglah pengorbanan orang
terhadap kita...



Sabtu, 6 Disember 2008

Allah itu Esa...


Di satu desa yang hening tika matahari kian menunjukkan wajahnya,dua orang manusia mencium Al-Quran selepas dibaca seusai solat Subuh.Seorang ibu dan anak yang tidak pernah meninggalkan solat jemaah merupakan antara penghuni Kampung Damai yang terletak di utara tanahair semenanjung Malaysia.Si ibu berusia lingkungan 30 tahun manakala si anak kecil perempuan yang mungil berusia 6 tahun.Kedua-dua beranak ini sering ditinggalkan ketua keluarga yang terpaksa bertugas diperairan sebagai Tentera Laut Di Raja Malaysia atau singkatannya TUDM.Tiba-tiba keheningan pagi disentap suara anak yang bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan yang terletak 10 minit perjalanan dari rumahnya.


"Ibu...kemarin ustazah ajaq Hidayah baca surah Al-Ikhlas...,"kata si anak pembuka bicara.

"Iya...bagus lah begitu,anak ibu ni boleh baca ke dak?"soal si ibu kepada anak tunggalnya itu dengan senyuman menguntum di bibir.

"Boleh lah bu...Hidayah dah boleh hafal pun...kan Hidayah pernah belajaq di Pusat Asuhan Islam dahulu."jawab si anak menunjukkan kebolehannya.

"Pandainya anak ibu...,''si ibu memuji kepintaran anaknya sebagai motivasi untuk tumbesaran si anak.

"Ibu...tapi Hidayah tak tau lah makna surah Ikhlas tu,"sambung si anak dengan dahi berkerut nipis.

"Biar ibu jelaskan ya nak,surah Ikhlas itu bermaksud Allah tuhan yang satu,''jelas si ibu ringkas.

''Ustazah pun kata hanya Allah tuhan kita.''kata Hidayah.

"Maksud satu juga adalah Allah tak dak mak bapa dan Allah tak dak anak,"terang si ibu lagi.

"Kenapa Allah tak dak mak bapa dan anak,"tanya Hidayah untuk kepastian.

"Sebab kalau Allah ada mak bapa dan anak maka Allah sama lah dengan kita,betui dak?Allah memang ada tanpa ada yang melahirkan Allah.Allah ada sebelum ada alam ini lagi,maka jelas di sini Allah memang tuhan kerana berbeza dengan kita yang Allah jadikan"jelas si ibu untuk menjelaskan kepada si anak.

"Ohh...betui-betui,ustazah pun ada kata kalau ada tuhan banyak nanti tuhan akan bergaduh nak buat sesuatu,"kata si anak.

"Betui kata ustazah Hidayah tu...sebab tu lah Allah turunkan surah ni untuk bagitau kat kita yang Allah tak dak maka bapa dan anak dan Allah satu sahaja yang boleh kita minta tolong tapi Allah pula takkan minta tolong kat sesapa kalau nak buat sesuatu kerana Allah berkuasa,''sambung si ibu.

"Betui tu ibu,sebab tu lah kita doa selepas solat dan minta pada Allah kalau kita ada masalah,iya kan bu? Ustazah kata Allah yang buat kita,bumi ni dan semua benda tanpa ada orang tolong.
"Pandai pun anak ibu...jadi anak ibu ni dah faham lah ya tentang makna surah Ikhlas itu?"soal si ibu kembali.

"Sudah bu...nanti Hidayah nak cerita pada kawan-kawan Hidayah di sekolah pula,"kata si anak sambil melipat telekung.

"Alhamdulilah,"ucap si ibu di tebing bibir dan di dalam hati kerana di kurniai anak sebijak Hidayah yang mendapat Hidayah atau petunjuk Allah sedari kecil sesuai nama yang diberi.
Surah Al-Ikhlas
Dengan nama Allah Yang Pemurah lagi Maha Penyayang
  1. Katakanlah (wahai Muhammad):"(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa."
  2. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat."
  3. Dia tidak beranak dan Dia pula tidak diberanakkan."
  4. Dan tidak ada sesiapa pun yang setara denganNya."












Selasa, 2 Disember 2008

Doa sebuah cinta


Kubiarkan hati meratap hiba
menanti sebuah kasih suci
dari jiwa yang luhur bersih
dari noda maksiat dunia
dari palitan lumpur penyakit hati
Kuterus menanti sepi
dalam doa kudus kupanjatkan
dengan lisan
juga bisikan sanubari

Aku tetap sabar
menanti sebuah cinta
yang mencintai tuhannya
dari segala-galanya
tanpa batasan
jua halangan
dunia serta isinya...
yang mampu menjadikanku makmumnya
yang mahu menjadi pasanganku menyebarkan Islam itu indah
dan mudah di mata semua manusia

Islam is the way of life
I love Islam because Allah
I also love somebody loves Allah




Isnin, 1 Disember 2008

Mua'lim

Hari ini kelas padat betul.Pukul 9.20 malam baru dapat lihat bilik semula setelah ditinggalkan pagi tadi.Namun perasaan agak tenang kerana semua assignment sudah siap.Minggu ketiga ini walaupun jadual kelasnya padat namun tidak dipertanggungjawabkan kerja kursus dan pembentangan.Jika ada cuma pembentangan kecil sekadar pemahaman bagi sesuatu tajuk baru yang dipelajari.Dalam keletihan mencari kelas,mengejar waktu untuk solat serta makan terdapat hikmah buat bakal-bakal guru yang bakal graduate tahun depan.Pembentukan kendiri bakal-bakal guru ini agar kental dan tabah menghadapi mehnah mendatang.Disamping,persiapan minda dan emosi mendepani keadaan murid-murid juga situasi semasa.

InsyAllah,aku dan sahabat-sahabatku bakal menjadi guru yang berpekerti mulia,berpandangan progresif dan saintifik,bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara......

Syukran ya Allah kerana memberiku peluang meneroka alam pendidikan ini justeru memegang jawatan yang pernah disandang Rasulullah s.a.w sebagai mua'lim...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...